Rabu, 19 Jun 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


500 hilang tempat tinggal

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh FARHANA JONI
utusansarawak@utusan.com.my

SEORANG penduduk melaungkan azan ketika api marak menghala ke rumahnya di Kampung Datu, Sibu, Sarawak, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

SIBU 19 Jun - Kira-kira 500 penduduk di Kampung Datu di sini tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran yang memusnahkan 100 buah rumah kayu milik mereka petang ini.

Kebakaran kira-kira pukul 4 petang itu dikatakan bermula daripada hanya sebuah rumah sebelum merebak ke rumah lain.

Bagaimanapun kebakaran yang turut mengakibatkan ruang udara di kawasan berdekatan dipenuhi kepulan asap hitam tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi dan Penyelamat Bomba negeri, Penguasa Bomba Hussin Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.02 petang dan hanya melibatkan sebuah rumah kosong.

Katanya, bomba yang tiba lima minit kemudian di tempat kejadian mendapati api marak dengan cepat sehingga membakar 15 buah rumah lain.

"Bomba menerima panggilan daripada penduduk yang memberitahu terdapat sebuah rumah kosong jenis kayu terbakar sebelum api mula merebak ke rumah lain di situ.

"Seramai 48 anggota bomba melibatkan tiga Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, Kanowit dan Sungai Merah yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, Abdul Mutalif Ja'afar sedang mengawal keadaan daripada merebak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hussin berkata, sehingga pukul 7 petang ini anggota bomba masih berusaha mengawal keadaan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Difahamkan, kesemua mangsa terlibat ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Abang Dali untuk sementara waktu.

Adik pukul, samun abang kembar

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my

ABDUL Jabar Mohd. Ali, yang menjadi mangsa samun di Bayan Baru, Pulau Pinang, kelmarin.

BALIK PULAU 19 Jun - Disebabkan wang, seorang adik tergamak memukul dan menyamun abang kembarnya sendiri.

Suspek bersama tiga lagi rakannya melakukan jenayah tersebut di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Baru di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk menjemput isterinya yang bekerja di sebuah hotel berdekatan sebelum didatangi keempat-empat suspek terbabit termasuk adik kembarnya.

Mereka menghalang kereta yang dipandu mangsa, kemudian menarik keluar dan membelasah sebelum meninggalkannya beberapa meter dari lokasi kejadian.

Mangsa, Abdul Jabar Mohd. Ali, 37, bagaimanapun sempat memandu keretanya ke tempat kerja isterinya sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Mangsa cedera di bahagian muka serta kepala dan kini dirawat di Hospital Balik Pulau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md. Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas semua barang berharga serta wang tunai sebanyak RM5,000 disamun kesemua suspek.

"Kita sedang memburu kesemua suspek dan kes ini di siasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Mahu bersemuka Tengku Abdullah

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD dan MASZUREEN HADZMAN
sukan@utusan.com.my

PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) tidak mahu menjadikan surat khabar sebagai medium perantara antara dirinya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak mahu berkomunikasi dengan mereka melalui akhbar. Perbincangan tersebut perlu dilakukan secara bersemuka antara dua pihak kerana kita mahu bercakap soal masa depan bola sepak negara."

Bagaimanapun, Khairy memberitahu, beliau lebih berminat untuk bertemu dengan pihak yang boleh membuat keputusan iaitu pucuk kepimpinan tertinggi FAM.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas mengenai kesediaan Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin untuk bertindak selaku orang tengah antara Kementerian Belia dan Sukan serta badan induk bola sepak negara itu bagi membincangkan pembangunan bola sepak Malaysia.

Namun, Khairy menegaskan, bukan beliau enggan untuk bertemu dengan Hamidin kerana Naib Presiden FAM itu juga merupakan sahabatnya.

"Tetapi adalah lebih mudah jika saya berbincang terus dengan kepimpinan tertinggi. Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pun boleh.

"Kalau dapat bertemu dengan Tengku Abdullah barulah kita dapat bincang dengan pihak kepimpinan yang boleh buat keputusan, kita hendak bincang soal bola sepak," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan Sukan Malaysia ke-16 2013 di sini, semalam.

Sebelum ini, Khairy cukup lantang menyuarakan pandangannya mengenai perjalanan bola sepak negara yang tidak pernah dapat lari daripada pelbagai kemelut.

Justeru, beliau sebagai menteri telah menyuarakan kesediaannya untuk bertemu kepemimpinan tertinggi FAM bagi mencari resolusi terbaik dalam membantu membangunkan bola sepak negara.

Pemain hoki kembali bersemangat

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Paul Revington (kanan) kembali membimbing skuad hoki Malaysia yang menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR - Kejutan hujung minggu lalu harus dilenyapkan oleh setiap pemain hoki senior kebangsaan, sebaliknya tumpu kepada latihan dan bersiap sedia menjelang Liga Hoki Dunia yang akan bermula Sabtu depan.

Kegembiraan Paul Revington yang kembali melatih skuad hoki negara, perlu menjadi pembakar semangat buat pemain agar mereka mampu kembali fokus dan bersiap-sedia 100 peratus untuk mempamerkan permainan terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Menurut Revington, dia amat gembira dengan semangat dan cara pemain mengawal situasi yang berlaku sejak kebelakangan ini, walaupun ia adalah satu bentuk kejutan yang tidak disangka-sangka.

Sabtu lalu, arena hoki Malaysia dikejutkan dengan berita tentang pengendali skuad hoki kebangsaan itu, Revington meletak jawatan atas alasan yang diberikan ialah jurulatih skuad remaja, Muhamad Dharmaraj Abdullah dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan sering campur tangan dalam skuad kebangsaan.

"Mereka berjaya mengawal situasi yang berlaku hujung minggu lalu dengan baik sekali, sebenarnya perkara ini sentiasa akan berlaku dalam kehidupan kita seharian namun adakalanya ia baik untuk persatuan dan orang disekelilingnya," katanya selepas sesi latihan di Stadium Hoki Nasional semalam.

Jelasnya, dia sendiri gembira kerana dapat kembali melatih anak buahnya, walaupun mereka agak terkejut dengan tindakannya meletak jawatan minggu lalu.

"Pemain tahu bahawa mereka mempunyai tugas yang perlu diteruskan walaupun secara semula jadinya mereka tentu terkejut tentang isu ini. Sekarang semuanya dilihat kembali pulih seperti sediakala.

"Semua yang berada dalam kitaran hoki Malaysia, mula melenyapkan segala masalah dan saling bekerjasama. Saya pula kembali kepada tugas di mana saya pegang sebelum ini. Saya amat menyukai kumpulan pemain yang saya ada dan saya mempercayai mereka," katanya.

Revington berkata, ketiadaannya sebelum ini tidak mempunyai masalah buat pemain meneruskan latihan, kerana dia mempunyai penolong yang boleh diharapkan .

"Saya mahu memberi kredit kepada staf saya yang berkaliber, walaupun terlepas beberapa sesi latihan saya akan mendapat maklumat daripada penolong saya, Arul Selvaraj dan lain-lain. Terutama tentang dua lagi pemain yang bakal mengisi kekosongan dalam skuad ini di Liga Hoki Dunia," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


AS ingin kurangkan penggunaan senjata nuklear

Posted: 19 Jun 2013 11:29 AM PDT

BERLIN 20 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama bercadang untuk mengurangkan penggunaan senjata nuklear sehingga satu per tiga, selain mengadakan perbincangan dengan Rusia berhubung cadangan itu.

"Selepas membuat pemerhatian secara komprehensif, saya yakin AS dan sekutunya mampu mengekalkan keselamatan, termasuk sistem pertahanan yang kukuh dan strategik.

"Saya juga bercadang untuk mengadakan rundingan dengan Rusia berhubung perkara itu," katanya ketika berucap dalam satu majlis, di sini semalam.

Rusia, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Obama itu dengan menyatakan alasan bahawa ia boleh mencetuskan pelbagai kesukaran dan halangan. - REUTERS

22 maut akibat tanah runtuh, banjir di Nepal

Posted: 19 Jun 2013 11:28 AM PDT

KATHMANDU 20 Jun - Sekurang-kurangnya 22 orang maut akibat tanah runtuh dan banjir kilat yang disebabkan hujan monsun di beberapa bahagian di Nepal, semalam.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal, Shankar Koirala berkata, seramai 18 orang turut dilaporkan hilang akibat bencana alam tersebut.

"Lebih 100 kediaman dilaporkan musnah, terutamanya di bahagian barat Nepal dan kerajaan akan menghulurkan bantuan kecemasan kepada semua penduduk yang terjejas.

"Setiap keluarga yang terjejas akan diberi wang tunai sebanyak AS$425 (RM1,317), selain bekalan asas seperti ubat-ubatan dan makanan," katanya. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Harga tanah KDSB tidak termasuk kadar faedah

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Jun - Ketua Pegawai Operasi (COO), Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Datuk Faizal Abdullah berkata, harga perolehan tanah milik syarikat itu di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), pada harga RM25 sekaki persegi (skp), tidak termasuk kadar faedah sebanyak enam peratus bagi tempoh 10 tahun.

Faizal yang ketika itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDSB menegaskan, bagi harga tanah RM28 skp, dan pilihan yang diberikan KDSB untuk bayaran bagi tempoh 14, 11 dan lapan tahun, juga tidak termasuk kadar faedah.

Menurut saksi kelapan pembelaan yang memberikan keterangan dalam perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tiga pilihan pembayaran yang ditawarkan KDSB adalah bersandarkan harga asas sahaja.

Bagaimanapun apabila melibatkan pembayaran secara tertunda, maka KDSB, kata Faizal, akan mengenakan kadar faedah.

Ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik berhubung status tanah tersebut yang mempunyai banyak sekatan, Faizal menyatakan, kaveat itu bukan faktor halangan bagi KDSB untuk menjual tanahnya kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Ini kerana pihaknya ketika itu berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Namun, beliau tidak menafikan KDSB ketika itu berasa kecewa dengan pengambilan balik tanah tersebut dan juga kelewatan yang dialami selama tiga tahun sehingga prosesnya menjadi kelam-kabut.

Pihak KDSB juga, menurut Faizal, telah bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kelewatan yang disebabkan oleh kerenah birokrasi.

Faizal memberi keterangan pada sesi petang setelah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi pada sesi pagi menolak permohonan peguam pemerhati, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili saksi tersebut supaya sapina yang dikeluarkan terhadap anak guamnya itu, diketepikan.

Kumaraendran dalam hujahnya berkata, ini kerana Liong Sik gagal menunjukkan bagaimana keterangan Faizal dapat membantu pembelaannya yang menghadapi tuduhan menipu kerajaan Malaysia kerana anak guamnya juga tidak tahu apakah yang berlaku dalam Kabinet.

Pertuduhan terhadap Liong Sik adalah jelas dan menurut Kumaraendran, peguam yang mewakili tertuduh mempunyai banyak peluang sebelum ini untuk mengemukakan soalan mengenai dokumen-dokumen atau bahan bukti yang dikemukakan membabitkan mesyuarat-mesyuarat tersebut ketika kes pendakwaan.

''Saya tidak tahu bagaimana dokumen yang dipersoalkan ini dapat membantu tertuduh dalam pembelaannya dengan cara memanggil anak guam saya memberikan keterangan sebagai saksi,'' katanya.

Kian Kheong ketika membalas hujah menyatakan, keterangan Faizal sangat relevan memandangkan beliau hadir bagi pihak KDSB dalam tiga mesyuarat dengan beberapa entiti penting bagi menentukan harga perolehan tanah KDSB bagi projek PKFZ.

Hakim Ahmadi dalam keputusannya berpendapat, permohonan Faizal untuk mengetepikan sapina tersebut tiada merit kerana saksi berkenaan memang terlibat dalam mesyuarat perolehan tanah KDSB.

Justeru itu ujar beliau, mahkamah berpendapat, keterangan Faizal adalah relevan dan sedikit sebanyak membantu pihak pembelaan dan beliau menolak permohonan saksi tersebut.

Faizal yang kini juga CEO di syarikat Tad Max Resources Bhd., akan menyambung keterangannya petang esok sebelum disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Liong Sik didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Perbicaraan bersambung esok.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan bersambung esok.

Tiga lelaki dihukum gantung

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

Saharun Ahmad (depan), Abdullah Mahmood (dua dari kanan) dan Wan Kamaruddin Wan Ahmad (kiri) dibawa keluar selepas dijatuhi hukuman gantung di Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 19 Jun - Kegembiraan tiga lelaki yang dibebaskan daripada kesalahan mengedar dadah pada 2010 berakhir apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka atas kesalahan itu yang dilakukan pada tahun 2007.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut kepada Abdullah Mahmood, 48, Wan Kamaruddin Wan Ahmad, 53, dan Saharun Ahmad, 42, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah bagi menolak pertuduhan yang dihadapi.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mengedar ganja seberat 4.862 kilogram (kg) pada pukul 8.15 pagi di tempat letak kereta di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pada 7 Ogos 2007.

Sepanjang perbicaraan, Abdullah diwakili peguam P. Doraj Raj manakala Wan Kamaruddin dan Saharun masing-masing diwakili Zamri Mat Nawang dan Che Wan Abdullah Sani.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaacob.

Sebelum ini, pada 30 Oktober 2010, mahkamah sama menukar pertuduhan ketiga-tiga tertuduh kepada 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya 10 kali jika sabit kesalahan.

Dalam perbicaraan ketika itu, Mahkamah Tinggi memutuskan supaya Wan Kamaruddin dan Saharun dibebaskan manakala Abdullah dihukum penjara 12 tahun dengan tambahan 24 bulan bagi menggantikan hukuman sebat yang tidak boleh dijatuhkan terhadapnya atas alasan kesihatan.

Pihak pendakwaan kemudiannya membawa kes ke Mahkamah Rayuan dan mahkamah tersebut kemudiaannya memutuskan supaya kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi, manakala pertuduhan pindaan yang dikenakan terhadap kesemua tertuduh ditukar kepada pertuduhan asal.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pasang CCTV di luar stesen minyak

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 19 Jun - Pengusaha stesen minyak di negeri ini disaran supaya turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik di luar premis mereka bagi memudahkan siasatan polis jika berlaku jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati pengusaha cenderung memasang CCTV hanya di bahagian dalam premis.

"Jika ada CCTV di luar, kita boleh kesan nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki penjenayah terbabit dan mungkin boleh rakam wajah suspek.

"Ini akan memudahkan pihak polis untuk mengesan suspek yang terlibat dengan melihat nombor pendaftaran atau kenderaan yang mereka naiki," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Hari Keselamatan Shell di sini hari ini.

Kata beliau, kualiti CCTV dipasang pengusaha stesen minyak juga perlu diambil kira bagi memastikan hasil rakaman itu dapat dimainkan semula bagi melengkapkan siasatan.

"Sikap sesetengah pemilik premis yang mementingkan keuntungan dengan memasang CCTV kurang berkualiti bukan saja menyukarkan polis menjalankan siasatan, bahkan merugikan mereka jika premis itu dipecah masuk.

"Ada kes yang berlaku sebelum ini misalnya, kes pecah masuk membabitkan sebuah pasar raya baru-baru ini. Pemilik memang ada pasang CCTV, tapi CCTV itu hanya untuk pemantauan saja dan tidak boleh merekodkan serta menyimpan setiap rakaman," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengusaha stesen minyak mendapatkan nasihat daripada ketua polis daerah masing-masing mengenai lokasi yang strategik bagi tujuan tersebut.

"Sekiranya kerjasama seperti ini dapat dipupuk oleh semua pihak, saya yakin kadar jenayah di negeri ini dapat dikurangkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mengikut statistik bermula Januari hingga bulan lalu, terdapat sebanyak 14 kes jenayah telah berlaku di stesen minyak di seluruh negeri.

"Antaranya melibatkan tujuh kes kecurian motosikal dan masing-masing satu kes curi van, kereta, pecah masuk malam dan ugutan jenayah," ujarnya.

Menurut beliau, untuk tempoh yang sama tahun lalu pula, sebanyak 11 kes jenayah berlaku di stesen minyak.

235 usahawan muda diberi modal melalui Putek

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Shahiruddin Ab. Moin (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek RM300,000 kepada Sallehhoddin Abu Bakar (kiri) dalam majlis Penyerahan Bantuan Modal Mula Program Inkubator GiatMara Pahang 2013 di Kuantan, semalam.

KUANTAN 19 Jun - Kira-kira 235 usahawan muda di negeri ini diberi suntikan modal melalui Kursus Pembudayaan Keusahawanan Teknikal (Putek) dari awal tahun lalu sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, jumlah itu melibatkan peruntukan lebih RM1.1 juta yang diberi oleh GiatMara Pahang.

"Setiap pelatih akan menerima RM5,000 bantuan yang disalurkan dengan bantuan modal mula RM1,000 manakala selebihnya RM4,000 bantuan peralatan.

"Melalui peruntukan modal berkenaan akan dapat membantu usahawan muda ini untuk memulakan perniagaan mereka dengan ilmu yang diperolehi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Bantuan Modal Mula Program Inkubator GiatMara Pahang 2013 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri, Salemi Yusof dan Pengarah GiatMara negeri, Sallehhoddin Abu Bakar.

Shahiruddin berkata, kewujudan institusi seperti GiatMara merupakan contoh terbaik yang mana kerajaan membantu rakyat terutama golongan muda menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, usahawan baharu terutama di kalangan orang Melayu perlu merebut peluang ini kerana selain Malaysia tidak ada kerajaan di dunia ini yang membela anak muda untuk terlibat dalam perniagaan.

Menurutnya, bagi menjana masa depan yang lebih baik, seseorang usahawan baharu itu perlu berani mencuba dan jangan takut pada kegagalan.

"Jangan mudah mengalah jika gagal, tingkatkan usaha dan berhubung dengan Mara untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pelbagai bantuan yang disediakan.

"Jika ada anak-anak muda yang hendak belajar, meningkat ilmu, tidak ada sebab Mara tidak boleh bantu," katanya.

11,000 tong sampah percuma diagih kepada penduduk

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

JERANTUT 19 Jun - Alam Flora Sendirian Berhad mengagihkan secara percuma sebanyak 11,000 tong sampah mudah alih model baharu kepada penduduk taman perumahan dan premis perniagaan di sekitar bandar ini kelmarin.

Antara kawasan agihan tong berkenaan ialah di Taman Inderapura Fasa Satu, Dua dan Tiga, Taman Angsana, Taman Angsana Height, Taman Woodland dan Taman Woodland Height.

Penyelia Operasi Alam Flora Jerantut, Muhammad Ammarasyras Azmi berkata, agihan tong sampah berkenaan untuk kegunaan selama tujuh tahun dan dapat diselaraskan dengan lori pengangkut sampah yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

Beliau berkata, penukaran tong sisa pepejal mudah alih baharu itu bertujuan diselaraskan dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang bermula 1 September 2011 dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSSPPA).

"Tong ini boleh diselaraskan dengan lori pengangkut dan memberi keselesaan kepada pekerja Alam Flora yang tidak perlu lagi memegang sampah dalam plastik kerana boleh terus dipunggah dan dituang ke dalam lori.

"Alam Flora meminta penghuni kediaman atau pemilik premis perniagaan meletakkan semua sisa pepejal atau sampah basah dan lembut ke dalam pembalut plastik dan diikat kemas agar tidak terkeluar daripada beg plastik berkenaan bagi memudahkan pemunggahan," katanya.

Menurut beliau, penduduk perlu mengasingkan cecair daripada makanan sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik sampah untuk mengelakkan mudah pecah apabila terlampau berat dan sarat.

Katanya, Alam Flora juga meminta penduduk tidak membuang bahan berbahaya seperti alat picagari, bateri, cat, tin semburan serangga ke dalam tong tersebut kerana syarikat itu sudah menyediakan jadual pengambilan sampah pukal pada hari yang ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, jadual pungutan sampah akan dilakukan dua kali seminggu di semua kawasan perumahan dan sekali bagi memunggah bahan sisa pukal menerusi jadual operasi yang akan diedarkan untuk makluman penduduk bandar ini dalam masa terdekat.

"Kita juga menasihatkan penduduk jangan membuang bahan sisa bara api, sampah kebun dan bahan pepejal lain ke dalam tong baharu yang berkemungkinan mudah terbakar," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kenapa tuding UiTM, tidak UTAR?

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

NAIB Canselor/Presiden Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar sekadar tersenyum sinis apabila penulis 'mengusik' akan kenyataan seseorang dari Suaram baru-baru ini terhadap institusi berteraskan Melayu itu.

Cuma, tidak perlulah penulis mencatat nama individu terbabit ini kerana dia bukanlah orang penting yang perlu diketahui umum, cukup dengan ungkapan yang begitu menjengkelkan - mahukan kerajaan memansuhkan dasar UiTM yang hanya menerima kemasukan daripada bumiputera.

Kata individu yang diyakini penulis itu cuba berlagak untuk menjadi populis dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi - seperti mana trend mereka daripada pembangkang - yang bunyinya begini: "Dasar (UiTM) itu telah melanggar Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman."

Teruk! maka tak perlulah penulis memanjangkan lagi permintaan mengarut si jengkel ini. Dan apabila ditanyakan kepada Dr. Sahol Hamid, beliau tersenyum lagi. Tetapi kali ini senyuman penuh makna.

"Saya cukup yakin isu ini hanya diperbesarkan-besarkan oleh pihak atau mereka yang hendak publisiti murahan...akan ada debat dan selepas itu hilang begitu sahaja seperti mana sebelum ini," kata beliau di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam kelmarin.

Sahol Hamid nampaknya tidak menghabiskan komennya itu tetapi lebih menarik perhatian penulis kepada satu perkara besar mengenai UiTM.

"Anda dan rakyat Malaysia kena tahu ini. Kewujudan UiTM yang kini memiliki hampir 200,000 pelajar ini telah menyelamatkan negara kita. Cuba bayangkan kalau UiTM ini tidak wujud. Mungkin ramai orang Melayu dan bumiputera jadi golongan miskin dan tidak berdaya. Mungkin orang Melayu selama-lamanya menjadi hamba di tanah air sendiri.

"Dengan keupayaan UiTM sehingga hari ini melahirkan hampir setengah juta profesional Melayu, maka institusi ini berperanan sebagai pengimbang ekonomi dan menjauhkan ketidaktenteraman dalam kalangan kaum-kaum. Kalau tanpa UiTM, kalau tanpa Kerajaan Barisan Nasional menampung perbelanjaan membina dan menggerakkan aliran pelajarnya, profesional Melayu tidak akan lahir, kemudian berkembang," katanya.

Dan tegas Sahol Hamid, oleh kerana ada polisi sedemikian (UiTM hanya dibuka untuk Melayu/bumiputera), manfaatnya ramai Melayu menyertai bidang profesional.

"Kalau orang Melayu tidak diberi pendidikan, usahkan apa, ekonomi pun sukar disaingi mereka, maka tentu sekali orang Melayu memberontak. Dan ini tentu merugikan bangsa-bangsa lain," katanya.

Sahol Hamid mengambil contoh mudah. Katakan UiTM benar-benar mahu ditutup. Dan cuma ada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang 99.9 peratus pelajar yang masuk adalah Cina dengan sokongan kuat daripada persatuan-persatuan mereka.

Dalam aspek ini, kalau pelajar Melayu terbabit beria-ria hendak menyertai UTAR pun, tetapi akhirnya pasti dia tidak akan pergi juga. Ini kerana akan melibatkan banyak kekangan di hadapan. Iaitu, dari sudut agama - soal halal haram termasuk aspek pemakanan.

"Tutup UiTM bermakna hanya UTAR yang matlamatnya membangunkan profesional Cina akan wujud dan sama juga dengan kolej di Sungai Petani yang dimiliki MIC. Jadi, kenapa nak persoal UiTM, bukankah mereka juga rasis?," katanya.

Dalam soal ini, kata beliau, dengan adanya UTAR untuk kaum Cina, UiTM (Melayu) manakala MIC dengan kolej tersendiri untuk masyarakat itu, maka sekarang adalah formula tercantik dengan semua bangsa ada peluang untuk mendapat pendidikan.

"Cuma, ada sebilangan yang tidak bersetuju dengan perkembangan UiTM itu. Malah, yang mengejutkan saya, suara tidak puas hati ini datangnya daripada orang Melayu sendiri. Mereka ini kononnya elit dan Melayu liberal.

"Dan ada tanggapan, kalau semua Melayu duduk di situ (contohnya pelajar UiTM yang kelayakannya semua Melayu), maka akan habis mundurlah bangsa dan negara ini.

"Untuk menjawabnya, saya minta anda pandang sekeliling. Di Rusia, Jerman hatta Jepun dan Korea (Selatan) sekali pun, adakah terdapat bangsa-bangsa lain. Adakah terdapat Melayu, Cina dan India di negara-negara berkenaan. Adakah negara itu daif," katanya.

Di Amerika misalnya, mereka melakukan perkara yang sama untuk membantu kumpulan penduduk kulit hitam berpeluang masuk ke universiti. Sebarang resolusi untuk meningkatkan tahap pendidikan golongan tertentu adalah perkara yang perlu disambut baik dan bukan dipertikaikan

Kata Sahol Hamid: "Cuba bayangkan kalau Melayu tidak ada kerja. Yang susah hati ialah bangsa lain sebab keamanan terancam (hasil rasa tidak puas hati terbelenggu di negara sendiri). Inilah yang berlaku di Syria, Mesir dan Turki. Jangan rosakkan UiTM dengan sentimen politik dan rasisme.

"Dan kita perlukan orang Melayu yang terpelajar dan lebih ramai yang sokong kerajaan.

"Peluang untuk mendapat pendidikan tetap ada untuk semua kaum, jadi tidak timbul isu langgar hak asasi manusia mahupun melanggar mana-mana syarat antarabangsa. UiTM adalah untuk membantu anak bumiputera bersaing secara adil."

Kata Sahol Hamid lagi, UiTM bercita-cita besar untuk memastikan kemakmuran Melayu terus terbela dan terpelihara.

"UiTM menyokong kerajaan BN dan UMNO sebab hanya BN dapat menentukan masa depan dan kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya.

Menyifatkan UiTM sebagai benteng terakhir dalam mempertahankan kuasa dan survival Melayu, beliau percaya, akan ada pihak tertentu cuba melemahkan benteng terakhir tersebut dengan menghukum orang Melayu.

"Cuma, jangan nanti orang Melayu sendiri menjadi pengkhianat," kata Sahol Hamid.

Dalam soal ini juga, beliau melahirkan rasa yang cukup khuatir berikutan kebanyakan pelajar universiti kini lebih senang menerokai media baru sehingga terkurung dalam 'kawalan' media tersebut.

Kata beliau: "Ini amat berbahaya kepada mana-mana yang menjadi kerajaan. Ini kerana mereka ini (golongan muda) tidak banyak mengikuti buku. Kalau ditempatkan ke cerita asal atau cerita separuh betul, mereka pasti tidak akan dapat tumpukan kepada maklumat berfakta dan sains fiksyen."

Apa pun, Sahol Hamid berpendapat, pelajar Melayu harus mengubah budaya pemikiran mereka dengan lebih mengutamakan membaca sesuatu dari sudut fakta, sejarah dan kesusasteraan.

"Mempelajari sejarah dan geografi, ini semua proses mengembangkan minda. Dan kepada saya, media baru ini telah merosakkan minda kita semua," katanya.

Cuma, tidak perlulah seseorang dari Suaram 'bagai menyalak bukit' termasuk mendakwa dasar kemasukan UiTM kononnya sebagai hipokrit (kerana mendakwa UiTM adalah institusi awam yang dibiayai 100 peratus daripada wang pembayar cukai).

"Di seluruh dunia ada universiti untuk semua golongan. Ada AlI Woman University dan All Sunni University malahan All Black University pun ada. Adakah ini bermakna kita rasis. Mengapa UiTM, tidak UTAR menjadi topik Suaram ini?," kata Sahol Hamid mengakhiri sarapan setengah jam bersamanya itu.

Pengaruh internet terhadap pengguna Muslim

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

WUJUD statistik yang begitu menarik mengenai taburan penduduk global yang beragama Islam yang perlu ditonjolkan memandangkan wujud persepsi songsang masyarakat antarabangsa terhadap apa jua yang berkaitan dengan Islam. Lebih menarik lagi statistik ini juga mampu menggambarkan mengapa suatu konflik yang melanda sudah hampir pasti melibatkan penduduk beragama Islam sama ada di Eropah, Amerika Syarikat, Asia Pasifik atau pun Timur Tengah.

Terdapat hampir 1.6 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia dan ini membuat Islam sebagai agama kedua tertinggi diamalkan selepas Kristian. Bertentangan dengan persepsi bahawa rantau Timur Tengah mempunyai penduduk yang beragama Islam paling ramai, tetapi hakikatnya adalah dua pertiga penduduk Muslim sebenarnya menetap di rantau Asia Pasifik.

Jika digabungkan penduduk Muslim di India dan Pakistan (344 juta) ia melebihi jumlah penduduk Muslim yang berada di Timur Tengah dan Afrika Utara yang berjumlah 317 juta orang. Tetapi perlu diberi penekanan bahawa kepadatan penduduk Muslim di Timur Tengah dan Afrika Utara adalah begitu tinggi iaitu 93 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk rantau tersebut berbanding hanya 24 peratus di Asia Pasifik.

Secara perbandingan Malaysia pula mempunyai kepadatan 61 peratus penduduk yang beragama Islam sementara Indonesia dan India masing-masing dengan kepadatan 87 dan 14 peratus. Kepadatan penduduk Islam sesebuah negara adalah statistik yang kritikal kerana ia mampu menggambarkan keadaan geopolitik dan ekonomi sesebuah negara.

Dalam hal ini begitu menarik diungkitkan satu laporan kaji selidik mengenai kesan internet terhadap 39 negara yang mempunyai penduduk Muslim yang telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew pada bulan Mei lepas. Secara purata hampir 20 peratus penduduk Muslim mengguna kemudahan internet dalam kerja seharian mereka yang menggambarkan betapa pentingnya pengaruh maklumat internet.

Salah satu hasil tinjauan Pew yang begitu menarik adalah sebahagian besar penduduk beragama Islam yang mengguna internet mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat yang dipamerkan melalui medium hiburan seperti filem, radio dan telivesyen.

Penduduk beragama Islam Indonesia umpamanya 68 peratus yang mengguna internet memberi tanggapan positif terhadap gaya hidup Barat berbanding 37 peratus oleh mereka yang tidak bergantung kepada internet.

Penduduk Muslim Malaysia juga mempunyai pandangan statistik yang serupa dengan Indonesia. Perlu dikaitkan sebahagian besar penduduk Muslim yang mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat juga terdiri daripada golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun.

Memang tiada cacat celanya bagi seorang beragama Islam yang mempunyai tanggapan positif terhadap gaya hidup Barat kerana ia mempunyai banyak interpretasi. Perlu ditekankan sebahagian besar daripada pengguna internet beragama Islam berpendapat bahawa gaya hidup Barat sebenarnya tidak merosakkan moral dan anutan agama seseorang dan ini berbeza pula dengan pendapat Muslim yang tidak mengguna internet.

Tetapi jika dikaitan dengan satu lagi persepsi iaitu sikap penduduk beragama Islam terhadap agama Kristian, statistik yang dibentangkan oleh Pew adalah begitu menarik sekali. Sekali lagi pengaruh internet adalah begitu jelas kerana berbanding dengan penduduk Muslim yang tidak mengguna internet, pengguna internet beragama Islam lebih menjerumus kepada pendapat bahawa terdapat persamaan selari di antara agama Islam dan Kristian.

Paling ketara adalah di Pakistan yang mana 35 peratus mereka yang menguna internet mempunyai padangan positif terhadap agama Kristian berbanding hanya 7 peratus untuk mereka yang tidak mengguna internet. Penduduk Muslim Malaysia pula merangkumi statistik 13 peratus pengguna internet yang merasa positif berbanding hanya 8 peratus untuk mereka yang tidak mengguna internet.

Jika dikaitkan hasil tinjauan Pew, persepsi penduduk Muslim terhadap dua perkara iaitu gaya hidup Barat dan agama Kristian, internet sebenarnya mempunyai pengaruh yang agak ketara dan kuat. Ini adalah kerana perbezaan pendapat antara mereka yang mengguna internet berbanding dengan kumpulan yang tidak bergantung kepada maklumat internet adalah jauh berbeza.

Sebab itu lazim diperkatakan kemelut yang melanda kebanyakan negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam yang ramai seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Syria dan juga Turki adalah kerana pengaruh internet yang disifatkan sebagai pemangkin pencetus yang begitu berkesan sekali.

Malaysia juga tidak tersisih daripada ledakan maklumat yang dibawa oleh internet yang bagaikan sudah begitu sukar untuk dibendung kerana kebebasan yang dimiliki telah digunakan secara tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menghadiri Forum Menteri-Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Singapura kelmarin menyatakan Malaysia akan mempertingkat tumpuan terhadap pembangunan kandungan serta aplikasi bagi menghadapi cabaran perkembangan ICT yang berkembang pesat.

"Perkara yang perlu diberikan perhatian adalah pembangunan kandungan dan aplikasi kerana ia menjadi tonggak utama oleh mereka yang mencipta," tegas beliau.

Tetapi apa yang lebih penting adalah pengguna internet Muslim di Malaysia perlu melaksanakan kawalan kendiri kerana jika tidak dikhuatiri pengguna muda akan lebih mudah terpengaruh dengan perkara asing yang mampu memudaratkan keharmonian negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Terjebak di usia senja

Posted: 18 Jun 2013 10:52 PM PDT

USIA sudah separuh abad, malah usia perkahwinan yang menginjak ulang tahun ke-44, tahun ini bukanlah satu jaminan untuk rumah tangga itu kekal bertahan selamanya.

Biarpun sudah memasuki usia senja, Halimah (bukan nama sebenar), 62, tidak pernah jemu-jemu mencari rezeki untuk membantu suaminya menyara anak-anak yang masih bersekolah.

Demi kasih sayangnya kepada suami, Saidin (bukan nama sebenar), 64, anak-anak dan keluarga, dia rela berkorban.

"Mak cik ni bukannya datang dari keluarga yang senang. Masa mak cik belasan tahun lagi sudah dinikahkan dengan suami mak cik.

"Dia pun bukannya berpelajaran tinggi. Kerja pun biasa-biasa sahaja. Namun mak cik waktu itu sedia menerima dia seadanya demi mengurangkan bebanan yang ditanggung keluarga mak cik ketika itu," beritahu mak cik Halimah ketika ditemui di rumah salah seorang anaknya, baru-baru ini.

Selepas bernikah, status Halimah hanya sebagai suri rumah sepenuh masa. Tetapi apabila anak-anak sudah memasuki ke angka tiga hingga sembilan, Halimah terpaksa keluar bekerja untuk membantu suaminya yang sering sahaja kekurangan duit setiap bulan.

Halimah melakukan pelbagai kerja termasuk pernah menjadi pembantu tukang masak, mengambil upah mencuci kain baju di rumah orang dan akhir sekali menjaga anak-anak jiran.

Mungkin kuat rezeki Halimah, dengan bantuan seorang rakannya, Halimah mendapat kerja di sebuah syarikat percetakan di Bangsar, Kuala Lumpur dengan gaji melebihi RM1,500 sebulan.

"Masa itu suami mak cik telah bersara dan empat lagi anak mak cik masih bersekolah. Setiap pagi dia akan menghantar mak cik ke Bangsar menaiki motor sebelum dia balik ke rumah.

"Jadual rutin dia senang, balik rumah dia perlu membeli sayur dan lauk mentah di pasar untuk memudahkan mak cik memasak pada pagi hari sebelum pergi kerja. Itu sahaja. Seterusnya suka hati dia hendak buat apa," katanya.

Halimah memberitahu, suaminya ketika di rumah di samping anak-anak, merupakan seorang yang bertanggungjawab dan tidak leka dalam mengerjakan solat lima waktu. Malah kopiah putih sentiasa berada di atas kepala.

Pada mulanya semua berjalan lancar sehinggalah pada suatu hari seorang rakan memberitahu Halimah, dia ternampak ada wanita lain membonceng motor suaminya di Bangsar.

Mendengar cerita itu Halimah pada mulanya tidak mempercayai semua tuduhan tersebut kerana kepercayaan terhadap suaminya amat tinggi.

Namun, memandangkan cerita yang didengarnya itu sudah beberapa kali, Halimah mula rasa tidak sedap hati.

"Satu hari mak cik pergi kerja seperti biasa dihantar oleh suami mak cik dalam pukul 7.30 pagi. Selepas suami mak cik berlalu, mak cik pun terus menahan teksi dan kemudian mengekori ke mana suami mak cik pergi.

"Pada satu selekoh, mak cik melihat dia memberhentikan motornya dan seorang wanita berusia lewat 30-an membonceng motosikal itu dan mereka berdua ke sebuah warung di tepi jalan," katanya.

Selepas Halimah membayar tambang teksi, dia terus menuju ke warung itu. Melihat kedatangan Halimah, suaminya menjadi kaget. Kopiah yang sentiasa di atas kepala kini sudah tiada di tempatnya.

Halimah memberitahu, dia sempat bertanya kepada suaminya siapa wanita itu, namun suaminya tidak terkata apa-apa, manakala wanita itu pula kelihatan gugup.

Melihat keadaan warung itu yang semakin ramai dikunjungi pelanggan, Halimah mengambil keputusan untuk tidak menunggu lama dan berlalu dari situ.

"Mak cik mengambil keputusan untuk tidak masuk kerja dan pulang ke rumah. Sejam kemudian baru suami mak cik tiba di rumah.

"Dalam dua tiga hari jua mak cik dan suami tidak bertegur sapa dan kemudian mak cik ikhlas bertanya sama ada sebenarnya dia mahu berkahwin dengan wanita berkenaan," katanya.

Pada mulanya suami Halimah tidak mempedulikan soalan itu.

Halimah pula merasakan dirinya seperti isteri yang terbuang kerana Saidin sudah tidak mempedulikan dirinya lagi.

Seterusnya Halimah memberitahu, pada suatu malam, Saidin pulang ke rumah mengemas pakaiannya dan kemudian keluar dari rumah.

"Apa yang dapat mak cik tahu selepas itu, suami mak cik dan wanita berkenaan sudah berkahwin.

"Tetapi dia tidak menceraikan mak cik dan mak cik juga tidak pernah mengendahkan perlakuan dia," katanya.

Kini telah lima tahun peristiwa itu berlalu, anak-anak Halimah sudah bekerja dan berkeluarga. Anak yang kecil pun sudah memasuki kolej. Halimah pula sekarang sudah boleh berehat dan hanya menumpukan perhatian memperbanyakkan ibadat.

"Sesekali suami mak cik datang berjumpa anak-anak meminta sedikit duit bulanan sambil membawa anak hasil perkahwinan terbarunya yang berumur tiga bulan dan setahun setengah.

"Sekarang, suami mak cik yang tidak pernah melakukan kerja-kerja rumah itu terpaksa menjaga anak-anaknya yang masih kecil kerana isterinya keluar bekerja sedangkan dia juga tidak berapa sihat.

"Namun kerana egonya, dia tetap tidak mahu berjumpa dengan mak cik biarpun selama ini mak cik masih lagi isteri dia yang sah," katanya.

Seni kreatif tampal cantum

Posted: 18 Jun 2013 10:52 PM PDT

Rohana Saadan memberitahu seni jahitan kreatif memerlukan ketekunan dan kesabaran.

ROHANA turut menyatakan, sekiranya tiada komitmen, penghasilan sesuatu produk itu tidak cantik malah, kreativiti juga penting dalam menghasilkan seni jahitan kreatif.

Telah menceburi bidang ini sejak tahun 2009, Rohana menjelaskan seni jahitan kreatif yang ditawarkan pihaknya kepada orang ramai sama ada untuk mempelajari ataupun mendapatkan produk siap terdiri daripada seni jahitan cantum, tampal dan kuilt.

Berbicara lanjut mengenai seni jahitan yang dihasilkannya, ulas Rohana, tampal dan cantum adalah seni cantuman kepingan-kepingan perca kain untuk menjadi sehelai kain yang besar.

Kuilt pula kain yang terhasil daripada cantuman tampal cantum yang dilapik dengan polister di tengah-tengah dan dilapis dengan sehelai kain di sebelah belakang lalu dijahit ketiga-tiga lapisan tersebut.

Katanya lagi, selalunya gambar pemandangan, haiwan, kanak-kanak, corak geometri atau abstrak dijadikan motif dalam jahitan tampal dan cantum ini.

Pada masa yang sama, seni jahitan kreatif ini turut menggabungkan pelbagai jenis kain untuk membentuk motif yang menarik.

"Pelbagai produk seperti selimut, cadar, sarung bantal, beg, dan pakaian boleh dihasilkan daripada seni jahitan kreatif ini.

"Tetapi proses untuk menyiapkannya akan mengambil masa yang lama kerana pembuatannya seperti cantum dan tampal bukanlah satu kerja yang mudah.

"Bagaimanapun apabila produk yang dihasilkan siap, pastinya kita akan berpuas hati," jelasnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di B-3-19, Level 3, Blok B, Oasis Square, Jalan PJU 1A/7A, Oasis Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Bercerita mengenai bagaimana memulakan perniagaan tampal cantum ini, Rohana memberitahu, kedai Anna Patchwork House telah dibuka sejak tempat tahun lalu apabila dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada perniagaan seni jahitan kreatif ini.

Ulasnya lagi, penglibatannya di dalam bidang tersebut juga sebenarnya bermula apabila diperkenalkan seorang kenalan yang akhirnya menjadi hobi yang sangat diminati.

Kedai pertamanya beroperasi di Sunway Pyramid selama tiga tahun sebelum berpindah ke Oasis Damansara.

Menurut Rohana, kedainya di Sunway Pyramid ditutup kerana dia ingin mencari satu ruang niaga yang besar kerana selain menjual produk, dia turut menawarkan kelas kepada mana-mana individu yang berminat untuk mempelajari seni jahitan kreatif tersebut.

Begitupun Rohana memberitahu sebelum mendapat ruang di Oasis Damansara, dia terlebih dahulu menjalankan perniagaanya di rumah dan ternyata ia tidak bersesuaian.

Hari ini selain bermacam-macam produk menarik boleh didapati di Anna Patchwork House, pelbagai kelas jahitan seni kreatif seperti pembuatan beg, kuilt bayi, sarung bantal, alas meja, dan sebagainya turut ditawarkan.

Menawarkan kelas setiap hari kecuali Ahad, ia bermula seawal 10 pagi hingga 5 petang.

Rohana menyatakan, yuran untuk setiap kelas adalah berbeza dan ia mengikut jenis jahitan seni kreatif yang dipelajari.

"Di sini, kami juga mengadakan kursus bagi yang berminat dan bayarannya adalah serendah RM100 (asas) hinggalah RM450 (kuilt bayi).

"Setiap sesi pula pembelajarannya bergantung dan minimumnya sehari, maksimum pula enam hari.

"Insya-Allah, melalui pembelajaran ini, ia bukan sahaja boleh dijadikan hobi masa lapang malah secara tidak langsung mampu memberi pendapatan sampingan kepada mereka yang mengusahakannya secara bersungguh-sungguh," tambahnya lagi.

Menggunakan kain kapas berkualiti tinggi yang diimport dari Amerika Syarikat (AS), Rohana amat menitikberatkan soal kualiti dalam setiap produk yang dihasilkan.

Ia bertujuan untuk menjaga komitmen para pelanggannya dari seluruh negara dan tidak ketinggalan negara-negara luar seperti Filipina, Singapura, dan Indonesia.

Katanya, kain kapas dari AS sememangnya terkenal dengan corak yang cantik, tidak luntur serta fabrik yang kuat dan berkualiti.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan produk tampal, cantum, dan kuilt atau ingin menghadiri kelas bolehlah hubungi Rohana di talian 012-3174655. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Jalan Petaling kotor

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

Ahmad Phesal Talib (kiri) dan Ang Say Tee memukul gong sebagai simbolik perasmian Majlis Ulang Tahun Ke-100 Jalan Petaling di Kuala Lumpur, malam semalam. - utusan/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR 18 Jun - Peniaga di Jalan Petaling diminta bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan tahap kebersihan di kawasan tumpuan ramai itu sentiasa terpelihara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ini kerana terdapat aduan daripada orang ramai mengenai masalah sampah-sarap selepas operasi perniagaan di situ tamat.

"Kawasan ini amat terkenal dalam kalangan pelancong asing mahupun penduduk tempatan, jadi tahap kebersihannya harus selari dengan kerancakan perniagaan di sini.

"Saya berharap peniaga-peniaga dapat bekerjasama rapat dengan DBKL termasuk tidak mengotorkan longkang, tidak membuang sampah merata-rata dan jaga kebersihan kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-100 Jalan Petaling dan ulang tahun ke-60 Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Jalan Petaling, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi persatuan itu, Datuk Ang Say Tee dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Tambah Ahmad Phesal, Jalan Petaling juga akan terlibat dengan projek River off Life (ROL) di bawah Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

"DBKL juga sentiasa mengambil inisiatif untuk mengadakan proses pembersihan di kawasan ini, jadi perlu ada kerjasama dengan peniaga dan pengunjung untuk menjaganya.

"Malah, kita juga sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau dan menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan ini dari semasa ke semasa," katanya.

Lesen kafe siber digantung

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada salah seorang penerima, Iznariza Che Izham (kanan) dari Pejabat Pelajaran Wilayah Keramat, semalam. - bernama

KUALA LUMPUR 18 Jun - Tidak dapat dinafikan kafe siber merupakan antara tempat yang membiakkan masalah sosial terutamanya apabila dijadikan tempat berjudi menerusi internet.

Sehubungan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan membekukan sementara pengeluaran lesen kafe siber di Kuala Lumpur dan Labuan bagi membendung gejala judi dalam talian yang semakin menjadi-jadi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, bukan sahaja lesen-lesen baharu tidak akan dikeluarkan lagi malah permohonan memperbaharui lesen juga tidak akan diluluskan.

"Kita perlu menyemak semula segala peraturan dan memastikan segala peraturan dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi untuk meluluskan lesen tersebut.

"Banyak perkara perlu diambil kira, yang penting saya tidak mahu mana-mana premis kafe siber ini menggunakan dinding kaca gelap bagi menghalang pandangan dari luar.

"Tidak lagi boleh dibuat di tingkat atas bangunan, mesti di tingkat bawah dan sama sekali tidak boleh bersambung dengan premis perniagaan lain terutamanya pusat-pusat hiburan malah pusat urut mahupun kecantikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata beliau menerima banyak aduan daripada warga pendidik bahawa kafe siber menjadi tempat pelajar yang ponteng sekolah.

"Saya bertanggungjawab terhadap aduan dan rungutan para guru yang mendapati gejala judi dalam talian ini telah merebak di kalangan pelajar yang menjadi punca kepada masalah ponteng sekolah, perlakuan menjadi agresif dan pelbagai masalah disiplin yang lain," katanya.

Malah kata Tengku Adnan, beliau sendiri baru-baru ini menyamar dan masuk ke sebuah kafe siber dan tidak menafikan pengusaha menawarkan permainan judi tersebut dengan perlu mendapatkan kata kunci di kaunter premis.

Beliau mendakwa, di samping itu terdapat pengusaha kafe siber yang memberi gula-gula dipercayai mengandungi dadah kepada pengunjung termasuk pelajar yang menyebabkan bukan sahaja ketagih bermain judi malah di bawah pengaruh dadah.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa tidak puas hati dengan agenda persatuan-persatuan penjaja di Kuala Lumpur yang mengagih-agihkan lesen perniagaan kepada warga asing termasuk tidak bertindak tegas terhadap ahli yang gemar mengambil warga asing sebagai pembantu dan jurujual.

"Sekarang saya lihat rata-rata menggunakan warga asing termasuk di pusat beli-belah yang menjadi tumpuan pengunjung.

"Sehinggakan tugas menggoreng mee pun diserahkan kepada warga Nepal sedangkan warga asing ini tidak menjaga kebersihan. Mereka jenis yang suka meludah dari bilik-bilik sewa di tingkat atas ke bawah.

"Anda sendiri sedar betapa Kuala Lumpur begitu dikuasai warga asing setiap kali adanya cuti-cuti umum ekoran dari para majikan yang suka mengambil warga asing sebagai pekerja mereka. Sedangkan bukan tidak ada orang kita (tempatan) yang boleh diambil bekerja," katanya.

Fenomena ini menyebabkan beliau tidak menghadiri Majlis Jamuan Ulang Tahun ke-100, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur yang diadakan di Jalan Petaling, malam tadi.

"Tanda saya bantah kehadiran warga asing yang begitu ramai diambil sebagai pekerja dan jurujual termasuk di Jalan Petaling itu sendiri," tegas beliau.

"Sebab itu untuk Bazar Ramadan tahun ini, kita tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan sementara mengikut kuota persatuan-persatuan penjaja, kita buka kepada semua bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan," katanya.

Insinerator dibina di Kepong

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

KUALA LUMPUR 18 Jun - Sebuah insinerator berteknologi tinggi dan terkini dengan kapasiti untuk membakar 1,000 tan sampah sehari bakal dibina di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal, Taman Beringin, Kepong di sini tahun depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, insinerator itu dirancang untuk dibina bersebelahan stesen tersebut bagi mengurangkan keperluan pelupusan sisa pepejal.

Sistem tender antarabangsa akan dilaksanakan secara terbuka kepada pihak kontraktor dan permohonannya dijangka dibuka mulai September ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan kerja-kerja pembersihan dan kutipan sisa pepejal di sekitar ibu negara hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Sosio Ekonomi DBKL; Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Nadzri Yahaya; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Arpah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan.

Terdahulu, menerusi program yang diberi nama Ops Fajar itu, beliau melihat sendiri kerja-kerja pembersihan termasuk mengutip sisa pepejal dan membersih longkang yang dijalankan oleh pekerja Alam Flora Sdn. Bhd. di Jalan Alor, Bukit Bintang, di sini seawal pukul 6 pagi.

Beliau bersama-sama wakil kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alam Flora dan petugas media berjalan sejauh 1.5 kilometer dengan memasuki lorong yang dipenuhi longgokan sampah di sekitar kawasan tersebut dan berakhir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong di sini.

Menurut Abdul Rahman, pemenang tender insinerator itu perlu mendapatkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu yang dijangka mengambil masa selama sembilan bulan sebelum pembinaan dimulakan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Khidmat bas perlu dinaik taraf

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

KEADAAN sebuah bas yang tersadai berikutan tayar belakangnya tercabut semasa perjalanan dari Kota Tinggi ke Tanjung Sedili, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 18 Jun - Penduduk sekitar Kampung Tanjung Sedili di sini meminta pihak berkuasa berkaitan, khususnya kerajaan bertindak segera meningkatkan mutu perkhidmatan bas henti-henti Kota Tinggi-Tanjung Sedili bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

Selain perjalanan yang sering terganggu berikutan keadaan fizikal bas uzur dan mengalami kerosakan, perjalanan tidak mengikut waktu ditetapkan sehingga menyukarkan urusan seharian.

Seorang penduduk, Abd. Kamal Abd. Rahman, 48, berkata, sudah tiba masanya mutu perkhidmatan bas henti-henti dinaik taraf kerana selain untuk kemudahan penduduk, penting untuk memberi imej baik dalam kalangan pelancong.

"Sebagai contoh, baru-baru ini tayar belakang sebelah kanan bas tercabut semasa dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Tanjung Sedili. Mujur tayar tersebut tidak terkena sesiapa dan penumpang ketika itu semuanya selamat.

"Namun begitu sehingga semalam, bas tersebut masih tersadai di atas jalan raya berhampiran Kampung Singapura dekat sini. Selain itu, faktor keselamatan juga penting kepada penumpang dan pemandu perlu bersikap profesional," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Hashim Muhammad, 47, sudah tiba masanya syarikat pengangkutan awam berkenaan menggantikan bas-bas lama mereka dengan kenderaan baharu, malah masalah ini sudah dibangkitkan sejak 10 tahun lalu.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Syed Jaafar Albar (SMKTSSJA) berkata, pihak berkuasa diminta mengadakan perbincangan dengan pengusaha bas tentang perkara tersebut.

"Kita sedar syarikat bas terpaksa menanggung kos tinggi apabila membeli bas baharu, namun mungkin ada cara penyelesaiannya. Kerajaan mungkin boleh bantu atau serahkan kepada syarikat pengangkutan lain yang lebih bersedia," katanya lagi.

Umar Uyub, 47, turut menyambut baik sekiranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dapat meninjau mutu dan tahap kepuasan pengguna pengangkutan awam di kawasan ini yang tidak banyak berubah sejak sekian lama.

"Sudah sampai masanya kerajaan memberi perhatian kepada hal ini kerana bas awam tidak harus dilihat sebagai pengangkutan untuk rakyat bawahan atau orang luar bandar.

"Saya percaya kerajaan kini serius untuk memperbaiki mutu dan tahap kepuasan pengguna pengangkutan rakyat," katanya.

50 sekolah agama baharu siap tahun ini

Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT

Ghazali Zaid dan Ramna Isnin dianugerahkan Tokoh Guru Agama Johor di Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA 18 Jun - Sebanyak 50 daripada 96 sekolah agama baharu mampu disiapkan di negeri ini pada hujung tahun ini bagi menampung kira-kira 40,000 murid tahun satu hingga enam serta pelajar Darjah Khas.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, dengan siapnya sekolah tersebut, dijangka kadar kesesakan kelas agama sehingga menyebabkan terpaksa menumpang di bangunan sekolah kebangsaan dapat dikurangkan.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat kelas sekolah agama terpaksa menumpang di 180 sekolah kebangsaan bagi menampung kira-kira 192,000 murid dan 5,000 kanak-kanak tadika agama.

"Jadi, kami yakin dengan usaha proaktif kerajaan negeri khususnya Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Johor, menjelang tahun 2015, isu kekurangan kelas dan sekolah agama dapat diatasi secara menyeluruh.

"Maknanya ketika itu, kita tidak perlu lagi menumpang di sekolah kebangsaan dan sekolah yang kita bina juga membolehkan pelajar dapat mengikuti sistem pengajaran dan pembelajaran dengan selesa kerana dihadkan pada jumlah yang ideal," katanya selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Sambutan Hari Guru Agama peringkat negeri di Dewan Bandar Putera di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam negeri, Sulaiman Dumang.

Dalam majlis itu, Abd. Mutalip menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Sekolah Menengah Agama kepada Ramna Isnin, 64, manakala Anugerah Tokoh Guru Sekolah Agama diberikan kepada Ghazali Zaid @ Jait, 65.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan semua isu berkaitan sekolah agama termasuk sukatan pelajaran, tangga gaji guru, kebajikan guru dan pelajar diberi perhatian dengan melakukan penambahbaikan sewajarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam teks ucapan yang dibacakan Abd. Mutalip berkata, tanggungjawab guru bukan sekadar melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang terbatas pada sukatan pelajaran semata-mata.

Sebaliknya, golongan pendidik agama menjadi mekanisme pembentukan masyarakat Islam yang diyakini kebenaran dan keberkesanannya.

Namun apa yang perlu dinilai semula ialah cara pelaksanaan iaitu sama ada memenuhi keperluan semasa atau tidak terhadap para pelajar sekarang.

"Dalam hal ini saya yakin guru-guru mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang bijak untuk berdepan dengan para pelajar yang begitu advance dengan menggunakan pendekatan yang kreatif semasa proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Dunia kecantikan Syareeza

Posted: 18 Jun 2013 10:52 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOR

Eja perkasakan diri dalam bidang kecantikan dan kesihatan.

DIA memiliki tubuh yang langsing, tinggi lampai dan wajah yang cukup menarik untuk dijadikan tarikan komersial dalam dunia pengiklanan.

Tetapi Nursyareeza Zainuddin, 21, mempunyai prinsip tersendiri. Bukan tidak mahu merebut peluang, namun bagi gadis kelahiran Pulau Mutiara ini setiap apa yang mahu diceburi perlulah berlandaskan ilmu dan pengetahuan yang secukupnya.

Maka disebabkan itu juga Nursyareeza yang lebih selesa disapa Eja memilih bidang kecantikan dan kesihatan sebagai satu kursus pilihan setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baginya, minat adalah satu kriteria utama untuk mencapai kejayaan tertinggi dalam bidang yang diceburi, apatah lagi bidang kecantikan dan kesihatan adalah dua elemen yang terlalu sukar untuk dipisahkan daripada wanita.

Eja juga mengambil kesempatan ini memperkasakan dirinya menimba seberapa banyak pengetahuan daripada pensyarah yang sudah tentunya mempunyai ilmu dan pengalaman yang berharga untuk dikongsi.

Anak bongsu daripada lima beradik ini juga menyatakan bahawa penglibatan awal dalam bidang kecantikan ini didorong ibunya.

Pelajar diploma kecantikan dan kesihatan dari Kolej Geomatika ini juga yakin akan kemampuan dan bakat semula jadi yang dianugerahkan Ilahi kepada dirinya.

"Kursus yang saya ambil memang memerlukan minat dan juga bakat. Bakat yang ada itu diasah lagi oleh pensyarah yang berpengalaman. Sebagai pelajar kecantikan, saya berpeluang mendalami ilmu urutan, solekan, penjagaan tubuh badan dan kesihatan yang sememangnya satu elemen penting dalam kehidupan setiap wanita.

"Bayangkan pensyarah saya pernah memberi tugasan untuk membentuk kening yang cantik, sehingga 300 helaian kertas digunakan.

"Sebagai pelajar, kami perlu melukis kening menggunakan alat solekan hanya di atas kertas. Walaupun ia betul-betul menguji tapi hasilnya memang mantap," jelas Eja yang ditemui di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Eja juga mengambil inisiatif sendiri memperkayakan ilmu dengan menambah bahan bacaan, penyelidikan menerusi internet malah turut menambah kenalan dalam kalangan mereka yang terlibat dalam industri kecantikan.

Atas sebab itu jugalah Eja berjaya mendapat keputusan yang sangat baik pada semester lalu dengan markah 4.0 untuk setiap subjek.

"Bakat itu datang dari dalam diri. sebagai pelajar kita sememangnya akan rasa sebati dengan jurusan yang kita ambil dan tidak rasa sesukar mana.

"Memang kadangkala sebagai pelajar kita akan berhadapan tekanan dengan tugasan yang berlambak, tapi bila kita sedar, akhirnya tugasan yang banyak itulah menjadikan kita berbeza daripada mereka yang tidak mempunyai ilmu khusus dalam bidang yang diceburi.

"Bidang yang dipelajari ini membolehkan saya memperuntukkan masa terluang dengan mencari rezeki sampingan sebagai jurusolek bebas. Namun impian saya sebenarnya mahu bergelar pensyarah dalam bidang kecantikan," jelas Eja yang mengagumi kecantikan supermodel Tyra Banks dan selebriti Paris Hilton.

Eja turut tidak menafikan impiannya untuk membuka salon dan spa kerana kelayakan yang ada menjuruskan dirinya ke arah perniagaan sedemikian.

"Persepsi Eja mengenai kecantikan ialah kecantikan itu sebenarnya dinilai daripada hati yang baik. Namun sebagai wanita memang perlu menjaga diri dan bagi saya amalan penjagaan kesihatan dan kecantikan bermula dengan tidur awal dan minum air kosong sebanyaknya serta mengurangkan pengambilan makanan berlemak dan berminyak," jelasnya yang juga bakal menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di sebuah universiti di Indonesia tidak lama lagi.

Dunia peragaan

Selepas tamat SPM, Eja pernah terlibat dalam dunia peragaan dan minat tersebut telah bercambah sejak kecil.

Katanya, dia menerima tawaran daripada agensi model dan latihan sementara menunggu panggilan ke kolej untuk mendapatkan pendapatan sampingan dan pengalaman.

"Memang banyak pengalaman yang saya peroleh namun bagi saya sendiri tidaklah sampai ke tahap untuk menjadi model terkenal. Ia hanya sampingan dan minat semata-mata.

"Bagi saya dunia glamor mempunyai cabaran yang tersendiri. Apa pun saya lebih suka mengambil pendekatan tiada manusia yang sempurna dan sebagai manusia lain kita tidak berhak menghukum cuma kita perlu memberi teguran dan semangat antara satu sama lain," jelas Eja.

Rekaan untuk yang muda

Posted: 18 Jun 2013 10:52 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Pakaian dan tudung: ARDINI DESIGN, Lot 151, tingkat bawah, pusat membeli-belah ampang park, kuala lumpur (03-21627112)
Solekan dan dandanan: ELMY ALHABSHI (012-2063276)

MANIK, kristal, labuci, batu berkilauan dan sebagainya merupakan perincian dan hiasan yang mesti ada pada satu-satu rekaan fesyen pakaian mahupun tudung supaya tampak cantik dan eksklusif.

Ada benarnya kerana pakaian atau tudung yang dihiasi dengan perincian seperti ini mudah menarik perhatian wanita yang memang sukakan kepada sesuatu yang cantik dan indah.

Perincian yang cantik ini juga akan menjadikan sesuatu rekaan itu boleh dijual pada harga yang lebih sedikit.

Ardini Design turut memilih perincian seperti manik, labuci dan batu berkilauan ini untuk rekaan fesyen dan tudung yang terkini.

Setiap perincian dijahit dengan kemas dan teliti mengikut susunan dan warna manik atau labuci.

Memilih rekaan fesyen yang kemas, selesa dan selamat dipakai oleh semua golongan usia, fabrik syifon menjadi pilihan kerana fabrik ini berjaya menampakkan sesuatu rekaan dan jahitan perincian lebih menarik dan bergaya.

Rekaan terkini Ardini Design yang terletak di Ampang Park ini lebih menumpu kepada golongan muda kerana pemilihan warna-warna ceria seperti merah jambu, ungu samar, jingga muda dan sebagainya menampilkan kelembutan si pemakai.

Pun tidak salah jika dipakai oleh semua golongan wanita kerana Ardini Design menyedari sesuatu rekaan itu bukan terhad untuk satu-satu golongan sahaja. Lagi pun terdapat beberapa warna yang boleh dipilih untuk setiap rekaan.

Menariknya, gabungan dua atau tiga warna berbeza daripada fabrik polos atau fabrik polos dipadankan dengan corak polka dot kecil memberikan kelainan pada rekaan yang boleh diperoleh pada harga yang mampu dimiliki.

Itulah kelebihan dan kelainan Ardini Design yang sememangnya dikenali kerana berani bermain dengan gabungan warna berbeza dengan diberi suntikan perincian.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved