Khamis, 5 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Resipi kita yang julang Korea

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

ZABIDI SHARIFF

KUALA LUMPUR - Kejayaan Korea Selatan membenam Malaysia dan Indonesia selain juara dunia, Thailand 3-0 untuk menjuarai Siri Super Istaf 1 di New Delhi, India, Ahad lalu, datangnya daripada 'benih' yang disemai persatuan sepaktakraw negara Asia Timur itu sejak lebih sedekad lalu.

Kekalahan kepada Korea Selatan itu juga bukanlah perkara baharu kerana dalam acara beregu, mereka pernah mengejutkan Malaysia pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai 2009 dan separuh akhir berpasukan 2010 dan 2012 di Chiang Mai dan Bangkok, Thailand.

Dalam dua tempoh pada 1997 dan 2002 hingga 2003, Korea Selatan mengimport seorang jurulatih Malaysia, Rauzan Masri untuk mendapatkan 'resipi' asas sepaktakraw sebelum menambah ramuannya dengan membawa masuk Haris Abdul Rahman pula menjelang Sukan Asia Doha 2006.

"Saya tidak terkejut dengan kejayaan mereka sekarang kerana saya pernah berkata kepada seorang pegawai persatuan sepaktakraw Korea, lebih kurang 10 tahun lalu bahawa mereka bakal menewaskan Malaysia dalam tempoh berkenaan.

"Malah, selepas tiga bulan saya mengajar Korea, mereka sudah memenangi gelaran divisyen tiga Piala Raja Thai di Nakhonsawan dan divisyen dua Piala Isa dan ada di antara anak buah saya itu kini menyandang jawatan sebagai pegawai Persatuan Sepaktakraw Korea Selatan (KSTA).

"Pada 2001, tiga profesor universiti dari Korea Selatan datang ke Malaysia untuk mendapatkan khidmat saya lagi tanpa saya minta, malah memberitahu bahawa persatuan mereka sanggup menaikkan gaji dan melantik saya sebagai Pengarah Teknikal Sepaktakraw di sana.

"Hasilnya (selain kejayaan Siri Super dan Piala Raja Thai), saya diberitahu sekarang sudah ada 12 kelab profesional dan 12 kejohanan sepaktakraw setiap tahun di Korea Selatan yang jauh berbeza dengan di sini," katanya kepada Utusan Malaysia tanpa bermaksud untuk bermegah dengan pencapaian tersebut.

Rauzan, 60, pesara tentera yang pernah melatih Malaysia memenangi pingat gangsa bulatan Sukan Asia Bangkok 1998 dan skuad kebangsaan dari 1999 hingga 2001, berkata, tugasnya di Korea Selatan bukan sekadar sebagai jurulatih malah membentuk hubungan seperti bapa-anak dengan pemain mereka.

"Selepas saya kembali ke Malaysia, hubungan seperti keluarga angkat itu masih terjalin dan ada beberapa pemain mereka yang turut pernah saya bawa tengok pertandingan sepaktakraw di kampung-kampung kita, datang dan menginap di rumah saya, malah berhari raya dengan berbaju Melayu bersama.

"Saya bersikap profesional walaupun pernah dipanggil ke Kedutaan Malaysia dan dipersoalkan seorang pegawai di situ, mengapa mengajar Korea semua ilmu sepaktakraw kita, nanti kita pula dikalahkannya," katanya.

Bagi bekas pelibas atau apit kanan negara, Zabidi Shariff, kekalahan anak buah Jamaluddin Hassan di New Delhi akan terus berulang pada banyak kejohanan antarabangsa dan mungkin Sukan SEA, Disember ini selagi dasar atau sistem latihan skuad kebangsaan sekarang yang diamalkan dan tidak ditukar atau diberikan sentuhan idea baharu.

Kata pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 ini: "Saya tengok Korea pun (menerusi siaran langsung TV) bukanlah bagus mana pun. Mereka hanya bermain corak mudah sepaktakraw. Tiada taktik yang istimewa. Sepatutnya kita yang kerap mengagungkan diri pelopor sukan ini, lebih maju daripada mereka.

"Kalau kita mahu ubah keputusan seperti itu, maka sistem latihan mahupun pertandingan kena turut berubah. Ini mungkin 'idea bodoh' tetapi saya cadangkan satu pertandingan khas siapa pemain apit yang boleh melibas atau merejam paling tinggi. Begitu juga bagi tekong dan pengumpan, mereka kena ada pengkhususan.

"Secara automatiknya, pemain yang ke pertandingan ini, bakal mampu menukar sistem latihan mereka untuk memenanginya. Jika tidak, hasil yang kita semai dengan sistem sejak 10 tahun lalu itulah yang akan terus dituai seperti dalam Siri Super itu. Selain Thailand, mana lagi negara yang kita tidak pernah kalah. Myanmar? Indonesia? Korea Selatan? Laos."

Namun bekas jurulatih skuad pemenang Piala Raja Thai 1985, Hassan Sulaiman berkata, sudah sampai masanya para jurulatih negara meletakkan jawatan masing-masing sekarang kerana kekalahan itu (Siri Super) amat mengaibkan.

"Apa lagi dan berapa lama yang mereka hendak tunggu jika pasukan negara asyik kalah. Jika orang ini tiada ilmu kejurulatihan sepaktakraw, mana datangnya nadi permainan pasukan? Siapa ketua jurulatih negara sebenarnya dan boleh berikan arahan kepada pemain (ketika timeout)? Jamaluddin atau Nordin Sabaruddin (penolong)?

"Adakah sebab Nordin itu bekas pemain handalan negara dan pernah menang emas Sukan SEA dan Sukan Asia, maka Jamaluddin yang tiada pencapaian sebegitu pula kena berikan laluan kepadanya? Tidak hairanlah kalau pemain kita yang lemah psikologi ini pula mudah tertekan dan menggelabah bila diasak Korea," katanya.

Velodrom hanya di Nilai - Khairy

Posted: 05 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Khairy (tengah) dan Alois Hofbauer (dua dari kiri) menyalakan obor sebagai gimik pelancaran 'Tenaga Untuk Juara' di Pusat Akuatik Nasional, semalam. Turut kelihatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong (kanan).

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa velodrom tertutup kelas satu hanya akan dibina di Nilai, Negeri Sembilan seperti mana yang telah ditetapkan dalam Belanjawan 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.

Tegasnya, keputusan telah dibuat dan projek pembinaan velodrom tertutup kelas satu akan diteruskan walaupun sebelum ini ada cadangan bahawa pembinaan tersebut boleh dihentikan dan peruntukannya boleh diagihkan untuk pembinaan velodrom mengikut zon.

"Itulah keputusannya, malah tender sudah dikeluarkan untuk pembinaan velodrom di Nilai, jika ia sudah siap mungkin boleh digunakan bagi Sukan SEA 2017, hanya satu sahaja velodrom tertutup kelas satu iaitu di Nilai," katanya dalam sidang media selepas pelancaran 'Tenaga Untuk Juara' di Pusat Akuatik Nasional semalam.

Sebelum ini Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah memberikan cadangan bahawa peruntukan untuk pembinaan di Nilai boleh digunakan untuk tujuan pembangunan serantau termasuk pembinaan velodrom selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia membina velodrom tertutup kelas satu bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras yang bakal dirobohkan untuk pembinaan projek komersial.

Bagaimanapun, penjelasan Khairy semalam sedikit sebanyak merungkai kekeliruan dan perbalahan sebelum ini kerana Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) tetap mahu projek di Nilai itu diteruskan seperti yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2013.

"Kita juga sudah membuat semakan terakhir bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan saya telah beritahu Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa peruntukan yang akan diberikan oleh DBKL digunakan untuk projek lain," katanya.

Belanjawan 2013 memperuntukkan RM80 juta untuk pembinaan sebuah velodrom tertutup di Nilai, Negeri Sembilan, manakala DBKL yang menjual hartanah milik mereka itu bercadang membina velodrom kelas satu berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras. Nilai tanah di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dianggarkan RM120 hingga 140 juta.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata, PKBM mengalu-alukan pengumuman menteri untuk meneruskan projek velodrom di Nilai kerana Malaysia sekarang ini sangat memerlukan sekurang-kurangnya satu velodrom tertutup kelas satu.

"Kita sangat sukacita, PKBM paling gembira, akhirnya cita-cita untuk membina velodrom kelas satu tercapai, lebih ramai lagi anak-anak Malaysia akan mengikut jejak Josiah Ng, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa bukan sahaja menjadi juara Asia Tenggara, tetapi mampu sehingga ke peringkat Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik kelak.

"Apa yang penting sekarang kita ada velodrom tertutup kelas satu di Malaysia, tidak kira di mana, mungkin 5 hingga 10 akan datang bilangannya bertambah jika ada pihak swasta dan badan kuasa hendak bina sendiri. Kami alu-alukan, keputusan kementerian sangat tepat dan baik, akhirnya sekarang ia sudah terjamin," katanya.

Ditanya mengenai hasrat DBKL untuk membina menggantikan Velodrom Kuala Lumpur, Naim berkata, perkara tersebut perlu ditanya kepada pihak DBKL sendiri.

"Mereka sudah jual tanah Velodrom Kuala Lumpur kepada pemaju jika ia dirobohkan secara mandatori mereka perlu bina satu lagi, itu hak mereka. Sekurang-kurang ada satu velodrom tertutup kelas satu tetapi jika ada dua lebih baik. Kebiasaannya pihak yang merobohkan dan memecahkan gelanggang sedia ada ia adalah tanggungjawab mereka untuk menggantikannya.

"Jika DBKL mahu menggunakan peruntukan untuk kemudahan lain selepas mereka berunding dengan KBS, kita terima sahaja, apa yang mustahak bagi Persekutuan ialah ada velodrom kelas satu, itulah keperluan dan kemahuan kita," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved