Khamis, 5 September 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Peranti jejaki penjenayah

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

SEKATAN yang dikenakan terhadap pelaku jenayah, mempunyai beberapa kelemahan. Meletakkan seorang anggota polis untuk setiap pesalah bagi mengawal pergerakan si pesalah ialah sesuatu yang 'absurd' - seolah-olah polis tidak ada kerja lain yang perlu dilakukan.

Oleh demikian, dalam abad ke-21, dengan kemajuan sains dan teknologi, penggunaan teknologi dalam usaha membanteras jenayah merupakan sesuatu yang jelas, lagi nyata. Satu teknologi yang sudah diguna secara meluas di banyak negara maju dan membangun oleh pihak polis di negara masing-masing ialah penggunaan peranti pengawasan elektronik (EMD).

Penganalisis jenayah, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, dalam aspek ini, sebuah peranti kecil akan dipasangkan pada suspek jenayah atau pesalah bagi membolehkan pergerakan mereka sehari-hari diperhatikan oleh pihak polis.

"Individu yang dipasangkan peranti ini boleh dikesan di mana sahaja ia berada. Ini termasuklah kalau ke luar negara dengan kemudahan GSM roaming.

"Sistem GPS yang serba canggih digunakan oleh teknologi EMD menjadikan teknologi ini jelas satu langkah seterusnya untuk pihak polis terus melawan jenayah di negara kita berbekalkan peralatan canggih yang terkini," kata beliau kepada penulis baru-baru ini.

Ahmad Faris yang juga Pengerusi Sekretariat Anti-Jenayah - sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu pihak berkuasa membanteras jenayah - berkata, penggunaan EMD tidak perlu dikhuatiri atas penyalahgunaannya atas tujuan politik.

Ini kerana penggunaan EMD dilaksanakan atas prinsip SOSMA atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Beliau merujuk Seksyen 4 yang memberikan kuasa penangkapan dan penahanan kepada pihak polis, iaitu perkara (3): "Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya". Maksud "kepercayaan dan aktiviti politik" diterangkan dengan lebih lanjut dalam perkara (12) di bawah seksyen yang sama di atas.

"SOSMA membenarkan suspek untuk dipakaikan EMD selepas diikat jamin sehingga 28 hari daripada hari tahanan. Ini membolehkan pihak polis menjejak suspek semula sehingga keadaan memerlukan.

"Pemasangan EMD juga satu langkah sekatan bagi mengelakkan suspek daripada melakukan jenayah sekali lagi. Melalui EMD, mudah untuk pihak polis mengenal pasti sekiranya suspek berada di

lokasi kejadian sesuatu jenayah berlaku.

"Tambahan pula, menyedari pergerakannya diperhatikan, suspek secara tidak langsung tidak akan berani untuk melibatkan diri daripada kegiatan jenayah mahupun ke lokasi yang boleh menimbulkan syak wasangka daripada polis," kata beliau.

Berdasarkan undang-undang yang ada, penggunaan EMD agak terhad hanya untuk pemakaian kepada suspek jenayah.

"Mungkin saya terlepas pandang, tetapi wajar penggunaan EMD ini diperluaskan kepada pemakaian pada semua banduan yang menjalani hukuman sekatan.

"Satu cadangan dalam penggunaan EMD adalah dalam kes melibatkan ikat jamin. Untuk kes jenayah yang boleh diikat jamin, sekiranya tertuduh tidak mampu membayar kos ikat jamin, undang-undang wajar memberi peluang untuk tertuduh dibebaskan dengan syarat individu terbabit bersetuju untuk dipasangkan peranti pengawasan pada tubuh badannya.

"Juga, bagi kes yang tidak boleh diikat jamin, mahkamah seharusnya diberi kuasa menggunakan budi bicara mahkamah untuk mengizinkan tertuduh diikat jamin seterusnya diwajibkan untuk individu tersebut dipasangkan EMD," kata Ahmad Faris.

Begitu juga dalam Akta Pencegahan Jenayah 1959. Pada masa ini, kata beliau, akta itu hanya melibatkan penahanan suspek. Kemudahan yang ada dikhuatiri tak akan mampu menampung semua yang ditahan dalam tahanan.

Oleh hal yang demikian, akta tersebut disaran untuk digubal agar diselitkan elemen sekatan di dalamnya supaya suspek yang dianggap kurang memberi ancaman boleh dilepaskan dan EMD dipasangkan pada orang tersebut.

"Kalau mahu dibidas penggunaan ini yang menyekat kebebasan si pemakai daripada bergerak tanpa dikawal, kita perlu ambil perkiraan lain pula bahawa pemakaian EMD ini merupakan salah satu daripada elemen pencegahan jenayah.

"Penggunaan EMD ini tergolong dalam elemen sekatan yang mana penjenayah atau suspek jenayah akan disekat pergerakan mereka daripada dimasukkan terus dalam tahanan," katanya.

Perlu diingat, kata Ahmad Faris, EMD yang digunakan secara menyeluruh di banyak negara hanya terdiri daripada dua jenis peranti iaitu peranti di tangan atau peranti di kaki. EMD bentuk itu menepati kehendak hak asasi manusia secara umumnya.

Kata beliau: "Malah, kalau dilihat melalui perspektif yang lebih tepat, kita bukan menyekat kebebasan mereka, namun kita memberi mereka lebih banyak kebebasan kerana diberi peluang untuk bercampur dengan masyarakat tanpa ditahan dalam jeriji besi yang sempit.

"Kebebasan yang diberi ini cuma datang bersyarat iaitu pergerakan mereka perlu disekat dan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan untuk tempoh masa tertentu. EMD memberi PDRM peluang untuk melaksanakan undang-undang sekatan dengan lebih efisien dan efektif."

Dalam satu sudut, menerusi EMD, kerajaan memberi peluang kepada bekas penjenayah untuk memulakan hidup baru dengan lebih mudah. Di sebalik meluangkan tempoh masa yang lama dalam tahanan, banduan yang berkelakuan baik boleh diberi peluang untuk dilepaskan dengan syarat mereka bersetuju menghadapi hukuman sekatan.

Perkara ini secara tidak langsung memberi peluang untuk kita mengurangkan kos pengurusan penjara di Malaysia.

Malaysia bukanlah negara pertama yang akan menggunakan EMD ini. Banyak negara maju lain sudah melaksanakan pemakaian EMD dalam usaha mengawal jenayah dalam negara masing-masing.

Contoh pertama ialah England. Sedar atau tidak, sudah hampir 20 tahun EMD digunakan di England bagi mengawal jenayah di negara tersebut. Di negara Inggeris itu, pemakai EMD terdiri daripada banduan yang diberi pelepasan awal, mereka yang diikat jamin, hukuman mahkamah, kes juvenil dan beberapa sebab khas lain.

Selain England, Amerika Syarikat juga melaksanakan pemakaian EMD untuk elemen sekatan dalam usaha pencegahan jenayah di negara maju tersebut. Penggunaannya berbeza mengikut negeri.

Kata Ahmad Faris: "Untuk pelaksanaan di negara ini, England boleh menjadi model untuk dipelajari dan sudah tentu, jiran sebelah kita, Singapura, yang sudah menggunakan EMD lama sebelum kita.

"Hal ini merupakan sesuatu yang berguna untuk PDRM dalam usaha untuk mula menggunakan teknologi ini di Malaysia.

"Terdapat kelemahan dan kekurangan yang pernah dilakukan oleh negara lain dapat dipelajari dan diteladani agar tidak berulang kesilapan tersebut oleh PDRM."

Benarkah kereta hibrid jimat?

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Honda CR-Z yang menggunakan teknologi hibrid dengan reka bentuk bergaya mendapat sambutan di Malaysia.

YA, penulis turut terbabit beratur untuk mengisi minyak malam Isnin lepas. Bukan kerana nak merebut peluang beli minyak murah 20 sen seliter tetapi kebetulan memang hendak mengisi selepas tamat masa kerja. Maklumlah guna sistem 'isi hanya bila tangki kosong'. Kacau-bilau juga fikiran ketika itu. Takut mati enjin tengah jalan!

Ramai yang merungut tetapi mujurlah kebanyakan sahabat rapat adalah jenis praktikal dan terbuka minda. Sahabat sepasukan futsal misalnya, memilih untuk berbicara mengenai kereta yang sesuai dalam keadaan harga bahan api yang mahal sekarang.

Dua cadangan dibentangkan. Pertama, pilih kereta yang enjinnya bersaiz di bawah 1.5 liter sebagai pengangkutan rasmi ke pejabat (kebanyakan bekerja di luar 20 kilometer dari rumah) dan jika ada yang berkereta lebih besar misalnya SUV, akan diguna pada hujung minggu atau hujan lebat sahaja.

Cadangan kedua ialah menukar kepada kereta hibrid. Berdasarkan perbualan tersebut yang merangkumi dua orang yang bekerja sebagai eksekutif jualan kereta, nampaknya kereta hibrid menikmati persepsi positif walaupun tidak semestinya pemahaman mereka jelas dan tepat mengenainya. Apakah kereta hibrid benar-benar menjimatkan?

Secara umumnya, kereta hibrid sangat sesuai untuk orang yang perlu menempuh kesesakan jalan raya ke pusat bandar setiap hari. Jika sekali-sekala, elok guna kereta kecil atau berenjin diesel.

Kereta hibrid adalah sebuah kenderaan yang digerakkan menggunakan dua motor iaitu enjin petrol biasa dan motor elektrik yang dicas menerusi bateri khas dipasang dalam kereta.

Menggunakan teknologi pintar diistilahkan 'brek penjanaan semula', ketika kereta hibrid memperlahan, sistem itu menangkap tenaga brek dan menjana semula tenaga untuk mengecas bateri. Pengguna boleh menukar penggunaan enjin petrol dan bateri pada bila-bila masa, selain dinyalakan secara automatik.

Terdapat pelbagai teknologi yang wujud pada kereta-kereta hibrid di pasaran. Honda memiliki penawaran model yang terbesar iaitu Jazz Hybrid CKD, Civic Hybrid, CR-Z dan Insight manakala Toyota ada dua iaitu Prius dan Prius C serta Lexus.

Nissan memiliki enjin hibrid untuk Nissan Serena. Nissan dan Mitsubishi tidak menumpu pada hibrid setakat ini tetapi masih di peringkat pengenalan untuk kereta elektrik iaitu Nissan Leaf dan Mitsubishi i-MiEV. Beberapa jenama kereta Eropah juga menawarkan kereta hibrid tetapi itu kategori mewah.

Hibrid ini akan bernyala secara automatik apabila kereta bergerak sangat perlahan semasa kesesakan. Fungsi hibrid juga boleh dinyalakan secara manual. Secara umumnya, enjin petrol biasa semasa kesesakan menggunakan bahan api yang tinggi, maka hibrid adalah rumusan terbaik kerana menggunakan elektrik dari bateri.

Untuk benar-benar menikmati penjimatan, seseorang pemilik kereta hibrid juga harus menukar gaya pemanduan. Hibrid jimat semasa kesesakan. Tetapi jika dipacu laju di lebuh raya, kos bahan apinya sama juga seperti enjin biasa.

Malah mungkin lebih, disebabkan kereta menanggung berat tambahan bateri dan komponen khas hibrid. Seelok-eloknya pengguna hibrid membiasakan diri memandu di bawah 110 kilometer sejam. Kalau asyik nak memecut lebih, elok guna sahaja kereta biasa atau diesel.

Kenapa penulis kata begitu? Pertama, kos memiliki dan menyenggara hibrid sedikit mahal berbanding kereta biasa. Pada masa ini, kereta hibrid dijual pada harga wajar hasil insentif yang diberi kerajaan untuk kereta mesra alam sekitar.

Oleh kerana secara relatifnya teknologi hibrid masih baharu di dunia, bilangan yang dibina, dijual dan dimiliki masih di paras yang rendah, sekali gus tidak memungkinkan pengeluar kereta menurunkan harga.

Kereta hibrid lebih mahal daripada varian biasa kerana pelaburan modal yang tinggi untuk membangunkan teknologi hibrid. Terdapat syarikat yang mengeluarkan kereta hibrid murah bagi menggalakkan orang ramai memilikinya. Contoh mudah ialah Honda Jazz Hybrid CKD berharga RM89,900 dan Toyota Prius C berharga RM97,000.

Terdapat juga kebimbangan mengenai jangka hayat bateri. Difahamkan jaminan (waranti) yang diberi oleh syarikat di Malaysia lebih singkat berbanding di Eropah iaitu selama 10 tahun. Jurutera dari Jepun menyakinkan jangka hayat Prius generasi pertama misalnya, masih berfungsi dengan baik hari ini malah diguna sebagai teksi di Tokyo.

Insentif pengecualian duti import dan eksais ke atas kenderaan hibrid bersaiz 2.0 liter ke bawah akan tamat 31 Disember ini. Melainkan kerajaan bersedia melanjutkannya, kereta hibrid akan kembali lebih mahal pada 1 Januari 2014.

Dalam konteks ini, penulis berharap kerajaan akan meneruskan dasar tersebut kerana suasana harga petrol mahal sekarang, pasti akan mendorong lebih ramai membeli kereta hibrid. Secara tidak langsung, matlamat kerajaan menggalakkan kereta mesra alam sekitar akan melangkah setapak lagi.

Satu lagi faktor positif daripada langkah itu ialah secara langsung menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan hibrid. Jualan kereta hibrid sebenarnya masih kecil iaitu sekitar 2.4 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) 627,753 unit tahun lepas.

Namun, insentif kerajaan telah membantu menambahkan jualan dari hanya 332 unit pada tahun 2010 kepada 8,334 unit pada 2011, sebelum meningkat sebanyak 84 peratus kepada 15,355 unit pada tahun lalu.

Terdapat penganalisis industri beranggapan bahawa kenderaan hibrid menjadi pilihan lebih disebabkan harganya (kesan pengecualian cukai) berbanding penjimatan kos teknologi itu sendiri, serta reka bentuk model itu sendiri yang menawan. Lihat Honda CR-Z.

Beberapa pegawai syarikat kereta berkaitan mengakui menanti pengumuman kerajaan dalam pembentangan Bajet bulan depan. Jika insentif diteruskan, strategi pemasaran mereka akan membabitkan lebih banyak model hibrid diperkenalkan ke pasaran Malaysia.

Bagi anda yang memiliki kereta berenjin bawah 1.5 liter termasuk Perodua Kelisa 1.0 liter, Viva, Kancil atau Proton Tiara dan Savvy, saya sarankan anda baik pulih sewajarnya kereta dan gunakannya.

Tangki penuh Kelisa contohnya ialah 40 liter. Diisi penuh RON95 RM2.10 seliter ialah RM84 dan boleh mencapai jarak 400 kilometer dalam tempoh enam hari. Jarak tersebut tidak mungkin dicapai menerusi SUV yang tangki penuhnya 65 liter.

Andai anda rasa tidak bergaya memandu Kancil, belilah kenderaan hibrid. Seorang pemandu yang bijak ialah biar berkereta mini, asal jimat bahan api.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved