Sabtu, 9 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bandar baharu di Bukit Kepok

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

HASAN Rahman (dua dari kiri) bersama Murad Husin (kiri) dan Hairulzamani Othman (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus semasa merasmikan Medan Selera Bukit Kepok, Merlimau di Jasin, Melaka, semalam.

JASIN 8 Nov. - Kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan sebuah bandar baharu di Bukit Kepok, Merlimau di sini bagi menampung keperluan kampus baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan mula beroperasi tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, pembinaan bandar baharu di kawasan itu berada dalam perancangan dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menyediakan 'blue print' tentang projek tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif tentang perkara ini dan bakal dirangka serta dilaksanakan segera sejurus selepas kampus baharu UiTM mula beroperasi Mac tahun hadapan.

"Pembangunan bandar baharu ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai usahawan Melayu berniaga kerana UiTM memerlukan lebih banyak infrastruktur bagi membolehkan mereka bertapak dengan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Medan Selera Bukit Kepok, Merlimau di sini semalam.

Yang hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin dan Pengurus Industri dan Ruang Niaga Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Hairulzamani Othman.

Jelas Hasan, pembangunan bandar baharu itu kelak akan turut membantu memeriahkan lagi aktiviti usahawan dan peniaga kecil di kawasan berkenaan.

"Malah, saya juga percaya kewujudannya akan menjadikan medan selera ini kawasan tumpuan dan tempat berkumpulnya para pelajar universiti.

"Justeru, saya berharap pihak MPJ dan PKNM dapat menyediakan kemudahan internet bagi membolehkan pelajar mendapatkan akses dengan lebih mudah," jelasnya.

Medan Selera Bukit Kepok yang mengandungi enam unit kedai termasuk empat kedai makan dan dua pasar basah itu telah disiapkan sepenuhnya pada Julai 2011 dengan kos sebanyak RM495,000.

"Medan selera yang ringkas ini diharap akan dapat memberi manfaat kepada para peniaga dan pelanggan kerana kedudukannya di tepi jalan," katanya.

Wanita kurang prihatin ujian mamogram

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Anderson Kandiah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Noor Hidayah Nazeri yang dua anaknya kini dirawat di Hospital Putra sambil diperhatikan oleh K. Kamalanathan (tiga dari kiri) dan kakitangan hospital itu di Melaka, semalam.

MELAKA 8 Nov. - Tahap kesedaran golongan wanita berusia 40 tahun ke atas memanfaatkan ujian mamogram secara percuma menerusi subsidi kerajaan masih rendah di negeri ini.

Pengurus Kanan Hospital Pakar Putra, K. Kamalanathan berkata, tidak ramai golongan tersebut mengambil kesempatan menjalani ujian tersebut di hospital itu walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Menurutnya, walaupun hebahan telah dibuat tetapi kadar wanita berusia 40 tahun ke atas menjalani ujian mamogram masih rendah.

"Saya tidak tahu apa sebabnya atau mungkin golongan ini takut untuk menjalani ujian tersebut walaupun diberikan secara percuma.

"Ujian mamogram ini amat penting khusus bagi wanita berusia 40 tahun ke atas supaya mereka mengetahui tahap kesihatan dan mengelak daripada menghidap kanser payu dara.

"Jika penyakit kanser payu dara berada pada tahap satu atau dua, itu masih boleh dirawati tetapi jika sampai ke tahap tiga atau empat, maka sukar untuk dirawati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan kakitangan Hard Rock Cafe Melaka yang menyampaikan sumbangan kepada 30 kanak-kanak di Hospital Pakar Putra di sini hari ini.

Sumbangan berupa pelbagai barangan kanak-kanak bernilai RM100 telah disampaikan Pengurus Hard Rock Cafe Melaka, Anderson Kandiah.

Kamalanathan berkata, pemeriksaan secara percuma itu dibiayai oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Program Saringan Kesihatan Perkeso.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan wanita berusia 40 tahun ke atas untuk datang ke hospital itu bagi menjalani pemeriksaan secara percuma.

"Pemeriksaan hanya pada hari bekerja iaitu dari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang," ujarnya.

Katanya, wanita yang perlu menjalani ujian tersebut termasuk ahli keluarga yang menghidap kanser payu dara, wanita yang belum berkahwin dan wanita yang tidak menyusukan anak.

Sementara itu Anderson berkata, sumbangan yang diberikan Hard Rock Cafe Melaka kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan di Hospital Pakar Putra adalah sempena sambutan Deepavali.

"Ini adalah sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bukan sahaja dilakukan pada setiap sambutan perayaan di negara ini," katanya.

Majlis persaraan pengetua dirai penuh istiadat

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Norpisah Md Nor menaiki tandu yang diusung oleh para pelajarnya dalam majlis persaraan beliau yang berkonsepkan Raja Melayu Lama di SMK Dato' Haji Mohd. Redza di Sikamat, Segamat, semalam.

SEREMBAN 8 Nov. - Selepas berkecimpung dalam dunia pendidikan sejak 30 tahun, Norpisah Md. Nor, 56, diraikan guru-guru dan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Mohd. Redza, Sikamat dekat sini hari ini dengan adat bertandu berkonsepkan Raja Melayu Lama sebagai simbolik persaraan wajib beliau sebagai pengetua.

Norpisah ketika ditemui Utusan Malaysia menjelaskan, para pendidik perlu bersedia dalam menghadapi cabaran dalam mendidik pelajar demi menaikkan nama sekolah sejajar dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah disasarkan.

"Kepimpinan guru amat penting untuk terus mengungguli nama sekolah. Mereka perlu positif, berani menghadapi cabaran, berfikiran terbuka dan bersedia menunjuk arah dalam mendidik pelajar.

"Justeru itu, guru perlu mempunyai komitmen yang mantap dalam memperjuangkan kecemerlangan pendidikan. Guru yang berkualiti akan melahirkan anak didik berkualiti," katanya.

Beliau telah berkecimpung dalam bidang perguruan lebih daripada 30 tahun dan merantau ke Perak, Johor, Pahang, akhirnya kembali ke kampung halamannya di Negeri Sembilan

Norpisah turut menasihatkan pelajar meletakkan diri dalam golongan berilmu dengan tidak mensia-siakan peluang menuntut ilmu di sekolah kerana amat penting dalam persediaan menuju kejayaan.

"Jika kita nak berjaya, kita perlu berubah demi diri sendiri bukannya demi orang lain dan kita perlu sedar bahawa kelak kitalah pewaris dalam memimpin," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved