Sabtu, 9 November 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Saya sudah bosan dengan FAM

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama atlet cilik ketika merasmikan Kejohanan Taekwondo Antara Kelab di stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, semalam. - MINGGUAN/AIZZUL A.MAJID

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui, beliau sudah bosan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disifatkannya tidak boleh menerima sebarang teguran daripada mana-mana pihak.

Pengakuan terbuka Khairy itu dibuat sebagai mengulas kenyataan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang tersinggung dengan kritikan Menteri Belia dan Sukan itu terhadap FAM.

Saya tidak ada dendam kepada sesiapa, saya tegur FAM atas keprihatinan saya hendak melihat bola sepak maju ke depan, takkanlah persatuan sukan dah jadi kebal. Sampai menteri tak boleh cakap apa-apa.

Ini yang berlaku hari ini, menteri tegur sikit pun hendak kena panggil bekas pemain, lepas itu kritik menteri," katanya kepada pemberita sewaktu merasmikan Kejohanan Taekwando WTF-MSN-Milo Antara Kelab di sini, semalam.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan semalam, Jamal Nasir melahirkan rasa tersinggung beliau apabila ada pihak, apa lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan negara, mengkritik secara melulu seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam badan induk bola sepak itu.

Ekoran kenyataan tersebut, Khairy menegaskan, segala kritikan yang dilontarkan selama ini adalah bertujuan demi kemajuan bola sepak tanah air dan tidak bermaksud untuk membalas dendam kepada sesiapa pun yang berada di dalam kepimpinan FAM.

Menurut Khairy, kritikan yang dilakukan selama ini adalah sebagai bukti yang beliau amat sayangkan bola sepak Malaysia dan mahu melihat sukan nombor satu negara itu terus maju.

Namun, katanya, hasratnya itu telah disalah ertikan apabila dituduh berdendam dengan FAM pula.

Apa ini mengarut, saya cakap bukan sebab saya dendam, saya cakap sebab saya sayangkan bola sepak, saya luahkan apa yang rakyat cakap, tak percaya masuk dalam Facebook, masuk dalam Twitter tengok (rakyat) komen lagi teruk apa yang saya cakap.

Ini saya berlapik lagi, jadi, tolonglah jangan cari orang yang dah tak ada apa-apa dan lepas itu suruh dia cakap, ini bukan dia cakap, ini FAM baling batu sembunyi tangan," tegas beliau.

Malah, ketika ditanya pemberita mengenai kekalahan 0-3 pasukan kebangsaan kepada Kuwait dalam perlawanan persahabatan kelmarin, beliau enggan mengulas mengenai isu tersebut dan sebaliknya meminta pihak media mengajukan persoalan tersebut kepada FAM.

Saya tak tahu, kena tanya FAM, saya cakap nanti, FAM dia panggil semua bekas pemain, seperti Jamal Nasir suruh kritik saya, malas hendak cakap," ujarnya.

Ditanya lagi sama ada beliau tidak mahu lagi memberi komen mengenai FAM selepas ini, Khairy berkata: Saya akan komen dari semasa ke semasa, tapi hari ini saya fed-up dengan FAM."

Orang Kuantan berpesta rai wira Tok Gajah

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA
sukan@utusan.com.my

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bersama Jalaluddin Jaafar (kanan) dan Amirulhadi Zainal (kiri) menjulang Piala Malaysia pada meraikan skuad Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

KUANTAN - Meriah dan cukup bersejarah.

Hanya itu yang mampu menggambarkan kemeriahan bandar Kuantan semalam selepas ribuan peminat memenuhi jalan raya untuk menyaksikan trofi Piala Malaysia diarak bersama wira-wira Tok Gajah.

Kejayaan Pahang menamatkan penantian 21 tahun untuk bergelar juara Piala Malaysia disambut dengan penuh gilang gemilang.

Perarakan mengelilingi bandar menggunakan bas tidak berbumbung bermula di padang Kemunting pada sebelah petang, sebagai simbolik meraikan pasukan Tok Gajah.

Pada sebelah malam pula, lebih 30,000 penyokong memenuhi Stadium Darul Makmur sebagai kemuncak keraikan.

Seawal pukul 7 malam, rata-rata penyokong yang majoritinya memakai jersi kuning Pahang sudah berkumpul di stadium bagi memeriahkan majlis.

Sorakan penyokong mula mengamit suasana selepas barisan pemain Tok Gajah bersama Piala Malaysia diarak masuk dengan mengelilingi stadium, sambil dihiburkan dengan kemunculan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Selain Siti Nurhaliza, penyanyi Indonesia Datuk Rossa turut membuat persembahan yang nyata menghiburkan semua penyokong yang hadir.

Selain nyanyian, turut diadakan perlawanan bola sepak persahabatan antara Veteran Pahang dan pasukan Raja Lawak yang dimemangi oleh Veteran Pahang dengan jaringan 3-1.

Antara artis Raja Lawak yang bermain pada perlawanan persahatan itu adalah

Shuib, Jepp, Amir, Johan, Rahim, Along dan kumpulan Zeero.

Pasukan Veteran Pahang pula disertai oleh Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Azizul Kamaluddin dan Ahmad Yusof.

Sebelum ini, kejayaan Pahang menjulang Piala Malaysia selepas membenam Kelantan 1-0 pada 3 November lalu dikongsi bersama penyokong setia menerusi perarakan di sekitar bandar ini.

Perarakan yang diraikan bersama kira-kira 1,000 penyokong, termasuk kelab penyokong Elephant Army itu bermula pukul 5.30 petang.

Bas yang membawa pemain dan pihak pengurusan dibawa melalui jalan utama iaitu Jalan Mahkota, Jalan Teluk Sisek, Beserah, Jalan Gambut, Jalan Tun Ismail sebelum menghala ke Jalan Haji Ahmad dan berakhir di Stadium Darul Makmur.

Pertunjukan bunga api menjadi kemuncak majlis keraian yang dihadiri oleh seluruh skuad Tok Gajah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kongsi gelap berlindung di negara jiran mula pulang

Posted: 09 Nov 2013 09:40 PM PST

KUBANG PASU 10 Nov. - Polis mendapati anggota kumpulan kongsi gelap yang berlindung di negara jiran akibat tertekan berikutan Op Cantas Khas yang dilancarkan polis pertengahan Ogos lalu mula pulang ke negara ini.

Penolong Pengarah (Tahanan) Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi memburu mereka kini tertumpu di kawasan sempadan negara termasuk di pintu-pintu masuk.

"Maklumat yang diperolehi mendapati anggota kumpulan kongsi gelap yang sebelum ini lari merentasi sempadan negara kini mula balik (ke Malaysia),'' katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Cantas Khas di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Kastam (CIQ) di sini semalam.

Menurutnya, hasil Op Cantas Khas di sempadan, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai dari kumpulan kongsi gelap 04.

"Lelaki terbabit yang mempunyai tatu kumpulan itu di badannya ditahan ketika memasuki negara ini pada pukul 3.15 petang kelmarin," katanya. - UTUSAN ONLINE

Wanita Vietnam ditahan cuba seludup 5.4kg syabu

Posted: 09 Nov 2013 06:27 PM PST

[unable to retrieve full-text content]KOTA BHARU 10 Nov. - Polis Kelantan menahan seorang "keldai dadah" wanita warga Vietnam berusia 48 tahun ketika cuba menyeludup syabu seberat 5.4 kilogram dianggarkan bernilai RM1.4 juta di sini kelmarin.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Penyokong Bo Xilai tubuh parti politik

Posted: 09 Nov 2013 10:38 AM PST

BEIJING 10 Nov. - Penyokong bekas pemimpin kanan Parti Komunis China, Bo Xilai yang dipenjara kerana rasuah menubuhkan parti politik, satu cabaran langsung kepada parti pemerintah yang mengharamkan penubuhan parti baharu politik.

Menurut sumber, Parti Zhi Xian, ditubuhkan pada 6 November lalu, tiga hari sebelum pembukaan mesyuarat tertutup pemimpin Parti Komunis mengenai pembaharuan ekonomi negara ini.

Mereka menamakan Xilai sebagai pengerusi seumur hidup, kata Wang Zheng, satu daripada pengasas parti dan profesor madya di Institusi Pengurusan dan Ekonomi Beijing. - REUTERS

3 rakyat China miliki 1.8 tan gading gajah didakwa

Posted: 09 Nov 2013 09:57 AM PST

DAR ES SALAAM 10 Nov. - Tiga warganegara China didakwa di sebuah mahkamah Tanzania kerana memiliki 706 gading gajah daripada pemburu haram, kata seorang pegawai mahkamah, semalam.

Tiga suspek itu, Huang Gin, Xu Fujie dan Chen Jinzhan ditahan minggu lalu di bandar pelabuhan ini selepas mereka menyimpan gading gajah seberat 1.8 tan yang bernilai AS$3.1 juta (RM9.8 juta) di dalam bekas.

Polis dan pegawai mahkamah berkata, trio itu menyamar sebagai pengimport bawang putih dan pengeksport produk marin dengan Majistret, Isaya Arufani menafikan ikat jamin ke atas mereka dan kes tersebut akan dibicarakan di mahkamah tinggi. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Nelayan sokong guna pukat 38mm

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
utusanpahang@utusan.com.my

Ismail Sabri Yaakob (kiri) mendapat tepukan dari lebih 1,000 nelayan ketika berucap dalam majlis perjumpaan dan dialog nelayan-nelayan negeri di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 9 Nov. - Lebih 1,000 nelayan pantai di Pahang menyokong penuh keputusan kerajaan menguatkuasakan peraturan penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda berukuran 38 milimeter (mm) bermula 1 November lalu.

Sokongan tersebut dinyatakan mereka dalam majlis perjumpaan dan dialog nelayan-nelayan negeri ini bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang di sini semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri nelayan pantai dari Terengganu iaitu Kuala Terengganu dan Kemaman selain dari negeri ini seperti Kuantan dan Rompin.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh kepada keputusan kerajaan itu.

Bagaimanapun, katanya, dia berharap kerajaan akan bertegas dan melaksanakan penguatkuasaan itu secara menyeluruh tanpa terpengaruh oleh desakan mana-mana pihak.

"Penggunaan pukat dengan saiz 38mm ini amat baik sekali, perkara ini akan dapat mengelakkan benih ikan di laut daripada pupus dan dijadikan baja oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Apabila ikan tidak pupus, generasi akan datang terutama anak-anak kita dapat makan ikan dari laut negara sendiri, bukannya diimport akibat kepupusan yang berlaku ekoran cara penangkapan ikan salah," katanya.

Peraturan saiz mata keroncong 38mm telah diletakkan sebagai syarat lesen pukat tunda sejak 1982, tetapi ditangguhkan penguatkuasaannya kerana terdapat bantahan daripada nelayan dan status sumber perikanan masih baik ketika itu.

Bagaimanapun, kerajaan menguatkuasakan penggunaan pukat tunda yang lubang jaringnya melebihi 38mm mulai 1 November lalu bagi menyelamatkan benih ikan laut daripada pupus.

Seorang nelayan PNK Kuantan, Zakaria Daud berkata, penggunaan pukat tunda dengan saiz mata keroncong 38mm itu adalah amat baik terutama bagi memastikan pembiakan anak-anak ikan dapat berlaku.

Komited tingkatkan capaian internet di Pahang

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Shahaniza Shamsuddin mengakses internet merasmikan Pusat Internet 1Malaysia di Kampung Chenor, Maran, semalam.

MARAN 9 Nov. - Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan capaian internet di Pahang sehingga ke tahap 67.2 peratus pada tahun depan berbanding 60.8 peratus tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, langkah itu penting untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dengan luar bandar.

Beliau berkata, sasaran peningkatan capaian internet itu dijangka dapat dicapai berikutan komitmen kerajaan negeri untuk menambah Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

Menurutnya, setakat ini, terdapat 58 PI1M termasuk yang dinaik taraf dari Pusat Jalur Lebar (PJL) di kawasan perumahan dan kampung di negeri ini dengan setiap pusat dilengkapi 20 komputer dan pengajar.

''PI1M merupakan projek kerajaan dengan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberi fokus kepada perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada komuniti tempatan di kawasan luar bandar.

''PI1M adalah kemudahan capaian internet kepada komuniti tempatan, sekali gus memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan terhadap teknologi komputer dan internet," katanya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentol ketika berucap merasmikan PI1M Kampung Chenor, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Wilayah Timur SKMM, Nor Azhar Hasan.

Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan di PI1M adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi, perkhidmatan WiFi bagi capaian penduduk sekitar, kemudahan ICT terkini seperti 20 buah komputer dan perisian.

Tambah beliau, PI1M juga menyediakan perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan serta aktiviti berkaitan yang akan diuruskan oleh pengurus dan pembantu pengurus.

Beliau menambah, cadangan kerajaan Persekutuan akan membina 1,000 lagi pencawang telekomunikasi dalam Bajet 2014 adalah satu perkhabaran baik dalam usaha menambah capaian internet di negeri ini.

''Peruntukan pencawang telekomunikasi baharu itu dirancang dibina di beberapa lokasi daerah seperti Seberang Chenor,'' katanya.

Shahaniza menambah, PP1M Kampung Chenor mula beroperasi pada 9 April lepas, serentak dengan perkhidmatan Kampung Tanpa Wayar bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Manfaatkan kemudahan sukan

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

RAUB 9 Nov. - Orang ramai digesa memanfaatkan kemudahan sukan yang dibina di daerah ini bukan sahaja untuk tujuan riadah, bahkan bagi mengasah bakat anak-anak dalam bidang sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Pengguna negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, selain itu, kemudahan yang disediakan termasuk kompleks sukan, gelanggang futsal dan sebagainya perlu digunakan secara optimum agar tidak menjadi projek gajah putih.

Beliau berkata, kemudahan itu perlu dimanfaatkan supaya hasrat kerajaan untuk melihat masyarakat sihat dan cergas mampu direalisasikan.

''Tubuh badan yang sihat dapat mengelak kita menghidap pelbagai jenis komplikasi penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis," katanya selepas melawat Kompleks Sukan Rakan Muda Dong, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, kemudahan di Kompleks Sukan Rakan Muda Dong boleh ditingkatkan lagi pada masa depan untuk membolehkan pelbagai kegiatan sukan dilakukan di premis tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Memperkasa ulama dalam Pas

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

Perwakilan ke muktamar kali ini harus mempunyai keberanian luar biasa untuk menyatakan kebenaran dan membuat keputusan yang tepat kerana jika mereka tersilap percaturan yang akan menjadi korban adalah parti itu sendiri. - Gambar hiasan

APABILA 1,300 perwakilan Pas menghadiri muktamar tahunan parti itu yang ke-59 mulai 22 November ini, mereka mempunyai misi penting untuk dilunaskan iaitu pertama, mengembalikan kekuatan ulama dalam hierarki kepimpinan utama Pas dan kedua, mendesak supaya Pas tidak menjadi lebai malang melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Bagi misi pertama, sudah pastilah tumpuan akan diberikan kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu yang tewas dalam dua pilihan raya umum berturut-turut iaitu pada 2008 di Kuala Terengganu dan terbaru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Pendang sudah menyatakan pendirian untuk mempertahankan kedudukannya sebagai orang nombor dua Pas.

Bagaimanapun berbanding pemilihan lalu, laluan Mat Sabu untuk mempertahankan jawatan tersebut agak sukar kerana kali ini seolah-olah sudah ada kesepakatan oleh golongan ulama untuk meletakkan seorang calon sahaja.

Keadaan itu berbeza dengan pemilihan 2011, apabila dua calon ulama bertanding iaitu penyandang Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Kesudahannya ia menyebabkan undi ulama berpecah dan Mat Sabu ditabal menjadi Timbalan Presiden dengan majoriti 21 undi.

Kali ini, Mat Sabu dilihat memasuki gelanggang dalam keadaan badan penuh kecederaan dan paling ketara beliau sudah tewas dua kali dalam pilihan raya umum. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana populariti beliau dikatakan semakin menurun.

Walaupun Mat Sabu dianggap ayam sabung Pas terutamanya bagi menarik kehadiran orang ramai ke ceramah parti tersebut tetapi kekuatan itu dikatakan semakin berkurangan.

Jumlah kehadiran orang ramai pada ceramah beliau semakin menurun dan ada dalam kalangan pemimpin Pas sendiri merasakan Mat Sabu sudah tidak relevan lagi untuk berada dalam barisan kepimpinan kanan Pas pusat apatah lagi Timbalan Presiden.

Mungkin pandangan itu wujud kerana Mat Sabu sudah dua kali tewas dalam pilihan raya umum, kita tidak mahu ada yang mempersoalkan kenapa pemimpin yang ditolak oleh rakyat masih mahu diberi ruang dalam barisan kepimpinan," kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Pemimpin muda itu juga turut menegaskan, sememangnya di peringkat akar umbi sudah ada gelombang yang kuat untuk memastikan golongan ulama kembali menjadi Timbalan Presiden.

Walaupun mereka memahami Nasharudin Mat Isa tidak akan kembali atau kalau kembali pun sukar hendak menang, tetapi mereka tahu sudah ada tokoh paling sesuai untuk menduduki jawatan itu sekali gus menyingkirkan Mat Sabu," katanya.

Calon yang dimaksudkan ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah. Biarpun tewas dalam pemilihan lalu bagi jawatan Naib Presiden namun kejayaannya membantu Pas mempertahankan pemerintahan di Kelantan banyak meningkatkan popularitinya.

Apatah lagi, beliau dilihat pengganti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan sentiasa tegas dalam berhadapan dengan sesuatu isu biarpun ia dicetuskan oleh sekutu Pas sendiri iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Mohd. Amar dilihat antara ulama pelapis yang mempunyai persamaan seperti Nasharudin Mat Isa. Beliau memiliki Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ijazah sarjana dari Universiti Birmingham.

Sebelum ini, populariti Mohd. Amar dikatakan tenggelam biarpun beliau mempunyai peranan penting dalam kepimpinan Pas dan kerajaan negeri Kelantan. Beliau juga sering menggantikan Nik Abdul Aziz menyampaikan kuliah-kuliah agama.

Tetapi apabila berlaku perubahan dalam kepimpinan Pas Kelantan, Mohd. Amar dipilih untuk mewujudkan gandingan mantap dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob.

Berdasarkan kepada perjalanan politik Mohd. Amar, ia sudah tentulah memberi isyarat awal kepada Mat Sabu bahawa beliau perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan. Ini memandangkan pencalonan Mohd. Amar menunjukkan seolah-olah sudah ada kesepakatan dalam kalangan ulama supaya apa yang berlaku dalam pemilihan lalu tidak berulang lagi.

Namun begitu ada juga yang mengingatkan supaya cabaran Mat Sabu tidak harus dipandang ringan.

Ini memandangkan sudah ada cakap-cakap bahawa Mat Sabu mungkin akan mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin yang mahu melihat Mohd. Amar tidak menduduki jawatan Timbalan Presiden dan dalam masa sama memastikan golongan profesional tidak tersingkir daripada jawatan itu," kata satu sumber dalaman Pas kepada penulis.

Begitu juga bagi jawatan Naib Presiden, ada pandangan menyatakan salah seorang daripada tiga penyandang iaitu Husam, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar harus disingkirkan. Ini bagi membolehkan Tuan Ibrahim atau bekas Ketua Pemuda Pas, Abu Bakar Chik menggantikan kedudukan tersebut.

Tetapi ada pula yang menyatakan dua orang harus dikorbankan bagi memberi laluan kepada dua ulama tersebut berada dalam kedudukan Naib Presiden.

Bagaimanapun, satu sumber berkata, berbanding Tuan Ibrahim, Abu Bakar Chik menghadapi laluan sukar untuk menduduki jawatan tersebut.

Dikorbankan

Ini memandangkan era beliau dikatakan sudah berlalu kerana faktor umur, lagipun ramai ahli Pas tertanya-tanya kenapakah kali ini Abu Bakar membuat keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden," kata satu sumber.

Jika salah seorang penyandang harus dikorbankan, Salahudin dilihat paling tidak selamat kerana beliau tewas dalam pilihan raya umum lalu dan keadaan ini berbeza dengan Mahfuz yang masih lagi bergembira dengan kejayaan mengemudi Pas Kedah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau dalam pilihan raya kecil pada 4 November lalu selain mengekalkan kerusi Parlimen Pokok Sena.

Husam pula, biarpun tidak berada dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri, namun sebagai salah seorang timbalan pesuruhjaya Pas Kelantan, turut memainkan peranan bagi memastikan parti itu terus bertapak di negeri tersebut.

Jika Tuan Ibrahim berjaya menduduki salah satu kerusi Naib Presiden, sudah pastilah mengembalikan kedudukan ulama dalam jawatan tersebut, selepas ia terhenti seketika dalam pemilihan lalu apabila dua calon ulama iaitu Mohd. Amar dan Datuk Idris Ahmad kecundang.

Antara golongan ulama atau agamawan yang pernah menduduki jawatan Naib Presiden sejak 10 tahun lalu ialah Allahyarham Tan Sri Azizan Razak (2003), Datuk Dr. Hasan Ali (2005), Ahmad Awang (2007) dan Tuan Ibrahim (2009).

Bagaimanapun, perwakilan yang akan membuat keputusan tidak perlu terpengaruh dengan apa juga sentimen atau percaturan politik tetapi perlu memastikan keputusan yang mereka buat akan memperkasakan golongan ulama dalam parti itu.

Ia memandangkan sudah cukup selama ini, orang di luar Pas melihat kepimpinan ulama dalam parti itu sekadar slogan sahaja memandangkan suara golongan tersebut seolah-olah sudah tenggelam akibat keterujaan Pas menjaga tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR.

Sebenarnya tahaluf siyasi ini tidak salah kerana ia membuktikan bahawa Pas menerima hakikat politik di Malaysia bahawa mereka tidak boleh bersendirian kalau mahu berkuasa atau menjadi pemerintah. Mahu tidak mahu mereka harus mencari rakan berkongsi kuasa politik.

Tetapi apa yang kita kerap saksikan, Pas tidak dilayan seperti rakan kongsi sebaliknya hanya pak turut atau lebih acap kali juga diihat berada dalam kedudukan lebai malang. Keadaan menjadi semakin parah bagi Pas apabila tidak berupaya menegur pendekatan politik yang diamalkan oleh DAP dan PKR.

Sebab itulah, perwakilan ke muktamar kali ini harus mempunyai keberanian luar biasa untuk menyatakan kebenaran dan membuat keputusan yang tepat dalam pemilihan, ini kerana jika mereka tersilap percaturan yang akan menjadi korban adalah parti itu sendiri.

BISIK-BISIK : Ancaman NGO

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

IKATAN Muslimin Malaysia (ISMA) telah mengedarkan lebih 70,000 risalah berkaitan Gabungan NGO Liberal (Comango) selepas solat Jumaat di banyak masjid di Lembah Klang, kelmarin.

Risalah itu mendedahkan senarai NGO tersebut bersama sebahagian tokoh liberal yang didakwa sebagai dalang dalam tuntutan Comango.

Sebanyak 54 NGO Malaysia yang berfahaman liberal bergabung di bawah Comango, terlibat dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, baru-baru ini.

Mereka merupakan teras kepada gagasan NGO hak asasi manusia yang menghantar laporan kepada PBB untuk melobi dunia agar menekan Malaysia supaya mengiktiraf banyak tuntutan yang bercanggah dengan agama Islam dan Perlembagaan negara.

Menurut Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya, laporan Comango telah berjaya mempengaruhi sebahagian besar negara Eropah supaya Malaysia mengiktiraf gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Comango juga mendesak Malaysia mengiktiraf kebebasan beragama termasuk untuk murtad dan penghapusan hak istimewa Melayu.

ISMA adalah di antara delegasi NGO Islam Malaysia yang menyertai proses UPR bagi mempertahankan kepentingan Islam dan Perlembagaan.

Awang sangat terganggu dengan tindakan 54 NGO itu yang ternyata mahu mendapatkan campur tangan asing bagi melakukan penjajahan baharu ke atas tanah air ini.

Ia adalah pengkhianatan era moden terhadap kedaulatan negara. Biarlah Malaysia diurus dengan pendekatan Malaysia.

Sebahagian NGO itu berselindung atas nama hak asasi manusia tetapi sebenarnya membawa agenda parti pembangkang tertentu, yang gagal melakukannya menerusi kuasa rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kalau dikaji profil, hampir kesemua tokoh NGO liberal itu adalah pendokong mahupun aktivis propembangkang terutama DAP dan PKR. Sebahagiannya, NGO yang sama menggerakkan Bersih pimpinan S. Ambiga dan Maria Chin.

Awang berharap kerajaan tidak akan tunduk dan terperangkap dalam percaturan yang mempunyai implikasi yang dahsyat ke atas negara kita.

Ia bukan lagi soal isu hak asasi manusia dan kebebasan tetapi lebih kepada isu ancaman keselamatan negara.

Maka Awang bersetuju dengan saranan delegasi NGO Islam agar kerajaan menyekat aktiviti 54 NGO itu. Jika mereka dibiarkan tanpa disekat, negara boleh huru-hara, kata Aminuddin.

Kegagalan untuk bertindak akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat negara ini. Awang juga bimbang kalangan tertentu umat Islam akan bertindak balas secara ekstrem, yang akhirnya memudaratkan keharmonian negara.

Difahamkan, hanya 12 daripada 54 NGO itu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Mengapa pertubuhan haram boleh bergerak aktif tanpa dikenakan tindakan?

Juga, sudah menjadi rahsia terbuka, sebahagian NGO berkenaan mendapat bantuan dana pihak asing yang mahu menjadikan Malaysia negara sekular.

Antaranya Suaram pernah disiasat atas kegiatan yang dikhuatiri menggugat keselamatan negara tetapi sampai hari ini tiada hasilnya.

Sekali lagi isunya kita tidak yakin, malah mungkin tidak tahu untuk bertindak. Aduh, sakit kepala.

Sebab itu makin galak fenomena kaduk naik junjung. Merekalah sebenarnya lebih berkuasa berbanding pihak berkuasa. Di mana silapnya?

-AWANG SELAMAT

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Mamu, Gerak, Zero layak sertai

Posted: 08 Nov 2013 08:32 PM PST

SHAH ALAM 9 Nov. - Kumpulan pelawak Gerak, Mamu dan Zero akhirnya melayakkan diri bertanding dalam Maharaja Lawak Mega 2013 bersama 13 lagi peserta pada musim ketiga pertandingan itu, 15 November ini.

Tiga kumpulan itu menewaskan sembilan lagi peserta dalam kategori Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2013 iaitu Shake, Glory, Santan, Hai, Pajak, Kecik, 2Yol, Gadai dan Keross pada peringkat saringan Maharaja Lawak Mega 2013 yang diumumkan di sini semalam.

Menurut Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani, dengan kelayakan itu, Zero, Mamu dan Gerak akan bersaing dengan 13 lagi peserta Maharaja Lawak Mega 2013 yang telah terpilih dalam pertandingan dengan hadiah keseluruhan RM980,000 itu.

"Seramai 13 peserta lain iaitu Jambu, Boboi, Shiro, Saywho, Wala, Comey, Nabil, Osama, Tulang, Bocey, Sepahtu, Kucai dan SYJ telah terpilih secara automatik oleh pihak Astro berdasarkan bakat, populariti dan kriteria-kriteria yang lain.

"Cuma bezanya pemenang Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2013 ditentukan 100 peratus oleh juri, manakala pemenang Maharaja Lawak Mega 2013 nanti pula 70 peratus melalui pilihan juri dan 30 peratus undian SMS," katanya kepada Utusan Online semalam.

Pada peringkat Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2013 jurinya ialah Datuk Aznil Nawawi, Datuk Hattan dan Azwan Ali, manakala juri Maharaja Lawak Mega 2013 terbitan Astro Warna itu pula akan diumumkan pada persaingan minggu pertamanya Jumaat ini. - UTUSAN ONLINE

Beri kepuasan tersendiri

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar ABDUL RAZAK LATIF

SETIAP individu mempunyai aktiviti masa lapang sendiri. Ada di antara mereka melakukannya bagi mengisi masa lapang kerana ia hobi kegemaran mereka. Ada pula yang aktif bersukan. Namun, bagi jejaka berusia 24 tahun ini, perkara yang paling disukainya adalah memasak.

Nik Michael Imran Nik Ezar mungkin masih muda, tetapi chef selebriti ini semakin dikenali sejak menyertai pertandingan realiti masakan popular, Masterchef Selebriti Malaysia dan program Dapur Panas pada bulan Ramadan yang lalu.

Sungguhpun tidak mempunyai kelayakan dalam bidang masakan, namun kata Nik Michael, cintanya terhadap bidang masakan adalah sesuatu yang amat mendalam dan merupakan perkara utama dalam hidupnya kini.

Saya mula aktif di dapur sejak dari kecil lagi. Ini kerana ayah saya merupakan seorang chef yang bertugas di Australia.

Seingat saya, sejak berusia sembilan tahun, saya sudah menghabiskan banyak masa di dapur, dan minat tersebut semakin meningkat semasa usia remaja.

Sungguhpun saya tidak menerima pendidikan formal dalam bidang masakan, namun saya yakin dengan kebolehan memasak yang saya perolehi daripada pengalaman dan dibantu pula oleh inspirasi daripada ayah saya, maka kesemua faktor itu membantu saya dalam mendalami dunia masakan," katanya.

Nik Michael berkata demikian sewaktu majlis makan tengah hari program Dapur Panas terbitan TV3 yang mula bersiaran sejak 31 Oktober lalu pada pukul 11.30 pagi.

Tambah Nik Michael yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang perbankan ini lagi, kepuasan terbesar yang diraihnya melalui bidang tersebut adalah hasil akhir.

Bagi saya, kepuasan adalah sewaktu kita melihat kerja yang dilakukan berbayar dengan hasil masakan yang enak terhidang daripada campuran pelbagai bahan mentah dan teknik masakan berbeza.

Selain itu, pastinya sebagai seorang tukang masak, kegembiraan buat diri saya adalah apabila melihat masakan saya habis dimakan dan pinggan yang kembali adalah pinggan kosong," tambahnya.

Nik Michael yang mahir dalam teknik masakan makanan Perancis dan Itali itu berkata, jika dia tidak terlibat dengan sebarang tugas pengacaraan, kebanyakan waktunya akan dihabiskan di restoran miliknya, Picknik Comfort Food Cafe yang terletak di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Menurutnya, restoran itu telah beroperasi sejak lebih setahun lalu dan konsep dapur terbuka yang dipraktikkan membolehkan pelanggan melihat sendiri teknik masakan yang digunakan dalam menyediakan sesuatu sajian.

Sebelum saya memulakan perniagaan ini, saya pernah mengusahakan sebuah gerai pasta ketika masih belajar di Cyberjaya.

Hanya selepas tiga minggu berniaga, saya sudah mendapat pulangan modal. Namun, perniagaan itu terhenti setelah kira-kira dua bulan lebih beroperasi kerana saya tamat pengajian," ujarnya.

Kini, jika Nik Michael tidak terlibat dengan tugas-tugas rakaman, dia lebih banyak menghabiskan masa di restorannya itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Pengakap Malaysia kekal progresif, dinamik

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

PESURUHJAYA Latihan Negara, Persekutuan Pengakap Malaysia, Datuk Shukor Mohsin (tengah) memeriksa barisan pada Jambori Udara ke-56 dan Jambori Internet ke-17 baru-baru ini.

IARPUN sudah berusia 105 tahun di peringkat dunia, namun kegiatan pengakap terus diminati golongan muda hari ini.

Antara sebabnya adalah kerana pertubuhan itu sentiasa progresif, aktif menganjurkan aktiviti menyeronokkan yang dipenuhi dengan pelbagai maklumat serta pengetahuan.

Di Malaysia, persekutuan itu ditubuhkan pada 1968. Sejak itu, Persekutuan Pengakap Malaysia sentiasa menawarkan aktiviti berorientasikan pengalaman tanpa batasan had umur, pendidikan dinamik dengan kefahaman merangkumi semua aspek termasuk agama, budaya dan kaum.

Sudah menjadi kebiasaan, setiap Sabtu ketiga dalam bulan Oktober, pengakap dari seluruh dunia akan berkumpul dalam acara tahunan dikenali sebagai Jambori Udara ke-56 (Jota) dan Jambori Internet ke-17 (Joti).

Acara peringkat global itu secara tidak langsung menghubungkan lebih daripada 500,000 pengakap seluruh dunia sepanjang 72 jam acara itu diadakan.

Stesen Bagan Lalang atau Kem Pengakap Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh berjaya menghimpunkan lebih 200 ahli bagi menjayakan acara tersebut. Stesen itu merupakan salah satu daripada 15 stesen yang beroperasi dari Malaysia.

Digabungkan dengan ribuan stesen global dari seluruh dunia, berkemungkinan lebih sejuta orang terlibat dalam pertemuan secara tidak langsung menerusi saluran radio amatur mahupun internet sepanjang dua hari aktiviti itu berlangsung. - SYAHRIL/AZLAN HADI ABU BAKAR

Berhemah dalam memilih fesyen

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

PEMILIHAN pakaian dikalangan remaja penting bukan sahaja bagi menjaga imej agar kelihatan cantik dipandang bahkan penting untuk tidak menjadi mangsa fesyen. - GAMBAR HIASAN

FESYEN kini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Buktinya, tempoh tiga hingga empat bulan, fesyen tudung atau baju akan sentiasa berubah. Ia bertambah pesat kerana mendapat sambutan daripada kalangan artis-artis yang telah berhijrah.

Dari satu sudut, ia adalah satu perkembangan positif kerana akan mendorong ramai wanita memakai tudung. Manakala dari satu sudut pandangan yang lain pula, fenomena fesyen yang sentiasa berubah ini akan menjadikan wanita itu sendiri sebagai mangsa fesyen.

Tidak salah untuk berfesyen tetapi perlu berhemah dan mengambil kira faktor-faktor lain seperti kedudukan kewangan, kesesuaian fesyen itu sendiri kepada tuan badan dan tempat pakaian yang berfesyen itu dipakai.

Sebagai umat Islam, pakaian yang menutup aurat wajib menjadi faktor utama dalam memilih fesyen. Menutup aurat tidaklah bermaksud wanita itu perlu sentiasa memakai jubah dan berwarna hitam. Islam mengharuskan memakai pakaian yang berwarna tetapi ciri-cirinya perlu memenuhi tuntutan syarak.

Antara ciri-ciri pakaian yang perlu diambil kira sebelum memilih fesyen adalah pakaian itu tidak jarang dan nipis sehingga menampakkan kulit badan. Jika jarang dan nipis ,dicadangkan memakai inner baju atau tudung untuk mengelakkan kejelasan warna kulit.

Ciri yang kedua adalah pakaian itu tidak ketat sehingga bentuk badan jelas kelihatan. Solusinya adalah memakai pakaian yang longgar dan selesa di badan.

Ciri yang ketiga pula adalah tudung yang dipakai itu dilabuhkan sehingga menutupi dada sebagaimana yang telah digariskan dalam al-Quran surah an-Nur ayat 31.

"...dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka."

Semasa memilih fesyen dan membeli pakaian juga, ada adab-adabnya. Pemilihan tersebut perlu diniatkan untuk menutup aurat dan menzahirkan serta mensyukuri nikmat Allah. Bukan untuk membangga diri. Selain itu, fesyen tersebut tidak menyerupai pakaian upacara agama lain, tidak menyerupai jenis pakaian yang khusus untuk lelaki dan tidak terlalu berlebihan dalam berfesyen.

Berfesyen hendaklah melambangkan identiti umat Islam dan dapat menunjukkan contoh fesyen berpakaian yang sebenar menurut hukum Islam.

NOOR FADILAH AMBO

Perunding Imej Bertauliah

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


NGO pencetus perpaduan

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

Ibrahim Ali (belakang empat dari kanan) bersama Ahmad Maslan (lima dari kanan), U. Thamotharan (dua dari kanan) , Choy Chee Wai dan sebahagian kanak-kanak pelbagai kaum bergambar sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Taman Bolton, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pertubuhan berasaskan kaum dan agama di negara ini bukan sahaja menjadi pencetus persefahaman antara rakyat tetapi juga pemangkin kepada perpaduan nasional.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kewujudan pertubuhan-pertubuhan seumpama itu yang menjalankan kerjasama erat antara satu sama lain ternyata mampu menghasilkan imbangan sosial berkesan.

Katanya, kombinasi antara semangat jati diri kaum dengan aspirasi kebangsaan dapat melahirkan masyarakat beridentitikan Malaysia tulen yang mampu mengekalkan kestabilan, bukan berbahaya seperti didakwa segelintir pihak.

Beliau percaya ketelusan kesemua pertubuhan itu dalam mengangkat semangat perpaduan dan Perlembagaan Persekutuan dapat menghindari sebarang ketegangan kaum atau agama, malah perselisihan faham antara masyarakat pelbagai budaya di negara ini.

"Titik ketegangan kaum tidak dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi parti-parti politik tegar yang memodalkan isu perkauman terutama selepas Pilihan Raya Umum 2008. Perkara ini jelas dengan sentimen yang dimainkan DAP terhadap masyarakat Cina.

"Kita NGO pelbagai kaum berganding bahu dalam mempromosikan perpaduan nasional seperti hari ini. Kita Perkasa, Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam) dan Persatuan Cina 1Malaysia (Percisama) bersama-sama menjayakan majlis Deepavali ini," katanya kepada pemberita dalam majlis Sambutan Deepavali 2013 anjuran Perinbam di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Presiden Perinnbam, U. Thamotharan dan Presiden Percisama, Choy Chee Wai.

Seminar Hala Tuju Ayahanda himpun NGO Melayu

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Syed Husain Al-Shahab (tiga dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada sebahagian NGO Melayu di Kuala lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bertaraf Ayahanda akan berhimpun dalam Seminar Hala Tuju Kepimpinan Ayahanda di ibu negara pada 23 November ini.

Seminar yang julung-julung kali diadakan itu diharap dapat menyusun kembali perjuangan setiap NGO untuk mendaulatkan martabat kaum Melayu, agama Islam dan tanah air.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shahab berkata, kesemua NGO yang menyertai seminar berkenaan adalah berbai'ah dengan taraf Ayahanda dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Matlamat kami melalui penganjuran seminar ini adalah untuk mengangkat kedudukan ayahanda-ayahanda sebagai tulang belakang dan tonggak perpaduan Melayu, benteng pertahanan syiar Islam dan pendokong kedaulatan institusi raja-raja Melayu dan pejuang setia negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program taklimat khas bersama para pemimpin daripada 50 NGO Melayu bertaraf Ayahanda bersempena penganjuran seminar tersebut.

Dalam pada itu, Syed Husain berkata, seminar itu juga akan dijadikan platform untuk membersihkan persepsi masyarakat dan memberi penerangan mengenai tanggungjawab sebenar NGO bertaraf Ayahanda.

"Saya ingin memberi penekanan bahawa YAS serta semua NGO Melayu ini menyokong tindakan polis melaksanakan Op Cantas dan kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap ayahanda-ayahanda yang songsang dan mengingkari undang-undang negara," katanya.

Menurut Syed Husain, penubuhan YAS adalah sebagai badan penyelaras dan perantara kepada semua NGO Melayu bertaraf Ayahanda di negara ini untuk menghimpunkan isu dan permasalahan yang dapat diutarakan kepada pemimpin negara.

"Saya ingin menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan menteri yang khusus menjaga NGO termasuk NGO berbai'ah bertaraf Ayahanda.

"Memang kita tahu NGO perlu didaftar dengan ROS di bawah Kementerian Dalam Negeri tetapi kita perlukan menteri yang khusus agar semua garis panduan, bantuan dan pelaksanaan benar-benar sampai ke akar umbi," katanya.

Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup PATI

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

SHAH ALAM 9 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menahan mereka bersama seorang tekong warga Indonesia di perairan Selangor kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Daerah Maritim 4 Klang, Kepten Maritim Christopher Ravindran Dass berkata, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi penguatkuasaan kira-kira pukul 7.30 malam mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan bergerak laju dipercayai dari negara jiran.

"Setelah diamati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran. Pasukan kami cuba menahan bot tersebut tetapi pemandunya memecut laju menghala ke daratan.

"Setelah dikejar, bot peronda Maritim Malaysia berjaya menahan bot pancung itu yang tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Christopher berkata, setelah diperiksa pihaknya mendapati tekong bot itu cuba membawa masuk tiga penumpang berusia 28 hingga 45 tahun iaitu dua lelaki dan seorang wanita Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

"Bot pancung berkenaan telah ditunda ke jeti Maritim Malaysia Klang untuk tindakan lanjut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Rebat air bukti kerajaan prihatin

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Hasni Mohammad (kanan) beramah-mesra dengan penuntut UTM Skudai yang menyertai Program Tintec di Kampung Parit Marjunit, Benut, Pontian, semalam.

PONTIAN 8 Nov. - Peluasan Program Rebat Air daripada 20 kepada 35 meter padu yang dibentangkan dalam Bajet Johor 2014 adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kini terdapat 825 akaun golongan miskin dan miskin tegar yang menerima rebat sejak langkah tersebut diperkenalkan pada November 2010.

"Bilangan penerima dijangka bertambah apabila senarai mereka yang layak diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setiap daerah. Ini adalah tanda terima kasih kerajaan negeri kepada rakyat, selain menepati janji sebagaimana manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

"Bukan sahaja mereka yang miskin dan miskin tegar tetapi penerima bantuan JKM dan MAINJ turut menerima program rebat yang diumumkan itu," katanya selepas merasmikan Program Titian Ilmu Anak Desa Teknologi Desa Lestari (Tintec) di Kampung Parit Marjunit, Benut di sini hari ini.

Beliau mengulas Bajet 2014 Johor yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan tema "Muafakat Pembangunan dan Pengagihan" dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, Nusajaya semalam.

Yang turut hadir, Pengetua Kolej 9 -10, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Ab. Latif Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan 3 Mukim Sungai Pinggan, Kasmadi Suboh dan Penghulu Mukim Sungai Pinggan, Zulkifle Tubee.

Sebanyak 164 orang siswa dan siswi dari UTM menyertai program selama tiga hari dua malam dengan kerjasama JKKK Kawasan 3 Mukim Sungai Pinggan.

Bajet Johor 2014 memberi penekanan kepada empat strategi utama iaitu mencorak ekonomi mapan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkasa dan merakyatkan kerajaan dan melahirkan modal insan yang berketerampilan.

Menurut Hasni, JKM dan MAINJ diharap bersedia dengan keperluan ini serta menyenaraikan mereka yang benar-benar layak untuk dimajukan kepada pihak yang akan menyelaraskan program ini.

"Peluasan program ini lebih menyeluruh dalam usaha kerajaan meringankan beban golongan rakyat kurang berkemampuan berdasarkan kelayakan mereka. Penerima bukan sahaja masyarakat di luar bandar tetapi juga mereka yang berada di bandar, berdasarkan senarai e-Kasih yang akan dikeluarkan kelak," ujarnya.

Menyentuh tentang program, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menyambut baik kesediaan penuntut institusi pengajian tinggi berkongsi pengetahuan dengan masyarakat desa sebagai pemimpin masa hadapan dan menabur bakti sebelum memasuki alam kerjaya selepas tamat pengajian.

Pukul isteri: Pekerja ladang ditahan

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Suspek kes pukul isteri diiring oleh seorang anggota polis selepas mendapat perintah reman untuk siasatan lanjut di Segamat, semalam.

SEGAMAT 8 Nov. - Polis menahan seorang pekerja ladang berusia 30 tahun selepas dia didakwa memukul isterinya dengan topi keledar di hadapan empat orang anak mereka kelmarin.

Menurut mangsa, kejadian itu bukan yang pertama kerana dia sebelum ini pernah dipukul beberapa kali oleh suaminya itu.

Bagaimanapun, kali ini, isterinya yang tidak lagi mampu bersabar dengan sikap baran suaminya itu telah membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan berkenaan, sepasukan polis menahan lelaki berkenaan kira-kira pukul 3 pagi di Bekok dekat sini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukarmi berkata, mangsa mendakwa sudah tidak tahan lagi kerana sering dipukul oleh suaminya.

"Mangsa yang juga berumur 30 tahun mendapat kecederaan di bahagian belakang kepala dan empat jari kirinya juga bengkak dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

"Menurut mangsa, dia dipukul pukul 4.30 petang di hadapan empat anak perempuan mereka yang berusia antara dua hingga lapan tahun di kuarters kediaman pekerja kilang kelapa sawit di daerah Kluang," katanya di sini.

Menurut Mohd. Kamil, mangsa pernah bertanya kenapa dia dipukul tetapi suspek enggan memberitahu sehingga mengakibatkan mangsa berada dalam keadaan tertekan.

Suspek juga seringkali meninggikan suaranya sehingga menyebabkan pergaduhan mereka didengari oleh jiran-jiran dan membuatkan mangsa berasa malu.

"Demi menjaga nama baik suami dan kerukunan rumah tangga mereka, mangsa sanggup bersabar namun kejadian terbaru yang mengakibatkan kecederaan fizikal yang teruk memaksa mangsa untuk membuat laporan polis.

"Dengan kerjasama pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan IPD Segamat, kami telah menahan suspek yang cuba menyembunyikan diri di Bekok. Turut ditemui bersama suspek ialah topi keledar yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya.

Beliau memberitahu, suspek kini ditahan reman hingga hari ini untuk untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan serangan dan mendatangkan kecederaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Ilham tulen Arca Creation

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

KAFTAN pendek bersulam mewah menjadi pilihan ramai.

SAINGAN yang sengit dalam perniagaan fesyen membuatkan seseorang pereka atau pengusaha butik perlu sentiasa kreatif demi melahirkan sesuatu rekaan. Walaupun terdapat pereka yang gemar meniru rekaan pereka lain, namun tindakan itu tidak akan bertahan lama kerana lambat-laun orang ramai akan mengetahuinya juga.

Justeru, rekaan yang tulen dan lahir daripada ilham sendiri memberikan kepuasan dalam sesuatu rekaan. Dari situ, seseorang pereka akan dapat menilai rekaan bagaimana yang disukai pelanggan.

Inilah yang menjadi pegangan pada rekaan yang terdapat di Arca Creation. Sentiasa memikirkan rekaan yang menjadi pilihan ramai, Arca Creation lebih banyak menambahkan renda dan sulaman kerawang pada rekaannya.

Setiap fesyenseperti blaus, baju kurung moden dan kaftan akan direka sendiri dan kemudian dipadankan dengan warna fabrik serta renda dengan tambahan jahitan manik.

Bersama-sama menyumbangkan idea dengan tukang jahit, rekaan yang memberikan kepuasan hati kepada kedua-duanya akan dilaksanakan.

Setiap rekaan akan dibuat dalam enam pilihan warna-warna menarik yang menjadi trend pada masa kini.

Menggunakan fabrik bermutu tinggi, cantik dan selesa seperti syifon cerutti, renda dan songket, Arca Creation sentiasa menukarkan rekaan yang ada kepada rekaan baharu setiap dua minggu sekali.

Kaftan pendek bersulam mewah menjadi pilihan ramai bukan sahaja dalam kalangan pelanggan Melayu, malah daripada bangsa Cina juga. Kaftan ini boleh dipadankan sama ada dengan kain, skirt atau seluar.

Begitu juga dengan baju kurung moden yang kebanyakannya ditambah dengan jahitan renda dan jahitan manik yang menjadikan baju tampak mahal dan bergaya.

Wangian Avon penuh keriangan

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

ONLY Imagine Eau de Parfum, wangian terbaru daripada jenama Avon.

RASAI keterujaan saat tidak terduga dengan Only Imagine, wangian terbaru daripada Avon yang penuh keriangan. Haruman itu nyata merangsang imaginasi dan menginspirasi diri untuk menyelami saat-saat terindah dalam hidup.

Saat wanita sejati melalui perjalanan hidup yang penuh mengujakan, kesegaran flora daripada wangian ini menemani setiap langkah dalam menjadikan segala impian mampu menjadi kenyataan.

Nikmati saat-saat mengujakan dengan sentuhan kemilau epal hijau berulit kemewahan putik violet dan kasturi lembut itu.

Only Imagine Eau de Parfum didatangkan dalam botol elegan berona ungu ombre dan ungu ceria yang melambangkan pelbagai sisi seorang wanita, feminin serta riang, namun kuat, tabah serta yakin dengan nilai dirinya.

Only Imagine mula berada di pasaran pada 1 November lalu di semua wakil dan Butik Kecantikan Avon seluruh negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Tubuh Dana Perniagaan Sosial

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

NAJIB Tun Razak ketika hadir merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. Turut hadir Profesor Muhammad Yunus (dua dari kanan) yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tabung Belia MyHarapan, Nurfarani Daing (dua dari kiri) dan Hans Reitz (kanan). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Dana Perniagaan Sosial bagi memperkasa golongan belia dan membantu menyelesaikan masalah sosial yang tidak dapat ditangani secara sendirian oleh kerajaan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dana dengan permulaan RM20 juta akan diselia Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) dan mana-mana pihak yang mahu menjayakan aktiviti memperkasakan sosial boleh memohon.

"Objektif kerajaan melalui penubuhan dana ini ialah mewujudkan masyarakat yang lebih baik. Kerajaan mengakui tidak semua masalah berkait sosial dapat kita selesaikan secara sendirian walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

"Jadi melalui dana ini, saya berharap kita dapat memperkasakan golongan muda yang komited dengan aktiviti berteraskan sosial dan kemudian membantu kerajaan menyelesaikan beberapa aspek melibatkan masalah sosial secara bersama," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global 2013 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Ketua Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global, Hans Reitz; Pengerusi Pusat Yunus, Prof. Muhammad Yunus dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah My Harapan, Ashran Ghazi.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, beliau yakin dengan model perniagaan sosial yang bertindak sebagai pelengkap kepada sistem pasaran terbuka dalam menyediakan platform lebih baik bagi memperkasakan sesebuah masyarakat.

Katanya, berpegang kepada prinsip itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai transformasi terutama dalam aspek ekonomi untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih sempurna dan pada masa sama mencapai status negara maju.

Nahas Genting: Beberapa pihak bakal didakwa

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Beberapa pihak termasuk pengurusan sebuah syarikat perkhidmatan bas ulang-alik Genting Highlands bakal berdepan tindakan undang-undang susulan kemalangan maut di Kilometer 3.5, Jalan Genting HighlandsKuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.

Perkara itu dinyatakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas meneliti analisis Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati bas berkenaan dipandu laju ketika menuruni lokasi kemalangan terbabit.

Malah jelasnya, siasatan MIROS mendapati, kenyataan daripada mangsa juga menyokong bahawa pemandu bas itu telah memandu laju melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 50 kilometer per jam.

''Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan membuat pengumuman mengenai tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak tertentu. Cuma saya nak minta mereka memastikan undang-undang memberi ruang untuk tindakan diambil terhadap pengurusan syarikat selain syarikat itu sendiri.

''Saya sudah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan SPAD untuk mengambil tindakan terbabit. Selain itu, salah satu tindakan yang boleh dipertimbangkan adalah menghentikan operasi syarikat berkenaan,'' katanya dalam sidang akhbar mengumumkan laporan nahas tersebut di sini hari ini.

Kemalangan di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas selepas kenderaan yang dinaiki 53 orang tersebut terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Hishammuddin memberitahu, selain dipandu laju, kekurangan kecekapan fungsi brek pada bas tersebut akibat daripada keadaan pelapik brek yang haus di kedua-dua roda hadapan bas telah mengakibatkan bas gagal diperlahankan ketika menghampiri selekoh tajam di lokasi kemalangan.

Selain itu ujarnya, implementasi syarikat bas terhadap Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE), khususnya berkaitan aspek polisi keselamatan dan sokongan pengurusan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan serta laluan dan risiko adalah tidak memuaskan.

''Bagi menjalankan fungsi penyiasatan ini, MIROS juga telah mengadakan 14 sesi perjumpaan dengan pihak-pihak tertentu secara berasingan bagi mendapatkan penjelasan lanjut, mengesahkan beberapa maklumat yang berbangkit dan mendapatkan pandangan berkaitan penambahbaikan yang praktikal dan efektif.

''Selain siasatan MIROS, SPAD dan polis juga turut menjalankan siasatan berasingan mengikut skop dan bidang kuasa masing-masing, khususnya dalam aspek pelesenan kenderaan komersial dan undang-undang,'' tegasnya.

Katanya, kerajaan amat serius dan konsisten dalam menangani isu keselamatan jalan raya dan sebagai langkah segera, pihak kementerian bersetuju melaksanakan beberapa strategi terutama langkah-langkah keselamatan di Genting Highlands.

Strategi itu adalah:

l Penubuhan seksyen baharu di JPJ dikenali Seksyen Profil Pemandu yang memberi fokus kepada isu-isu pemanduan dengan JPJ berkuasa menggantung atau membatal lesen memandu.

l Penempatan pegawai JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Genting Highlands untuk menjalankan pemeriksaan fizikal bas bagi menjamin keselamatan dari segi teknikal.

l Penguatkuasaan terhadap pemandu bas di Genting Highlands bagi memastikan kesihatan pemandu di tahap baik dan tidak memandu di bawah sebarang pengaruh dadah atau alkohol.

''Dengan pelaksanaan inisiatif terbabit yang akan berkuatkuasa 1 Disember ini, adalah diharapkan ia dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi tersebut di samping meningkatkan keyakinan pengunjung mengenai tahap keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam,'' tambahnya.

Naik taraf perjawatan untuk perkasakan JPAM - Zahid

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

DAUD Tahir menyematkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota JPAM yang terlibat dengan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah dalam Majlis Perasmian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia Ke-19, 2013 di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

TELOK KEMANG 8 Nov. - Usaha menaik taraf perjawatan sedia ada dan menambah perjawatan baharu adalah antara langkah yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam usaha memperkasakan jabatan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jabatan itu akan menambah aset operasi dan logistik, memasang sistem amaran awam, menaik taraf pejabat operasi daerah, membina menara penyelamat pantai dan membuka pejabat operasi baharu.

Beliau berkata, semua langkah berkenaan penting bagi memantapkan operasi JPAM seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa.

"Memorandum mengenainya kepada Kabinet telah disediakan dan dalam peringkat akhir sebelum dibentang melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara," katanya dalam majlis perasmian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19, 2013 di Port Dickson dekat sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pengurusan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Daud Tahir.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Suleiman Keling.

Ahmad Zahid memberitahu, pembinaan ibu pejabat Pertahanan Awam di Sungai Merab, Selangor bernilai RM50 juta dan Pusat Latihan Pertahanan Awam fasa 2 di Kluang, Johor dengan kos RM50 juta adalah dua projek baharu yang akan dilaksanakan tahun depan.

Lebih 1,500 pegawai dan anggota JPAM dari seluruh negara menyertai himpunan selama tiga hari itu.

Pada majlis itu, Daud turut menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota JPAM yang terlibat dengan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved