Isnin, 14 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


6 termasuk pengedar dadah dicekup

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

Mazlan Lazim menunjukkan paket plastik yang mengandungi pil kuda ketika dirampas dalam Op Cantas Khas dalam sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 14 Okt. - Enam lelaki termasuk seorang disyaki pengedar dadah ditahan dalam Op Cantas Khas yang dijalankan di sekitar Tumpat dan Kota Bharu semalam.

Operasi yang diadakan dari awal pagi sehingga malam tadi itu disertai oleh 250 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 31 tahun dibuat di sebuah rumah di Kampung Geting, Tumpat yang membawa kepada penemuan beberapa jenis dadah terdiri daripada pil kuda, heroin dan syabu.

Dalam serbuan itu, polis menemui sembilan paket plastik berisi 1,065 biji pil kuda, satu botol mengandungi serbuk putih dipercayai heroin dan enam paket plastik cerah mengandungi hablur jernih disyaki syabu.

Lelaki tersebut ditahan di bawah Seksyen 39B Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, manakala perintah tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Tumpat esok," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan perjalanan Op Cantas Khas, di sini malam tadi.

Menurut beliau, pemeriksaan urin mendapati suspek positif mengambil pil kuda dan turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau iaitu dua di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, masing-masing satu rekod di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta satu lagi di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mazlan berkata, dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 9 malam di sebuah kafe siber di Pendek, Kota Bharu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 19 tahun selepas suspek didapati menggunakan sebuah motosikal curi.

Beliau berkata, seorang pemuda berusia 23 tahun turut ditahan di kawasan berhampiran kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pecah rumah.

Tiga lagi pemuda ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Sultan Yahya Petra pada pukul 10 malam. Seorang suspek berusia 36 tahun dikehendaki polis Johor kerana pernah melarikan diri daripada sekatan polis.

Dua lagi suspek berusia 20-an ditahan kerana memiliki senjata tajam dalam kenderaan dan gagal dalam ujian urin," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan Op Cantas Khas di Kelantan, Mazlan berkata, setakat ini, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 32,532 individu dan menahan 926 individu.

Bagi tempoh sama, katanya, polis telah merampas 12 laras senjata api buatan sendiri, 39 senjata berjadual seperti pisau rambo dan buku lima serta menyita 77 kenderaan terdiri daripada motokar dan lain-lain.

Polis tahan suri rumah jual air ketum

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Ibrahim Mohamed Yusoff (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di sebuah rumah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Kedah, semalam.

KUBANG PASU 14 Okt. - Polis menahan seorang suri rumah dan merampas 653 bungkusan daun ketum bernilai RM1,960 dalam serbuan di rumahnya di Kampung Pida 6 Lama, Kodiang di sini awal pagi ini.

Wanita berusia 31 tahun itu bersama suaminya dikatakan menjalankan kegiatan membeli daun ketum daripada penduduk kampung sebelum menjualnya dengan harga dua kali ganda kepada pelanggan di Thailand.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.20 pagi itu, seorang lagi individu dipercayai suami suspek melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis ke rumah mereka.

Lelaki berusia 45 tahun itu pernah dikenakan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan berkaitan daun ketum pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ibrahim Mohamed Yusoff berkata, polis menemui 653 bungkusan daun ketum seberat 98 kilogram di dalam rumah dan sebuah kenderaan pikap jenis Mitsubishi yang diletakkan di bahagian tepi kediaman berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek membeli daun ketum daripada penduduk kampung dengan harga RM10 sekilogram dan menjualnya kepada pelanggan di negara jiran dengan harga RM20 sekilogram.

Suspek dipercayai menjalankan kegiatan haram itu sejak dua tahun lalu. Kerja-kerja membungkus daun ketum dilakukan di rumah mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri itu mampu mengaut keuntungan lumayan mencecah RM15,000 sebulan hasil kegiatan menjual daun ketum.

Katanya, kegiatan membungkus daun ketum dilakukan dua hingga tiga kali seminggu berdasarkan permintaan yang mana setiap permintaan antara 80 hingga 100 kilogram.

Suspek yang mempunyai enam anak itu ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sudah dibebaskan dengan jamin mahkamah sebanyak RM4,000," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved