Isnin, 14 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Bukan aspek penting Kristian'

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh NORLIZAH ABAS, NORAZLITA MOHD. SIES, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini menghadiahkan keputusan yang sangat berharga kepada seluruh umat Islam sempena sambutan Aidiladha apabila tidak membenarkan majalah mingguan, The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Keputusan tersebut disambut dengan laungan kesyukuran dan takbir oleh sebilangan besar orang awam yang hadir di pekarangan Istana Kehakiman diikuti dengan sujud syukur oleh enam peguam yang mewakili majlis agama Islam selaku perayu-perayu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.

Yang turut dinamakan perayu terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah dan Selangor serta Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Kuorum berkenaan mengetepikan keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam (responden) agar The Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Hakim Mohamed Apandi (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) dalam penghakiman bertulisnya setebal 43 muka surat menyatakan, penggunaan kalimah Allah berpotensi menggugat rentak kehidupan masyarakat negara ini.

Pada hemat beliau, penggunaannya memberi kesan terhadap kesucian agama Islam yang termaktub di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan tenteram.

Jelasnya, perkataan aman dan tenteram bertujuan melindungi kesucian Islam bagi menghalang ancaman terhadap agama dan dalam konteks di negara ini, ancaman itu kemungkinan berbentuk penyebaran agama-agama lain kepada umat Islam.

Ujar beliau, hak negeri-negeri untuk menggubal undang-undang bagi memastikan kesucian Islam terpelihara seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan dan sebarang percubaan untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam adalah melanggar undang-undang.

Hakim Mohamed Apandi selanjutnya menyatakan, penyelidikan yang dilakukan terhadap penggunaan bahasa dalam kitab penganut Kristian menunjukkan kalimah Allah (yang merujuk kepada Tuhan) tidak pernah muncul walau sekali pun dalam naskhah berbahasa Ibrani.

Menurut beliau, penyelidikannya juga mendapati, kalimah itu tidak pernah digunakan walau sekali dalam Kitab Taurat dan Zabur atau dalam Injil, malah tidak terkandung dalam Bible berbahasa Greek.

Hakim itu menyatakan, dalam Bible, Tuhan dikenali sebagai Yahweh atau Yah.

Sehubungan itu, beliau menyimpulkan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan agama Kristian dan secara khususnya terhadap Gereja Roman Katolik.

Mahkamah mendapati tiada sebab yang munasabah mengapa responden berkeras benar untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya terutama dalam seksyen bahasa Melayu," ujar beliau.

Hakim Mohamed Apandi selanjutnya menyatakan, dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang dihujahkan oleh responden boleh disangkal kerana kebebasan bukan sesuatu yang mutlak.

Beliau menjelaskan, kebebasan perlu dibelenggu bagi mengelak berlaku kekacauan dan anarki dan jika penggunaannya dibenarkan, dikhuatiri boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat, Menteri Dalam Negeri bertindak berlandaskan undang-undang ketika mengeluarkan arahan bertarikh 7 Januari 2009 yang melarang The Herald menggunakan kalimah tersebut dalam seksyen bahasa Melayunya.

Hakim Mohamed Apandi berpendapat, menteri berkenaan tidak bertindak dalam keadaan yang memerlukan campur tangan mahkamah terhadap keputusan yang diambil itu.

Ujar beliau, mahkamah berpuas hati bahawa menteri tersebut telah menimbang keterangan yang mencukupi berdasarkan fakta dan keadaan kes itu ketika melaksanakan tugasnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Belum ada kata sepakat dalam kalangan Kristian

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

PUTRAJAYA 14 Okt. - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Zawawi Salleh menyatakan, pandangan Gereja Roman Katolik berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald tidak semestinya membayangkan pandangan komuniti penganut Kristian secara keseluruhan.

Beliau berpendapat, persoalan untuk menterjemah perkataan Tuhan kepada Allah masih dipertikaikan dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Kristian di seluruh dunia.

Hakim Mohd. Zawawi berkata, sebilangan mubaligh pula cenderung untuk menolak terminologi dan kebudayaan tertentu yang mereka tafsirkan sebagai Islamik.

Ujarnya, perkara itu terbukti apabila seruan seorang penganut Roman Katolik di Belanda, Tiny Muskens pada 2007 agar penganut agama itu menggunakan kalimah Allah dibantah oleh penganut Kristian Protestan dan Kristian Katolik.

Menurut hakim berkenaan, ini bermakna, penganut-penganut agama itu masih belum mencapai kata sepakat berhubung penggunaan kalimah Allah sama ada dalam pelbagai versi terjemahan Bible atau dalam penggunaan secara umum.

Allah bukan Tuhan seperti yang dirujuk dalam Bible kerana Allah merupakan kata nama khas bagi penganut Islam seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Ikhlas," ujar beliau dalam penghakiman bertulisnya setebal 25 muka surat.

Hakim Mohd. Zawawi menyatakan pandangan itu ketika membenarkan rayuan Kerajaan dan lapan pihak lain berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam versi bahasa Melayu majalah mingguan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, kalimah berkenaan akan membawa risiko salah faham dalam kalangan penganut agama Kristian jika dibenarkan penggunaannya dalam The Herald bagi merujuk kepada Tuhan.

Jelas Hakim Mohd. Zawawi, ajaran Kristian mengamalkan konsep Triniti dan ia tidak serupa dengan agama Islam yang mempercayai keesaan-Nya dan mengamalkannya.

Menurut beliau, perkara itu terbukti melalui pandangan berbeza seorang mubaligh Australia, Brutus Balan bahawa Allah bukan Tuhan yang dinyatakan dalam Bible.

Ujar hakim itu, mubaligh berkenaan menyatakan:

Perkataan yang diimport daripada al-Quran sarat dengan pengertian dan apabila perkataan asing itu digunakan, kita sebenarnya membawa masuk sekali amalannya."

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved