Sabtu, 9 November 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Memperkasa ulama dalam Pas

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

Perwakilan ke muktamar kali ini harus mempunyai keberanian luar biasa untuk menyatakan kebenaran dan membuat keputusan yang tepat kerana jika mereka tersilap percaturan yang akan menjadi korban adalah parti itu sendiri. - Gambar hiasan

APABILA 1,300 perwakilan Pas menghadiri muktamar tahunan parti itu yang ke-59 mulai 22 November ini, mereka mempunyai misi penting untuk dilunaskan iaitu pertama, mengembalikan kekuatan ulama dalam hierarki kepimpinan utama Pas dan kedua, mendesak supaya Pas tidak menjadi lebai malang melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Bagi misi pertama, sudah pastilah tumpuan akan diberikan kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu yang tewas dalam dua pilihan raya umum berturut-turut iaitu pada 2008 di Kuala Terengganu dan terbaru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Pendang sudah menyatakan pendirian untuk mempertahankan kedudukannya sebagai orang nombor dua Pas.

Bagaimanapun berbanding pemilihan lalu, laluan Mat Sabu untuk mempertahankan jawatan tersebut agak sukar kerana kali ini seolah-olah sudah ada kesepakatan oleh golongan ulama untuk meletakkan seorang calon sahaja.

Keadaan itu berbeza dengan pemilihan 2011, apabila dua calon ulama bertanding iaitu penyandang Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Kesudahannya ia menyebabkan undi ulama berpecah dan Mat Sabu ditabal menjadi Timbalan Presiden dengan majoriti 21 undi.

Kali ini, Mat Sabu dilihat memasuki gelanggang dalam keadaan badan penuh kecederaan dan paling ketara beliau sudah tewas dua kali dalam pilihan raya umum. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana populariti beliau dikatakan semakin menurun.

Walaupun Mat Sabu dianggap ayam sabung Pas terutamanya bagi menarik kehadiran orang ramai ke ceramah parti tersebut tetapi kekuatan itu dikatakan semakin berkurangan.

Jumlah kehadiran orang ramai pada ceramah beliau semakin menurun dan ada dalam kalangan pemimpin Pas sendiri merasakan Mat Sabu sudah tidak relevan lagi untuk berada dalam barisan kepimpinan kanan Pas pusat apatah lagi Timbalan Presiden.

Mungkin pandangan itu wujud kerana Mat Sabu sudah dua kali tewas dalam pilihan raya umum, kita tidak mahu ada yang mempersoalkan kenapa pemimpin yang ditolak oleh rakyat masih mahu diberi ruang dalam barisan kepimpinan," kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Pemimpin muda itu juga turut menegaskan, sememangnya di peringkat akar umbi sudah ada gelombang yang kuat untuk memastikan golongan ulama kembali menjadi Timbalan Presiden.

Walaupun mereka memahami Nasharudin Mat Isa tidak akan kembali atau kalau kembali pun sukar hendak menang, tetapi mereka tahu sudah ada tokoh paling sesuai untuk menduduki jawatan itu sekali gus menyingkirkan Mat Sabu," katanya.

Calon yang dimaksudkan ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah. Biarpun tewas dalam pemilihan lalu bagi jawatan Naib Presiden namun kejayaannya membantu Pas mempertahankan pemerintahan di Kelantan banyak meningkatkan popularitinya.

Apatah lagi, beliau dilihat pengganti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan sentiasa tegas dalam berhadapan dengan sesuatu isu biarpun ia dicetuskan oleh sekutu Pas sendiri iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Mohd. Amar dilihat antara ulama pelapis yang mempunyai persamaan seperti Nasharudin Mat Isa. Beliau memiliki Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ijazah sarjana dari Universiti Birmingham.

Sebelum ini, populariti Mohd. Amar dikatakan tenggelam biarpun beliau mempunyai peranan penting dalam kepimpinan Pas dan kerajaan negeri Kelantan. Beliau juga sering menggantikan Nik Abdul Aziz menyampaikan kuliah-kuliah agama.

Tetapi apabila berlaku perubahan dalam kepimpinan Pas Kelantan, Mohd. Amar dipilih untuk mewujudkan gandingan mantap dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob.

Berdasarkan kepada perjalanan politik Mohd. Amar, ia sudah tentulah memberi isyarat awal kepada Mat Sabu bahawa beliau perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan. Ini memandangkan pencalonan Mohd. Amar menunjukkan seolah-olah sudah ada kesepakatan dalam kalangan ulama supaya apa yang berlaku dalam pemilihan lalu tidak berulang lagi.

Namun begitu ada juga yang mengingatkan supaya cabaran Mat Sabu tidak harus dipandang ringan.

Ini memandangkan sudah ada cakap-cakap bahawa Mat Sabu mungkin akan mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin yang mahu melihat Mohd. Amar tidak menduduki jawatan Timbalan Presiden dan dalam masa sama memastikan golongan profesional tidak tersingkir daripada jawatan itu," kata satu sumber dalaman Pas kepada penulis.

Begitu juga bagi jawatan Naib Presiden, ada pandangan menyatakan salah seorang daripada tiga penyandang iaitu Husam, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar harus disingkirkan. Ini bagi membolehkan Tuan Ibrahim atau bekas Ketua Pemuda Pas, Abu Bakar Chik menggantikan kedudukan tersebut.

Tetapi ada pula yang menyatakan dua orang harus dikorbankan bagi memberi laluan kepada dua ulama tersebut berada dalam kedudukan Naib Presiden.

Bagaimanapun, satu sumber berkata, berbanding Tuan Ibrahim, Abu Bakar Chik menghadapi laluan sukar untuk menduduki jawatan tersebut.

Dikorbankan

Ini memandangkan era beliau dikatakan sudah berlalu kerana faktor umur, lagipun ramai ahli Pas tertanya-tanya kenapakah kali ini Abu Bakar membuat keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden," kata satu sumber.

Jika salah seorang penyandang harus dikorbankan, Salahudin dilihat paling tidak selamat kerana beliau tewas dalam pilihan raya umum lalu dan keadaan ini berbeza dengan Mahfuz yang masih lagi bergembira dengan kejayaan mengemudi Pas Kedah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau dalam pilihan raya kecil pada 4 November lalu selain mengekalkan kerusi Parlimen Pokok Sena.

Husam pula, biarpun tidak berada dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri, namun sebagai salah seorang timbalan pesuruhjaya Pas Kelantan, turut memainkan peranan bagi memastikan parti itu terus bertapak di negeri tersebut.

Jika Tuan Ibrahim berjaya menduduki salah satu kerusi Naib Presiden, sudah pastilah mengembalikan kedudukan ulama dalam jawatan tersebut, selepas ia terhenti seketika dalam pemilihan lalu apabila dua calon ulama iaitu Mohd. Amar dan Datuk Idris Ahmad kecundang.

Antara golongan ulama atau agamawan yang pernah menduduki jawatan Naib Presiden sejak 10 tahun lalu ialah Allahyarham Tan Sri Azizan Razak (2003), Datuk Dr. Hasan Ali (2005), Ahmad Awang (2007) dan Tuan Ibrahim (2009).

Bagaimanapun, perwakilan yang akan membuat keputusan tidak perlu terpengaruh dengan apa juga sentimen atau percaturan politik tetapi perlu memastikan keputusan yang mereka buat akan memperkasakan golongan ulama dalam parti itu.

Ia memandangkan sudah cukup selama ini, orang di luar Pas melihat kepimpinan ulama dalam parti itu sekadar slogan sahaja memandangkan suara golongan tersebut seolah-olah sudah tenggelam akibat keterujaan Pas menjaga tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR.

Sebenarnya tahaluf siyasi ini tidak salah kerana ia membuktikan bahawa Pas menerima hakikat politik di Malaysia bahawa mereka tidak boleh bersendirian kalau mahu berkuasa atau menjadi pemerintah. Mahu tidak mahu mereka harus mencari rakan berkongsi kuasa politik.

Tetapi apa yang kita kerap saksikan, Pas tidak dilayan seperti rakan kongsi sebaliknya hanya pak turut atau lebih acap kali juga diihat berada dalam kedudukan lebai malang. Keadaan menjadi semakin parah bagi Pas apabila tidak berupaya menegur pendekatan politik yang diamalkan oleh DAP dan PKR.

Sebab itulah, perwakilan ke muktamar kali ini harus mempunyai keberanian luar biasa untuk menyatakan kebenaran dan membuat keputusan yang tepat dalam pemilihan, ini kerana jika mereka tersilap percaturan yang akan menjadi korban adalah parti itu sendiri.

BISIK-BISIK : Ancaman NGO

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

IKATAN Muslimin Malaysia (ISMA) telah mengedarkan lebih 70,000 risalah berkaitan Gabungan NGO Liberal (Comango) selepas solat Jumaat di banyak masjid di Lembah Klang, kelmarin.

Risalah itu mendedahkan senarai NGO tersebut bersama sebahagian tokoh liberal yang didakwa sebagai dalang dalam tuntutan Comango.

Sebanyak 54 NGO Malaysia yang berfahaman liberal bergabung di bawah Comango, terlibat dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, baru-baru ini.

Mereka merupakan teras kepada gagasan NGO hak asasi manusia yang menghantar laporan kepada PBB untuk melobi dunia agar menekan Malaysia supaya mengiktiraf banyak tuntutan yang bercanggah dengan agama Islam dan Perlembagaan negara.

Menurut Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya, laporan Comango telah berjaya mempengaruhi sebahagian besar negara Eropah supaya Malaysia mengiktiraf gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Comango juga mendesak Malaysia mengiktiraf kebebasan beragama termasuk untuk murtad dan penghapusan hak istimewa Melayu.

ISMA adalah di antara delegasi NGO Islam Malaysia yang menyertai proses UPR bagi mempertahankan kepentingan Islam dan Perlembagaan.

Awang sangat terganggu dengan tindakan 54 NGO itu yang ternyata mahu mendapatkan campur tangan asing bagi melakukan penjajahan baharu ke atas tanah air ini.

Ia adalah pengkhianatan era moden terhadap kedaulatan negara. Biarlah Malaysia diurus dengan pendekatan Malaysia.

Sebahagian NGO itu berselindung atas nama hak asasi manusia tetapi sebenarnya membawa agenda parti pembangkang tertentu, yang gagal melakukannya menerusi kuasa rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kalau dikaji profil, hampir kesemua tokoh NGO liberal itu adalah pendokong mahupun aktivis propembangkang terutama DAP dan PKR. Sebahagiannya, NGO yang sama menggerakkan Bersih pimpinan S. Ambiga dan Maria Chin.

Awang berharap kerajaan tidak akan tunduk dan terperangkap dalam percaturan yang mempunyai implikasi yang dahsyat ke atas negara kita.

Ia bukan lagi soal isu hak asasi manusia dan kebebasan tetapi lebih kepada isu ancaman keselamatan negara.

Maka Awang bersetuju dengan saranan delegasi NGO Islam agar kerajaan menyekat aktiviti 54 NGO itu. Jika mereka dibiarkan tanpa disekat, negara boleh huru-hara, kata Aminuddin.

Kegagalan untuk bertindak akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat negara ini. Awang juga bimbang kalangan tertentu umat Islam akan bertindak balas secara ekstrem, yang akhirnya memudaratkan keharmonian negara.

Difahamkan, hanya 12 daripada 54 NGO itu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Mengapa pertubuhan haram boleh bergerak aktif tanpa dikenakan tindakan?

Juga, sudah menjadi rahsia terbuka, sebahagian NGO berkenaan mendapat bantuan dana pihak asing yang mahu menjadikan Malaysia negara sekular.

Antaranya Suaram pernah disiasat atas kegiatan yang dikhuatiri menggugat keselamatan negara tetapi sampai hari ini tiada hasilnya.

Sekali lagi isunya kita tidak yakin, malah mungkin tidak tahu untuk bertindak. Aduh, sakit kepala.

Sebab itu makin galak fenomena kaduk naik junjung. Merekalah sebenarnya lebih berkuasa berbanding pihak berkuasa. Di mana silapnya?

-AWANG SELAMAT

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved