Sabtu, 9 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Nelayan sokong guna pukat 38mm

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
utusanpahang@utusan.com.my

Ismail Sabri Yaakob (kiri) mendapat tepukan dari lebih 1,000 nelayan ketika berucap dalam majlis perjumpaan dan dialog nelayan-nelayan negeri di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 9 Nov. - Lebih 1,000 nelayan pantai di Pahang menyokong penuh keputusan kerajaan menguatkuasakan peraturan penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda berukuran 38 milimeter (mm) bermula 1 November lalu.

Sokongan tersebut dinyatakan mereka dalam majlis perjumpaan dan dialog nelayan-nelayan negeri ini bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang di sini semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri nelayan pantai dari Terengganu iaitu Kuala Terengganu dan Kemaman selain dari negeri ini seperti Kuantan dan Rompin.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh kepada keputusan kerajaan itu.

Bagaimanapun, katanya, dia berharap kerajaan akan bertegas dan melaksanakan penguatkuasaan itu secara menyeluruh tanpa terpengaruh oleh desakan mana-mana pihak.

"Penggunaan pukat dengan saiz 38mm ini amat baik sekali, perkara ini akan dapat mengelakkan benih ikan di laut daripada pupus dan dijadikan baja oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Apabila ikan tidak pupus, generasi akan datang terutama anak-anak kita dapat makan ikan dari laut negara sendiri, bukannya diimport akibat kepupusan yang berlaku ekoran cara penangkapan ikan salah," katanya.

Peraturan saiz mata keroncong 38mm telah diletakkan sebagai syarat lesen pukat tunda sejak 1982, tetapi ditangguhkan penguatkuasaannya kerana terdapat bantahan daripada nelayan dan status sumber perikanan masih baik ketika itu.

Bagaimanapun, kerajaan menguatkuasakan penggunaan pukat tunda yang lubang jaringnya melebihi 38mm mulai 1 November lalu bagi menyelamatkan benih ikan laut daripada pupus.

Seorang nelayan PNK Kuantan, Zakaria Daud berkata, penggunaan pukat tunda dengan saiz mata keroncong 38mm itu adalah amat baik terutama bagi memastikan pembiakan anak-anak ikan dapat berlaku.

Komited tingkatkan capaian internet di Pahang

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Shahaniza Shamsuddin mengakses internet merasmikan Pusat Internet 1Malaysia di Kampung Chenor, Maran, semalam.

MARAN 9 Nov. - Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan capaian internet di Pahang sehingga ke tahap 67.2 peratus pada tahun depan berbanding 60.8 peratus tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, langkah itu penting untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dengan luar bandar.

Beliau berkata, sasaran peningkatan capaian internet itu dijangka dapat dicapai berikutan komitmen kerajaan negeri untuk menambah Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

Menurutnya, setakat ini, terdapat 58 PI1M termasuk yang dinaik taraf dari Pusat Jalur Lebar (PJL) di kawasan perumahan dan kampung di negeri ini dengan setiap pusat dilengkapi 20 komputer dan pengajar.

''PI1M merupakan projek kerajaan dengan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberi fokus kepada perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada komuniti tempatan di kawasan luar bandar.

''PI1M adalah kemudahan capaian internet kepada komuniti tempatan, sekali gus memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan terhadap teknologi komputer dan internet," katanya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentol ketika berucap merasmikan PI1M Kampung Chenor, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Wilayah Timur SKMM, Nor Azhar Hasan.

Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan di PI1M adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi, perkhidmatan WiFi bagi capaian penduduk sekitar, kemudahan ICT terkini seperti 20 buah komputer dan perisian.

Tambah beliau, PI1M juga menyediakan perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan serta aktiviti berkaitan yang akan diuruskan oleh pengurus dan pembantu pengurus.

Beliau menambah, cadangan kerajaan Persekutuan akan membina 1,000 lagi pencawang telekomunikasi dalam Bajet 2014 adalah satu perkhabaran baik dalam usaha menambah capaian internet di negeri ini.

''Peruntukan pencawang telekomunikasi baharu itu dirancang dibina di beberapa lokasi daerah seperti Seberang Chenor,'' katanya.

Shahaniza menambah, PP1M Kampung Chenor mula beroperasi pada 9 April lepas, serentak dengan perkhidmatan Kampung Tanpa Wayar bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Manfaatkan kemudahan sukan

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

RAUB 9 Nov. - Orang ramai digesa memanfaatkan kemudahan sukan yang dibina di daerah ini bukan sahaja untuk tujuan riadah, bahkan bagi mengasah bakat anak-anak dalam bidang sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Pengguna negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, selain itu, kemudahan yang disediakan termasuk kompleks sukan, gelanggang futsal dan sebagainya perlu digunakan secara optimum agar tidak menjadi projek gajah putih.

Beliau berkata, kemudahan itu perlu dimanfaatkan supaya hasrat kerajaan untuk melihat masyarakat sihat dan cergas mampu direalisasikan.

''Tubuh badan yang sihat dapat mengelak kita menghidap pelbagai jenis komplikasi penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis," katanya selepas melawat Kompleks Sukan Rakan Muda Dong, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, kemudahan di Kompleks Sukan Rakan Muda Dong boleh ditingkatkan lagi pada masa depan untuk membolehkan pelbagai kegiatan sukan dilakukan di premis tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved