Ahad, 12 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Polis kutip lebih RM20j kompaun

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 11 Jan. - Polis berjaya mengutip lebih RM20 juta kompaun daripada pengguna jalan raya di negeri ini atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (gambar) berkata, sepanjang tahun lalu juga Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Kontinjen Johor menjalankan sebanyak 413 operasi.

Menurutnya, daripada operasi itu sebanyak 553,847 saman dikeluarkan dengan seramai 262,764 orang dan 218,441 kenderaan diperiksa, 7,051 kenderaan disita dan 248 orang ditahan.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 32 Op Cantas Khas Trafik dijalankan dengan 290,671 orang diperiksa, sebanyak 415,063 saman dikeluarkan dan 142 orang ditahan.

"Selain itu, polis turut memeriksa sebanyak 241,772 kenderaan dan 3,775 kenderaan pula disita dalam operasi berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Ops Warta Trafik turut dilancarkan pada 25 November lalu dan hasil operasi itu, sebanyak RM466,140 kompaun berjaya dikutip dan 396 saman serta 1,102 waran diselesaikan pengguna.

Katanya, sebanyak 48 operasi berjaya dijalankan dengan 16,594 orang dan 13,530 kenderaan diperiksa.

"Kita turut menjalankan operasi membanteras kegiatan lumba haram dengan sebanyak 333 operasi digerakkan, 106 orang ditahan, 3,276 kenderaan disita dan 9,567 saman dikeluarkan," katanya.

MDP diminta pasang tanda larangan

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

WEE Jeck Seng (dua dari kiri) memberikan penjelasan kepada pemilik premis bangunan yang mengalami keretakan di Pusat Perdagangan Kukup Laut, Pontian, semalam. - MINGGUAN/MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN 11 Jan. - Majlis Daerah Pontian (MDP) diminta memasang papan tanda bagi melarang orang ramai menghampiri kawasan rumah kedai di Pusat Perdagangan Kukup Laut yang mengalami keretakan pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng yang melawat tempat kejadian pagi ini turut menggesa MDP menempatkan anggota penguat kuasanya untuk memantau keadaan.

Katanya, pemasangan garisan kuning oleh pihak polis masih tidak mencukupi untuk memberikan peringatan atau amaran kepada orang ramai.

"Langkah penguatkuasaan lebih serius perlu diambil memandangkan laporan pasukan perunding daripada Kumpulan Ikram hanya diketahui dalam tempoh dua hingga empat minggu sebelum sebarang keputusan diambil.

"Bagi mengelakkan perkara tidak diingini, sepatutnya tiada lagi pergerakan orang ramai dan pemilik telah mengosongkan premis masing-masing. Kerajaan tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kejadian lebih buruk selepas ini kerana kawasan tersebut telah menjadi kawasan larangan dan ia perlu dipatuhi oleh semua pihak," katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir Jurutera Bangunan MDP, Ahmad Kamal Alias.

Dalam kejadian Khamis lalu, empat daripada 16 pintu kedai tiga tingkat di kawasan komersial Kukup Laut mengalami kerosakan di bahagian tiang serta keretakan di dinding bangunan.

Jeck Seng turut meminta pihak perunding bukan sahaja membuat pemeriksaan ke atas struktur bangunan yang mengalami masalah, malah tindakan sama mesti dilakukan terhadap 39 lagi unit kedai di tiga blok bangunan yang lain.

"Terdapat 55 unit kedai di empat blok yang dibangunkan pada 2007 dengan setiap satu dianggarkan menelan kos RM500,000, namun tidak sampai separuh menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau turut meminta MDP segera mengadakan perjumpaan dengan pemilik bangunan mahu pun penyewa rumah kedai yang terjejas bagi menjelaskan kedudukan sebenar masalah berlaku ke atas bangunan tersebut.

"Jika keputusan merobohkan bangunan menjadi keutamaan, pemilik premis perlu diberi pembelaan yang sewajarnya oleh pihak pemaju memandangkan mereka telah melabur dengan banyak bagi membeli rumah kedai tersebut," katanya sambil turut meminta MDP dan Pejabat Tanah Daerah menangguhkan pembayaran cukai harta dan cukai tanah pada tahun ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved