Khamis, 5 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Masuki pasaran antarabangsa

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Hasan Rahman (kiri, duduk) beramah mesra dengan penghuni Rumah Seri Kenangan, Maznah Hamid dalam majlis Kembara Merdeka Mara di Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka, semalam.

MELAKA 4 Sept. - Golongan usahawan di negeri ini digalak memasuki pasaran antarabangsa jika mahu mencapai kejayaan yang lebih besar dalam bidang perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, matlamat itu mampu dicapai melalui kerjasama dan perkongsian pintar dengan usahawan pelbagai kaum di negara ini dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, skop perniagaan juga perlu diperluaskan bukan tertumpu pada satu-satu kaum bahkan merangkumi kaum lain di negara ini serta secara global dengan masyarakat luar di seluruh dunia.

"Usahawan tempatan perlu berani menerokai bidang yang telah membawa kemajuan contohnya seperti ekonomi pertanian di Korea dan Taiwan, teknologi moden di Jepun dan negara maju di Amerika Syarikat (AS).

"Usaha seperti itu perlu dilakukan jika kita ingin berjaya di peringkat lebih tinggi dalam bidang keusahawanan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Mara 2013 di Rumah Seri Kenangan Cheng di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Mara negeri, Dr. Azmi Ahmad Murjan, Pengerusi Program Kembara Merdeka Mara, Abd. Halim Mahmud serta 56 peserta kembara.

Kembara bermotosikal sempena Hari Kemerdekaan ke-56 anjuran Mara yang bermula dari Kuala Lumpur itu singgah di Rumah Seri Kenangan Cheng dan seterusnya ke rumah anak yatim di Seremban, Negeri Sembilan sebelum kembali semula ke ibu negara.

Jelas Hasan, kerajaan negeri turut merancang untuk mengadakan forum dipanggil Dewan Perniagaan Melaka dalam usaha menyatukan para usahawan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain di negeri ini bagi membincangkan tentang perkongsian pintar.

"Sekiranya ini dapat dilaksanakan, rakyat di negeri ini akan lebih jelas bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dalam segala hal.

"Selain menjaga kepentingan kaum Melayu, kerajaan negeri juga sentiasa menjaga semua kaum lain dan menyeru kepada semua kaum supaya dapat saling memahami, bertoleransi, bekerjasama dan tidak terlalu ekstrem dalam hal-hal politik sehingga menimbulkan kemarahan kaum lain.

"Toleransi antara kaum harus dipraktikkan demi keharmonian negara pada masa ini dan masa hadapan serta dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang bahagia," ujarnya.

Balai bomba baharu tahun hadapan di Jempol, Gemencheh

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

JEMPOL 4 Sept. - Dua balai bomba dan penyelamat akan dibina di Felda Palong Enam, Jempol dan Gemencheh dekat Tampin bermula tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis memberitahu, pembinaan dua bangunan tersebut telah diluluskan dan kerja-kerja akan mula dijalankan pada tahun hadapan.

"Kita pilih kawasan tersebut kerana dua lokasi itu terletak jauh dari balai bomba sedia ada dan buat masa ini kita terpaksa menggunakan khidmat pasukan bomba sukarela untuk membantu memadamkan api sementara pasukan bantuan tiba.

"Sebagai contoh di kawasan Palong Enam, kini kita menggunakan khidmat pasukan bomba dan sukarela dari Felda Palong Lima.

"Mengikut perancangan awal di Felda Palong Enam kita akan bina balai bomba kategori D, manakala balai bomba kategori C akan dibina di Gemencheh. Kategori D adalah sebuah bangunan yang agak kecil namun dilengkapi dengan kemudahan lengkap," katanya hari ini.

Norazam ditemui pemberita pada perhimpunan bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat peringkat negeri di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol.

Menurutnya, walaupun pihaknya akan menambah dua buah balai bomba pada tahun hadapan, namun mereka masih memerlukan khidmat pasukan bomba sukarela.

"Di negeri ini kita mempunyai 15 pasukan bomba sukarela dengan lebih 500 orang ahli yang aktif dan mereka ini mendapat ilmu mengenai pemadaman api dan keselamatan kebakaran malah kita sentiasa mengadakan latihan bersama pasukan bomba sukarela.

"Jadi tiada sebab jika ada yang fikir kehadiran mereka tidak relevan," katanya.

Pada majlis hari ini, Norazam turut menyampaikan cenderahati kepada pegawai bomba yang telah bersara bagi tempoh April sehingga Ogos tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberitahu dalam tahun ini sahaja pihaknya menerima enam panggilan palsu dan kebanyakan panggilan itu diterima di daerah Seremban.

"Panggilan palsu kerap berlaku pada musim cuti persekolahan dan saya harap ibu bapa mengawasi anak-anak mereka. Tindakan boleh dikenakan jika membuat panggilan palsu ini," tegas Norazam.

Mahu tanding Naib Ketua UMNO Jelebu

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

JELEBU 4 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Jelebu pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan beliau selepas melihat ada rasionalnya untuk bersama-sama kepemimpinan baharu dalam bahagian tersebut selepas Ketua UMNO bahagian berkenaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim telah pun menyatakan untuk tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan kali ini.

''Saya melihat ada keperluannya, maka dengan itu saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Jelebu," katanya di sini hari ini.

Yunus sebelum ini pernah bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian menentang Rais pada pemilihan beberapa tahun lalu, bagaimanapun tewas. Pada ketika itu beliau adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang sama.

''Saya percaya dengan komitmen baharu ini, sumbangan akan dapat dipertingkatkan untuk memastikan UMNO terus rasional di hati rakyat," jelasnya.

Pada masa yang sama, Yunus berharap semua ahli UMNO dapat membuat pilihan yang tepat serta melihat kemampuan mereka dalam memimpin parti demi masa hadapan cemerlang untuk agama, bangsa dan tanah air.

''Ini adalah satu-satunya parti keramat yang dapat menjamin masa hadapan bangsa Melayu," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved