Sabtu, 26 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


7,108 individu ditahan di Johor

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 25 April - Polis menahan sebanyak 7,108 individu di seluruh negeri ini menerusi Op Cantas Khas bermula awal tahun ini sehingga semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 410,588 individu yang diperiksa dalam tempoh berkenaan.

"Daripada jumlah yang ditahan 6,532 orang adalah lelaki manakala perempuan seramai 576 orang. Seramai 1,522 orang daripada mereka terlibat dalam jenayah kekerasan, 1,315 orang jenayah harta benda, 4,271 orang lain-lain jenayah manakala 82 lagi dikehendaki polis.

"Sebanyak 2,664 orang telah dituduh di mahkamah dengan 1,654 orang menghadapi pertuduhan jenayah manakala 1,010 lagi berkaitan narkotik," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, turut dirampas menerusi Op Cantas Khas adalah 21 senjata api tiruan, tiga senapang angin, lapan pucuk pistol, 3,965 peluru serta 179 senjata lain.

Katanya, polis turut memeriksa 228,366 kenderaan pelbagai jenis dalam tempoh operasi terbabit dan hasilnya sebanyak 389 kenderaan termasuk bersabit laporan kehilangan telah dirampas.

Op Cantas Khas yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 17 Ogos tahun lalu bertujuan membanteras kegiatan kongsi gelap, senjata api, pembunuhan, rompakan dan jenayah lain sekali gus mewujudkan persekitaran yang selamat kepada masyarakat.

JBS, Nusajaya bakal dapat IPD baharu

Posted: 25 Apr 2014 10:58 AM PDT

Zulkifli Abdullah (dua dari kiri) berbincang dengan Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ( dua dari kanan) diperhatikan Sulaiman Salleh (kanan) semasa membuat lawatan ke Balai Polis Larkin di Johor Bahru, kelmarin. Utusan/Baazlan Ibrahim

JOHOR BAHRU 25 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membina bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) dan Nusajaya yang baharu menggantikan infrastruktur sedia ada.

Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pembinaan IPD baharu itu perlu memandangkan IPD JBS sedia ada sudah berusia hampir 100 tahun.

"IPD JBS sedia ada sudah berusia hampir 100 tahun dan keluasannya juga agak terhad. Oleh itu, kami bercadang untuk membina sebuah IPD baharu dengan kos berjumlah RM85 juta di tapak Balai Polis Larkin.

"Projek pembinaan yang bakal bermula tahun ini turut mengambil kira pembinaan Balai Polis Larkin yang baharu bagi menggantikan balai polis sedia ada," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Balai Polis Larkin, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff; Timbalan Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Datuk Zubaidah Md. Ismail dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh.

Selain itu, PDRM juga bakal meningkatkan keupayaannya di negeri ini dengan pembinaan IPD Nusajaya yang baharu dengan kos RM109 juta dan sebuah lagi balai polis baharu di Pengerang.

Zulkifli berkata, kemudahan infrastruktur penting bagi memastikan pihak polis dapat menjalankan tugas dengan lebih efektif membantu usaha kerajaan mencapai taraf negara maju.

"Jika negara hendak mencapai status maju, pihak keselamatan iaitu polis juga perlu dimajukan dalam segala aspek untuk mencapai taraf antarabangsa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved