Isnin, 14 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


50% muka baharu terajui sayap di Kedah

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Maznah Hamid, Mashitah Ibrahim, Suraya Yaacob

ALOR SETAR 13 Okt. - Hampir 50 peratus daripada 45 jawatan ketua sayap UMNO di Kedah diterajui muka baharu.

Daripada jumlah itu, 12 untuk jawatan ketua Pemuda, Puteri (enam) dan Wanita (empat) setelah berlangsung pemilihan UMNO semalam.

Pertandingan muka baharu bagi jawatan ketua sayap tersebut antaranya disebabkan penyandang Ketua Pemuda dan Puteri UMNO bahagian menawarkan diri bertanding di jawatan lebih tinggi berikutan sudah mencapai had usia 40 tahun iaitu kira-kira 10 penyandang.

Sementara itu, antara calon yang menjadi perhatian dalam pemilihan itu termasuk penyandang Ketua Puteri UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman yang mencipta kejutan apabila terpilih menerajui Ketua Wanita UMNO bahagian tersebut mengenepikan penyandangnya, Meriyam Othman.

Selain itu, Yusmawati Yaacob yang pernah digugurkan daripada jawatan Ketua Puteri UMNO Jerlun dua tahun lalu juga membuat kejutan apabila dipilih semula menyandang jawatan berkenaan.

Seramai 23 penyandang ketua sayap pula berjaya mempertahankan jawatan masing-masing iaitu Ketua Wanita UMNO Kedah, Datuk Maznah Hamid (Jerlun), bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (Baling) dan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob (Pendang).

Hanya empat Ketua Pemuda yang bertanding mempertahankan jawatan mereka iaitu Shafiqrahman Shamsuddin (Kuala Kedah), Mahadzir Abdul Hamid (Sik), Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok) dan Mohd. Mustaffa Shaik Ismail (Kulim/Bandar Baharu).

Bagaimanapun, Shafiqrahman kalah kepada Shahron Nizan Mohamad Zain, menjadikan beliau satu-satunya penyandang Ketua Pemuda bahagian yang tewas.

Pemilihan tersebut juga menyaksikan seramai 11 ketua sayap UMNO bahagian di negeri ini menang tanpa bertanding termasuk jawatan Ketua Wanita iaitu Maznah, Sharifah Maznah Syed Kassim (Alor Setar) dan Norma Awang (Jerai).

Pemilihan sayap UMNO di Kedah semalam melibatkan 15 bahagian yang membabitkan seramai 6,602 perwakilan Pemuda, Puteri (3,243) dan Wanita (10,056).

Hamidah antara 4 Ketua Wanita tewas di Perak

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

Hamidah Osman

IPOH 13 Okt. - Seramai empat penyandang jawatan Ketua Wanita Bahagian UMNO di Perak tewas dalam pemilihan semalam dengan kejutan terbesar Ketua Penerangan Wanita UMNO yang juga calon ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Hamidah Osman gagal mempertahankan jawatannya di Gopeng.

Hamidah yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) tewas kepada bekas Ketua Puteri UMNO Bahagian itu, Juliliyana Mohd. Junid dengan 20 undi.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Mutalib berkata, tiga lagi penyandang Ketua Wanita yang tewas adalah Zanazat Abdul Samad (Bukit Gantang), Arbaisah Othman (Ipoh Barat) dan Datuk Abidah @Abaidah Zainuddin yang hanya mendapat 39 undi berbanding pencabarnya, Aminah Abdul Manaf 239 undi di Bagan Datoh.

Beliau berkata, dalam masa sama, sebanyak sembilan muka baharu memenangi pemilihan Ketua Wanita Bahagian iaitu Larut, Bukit Gantang, Ipoh Barat, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Gopeng, Pasir Salak, Bagan Datoh dan Teluk Intan.

"Empat lagi muka baharu masing-masing menang jawatan Ketua Wanita Bahagian tanpa ditandingi di Lenggong, Parit Buntar, Bagan Serai dan Kampar.

"Tiga bahagian iaitu Taiping, Parit dan Sungai Siput pula menyaksikan penyandangnya menang tanpa bertanding.

"Penyandang Ketua Wanita Bahagian Gerik, Padang Rengas, Tambun, Ipoh Timur, Beruas, Tapah, Lumut dan Tanjung Malim menang tanpa bertanding," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi sayap Pemuda, Mohd. Khusairi berkata, sebanyak 15 bahagian dimenangi calon baharu iaitu di Parit Buntar, Bukit Gantang, Batu Gajah, Kampar, Beruas, Gopeng, Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Sungai Siput, Padang Rengas, Bagan Datoh, Gerik, Tapah dan Pasir Salak.

Menurut beliau, tiga penyandang jawatan Ketua Pemuda Bahagian menang tanpa bertanding di Ipoh Barat, Lenggong dan Bagan Serai.

"Empat penyandang Ketua Pemuda Bahagian menang pemilihan iaitu Ipoh Timur, Parit, Lumut dan Tanjung Malim.

"Tiada penyandang yang tewas manakala Bahagian Tambun dan Taiping menyaksikan Ketua Pemuda Bahagian yang baharu menang tanpa ditandingi," katanya.

Bagi sayap Puteri, beliau berkata, lima penyandang Ketua Puteri Bahagian menang tanpa bertanding (Gerik, Ipoh Barat, Batu Gajah, Tapah dan Teluk Intan), dua penyandang memenangi pemilihan (Sungai Siput dan Kuala Kangsar), satu penyandang tewas (Bagan Serai), lima muka baharu memenangi pemilihan (Lenggong, Bagan Serai, Parit Buntar, Beruas dan Tanjung Malim.

Kata beliau, sebanyak 11 muka baharu Ketua Puteri Bahagian menang tanpa bertanding di Larut, Taiping, Padang Rengas, Tambun, Ipoh Timur, Gopeng, Batu Gajah, Kampar, Pasir Salak, Bagan Datoh dan Lumut.

Batu Gajah mungkin buat pemilihan semula

Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT

IPOH 13 Okt. - UMNO Bahagian Batu Gajah mungkin mengadakan pemilihan baharu untuk jawatan Naib Ketua Pemuda berikutan Salmanjihani Bahari yang sepatutnya menang tanpa bertanding jawatan tersebut dibatalkan pencalonannya semalam kerana kesilapan mengisi borang.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, jawatan tersebut tidak boleh dibiarkan kosong dan perlu diisi segera.

"Perkara ini kita akan serahkan kepada Ibu Pejabat UMNO untuk membuat keputusan sama ada perlu diadakan pemilihan baharu untuk jawatan berkenaan atau cara-cara lain boleh difikirkan oleh ibu pejabat bagi menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya mengenai tindakan 75 orang daripada 212 perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat memboikot mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan itu semalam, Mohd. Khusairi berkata, insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku.

Menurut beliau, meskipun tidak berpuas hati selepas pencalonan calon pilihan mereka, Affendy Harun bagi jawatan Ketua Pemuda ditolak mereka boleh menyuarakan pandangan dalam mesyuarat perwakilan tanpa perlu memboikot.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Pemuda UMNO Ipoh Barat berhubung insiden itu dan akan menghantarnya kepada Ibu Pejabat UMNO untuk tindakan selanjutnya.

Namun, katanya, dari segi amalan UMNO tidak mengambil tindakan terhadap perwakilan yang memboikot mesyuarat perwakilan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved