Isnin, 14 Oktober 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Ekspo Pertanian UPM kembali

Posted: 13 Oct 2013 09:36 PM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS
Gambar AZMAN ASMAYATIM

ABD. Wahid Haron (tiga dari kiri) dan Pengurus Kanan Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Rosman Zulkifli (tiga dari kanan) pada sidang akhbar di upm baru-baru ini.

BAGI pencinta tumbuh-tumbuhan, buah-buahan mahupun inovasi pertanian, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diadakan pada 25 hingga 30 Oktober ini.

Program yang akan diadakan di Bukit Ekspo, Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyediakan 150 gerai dan mengangkat tema 'Pertanian Bandaran Memupuk Kesejahteraan Rakyat' itu bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Menurut Pengarah Taman Pertanian Universiti (TPU), UPM, Prof. Dr. Abd. Wahid Haron, orang ramai terutamanya pencinta industri pertanian diharap mengambil peluang tersebut untuk memeriahkan ekspo kali ke-37 ini kerana penganjurannya berbeza berbanding pesta konvokesyen di universiti-universiti tempatan lain.

"Masyarakat akan mengetahui idea dan cara pertanian bandaran mudah dan ringkas melalui demonstrasi aktiviti bercucuk tanam yang boleh dipraktikkan di persekitaran halaman rumah.

"Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan usahawan tani moden seperti mana saranan kerajaan sekali gus dapat menjimatkan kos dan dalam masa yang sama mampu menambah pendapatan isi rumah," katanya ketika sidang media di UPM Serdang baru-baru ini.

Jenama Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM menampilkan kelainan menerusi pelbagai pameran dan aktiviti berteraskan pertanian termasuk jualan hasil tani yang tidak terdapat di universiti lain.

Antara aktiviti yang bakal diadakan termasuklah pameran ternakan, lelongan kuda, jualan hasil pertanian termasuk anak pokok buah-buahan seperti durian dan mangga serta hiasan. Turut diadakan pertandingan ikan laga, klinik pertanian dan gubahan orkid.

Tambahnya, Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM kali ini akan dirasmikan pada 25 Oktober oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menjelaskan lebih lanjut beliau memberitahu, pihaknya mensasarkan kehadiran kira-kira 70,000 pengunjung berdasarkan tempoh enam hari program itu berlangsung.

Keyakinan jumlah tersebut berdasarkan tempoh acara yang bakal berlangsung berbanding lima hari pada ekspo sama tahun lalu yang berjaya menarik seramai 50,000 pengunjung.

Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia merupakan media rasmi ekspo tersebut buat tahun kedua berturut-turut.

Untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut mengenai ekspo tersebut, orang ramai boleh menghubungi Jawatankuasa Pesta di talian 03-89467301, 03- 89467299 atau 03-89466003.

Bisnes nangka madu

Posted: 13 Oct 2013 09:36 PM PDT

Proses pemilihan nangka dilakukan dengan teliti bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan.

SEPERTI kebanyakan pengusaha lain yang bermula sekadar hobi tidak terkecuali bagi Abdul Halek yang berminat menceburi bidang pertanian dan seterusnya memberi dorongan kepadanya untuk terus membabitkan diri dalam sektor itu.

Oleh kerana ladang yang berada di kawasan berisiko mudah dilanda banjir, bukan mudah bagi Abdul Halek untuk menjaga dan memastikan projek tanaman nangka varieti CJ3 yang diusahakan di atas tanah seluas tujuh hektar (ha) itu berjaya.

Namun, cabaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya, malah dia dianggap sebagai pemangkin untuknya supaya berusaha lebih gigih.

Berkat usaha yang tidak kenal putus asa, bekas kontraktor itu kini mampu berbangga dengan pencapaian muncul pengeluar utama buah berkenaan di TKPM Bera.

Tambahan pula, ladang yang telah berjaya mengeluarkan hasil selama empat tahun ini turut berjaya memasarkan hasilnya ke seluruh daerah Bera dan Pahang.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Bera, Noor Iliana Anour, 33, berkata projek TKPM ini adalah untuk membangunkan kawasan yang kekal bagi pengeluaran buah buahan dan sayur sayuran.

Jelasnya, fokus utama yang akan diberikan melalui program ini adalah penglibatan sektor swasta yang bertindak sebagai syarikat peneraju dan usahawan tani yang berminat dalam pengeluaran bahan makanan yang selamat dan berkualiti untuk pasaran domestik dan eksport.

Seramai 13 peserta dipilih bagi membangunkan TKPM ini yang mendapat tanah yang diperuntukkan daripada pihak kerajaan negeri di samping mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan dari segi infrastruktur.

"Pemilihan peserta yang memenuhi kriteria akan dipilih bagi memastikan peserta yang benar-benar layak sahaja menyertai projek tersebut.

"Kami hanya menyediakan kemudahan dan infrastruktur untuk peningkatan kualiti projek sedia ada," katanya ketika sesi taklimat dan lawatan Agrochallenge ke tapak projek TKPM, di Bera baru-baru ini.

Jelasnya lagi, projek yang dibangunkan sejak 2006 itu mempunyai keluasan keseluruhan sebanyak 80 ha yang mana 50 ha diperuntukkan untuk tanaman nangka, mangga (10 ha) manakala 12 ha untuk tanaman sayur-sayuran.

Selain itu, setiap peserta turut dikenakan bayaran sewa sebanyak RM100 setiap satu ekar selama setahun.

Melihat kepada permintaan nangka madu yang yang meningkat secara mendadak terutama nangka madu jenis Mastura dan CJ33, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Abu Hanipah Majid berkata pihaknya memerlukan lebih ramai lagi pengusaha untuk diketengahkan bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.

"Nangka madu semakin mendapat permintaan yang tinggi, jadi kita perlukan lebih ramai pengusaha bagi meningkatkan pengeluaran.

Jelasnya, dengan adanya penyelidikan berkenaan teknik pembungkusan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menjamin kualiti produk terpelihara, pengusaha sepatutnya tidak perlu bimbang untuk mengeluarkan hasil dalam jumlah yang besar.

"Eksport nangka madu sedang berkembang dan mengorak langkahnya untuk ke pasaran luar negara.

"Kami telah bersedia untuk memasarkan nangka madu ini ke Hong Kong dan Macau," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat kepada peserta Agrochallenge di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Nangka madu bakal menjadi produk pertanian terbaharu negara yang berpotensi untuk menembusi pasaran luar.

Melihat potensi itu, pihaknya juga telah membantu ahli-ahli PPK Temerloh untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan membekalkan anak benih nangka madu untuk digantikan tanaman pokok machang, dimana tidak mendapat pasaran.

Jelasnya, pokok yang lama akan ditebang dan digantikan dengan pokok nangka yang mana tanaman nangka ini boleh menghasilkan pendapatan sekurangnya RM300 sehingga RM400 sebulan.

"Saya menggalakkan lebih ramai pengusaha ladang terutamanya kawasan Temerloh untuk menanam pokok nangka.

"Kita akan bekalkan setiap ahli sebanyak lima anak pokok untuk ditanam di samping saya ada memohon peruntukkan sebanyak RM100 ribu anak pokok untuk diberikan kepada pengusaha yang berminat," katanya.- MASZUREEN HADZMAN

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved