Isnin, 14 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jaga keyakinan rakyat pada UMNO

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

KETIKA UMNO hangat dengan pemilihan parti ketika ini, satu nama besar pemimpin yang telah lulus ujian dengan cemerlang iaitu ketika menangani krisis politik negeri Perak pada 2009, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tidak bertanding.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, ketika ramai yang tidak memberi harapan Barisan Nasional (BN) akan menang di Perak, Zambry berjaya merampasnya daripada pembangkang dan mengembalikan Perak Darul Ridzuan ke pangkuan BN.

Oleh yang demikian, ramai yang tertanya-tanya mengapa beliau, yang disifatkan sudah memenuhi syarat-syarat untuk bertanding, memutuskan untuk tidak berbuat demikian.

Bersama wartawan UTUSAN MALAYSIA, SAYED HESHAM IDRIS dan jurufoto, ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN, Zambry mendedahkan alasan dan pertimbangan beliau di sebalik keputusan untuk tidak bertanding, juga pandangan beliau mengenai suasana pemilihan UMNO ketika ini.

UTUSAN: Mengapa Datuk Seri tidak bertanding pada pemilihan UMNO kali ini?

ZAMBRY: Soalan yang sama pernah dilontarkan kepada saya pada 2009 iaitu sewaktu saya baharu sahaja mengambil alih kepimpinan sebagai Menteri Besar Perak. Ketika itu kedudukan saya sebagai seorang Menteri Besar yang dikatakan berjaya mengembalikan semula kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini (soalan) adalah cepu emas. Ya, saya memikirkan tentang perkara ini, sama ada perlu bertanding di peringkat Majlis Tertinggi (MT) atau tidak. Namun akhirnya kerana saya memikirkan saya tetap akan turut hadir atau berada di dalam mesyuarat MT, maka saya membuat keputusan untuk memberi ruang (bertanding) kepada rakan-rakan lain, yang lebih besar potensinya, sama ada mereka yang berjawatan dalam Kabinet atau pun pemimpin muda yang boleh diberikan peluang untuk menjadi ahli MT.

Ruangannya cuma 25 (kerusi MT) dan saya juga memikirkan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan negeri. Insya-Allah saya akan terus membantu di peringkat pusat walaupun tidak bertanding kali ini, dan apabila tiba masanya, saya akan bertanding.

Apabila tidak bertanding, apakah Datuk Seri hilang peluang terbaik untuk berada di pentas politik UMNO?

Saya tidak boleh menolak tafsiran dari kalangan penulis atau penganalisis politik tentang perkara ini. Namun bagi saya, tidak mengapalah (tidak bertanding kali ini) kerana saya percaya nasib dan ketentuan kita akhirnya ditentukan Allah. Kita merancang, kita berdoa, tetapi bukan bermaksud saya hanya menyerah kepada nasib semata-mata. Saya percaya walaupun tidak bertanding (MT), saya masih boleh berbakti kepada parti walaupun tidak berjawatan di peringkat MT.

Dari segi pengalaman dan usia, Datuk Seri dikatakan antara calon yang berpotensi untuk jawatan Naib Presiden. Jadi, mengapa tidak menawarkan diri?

Dari segi faktor umur, mungkin ada yang mengatakan ini adalah waktu yang terbaik (untuk bertanding Naib Presiden).

Namun dari segi faktor masa dan strateginya, adakah ini masa yang terbaik? Hanya kerana disebabkan saya merasakan kali ini adalah peluang terbaik maka saya bertanding, tetapi dalam masa yang sama, Perak sudah ada calon (Naib Presiden) iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Saya tidak mahu mengulangi sejarah lalu di mana ramai calon dari Perak (yang bertanding), menyebabkan tiada satu pun calon (dari Perak) yang pernah menjawat jawatan tertinggi seperti Naib Presiden atau lebih tinggi daripada itu. Datuk Seri Zahid pula adalah abang senior saya, sama-sama dari kilang Pemuda, kami sama-sama jatuh-bangun dalam politik tanah air.

Ada yang berpandangan Datuk Seri layak untuk bertanding Naib Presiden kerana telah diuji ketika krisis politik Perak pada 2009.

Saya tidak mahu mengangkat diri sendiri dengan mengatakan bahawa saya adalah yang selayaknya atau pun tidak. Saya serahkan kepada ahli UMNO untuk membuat penilaian. Apa yang penting ialah kita mahu mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO. Ya, barang kali ketika mengejar jawatan tertinggi dalam parti, apalah maknanya kemenangan kita dalam parti tetapi kita kalah dalam pilihan raya. Soal saya diuji dalam keadaan politik yang paling rumit yang berlaku ketika itu, ia adalah satu perkara yang akan diperhalusi oleh semua.

Saya percaya, keputusan saya tidak bertanding (Naib Presiden) kali ini adalah jalan terbaik untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap UMNO sentiasa dapat dijaga. Jika tidak kali ini, bila lagi (bertanding Naib Presiden)? Saya tidak boleh beritahu kalau hari ini tidak, bila lagi, kerana kita merancang, Tuhan menentukan. Inilah perjalanan politik setiap orang. Kadang kala kita menjangkakan orang ini naik atau orang ini yang langsung tidak diberikan perhatian, tiba-tiba berlaku sebaliknya. Perkara yang menjadi kata kunci kepada semua ini adalah kesungguhan dan keikhlasan kita memberikan yang terbaik kepada parti.

Pada pandangan Datuk Seri, apakah jawatan tiga Naib Presiden perlu dikekalkan?

Saya lihat seolah-olah berlaku polemik dalam kalangan ahli parti hari ini. Ada yang memberikan pandangan pro dan kontra. Jawatan Naib Presiden adalah hak untuk semua yang memikirkan mereka layak memegang salah satu daripada tempat Naib Presiden. Ada enam calon (pemilihan kali ini) yang merasakan mereka layak dan boleh menduduki tempat sebagai Naib Presiden. Maka hari ini kita membahaskan dan memikirkan siapa di antara mereka yang terbaik.

Dalam kempen, biasanya ada kecenderungan mereka yang berkata Naib Presiden perlu dikekalkan kerana memikirkan UMNO baharu sahaja selesai pilihan raya. Manakala golongan lain pula ada yang mengatakan perlunya transformasi. Apa yang penting, perwakilan harus membuat penilaian terbaik. Saya tidak mahu dianggap sebagai orang yang kononnya ada membuat penilaian kepada team itu atau team ini.

Benarkah Datuk Seri ada membuat endorsement mengenai status quo untuk tiga Naib Presiden (dikekalkan)?

Perkara ini hanya dimainkan oleh sesetengah pihak yang kononnya gamat dengan isu endorsement ini. Biasalah suasana kempen sebegini. Tuduhan seperti ini dilemparkan kepada sesiapa sahaja dari kelompok yang merasakan mereka tidak senang dengan kedudukan yang ada di satu-satu negeri. Ini perkara biasa, tetapi UMNO Perak memberikan ruang sebaik-baiknya kepada semua calon bertanding.

Jangan lupa, Perak adalah negeri pertama yang mengadakan program pengenalan calon. Kita tidak menyekat mana-mana calon, malah semua calon memaklumkan kepada saya bahawa mereka berada di Perak. Saya anggap ini adalah satu proses pemilihan dalam keluarga, jadi mengapa kita perlu sekat orang itu, sekat orang ini.

Apa pandangan Datuk Seri mengenai transformasi pemilihan kali ini yang begitu terbuka?

Pemilihan kali ini mungkin merupakan satu eksperimen untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang benar-benar demokratik sehinggakan pemilihan dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi. Namun sukar untuk saya membuat penilaian pada tahap ini, tetapi saya yakin proses pemilihan kali ini akan memberikan gambaran jelas apakah eksperimen ini benar-benar berkesan atau memberi kesan yang lebih parah kepada masalah-masalah dalam parti. Saya lihat satu analisis perlu dilakukan selepas pemilihan.

Apakah aspek utama yang perlu dianalisis selepas pemilihan nanti?

Kita perlu melihat sejauh mana keberkesanan sistem pemilihan ini kerana apabila diberi ruang untuk bertanding, apakah masalah politik wang dapat diatasi.

Kalau dahulu ia (politik wang) mungkin berlegar di sekitar 2,700 ke 3,000 perwakilan sahaja, tetapi kali ini ia mungkin berlegar di sekitar 146,000 orang (perwakilan), soalnya apakah ia (politik wang) tidak berlaku lagi? Keduanya, soal mereka yang hendak bertanding. UMNO memberikan ruang sehingga ke peringkat akar umbi, tiada lagi syarat-syarat (sistem kuota) seperti dahulu.

Namun, persoalannya dalam kita memberikan isyarat yang baik dalam memilih pemimpin, tentunya tidak semua orang begitu mudah boleh menawarkan diri untuk jawatan seperti Presiden contohnya. Jawatan Presiden adalah suatu yang serius dan penting. Demikian juga dengan Timbalan Presiden. Perkara ini harus dianalisis.

Ada calon-calon yang kurang berpuas hati dengan sistem pemilihan kali ini, apa komen Datuk Seri?

Dalam proses pemilihan yang begitu besar sudah pasti ia tidak terlepas daripada masalah. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun ada masalah. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak keluar daripada kelemahan. Bagi saya, belajarlah. Ada kelemahan kita perbaiki, jangan biarkan begitu sahaja. Ibu Pejabat UMNO perlu mengumpul semua maklumat ini supaya dapat diperbaiki kelemahan.

Pemilihan sayap UMNO baharu sahaja selesai. Apa nasihat Datuk Seri kepada golongan muda dalam Pergerakan Pemuda dan Puteri?

Saya dari kilang Pemuda. Saya tidak mahu katakan Pemuda harus ikut zaman kita, Puteri kena ikut zaman Azlina (bekas Ketua Pergerakan Puteri Datuk Seri Azalina Othman Said).

Pertamanya, Pemuda dan Puteri ada cabaran mereka sendiri. Mereka ini mewakili satu generasi yang akan menjadi penerus dan pewaris kepada perjuangan parti.

Keduanya, tidak salah jika mereka bercita-cita. Mungkin ada yang berkata, orang muda kena tunggu giliran. Saya tidak percaya aspek itu. Itu hanya alasan untuk menidakkan golongan muda yang mahu terlibat secara aktif dalam politik. Tidak salah mereka bercita-cita besar, cuma dalam masa yang sama, jagalah hubungan dengan orang lama.

Ketiganya, binalah idealisme perjuangan. Jangan lari dari asas kita.

Benarkah orang muda hari ini semakin menjauhkan diri daripada UMNO?

Saya lihat ya dan tidak. Ya, mungkin sebab hasutan dari segi apa yang dipaparkan kepada mereka hanyalah persepsi. Tidak, kerana bagi saya untuk menyatakan keseluruhan orang muda tidak menyokong UMNO tidak benar, kerana dalam konteks di luar bandar dan kampung-kampung misalnya, 53 peratus orang muda menyokong kita dalam pilihan raya lalu.

Namun kita jangan ambil mudah, kerana cabaran kita berbeza, anak muda hari ini berbeza, mereka terdedah kepada maklumat dan berita di media sosial yang mereka lihat setiap hari. Cabaran ini sangat besar. Fahamilah bahasa dan nuansa orang muda kalau mahu mereka sokong kita.

Mengapa orang akademik profesional lebih selesa di pentas pembangkang?

Jawapannya mudah, suara mereka didengar. Sedangkan di dalam UMNO mereka terpaksa bertarung habis-habisan dan kadang kala mereka tewas di pertengahan jalan. Mereka mahu memberikan sumbangan bakti kepada UMNO, ini yang saya dengar. Umpamanya saya dengar ada yang mahu bertanding di peringkat cawangan pun tak boleh, akhirnya ia akan berterusan menimbulkan kekecewaan. Saya tidak menafikan ada juga yang berjaya.

Kita harus melihat bagaimana UMNO 67 tahun dulu juga bermula daripada gerakan mereka yang cerdik pandai seperti guru-guru, para peguam, doktor, cendekiawan dan diikuti pensyarah di universiti ketika itu dan kini sudah ada golongan korporat. Tetapi hari ini ada yang melihat golongan muda dan cendekiawan ini sebagai ancaman masa depan kepada kedudukan kita yang selesa. Kita perlu berani dan bersama dengan golongan ini. Tetapi jangan pula kita lupa pada golongan akar umbi yang tetap setia dengan kita.

Datuk Seri mengharungi karier politik yang panjang. Apakah ini menjadikan satu kelebihan atau melambatkan karier politik Datuk Seri?

Saya adalah pemimpin akar umbi. Saya manusia kecil yang bertatih dalam politik. Saya bermula sebagai ahli di cawangan, ahli jawatankuasa (AJK) cawangan, bergerak menjadi AJK Pemuda bahagian dan ketua Pemuda bahagian. Selepas itu Exco Pemuda UMNO, Ketua Pergerakan Pemuda Perak dan bertanding Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), menjadi Exco seterusnya sebagai Menteri Besar.

Saya menjalani karier politik dengan penuh sabar, kerana saya tahu itulah kedudukan saya ketika itu. Semua itu sebenarnya mematangkan saya. Ia memberikan saya pengalaman untuk mengemudi perjuangan termasuk ketika menghadapi krisis politik di Perak pada 2009, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara. Saya tidak kata saya yang terbaik, tetapi saya cuba melaksanakan yang terbaik, biarlah rakyat menilai.

Menjelang pemilihan peringkat bahagian UMNO Sabtu ini khususnya bagi negeri Perak, apa nasihat Datuk Seri?

Dalam konteks negeri Perak, saya harap pemilihan berlangsung dalam suasana kekeluargaan, jangan anggap pertandingan ini seperti berpatah arang berkerat rotan. Pemilihan ini akan menguji kematangan kita dalam berpolitik khususnya untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Perlu diingatkan selepas pemilihan nanti, kita akan kembali kepada kehidupan biasa dan ke mana kita selepas itu? Adakah kita akan terus bercakap soal pemilihan peringkat pusat atau bahagian? Perhatian yang lebih besar, adakah kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang, yang sekali lagi akan menyaksikan pertarungan hidup mati kita.

Ke mana karier politik Datuk Seri selepas ini?

Biarlah soalan itu berakhir dengan satu tanda soalan.

Semarakkan ibadat sambut Aidiladha

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
pengarang@utusan.com.my

PADA setiap 10 Zulhijjah iaitu hari ini, umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha iaitu satu lagi hari kebesaran dalam Islam selain Hari Raya Aidilfitri.

Alhamdulillah, kita dapat menyambut perayaan ini dalam keadaan aman damai serta rezeki yang melimpah ruah dalam negara yang tercinta ini. Semoga Allah memelihara nikmat dan keamanan yang kita kecapi ini.

Dalam masa yang sama iaitu pada 9 Zulhijjah, jutaan jemaah haji akan berada di Arafah untuk berwukuf bagi menyempurnakan rukun haji. Wukuf bermaksud berhenti atau berada di Padang Arafah pada masa yang ditetapkan.

Wukuf sangat penting kerana Nabi SAW bersabda: Haji itu mesti berwukuf di Arafah". (riwayat Nasai dan Tirmidzi)

Malangnya, masih ramai dalam kalangan kita yang tidak memberi perhatian kepada beberapa amalan sunat lain yang terkandung dalam Aidiladha.

Walhal Aidiladha menyediakan banyak peluang untuk kita melakukan pelbagai ibadat sunat dalam usaha mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada sepuluh Zulhijjah". (riwayat Abu Hurairah).

Apabila tiba 10 Zulhijjah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Korban, maka hendaklah menggandakan usaha melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.

Dari segi bahasa korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya". (riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah iaitu pada hari nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah).

Dalam kemeriahan melakukan ibadat korban, mari kita memperbaiki ibadat sunat muakkad di dalamnya. Di Malaysia, kebanyakan penduduk taman perumahan di kampung atau di bandar menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah.

Apa yang perlu diperhalusi adalah dalam segi sifat ihsan kita semasa menyembelih haiwan sama ada lembu, kambing mahu pun unta. Janganlah kita melakukan penyeksaan tanpa disedari. Antaranya duduk di atas haiwan tersebut, menindih badannya dengan pelbagai jenis kayu, menjatuhkannya dengan kasar dan lebih kejam lagi melapahnya sebelum ia benar-benar mati.

Begitu juga dengan petugas dan penerima daging korban. Jangan hendaknya belum pun selesai kerja-kerja memotong daging korban, ekor lembu sudah hilang atau ada yang mengambil daging melebihi daripada yang sepatutnya.

Berhati-hatilah supaya usaha kita membantu kerja-kerja menyembelih haiwan korban yang sepatutnya mendapat ganjaran pahala bertukar kepada beroleh dosa gara-gara mengambil hak orang lain.

Selain itu, marilah kita mengamalkan lain-lain perkara sunat semasa Hari Raya Aidiladha seperti berikut:-

* Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.

* Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.

* Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.

* Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.

* Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat hari raya.

* Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.

* Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.

* Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).

* Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.

* Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.

* Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

* Elakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah syarak.

Kita juga digalakkan banyak membaca doa Nabi Yunus iaitu Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.

Ketika ditelan oleh ikan nun, dalam kegelapan malam dan kegelapan lautan, Nabi Yunus berdoa dengan doa ini. Lalu, Allah menyelamatkannya dan ikan itu memuntahkannya.

Selain itu, kita disunatkan memperbanyakkan bertakbir sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda: Hiasilah hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)". (riwayat al-Tabrani).

Aidiladha adalah bagi mengikis kelekaan terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau sanggup mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

Namun, bukanlah wang ringgit yang dibelanjakan untuk membeli lembu dan kambing korban itu yang menjadi ukuran. Sebaliknya, keikhlasan pada mereka yang mengerjakan ibadat itu menjadi penentu diterima atau tidak amalan tersebut.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Daging-daging korban serta darahnya sekali-kali tidak akan dapat mencapai (keredaan Allah SWT, tetapi ketakwaan (orang yang menunaikan ibadah korban) itulah yang dapat mencapainya, demikianlah Allah SWT telah menunjukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah kerana (memberi) hidayahnya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang berbuat baik. (al-Hajj: 37).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved