Ahad, 12 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kerajaan negeri jangan pilih bulu

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

Reezal Merican

BUKIT MERTAJAM 11 Jan. - Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta tidak bersikap selektif dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap penjaja dan peniaga gerai tidak berlesen di negeri ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan membanteras penjaja tidak berlesen tidak seharusnya tertumpu di sesetengah kawasan dan melibatkan kumpulan peniaga tertentu sahaja.

"Penguatkuasaan mestilah dilaksanakan secara adil dan tidak memilih bulu.

"Selain itu, sebelum mengeluarkan arahan atau notis kepada peniaga supaya menghentikan operasi, saya harap kerajaan negeri dapat mengkaji dan memahami masalah yang akan dihadapi peniaga yang kehilangan mata pencarian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang memberi notis dua hari kepada sekumpulan peniaga yang majoritinya Melayu supaya menghentikan perniagaan gerai makanan dan minuman mereka di Jalan Bukit Mertajam-Kulim dekat sini, pada 8 Januari lalu.

Terdahulu, Reezal Merican hadir berkongsi pandangan sebagai ahli panel dalam Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, aktiviti penguatkuasaan tidak harus tertumpu kepada usaha membersihkan peniaga jalanan tidak berlesen semata-mata sebaliknya kerajaan negeri juga harus memikirkan kaedah terbaik bagi membantu golongan berkenaan.

Ditanya tindakan pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membandingkan kadar enam peratus dalam pelaksanaan GST berbanding Singapura yang memulakan dengan kadar tiga peratus, beliau berkata, perkara itu harus dilihat dalam aspek lebih luas.

Menurut beliau, Singapura memulakan pelaksanaan GST pada kadar tiga peratus pada 1994 iaitu ketika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut masih rendah.

"Kini, keadaan berbeza yang mana negara jiran itu telah meningkatkan kadar cukai GST. Begitu juga dengan negara kita yang melaksanakan GST ketika KDNK berada pada tahap lebih tinggi.

"Jadi, kadar enam peratus itu wajar dan kerajaan tidak melaksanakannya secara tergesa-gesa sebaliknya memberi tempoh selama 17 bulan iaitu sehingga rakyat faham," katanya.

Pemuda UMNO taja kem jati diri pelajar kemahiran

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Hisham Hamid (duduk empat dari kiri) bersama pelajar Institut Teknologi Pkz Maju, Bedong, Kedah yang menghadiri kem jati diri tajaan Pemuda UMNO Balik Pulau, di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, kelmarin.

BALIK PULAU 11 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO Balik Pulau hari ini menaja program kem jati diri kepada kira-kira 20 pelajar Institut Teknologi Pkz Maju, Bedong, Kedah di Tanjung Asam, Teluk Kumbar, di sini.

Ketika merasmikan kem tersebut, Ketua Pemuda UMNO bahagian Balik Pulau, Hisham Hamid berkata, Pemuda sememangnya mengalu-alukan penganjuran program ilmiah bagi meningkatkan taraf pendidikan belia selaras saranan kerajaan yang mahukan pendidikan sebagai satu jalan meningkatkan taraf ekonomi belia terutamanya dalam bidang kemahiran.

"Kerajaan juga telah banyak membantu golongan tercicir dengan menyediakan institut kemahiran dalam membantu belia contohnya, Pusat GiatMara dan institut kemahiran lain," katanya.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Institut Teknologi Pkz Maju, Bedong, Kedah, Kamarudzaman Bakar.

Mengenai program itu, Hisham berkata, ia dilihat sebagai platform kepada remaja dan belia yang sedang menuntut dan juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih mencari hala tuju agar lebih berkeyakinan dalam menjalani kehidupan.

"Apa yang lebih penting dengan kem jati diri seperti ini ia mampu mengeratkan silaturahim sesama Islam dan meletakkan agama sebagai rujukan serta panduan hidup," katanya.

Institut Teknologi Pkz Maju merupakan pusat kemahiran yang mendapat tauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia bagi menjalankan program melatih bakal pengajar di institut kemahiran kerajaan dan swasta.

Bukan kes culik kanak-kanak

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

PULAU PINANG 11 Jan. - Polis negeri ini menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial berhubung kejayaan mematahkan sindiket penculikan kanak-kanak di Butterworth, dekat sini semalam.

Sebaliknya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, operasi yang dimaksudkan itu adalah kejayaan menyelamatkan sebanyak 35 lelaki warga Bangladesh yang diseludup dari negara jiran untuk diperdagangkan sebagai tenaga buruh oleh satu sindiket.

Menurut beliau, menerusi serbuan disertai lebih 20 anggota polis pada pukul 3 petang semalam, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan lemah selepas seminggu dikurung dalam sebuah rumah di Taman Selayang, Sungai Puyu dekat sini.

Tambahnya, semua mangsa berusia antara 20 hingga 45 tahun itu berada dalam keadaan tidak terurus dan sedang menunggu masa untuk diambil pembeli.

Berdasarkan maklumat awam dan risikan, polis menyerbu lokasi berkenaan dan siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini menerusi Padang Besar sebelum dibawa ke negeri ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Awal hari ini, laporan mengenai kejayaan polis negeri ini mematahkan sindiket penculikan kanak-kanak dari seluruh negara disebarkan secara meluas menerusi laman sosial oleh individu tidak dikenali.

Menurut laporan palsu itu, lebih 50 kanak-kanak yang hilang di seluruh negara didakwa berjaya diselamatkan dan laporan tersebut turut menggesa ahli keluarga yang kehilangan saudara-mara membuat rujukan di Ibu Pejabat Polis Kepala Batas.

Dalam pada itu, mengulas serbuan tersebut, Mazlan berkata, pihaknya turut menahan tujuh orang termasuk dua wanita warga Myanmar dipercayai anggota sindiket berkenaan.

Katanya, dalam serbuan itu juga, pihaknya merampas wang tunai, telefon bimbit dan buku catatan kegiatan penyeludupan yang dilakukan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved