Sabtu, 26 April 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kim Swee uji taktik baharu

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR - Reputasi Filipina yang dibarisi dengan dua pemain yang berpangkalan di Eropah tidak menghadirkan rasa bimbang kepada pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee apabila kedua-dua pasukan bertembung malam ini di Pusat Sukan Bandar Cebu.

Malah, jurulatih berusia 43 tahun itu bersedia menghadiahkan kekalahan pertama kepada Thomas Dooley yang kali pertama membimbing The Azkals beraksi di laman sendiri sejak dilantik menjadi jurulatih dua bulan lalu.

Dalam masa sama, Kim Swee menegaskan kemungkinan dia akan menggunakan taktik yang jauh berbeza daripada perlawanan persahabatan terakhir di Stadium Selayang 1 Mac lalu.

"Saya tahu Filipina mempunyai sebuah pasukan yang lebih baik pada kali ini berbanding di Kuala Lumpur dan perlawanan ini pasti jauh lebih sukar kerana bermain di tempat mereka.

"Tiada sesiapa yang mahu main untuk seri atau kalah dan saya harap kami mampu melakarkan kejutan dengan memenangi perlawanan di sini.

"Berdepan Filipina sebelum ini cukup baik kerana membantu saya apabila berdepan Yemen (kelayakan Piala Asia 2015) yang menyaksikan kami menang hasil berdepan mereka.

"Apa jua taktikal yang saya gunakan pasti sedikit berlainan daripada pertemuan persahabatan pertama di Malaysia sebelum ini yang berakhir seri tanpa jaringan," katanya semalam.

Junior Eldstal dijangka kembali ke dalam pasukan selain pemain Terengganu, Mohd. Norfarhan Muhammad dijangka mengepalai jentera serangan.

Sementara itu, Dooley, tidak melihat kehadiran Jerry Lucana yang bermain di Denmark bersama kelab Esbjerg fB dan Martin Steuble dari FC Wil 1990 (Switzerland) sebagai kelebihan.

"Kami berdepan banyak masalah kecederaan dan ini sahaja pemain yang saya mampu kumpulkan.

"Mungkin ada perubahan untuk lima ke enam pemain berbanding yang bermain di Kuala Lumpur," katanya.

Malaysia tewas tipis kepada Perancis

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN - Skuad hoki negara tewas tipis 2-3 kepada Perancis dalam perlawanan pertama Kumpulan B, kejohanan hoki Cabaran Juara-juara 1 (CC1) yang berlangsung di Stadium Hoki Kuantan di Indera Mahkota di sini malam tadi.

Pukulan penalti yang disempurnakan oleh Hugo Genestet pada minit ke-63 memusnahkan impian Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri.

Jaringan skuad hoki negara disumbangkan oleh Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil pada minit ke-39 dan Faizal Shaari minit ke-49 manakala dua lagi gol Perancis dijaringkan pada minit ke-33 oleh Olivier Sanchez dan Victor Charlet minit ke-51.

Bermula separuh masa pertama, pasukan bimbingan jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dilihat mendominasi permainan namun Perancis yang sebaliknya mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi Sanchez yang tidak dikawal dalam kotak penalti pada minit ke-33.

Empat minit selepas separuh masa kedua bermula, Tengku Ahmad Tajuddin menyamakan kedudukan selepas menguis hantaran Faizal dan skuad negara yang mendapat semangat berjaya mendahului apabila Faizal menguis cantik bola pada minit ke-49 bagi menewaskan penjaga gol Perancis, Edgar Reynaud.

Namun, Perancis yang dibimbing Frederic Soyez tidak mudah berputus asa dan pada minit ke-51 berjaya memperoleh pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Charlet menjadikan kedudukan 2-2.

Gol ketiga Perancis menyusul tujuh minit sebelum permainan tamat apabila penjaga gol negara, S. Kumar menjatuhkan Genestet untuk memberikan pukulan penalti yang disempurnakan dengan baik untuk gol kemenangan wakil Eropah itu.

Sementara itu, satu lagi perlawanan dalam Kumpulan B menyaksikan Korea Selatan seri dengan Kanada 3-3 manakala dalam Kumpulan A New Zealand menewaskan Ireland 2-1 dan Jepun menang ke atas Poland 3-2.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


5 pelajar UIAM parah, bas dinaiki kemalangan

Posted: 26 Apr 2014 08:42 PM PDT

KUALA LUMPUR 27 April - Seramai lima pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke kawasan pembinaan di Kilometer 25.2, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Shah Alam di sini, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, bas tersebut membawa 31 penumpang serta pemandu yang dalam perjalanan menuju ke Bukit Cerakah.

Kesemua pelajar yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh. - UTUSAN ONLINE

4 pemandu bas ekspres positif dadah

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my

ALOR SETAR 26 April - Sebanyak 622 pemandu bas ekspres telah menjalani ujian saringan air kencing dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara, sejak empat hari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, daripada jumlah itu, hanya empat positif dadah dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap mereka.

"Sejak 22 April lalu, JPJ serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah menempatkan anggota di 22 terminal bas di seluruh negara untuk menjalankan ujian saringan air kencing sebelum pemandu bas ekspres termasuk pemandu kedua, memulakan tugas mereka.

"Hasilnya, empat pemandu didapati positif dadah iaitu satu kes dikesan di Wilayah Persekutuan, dua di Negeri Sembilan dan satu di Terengganu.

"Keempat-empat pemandu itu telah digantung lesen mereka untuk sementara waktu dan kita arahkan mereka ke klinik untuk menjalani pemeriksaan lanjut," katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Zon Utara di Hotel Grand Alora, di sini hari ini.

Pada 22 April lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, semua pemandu bas ekspres diwajibkan menjalani ujian saringan air kencing oleh pegawai penguat kuasa JPJ dan AADK setiap hari, di terminal-terminal bas di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Langkah drastik itu merupakan antara beberapa tindakan dilakukan Kementerian Pengangkutan dalam usaha mengelakkan kemalangan melibatkan bas ekspres dan persiaran, berulang.

Menurut Ismail, JPJ akan menggantung lesen pemandu bas ekspres yang disahkan positif dadah dan melakukan kesalahan berulang melibatkan penyalahgunaan dadah.

"Mengikut rekod JPJ, terdapat 9,000 pemandu bas ekspres yang berdaftar dengan pihak kami dan operasi saringan ujian air kencing ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu bas ekspres bebas daripada penyalahgunaan dadah.

"Ramai yang bersungut ia akan menyebabkan jadual perjalanan bas terganggu, namun pihak kami akan cuba mempercepatkan proses ini," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail memberitahu, mulai 1 Mei ini, JPJ akan memulakan sistem pendaftaran kenderaan secara dalam talian bagi mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter JPJ.

"Sistem ini membolehkan pembeli kenderaan baharu iaitu daripada jenama Honda, Perodua, Proton dan Toyota mendaftar kenderaan mereka secara dalam talian tanpa perlu berurusan di kaunter JPJ.

"Sistem ini akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan di kaunter JPJ," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


20,000 liter minyak diesel dirampas

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Oleh Mohd. Fairuz Yusof
utusanpahang@utusan.com.my

Sebuah bot disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak bersubsidi tanpa permit sah ditahan oleh Maritim Malaysia di Kuantan, baru-baru ini. - Mingguan/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 26 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daerah ini merampas 20,000 liter minyak diesel daripada sebuah bot yang didaftarkan di negara jiran kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak bersubsidi tanpa permit yang sah di sini kelmarin.

Turut ditahan ialah seorang tekong dan tiga awak-awak warga Thailand serta dua lelaki tempatan yang berada di dalam bot Doungkamon 8 itu.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 8 Kuantan, Kepten Ab. Aziz Idrus berkata, pihaknya yang membuat rondaan mengesan bot terbabit berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.8 kilometer dari Kuala Kuantan.

"Siasatan awal mendapati petak ikan bot tersebut telah diubah suai menjadi peti simpanan minyak disyaki minyak diesel bersubsidi dalam kuantiti yang banyak," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

263 penternak ikan terima bantuan RM323,300

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Shafik Fauzan Sharif (dua dari kanan) beramah mesra dengan penternak ikan sambil diperhatikan Adnan Hussin (kanan) pada majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Banjir di Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 26 April - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM323,300 bagi menyalurkan bantuan ihsan kepada 263 penternak ikan yang terjejas akibat banjir di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, bantuan yang diberikan secara berperingkat-peringkat itu berdasarkan kepada penilaian terhadap kerosakan dan kerugian setiap peserta akibat banjir besar yang melanda penghujung tahun lalu.

"Kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban penternak terbabit seterusnya membuktikan keikhlasan serta keprihatinan kerajaan terhadap pengusaha terlibat.

"Pada masa ini, hanya penternak di Pekan sahaja melibatkan 100 penternak masih belum menerima bantuan ini manakala kawasan lain telah selesai diagihkan secara berperingkat,"katanya demikian selepas majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Banjir 2013 kepada penternak ikan daerah ini, Bera dan Maran, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Adnan Hussin.

Pada majlis itu, seramai 57 peserta terdiri daripada 26 penternak di Temerloh, Bera (16) dan Maran (15) menerima bantuan masing-masing dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM71,900.

Menurut Shafik Fauzan, bantuan berkenaan merupakan antara bantuan diberikan akibat bencana banjir pada tahun lalu selain wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Dalam pada itu, seorang penerima bantuan yang cacat penglihatan, Mohd. Bahkri Md. Said, 63, berkata, bantuan berkenaan amat bermakna dalam membantu meneruskan penternakan ikan yang menjadi sumber pendapatan utamanya.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan. Ini menunjukkan janji dibuat sebelum ini bukanlah janji kosong semata-mata. Saya akan menggunakan wang ini untuk membeli benih ikan dan membaiki sangkar yang rosak," katanya.

Bapa kepada empat orang anak yang berasal dari Kampung Lubuk Paku, Maran itu berkata, dia juga amat terharu dengan bantuan berterusan yang diberikan kerajaan bagi meningkatkan pendapatannya.

26 pengusaha sertai promosi kraf di ECM

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

KUANTAN 26 April - Seramai 29 pengusaha kraf merangkumi batik, tenunan dan songket, seramik, logam, hasil rimba serta aneka kraf mengambil bahagian dalam Hari Promosi Kraf 2014 peringkat negeri yang berlangsung di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini.

Pameran bertempat di ruang legar pusat beli-belah itu berlangsung selama empat hari dan berakhir esok itu dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin (gambar) berkata, program yang turut mendapat kerjasama Pejabat Pelancongan negeri itu bermula pukul 10 pagi dan berakhir 10 malam.

"Program ini bertujuan memberi peluang kepada usahawan kraf mempromosi dan memasarkan produk kraf secara terus kepada pengguna.

"Selain itu, program ini dapat memperluas kraf berdasarkan kepada kuasa membeli yang tinggi dalam kalangan pengunjung pusat beli-belah ini," katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan Hari Promosi Kraf tersebut di sini kelmarin

Yang turut hadir Pengurus Besar Pelancongan negeri, Ishak Mokhtar dan Pengarah Tourism negeri, Mohd. Faharuddin Hatmin.

Selain jualan kraf katanya, turut diadakan pameran tentang latihan jangka pendek oleh Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

"Orang ramai yang berminat untuk melihat pelbagai hasil kraf termasuk batik dan tenunan boleh mengunjungi ECM," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kes pertama MERS-CoV di Mesir dikesan

Posted: 26 Apr 2014 10:30 AM PDT

KAHERAH 27 April - Seorang rakyat Mesir mencatat kes pertama menjadi penghidap Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-Cov) di negara ini selepas pulang dari Arab Saudi, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Mesir semalam.

Penghidap penyakit itu yang berusia 27 tahun kini dilaporkan stabil dan sedang menjalani rawatan di Hospital Cairo, kata kenyataan itu.

Lelaki itu sebelum ini menginap di Riyadh, Arab Saudi sebelum pulang ke Mesir baru-baru ini. - REUTERS

Afghanistan: Korban banjir meningkat kepada 123 orang

Posted: 26 Apr 2014 10:28 AM PDT

MAZAR-I-SHARIF, Afghanistan 26 April - Jumlah korban akibat banjir di utara Afghanistan semalam meningkat kepada 123 orang, manakala beribu-ribu lagi penduduk kehilangan tempat kediaman, menurut kenyataan pihak berkuasa.

Pihak pengurusan bencana kebangsaan melaporkan, mangsa banjir kini dipindahkan ke kawasan selamat dengan menggunakan helikopter.

Dalam pada itu, Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan, sekurang-kurangnya seramai 6,000 penduduk berpindah dan memerlukan bekalan air bersih, perubatan, makanan serta tempat tinggal dengan segera. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Fizz Fairuz, Almy Nadia kini suami isteri

Posted: 26 Apr 2014 05:17 AM PDT

PULAU PINANG 26 April - Kontroversi termasuk bertunang dengan orang lain ketika masih bercinta tidak menghalang pasangan pelakon Fizz Fairuz dan Almy Nadia mengakhiri hubungan mereka ke jenjang pelamin.

Dengan hanya sekali lafaz akad nikah, Fizz Fairuz atau nama sebenarnya, Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 34, sah menjadi suami kepada Almy Nadia atau nama sebenarnya, Almy Nadia Aminuddin Shah, 28.

Majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Balik Pulau, Kampung Pondok Upeha dekat sini, iaitu di kampung Almy Nadia kira-kira pukul 5 petang hari ini. - UTUSAN ONLINE

Imej baharu, lebih maskulin

Posted: 26 Apr 2014 06:13 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar ZAINI HUSIN

Azri Abdullah hilang 10 kilogram untuk tampil dengan gaya menawan.

UNTUK bergelar seorang selebriti, ia pasti bukan satu tugas mudah. Setiap pergerakan akan diperhati, sekali gus menjadi topik perbualan bagi segelintir peminat yang begitu taksub dengan artis kegemarannya.

Dek kerana itulah, segala tingkah laku perlu dijaga dan imej yang ditampilkan haruslah kemas dan bersih. Selebriti ibarat role model kepada peminatnya, jika baik contohnya, maka baiklah teladan yang diperoleh, namun jika sebaliknya, faham-faham sajalah.

Bagi finalis Akademi Fantasia kesembilan (AF9) Azri Abdullah, titisan keringat yang membasahi tubuhnya setiap kali mengunjungi gimnasium mahupun membuat senaman jalanan atau street workout pastinya cukup berbaloi apabila berjaya menurunkan berat badan sehingga 10 kilogram (kg) untuk mendapatkan figura yang lebih menarik dan menawan.

Menurut anak jati kelahiran Klang, Selangor ini, ketika menyertai program realiti yang disiarkan tiga tahun lalu itu, beratnya mencecah 78 kg, akan tetapi kini dia berjaya mendapatkan berat badan ideal iaitu 68 kg.

"Sejak keluar daripada AF, saya memang tekad untuk mengurangkan berat badan dengan mendaftarkan diri di sebuah gimnasium. Pelbagai rutin harian terpaksa ditukar bagi merealisasikan keinginan saya untuk mendapatkan tubuh yang berotot dan pejal.

"Jadual pemakanan terpaksa diketatkan, mengikut piramid makanan yang sesuai. Mula-mula memang susah, tapi lama-kelamaan sudah biasa. Akhirnya, Alhamdulillah selepas setahun lebih, saya mendapat badan seperti hari ini," katanya ketika menjayakan sesi fotografi bersama S3, di Tasik Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah jejaka yang manis senyumannya ini, kebanyakan makanan hariannya adalah berasaskan protein seperti ikan dan daging serta sedikit karbohidrat untuk memberi tenaga sepanjang hari.

Katanya, setiap kali tibanya waktu makan, dia pasti mendapatkan protein secukupnya dan akan mengelak daripada mengambil makanan berminyak.

"Saya lebih gemar makanan yang dikukus atau dibakar kerana ia kurang berminyak. Dan pastikan ia tidak terlebih masin kerana garam berlebihan akan mengundang pelbagai penyakit. Kalau minuman pula, saya hanya minum air kosong atau soya cincau kurang manis.

"Walaupun tampak sukar untuk menjaga diet, tetapi ia akan menjadi kebiasaan jika diamalkan selalu. Selain menyihatkan tubuh badan, makanan yang dikukus dan dibakar juga enak untuk dimakan," katanya.

Untuk penjagaan kulit pula, Azri memberitahu dia mengamalkan makanan yang mempunyai vitamin C seperti buah dan sayuran yang dimakannya setiap hari sebelum makan makanan berat.

"Ini sememangnya rutin yang telah lama saya lakukan sebelum aktif dalam kegiatan di gimnasium. Sebab itulah kulit saya cantik dan halus," katanya berseloroh.

Senaman jalanan atau street workout

Bercerita mengenai street workout atau senaman jalanan, Azri ternyata agak kekok dalam aktiviti tersebut memandangkan ia adalah satu gaya hidup sihat yang boleh dikatakan baharu di negara ini.

"Kalau tak silap saya, aktiviti sebegini diasaskan oleh Bruce Lee setelah sekian lama. Cuma ia lambat menular di sini. Ia adalah satu budaya baharu dalam kalangan anak muda untuk melakukan senaman berat.

"Aktiviti di gimnasium memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi dengan yuran pendaftarannya yang mahal. Jadi, kemudahan senaman jalanan ini mudah didapatkan di pusat-pusat rekreasi dan tidak melibatkan sebarang kos. Ia amat sesuai untuk mereka yang mahu berjimat tetapi pada masa yang sama, boleh melakukan senaman berat.

"Satu tepukan gemuruh untuk kerajaan yang membina kelengkapan senaman jalanan yang mampu memanfaatkan masyarakat setempat," katanya memuji.

Bagaimanapun, menurut Azri, dia lebih selesa melakukan senaman di gimnasium kerana lebih selesa serta terdapat pelbagai prasarana lain yang memberi kepuasan maksimum.

"Kelebihan di gimnasium, setelah penat bersenam, saya boleh berenang di kolam renang yang disediakan atau mandi wap atau bersauna. Semuanya ada fungsi tersendiri dalam menjalani hidup sihat," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Signifikan lawatan Obama

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI

PRESIDEN Amerika Syarikat Barack Obama setibanya di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang bagi rangka lawatan ke ibu negara selama tiga hari bermula semalam.

Lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia selama tiga hari, bermula semalam bakal mencipta sejarah tersendiri dan membawa hubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) ke fasa baharu, setelah ditunda sebelum ini.

Obama sebelum ini dijadualkan melawat Malaysia pada Oktober lalu, tetapi terpaksa dibatalkan setelah AS berdepan krisis pentadbiran apabila Kongres AS gagal meluluskan satu bajet khas Persekutuan, ekoran perbalahan berhubung rang undang-undang penjagaan kesihatan yang diutarakan oleh Obama, sehingga hampir melumpuhkan kerajaannya.

Lawatan sulung Presiden AS itu ke negara ini dalam tempoh 48 tahun, dilihat bukan sahaja bakal menguntungkan Malaysia sebelah pihak, tetapi juga kepada AS sendiri.

Selepas beberapa siri lawatan ke Asia sebelum ini, Obama menyedari beliau tidak boleh mengabaikan lawatannya ke negara-negara Islam di rantau ini, terutama negara-negara Islam berfahaman sederhana seperti Malaysia bagi memperbaiki imej AS di dunia Islam.

Daripada segi politik, lawatan Obama ke Malaysia kali ini, bukan sahaja merupakan satu penghormatan kepada Malaysia tetapi juga pengiktirafan kerajaan AS kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memperolehi mandat daripada rakyat setelah BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 pada tahun lalu.

Lawatan Obama merupakan lawatan keyakinan kerajaan AS terhadap Malaysia setelah hubungan Washington-Kuala Lumpur agak kurang memberangsangkan semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (1981-2003) yang sering mengkritik keras polisi luar Washington, kata penganalisis.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam taklimat kepada media di Wisma Putra kelmarin sempena lawatan Obama ke negara ini mengakui kunjungan Presiden AS itu akan membawa lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-AS, selepas hampir 50 tahun pentadbiran AS mengabaikan kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Kali terakhir Presiden AS melawat Malaysia ialah pada 1966 oleh Presiden Lyndon B. Johnson.

Sejak lebih setengah abad, kepentingan AS banyak ditumpukan di rantau Asia Barat, serta menangani kebangkitan komunis dan melalui fasa perang dingin dengan blok komunis diketuai Kesatuan Soviet, dan diikuti kempen memerangi keganasan di seluruh dunia.

Imej AS di mata dunia Islam sangat buruk semasa kempen memerangi keganasan kerana pentadbiran AS sering melihat dunia Islam seolah-olah sebagai musuh terutama semasa era Bush yang sering mengaitkan keganasan dengan Islam.

AS juga sudah lama mengabaikan kepentingan di rantau ini, selepas banyak memberi tumpuan di Asia Barat dan terlalu memberi fokus kepada kempen memerangi keganasan.

Konflik di Syria dan isu pertikaian di Laut China Selatan dan Laut China Timur serta krisis di Ukraine mendorong AS untuk menilai semula strateginya dengan memberi fokus kepada Asia Timur bagi mengimbangi kuasa China di rantau ini.

Namun, AS berhati-hati dalam menyatakan kehadirannya di rantau ini, bukan sahaja bagi mengelakkan kemarahan China tetapi juga daripada segi strategi, dengan mengubah pendekatan daripada berpendirian sebagai paksi (pivot) kepada mengimbangi (rebalancing).

Merebut peluang

Dasar pivot lebih menjurus kepada meningkatkan cengkaman dan membina kekuatan tentera yang dilihat sangat tidak disukai oleh China dan dengan mengubah pendekatan itu kepada rebalancing ia bukan sahaja dilihat lebih lembut tetapi juga membawa faedah lebih besar kepada AS tanpa membangkitkan kemarahan China.

Dengan dasar mengimbangi semula pengaruhnya di rantau ini, AS bukan sahaja dapat memberi perlindungan keselamatan kepada sekutu-sekutunya di rantau ini seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina daripada ancaman China dalam isu-isu melibatkan pertikaian wilayah maritim tetapi juga dapat merebut peluang-peluang ekonomi di rantau ini.

Banyak pihak melihat lawatan Presiden AS itu mempunyai dua agenda utama iaitu untuk mempengaruhi pemimpin-pemimpin rantau ini termasuk Jepun dan Malaysia menerima Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang lebih menguntungkan AS dan kedua adalah untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau ini.Walaupun banyak pihak termasuk di Malaysia mengkritik lawatan Obama ke Asia kali ini, namun lawatan Presiden AS itu ke Malaysia sangat signifikan kerana ia dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini, terutama pelaburan dari Amerika, selain merancakkan lagi iklim perniagaan di Malaysia dan meningkatkan eksport.

Peningkatan hubungan dua hala AS-Malaysia akan dapat menjadi sinergi bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia dengan kemasukan pelaburan baharu dari AS, selain keyakinan pelabur dari negara lain, kerana lawatan Obama itu, sekali gus memberi gambaran keyakinan AS terhadap politik dan iklim pelaburan di negara ini, selain Malaysia sebuah negara yang bebas daripada ancaman keganasan dan selamat untuk membuat pelaburan.

Banyak pihak mendakwa lawatan Obama ke Malaysia adalah bagi memberi tekanan kepada Malaysia supaya menandatangani TPPA. Anifah menjelaskan Malaysia tidak akan menggadaikan kedaulatan negara dan mengetepikan kepentingan dan hak Malaysia sebelum menandatangani perjanjian itu.Blok perjanjian itu mengandungi 12 negara anggota termasuk Malaysia dan menguasai 40 peratus daripada perdagangan dunia.

Menurut Anifah, banyak rundingan perlu diadakan terlebih dahulu sebelum perjanjian itu boleh ditandatangani, selain ia perlu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan sebelum diluluskan.

Katanya, kedatangan Obama ke Malaysia bukan untuk memberi tekanan kepada Malaysia atau untuk memihak, kerana Obama sendiri menyedari Malaysia mempunyai pendirian tersendiri berhubung dasar luar dan domestiknya dan fahaman kesederhanaan dan berkecuali yang menjadi pegangan Malaysia selama ini dan dasar berbaik-baik dan bersahabat dengan semua negara adalah kunci utama dalam menentukan hubungannya dengan semua negara termasuk dengan AS.

Dalam lawatan Obama ke Jepun sebelum tiba di Malaysia, dilaporkan AS-Jepun gagal mencapai sebarang kemajuan dalam rundingan berhubung TPPA apabila Jepun mempunyai pandangan berbeza berhubung sektor pertanian dan automotif.

Kini terbukti dakwaan pembangkang bahawa Jepun dan AS akan bersatu untuk menekan Malaysia supaya menandatangani perjanjian TPPA, sebagai tidak berasas. Lawatan Obama ke Asia kali ini termasuk Malaysia mencetuskan kebimbangan China yang menyaksikan AS cuba mengukuhkan kedudukannya di Asia Pasifik.

Lebih-lebih lagi ketika China sedang meningkatkan pengaruhnya di rantau ini dan ketika pertikaian berhubung wilayah maritim antara Beijing dan ASEAN di Laut China Selatan sedang memuncak, selain pertikaiannya dengan Jepun berhubung wilayah maritim di Laut China Timur berhubung Kepulauan Senkaku atau turut dikenali sebagai Diaoyu di China.

Sehubungan itu, China mengikuti daripada dekat lawatan Obama ke Asia kali ini. Namun, AS berpendapat tumpuannya di Asia Pasifik kali ini adalah bagi mengimbangi semula dasarnya di Asia setelah mengundurkan tenteranya dari Iraq dan Afghanistan serta berikutan perkembangan di Syria dan di Ukraine menyebabkan AS menilai semula strateginya di tempat-tempat lain.

AS melihat tumpuannya di rantau ini perlu diperkukuhkan bagi mengimbangi kebangkitan China bukan sahaja daripada segi ketenteraan tetapi juga daripada segi ekonomi. Malaysia memerlukan AS dan China di rantau ini bagi membawa kemakmuran dan kestabilan di rantau ini dan bukan untuk memihak.

Selain itu, kedatangan Obama di Malaysia dapat mengurangkan kritikan global terhadap pengurusan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Dalam masa sama, Malaysia melihat lawatan Obama ke negara ini dapat meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala dalam banyak bidang, terutama kerjasama membantu Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Selain itu, ia dapat meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat.

AS juga mahu menjalinkan hubungan dengan penduduk di Asia terutama golongan muda dengan mengadakan pertemuan dengan golongan itu di Universiti Malaya, apabila beliau melancarkan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara yang turut dihadiri oleh wakil dari 100 negara.

Selain itu, lawatan itu turut akan memberi sinergi kepada Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan bagi merealisasikan Komuniti ASEAN yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan.

Kedatangan Obama ke negara ini juga akan membantu memberi sokongan kepada hasrat Malaysia untuk menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

PENULIS ialah Pengarang Meja Luar Negara Utusan Malaysia.

Tegas hadapi Comango

Posted: 26 Apr 2014 12:02 PM PDT

MINGGUAN: Boleh Ustaz terangkan latar belakang hak asasi manusia (HAM) dalam Islam, Comango, MuslimUPRo dan Centhra?

nasharuddin : Pertama sekali masyarakat perlu dididik untuk memahami isu yang sedang hangat menjadi perbualan sekarang. Isu ini adalah berkaitan dengan Comango. Masyarakat patut tahu apa itu Comango, apa tuntutan mereka dan apa ancaman kepada kita. Comango adalah ringkasan pendek kepada Coalation Malaysian NGO iaitu gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia sebanyak 54 pertubuhan yang bergabung di bawah Comango, malangnya hanya 15 pertubuhan yang sah berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), yang lain tidak. Mereka telah bawa satu laporan ke pihak HAM di Geneva dengan memberikan gambaran yang salah tentang keadaan HAM di Malaysia. Malah turut mempromosikan kepada negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain dengan memberikan tekanan melalui NGO antarabangsa kepada Malaysia untuk meratifikasi beberapa perjanjian antarabangsa dan cuba mengheret Malaysia untuk menerima norma-norma hak asasi manusia Barat yang sekiranya kita akur kepada tuntutan-tuntutan dan desakan tersebut ia boleh memberi kesan kepada Islam, kepada kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.

Malah mereka mampu memberi kesan kepada Perlembagaan itu sendiri sebab walaupun pihak Comango cuba menafikan bahawa dalam tuntutan-tuntutan mereka itu tidak ada perkara yang menyentuh agama Islam atau hal-hal luar tabii, tapi jelas (bertentangan) dalam laporan mereka dan semuanya terkandung dalam laporan berkenaan. Hasil daripada itu NGO-NGO Islam di Malaysia telah bergabung dan mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan.Kita merasakan bahawa kewajipan bagi NGO-NGO Islam untuk mengadakan tentangan terhadap usaha Comango ini supaya kita tidak terheret ke medan yang mereka mahukan. Alhamdulillah kita bergabung atas nama MuslimUPRo yang terdiri daripada pelbagai NGO Islam. Boleh saya sebut hampir seluruh NGO Islam besar terlibat seperti Pembela, Muafakat, Isma, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beberapa persatuan penduduk, Yayasan Nassar dan sebagainya.

Alhamdulillah kita telah mengambil satu ketetapan untuk meneliti perkara tersebut dan melibatkan diri dalam proses Universal Periodic Review (UPR) dan membawa laporan itu ke Geneva beberapa kali dan Alhamdulillah sejak daripada Oktober 2013 hingga ke hari ini saya lihat rakyat sudah mula faham siapa itu Comango, apa tuntutan mereka, apa ancaman terhadap Islam dan sebagainya selain siapa sebenarnya MuslimUPRo.

Kini MuslimUPRo telah mengambil satu lagi langkah yang lebih berstruktur untuk kita tubuhkan sebuah pusat yang kita panggil Centhra. Pusat ini dijadikan center for human research and advocacy, sebuah institusi yang sudah kita mulakan proses pendaftarannya, sudah kenal pasti di mana pejabat yang bakal kita beroperasi dan sebagainya. Malah struktur pengurusan telah kita bentuk dan tugas Centra yang paling utama adalah proses UPR untuk pengisian apabila dilakukan semakan kali ketiga oleh PBB pada tahun 2018.

Apa yang bakal dilalui pada semakan kali ketiga pada 2018 itu nanti?

NASHARUDDIN: Kita menjangkakan pada tahun 2018 nanti pihak Comango akan lebih agresif dan sudah tentulah akan membawa banyak isu serta persepsi yang salah terhadap kedudukan HAM di Malaysia. Jadi Centhra berperanan untuk mewujudkan satu kumpulan tenaga pakar dalam bidang ini yang kita rasa NGO Islam masih ada kekurangan. Kita hendak wujudkan tenaga pakar ini dan dalam masa yang sama kita akan terus memberikan penerangan kepada isu HAM khasnya melalui perspektif Islam dalam kita menjamin kedaulatan Perlembagaan berkaitan agama Islam. Kita juga akan mengadakan siri advocacy melalui Centhra yang telah diluluskan dan kita menawarkan diri sebagai rakan strategik kepada pihak kerajaan kerana yang akan bertanggungjawab berhujah dan memberikan respons kepada desakan antarabangsa ialah pihak kerajaan.

Kita berterima kasih dan merakam tahniah mengenai pendirian kerajaan pada 20 Mac lepas di mana beberapa pandangan kita dan juga hal yang berkaitan dengan mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan yang mempertahankan mahkamah syariah dan menafikan tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah serta diluar tabii daripada Comango dan juga NGO-NGO antarabangsa dan beberapa negara yang berucap contohnya memaksa Malaysia untuk mengiktiraf hak LGBT, telah dinafikan kerajaan. Ini bagi saya cukup hebat tetapi untuk tahun 2018 melalui proses semakan ketiga nanti Comango tidak akan berhenti dan mereka akan terus menyerang maka kita juga akan mengambil tindakan seperti yang saya sebut tadi. Centhra juga akan mengadakan hubungan dengan NGO lain dalam mengadakan kempen. Kita akan mengadakan penerangan, sesi rakan strategik dengan pihak kerajaan supaya kedaulatan Islam dan kedaulatan negara kita tidak diusik.

Bagaimana penglibatan orang Melayu dan Islam dalam menyatakan sokongan kepada Comango?

nasharuddin : Kita menyatakan sedikit kesesalan kepada beberapa nama-nama besar orang Melayu Islam yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa usaha untuk merosakkan agama Islam sedang berlaku.Kita tak dapat menafikan malah ada antara Comango sendiri menamakan diri mereka sebagai organisasi Islam. Malah ada orang-orang tertentu yang memberi ruang kepada Comango untuk meneruskan pembohongan mereka, jadi tugas kita sekarang iaitu MuslimPRo dan Centhra adalah untuk meneruskan penerangan.Kita tahu isu ini masih belum sampai ke tahap sewajarnya kepada masyarakat. Isu ini walaupun besar tetapi ramai yang belum faham. Namun kita masih ada masa dan ruang.

Di sinilah kita mengharapkan peranan media untuk bersama-sama dengan kita.Kita menyatakan ucapan terima kasih kepada pihak Utusan yang bersama-sama kita menyokong perjuangan. Kita kalau boleh nak buat program yang datang mungkin hanya 100 orang sahaja tetapi yang tengok televisyen dan baca surat khabar jumlahnya jutaan. Jadi kita harap perkara ini akan dapat disampaikan terus kepada sasaran

Boleh Ustaz jelaskan peranan Centhra dalam menghadapi tahun 2018?

nasharuddin : Antara tugas utama Centra adalah mewujudkan rangkaian kita dengan NGO-NGO di luar negara. Kita akan mengadakan kajian lokasi dan sentiasa berhubung dengan rakan-rakan kita di Geneva dan peranan utama kita adalah memberi kesedaran kepada masyarakat dan dalam masa yang sama kita hendak menyediakan kumpulan pakar. Dalam sistem pengurusan Centhra ada Board of Trustee terdiri daripada lima orang. Saya telah diamanahkan oleh rakan-rakan untuk jadi Pengerusi Board of Trustee. Selepas Board of Trustee kita ada satu cabangan International Council of Expert (ICE).

Kita sudah berhubung dengan beberapa pakar undang-undang, pakar HAM sama ada profesional atau berlatar belakangkan Islam untuk kita dapatkan pandangan mereka dan insya-Allah satu persidangan yang melibatkan pakar-pakar ini akan diadakan pada bulan Mei depan.

Selepas ICE, kita ada Ketua Pegawai Eksekutif yang mana saudara Azril akan mengetuai Centhra dan di bawahnya ada tiga komponen. Pertama, ia berkaitan dengan pusat kajian dan kita amanahkan kepada seseorang daripada sebuah universiti.

Centhra ini seperti yang saya sebut akan menjadi pusat advocacy atau pusat menyediakan tenaga pakar. Kita sudah mula menerima permohonan daripada ramai pelajar universiti yang berminat untuk bersama kita. Kita akan kenal pasti mereka dan mereka akan dihantar ke Geneva untuk sesi latihan. Ini adalah perlu supaya mereka mendapat pendedahan secara lapangan di Geneva, tengok bagaimana fungsi, bagaimana operasi dan sebagainya. Sudah tentu mereka akan menjadi barisan pelapis. Walaupun kami baru bermula tetapi kami telah memikrkan tentang barisan pelapis.

Kita mahukan penglibatan Generasi Y secara aktif dan setakat ini komunikasi kita dengan masyarakat banyak respons yang kita dapat daripada Generasi Y. Kita mahu penglibatan mereka secara aktif sebab dalam masa empat tahun sehingga 2018, orang yang menubuhkan Centra semakin tua dan kita mahu pada 2018 Generasi Y yang pergi mewakili kita mempertahankan Perlembagaan, agama Islam dan memberi input yang positif kepada pihak kerajaan dalam proses semakan kali ketiga itu nanti.

Bagaimana peranan Centhra dalam mendidik kanak-kanak dan remaja mengenai HAM di Malaysia?

nasharuddin : Saya memang bersetuju pendidikan tentang fahaman HAM ini cukup penting dan harus diberikan tumpuan. Pendidikan terhadap masyarakat yang luas harus dijadikan satu agenda. Saya cadangkan di peringkat universiti semasa saya membentangkan kertas kerja di UKM minggu lepas, saya cadangkan supaya dimasukkan dalam satu subjek, diperbanyakkan kajian tentang pendidikan HAM.

Cara mana hendak dilaksanakan di peringkat sekolah satu kajian terperinci harus dibuat tapi apa pun pendidikan terhadap fahaman HAM ini telah menjadi satu tuntutan yang sepatutnya diberikan tindakbalas secepat mungkin di peringkat kerajaan. Di sini Centhra cuba memainkan peranan bagaimana caranya untuk kita membantu dalam proses pendidikan kefahaman dalam bidang HAM.

Kita tidak mahu berlaku kekeliruan kerana kita tolak HAM? Jika kita tidak menolak yang mana pula perlu kita pakai? Adakah kita tidak perlu layan UPR? Tidak boleh dan Malaysia perlu melayan perkara ini. Malaysia perlu melibatkan diri dalam proses UPR walaupun kita ikut prosesnya tetapi kita ada pendirian. Saya rasa Malaysia adalah contoh paling baik untuk kita buktikan kepada dunia Barat, kami berupaya untuk menunjukkan dalam konteks negara yang berbilang kaum.

Memandangkan Islam adalah Agama Persekutuan dan Islam adalah teras dalam HAM, tuntutan hak-hak yang bercanggah dengan perlembagaan agama tidak akan dilayan dalam masa yang sama ruang tuntutan untuk HAM yang lain sentiasa ada dan terbuka. Kita tidak menafikan. Sebagai contoh, Comango hendak perjuangkan hak berkaitan yang lebih munasabah, insya-Allah kita akan kaji. Kita bukan tentang semuanya.

Bersambung esok di dalam Utusan Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kegiatan kuari haram terbongkar

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangoup.com.my

KEADAAN bongkah batu yang diletupkan oleh pengusaha kuari haram sebelum dijual bagi mengaut keuntungan lumayan di Selayang, Selangor. - UTUSAN/ Nasirruddin Yazid

GOMBAK 25 April - Sebuah kuari haram yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pejabat Tanah dan Daerah Gombak di sini, hari ini diserbu pihak berkuasa selepas didapati menjalankan operasi meletupkan bongkah batu sejak Sabtu lalu.

Kegiatan di atas tanah seluas 89 hektar di Selayang itu dipercayai menyebabkan gegaran kuat dirasakan oleh penduduk di kawasan sekitar.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memberitahu, kuari tersebut telah dihentikan operasinya pada tahun 2011 kerana dibuka secara haram, namun pengusahanya cuba mengaktifkan semula aktiviti kuari terbabit.

"Kita dapati mereka menanam bahan letupan baharu ke dalam 10 buah lubang yang boleh menghasilkan sebanyak 35,000 ribu tan batu bernilai sehingga RM650,000.

"Bagaimanapun, ketika serbuan tidak ada sebarang tangkapan dibuat kerana tiada dalang kegiatan itu atau pekerja di kawasan tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas serbuan itu di sini, hari ini.

Antara agensi yang terlibat dalam serbuan itu ialah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Selayang dan polis.

Nor Hisham berkata, pengusaha kuari tersebut cuba mengaut untung yang tinggi dengan meletupkan batu sebelum dijual dan ia mampu membawa pulangan sehingga RM1 juta sebulan.

"Buat masa ini kita masih menyiasat identiti pengusaha kuari dan dalang sebenar di sebalik kegiatan ini.

"Sebelum ini mereka hanya mengeluarkan simpanan batu kuari tetapi apabila ia telah habis, mereka mula meletupkan bongkah-bongkah sejak Sabtu lalu," katanya.

Menurutnya, kuari tersebut didapati beroperasi secara haram di atas tanah kerajaan yang diserahkan kepada sebuah syarikat pemaju perumahan untuk tujuan pembangunan.

"Sepatutnya pihak pemaju perlu bertanggungjawab terhadap sebarang aktiviti yang dijalankan di atas tanah tersebut.

"Kita telah mengambil tindakan menyita kawasan kuari berkenaan. Kita juga akan mengumpulkan semua maklumat dan laporan siasatan akan diserahkan kepada pemaju dan kerajaan negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Jelasnya, terdapat kira-kira 11 syarikat pengusaha kuari yang kebanyakannya beroperasi di tanah milik persendirian di sekitar Gombak.

"Mereka biasanya akan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa termasuk polis berhubung penggunaan bahan letupan di kuari.

"Bagaimanapun, pihak yang melakukan letupan Sabtu lalu tidak mendapat lesen bahan letupan serta surat kebenaran daripada Jabatan Mineral dan Geosains Selangor," katanya.

DBKL beku permohonan iklan paparan luar

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membekukan permohonan baharu bagi pemasangan paparan iklan luar di sekitar ibu negara selama enam bulan berkuat kuasa 11 Mac lalu.

Pengurus Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Ismail Stapa berkata, sehingga kini terdapat 458 buah paparan iklan luar jenis free standing dan jumlah itu agak besar.

Jelasnya, adalah sukar bagi DBKL untuk mempertimbangkan permohonan baharu memandangkan lokasi tapak cadangan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan khususnya Garis Panduan Papan Iklan Luar, 2012 Wilayah Persekutuan (Garis Panduan 2012).

"Berdasarkan statistik tahun lalu, daripada 256 permohonan tapak paparan iklan luar, hanya enam yang diluluskan setelah mematuhi garis panduan.

"Selain itu, ada permohonan yang ditolak kerana kerana papan iklan yang dicadangkan terletak di laluan utama seperti Jalan Duta, Lebuhraya Mahameru, Jalan Parlimen, Jalan Istana dan sebahagian Jalan Syed Putra selain terlalu hampir dengan paparan iklan sedia ada," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ismail, pihaknya juga tidak meluluskan permohonan papan iklan yang menghalang struktur isyarat lalu lintas dan papan tanda arah serta terletak berhampiran persimpangan jalan atau bulatan.

"Selain itu, ada papan iklan yang melindung bangunan warisan, bangunan kerajaan dan premis awam serta menyukarkan kerja menebang dan mencantas pokok-pokok di sekitar ibu negara," katanya.

Beliau menjelaskan, pembekuan permohonan itu melibatkan paparan iklan yang dicadangkan untuk didirikan di atas tanah kerajaan dan tanah persendirian.

"Dalam tempoh pembekuan ini, DBKL akan menjalankan proses pemutihan bagi memastikan iklan sedia ada mematuhi peraturan" katanya.

Tambahnya, bagaimanapun, ia tidak melibatkan pemasangan paparan iklan di kawasan konsesi sama ada lebuh raya yang mempunyai tol atau rel yang telah memiliki komitmen perjanjian dengan kerajaan Pusat.

Tiada bangunan terjejas

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Beberapa bangunan di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas ekoran kejadian tanah mendap di kawasan itu kelmarin.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dalam satu kenyataan memberitahu, pemeriksaan oleh Kontraktor Kerja Projek MRT Bawah Tanah KVMRT (T) Sdn. Bhd. mendapati, tidak berlaku sebarang pergerakan tanah di Bangunan LTAT.

"Pihak pengurusan bangunan itu juga akan memaklumkan kepada penyewa dan penghuni bahawa bangunan terbabit tidak berdepan sebarang masalah," katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan di Menara Worldwide dan Chulan Square turut mendapati tidak berlaku sebarang masalah yang menjejaskan kedua-dua bangunan itu.

Semalam, sebahagian Jalan Bukit Bintang ditutup bagi kerja-kerja pengukuhan tanah ekoran kejadian tanah mendap sedalam

empat meter di bawah laluan pejalan kaki

di kawasan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Seleksi tudung cepat dipakai

Posted: 26 Apr 2014 06:13 AM PDT

Bagi mereka yang ingin tampil ringkas, koleksi tudung Hana dua warna menjadi pilihan.

Kemunculan pelbagai variasi tudung di pasaran kadang kala membuatkan pengguna pening kepala untuk memilih. Namun sisi positif di sebalik keadaan itu, ia memberikan pelbagai pilihan kepada pengguna.

Bagaimanapun antara ciri-ciri yang masih kurang diberikan perhatian oleh pereka tudung adalah aspek mudah dan cepat dipakai tudung berkenaan.

Dalam kehidupan yang semakin pantas, sudah pasti tudung seperti itu amat diperlukan. Selain memenuhi tuntutan agama, ia juga memudahkan urusan seharian bagi yang berkerjaya,

Paling penting masih boleh bergaya. Justeru ruangan Trend kali ini menampilkan beberapa seleksi tudung yang dikategorikan mudah untuk dipakai.

Tudung berkenaan bukan sahaja sesuai untuk beriadah, bersantai tetapi tetap anggun serta sopan digayakan pada majlis formal seperti perkahwinan dan sebagainya.

Koleksi L'adorn menampilkan beberapa rekaan tudung yang boleh memberi pelbagai bentuk penampilan daripada tudung segera sehinggalah selendang eksklusif untuk majlis tertentu.

Bagi yang bekerja, sudah pasti mahukan tudung ringkas dan mudah dipakai. Namun tidak banyak seleksi tudung jenis itu di pasaran yang boleh memberikan impak menarik.

Berikutan itu koleksi Impression KL memberikan pilihan terbaik untuk wanita bekerja yang mahu menyarung tudung dalam waktu yang singkat. Tudung yang diberi nama Lana membolehkan mereka yang mempunyai waktu terhad masih dapat bergaya. Ia direka dengan anak tudung dan shawl di gabungkan bagi menyingkatkan masa untuk dipakai. Ia juga dapat digayakan dengan pelbagai lilitan shawl biasa dan mengikut selera si pemakai.

Selain itu, bagi yang ingin menghadiri majlis perkahwinan atau rasmi, bolehlah menggayakan tudung daripada koleksi eksklusif yang mempunyai hiasan manik dan sulam bunga yang direka khas pada setiap tudung itu. Koleksi ini diberi nama Beat Me Please untuk memberi impak menarik kepada si pemakai.

Bukan itu sahaja, untuk remaja yang ingin tampil ringkas tetapi bergaya, koleksi tudung dua warna boleh menjadi pilihan kerana ia bukan sahaja mudah dipakai, bahkan juga memberi impak menawan.

Pilihlah apa sahaja gaya tudung yang muncul di pasaran. Paling penting penjagaan aurat dan kesucian agama dipelihara agar kita tidak hanya mengikut fesyen sehingga membelakangkan tuntutan-Nya. - AMIRUL/AIZZUL

Dunia beg Nicole

Posted: 26 Apr 2014 06:13 AM PDT

Kepuasan pelanggan adalah keutamaan Nicole kerana setiap beg yang dihasilkan pasti memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

Tidak malu belajar daripada mereka yang lebih mahir membuatkan Nicole Wong, 28, cepat mendapatkan maklumat berkenaan sesuatu yang diminatinya sehingga mampu membuka perniagaan yang menjadi impiannya selama ini.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam rekaan produk mahupun fesyen, Nicole tekad menghasilkan beg tangan yang mempunyai reka bentuk terkini, tahan lasak dan berkualiti pada harga yang boleh dimiliki sesiapa sahaja.

Ramai yang mahu bergaya dengan beg terutamanya wanita. Namun kebanyakkan beg berjenama dan hasil rekaan pereka terkenal pastinya sangat mahal.

Dari situlah idea menubuhkan Sometime by Asian Designers bersama seorang rakan kongsi, Stan Chooi. Matlamat mereka memastikan semua orang dapat memiliki beg tangan hasil rekaan pereka dengan harga lebih murah tetapi kualiti setanding beg berjenama.

Dia juga tidak menolak antara faktor dia berjaya menghasilkan beg yang mampu milik ini adalah disebabkan keluarganya yang mempunyai kilang di China dalam menghasilkan beg dan pakaian jenama-jenama lain yang terkenal.

Sebagai generasi muda, Nicole melihat ramai pereka muda berbakat di negara ini tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk mengubah rekaan kepada produk untuk dipasarkan.

Ramai juga di antara mereka tidak mempunyai modal untuk membuat produksi lantas idea dan rekaan itu akan hilang begitu sahaja.

Disinilah dia cuba membantu pereka muda merealisasikan rekaan mereka itu satu kenyataan.

"Kami terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang mempunyai bakat dalam menghasilkan beg, namun setiap rekaan yang itu perlu diteliti bagi memastkan ia praktikal, tahan serta mengikut trend dan kesesuaian yang sepatutnya.

"Ada di antara pereka dapat menghasilkan rekaan yang cantik, tetapi mereka tidak tahu merealisasikan rekaan tersebut kerana banyak faktor yang perlu diambil kira dari segi jahitan, reka bentuk, ketahanan dan sebagainya," jelasnya.

Semua ini dipelajari oleh Nicole dari pereka produk di kilang pembuatan semasa menguruskan perniagaan keluarga kerana tidak semua lakaran rekaan itu mampu diterjemahkan dalam bentuk realiti kerana banyak faktor memainkan peranan.

"Saya seorang yang cerewet dan suka kepada penelitian yang mendalam, jika satu-satu rekaan itu tidak baik saya akan cakap tidak baik. Itulah yang membuatkan semua rekaan beg yang saya sendiri atau pereka hasilkan pastinya memberi kepuasan kepada pelanggan saya", katanya.

BERMULA dari bawah membuatkan Nicole mampu untuk mengetahui selok belok menghasilkan beg bermutu tinggi.

Cabaran utama yang dihadapi dalam perniagaan pastinya mendapatkan material yang terbaik. Oleh kerana dia seorang pencinta haiwan, saya akan pastikan tidak ada satu pun elemen seperti kulit dan sebagainya digunakan untuk setiap rekaan beg tangan.

Saya akan gantikan dengan menggunakan kulit sintetik yang setanding kulit asli.

Tahun ini juga adalah satu kejayaan bagi Nicole dan Sometime apabila dipilih untuk menghasilkan sebuah beg khusus untuk komputer oleh salah sebuah pengeluar komputer terkemuka dunia.

Ditanya kenapa memilih beg sebagai elemen utama dalam perniagaannya, dia berkata, pada awal penglibatan perniagaan saya pernah memilih pakaian namun ia sesuatu yang agak rumit tambahan kerana pakaian mempunyai pelbagai saiz, namun beg, satu saiz sudah cukup untuk digunakan setiap orang.

Bagi memberi ciri-ciri eksklusif, setiap koleksi beg Sometime adalah terhad kerana hanya 200 buah sahaja dikeluarkan untuk memastikan pelanggan yang membeli mempunyai kepuasan.

"Perniagaan bukan satu yang mudah, selain untuk mencapai apa yang diimpikan, kita juga mampu membantu orang lain untuk turut sama berjaya. Melalui Sometime, saya dapat membantu beberapa pereka lain merealisasikan impian mereka.

"Bagi mereka yang ingin menceburi apa jua bidang perniagaan, paling penting adalah jangan putus asa, walaupun sedikit. Ini kerana usaha yang dijalankan itu akan menjadi sia-sia kerana dilakukan separuh jalan sahaja," katanya.

Belajar dari mereka yang pakar adalah lebih baik daripada hanya belajar dari buku, ambil masa sedikit untuk turun bersama mereka yang mahir kerana pengalaman yang mereka ada lebih bermakna.

Dari situ kita akan dapat melihat sejauh mana sesuatu perkara itu boleh dicapai, perjalanan sesuatu perkara itu mempu memberilkan panduan untuk menceburi bidang itu kelak. - AMIRUL/NAJIB

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


7,108 individu ditahan di Johor

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 25 April - Polis menahan sebanyak 7,108 individu di seluruh negeri ini menerusi Op Cantas Khas bermula awal tahun ini sehingga semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 410,588 individu yang diperiksa dalam tempoh berkenaan.

"Daripada jumlah yang ditahan 6,532 orang adalah lelaki manakala perempuan seramai 576 orang. Seramai 1,522 orang daripada mereka terlibat dalam jenayah kekerasan, 1,315 orang jenayah harta benda, 4,271 orang lain-lain jenayah manakala 82 lagi dikehendaki polis.

"Sebanyak 2,664 orang telah dituduh di mahkamah dengan 1,654 orang menghadapi pertuduhan jenayah manakala 1,010 lagi berkaitan narkotik," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, turut dirampas menerusi Op Cantas Khas adalah 21 senjata api tiruan, tiga senapang angin, lapan pucuk pistol, 3,965 peluru serta 179 senjata lain.

Katanya, polis turut memeriksa 228,366 kenderaan pelbagai jenis dalam tempoh operasi terbabit dan hasilnya sebanyak 389 kenderaan termasuk bersabit laporan kehilangan telah dirampas.

Op Cantas Khas yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 17 Ogos tahun lalu bertujuan membanteras kegiatan kongsi gelap, senjata api, pembunuhan, rompakan dan jenayah lain sekali gus mewujudkan persekitaran yang selamat kepada masyarakat.

JBS, Nusajaya bakal dapat IPD baharu

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Zulkifli Abdullah (dua dari kiri) berbincang dengan Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ( dua dari kanan) diperhatikan Sulaiman Salleh (kanan) semasa membuat lawatan ke Balai Polis Larkin di Johor Bahru, kelmarin. Utusan/Baazlan Ibrahim

JOHOR BAHRU 25 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membina bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) dan Nusajaya yang baharu menggantikan infrastruktur sedia ada.

Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pembinaan IPD baharu itu perlu memandangkan IPD JBS sedia ada sudah berusia hampir 100 tahun.

"IPD JBS sedia ada sudah berusia hampir 100 tahun dan keluasannya juga agak terhad. Oleh itu, kami bercadang untuk membina sebuah IPD baharu dengan kos berjumlah RM85 juta di tapak Balai Polis Larkin.

"Projek pembinaan yang bakal bermula tahun ini turut mengambil kira pembinaan Balai Polis Larkin yang baharu bagi menggantikan balai polis sedia ada," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Balai Polis Larkin, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff; Timbalan Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Datuk Zubaidah Md. Ismail dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh.

Selain itu, PDRM juga bakal meningkatkan keupayaannya di negeri ini dengan pembinaan IPD Nusajaya yang baharu dengan kos RM109 juta dan sebuah lagi balai polis baharu di Pengerang.

Zulkifli berkata, kemudahan infrastruktur penting bagi memastikan pihak polis dapat menjalankan tugas dengan lebih efektif membantu usaha kerajaan mencapai taraf negara maju.

"Jika negara hendak mencapai status maju, pihak keselamatan iaitu polis juga perlu dimajukan dalam segala aspek untuk mencapai taraf antarabangsa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Teluk Intan pusat pelancongan

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

Mohd. Azhar Jamaludin melakukan gimik pecah tanah untuk pembinaan gelanggang futsal di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak, kelmarin. - utusan/ AIN SAFEE BIDIN

TELUK INTAN 25 April - Kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan pekan Teluk Intan sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa dalam masa lima tahun akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin berkata, bagi tujuan itu, beberapa pembangunan baharu diadakan termasuk menyediakan pekan kecil di Simpang Tiga, Batu Sembilan dekat Jalan Changkat Jong dan pasar tani kekal di Selabak Luar yang menelan belanja kira-kira RM2 juta.

"Kita akan menaik taraf produk pelancongan di daerah ini termasuk menyediakan perkhidmatan feri di pesisir Sungai Perak.

"Melalui perkhidmatan itu, pelancong dari dalam dan luar negara akan dibawa melihat keindahan Pulau Sembilan dan tebing sungai Teluk Intan. Perkara ini telah pun dibincangkan bersama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berupa barang keperluan dapur di Dewan Orang Ramai Kampung Bahagia di sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, seramai 200 penduduk dari 13 kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong menerima bantuan yang disediakan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Mohd. Azhar berkata, kerajaan negeri juga meluluskan empat padang futsal di Sungai Samak, Kampung Air Hitam, Kampung Selabak dan Kampung Bahagia yang menelan kos sebanyak RM600,000.

Katanya, kawasan Batu Lapan di sini juga dilihat berpotensi untuk dibangunkan bagi membina kolej komuniti, pusat pengajian dan taman rekreasi di atas tanah seluas 12 hektar yang bakal menelan belanja sebanyak RM5 juta.

Orang ramai dinasihat jangan pinjam ah long

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

TASEK GELUGOR 25 April - Penduduk di Daerah Seberang Perai Utara diminta berhati-hati dan tidak membuat pinjaman wang dengan ah long kerana tindakan itu boleh memudaratkan mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supritendan Shukri Awang berkata, ini kerana risiko meminjam dengan pemberi pinjaman tanpa lesen mereka terdedah dengan ugutan jenayah kekerasan oleh pemberi pinjaman terbabit.

Beliau berkata, setakat ini, dua kes tangkapan ke atas ah long telah dibuat di Butterworth dan Tasek Gelugor tahun ini.

"Hasil tangkapan itu, kita telah merampas kereta, telefon bimbit, kad pinjaman dan pelbagai akaun bank dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pember Pinjaman Wang 1951," katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Cantas Khas bagi menurunkan iklan/poster pinjaman

wang ah long di Sungai Dua di sini hari ini.

Selain itu, Shukri berkata, pihaknya juga sedang menyiasat satu kes penipuan melibatkan pinjaman wang yang tidak wujud melibatkan kerugian RM3,000 tahun ini.

"Mangsa yang kesempitan wang telah menghubungi suspek melalui iklan pemberi pinjaman wang untuk membuat pinjaman sebanyak RM20,000.

"Suspek telah mengarahkan mangsa membuat pembayaran pendahuluan sebagai satu proses pinjaman ke dalam akuan yang diarahkan dan selepas itu mangsa gagal menghubungi suspek," katanya.

Shukri berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai menjauhi dan tidak berurusan dengan ah long kerana risiko apabila kegagalan membayar balik pinjaman dikenakan faedah tinggi yang akan membebankan peminjam.

Sementara itu, sebanyak 4,561 poster/kain rentang ah long diturunkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi tempoh Januari hingga Disember di daerah itu tahun lalu.

"Sebanyak 1,518 poster/bunting diturunkan dalam tempoh Januari hingga Mac lalu," ujarnya.

UiTM Perlis bebas asap tembakau

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

ARAU 25 April - Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis menjadi perintis kepada institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini apabila mengisytihar kawasannya bebas daripada asap tembakau demi memelihara persekitaran sosial yang selamat, aman dan tenteram serta seiring dengan komponen Perlis Maju 2015.

Rektornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman berkata, dengan pengisytiharaan ini juga maka hak golongan minoriti yang bukan perokok akan dilindungi daripada pencemaran udara disebabkan asap tembakau.

"Usaha ini sekali gus akan dapat menggalakkan budaya tidak merokok sebagai amalan cara hidup sihat dalam kalangan warga UiTM Perlis," katanya ketika berucap pada majlis pengisytiharaan UiTM Perlis Bebas Asap Tembakau di Dewan Sri Semarak di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ghazali Othman.

Ahmad Redzuan berkata, bagi merealisasikan usaha itu pihaknya akan terus membina keupayaan dan jaringan kerjasama antara agensi yang berkaitan.

"Warga kampus juga perlu lebih aktif dan kreatif dalam membuat perubahan kepada cara hidup sihat," katanya.

Beliau berkata, kempen secara berkala perlu dilakukan menerusi penyebaran maklumat yang berkaitan tentang bahaya asap tembakau.

Katanya, seluruh warga kampus juga perlu bekerjasama bagi menjalankan agenda pentingnya menjaga persekitaran yang sejahtera.

Sementara itu Dr. Ghazali berkata, pihaknya amat menghargai usaha yang ditunjukkan oleh pihak UiTM untuk membebaskan kampusnya dari asap tembakau.

"Kami berharap UiTM menjadi institusi pertama di negeri ini yang diberi pengiktirafan Pensijilan Blue Ribbon," katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan dan Lembaga Promosi Kesihatan (mySihat) di kementerian itu telah menyediakan satu platform Pensijilan Blue Ribbon kepada mana-mana premis yang memberi komitmen ke arah memastikan premis atau kawasan mereka bebas asap tembakau.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memberikan kerjasama kepada UiTM daripada aspek teknikal pelaksanaan program bebas asap tembakau dan juga aspek penguatkuasaan peraturan mengikut kepada keperluan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved