Khamis, 5 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jangan naikkan harga barang

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

IPOH 4 Sept. - Golongan peniaga di negeri ini diberi amaran tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang atau perkhidmatan sewenang-wenangnya ekoran kenaikan harga minyak.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan peniaga yang berbuat demikian.

Menurutnya, peniaga yang berhasrat menaikkan harga barang atau perkhidmatan perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran kerajaan atau kementerian yang bertanggungjawab dalam soal itu.

"Kelmarin, saya telah mengarahkan pegawai-pegawai PPDNKK di seluruh negeri ini memastikan tiadanya stock out dan harga minyak berubah pada jam 12 tengah malam semalam.

"Semalam pula, semua anggota penguat kuasa diarah memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa dan melaporkan setiap petang kepada kementerian bagi memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

"Kalau kita dapat kesan, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga terlibat berdasarkan peruntukkan undang-undang yang sedia ada," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen.

Harga baharu bagi petrol adalah RM2.10 seliter berbanding RM1.90 sebelum ini sementara diesel pula meningkat kepada RM2 seliter daripada RM1.80.

Menurut Najib, keputusan itu merupakan sebahagian daripada proses merasionalisasi subsidi.

Mohd. Hilmi berkata, kenaikan harga petrol dan diesel sedikit sebanyak membebankan orang ramai terutama golongan berpendapatan rendah.

"Sehubungan itu, saya tidak mahu apabila harga minyak naik, ada aduan daripada pengguna tentang kenaikan harga barang makanan dan perkhidmatan, keadaan ini mesti dielakkan," katanya.

Beliau berharap golongan peniaga tidak menambah beban pengguna terutama mereka yang berpendapatan rendah dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan.

Raja Muda Perlis bangga tentera akrab dengan masyarakat

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (belakang, tengah) bersama anggota Rejimen 504 Askar Wataniah dan kanak-kanak kurang upaya dalam Majlis Hari Raya dan Hari Keluarga Rejimen 504 Askar Wataniah di Hutan Lipur Sungai Batu Pahat di Kangar, Perlis, kelmarin.

KANGAR 4 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berbangga kerana anggota tentera sentiasa mengekalkan tradisi bersama masyarakat sebagai salah satu daripada budaya kerja pasukan.

Titah baginda, budaya tepuji itu wajar diteladani oleh semua pasukan berpakaian seragam, terutama yang melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

Bagi tentera, titah baginda lagi, setiap anggota terlibat perlu sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada rakyat yang berkhidmat demi rakyat dan satu hari nanti akan pulang untuk bersama rakyat iaitu apabila bersara kelak.

Justeru, hubungan tentera dan orang awam diumpamakan sebagai hand-in-glove yang sentiasa bersama untuk menghasilkan yang terbaik dalam apa jua penugasan yang diamanahkan.

Titah baginda lagi, setiap anggota tentera perlu memastikan perhubungannya dengan masyarakat awam iaitu rakyat jelata sentiasa dijaga, diperbaiki dan dipertingkatkan agar dapat melahirkan perhubungan yang erat dan padu.

Baginda menyatakan perkara itu ketika bertitah sempena Majlis Hari Raya dan Hari Keluarga Rejimen 504 Askar Wataniah di Hutan Lipur Sungai Batu Pahat di sini semalam.

Raja Muda Perlis yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri itu percaya, pihak awam boleh terus berfungsi sebagai 'mata dan telinga' bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Titah baginda, sebagai mata dan telinga ATM, masyarakat dapat membantu dalam pelbagai aspek keperluan keselamatan, termasuklah tentang maklumat mahupun perisikan bagi aktiviti pihak 'musuh' di kawasan tanggungjawab masing- masing.

"Setiap anggota tentera dan warga awam disyorkan agar sentiasa bersama dalam setiap usaha bagi membangunkan negara melalui pendekatan 'Keselamatan dan Pembangunan' yakni Kesban atau Security and Development yang merupakan suatu amalan yang diguna pakai dari dulu, kini dan selama-lamanya.

Dalam majlis itu Rejimen 504 Askar Wataniah turut menyampaikan sumbangan kepada 15 kanak-kanak kurang upaya yang disempurnakan penyampaiannya oleh Tuanku Raja Muda dan putera baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Pasukan khas pantau harga barang di P. Pinang

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

BUKIT MERTAJAM 4 Sept. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau kenaikan harga barang yang mungkin berlaku disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel.

Pengarahnya, Mohd. Salleh Ma'amor berkata, sebanyak 180 pegawai dan anggota diletakkan di bawah pasukan tersebut yang akan membuat pemantauan bagi memastikan tiada peniaga di negeri ini mengambil kesempatan.

"Pasukan itu telah bertugas membuat pemantauan semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu bagi memantau harga barang kawalan dan tugas mereka akan diteruskan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.

"Sekiranya ada peniaga yang degil, kita akan ambil tindakan dan dakwa mereka di bawah akta sedia ada," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup program Advokasi Kepenggunaan Zon Utara di sini semalam yang dihadiri lebih 500 peserta dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Dalam pada itu, Mohd. Salleh turut menasihatkan golongan peniaga agar lebih beretika dan tidak mengamalkan sikap tamak dalam mengejar keuntungan dengan menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, peniaga seharusnya menghargai pengguna terutama pelanggan yang mengunjungi premis perniagaan mereka kerana sokongan daripada golongan berkenaan akan membuatkan perniagaan bertambah maju, sekali gus memberi keuntungan.

"Semua peniaga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan agar golongan pengguna tidak teraniaya disebabkan sikap tamak mereka," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved