Khamis, 5 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sabar, jangan salahkan kerajaan

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

RAZALI Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tabung Haji Cawangan Muar di Muar, baru-baru ini.

MUAR 4 Sept. - Bakal jemaah haji di daerah ini yang tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini diminta bersabar dan tidak menyalahkan kerajaan kerana berpunca daripada kuota haji Malaysia yang dikurangkan sebanyak 20 peratus.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, mereka tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak kerana kuota haji yang dihadkan itu tidak ada kena-mengena dengan kerajaan, sebaliknya diputuskan kerajaan Arab Saudi.

"Jangan asyik melayan perasaan marah, tidak dapat pergi haji kita salahkan orang lain. Kuota haji sudah dihadkan, itu bukan pasal Malaysia tetapi satu dunia menerima kesan kerana terbatasnya ruang ibadah di Tanah Suci berikutan projek mega perluasan Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

"Masih ada tidak tahu, keputusan kerajaan Arab Saudi itu yang akan membabitkan pengurangan sebanyak 5,600 daripada keseluruhan 28,000 jemaah haji Malaysia setahun. Di Muar ini, bilangan jemaah haji pada tahun ini masih sama seperti tahun lalu iaitu 130 orang," katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tabung Haji Cawangan Muar di sini kelmarin.

Pada majlis tersebut, Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kad prabayar kepada 130 jemaah haji untuk memudahkan mereka berhubung dengan ahli keluarga di sini semasa di Tanah Suci dan wang tunai dalam mata wang riyal untuk perbelanjaan di sana.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, masih ramai yang tidak menyedari bahawa kerajaan menerusi Tabung Haji akan memberikan subsidi apabila mengekalkan kos menunaikan ibadah tersebut dengan bayaran RM9,500 berbanding kos sebenar sebanyak RM15,000 seorang.

"Tabung Haji menjaga kebajikan jemaah haji kita dengan baik. Ini berbeza dengan pakej haji di Indonesia iaitu RM17,000 tetapi jemaah terpaksa tinggal di luar kawasan haji lebih satu kilometer, pakej 30 hari mereka dengan penginapan tidak termasuk makanan.

"Ini berbeza dengan pakej haji Malaysia yang lengkap penginapan dan makanan selama 40 hari, ditambah tinggal dalam kawasan haji. Jadi, kita kena bersyukur," katanya.

Persatuan kereta sewa diminta tingkat khidmat

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

MUAR 4 Sept. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meminta lebih 30 persatuan kereta sewa di negeri ini yang mempunyai kira-kira 3,000 ahli supaya meningkatkan tahap perkhidmatan dan tidak hanya memikirkan keuntungan diri sehingga menjejaskan imej mereka.

Hal ini kerana masih wujud masalah pemandu teksi yang mengenakan tambang tidak mengikut peraturan serta kurang berhemah ketika berdepan pelanggan sehingga mengakibatkan rungutan orang ramai dan menjadi tanggungjawab persatuan untuk menasihati ahli-ahli mereka.

Ketua SPAD Wilayah Selatan, Mustafa Mohd. Jizat (gambar) berkata, terdapat lebih 30 persatuan kereta sewa di negeri ini dan jumlah itu sebenarnya terlalu banyak kerana mereka harus fokus untuk bersatu, seterusnya menjaga kebajikan serta etika dalam kalangan ahli.

Beliau berkata, ada beberapa daerah yang mempunyai lebih dua persatuan dan masalah itu wujud kerana mereka tidak bersatu dan keluar serta menubuhkan persatuan yang baharu, semata-mata kerana tidak berpuas hati.

"Persatuan ini bagus tetapi jika banyak kepala (ketua), akan jadi susah, mereka seharusnya memikirkan tentang tugas dan kebajikan ahli, bukan hanya bertujuan mencari kepentingan melaluinya.

"Mereka sebenarnya boleh bergiat aktif dalam perniagaan atau menubuhkan koperasi untuk menambah pendapatan ahli dan bukannya bercakaran sesama sendiri," katanya dalam Majlis Dialog, Jamuan Aidilfitri Persatuan Teksi Bentayan dan Program Derma Darah di Hentian Teksi Bentayan di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Senator Noriah Mahat.

Mustafa berkata, berdasarkan rekod SPAD, di Muar sahaja ada dua persatuan, Batu Pahat (tiga), Kota Tinggi (dua) manakala empat di Johor Bahru tidak termasuk di daerah lain.

Menurutnya, kewujudan banyak persatuan menyebabkan persaingan dan perbalahan terutama dalam mendapatkan 'kawasan' dan menampakkan tidak wujudnya kesatuan dalam kalangan ahlinya.

Dalam itu, beliau berkata, SPAD akan turun ke setiap daerah untuk memberi kesedaran kepada mereka untuk mengikut peraturan ditetapkan kerana masih wujud banyak rungutan daripada orang ramai.

"Kita juga akan sentiasa melakukan pengawasan berkala, operasi bersama jabatan lain dan penyamaran untuk menahan mereka yang melakukan kesalahan," katanya.

Beliau berkata, antara rungutan sering dilaporkan pelanggan ialah mengenakan tambang tidak mengikut peraturan, melakukan tawar-menawar dan sikap tidak berhemah serta mengambil penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved