Isnin, 14 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Calon adik-beradik tewas

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 14 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di negeri ini mendapat 13 ketua baharu pada pemilihan yang berlangsung kelmarin.

Keputusan itu ekoran terdapat 12 bahagian yang menampilkan calon muka baharu kerana penyandangnya tidak lagi mempertahankan jawatan itu disebabkan faktor umur.

Bahagian itu ialah Lipis, Cameron Highlands, Raub, Bentong, Temerloh, Jerantut, Kuala Krau, Maran, Bera, Paya Besar, Kuantan, Indera Mahkota dan Pekan.

Hanya bahagian Rompin sahaja yang masih mengekalkan kepimpinan Ketua Pemuda yang lama iaitu Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam.

Mohamad Sahfri menewaskan pencabarnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd. Johari Hussain yang juga Exco kerajaan negeri dengan keputusan majoriti enam undi dalam saingan sengit satu lawan satu.

Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Khairul Amin Osman pula gagal dalam percubaannya mempertahankan jawatan itu apabila tewas kepada Saiful Anuar Mokhtar dalam pertandingan tiga penjuru.

Khairul Amin yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) memangku jawatan itu setelah ketuanya, Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi digantung keahlian selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan berkuat kuasa 12 Mac 2009 lalu.

Sementara itu, dua calon adik-beradik yang mencuba nasib merebut jawatan itu tewas kepada lawan masing-masing.

Hazrin Basri yang bertanding di bahagian Kuantan tewas kepada seorang lagi calon Nara@Nikman Nordin manakala adiknya, Hamdie juga tewas dalam pertandingan tiga penjuru di Indera Mahkota yang dimenangi oleh Muhammad Faiz Hashim.

Di Bera, Mohd. Zoolihsan Ahmad yang merupakan Setiausaha Sulit kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya memenangi jawatan tersebut menewaskan seorang lagi calon Asmawi Harun.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, pertandingan empat penjuru di bahagian tersebut menyaksikan Shahruddin Ahmad berjaya memenangi jawatan itu.

Jangan hidupkan fahaman komunisme

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

ISMAIL Mohamed Said (kanan) menyampaikan cek RM5,000 kepada Pengerusi PIBG SMK Jengka 18, Samad Samah dalam Majlis Penyampaian Peruntukan Khas Menteri Pendidikan bagi aktiviti PIBG peringkat Parlimen Kuala Krau di SMK Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 14 Okt. - Rakyat perlu bersatu dalam menentang percubaan pihak tertentu yang ghairah mengagungkan fahaman komunisme bagi tujuan mengubah fakta sejarah negara.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said menegaskan, Perjanjian Hatyai yang ditandatangani antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 hanya menamatkan perjuangan bersenjata PKM.

Katanya, fahaman komunisme masih lagi menjadi ikutan segelintir rakyat sebagaimana dibuktikan dengan isu kematian bekas Setiausaha PKM, Chin Peng.

"Ketegasan kerajaan menghalang membawa masuk jasad dan abu mayat Chin Peng ke negara ini sangat disanjungi majoriti rakyat yang memahami sejarah tanah air ini.

"Penyokong tegar mereka mungkin mewujudkan memorial Chin Peng sebagai tempat pemujaan jika abu mayat dibawa balik dan akan menghidupkan fahaman ideologi itu yang kini dilupai rakyat,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan Peruntukan Khas Menteri Pendidikan Bagi aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) peringkat Parlimen Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsan Kuala Krau di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memuji pendekatan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menyiarkan beberapa siri kezaliman PKM selama 41 tahun yang banyak membawa kemudaratan kepada rakyat.

"Rakyat menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang menegaskan Chin Peng adalah petualang dan pengkhianat negara.

"Ini membuktikan raja-raja Melayu prihatin dan sangat memusuhi fahaman komunis yang menyebabkan rakyat serta negara dalam keadaan huru-hara satu ketika dahulu,'' katanya.

Beliau juga mengingatkan pihak terbabit supaya tidak sesekali cuba mengubah fakta sejarah dengan mengagung-agungkan kezaliman pengganas komunis.

"Chin Peng adalah individu yang membuat dosa sehingga mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan harta benda orang awam,'' katanya.

Jabatan Agama Islam Pahang pantau penyebaran ajaran Syiah

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

KUANTAN 14 Okt. - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan serius di beberapa lokasi di negeri ini yang disyaki menjadi tumpuan pengikut ajaran Syiah di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek berkata, fatwa mengenai pengharaman ajaran syiah itu telah dikuatkuasakan iaitu bukan sahaja melarang menyebar tetapi berpegang pada ajaran itu.

"Kita sedang mengesan dan memantau beberapa lokasi yang dikenal pasti di seluruh negeri ini sebagai tempat berkumpul dan mengadakan pertemuan di antara mereka.

"Ada dalam kalangan pengikut Syiah dari beberapa negeri lain yang menjadikan lokasi tertentu di Pahang sebagai tempat mengadakan pertemuan terutama hari istimewa mereka," katanya di sini baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved