Ahad, 12 Januari 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Tiada sekolah Tamil akan ditutup - Palanivel

Posted: 12 Jan 2014 03:35 AM PST

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel memberi jaminan bahawa tiada sekolah Tamil yang menghadapi masalah kurang enrolmen pelajar akan ditutup.

Katanya, sekolah itu sebaliknya akan dipindahkan ke kawasan yang mempunyai kadar kepadatan penduduk India yang lebih tinggi.

"Ini adalah janji kerajaan kepada masyarakat India, tiada satupun sekolah Tamil akan ditutup.

"Malah, MIC akan mewujudkan lebih banyak kesedaran supaya lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Tamil," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan barangan perayaan Ponggal kepada penghuni rumah pangsa Sri Pahang di Bukit Bangsar, di sini hari ini.

Palanivel berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah penurunan pelajar di sekolah-sekolah Tamil. - BERNAMA

Lima pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops Tayang di Sandakan

Posted: 12 Jan 2014 02:59 AM PST

KOTA KINABALU 12 Jan. - Lima pendatang tanpa izin dari Filipina ditahan dalam Ops Tayang ketika cuba memasuki negara ini melalui perairan berhampiran Pulau Pamaguan, Sandakan pada Jumaat lepas.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita dewasa berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah bot laju yang dikatakan mengalami kerosakan enjin kira-kira 9.30 malam.

Selepas pemeriksaan dibuat, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pos Kawalan Pulau Pamaguan yang bertugas malam itu mendapati terdapat lima orang yang berada di dalam bot berkenaan yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan disyaki pendatang tanpa izin.

Berdasarkan siasatan awal, pendatang berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Bakungan Besar (wilayah Filipina) menuju ke Sandakan, bahagian pantai timur Sabah, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammad berkata kesemua pendatang tanpa izin itu dibawa ke balai polis Sandakan untuk siasatan lanjut.

Ops Tayang melibatkan anggota pos PGA Pulau Pamaguan yang dipantau oleh Esscom, dilancarkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di Zon Selamat Timur Sabah. - BERNAMA

136 mangsa banjir di Jerantut dan Lipis masih berada di pusat pemindahan

Posted: 12 Jan 2014 02:30 AM PST

KUANTAN 12 Jan. - Seramai 136 orang daripada 26 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pemindahan banjir di Jerantut dan Lipis selepas kediaman mereka dinaiki air, sejak semalam.

Menurut laman sesawang Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa banjir di daerah Lipis adalah seramai 118 orang manakala Jerantut 18 orang.

Pusat pemindahan yang dibuka di Lipis adalah Masjid Bukit Semak, Masjid Kampung Seberang Jelai, Sekolah Kebangsaan Batu Yon, balai raya Kampung Beralas dan balai raya Lentang. Pusat pemindahan di Jerantut adalah balai raya Kampung Paya Teh.

Sementara itu, laluan Jerantut-Kuala Lipis ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air antara 0.5 hingga 1 meter, sejak petang semalam.

Beberapa jalan di kawasan kampung di Jerantut turut dinaiki air iaitu Kampung Belukar di Kuala Tahan, Kampung Gintong dan Tembeling Tengah.

Tiga laluan pula hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja iaitu Pulau Tawar, Durian Hijau, Jerantut-Kuala Tahan di Kampung Paya Garuk dan Jerantut-Maran berhampiran Simpang Jengka 8, Jerantut. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved