Isnin, 14 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


6 termasuk pengedar dadah dicekup

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

Mazlan Lazim menunjukkan paket plastik yang mengandungi pil kuda ketika dirampas dalam Op Cantas Khas dalam sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 14 Okt. - Enam lelaki termasuk seorang disyaki pengedar dadah ditahan dalam Op Cantas Khas yang dijalankan di sekitar Tumpat dan Kota Bharu semalam.

Operasi yang diadakan dari awal pagi sehingga malam tadi itu disertai oleh 250 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 31 tahun dibuat di sebuah rumah di Kampung Geting, Tumpat yang membawa kepada penemuan beberapa jenis dadah terdiri daripada pil kuda, heroin dan syabu.

Dalam serbuan itu, polis menemui sembilan paket plastik berisi 1,065 biji pil kuda, satu botol mengandungi serbuk putih dipercayai heroin dan enam paket plastik cerah mengandungi hablur jernih disyaki syabu.

Lelaki tersebut ditahan di bawah Seksyen 39B Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, manakala perintah tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Tumpat esok," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan perjalanan Op Cantas Khas, di sini malam tadi.

Menurut beliau, pemeriksaan urin mendapati suspek positif mengambil pil kuda dan turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau iaitu dua di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, masing-masing satu rekod di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta satu lagi di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mazlan berkata, dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 9 malam di sebuah kafe siber di Pendek, Kota Bharu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 19 tahun selepas suspek didapati menggunakan sebuah motosikal curi.

Beliau berkata, seorang pemuda berusia 23 tahun turut ditahan di kawasan berhampiran kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pecah rumah.

Tiga lagi pemuda ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Sultan Yahya Petra pada pukul 10 malam. Seorang suspek berusia 36 tahun dikehendaki polis Johor kerana pernah melarikan diri daripada sekatan polis.

Dua lagi suspek berusia 20-an ditahan kerana memiliki senjata tajam dalam kenderaan dan gagal dalam ujian urin," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan Op Cantas Khas di Kelantan, Mazlan berkata, setakat ini, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 32,532 individu dan menahan 926 individu.

Bagi tempoh sama, katanya, polis telah merampas 12 laras senjata api buatan sendiri, 39 senjata berjadual seperti pisau rambo dan buku lima serta menyita 77 kenderaan terdiri daripada motokar dan lain-lain.

Polis tahan suri rumah jual air ketum

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Ibrahim Mohamed Yusoff (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di sebuah rumah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Kedah, semalam.

KUBANG PASU 14 Okt. - Polis menahan seorang suri rumah dan merampas 653 bungkusan daun ketum bernilai RM1,960 dalam serbuan di rumahnya di Kampung Pida 6 Lama, Kodiang di sini awal pagi ini.

Wanita berusia 31 tahun itu bersama suaminya dikatakan menjalankan kegiatan membeli daun ketum daripada penduduk kampung sebelum menjualnya dengan harga dua kali ganda kepada pelanggan di Thailand.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.20 pagi itu, seorang lagi individu dipercayai suami suspek melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis ke rumah mereka.

Lelaki berusia 45 tahun itu pernah dikenakan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan berkaitan daun ketum pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ibrahim Mohamed Yusoff berkata, polis menemui 653 bungkusan daun ketum seberat 98 kilogram di dalam rumah dan sebuah kenderaan pikap jenis Mitsubishi yang diletakkan di bahagian tepi kediaman berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek membeli daun ketum daripada penduduk kampung dengan harga RM10 sekilogram dan menjualnya kepada pelanggan di negara jiran dengan harga RM20 sekilogram.

Suspek dipercayai menjalankan kegiatan haram itu sejak dua tahun lalu. Kerja-kerja membungkus daun ketum dilakukan di rumah mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri itu mampu mengaut keuntungan lumayan mencecah RM15,000 sebulan hasil kegiatan menjual daun ketum.

Katanya, kegiatan membungkus daun ketum dilakukan dua hingga tiga kali seminggu berdasarkan permintaan yang mana setiap permintaan antara 80 hingga 100 kilogram.

Suspek yang mempunyai enam anak itu ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sudah dibebaskan dengan jamin mahkamah sebanyak RM4,000," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Calon adik-beradik tewas

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 14 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di negeri ini mendapat 13 ketua baharu pada pemilihan yang berlangsung kelmarin.

Keputusan itu ekoran terdapat 12 bahagian yang menampilkan calon muka baharu kerana penyandangnya tidak lagi mempertahankan jawatan itu disebabkan faktor umur.

Bahagian itu ialah Lipis, Cameron Highlands, Raub, Bentong, Temerloh, Jerantut, Kuala Krau, Maran, Bera, Paya Besar, Kuantan, Indera Mahkota dan Pekan.

Hanya bahagian Rompin sahaja yang masih mengekalkan kepimpinan Ketua Pemuda yang lama iaitu Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam.

Mohamad Sahfri menewaskan pencabarnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd. Johari Hussain yang juga Exco kerajaan negeri dengan keputusan majoriti enam undi dalam saingan sengit satu lawan satu.

Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Khairul Amin Osman pula gagal dalam percubaannya mempertahankan jawatan itu apabila tewas kepada Saiful Anuar Mokhtar dalam pertandingan tiga penjuru.

Khairul Amin yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) memangku jawatan itu setelah ketuanya, Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi digantung keahlian selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan berkuat kuasa 12 Mac 2009 lalu.

Sementara itu, dua calon adik-beradik yang mencuba nasib merebut jawatan itu tewas kepada lawan masing-masing.

Hazrin Basri yang bertanding di bahagian Kuantan tewas kepada seorang lagi calon Nara@Nikman Nordin manakala adiknya, Hamdie juga tewas dalam pertandingan tiga penjuru di Indera Mahkota yang dimenangi oleh Muhammad Faiz Hashim.

Di Bera, Mohd. Zoolihsan Ahmad yang merupakan Setiausaha Sulit kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya memenangi jawatan tersebut menewaskan seorang lagi calon Asmawi Harun.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, pertandingan empat penjuru di bahagian tersebut menyaksikan Shahruddin Ahmad berjaya memenangi jawatan itu.

Jangan hidupkan fahaman komunisme

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

ISMAIL Mohamed Said (kanan) menyampaikan cek RM5,000 kepada Pengerusi PIBG SMK Jengka 18, Samad Samah dalam Majlis Penyampaian Peruntukan Khas Menteri Pendidikan bagi aktiviti PIBG peringkat Parlimen Kuala Krau di SMK Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 14 Okt. - Rakyat perlu bersatu dalam menentang percubaan pihak tertentu yang ghairah mengagungkan fahaman komunisme bagi tujuan mengubah fakta sejarah negara.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said menegaskan, Perjanjian Hatyai yang ditandatangani antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 hanya menamatkan perjuangan bersenjata PKM.

Katanya, fahaman komunisme masih lagi menjadi ikutan segelintir rakyat sebagaimana dibuktikan dengan isu kematian bekas Setiausaha PKM, Chin Peng.

"Ketegasan kerajaan menghalang membawa masuk jasad dan abu mayat Chin Peng ke negara ini sangat disanjungi majoriti rakyat yang memahami sejarah tanah air ini.

"Penyokong tegar mereka mungkin mewujudkan memorial Chin Peng sebagai tempat pemujaan jika abu mayat dibawa balik dan akan menghidupkan fahaman ideologi itu yang kini dilupai rakyat,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan Peruntukan Khas Menteri Pendidikan Bagi aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) peringkat Parlimen Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsan Kuala Krau di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memuji pendekatan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menyiarkan beberapa siri kezaliman PKM selama 41 tahun yang banyak membawa kemudaratan kepada rakyat.

"Rakyat menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang menegaskan Chin Peng adalah petualang dan pengkhianat negara.

"Ini membuktikan raja-raja Melayu prihatin dan sangat memusuhi fahaman komunis yang menyebabkan rakyat serta negara dalam keadaan huru-hara satu ketika dahulu,'' katanya.

Beliau juga mengingatkan pihak terbabit supaya tidak sesekali cuba mengubah fakta sejarah dengan mengagung-agungkan kezaliman pengganas komunis.

"Chin Peng adalah individu yang membuat dosa sehingga mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan harta benda orang awam,'' katanya.

Jabatan Agama Islam Pahang pantau penyebaran ajaran Syiah

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

KUANTAN 14 Okt. - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan serius di beberapa lokasi di negeri ini yang disyaki menjadi tumpuan pengikut ajaran Syiah di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek berkata, fatwa mengenai pengharaman ajaran syiah itu telah dikuatkuasakan iaitu bukan sahaja melarang menyebar tetapi berpegang pada ajaran itu.

"Kita sedang mengesan dan memantau beberapa lokasi yang dikenal pasti di seluruh negeri ini sebagai tempat berkumpul dan mengadakan pertemuan di antara mereka.

"Ada dalam kalangan pengikut Syiah dari beberapa negeri lain yang menjadikan lokasi tertentu di Pahang sebagai tempat mengadakan pertemuan terutama hari istimewa mereka," katanya di sini baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Bukan aspek penting Kristian'

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh NORLIZAH ABAS, NORAZLITA MOHD. SIES, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini menghadiahkan keputusan yang sangat berharga kepada seluruh umat Islam sempena sambutan Aidiladha apabila tidak membenarkan majalah mingguan, The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Keputusan tersebut disambut dengan laungan kesyukuran dan takbir oleh sebilangan besar orang awam yang hadir di pekarangan Istana Kehakiman diikuti dengan sujud syukur oleh enam peguam yang mewakili majlis agama Islam selaku perayu-perayu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.

Yang turut dinamakan perayu terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah dan Selangor serta Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Kuorum berkenaan mengetepikan keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam (responden) agar The Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Hakim Mohamed Apandi (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) dalam penghakiman bertulisnya setebal 43 muka surat menyatakan, penggunaan kalimah Allah berpotensi menggugat rentak kehidupan masyarakat negara ini.

Pada hemat beliau, penggunaannya memberi kesan terhadap kesucian agama Islam yang termaktub di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan tenteram.

Jelasnya, perkataan aman dan tenteram bertujuan melindungi kesucian Islam bagi menghalang ancaman terhadap agama dan dalam konteks di negara ini, ancaman itu kemungkinan berbentuk penyebaran agama-agama lain kepada umat Islam.

Ujar beliau, hak negeri-negeri untuk menggubal undang-undang bagi memastikan kesucian Islam terpelihara seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan dan sebarang percubaan untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam adalah melanggar undang-undang.

Hakim Mohamed Apandi selanjutnya menyatakan, penyelidikan yang dilakukan terhadap penggunaan bahasa dalam kitab penganut Kristian menunjukkan kalimah Allah (yang merujuk kepada Tuhan) tidak pernah muncul walau sekali pun dalam naskhah berbahasa Ibrani.

Menurut beliau, penyelidikannya juga mendapati, kalimah itu tidak pernah digunakan walau sekali dalam Kitab Taurat dan Zabur atau dalam Injil, malah tidak terkandung dalam Bible berbahasa Greek.

Hakim itu menyatakan, dalam Bible, Tuhan dikenali sebagai Yahweh atau Yah.

Sehubungan itu, beliau menyimpulkan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan agama Kristian dan secara khususnya terhadap Gereja Roman Katolik.

Mahkamah mendapati tiada sebab yang munasabah mengapa responden berkeras benar untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya terutama dalam seksyen bahasa Melayu," ujar beliau.

Hakim Mohamed Apandi selanjutnya menyatakan, dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang dihujahkan oleh responden boleh disangkal kerana kebebasan bukan sesuatu yang mutlak.

Beliau menjelaskan, kebebasan perlu dibelenggu bagi mengelak berlaku kekacauan dan anarki dan jika penggunaannya dibenarkan, dikhuatiri boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat, Menteri Dalam Negeri bertindak berlandaskan undang-undang ketika mengeluarkan arahan bertarikh 7 Januari 2009 yang melarang The Herald menggunakan kalimah tersebut dalam seksyen bahasa Melayunya.

Hakim Mohamed Apandi berpendapat, menteri berkenaan tidak bertindak dalam keadaan yang memerlukan campur tangan mahkamah terhadap keputusan yang diambil itu.

Ujar beliau, mahkamah berpuas hati bahawa menteri tersebut telah menimbang keterangan yang mencukupi berdasarkan fakta dan keadaan kes itu ketika melaksanakan tugasnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Belum ada kata sepakat dalam kalangan Kristian

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

PUTRAJAYA 14 Okt. - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Zawawi Salleh menyatakan, pandangan Gereja Roman Katolik berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald tidak semestinya membayangkan pandangan komuniti penganut Kristian secara keseluruhan.

Beliau berpendapat, persoalan untuk menterjemah perkataan Tuhan kepada Allah masih dipertikaikan dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Kristian di seluruh dunia.

Hakim Mohd. Zawawi berkata, sebilangan mubaligh pula cenderung untuk menolak terminologi dan kebudayaan tertentu yang mereka tafsirkan sebagai Islamik.

Ujarnya, perkara itu terbukti apabila seruan seorang penganut Roman Katolik di Belanda, Tiny Muskens pada 2007 agar penganut agama itu menggunakan kalimah Allah dibantah oleh penganut Kristian Protestan dan Kristian Katolik.

Menurut hakim berkenaan, ini bermakna, penganut-penganut agama itu masih belum mencapai kata sepakat berhubung penggunaan kalimah Allah sama ada dalam pelbagai versi terjemahan Bible atau dalam penggunaan secara umum.

Allah bukan Tuhan seperti yang dirujuk dalam Bible kerana Allah merupakan kata nama khas bagi penganut Islam seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Ikhlas," ujar beliau dalam penghakiman bertulisnya setebal 25 muka surat.

Hakim Mohd. Zawawi menyatakan pandangan itu ketika membenarkan rayuan Kerajaan dan lapan pihak lain berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam versi bahasa Melayu majalah mingguan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, kalimah berkenaan akan membawa risiko salah faham dalam kalangan penganut agama Kristian jika dibenarkan penggunaannya dalam The Herald bagi merujuk kepada Tuhan.

Jelas Hakim Mohd. Zawawi, ajaran Kristian mengamalkan konsep Triniti dan ia tidak serupa dengan agama Islam yang mempercayai keesaan-Nya dan mengamalkannya.

Menurut beliau, perkara itu terbukti melalui pandangan berbeza seorang mubaligh Australia, Brutus Balan bahawa Allah bukan Tuhan yang dinyatakan dalam Bible.

Ujar hakim itu, mubaligh berkenaan menyatakan:

Perkataan yang diimport daripada al-Quran sarat dengan pengertian dan apabila perkataan asing itu digunakan, kita sebenarnya membawa masuk sekali amalannya."

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kesan polonium ditemukan pada baju Arafat

Posted: 14 Oct 2013 11:05 AM PDT

PARIS 15 Okt. - Pasukan pakar radiasi mengesahkan bahawa mereka menemukan kesan polonium pada baju yang pernah digunakan oleh bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat, sekali gus menguatkan dakwaan bahawa beliau memang diracun.

Menerusi laporan yang disediakan oleh The Lancet, pasukan radiasi itu menyediakan maklumat saintifik mengenai penemuan polonium pada barangan milik Yasser.

Bekas pemimpin itu meninggal dunia di Perancis pada 11 November 2004 di usia 75, namun pasukan perubatan tidak dapat mengenal pasti punca kematiannya dan didakwa beliau mati akibat diracun.

Sehubungan itu, kubur Yasser digali semula pada November lalu untuk mengambil sampel bagi mengesahkan sama ada bekas pemimpin itu diracun atau sebaliknya. - AFP

Banjir di Thailand semakin pulih

Posted: 14 Oct 2013 11:01 AM PDT

BANGKOK 15 Okt. - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra semalam berkata, situasi banjir di kebanyakan kawasan di seluruh negara ini semakin pulih dan kerajaan mengarahkan pihak berkuasa untuk memantau keadaan semua penduduk yang terjejas.

Yingluck dijangka melawat kawasan banjir di wilayah timur hari ini, selepas menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet.

Antara daerah yang bakal dilawat pemimpin itu termasuklah daerah Bansang di wilayah Prachinburi, daerah Bangkla dan Bangnampraew di wilayah Chacherngsao.

Situasi banjir tersebut setakat ini telah meragut 42 nyawa dan menjejaskan 42 daripada 77 wilayah di seluruh Thailand. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Ekspo Pertanian UPM kembali

Posted: 13 Oct 2013 09:36 PM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS
Gambar AZMAN ASMAYATIM

ABD. Wahid Haron (tiga dari kiri) dan Pengurus Kanan Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Rosman Zulkifli (tiga dari kanan) pada sidang akhbar di upm baru-baru ini.

BAGI pencinta tumbuh-tumbuhan, buah-buahan mahupun inovasi pertanian, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diadakan pada 25 hingga 30 Oktober ini.

Program yang akan diadakan di Bukit Ekspo, Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyediakan 150 gerai dan mengangkat tema 'Pertanian Bandaran Memupuk Kesejahteraan Rakyat' itu bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Menurut Pengarah Taman Pertanian Universiti (TPU), UPM, Prof. Dr. Abd. Wahid Haron, orang ramai terutamanya pencinta industri pertanian diharap mengambil peluang tersebut untuk memeriahkan ekspo kali ke-37 ini kerana penganjurannya berbeza berbanding pesta konvokesyen di universiti-universiti tempatan lain.

"Masyarakat akan mengetahui idea dan cara pertanian bandaran mudah dan ringkas melalui demonstrasi aktiviti bercucuk tanam yang boleh dipraktikkan di persekitaran halaman rumah.

"Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan usahawan tani moden seperti mana saranan kerajaan sekali gus dapat menjimatkan kos dan dalam masa yang sama mampu menambah pendapatan isi rumah," katanya ketika sidang media di UPM Serdang baru-baru ini.

Jenama Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM menampilkan kelainan menerusi pelbagai pameran dan aktiviti berteraskan pertanian termasuk jualan hasil tani yang tidak terdapat di universiti lain.

Antara aktiviti yang bakal diadakan termasuklah pameran ternakan, lelongan kuda, jualan hasil pertanian termasuk anak pokok buah-buahan seperti durian dan mangga serta hiasan. Turut diadakan pertandingan ikan laga, klinik pertanian dan gubahan orkid.

Tambahnya, Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM kali ini akan dirasmikan pada 25 Oktober oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menjelaskan lebih lanjut beliau memberitahu, pihaknya mensasarkan kehadiran kira-kira 70,000 pengunjung berdasarkan tempoh enam hari program itu berlangsung.

Keyakinan jumlah tersebut berdasarkan tempoh acara yang bakal berlangsung berbanding lima hari pada ekspo sama tahun lalu yang berjaya menarik seramai 50,000 pengunjung.

Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia merupakan media rasmi ekspo tersebut buat tahun kedua berturut-turut.

Untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai ekspo tersebut, orang ramai boleh menghubungi Jawatankuasa Pesta di talian 03-89467301, 03- 89467299 atau 03-89466003.

Bisnes nangka madu

Posted: 13 Oct 2013 09:36 PM PDT

Proses pemilihan nangka dilakukan dengan teliti bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan.

SEPERTI kebanyakan pengusaha lain yang bermula sekadar hobi tidak terkecuali bagi Abdul Halek yang berminat menceburi bidang pertanian dan seterusnya memberi dorongan kepadanya untuk terus membabitkan diri dalam sektor itu.

Oleh kerana ladang yang berada di kawasan berisiko mudah dilanda banjir, bukan mudah bagi Abdul Halek untuk menjaga dan memastikan projek tanaman nangka varieti CJ3 yang diusahakan di atas tanah seluas tujuh hektar (ha) itu berjaya.

Namun, cabaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya, malah dia dianggap sebagai pemangkin untuknya supaya berusaha lebih gigih.

Berkat usaha yang tidak kenal putus asa, bekas kontraktor itu kini mampu berbangga dengan pencapaian muncul pengeluar utama buah berkenaan di TKPM Bera.

Tambahan pula, ladang yang telah berjaya mengeluarkan hasil selama empat tahun ini turut berjaya memasarkan hasilnya ke seluruh daerah Bera dan Pahang.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Bera, Noor Iliana Anour, 33, berkata projek TKPM ini adalah untuk membangunkan kawasan yang kekal bagi pengeluaran buah buahan dan sayur sayuran.

Jelasnya, fokus utama yang akan diberikan melalui program ini adalah penglibatan sektor swasta yang bertindak sebagai syarikat peneraju dan usahawan tani yang berminat dalam pengeluaran bahan makanan yang selamat dan berkualiti untuk pasaran domestik dan eksport.

Seramai 13 peserta dipilih bagi membangunkan TKPM ini yang mendapat tanah yang diperuntukkan daripada pihak kerajaan negeri di samping mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan dari segi infrastruktur.

"Pemilihan peserta yang memenuhi kriteria akan dipilih bagi memastikan peserta yang benar-benar layak sahaja menyertai projek tersebut.

"Kami hanya menyediakan kemudahan dan infrastruktur untuk peningkatan kualiti projek sedia ada," katanya ketika sesi taklimat dan lawatan Agrochallenge ke tapak projek TKPM, di Bera baru-baru ini.

Jelasnya lagi, projek yang dibangunkan sejak 2006 itu mempunyai keluasan keseluruhan sebanyak 80 ha yang mana 50 ha diperuntukkan untuk tanaman nangka, mangga (10 ha) manakala 12 ha untuk tanaman sayur-sayuran.

Selain itu, setiap peserta turut dikenakan bayaran sewa sebanyak RM100 setiap satu ekar selama setahun.

Melihat kepada permintaan nangka madu yang yang meningkat secara mendadak terutama nangka madu jenis Mastura dan CJ33, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Abu Hanipah Majid berkata pihaknya memerlukan lebih ramai lagi pengusaha untuk diketengahkan bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.

"Nangka madu semakin mendapat permintaan yang tinggi, jadi kita perlukan lebih ramai pengusaha bagi meningkatkan pengeluaran.

Jelasnya, dengan adanya penyelidikan berkenaan teknik pembungkusan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menjamin kualiti produk terpelihara, pengusaha sepatutnya tidak perlu bimbang untuk mengeluarkan hasil dalam jumlah yang besar.

"Eksport nangka madu sedang berkembang dan mengorak langkahnya untuk ke pasaran luar negara.

"Kami telah bersedia untuk memasarkan nangka madu ini ke Hong Kong dan Macau," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat kepada peserta Agrochallenge di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Nangka madu bakal menjadi produk pertanian terbaharu negara yang berpotensi untuk menembusi pasaran luar.

Melihat potensi itu, pihaknya juga telah membantu ahli-ahli PPK Temerloh untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan membekalkan anak benih nangka madu untuk digantikan tanaman pokok machang, dimana tidak mendapat pasaran.

Jelasnya, pokok yang lama akan ditebang dan digantikan dengan pokok nangka yang mana tanaman nangka ini boleh menghasilkan pendapatan sekurangnya RM300 sehingga RM400 sebulan.

"Saya menggalakkan lebih ramai pengusaha ladang terutamanya kawasan Temerloh untuk menanam pokok nangka.

"Kita akan bekalkan setiap ahli sebanyak lima anak pokok untuk ditanam di samping saya ada memohon peruntukkan sebanyak RM100 ribu anak pokok untuk diberikan kepada pengusaha yang berminat," katanya.- MASZUREEN HADZMAN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Kalis air

Posted: 13 Oct 2013 09:36 PM PDT

Oleh MASZUREEN HADZMAN

SONY semakin giat menghasilkan telefon pintar dari model Xperia mereka. Terbaru, Sony telah memperkenalkan Xperia Z1 dan model ini merupakan telefon pintar kalis air.

Reka bentuk nipis seakan sama dengan rekaan Xperia sebelum ini tetapi berbeza keupayaannya.

Majlis pelancarannya yang telah diadakan di ibu negara baru-baru ini, turut dibuat secara serentak di beberapa buah negara seluruh dunia.

Sony Mobile menyasarkan untuk berada di dalam tiga kelompok teratas bagi segmen pasaran telefon pintar di rantau Asia Pasifik.

Timbalan Presiden Korporat Sony Mobile, Matthew Lang berkata, keyakinan tersebut berdasarkan produk-produk Sony yang berada di pasaran masa kini dan bakal dilancarkan.

"Kami percaya produk kami mampu menempatkan Sony Mobile berada dalam kelompok tiga teratas di pasaran Asia Pasifik," kata beliau sewaktu pelancaran telefon pintar terbaharu Sony, Xperia Z1 di sini hari ini.

Xperia Z1 dikuasakan dengan bateri berkapasiti 3,000 mAh dan dipacu oleh teras dwi-kembar Qualcomm Snapdragon 800 berkelajuan 2.2Ghz, dengan memori terbina dalaman sehingga 16 gigabit (Gb) dan mempunyai slot kad memori yang mampu ditingkatkan sehingga 64 Gb.

Telefon pintar ini akan memasuki pasaran Malaysia mulai Oktober ini.

Sementara itu,Xperia Z1 itu menampilkan sebuah telefon pintar menyamai reka bentuk Xperia Z juga Xperia ZL di bahagian luar, di bahagian tepi juga di bahagian belakang.

Walau bagaimanapun, kata Lang, pihak Sony masih belum mengumumkan harganya di pasaran dan menambah ia akan diumumkan tidak lama lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Almy maafkan Fizz, harap peminat doakan mereka

Posted: 13 Oct 2013 09:00 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pelakon Almy Nadia mengakui sudah memaafkan bekas kekasihnya yang juga seorang pelakon, Fizz Fairuz dan berharap peminat mendoakan yang terbaik untuk masa hadapan mereka.

Jelas Almy, 27, dia bertindak sedemikian kerana yakin Fizz kini sudah banyak berubah berbanding sebelumnya dan tidak salah baginya untuk memaafkan individu yang sedia untuk berubah.

"Bagi saya tidak guna kami bersengketa kerana bidang ini kecil sahaja. Jika kami bermasam muka adalah lebih sukar untuk berada dalam bidang ini, jadi saya terima permohonan maaf daripada dia.

"Ttentang hubungan antara kami kini, saya tidak mahu memberi sebarang komen kerana saya seorang wanita dan biarlah ia menjadi rahsia buat waktu ini.

"Apa yang boleh saya harapkan adalah masyarakat khususnya peminat agar sentiasa mendoakan yang terbaik sama ada buat saya dan juga Fizz," jelasnya.

Sebelum ini, Almy dan Fizz pernah bercinta selama tujuh tahun tetapi putus di tengah jalan pada sekitar 2011 sebelum Fizz bertunang dengan wanita lain yang kemudian didakwanya sebagai isteri orang. - UTUSAN ONLINE

Aidiladha penuh keinsafan

Posted: 13 Oct 2013 09:36 PM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR dan MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
aziz.itar@utusan.com.my

PADA hari Selasa ini umat Islam seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidiladha dan setiap daripada kita mempunyai pengertian tersendiri dalam menyambut hari mulia itu.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Malah hadis ada menyatakan bahawa, tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban.

Sehubungan itu ramai yang mengambil kesempatan untuk melakukan ibadat korban dan golongan artis pun tidak ketinggalan juga.

Afdlin korban kambing di Madinah

RAMAI orang kata pengarah Afdlin Shauki banyak berubah sejak kebelakangan ini. Dia kini dikatakan lebih cenderung ke arah keagamaan.

Tetapi sebenarnya roh itu sudah lama bertapak dalam jiwa Afdlin yang juga seorang pelakon, penulis skrip dan penyanyi.

Bukan setakat mula menyelitkan elemen-elemen agama dalam karya-karyanya tetapi manifestasi itu sangat jelas terutama seperti tibanya sambutan Hari Raya Aidiladha.

Kata anak seni berusia 42 tahun ini, sejak beberapa tahun lalu dia memang tidak ketinggalan berkorban pada hari itu.

Sejak kira-kira 10 tahun lepas saya memang tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian dalam majlis korban pada Hari Raya Aidiladha. Tahun ini, saya sekali lagi berkorban yang mana saya berkongsi dengan empat adik-beradik dengan mengambil satu bahagian seorang.

Saya dan emak serta adik-beradik yang lain melakukan ibadah korban bersama-sama supaya setiap orang turut mengambil bahagian pada acara itu. Apatah lagi, saya anak sulung jadi saya kena menjadi contoh dalam hal ini," katanya kepada Hits bercakap tentang ibadah korbannya itu.

Ternyata kunjungan Afdlin Shauki ke Gaza, Palestine pada Disember lalu kerana mengikut misi kemanusiaan anjuran Aqsa Syariff banyak meninggalkan kesan ke atas dirinya.

Kunjungannya bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu turut menambahkan lagi rasa keinsafannya.

Malah, pada Mac lalu dia juga buat pertama kalinya sempat mengerjakan ibadah umrah di Mekah bersama ibunya, Fadzilah Jelani, 62.

Pengalaman itu secara tidak langsung turut menambahkan lagi rasa rasa keimanan dalam dirinya bagi melebarkan lagi erti pengorbanan tersebut.

Sewaktu melakukan umrah, saya turut ke Madinahdan sempat berkenalan dengan beberapa pelajar Malaysia. Ketika itu saya dapat idea untuk melakukan ibadah korban pada tahun ini bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi juga Madinah.

Saya telah memberikan sejumlah duit kepada pelajar terbabit untuk berkorban seekor kambing di Madinah untuk Hari Raya Haji tahun ini. Semua urusan itu diuruskan oleh pelajar itu. Itu juga adalah kali pertama saya melakukan ibadah korban di luar negara," ujarnya.

Jelas Afdlin, dia tidak menafikan keutamaan ibadah korban, malah menyifatkan ia sebagai suatu cara bagi mendekatkan diri dengan Allah. Dengan melakukan korban, jiwanya berasa lebih tenang dan rezekinya juga semakin bertambah akhir-akhir ini.

Kata orang kalau kita hendak mendapat sesuatu kita mestilah berkorban terlebih dahulu. Apatah lagi, kalau kita mampu maka memang digalakkan melakukan ibadah korban ini. Saya yakin Allah akan membalas dengan balasan yang lebih baik atas pengorbanan kita itu nanti," komennya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jaga keyakinan rakyat pada UMNO

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

KETIKA UMNO hangat dengan pemilihan parti ketika ini, satu nama besar pemimpin yang telah lulus ujian dengan cemerlang iaitu ketika menangani krisis politik negeri Perak pada 2009, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tidak bertanding.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, ketika ramai yang tidak memberi harapan Barisan Nasional (BN) akan menang di Perak, Zambry berjaya merampasnya daripada pembangkang dan mengembalikan Perak Darul Ridzuan ke pangkuan BN.

Oleh yang demikian, ramai yang tertanya-tanya mengapa beliau, yang disifatkan sudah memenuhi syarat-syarat untuk bertanding, memutuskan untuk tidak berbuat demikian.

Bersama wartawan UTUSAN MALAYSIA, SAYED HESHAM IDRIS dan jurufoto, ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN, Zambry mendedahkan alasan dan pertimbangan beliau di sebalik keputusan untuk tidak bertanding, juga pandangan beliau mengenai suasana pemilihan UMNO ketika ini.

UTUSAN: Mengapa Datuk Seri tidak bertanding pada pemilihan UMNO kali ini?

ZAMBRY: Soalan yang sama pernah dilontarkan kepada saya pada 2009 iaitu sewaktu saya baharu sahaja mengambil alih kepimpinan sebagai Menteri Besar Perak. Ketika itu kedudukan saya sebagai seorang Menteri Besar yang dikatakan berjaya mengembalikan semula kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini (soalan) adalah cepu emas. Ya, saya memikirkan tentang perkara ini, sama ada perlu bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT) atau tidak. Namun akhirnya kerana saya memikirkan saya tetap akan turut hadir atau berada di dalam mesyuarat MT, maka saya membuat keputusan untuk memberi ruang (bertanding) kepada rakan-rakan lain, yang lebih besar potensinya, sama ada mereka yang berjawatan dalam Kabinet atau pun pemimpin muda yang boleh diberikan peluang untuk menjadi ahli MT.

Ruangannya cuma 25 (kerusi MT) dan saya juga memikirkan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan negeri. Insya-Allah saya akan terus membantu di peringkat pusat walaupun tidak bertanding kali ini, dan apabila tiba masanya, saya akan bertanding.

Apabila tidak bertanding, apakah Datuk Seri hilang peluang terbaik untuk berada di pentas politik UMNO?

Saya tidak boleh menolak tafsiran dari kalangan penulis atau penganalisis politik tentang perkara ini. Namun bagi saya, tidak mengapalah (tidak bertanding kali ini) kerana saya percaya nasib dan ketentuan kita akhirnya ditentukan Allah. Kita merancang, kita berdoa, tetapi bukan bermaksud saya hanya menyerah kepada nasib semata-mata. Saya percaya walaupun tidak bertanding (MT), saya masih boleh berbakti kepada parti walaupun tidak berjawatan di peringkat MT.

Dari segi pengalaman dan usia, Datuk Seri dikatakan antara calon yang berpotensi untuk jawatan Naib Presiden. Jadi, mengapa tidak menawarkan diri?

Dari segi faktor umur, mungkin ada yang mengatakan ini adalah waktu yang terbaik (untuk bertanding Naib Presiden).

Namun dari segi faktor masa dan strateginya, adakah ini masa yang terbaik? Hanya kerana disebabkan saya merasakan kali ini adalah peluang terbaik maka saya bertanding, tetapi dalam masa yang sama, Perak sudah ada calon (Naib Presiden) iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Saya tidak mahu mengulangi sejarah lalu di mana ramai calon dari Perak (yang bertanding), menyebabkan tiada satu pun calon (dari Perak) yang pernah menjawat jawatan tertinggi seperti Naib Presiden atau lebih tinggi daripada itu. Datuk Seri Zahid pula adalah abang senior saya, sama-sama dari kilang Pemuda, kami sama-sama jatuh-bangun dalam politik tanah air.

Ada yang berpandangan Datuk Seri layak untuk bertanding Naib Presiden kerana telah diuji ketika krisis politik Perak pada 2009.

Saya tidak mahu mengangkat diri sendiri dengan mengatakan bahawa saya adalah yang selayaknya atau pun tidak. Saya serahkan kepada ahli UMNO untuk membuat penilaian. Apa yang penting ialah kita mahu mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO. Ya, barang kali ketika mengejar jawatan tertinggi dalam parti, apalah maknanya kemenangan kita dalam parti tetapi kita kalah dalam pilihan raya. Soal saya diuji dalam keadaan politik yang paling rumit yang berlaku ketika itu, ia adalah satu perkara yang akan diperhalusi oleh semua.

Saya percaya, keputusan saya tidak bertanding (Naib Presiden) kali ini adalah jalan terbaik untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap UMNO sentiasa dapat dijaga. Jika tidak kali ini, bila lagi (bertanding Naib Presiden)? Saya tidak boleh beritahu kalau hari ini tidak, bila lagi, kerana kita merancang, Tuhan menentukan. Inilah perjalanan politik setiap orang. Kadang kala kita menjangkakan orang ini naik atau orang ini yang langsung tidak diberikan perhatian, tiba-tiba berlaku sebaliknya. Perkara yang menjadi kata kunci kepada semua ini adalah kesungguhan dan keikhlasan kita memberikan yang terbaik kepada parti.

Pada pandangan Datuk Seri, apakah jawatan tiga Naib Presiden perlu dikekalkan?

Saya lihat seolah-olah berlaku polemik dalam kalangan ahli parti hari ini. Ada yang memberikan pandangan pro dan kontra. Jawatan Naib Presiden adalah hak untuk semua yang memikirkan mereka layak memegang salah satu daripada tempat Naib Presiden. Ada enam calon (pemilihan kali ini) yang merasakan mereka layak dan boleh menduduki tempat sebagai Naib Presiden. Maka hari ini kita membahaskan dan memikirkan siapa di antara mereka yang terbaik.

Dalam kempen, biasanya ada kecenderungan mereka yang berkata Naib Presiden perlu dikekalkan kerana memikirkan UMNO baharu sahaja selesai pilihan raya. Manakala golongan lain pula ada yang mengatakan perlunya transformasi. Apa yang penting, perwakilan harus membuat penilaian terbaik. Saya tidak mahu dianggap sebagai orang yang kononnya ada membuat penilaian kepada team itu atau team ini.

Benarkah Datuk Seri ada membuat endorsement mengenai status quo untuk tiga Naib Presiden (dikekalkan)?

Perkara ini hanya dimainkan oleh sesetengah pihak yang kononnya gamat dengan isu endorsement ini. Biasalah suasana kempen sebegini. Tuduhan seperti ini dilemparkan kepada sesiapa sahaja dari kelompok yang merasakan mereka tidak senang dengan kedudukan yang ada di satu-satu negeri. Ini perkara biasa, tetapi UMNO Perak memberikan ruang sebaik-baiknya kepada semua calon bertanding.

Jangan lupa, Perak adalah negeri pertama yang mengadakan program pengenalan calon. Kita tidak menyekat mana-mana calon, malah semua calon memaklumkan kepada saya bahawa mereka berada di Perak. Saya anggap ini adalah satu proses pemilihan dalam keluarga, jadi mengapa kita perlu sekat orang itu, sekat orang ini.

Apa pandangan Datuk Seri mengenai transformasi pemilihan kali ini yang begitu terbuka?

Pemilihan kali ini mungkin merupakan satu eksperimen untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang benar-benar demokratik sehinggakan pemilihan dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi. Namun sukar untuk saya membuat penilaian pada tahap ini, tetapi saya yakin proses pemilihan kali ini akan memberikan gambaran jelas apakah eksperimen ini benar-benar berkesan atau memberi kesan yang lebih parah kepada masalah-masalah dalam parti. Saya lihat satu analisis perlu dilakukan selepas pemilihan.

Apakah aspek utama yang perlu dianalisis selepas pemilihan nanti?

Kita perlu melihat sejauh mana keberkesanan sistem pemilihan ini kerana apabila diberi ruang untuk bertanding, apakah masalah politik wang dapat diatasi.

Kalau dahulu ia (politik wang) mungkin berlegar di sekitar 2,700 ke 3,000 perwakilan sahaja, tetapi kali ini ia mungkin berlegar di sekitar 146,000 orang (perwakilan), soalnya apakah ia (politik wang) tidak berlaku lagi? Keduanya, soal mereka yang hendak bertanding. UMNO memberikan ruang sehingga ke peringkat akar umbi, tiada lagi syarat-syarat (sistem kuota) seperti dahulu.

Namun, persoalannya dalam kita memberikan isyarat yang baik dalam memilih pemimpin, tentunya tidak semua orang begitu mudah boleh menawarkan diri untuk jawatan seperti Presiden contohnya. Jawatan Presiden adalah suatu yang serius dan penting. Demikian juga dengan Timbalan Presiden. Perkara ini harus dianalisis.

Ada calon-calon yang kurang berpuas hati dengan sistem pemilihan kali ini, apa komen Datuk Seri?

Dalam proses pemilihan yang begitu besar sudah pasti ia tidak terlepas daripada masalah. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun ada masalah. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak keluar daripada kelemahan. Bagi saya, belajarlah. Ada kelemahan kita perbaiki, jangan biarkan begitu sahaja. Ibu Pejabat UMNO perlu mengumpul semua maklumat ini supaya dapat diperbaiki kelemahan.

Pemilihan sayap UMNO baharu sahaja selesai. Apa nasihat Datuk Seri kepada golongan muda dalam Pergerakan Pemuda dan Puteri?

Saya dari kilang Pemuda. Saya tidak mahu katakan Pemuda harus ikut zaman kita, Puteri kena ikut zaman Azlina (bekas Ketua Pergerakan Puteri Datuk Seri Azalina Othman Said).

Pertamanya, Pemuda dan Puteri ada cabaran mereka sendiri. Mereka ini mewakili satu generasi yang akan menjadi penerus dan pewaris kepada perjuangan parti.

Keduanya, tidak salah jika mereka bercita-cita. Mungkin ada yang berkata, orang muda kena tunggu giliran. Saya tidak percaya aspek itu. Itu hanya alasan untuk menidakkan golongan muda yang mahu terlibat secara aktif dalam politik. Tidak salah mereka bercita-cita besar, cuma dalam masa yang sama, jagalah hubungan dengan orang lama.

Ketiganya, binalah idealisme perjuangan. Jangan lari dari asas kita.

Benarkah orang muda hari ini semakin menjauhkan diri daripada UMNO?

Saya lihat ya dan tidak. Ya, mungkin sebab hasutan dari segi apa yang dipaparkan kepada mereka hanyalah persepsi. Tidak, kerana bagi saya untuk menyatakan keseluruhan orang muda tidak menyokong UMNO tidak benar, kerana dalam konteks di luar bandar dan kampung-kampung misalnya, 53 peratus orang muda menyokong kita dalam pilihan raya lalu.

Namun kita jangan ambil mudah, kerana cabaran kita berbeza, anak muda hari ini berbeza, mereka terdedah kepada maklumat dan berita di media sosial yang mereka lihat setiap hari. Cabaran ini sangat besar. Fahamilah bahasa dan nuansa orang muda kalau mahu mereka sokong kita.

Mengapa orang akademik profesional lebih selesa di pentas pembangkang?

Jawapannya mudah, suara mereka didengar. Sedangkan di dalam UMNO mereka terpaksa bertarung habis-habisan dan kadang kala mereka tewas di pertengahan jalan. Mereka mahu memberikan sumbangan bakti kepada UMNO, ini yang saya dengar. Umpamanya saya dengar ada yang mahu bertanding di peringkat cawangan pun tak boleh, akhirnya ia akan berterusan menimbulkan kekecewaan. Saya tidak menafikan ada juga yang berjaya.

Kita harus melihat bagaimana UMNO 67 tahun dulu juga bermula daripada gerakan mereka yang cerdik pandai seperti guru-guru, para peguam, doktor, cendekiawan dan diikuti pensyarah di universiti ketika itu dan kini sudah ada golongan korporat. Tetapi hari ini ada yang melihat golongan muda dan cendekiawan ini sebagai ancaman masa depan kepada kedudukan kita yang selesa. Kita perlu berani dan bersama dengan golongan ini. Tetapi jangan pula kita lupa pada golongan akar umbi yang tetap setia dengan kita.

Datuk Seri mengharungi karier politik yang panjang. Apakah ini menjadikan satu kelebihan atau melambatkan karier politik Datuk Seri?

Saya adalah pemimpin akar umbi. Saya manusia kecil yang bertatih dalam politik. Saya bermula sebagai ahli di cawangan, ahli jawatankuasa (AJK) cawangan, bergerak menjadi AJK Pemuda bahagian dan ketua Pemuda bahagian. Selepas itu Exco Pemuda UMNO, Ketua Pergerakan Pemuda Perak dan bertanding Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), menjadi Exco seterusnya sebagai Menteri Besar.

Saya menjalani karier politik dengan penuh sabar, kerana saya tahu itulah kedudukan saya ketika itu. Semua itu sebenarnya mematangkan saya. Ia memberikan saya pengalaman untuk mengemudi perjuangan termasuk ketika menghadapi krisis politik di Perak pada 2009, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara. Saya tidak kata saya yang terbaik, tetapi saya cuba melaksanakan yang terbaik, biarlah rakyat menilai.

Menjelang pemilihan peringkat bahagian UMNO Sabtu ini khususnya bagi negeri Perak, apa nasihat Datuk Seri?

Dalam konteks negeri Perak, saya harap pemilihan berlangsung dalam suasana kekeluargaan, jangan anggap pertandingan ini seperti berpatah arang berkerat rotan. Pemilihan ini akan menguji kematangan kita dalam berpolitik khususnya untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Perlu diingatkan selepas pemilihan nanti, kita akan kembali kepada kehidupan biasa dan ke mana kita selepas itu? Adakah kita akan terus bercakap soal pemilihan peringkat pusat atau bahagian? Perhatian yang lebih besar, adakah kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang, yang sekali lagi akan menyaksikan pertarungan hidup mati kita.

Ke mana karier politik Datuk Seri selepas ini?

Biarlah soalan itu berakhir dengan satu tanda soalan.

Semarakkan ibadat sambut Aidiladha

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
pengarang@utusan.com.my

PADA setiap 10 Zulhijjah iaitu hari ini, umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha iaitu satu lagi hari kebesaran dalam Islam selain Hari Raya Aidilfitri.

Alhamdulillah, kita dapat menyambut perayaan ini dalam keadaan aman damai serta rezeki yang melimpah ruah dalam negara yang tercinta ini. Semoga Allah memelihara nikmat dan keamanan yang kita kecapi ini.

Dalam masa yang sama iaitu pada 9 Zulhijjah, jutaan jemaah haji akan berada di Arafah untuk berwukuf bagi menyempurnakan rukun haji. Wukuf bermaksud berhenti atau berada di Padang Arafah pada masa yang ditetapkan.

Wukuf sangat penting kerana Nabi SAW bersabda: Haji itu mesti berwukuf di Arafah". (riwayat Nasai dan Tirmidzi)

Malangnya, masih ramai dalam kalangan kita yang tidak memberi perhatian kepada beberapa amalan sunat lain yang terkandung dalam Aidiladha.

Walhal Aidiladha menyediakan banyak peluang untuk kita melakukan pelbagai ibadat sunat dalam usaha mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada sepuluh Zulhijjah". (riwayat Abu Hurairah).

Apabila tiba 10 Zulhijjah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Korban, maka hendaklah menggandakan usaha melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.

Dari segi bahasa korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya". (riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah iaitu pada hari nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah).

Dalam kemeriahan melakukan ibadat korban, mari kita memperbaiki ibadat sunat muakkad di dalamnya. Di Malaysia, kebanyakan penduduk taman perumahan di kampung atau di bandar menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah.

Apa yang perlu diperhalusi adalah dalam segi sifat ihsan kita semasa menyembelih haiwan sama ada lembu, kambing mahu pun unta. Janganlah kita melakukan penyeksaan tanpa disedari. Antaranya duduk di atas haiwan tersebut, menindih badannya dengan pelbagai jenis kayu, menjatuhkannya dengan kasar dan lebih kejam lagi melapahnya sebelum ia benar-benar mati.

Begitu juga dengan petugas dan penerima daging korban. Jangan hendaknya belum pun selesai kerja-kerja memotong daging korban, ekor lembu sudah hilang atau ada yang mengambil daging melebihi daripada yang sepatutnya.

Berhati-hatilah supaya usaha kita membantu kerja-kerja menyembelih haiwan korban yang sepatutnya mendapat ganjaran pahala bertukar kepada beroleh dosa gara-gara mengambil hak orang lain.

Selain itu, marilah kita mengamalkan lain-lain perkara sunat semasa Hari Raya Aidiladha seperti berikut:-

* Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.

* Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.

* Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.

* Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.

* Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat hari raya.

* Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.

* Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.

* Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).

* Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.

* Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.

* Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

* Elakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah syarak.

Kita juga digalakkan banyak membaca doa Nabi Yunus iaitu Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.

Ketika ditelan oleh ikan nun, dalam kegelapan malam dan kegelapan lautan, Nabi Yunus berdoa dengan doa ini. Lalu, Allah menyelamatkannya dan ikan itu memuntahkannya.

Selain itu, kita disunatkan memperbanyakkan bertakbir sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda: Hiasilah hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)". (riwayat al-Tabrani).

Aidiladha adalah bagi mengikis kelekaan terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau sanggup mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

Namun, bukanlah wang ringgit yang dibelanjakan untuk membeli lembu dan kambing korban itu yang menjadi ukuran. Sebaliknya, keikhlasan pada mereka yang mengerjakan ibadat itu menjadi penentu diterima atau tidak amalan tersebut.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Daging-daging korban serta darahnya sekali-kali tidak akan dapat mencapai (keredaan Allah SWT, tetapi ketakwaan (orang yang menunaikan ibadah korban) itulah yang dapat mencapainya, demikianlah Allah SWT telah menunjukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah kerana (memberi) hidayahnya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang berbuat baik. (al-Hajj: 37).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Perlu hadir sesi taklimat - PKB

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

TIGA penduduk Kampung Baru kelihatan tertarik dengan ilustrasi artis berhubung pelan cadangan pembangunan Kampung Baru selepas menghadiri sesi taklimat khas di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur kelmarin.
Gambar : Aizzul A.Majid / Pem : Aimy (KOTA)

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Taklimat khas yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) kepada pemilik dan pewaris hartanah merupakan medan untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai perancangan yang akan dilakukan ke atas kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharuddin Abdullah berkata, penduduk dan pihak-pihak berkepentingan perlu menghadiri sesi taklimat yang diadakan secara bersiri itu bagi mengelakkan mereka mendapat maklumat yang salah.

"Pembangunan semula Kampung Baru memerlukan kerjasama semua pihak dan mereka perlu memahami dan menerima maklumat tepat mengenai projek itu sebelum mencapai sesuatu keputusan.

"Bagi mereka yang kurang faham dengan apa yang dirancang terhadap kawasan ini berpunca daripada mendapat maklumat daripada pihak ketiga sekali gus mengganggu kelancaran perancangan yang telah dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan penerangan dalam sesi taklimat khas kepada penduduk dan pewaris tanah Kampung Baru di Dewan Kelab Sultan Sulaiman semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi PKB, Datuk Astaman Aziz dan Pengerusi Majlis Penasihat PKB, Datuk Mohd. Khay Ibrahim.

Taklimat kepada penduduk Kampung Paya itu adalah siri keempat yang diadakan oleh PKB untuk menjelaskan hala tuju dan inisiatif yang ada dalam pembangunan semula kawasan itu.

Terdapat tujuh buah kampung di Kampung Baru termasuk Kampung Paya. Tiga lagi siri taklimat khas itu telah dilaksanakan di Kampung Periuk dan Kampung Ujong Pasir.

Sesi seterusnya akan dibuat di Kampung Atas A, Kampung Atas B dan Kampung Pindah.

Tambah Naharuddin, tahap keyakinan pewaris tanah di situ juga mula meningkat selepas menghadiri sesi taklimat yang diadakan termasuk mengadakan perbincangan di pejabat PKB sebelum ini.

"Ini adalah saluran rasmi PKB, dengan adanya sesi taklimat ini pelbagai persoalan atau penyelesaian dapat dicari secara bersama untuk menjayakan apa yang telah dirancangkan.

"Ini juga landasan bagi PKB mendapatkan cadangan untuk ditambah dalam pelan induk pembangunan yang akan dimuktamadkan pada April 2014," ujarnya.

Golongan muda digalak cebur perniagaan

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri), menyerahkan plak tandatangan perasmian kepada Ibrisam Daud selepas merasmikan kedai motosikal S4M Motorsport sambil diperhatikan oleh selebriti jemputan, Datuk Rosyam Nor (kanan) dan Maznah Zulkifli (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Golongan muda digalak supaya menceburkan diri ke dalam bidang perniagaan bagi mewujudkan rantaian perniagaan yang kuat di kalangan bumiputera.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, golongan muda bumiputra harus berani untuk menjalankan perniagaan tidak kira kecil mahupun besar.

"Apabila wujud ramai usahawan muda, ekonomi negara tidak lagi dimonopoli oleh sesetengah pihak sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan bilik pameran S4M Motorsport di sini semalam.

Tengku Adnan berkata, pembukaan kedai motosikal berkuasa tinggi itu merupakan satu usaha yang perlu dicontohi oleh golongan muda di negara ini dan diharap mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengurus Operasi S4M Motorsport, Ibrisam Daud berkata, perniagaannya turut menawarkan pelbagai perkhidmatan menarik seperti memberi nasihat teknik keselamatan menunggang motosikal dan juga bengkel.

"Selain itu kami juga menawarkan pelbagai jenis aksesori dan alat ganti," katanya.

Prasarana tubuh unit integriti

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana) menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar syarikat tersebut menubuhkan sebuah unit pengurusan integriti bagi memastikan ketelusan perkhidmatannya.

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam berkata, sehubungan itu, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan SPRM secara lebih mendalam mengenainya.

"Jika perlu kita akan pelajari daripada amalan terbaik di seluruh dunia," katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Oktober sebagai bulan integriti Kumpulan Prasarana di Kelana Jaya dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar.

Terdahulu, Abu Kassim dalam ucapannya berkata, beliau tertarik dengan perkhidmatan syarikat pengurusan pengangkutan Amerika Syarikat, Metropolitan Transportation Authority (MTA) yang mempunyai unit pengurusan integriti yang dikenali sebagai Office of Inspector General (OIG) serta mencadangkan Prasarana melakukan perkara sama.

Abu Kassim turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 11 kakitangan Prasarana yang dilantik sebagai Duta Integriti.

Menurut Abu Kassim, antara tanggungjawab OIG ialah menyemak latar belakang syarikat yang berurusan bersama MTA bagi memastikan ketelusan kedua-dua pihak.

Pada majlis tersebut, Ab

Dalam pada itu, Ismail berkata, Prasarana juga bercadang untuk menghebahkan laporan secara tahunan mengenai salah laku kakitangan syarikat terbabit sekiranya mereka melakukan kesalahan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Ekonomi Mersing bakal melonjak

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kiri) menekan butang elektronik sebagai gimik merasmikan Majlis Perasmian Empower ECER Mersing, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, Johor, semalam, - utusan/AMIN FARIJ HASAN

MERSING 13 Okt. - Dua projek pembangunan modal insan yang diperkenalkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dikenali Program Empower bukan sahaja mampu meningkatkan status sosioekonomi penduduk tempatan malah dapat memperkukuh peranan serta kedudukannya dalam sektor pelancongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua projek berkenaan iaitu Pusat Pembinaan dan Penyelenggaraan Bot serta Terminal Jahitan di Kampung Pengkalan Batu dan pembinaan medan ikan bakar di Sungai Endau dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, program yang dilaksana menerusi Empower ECERDC itu akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan sejajar Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi di negara ini.

"Setakat ini lebih 22,000 penduduk di kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mendapat manfaat daripada program Empower ECERDC, malah beberapa peserta yang mendapat latihan kemahiran dan keusahawanan program itu dilaporkan berjaya mendapat pendapatan mencecah RM5,000 sehingga RM20,000.

"Saya berharap kejayaan yang sama akan turut dicapai oleh peserta Empower ECERDC di Mersing," katanya ketika berucap merasmikan Empower ECERDC Mersing dan Program Pembangunan Modal Insan ECER di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Empower ECERDC sebelum ini telah dilaksana di 10 buah lokasi dan Mersing merupakan lokasi ke-11 pelaksanaan program berkenaan dengan program latihan kemahiran dan keusahawanan membabitkan penyertaan seramai 800 peserta.

Katanya, kerajaan sentiasa memastikan pembangunan bukan sahaja dilaksanakan di bandar-bandar besar tetapi secara menyeluruh termasuk di luar bandar bagi memastikan semua golongan mendapat manfaat daripada nikmat pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John, berkata, selain dua projek itu ECERDC turut melaksana pelbagai projek kegiatan pelancongan di daerah ini termasuk kajian ekopelancongan Taman Negara Endau-Mersing serta meningkatkan infrastruktur dan kemudahan asas di gugusan kepulauan di daerah ini.

"Semua projek itu dijangka membantu merancakkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan di Mersing seterusnya akan membawa kesan limpahan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

22 Ketua Wanita UMNO kekal kerusi

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Noraini Ahmad, Hamimah Mansor, Sharifah Azizah, Asiah Md. Ariff

JOHOR BAHRU 13 Okt. - Seramai 22 daripada 26 penyandang jawatan Ketua Wanita UMNO di negeri ini berjaya mengekalkan jawatan masing-masing dalam pemilihan parti itu semalam.

Daripada jumlah tersebut, 12 menang tanpa bertanding termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Asiah Md. Ariff di UMNO Bahagian Kota Tinggi; bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Hamimah Mansor.

Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain turut berjaya mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kluang apabila menewaskan Haslina Mohamad Dom dengan majoriti besar iaitu 184 undi.

Seramai empat daripada penyandang Ketua Wanita bahagian tumpas kepada lawan masing-masing.

Empat penyandang yang tewas ialah Maimunah Sarpah di bahagian Ledang apabila mendapat 218 undi berbanding 322 undi yang diperoleh pencabarnya, Khairin Nisa Ismail.

Turut gagal mempertahankan jawatan ialah Salmah Saffar yang tewas kepada Saadiah Hussin dalam persaingan tiga penjuru di UMNO Bahagian Johor Bahru. Salmah mendapat 114, manakala Saadiah memperoleh 155 undi dan Inzura Isnin hanya meraih 76 undi.

Aminah Abdullah pula tewas kepada pencabarnya, Hasrunizah Hassan di UMNO Bahagian Pontian apabila mendapat 225 berbanding Hasrunizah Hassan yang memperoleh 322 undi. Normah Mohamed yang hanya mendapat 99 undi pula tewas di UMNO Bahagian Tanjung Piai dalam saingan tiga penjuru kepada Zarina Mohamed Bain yang meraih 154 undi dan Norazrina Amir Hamzah dengan 151.

Dalam pada itu, hanya dua penyandang jawatan Ketua Pemuda Bahagian berjaya mempertahankan jawatan masing-masing.

Syahrin Md. Jamaluddin menewaskan Zuraimi Khamis dengan majoriti 28 undi apabila mendapat 166 berbanding 138 undi diperoleh pencabarnya di UMNO Bahagian Tebrau.

Sementara itu, Mohd. Amin Hamidon@Hampon pula mengekalkan jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang apabila menewaskan Zebree Hashim dengan majoriti 39 undi. Beliau mendapat 96 berbanding 57 undi yang diperoleh pencabarnya.

Tiga penyandang yang tewas ialah Azizul Kamar Abdul Rahman di UMNO Bahagian Batu Pahat, Rohazam Shah Ahmad (Pasir Gudang) dan Nasrihat Turiman (Pontian).

Azizul tewas kepada Razmi Ismail, manakala Rohazam dan Nasrihat, masing-masing kalah dalam persaingan dengan Azman Jaafar dan Mohd. Helmi Buang.

Sementara itu, ketujuh-tujuh penyandang Ketua Puteri menang tanpa bertanding di bahagian masing-masing.

Mereka ialah Norul Huda Marsidin di Labis, Rohaizah Ahmad (Pagoh), Fahariyah Nordin (Ledang), Nuriyati Ad. Ithnin (Ayer Hitam), Nor Rashidah Ramli (Sri Gading), Norhafizah Mohamed@Moh (Sembrong) dan Azura Mohd. Afandi (Johor Bahru).

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved