Khamis, 5 September 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Resipi kita yang julang Korea

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

ZABIDI SHARIFF

KUALA LUMPUR - Kejayaan Korea Selatan membenam Malaysia dan Indonesia selain juara dunia, Thailand 3-0 untuk menjuarai Siri Super Istaf 1 di New Delhi, India, Ahad lalu, datangnya daripada 'benih' yang disemai persatuan sepaktakraw negara Asia Timur itu sejak lebih sedekad lalu.

Kekalahan kepada Korea Selatan itu juga bukanlah perkara baharu kerana dalam acara beregu, mereka pernah mengejutkan Malaysia pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai 2009 dan separuh akhir berpasukan 2010 dan 2012 di Chiang Mai dan Bangkok, Thailand.

Dalam dua tempoh pada 1997 dan 2002 hingga 2003, Korea Selatan mengimport seorang jurulatih Malaysia, Rauzan Masri untuk mendapatkan 'resipi' asas sepaktakraw sebelum menambah ramuannya dengan membawa masuk Haris Abdul Rahman pula menjelang Sukan Asia Doha 2006.

"Saya tidak terkejut dengan kejayaan mereka sekarang kerana saya pernah berkata kepada seorang pegawai persatuan sepaktakraw Korea, lebih kurang 10 tahun lalu bahawa mereka bakal menewaskan Malaysia dalam tempoh berkenaan.

"Malah, selepas tiga bulan saya mengajar Korea, mereka sudah memenangi gelaran divisyen tiga Piala Raja Thai di Nakhonsawan dan divisyen dua Piala Isa dan ada di antara anak buah saya itu kini menyandang jawatan sebagai pegawai Persatuan Sepaktakraw Korea Selatan (KSTA).

"Pada 2001, tiga profesor universiti dari Korea Selatan datang ke Malaysia untuk mendapatkan khidmat saya lagi tanpa saya minta, malah memberitahu bahawa persatuan mereka sanggup menaikkan gaji dan melantik saya sebagai Pengarah Teknikal Sepaktakraw di sana.

"Hasilnya (selain kejayaan Siri Super dan Piala Raja Thai), saya diberitahu sekarang sudah ada 12 kelab profesional dan 12 kejohanan sepaktakraw setiap tahun di Korea Selatan yang jauh berbeza dengan di sini," katanya kepada Utusan Malaysia tanpa bermaksud untuk bermegah dengan pencapaian tersebut.

Rauzan, 60, pesara tentera yang pernah melatih Malaysia memenangi pingat gangsa bulatan Sukan Asia Bangkok 1998 dan skuad kebangsaan dari 1999 hingga 2001, berkata, tugasnya di Korea Selatan bukan sekadar sebagai jurulatih malah membentuk hubungan seperti bapa-anak dengan pemain mereka.

"Selepas saya kembali ke Malaysia, hubungan seperti keluarga angkat itu masih terjalin dan ada beberapa pemain mereka yang turut pernah saya bawa tengok pertandingan sepaktakraw di kampung-kampung kita, datang dan menginap di rumah saya, malah berhari raya dengan berbaju Melayu bersama.

"Saya bersikap profesional walaupun pernah dipanggil ke Kedutaan Malaysia dan dipersoalkan seorang pegawai di situ, mengapa mengajar Korea semua ilmu sepaktakraw kita, nanti kita pula dikalahkannya," katanya.

Bagi bekas pelibas atau apit kanan negara, Zabidi Shariff, kekalahan anak buah Jamaluddin Hassan di New Delhi akan terus berulang pada banyak kejohanan antarabangsa dan mungkin Sukan SEA, Disember ini selagi dasar atau sistem latihan skuad kebangsaan sekarang yang diamalkan dan tidak ditukar atau diberikan sentuhan idea baharu.

Kata pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 ini: "Saya tengok Korea pun (menerusi siaran langsung TV) bukanlah bagus mana pun. Mereka hanya bermain corak mudah sepaktakraw. Tiada taktik yang istimewa. Sepatutnya kita yang kerap mengagungkan diri pelopor sukan ini, lebih maju daripada mereka.

"Kalau kita mahu ubah keputusan seperti itu, maka sistem latihan mahupun pertandingan kena turut berubah. Ini mungkin 'idea bodoh' tetapi saya cadangkan satu pertandingan khas siapa pemain apit yang boleh melibas atau merejam paling tinggi. Begitu juga bagi tekong dan pengumpan, mereka kena ada pengkhususan.

"Secara automatiknya, pemain yang ke pertandingan ini, bakal mampu menukar sistem latihan mereka untuk memenanginya. Jika tidak, hasil yang kita semai dengan sistem sejak 10 tahun lalu itulah yang akan terus dituai seperti dalam Siri Super itu. Selain Thailand, mana lagi negara yang kita tidak pernah kalah. Myanmar? Indonesia? Korea Selatan? Laos."

Namun bekas jurulatih skuad pemenang Piala Raja Thai 1985, Hassan Sulaiman berkata, sudah sampai masanya para jurulatih negara meletakkan jawatan masing-masing sekarang kerana kekalahan itu (Siri Super) amat mengaibkan.

"Apa lagi dan berapa lama yang mereka hendak tunggu jika pasukan negara asyik kalah. Jika orang ini tiada ilmu kejurulatihan sepaktakraw, mana datangnya nadi permainan pasukan? Siapa ketua jurulatih negara sebenarnya dan boleh berikan arahan kepada pemain (ketika timeout)? Jamaluddin atau Nordin Sabaruddin (penolong)?

"Adakah sebab Nordin itu bekas pemain handalan negara dan pernah menang emas Sukan SEA dan Sukan Asia, maka Jamaluddin yang tiada pencapaian sebegitu pula kena berikan laluan kepadanya? Tidak hairanlah kalau pemain kita yang lemah psikologi ini pula mudah tertekan dan menggelabah bila diasak Korea," katanya.

Velodrom hanya di Nilai - Khairy

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Khairy (tengah) dan Alois Hofbauer (dua dari kiri) menyalakan obor sebagai gimik pelancaran 'Tenaga Untuk Juara' di Pusat Akuatik Nasional, semalam. Turut kelihatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong (kanan).

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa velodrom tertutup kelas satu hanya akan dibina di Nilai, Negeri Sembilan seperti mana yang telah ditetapkan dalam Belanjawan 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.

Tegasnya, keputusan telah dibuat dan projek pembinaan velodrom tertutup kelas satu akan diteruskan walaupun sebelum ini ada cadangan bahawa pembinaan tersebut boleh dihentikan dan peruntukannya boleh diagihkan untuk pembinaan velodrom mengikut zon.

"Itulah keputusannya, malah tender sudah dikeluarkan untuk pembinaan velodrom di Nilai, jika ia sudah siap mungkin boleh digunakan bagi Sukan SEA 2017, hanya satu sahaja velodrom tertutup kelas satu iaitu di Nilai," katanya dalam sidang media selepas pelancaran 'Tenaga Untuk Juara' di Pusat Akuatik Nasional semalam.

Sebelum ini Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah memberikan cadangan bahawa peruntukan untuk pembinaan di Nilai boleh digunakan untuk tujuan pembangunan serantau termasuk pembinaan velodrom selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia membina velodrom tertutup kelas satu bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras yang bakal dirobohkan untuk pembinaan projek komersial.

Bagaimanapun, penjelasan Khairy semalam sedikit sebanyak merungkai kekeliruan dan perbalahan sebelum ini kerana Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) tetap mahu projek di Nilai itu diteruskan seperti yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2013.

"Kita juga sudah membuat semakan terakhir bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan saya telah beritahu Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa peruntukan yang akan diberikan oleh DBKL digunakan untuk projek lain," katanya.

Belanjawan 2013 memperuntukkan RM80 juta untuk pembinaan sebuah velodrom tertutup di Nilai, Negeri Sembilan, manakala DBKL yang menjual hartanah milik mereka itu bercadang membina velodrom kelas satu berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras. Nilai tanah di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dianggarkan RM120 hingga 140 juta.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata, PKBM mengalu-alukan pengumuman menteri untuk meneruskan projek velodrom di Nilai kerana Malaysia sekarang ini sangat memerlukan sekurang-kurangnya satu velodrom tertutup kelas satu.

"Kita sangat sukacita, PKBM paling gembira, akhirnya cita-cita untuk membina velodrom kelas satu tercapai, lebih ramai lagi anak-anak Malaysia akan mengikut jejak Josiah Ng, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa bukan sahaja menjadi juara Asia Tenggara, tetapi mampu sehingga ke peringkat Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik kelak.

"Apa yang penting sekarang kita ada velodrom tertutup kelas satu di Malaysia, tidak kira di mana, mungkin 5 hingga 10 akan datang bilangannya bertambah jika ada pihak swasta dan badan kuasa hendak bina sendiri. Kami alu-alukan, keputusan kementerian sangat tepat dan baik, akhirnya sekarang ia sudah terjamin," katanya.

Ditanya mengenai hasrat DBKL untuk membina menggantikan Velodrom Kuala Lumpur, Naim berkata, perkara tersebut perlu ditanya kepada pihak DBKL sendiri.

"Mereka sudah jual tanah Velodrom Kuala Lumpur kepada pemaju jika ia dirobohkan secara mandatori mereka perlu bina satu lagi, itu hak mereka. Sekurang-kurang ada satu velodrom tertutup kelas satu tetapi jika ada dua lebih baik. Kebiasaannya pihak yang merobohkan dan memecahkan gelanggang sedia ada ia adalah tanggungjawab mereka untuk menggantikannya.

"Jika DBKL mahu menggunakan peruntukan untuk kemudahan lain selepas mereka berunding dengan KBS, kita terima sahaja, apa yang mustahak bagi Persekutuan ialah ada velodrom kelas satu, itulah keperluan dan kemahuan kita," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Tiga ditahan, pistol dan dadah dirampas dalam serbuan

Posted: 05 Sep 2013 09:03 PM PDT

PULAU PINANG 6 Sept. - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 43 tahun dan merampas sepucuk pistol, peluru serta pelbagai jenis dadah dalam serbuan di Pangsapuri Casa Idaman, Jelutong kira-kira pukul 8 malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Kertas siasatan nahas Genting Highlands 90 peratus siap

Posted: 05 Sep 2013 09:01 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kertas siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan bas ulang-alik Genting Highlands di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu kini siap 90 peratus.

Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof percaya laporan kes itu dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Siasatan telah dibuat meliputi semua sudut bagi mengetahui punca kemalangan tersebut berlaku," katanya dalam operasi penguatkuasaan trafik ke atas kenderaan berat di Hentian Sungai Buloh, di sini semalam. - UTUSAN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Hulu Tembeling kurang kemudahan asas

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

WAN ANTROPOLOGI
Kuala Lumpur

RUMAH papan yang uzur milik penduduk berpendapatan rendah memberi gambaran penduduk Hulu Tembeling masih berada pada tahap kemiskinan.

Saudara Pengarang,

Saya rasa terpanggil untuk membuat ulasan apabila terbaca rencana mengenai kemiskinan penduduk Hulu Tembeling, daerah Jerantut seperti yang tersiar di ruangan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Adakah kemiskinan mereka dikategorikan sebagai miskin tegar jika dibandingkan dengan senario mereka berpendapatan rendah tinggal di bandar besar dan tempat lain.

Hulu Tembeling mempunyai keunikan alam sekitar termasuk sumber khazanah yang sering difokus oleh pelawat serta pihak berkepentingan dalam ekonomi dan sosial.

Saya pernah menjelajah ke Hulu Tembeling beberapa tahun lalu mendapati rata-rata penduduk bekerja sebagai nelayan sungai, mencari sumber hutan, menoreh getah dan bot penambang.

Pendapatan hasil usaha mereka yang agak lumayan tidaklah boleh dikategorikan sebagai miskin kerana pendapatan daripada mata pencarian itu mampu menampung perbelanjaan kebajikan keluarga dan persekolahan.

Memang tidak dinafikan ada segelintir penduduk di situ dan bukan berasal dari Hulu Tembeling yang berkahwin dengan penduduk tempatan berada di jalur kemiskinan apabila dinilai menerusi pendapatannya.

Rata-rata golongan ini boleh dibilang dengan jari berikutan ada tergolong dalam kemiskinan relatif dan pewaris daripada ibu bapa atau keluarga terdahulu kerana tidak mempunyai harta menumpang membina kediaman di tanah orang lain.

Bagi saya, kehidupan di kampung berasaskan sumber yang ada dalam sektor pertanian, getah dan lain-lain mampu menghasilkan pendapatan bernilai empat angka, malah ada sesetengah penduduk berkenaan tinggal di bandar atau tempat lain.

Saya berpendapat kemiskinan yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak bukanlah disebabkan oleh punca pendapatan, tetapi lebih kepada kekurangan kemudahan asas utama iaitu jalan raya yang menjadi pemangkin sektor pertanian dan pelancongan.

Kemudahan inilah melambatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk khususnya mengisi kebajikan masing-masing menerusi ruang pemasaran dan keselesaan perhubungan antara kawasan pedalaman itu dengan bandar.

Saya mengulas hal ini bukanlah untuk merendahkan akauntabiliti, tanggungjawab dan integriti pihak tertentu, tetapi impaknya pasti akan mencalarkan geopolitik pada masa akan datang.

Menerusi ruangan ini, senario kehidupan penduduk Hulu Tembeling sama seperti di tempat lain berikutan ketiadaan kemudahan asas utama menyebabkan mereka dilabelkan miskin, orang pedalaman dan dianggap tersisih dari tempat lain.

Naik taraf Jalan Kuantan-Kuala Lumpur

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

PEMANDU BIJAK
Maran

Jambatan sempit di laluan Temerloh-Kuala Lumpur perlu dinaik taraf bersesuaian dengan kepesatan ekonomi dan sosial di Temerloh selari dengan pelebaran jalan di kawasan berkenaan.

Saudara Pengarang,
JALAN lama Kuantan-Kuala Lumpur tetap sibuk dan penting kepada pengguna walaupun Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dibuka kepada pengguna kenderaan sejak beberapa tahun lalu.

Dengan jarak sejauh 150 kilometer itu tetap menjadi pilihan pengguna walaupun berselekoh, rosak dan sebagainya.

Jalan alternatif kepada lebuh raya itu tetap sibuk hampir setiap masa apatah lagi jika pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha dan cuti persekolahan.

Ramai pengguna mengadu tentang kualiti jalan ini dan perlu dinaik taraf oleh kerajaan kerana memberi kesedaran lonjakan pembangunan yang lebih terarah dan moden menjelang 2020.

Satu aspek yang perlu dilaksanakan segera ialah melebarkan lebih 20 jambatan di laluan tersebut kerana didapati sempit berbanding jalan sedia ada dan boleh menyebabkan kemalangan maut.

Saya masih ingat lagi kemalangan di atas jambatan sempit di Temerloh beberapa tahun lalu menyebabkan satu keluarga maut apabila kereta dinaiki tersepit di atas jambatan sempit dengan sebuah treler.

Oleh itu, pihak berkuasa perlu peka untuk menaik taraf dan membina jambatan baharu untuk kepentingan pengguna jalan tersebut yang berulang alik mengikut laluan berkenaan.

Laluan sesak di Bandar Lipis

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

MAT JELAI
Kuala Lipis

Jalan Bandar Lama Kuala Lipis perlu dilebarkan berikutan ramai pengguna yang melalui jalan ini sehingga menyebabkan kesesakan lalu-lintas.

Saudara Pengarang,
SAYA antara penghuni bandar bersejarah Kuala Lipis ingin memaklumkan sejak akhir-akhir ini wujud kesesakan lalu-lintas khususnya laluan ke bandar lama dan Bandar Baharu Seberang Sungai Jelai.

Kesesakan itu juga termasuk laluan ke Bandar Baharu Seberang Jelai yang saban waktu dikunjungi ramai penduduk berbelanja, berurusan di pejabat kerajaan dan pelawat ke sini.

Senario kesesakan itu bukan sahaja berlaku pada waktu puncak, tetapi waktu lain memandangkan cuma sebatang laluan sahaja memasuki bandar lama Kuala Lipis termasuk Bandar Baharu Seberang Jelai.

Kesesakan itu kerap bermula berdekatan bulatan jalan memasuki bandar ini sehingga ke pusat bandar dan keadaan semakin kritikal sejak akhir-akhir ini ketika waktu puncak.

Kesesakan berpunca apabila kedudukan dua persimpangan lampu isyarat berdekatan, iaitu di persimpangan jalan ke Bandar Baharu Seberang Jelai dan bandar lama di sini.

Sementara lampu isyarat berdekatan juga wujud di persimpangan masuk ke Hospital Lipis, pusat berbelanja, masjid, stesen kereta api dan hotel di situ.

Lokasi tersebut dipercayai antara punca kesesakan lalu-lintas dan kadang-kadang kenderaan terpaksa berbaris sehingga di hadapan balai polis dan bulatan masuk ke Bandar Baharu Seberang Jelai.

Saya berharap pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri mencari alternatif terbaik menaik taraf laluan baharu termasuk melebarkan jalan masuk serta keluar dari bandar itu supaya mengurangkan kesesakan itu.

Kekurangan tempat meletak kereta juga antara punca kesesakan khususnya sesuatu acara membabitkan perayaan di setiap lokasi bandar ini sehingga mereka meletakkan kenderaan sesuka hati dan mengganggu lalu-lintas.

Saya bersama masyarakat Lipis berharap perubahan baharu berlaku di bandar bersejarah ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kes Husam saman Kickdefella RM10 juta selesai

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Kes saman fitnah RM10 juta oleh Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa terhadap blogger Kickdefella berhubung isu syarikat Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. berjaya diselesaikan tanpa sebarang perbicaraan dan tanpa apa-apa kos di Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong hari ini merekodkan perjanjian penyelesaian selepas pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman itu memaklumkan kepada mahkamah mengenai penyelesaian itu.

Kes saman yang difailkan pada 21 Februari lalu sepatutnya mula dibicarakan hari ini.

Menurut terma penyelesaian, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang dinamakan sebagai pihak defendan perlu menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh 14 hari bermula hari ini di akhbar Sinar Harian edisi Kelantan dan juga di blog kickdefella.net.

Permohonan maaf tersebut berbunyi:

''Merujuk kepada artikel di akhbar Sinar Harian bertarikh 25 Julai 2012 bertajuk, Husam Digesa Henti Main Politik Kura-Kura, yang dikatakan telah menjatuhkan maruah dan mengaibkan Datuk Husam Musa.

''Saya amat kesal atas segala kesusahan yang dialami oleh beliau akibat daripada penyiaran artikel tersebut. Saya dengan ikhlas memohon maaf sekiranya kenyataan saya di sidang akhbar berkenaan telah menimbulkan kekeliruan sehingga tersiarnya artikel tersebut.''

Husam selaku plaintif diwakili peguam Noorazmir Zakaria manakala peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Syed Azidi.

Husam dan Syed Azidi hadir pada prosiding hari ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Husam berkata, kenyataan itu disiarkan dengan niat jahat dan merosakkan maruah, kredibiliti dan nama baiknya.

Husam menuntut ganti rugi RM10 juta, perintah yang menghalang defenden daripada memberi komen atau menyiarkan kenyataan bersifat memfitnah terhadapnya dan permohonan maaf oleh defendan dalam akhbar Sinar Harian.

Rakaman CCTV tunjuk konkrit jatuh menegak hempap kereta

Posted: 05 Sep 2013 12:50 AM PDT

GEORGE TOWN 5 Sept. - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah konkrit jatuh secara menegak dan mengenai bahagian belakang sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan penebat kilat di Menara UMNO di Jalan Macalister runtuh.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail, Mohd. Zain berkata, rakaman CCTV yang diperoleh dari bilik kawalan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang dilihat berulang kali dalam gerak biasa dan gerak perlahan jelas menunjukkan konkrit yang jatuh secara menegak itu juga telah membenam sebuah kenderaan ke dalam tanah.

"Selepas beberapa kali melihat rakaman CCTV itu saya terus memaklumkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengenai rakaman itu kerana disyaki ada mangsa yang terlibat," kata Ismail, saksi ke-15 prosiding inkues yang didengar di hadapan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim.

Inkues berkenaan diadakan bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister.

Inkues itu juga bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.

Ismail berkata, beliau kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan memaklumkan kepada pihak polis yang bertugas di kawasan berkenaan bahawa disyaki terdapat mangsa terlibat dalam insiden itu.

"Pada kedalaman kira-kira 3.05 meter pasukan penyelamat mula menjumpai bahagian hadapan kereta yang ada tertulis nombor casis kereta, apabila kerja-kerja mengorek diteruskan lagi sedalam 1.5 meter pasukan penyelamat menjumpai bahagian badan kereta dan tayar," katanya.

Terdahulu, saksi ke-13 iaitu Juruteknik Kanan Unit Perancangan Lalu Lintas MPPP Omar Mat Kassim memberitahu mahkamah bahawa beliau menyangkakan konkrit yang terjatuh dan mengenai sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang pada 13 Jun lepas adalah gangguan pada imej CCTV akibat cuaca buruk.

Beliau yang tidak mengesyaki terdapat mangsa terlibat dalam kejadian itu memberitahu bahawa beliau tidak menonton rakaman CCTV itu sehinggalah kontraktor datang untuk menyelenggara CCTV yang rosak akibat gangguan bekalan elektrik pada 15 Jun lepas.

"Ketika itu saya telah melihat sekali lagi rakaman CCTV secara gerak perlahan dan waktu itu baru saya sedar terdapat sebuah konkrit terjatuh di atas sebuah kereta dan bukannya gangguan imej seperti yang saya sangka pada awalnya," katanya.

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno yang runtuh. Khairul Anuar dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit dan Siti Fatimah Talib, peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara UMNO) Abdul Fareed Abdul Gafoor, yang dibantu Norliza Ali. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


4 terbunuh di Damsyik dalam serangan bom kereta

Posted: 05 Sep 2013 11:11 AM PDT

DAMSYIK 6 Sept. - Sekurang-kurangnya empat terbunuh dan enam lagi cedera dalam kejadian serangan bom kereta di barat Damsyik, semalam.

Letupan itu berlaku berhampiran pusat penyelidikan dan dan ujian bergabung dengan kementerian industri di kawasan berhampiran bandar Syria

"Sebuah bom kereta membunuh empat orang dan mencederakan enam yang lain," memetik laporan SANA sambil menambah letupan itu memusnahkan kedai dan kenderaan yang berhampiran dengan pusat penyelidikan itu. - AFP

Kementerian Luar Iran ambil alih rundingan antarabangsa

Posted: 05 Sep 2013 11:10 AM PDT

TEHERAN 6 Sept. - Kementerian Luar Iran akan mengambil alih rundingan antarabangsa mengenai nuklear yang akan datang dengan perunding antarabangsa.

Presiden Iran Hassan Rowhani bagaimanapun menjelaskan tiada tarikh khusus yang ditetapkan antara Iran dan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) .

Rundingan sebelum ini yang diketuai oleh oleh majlis keselamatan negara menghasilkan sedikit kemajuan dan Hassan Rowhani percaya bahawa Menteri Luar Mohammad Javad Zarif dan pasukan baru itu akan mempunyai kemahiran diplomatik untuk mencapai kejayaan dalam rundingan tersebut. - DPA.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Peranti jejaki penjenayah

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

SEKATAN yang dikenakan terhadap pelaku jenayah, mempunyai beberapa kelemahan. Meletakkan seorang anggota polis untuk setiap pesalah bagi mengawal pergerakan si pesalah ialah sesuatu yang 'absurd' - seolah-olah polis tidak ada kerja lain yang perlu dilakukan.

Oleh demikian, dalam abad ke-21, dengan kemajuan sains dan teknologi, penggunaan teknologi dalam usaha membanteras jenayah merupakan sesuatu yang jelas, lagi nyata. Satu teknologi yang sudah diguna secara meluas di banyak negara maju dan membangun oleh pihak polis di negara masing-masing ialah penggunaan peranti pengawasan elektronik (EMD).

Penganalisis jenayah, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, dalam aspek ini, sebuah peranti kecil akan dipasangkan pada suspek jenayah atau pesalah bagi membolehkan pergerakan mereka sehari-hari diperhatikan oleh pihak polis.

"Individu yang dipasangkan peranti ini boleh dikesan di mana sahaja ia berada. Ini termasuklah kalau ke luar negara dengan kemudahan GSM roaming.

"Sistem GPS yang serba canggih digunakan oleh teknologi EMD menjadikan teknologi ini jelas satu langkah seterusnya untuk pihak polis terus melawan jenayah di negara kita berbekalkan peralatan canggih yang terkini," kata beliau kepada penulis baru-baru ini.

Ahmad Faris yang juga Pengerusi Sekretariat Anti-Jenayah - sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu pihak berkuasa membanteras jenayah - berkata, penggunaan EMD tidak perlu dikhuatiri atas penyalahgunaannya atas tujuan politik.

Ini kerana penggunaan EMD dilaksanakan atas prinsip SOSMA atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Beliau merujuk Seksyen 4 yang memberikan kuasa penangkapan dan penahanan kepada pihak polis, iaitu perkara (3): "Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya". Maksud "kepercayaan dan aktiviti politik" diterangkan dengan lebih lanjut dalam perkara (12) di bawah seksyen yang sama di atas.

"SOSMA membenarkan suspek untuk dipakaikan EMD selepas diikat jamin sehingga 28 hari daripada hari tahanan. Ini membolehkan pihak polis menjejak suspek semula sehingga keadaan memerlukan.

"Pemasangan EMD juga satu langkah sekatan bagi mengelakkan suspek daripada melakukan jenayah sekali lagi. Melalui EMD, mudah untuk pihak polis mengenal pasti sekiranya suspek berada di

lokasi kejadian sesuatu jenayah berlaku.

"Tambahan pula, menyedari pergerakannya diperhatikan, suspek secara tidak langsung tidak akan berani untuk melibatkan diri daripada kegiatan jenayah mahupun ke lokasi yang boleh menimbulkan syak wasangka daripada polis," kata beliau.

Berdasarkan undang-undang yang ada, penggunaan EMD agak terhad hanya untuk pemakaian kepada suspek jenayah.

"Mungkin saya terlepas pandang, tetapi wajar penggunaan EMD ini diperluaskan kepada pemakaian pada semua banduan yang menjalani hukuman sekatan.

"Satu cadangan dalam penggunaan EMD adalah dalam kes melibatkan ikat jamin. Untuk kes jenayah yang boleh diikat jamin, sekiranya tertuduh tidak mampu membayar kos ikat jamin, undang-undang wajar memberi peluang untuk tertuduh dibebaskan dengan syarat individu terbabit bersetuju untuk dipasangkan peranti pengawasan pada tubuh badannya.

"Juga, bagi kes yang tidak boleh diikat jamin, mahkamah seharusnya diberi kuasa menggunakan budi bicara mahkamah untuk mengizinkan tertuduh diikat jamin seterusnya diwajibkan untuk individu tersebut dipasangkan EMD," kata Ahmad Faris.

Begitu juga dalam Akta Pencegahan Jenayah 1959. Pada masa ini, kata beliau, akta itu hanya melibatkan penahanan suspek. Kemudahan yang ada dikhuatiri tak akan mampu menampung semua yang ditahan dalam tahanan.

Oleh hal yang demikian, akta tersebut disaran untuk digubal agar diselitkan elemen sekatan di dalamnya supaya suspek yang dianggap kurang memberi ancaman boleh dilepaskan dan EMD dipasangkan pada orang tersebut.

"Kalau mahu dibidas penggunaan ini yang menyekat kebebasan si pemakai daripada bergerak tanpa dikawal, kita perlu ambil perkiraan lain pula bahawa pemakaian EMD ini merupakan salah satu daripada elemen pencegahan jenayah.

"Penggunaan EMD ini tergolong dalam elemen sekatan yang mana penjenayah atau suspek jenayah akan disekat pergerakan mereka daripada dimasukkan terus dalam tahanan," katanya.

Perlu diingat, kata Ahmad Faris, EMD yang digunakan secara menyeluruh di banyak negara hanya terdiri daripada dua jenis peranti iaitu peranti di tangan atau peranti di kaki. EMD bentuk itu menepati kehendak hak asasi manusia secara umumnya.

Kata beliau: "Malah, kalau dilihat melalui perspektif yang lebih tepat, kita bukan menyekat kebebasan mereka, namun kita memberi mereka lebih banyak kebebasan kerana diberi peluang untuk bercampur dengan masyarakat tanpa ditahan dalam jeriji besi yang sempit.

"Kebebasan yang diberi ini cuma datang bersyarat iaitu pergerakan mereka perlu disekat dan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan untuk tempoh masa tertentu. EMD memberi PDRM peluang untuk melaksanakan undang-undang sekatan dengan lebih efisien dan efektif."

Dalam satu sudut, menerusi EMD, kerajaan memberi peluang kepada bekas penjenayah untuk memulakan hidup baru dengan lebih mudah. Di sebalik meluangkan tempoh masa yang lama dalam tahanan, banduan yang berkelakuan baik boleh diberi peluang untuk dilepaskan dengan syarat mereka bersetuju menghadapi hukuman sekatan.

Perkara ini secara tidak langsung memberi peluang untuk kita mengurangkan kos pengurusan penjara di Malaysia.

Malaysia bukanlah negara pertama yang akan menggunakan EMD ini. Banyak negara maju lain sudah melaksanakan pemakaian EMD dalam usaha mengawal jenayah dalam negara masing-masing.

Contoh pertama ialah England. Sedar atau tidak, sudah hampir 20 tahun EMD digunakan di England bagi mengawal jenayah di negara tersebut. Di negara Inggeris itu, pemakai EMD terdiri daripada banduan yang diberi pelepasan awal, mereka yang diikat jamin, hukuman mahkamah, kes juvenil dan beberapa sebab khas lain.

Selain England, Amerika Syarikat juga melaksanakan pemakaian EMD untuk elemen sekatan dalam usaha pencegahan jenayah di negara maju tersebut. Penggunaannya berbeza mengikut negeri.

Kata Ahmad Faris: "Untuk pelaksanaan di negara ini, England boleh menjadi model untuk dipelajari dan sudah tentu, jiran sebelah kita, Singapura, yang sudah menggunakan EMD lama sebelum kita.

"Hal ini merupakan sesuatu yang berguna untuk PDRM dalam usaha untuk mula menggunakan teknologi ini di Malaysia.

"Terdapat kelemahan dan kekurangan yang pernah dilakukan oleh negara lain dapat dipelajari dan diteladani agar tidak berulang kesilapan tersebut oleh PDRM."

Benarkah kereta hibrid jimat?

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Honda CR-Z yang menggunakan teknologi hibrid dengan reka bentuk bergaya mendapat sambutan di Malaysia.

YA, penulis turut terbabit beratur untuk mengisi minyak malam Isnin lepas. Bukan kerana nak merebut peluang beli minyak murah 20 sen seliter tetapi kebetulan memang hendak mengisi selepas tamat masa kerja. Maklumlah guna sistem 'isi hanya bila tangki kosong'. Kacau-bilau juga fikiran ketika itu. Takut mati enjin tengah jalan!

Ramai yang merungut tetapi mujurlah kebanyakan sahabat rapat adalah jenis praktikal dan terbuka minda. Sahabat sepasukan futsal misalnya, memilih untuk berbicara mengenai kereta yang sesuai dalam keadaan harga bahan api yang mahal sekarang.

Dua cadangan dibentangkan. Pertama, pilih kereta yang enjinnya bersaiz di bawah 1.5 liter sebagai pengangkutan rasmi ke pejabat (kebanyakan bekerja di luar 20 kilometer dari rumah) dan jika ada yang berkereta lebih besar misalnya SUV, akan diguna pada hujung minggu atau hujan lebat sahaja.

Cadangan kedua ialah menukar kepada kereta hibrid. Berdasarkan perbualan tersebut yang merangkumi dua orang yang bekerja sebagai eksekutif jualan kereta, nampaknya kereta hibrid menikmati persepsi positif walaupun tidak semestinya pemahaman mereka jelas dan tepat mengenainya. Apakah kereta hibrid benar-benar menjimatkan?

Secara umumnya, kereta hibrid sangat sesuai untuk orang yang perlu menempuh kesesakan jalan raya ke pusat bandar setiap hari. Jika sekali-sekala, elok guna kereta kecil atau berenjin diesel.

Kereta hibrid adalah sebuah kenderaan yang digerakkan menggunakan dua motor iaitu enjin petrol biasa dan motor elektrik yang dicas menerusi bateri khas dipasang dalam kereta.

Menggunakan teknologi pintar diistilahkan 'brek penjanaan semula', ketika kereta hibrid memperlahan, sistem itu menangkap tenaga brek dan menjana semula tenaga untuk mengecas bateri. Pengguna boleh menukar penggunaan enjin petrol dan bateri pada bila-bila masa, selain dinyalakan secara automatik.

Terdapat pelbagai teknologi yang wujud pada kereta-kereta hibrid di pasaran. Honda memiliki penawaran model yang terbesar iaitu Jazz Hybrid CKD, Civic Hybrid, CR-Z dan Insight manakala Toyota ada dua iaitu Prius dan Prius C serta Lexus.

Nissan memiliki enjin hibrid untuk Nissan Serena. Nissan dan Mitsubishi tidak menumpu pada hibrid setakat ini tetapi masih di peringkat pengenalan untuk kereta elektrik iaitu Nissan Leaf dan Mitsubishi i-MiEV. Beberapa jenama kereta Eropah juga menawarkan kereta hibrid tetapi itu kategori mewah.

Hibrid ini akan bernyala secara automatik apabila kereta bergerak sangat perlahan semasa kesesakan. Fungsi hibrid juga boleh dinyalakan secara manual. Secara umumnya, enjin petrol biasa semasa kesesakan menggunakan bahan api yang tinggi, maka hibrid adalah rumusan terbaik kerana menggunakan elektrik dari bateri.

Untuk benar-benar menikmati penjimatan, seseorang pemilik kereta hibrid juga harus menukar gaya pemanduan. Hibrid jimat semasa kesesakan. Tetapi jika dipacu laju di lebuh raya, kos bahan apinya sama juga seperti enjin biasa.

Malah mungkin lebih, disebabkan kereta menanggung berat tambahan bateri dan komponen khas hibrid. Seelok-eloknya pengguna hibrid membiasakan diri memandu di bawah 110 kilometer sejam. Kalau asyik nak memecut lebih, elok guna sahaja kereta biasa atau diesel.

Kenapa penulis kata begitu? Pertama, kos memiliki dan menyenggara hibrid sedikit mahal berbanding kereta biasa. Pada masa ini, kereta hibrid dijual pada harga wajar hasil insentif yang diberi kerajaan untuk kereta mesra alam sekitar.

Oleh kerana secara relatifnya teknologi hibrid masih baharu di dunia, bilangan yang dibina, dijual dan dimiliki masih di paras yang rendah, sekali gus tidak memungkinkan pengeluar kereta menurunkan harga.

Kereta hibrid lebih mahal daripada varian biasa kerana pelaburan modal yang tinggi untuk membangunkan teknologi hibrid. Terdapat syarikat yang mengeluarkan kereta hibrid murah bagi menggalakkan orang ramai memilikinya. Contoh mudah ialah Honda Jazz Hybrid CKD berharga RM89,900 dan Toyota Prius C berharga RM97,000.

Terdapat juga kebimbangan mengenai jangka hayat bateri. Difahamkan jaminan (waranti) yang diberi oleh syarikat di Malaysia lebih singkat berbanding di Eropah iaitu selama 10 tahun. Jurutera dari Jepun menyakinkan jangka hayat Prius generasi pertama misalnya, masih berfungsi dengan baik hari ini malah diguna sebagai teksi di Tokyo.

Insentif pengecualian duti import dan eksais ke atas kenderaan hibrid bersaiz 2.0 liter ke bawah akan tamat 31 Disember ini. Melainkan kerajaan bersedia melanjutkannya, kereta hibrid akan kembali lebih mahal pada 1 Januari 2014.

Dalam konteks ini, penulis berharap kerajaan akan meneruskan dasar tersebut kerana suasana harga petrol mahal sekarang, pasti akan mendorong lebih ramai membeli kereta hibrid. Secara tidak langsung, matlamat kerajaan menggalakkan kereta mesra alam sekitar akan melangkah setapak lagi.

Satu lagi faktor positif daripada langkah itu ialah secara langsung menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan hibrid. Jualan kereta hibrid sebenarnya masih kecil iaitu sekitar 2.4 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) 627,753 unit tahun lepas.

Namun, insentif kerajaan telah membantu menambahkan jualan dari hanya 332 unit pada tahun 2010 kepada 8,334 unit pada 2011, sebelum meningkat sebanyak 84 peratus kepada 15,355 unit pada tahun lalu.

Terdapat penganalisis industri beranggapan bahawa kenderaan hibrid menjadi pilihan lebih disebabkan harganya (kesan pengecualian cukai) berbanding penjimatan kos teknologi itu sendiri, serta reka bentuk model itu sendiri yang menawan. Lihat Honda CR-Z.

Beberapa pegawai syarikat kereta berkaitan mengakui menanti pengumuman kerajaan dalam pembentangan Bajet bulan depan. Jika insentif diteruskan, strategi pemasaran mereka akan membabitkan lebih banyak model hibrid diperkenalkan ke pasaran Malaysia.

Bagi anda yang memiliki kereta berenjin bawah 1.5 liter termasuk Perodua Kelisa 1.0 liter, Viva, Kancil atau Proton Tiara dan Savvy, saya sarankan anda baik pulih sewajarnya kereta dan gunakannya.

Tangki penuh Kelisa contohnya ialah 40 liter. Diisi penuh RON95 RM2.10 seliter ialah RM84 dan boleh mencapai jarak 400 kilometer dalam tempoh enam hari. Jarak tersebut tidak mungkin dicapai menerusi SUV yang tangki penuhnya 65 liter.

Andai anda rasa tidak bergaya memandu Kancil, belilah kenderaan hibrid. Seorang pemandu yang bijak ialah biar berkereta mini, asal jimat bahan api.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Akhirnya Bront mengaku sudah nikah

Posted: 05 Sep 2013 02:44 AM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BRONT PALARAE... nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, menikah dengan seorang penerbit di ibu negara, 31 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Ramai yang tahu bahawa aktor Bront Palarae, 35, sudah sah bergelar suami kepada seorang penerbit di sebuah agensi pengiklanan pada 31 Ogos lalu.

Majlis pernikahan secara tertutup di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, di sini sempat dihadiri oleh wartawan dan jurufoto Utusan Malaysia.

Bagaimanapun sewaktu berita pernikahan itu disiarkan 3 September lalu, foto majlis yang dihadiri ahli keluarga terdekat itu tidak dapat disiarkan kerana semua gambar dipadam atas arahan seorang kenalan Bront.

Namun untuk tidak menghampakan peminat Bront, Utusan Malaysia berjaya mendapatkan semula foto pernikahan tersebut.

Sebelum ini, Bront telah mengeluarkan satu kenyataan penafian di sebuah portal hiburan bahawa dia telah bernikah.

Bagaimanapun hari ini dalam sebuah portal hiburan dan akhbar tempatan, pelakon filem Psiko Pencuri Hati itu mengaku bahawa dia telah menikah. Majlis resepsi pihak Bront akan diadakan di kampung halamannya di Hatyai, hujung tahun ini.

Pada ketika ini Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, sibuk mempromosi filem Psiko Pencuri Hati, arahan Nam Ron yang mana dia memegang watak Sidi.

Lain-lain pelakon yang menjayakan filem pertama arahan Nam Ron yang mula ditayangkan di pawagam mulai hari ini adalah Sharifah Amani, Sein Ruffedge, Shera Aiyob dan Amerul Affendi. - UTUSAN ONLINE

Farid, Diana bakal umum nama, tunjuk anak di Astro

Posted: 05 Sep 2013 01:45 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Pasangan pelakon suami isteri, Farid Kamil Zahari dan Diana Danielle bakal mengumumkan nama dan wajah anak lelaki mereka yang berusia dua bulan dua hari itu secara eksklusif melalui saluran televisyen Astro pada waktu terdekat ini.

Menurut Kamil sebagai permulaan dia hanya mahu mengumumkan pangkal nama anak sulungnya itu sebagai Muhammad dan ia akan diumumkan sepenuhnya menerusi sebuah rancangan khas terbitan Astro yang dibuat ekoran atas permintaan banyak pihak.

"Isteri dan anak saya telah balik ke sini dari Australia beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Sekarang ini mereka berada di rumah ibu bapa saya di Alor Setar, Kedah. Astro berminat untuk menyiarkan rancangan khas tentang anak dan isteri saya itu.

"Selain itu, saya juga merancang untuk mengadakan majlis khatam al-Quran yang dilakukan oleh Diana selain acara akiqah untuk anak saya itu," katanya pada sidang akhbar selepas tayangan filem lakonannya berjudul Dampak di Petaling Jaya hari ini.

Berita tentang kelahiran anak pertama pasangan itu yang dilahirkan di Australia menarik perhatian banyak pihak termasuk para wartawan dan peminat apatah lagi Farid turut menyiarkan dua gambar bayinya itu melalui lawan sosial Instagramnya sehingga menjadi tumpuan ramai. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Elfriede bayi paling comel

Posted: 04 Sep 2013 11:53 PM PDT

Bayi comel, Elfriede Boo Qiu Yee (tengah), Gurleender Kaur a/p Jasvinder Singh (kiri) dan Zayn Ahmed Mohammed Al-Qaraghuli (kanan) bersama ibu masing-masing selepas dimahkotakan sebagai pemenang pertama hingga tiga Johnson's Baby of The Year 2013.

Menghadiri acara yang dikelilingi oleh bayi-bayi comel sememangnya mengujakan. Membuak-buak perasaan geram untuk mencubit pipi-pipi si kecil yang halus dan mongel apatah lagi menyaksikan gelagat comel masing-masing.

Itu yang dirasai oleh sebahagian besar yang hadir pada pertandingan akhir bayi paling comel, Johnson's Baby of The Year 2013, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Digelar sebagai pertandingan bayi paling berprestij, tahun ini merupakan ulang tahun ke 21 pertandingan yang dianjurkan oleh Johnson & Johnson Malaysia itu.

Seperti mana tahun-tahun lepas, pertandingan ini telah berjaya mengumpul banyak penyertaan dari seluruh negara.

Pengarah Pemasaran Bersekutu Johnson & Johnson Malaysia, Lynn Yeo, berkata, pertandingan tersebut sentiasa mempunyai fokus yang tetap untuk meraikan ciri-ciri yang terbaik dalam setiap bayi menyertainya.

Pada masa yang sama katanya, ia turut membentuk platform untuk merapatkan hubungan antara ibu dan anak.

"Selama lebih dari dua dekad kami telah memahkotakan 20 putera dan puteri dan pertandingan ini semakin sengit sejak kebelakangan ini kerana setiap peserta mempunyai tarikan yang unik serta kelihatan comel dengan cara yang tersendiri," ujar Lynn.

Menurut beliau, pertandingan tersebut juga memberi pengalaman berharga buat ibu dan bapa yang rata-ratanya sibuk dengan urusan kerja mereka.

Katanya, di kesempatan itu mereka dapat meluangkan masa bersama, iaitu ketika mengambil gambar dan sesi pertemuan dengan panel pengadil.

"Memang menjadi satu memori yang terindah apabila ibu bapa dapat berkongsi kepada seluruh dunia tentang anak mereka yang semakin membesar," katanya.

Selain daripada penampilan bayi yang comel dan cantik, penekanan turut diberikan terhadap kesihatan dan pertumbuhan bayi secara keseluruhan.

Bayi yang terpilih di peringkat akhir diperiksa secara teliti oleh pakar pediatrik untuk penilaian kesihatan dan pertumbuhan mereka berdasarkan umur masing-masing.

Panel pengadil juga meneliti kualiti unik yang membezakan antara mereka seperti senyuman yang menawan atau pergerakan yang lincah.

Gelaran Johnson'Baby of The Year 2013 direbut oleh Elfriede Boo Qiu Yee dari Pulau Pinang, manakala tempat kedua, Gurleender Kaur a/p Jasvinder Singh dari Selangor dan Zayn Ahmed Mohammed Al-Qaraghuli juga dari Selangor tempat ketiga.

Pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, RM 5,000 dan RM3,000 berserta hamper produk Johnson's Baby.

Sebagai juara Elfriede juga berpeluang untuk muncul pada muka hadapan majalah keibubapaan

Seramai 17 orang bayi yang layak ke peringkat akhir juga telah menerima hadiah wang tunai RM300 dan hamper.

Buku ilham chef

Posted: 04 Sep 2013 11:53 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar AZLIZA HAILANI

Seramai 15 chef yang terlibat menyiapkan buku resipi Amazing Inspirations.

UMUM mengetahui bahawa chef-chef tersohor memiliki pengetahuan meluas mengenai sajian serta pengalaman kulinari yang mendalam. Pengetahuan ini sebaiknya dikongsi bersama dengan orang lain terutamanya dengan mereka yang turut berminat dalam bidang masakan.

Maggi turut mempercayai nilai baik ini dan untuk itu telah bekerjasama dengan Persatuan Chef Malaysia (CAM) bagi menghasilkan buku resipi yang bertujuan untuk memberi ilham kepada chef-chef muda di dalam industri ini.

Buku yang diberi judul Amazing Inspirations ini bukan sahaja menonjolkan chef-chef terbaik negara dan memaparkan kemahiran memasak pemimpin industri ini, tetapi turut memberikan sedikit pemahaman mengenai asal-usul dan falsafah masakan mereka.

Chef-chef profesional ini juga berharap supaya chef-chef muda akan terpengaruh dan mendapat ilham dengan kisah-kisah, resipi dan teknik-teknik yang dipaparkan untuk menghasilkan ciptaan yang lebih kurang sama atau yang tersendiri.

Bagi menjadikan buku ini satu realiti, 15 orang chef tersohor negara yang masing-masing terkenal dengan kecemerlangan masakan mereka telah turut bekerjasama.

Mereka adalah Chef Chern Chee Hoong (Presiden Persatuan Chef Malaysia), Chef Antoine Rodriguez (Hotel Le Meridien Kuala Lumpur), Chef Arthur Heng (Hotel Concorde Kuala Lumpur), Chef Federico Michieletto (Marini's on 57), Chef Gary Lim (Hotel ParkRoyal), Chef Helmut Lampberger (Hotel Impiana KLCC) dan Johari Edrus (Chefjo Culinary Consultant).

Selain itu, Chef Oliver Lopez (Resorts World Genting), Chef Rajesh Kanna (Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur), Chef Raymond Tan (Sunway Hotel Resort & Spa), Chef Richmond Lim (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur), Chef Sabri Hassan (Pelatih Seni Kulinari, Chef Selebriti, Juri Pertandingan), Chef Tan Tik San (Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur), Chef Wilfred Lim (Hotel Palace of the Golden Horses) dan Cheh Yau Kok Kheong (Dorsett Regency Kuala Lumpur).

Setiap seorang daripada chef tersebut telah berkongsi dua resipi istimewa mereka yang menggunakan produk Maggi sebagai sebahagian daripada bantuan kulinari mereka untuk hidangan pembuka selera, sup, sajian pertama, sajian utama dan pemanis mulut.

Kesemua mereka telah hadir semasa majlis pelancaran buku resipi Amazing Inspirations yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Buku Amazing Inspirations dijual pada harga RM49 untuk ahli Cam dan RM59 untuk bukan ahli. Buku ini akan dijual oleh CAM semasa berlangsung Culinaire Malaysia 2013 yang dianjurkan daripada 17 September hingga 20 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kutipan daripada jualan buku akan digunakan bagi menyokong aktiviti dan program pembangunan CAM.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk rasa terancam

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

JEJANTAS yang menghubungkan Taman Melati dengan Stesen LRT Taman Melati ditutup kerana dibimbangi terjejas.

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Sepanjang mendiami Kuarters Guru Desa 17 di Taman Melati di sini, tidak pernah penghuninya merasakan hidup mereka terancam.

Namun, minggu ini satu kejadian tanah runtuh dalam kawasan pembinaan loji kumbahan menyebabkan jiwa mereka tidak tenteram kerana insiden itu berlaku terlalu hampir dengan rumah mereka.

Tempat berlaku tanah runtuh itu juga dekat dengan kawasan perumahan lain dan juga Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jarak antara tanah runtuh dengan kawasan perumahan serta Stesen LRT Taman Melati hanya dipisahkan dengan jarak beberapa meter.

Berikutan itu, jejantas yang menghubungkan orang awam dengan stesen LRT itu telah ditutup dan pita kuning dipasang manakala sekeliling kawasan loji ditutup dengan penghadang bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Menurut anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Hanim Mustafa yang bertugas membuat pemantauan di kawasan berkenaan, dia akan berkawal seawal pukul 7 pagi sehingga 3 petang.

"Ini bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin selain memastikan tiada sesiapa memasuki kawasan runtuhan dan menggunakan jejantas yang ditutup.

"Selain tiga anggota JPAM, beberapa anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut sama membuat pemantauan di kawasan ini," katanya.

Dalam pada itu, ketika tinjauan dibuat, kerja-kerja pemulihan tidak dapat diteruskan oleh pihak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) akibat hujan dan dimaklumkan akan mula beroperasi apabila hujan berhenti.

Difahamkan tiada pergerakan tanah yang baharu dikesan dan hasil pemeriksaan ke atas bangunan kuarters yang dibuat pihak Ikram juga mendapati tiada sebarang kesan keretakan.

Namun, demi keselamatan, penduduk berdekatan yang telah dinasihatkan agar berpindah masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Penduduk minta baik pulih segera

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Penduduk Taman Melati meminta Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) supaya segera membaik pulih kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku dalam kawasan loji kumbahan di kawasan berkenaan.

Menurut penduduk, mereka khuatir jika berlaku pergerakan tanah yang akan menyebabkan rekahan merebak ke kawasan perumahan mereka.

Seorang pelajar, Mohd. Tariq Majid, 20 berkata, ekoran kejadian itu juga laluan pejalan kaki serta sebuah jejantas di situ ditutup, menyebabkan dia terpaksa meredah hujan untuk ke Stesen LRT Taman Melati.

"Jabatan berkaitan perlu segera mengatasi masalah ini kerana membabitkan keselamatan penduduk serta orang awam.

"Selain itu, mereka juga harus memastikan kejadian sebegini tidak berulang," ujarnya, yang sedang bercuti dari pengajian di sebuah universiti di United Kingdom.

Ismail Hamdan, 45, pula berkata, dia tidak akan berpindah ke tempat lain kerana telah selesa tinggal di kawasan itu.

"Walaupun dimaklumkan kemungkinan terdapat beberapa buah rumah lagi berdepan dengan risiko namun saya berharap kami tidak akan diminta berpindah buat sementara waktu ini.

"Kehidupan kami sekeluarga akan terjejas jika berpindah ke tempat lain," katanya.

Husnatul Solehah Abdul Hady, 18, pula berkata, dia dan keluarga kini hidup dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang rekahan akan berlaku sehingga ke rumahnya.

"Biarpun jarak antara rumah dengan loji agak jauh, namun pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Oleh itu saya berharap selain jabatan berkaitan, pihak kontraktor yang membaik pulih loji ini mengambil kira keselamatan penduduk," katanya.

Penduduk desak MPAJ jangan lulus

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

AMPANG 5 Sept. - Cadangan untuk membangunkan empat blok kondominium di kawasan seluas 4.4 hektar di sepanjang Jalan Perdana 3/10, Pandan Perdana yang melibatkan tapak Rumah Kelab Taman Tasik Pandan dan sebahagian tasik tersebut terus mendapat bantahan penduduk sekitar yang mahukan kawasan itu dijadikan kawasan hijau.

Mereka mendesak agar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak meluluskan projek tersebut.

Penasihat Jawatankuasa Menyelamatkan Tasik Pandan, Janice Lee Ying Ha berkata, pihaknya dan penduduk terkejut apabila pihak pemaju mendakwa mereka telah mendapat kelulusan untuk memulakan projek tersebut yang dipercayai setelah berjaya membeli tapak tersebut dari pemilik tanah.

"Pada dasarnya jika mereka telah berjaya membeli tanah tersebut, sememangnya pihak pemaju berhak untuk melakukan apa sahaja di atas tapak tersebut tetapi kami percaya tiada cara lain supaya projek ini dibatalkan kecuali meminta pihak MPAJ tidak meluluskan projek ini bagi faedah pihak bersama, iaitu penduduk dan MPAJ sendiri," katanya.

Bekas ADUN Teratai yang dipecat dari DAP itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas beliau dan seramai kira-kira 20 ahli jawatankuasa bertindak itu menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussein.

Pengarah Jabatan Perancangan MPAJ, Rosliza Mohamad menerima memorandum tersebut yang turut mengandungi tandatangan 1,400 penduduk yang membantah projek tersebut.

Dengan pakaian seragam Kemeja T hijau yang ditulis: 'Save Pandan Perdana Lake Club', mereka hadir dengan membawa poster dan sepanduk yang antaranya berbunyi: 'Tolak Pembinaan Kondo', 'Kekalkan Kawasan Hijau' dan 'Preserve Green Lung'.

Menurut beliau, memorandum itu juga akan diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam masa terdekat.

Projek tersebut pernah dibantah beberapa kali sebelum ini termasuk pada Februari lalu yang diketuai oleh bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat bagi melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap projek yang ingin dibangunkan berdekatan taman awam itu.

Projek yang masih belum diberikan nama itu dipercayai melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri servis setinggi 51 tingkat dan dua blok bangunan small office, home office (SOHO) setinggi 47 tingkat dan 48 tingkat selain kemudahan rekreasi dan pusat perniagaan.

Projek itu dijangka akan mengambil sebahagian daripada kawasan Tasik Pandan untuk didirikan sebuah restoran dan kafe.

Penduduk membantah kerana melibatkan keahlian mereka dalam Rumah Kelab Tasik Pandan Perdana sebagai sebahagian daripada perjanjian ketika membeli rumah di kawasan tasik tersebut dahulu, iaitu hampir 20 tahun lalu.

Ekoran daripada projek itu kira-kira 600 ahli kelab itu telah menerima notis penamatan keahlian pada November tahun lalu.

Tegas beliau, bukan soal keahlian kelab yang menyebabkan penduduk membantah projek tersebut tetapi mereka mahukan supaya tasik tersebut dikekalkan sebagai kawasan hijau untuk tujuan rekreasi.

"Pembinaan kondominium itu kelak akan menambahkan lagi kepadatan penduduk. Kini terdapat 5,000 unit rumah di sekitar kawasan Pandan Perdana dan jika ditambah lagi secara mengejut 3,200 unit rumah dari projek kondominium itu dalam lingkungan kawasan satu kilometer, bayangkan masalah yang akan timbul terutama kesesakan jalan raya," katanya.

"Kesesakan di sini akan memberi kesan yang sama kepada semua jalan-jalan utama yang lain terutamanya Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) dan Jalan Cheras," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sabar, jangan salahkan kerajaan

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

RAZALI Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tabung Haji Cawangan Muar di Muar, baru-baru ini.

MUAR 4 Sept. - Bakal jemaah haji di daerah ini yang tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini diminta bersabar dan tidak menyalahkan kerajaan kerana berpunca daripada kuota haji Malaysia yang dikurangkan sebanyak 20 peratus.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, mereka tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak kerana kuota haji yang dihadkan itu tidak ada kena-mengena dengan kerajaan, sebaliknya diputuskan kerajaan Arab Saudi.

"Jangan asyik melayan perasaan marah, tidak dapat pergi haji kita salahkan orang lain. Kuota haji sudah dihadkan, itu bukan pasal Malaysia tetapi satu dunia menerima kesan kerana terbatasnya ruang ibadah di Tanah Suci berikutan projek mega perluasan Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

"Masih ada tidak tahu, keputusan kerajaan Arab Saudi itu yang akan membabitkan pengurangan sebanyak 5,600 daripada keseluruhan 28,000 jemaah haji Malaysia setahun. Di Muar ini, bilangan jemaah haji pada tahun ini masih sama seperti tahun lalu iaitu 130 orang," katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tabung Haji Cawangan Muar di sini kelmarin.

Pada majlis tersebut, Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kad prabayar kepada 130 jemaah haji untuk memudahkan mereka berhubung dengan ahli keluarga di sini semasa di Tanah Suci dan wang tunai dalam mata wang riyal untuk perbelanjaan di sana.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, masih ramai yang tidak menyedari bahawa kerajaan menerusi Tabung Haji akan memberikan subsidi apabila mengekalkan kos menunaikan ibadah tersebut dengan bayaran RM9,500 berbanding kos sebenar sebanyak RM15,000 seorang.

"Tabung Haji menjaga kebajikan jemaah haji kita dengan baik. Ini berbeza dengan pakej haji di Indonesia iaitu RM17,000 tetapi jemaah terpaksa tinggal di luar kawasan haji lebih satu kilometer, pakej 30 hari mereka dengan penginapan tidak termasuk makanan.

"Ini berbeza dengan pakej haji Malaysia yang lengkap penginapan dan makanan selama 40 hari, ditambah tinggal dalam kawasan haji. Jadi, kita kena bersyukur," katanya.

Persatuan kereta sewa diminta tingkat khidmat

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

MUAR 4 Sept. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meminta lebih 30 persatuan kereta sewa di negeri ini yang mempunyai kira-kira 3,000 ahli supaya meningkatkan tahap perkhidmatan dan tidak hanya memikirkan keuntungan diri sehingga menjejaskan imej mereka.

Hal ini kerana masih wujud masalah pemandu teksi yang mengenakan tambang tidak mengikut peraturan serta kurang berhemah ketika berdepan pelanggan sehingga mengakibatkan rungutan orang ramai dan menjadi tanggungjawab persatuan untuk menasihati ahli-ahli mereka.

Ketua SPAD Wilayah Selatan, Mustafa Mohd. Jizat (gambar) berkata, terdapat lebih 30 persatuan kereta sewa di negeri ini dan jumlah itu sebenarnya terlalu banyak kerana mereka harus fokus untuk bersatu, seterusnya menjaga kebajikan serta etika dalam kalangan ahli.

Beliau berkata, ada beberapa daerah yang mempunyai lebih dua persatuan dan masalah itu wujud kerana mereka tidak bersatu dan keluar serta menubuhkan persatuan yang baharu, semata-mata kerana tidak berpuas hati.

"Persatuan ini bagus tetapi jika banyak kepala (ketua), akan jadi susah, mereka seharusnya memikirkan tentang tugas dan kebajikan ahli, bukan hanya bertujuan mencari kepentingan melaluinya.

"Mereka sebenarnya boleh bergiat aktif dalam perniagaan atau menubuhkan koperasi untuk menambah pendapatan ahli dan bukannya bercakaran sesama sendiri," katanya dalam Majlis Dialog, Jamuan Aidilfitri Persatuan Teksi Bentayan dan Program Derma Darah di Hentian Teksi Bentayan di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Senator Noriah Mahat.

Mustafa berkata, berdasarkan rekod SPAD, di Muar sahaja ada dua persatuan, Batu Pahat (tiga), Kota Tinggi (dua) manakala empat di Johor Bahru tidak termasuk di daerah lain.

Menurutnya, kewujudan banyak persatuan menyebabkan persaingan dan perbalahan terutama dalam mendapatkan 'kawasan' dan menampakkan tidak wujudnya kesatuan dalam kalangan ahlinya.

Dalam itu, beliau berkata, SPAD akan turun ke setiap daerah untuk memberi kesedaran kepada mereka untuk mengikut peraturan ditetapkan kerana masih wujud banyak rungutan daripada orang ramai.

"Kita juga akan sentiasa melakukan pengawasan berkala, operasi bersama jabatan lain dan penyamaran untuk menahan mereka yang melakukan kesalahan," katanya.

Beliau berkata, antara rungutan sering dilaporkan pelanggan ialah mengenakan tambang tidak mengikut peraturan, melakukan tawar-menawar dan sikap tidak berhemah serta mengambil penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved