Selasa, 13 Ogos 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


ETCM menang anugerah global

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh FADZIL ARIFFIN
ekonomi@utusan.com.my

PENGARAH Kanan Serantau (Indo-China) ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng (tengah) dan Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk David Chen (kiri) menerima Anugerah Global Nissan 2013 daripada Naib Presiden Eksekutif Nissan Motor Co. Ltd., Hiroto Saikawa di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pengedar kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) menerima pengiktirafan Anugerah Global Nissan 2013 daripada Nissan Motor Co. buat tahun keempat berturut-turut sejak 2010.

Anugerah yang diberikan oleh Nissan induk itu sebelum ini dikenali sebagai Juara Pengedar Nissan bagi mengiktiraf para pengedarnya yang menunjukkan prestasi jualan yang baik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan Motor, Carlos Ghosn berkata, pengiktirafan itu sebagai menghargai kemampuan ETCM yang mencatatkan jualan serta keuntungan yang baik, meskipun menghadapi saingan daripada pelbagai jenama lain.

ETCM turut diumumkan sebagai pemenang oleh Nissan Motor, bagi pasaran kenderaan Segmen B dengan jualan keseluruhan tahunannya melebihi 100,000 buah.

Pengedar itu dianggap telah mempamerkan pencapaian terbaik dalam pelan perniagaannya melibatkan jualan kereta baharu dan prestasi kepuasan pelanggan.

200 syarikat sahkan sertai ALTS 2013

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Sebanyak 200 syarikat dari 10 buah negara telah mengesahkan penyertaan mereka di Pameran Logistik dan Pengangkutan ASEAN 2013 (ALTS 2013) yang julung kali diadakan pada 25 hingga 27 September ini.

Pameran yang dianjurkan oleh Fairs & Events Management Sdn. Bhd. (FEMSB), dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan.

Acara ini disokong oleh Kementerian Pengangkutan, Kesatuan Eropah-Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (EUMCCI), SIRIM Bhd., Majlis Logistik Asia dan beberapa organisasi utama dalam sektor perdagangan dan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif FEMSB, Jonathan Kan berkata, acara itu akan menampilkan pameran industri meliputi kawasan lebih daripada 5,000 meter persegi, satu seminar perdagangan yang memberi tumpuan kepada logistik dan pergudangan.

"Selain itu, kempen kerjaya dan pengambilan pekerja untuk sektor logistik dan pengangkutan serta siri ceramah oleh pakar-pakar mengenai prosedur import dan eksport juga turut diadakan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kan berkata, pameran ini disertai 10 pengeluar terbaik dunia di dalam pengangkutan dan pengendalian material, sistem pengurusan gudang, pengenalan frekuensi radio (RFID), pelabuhan tempatan, pengangkutan, perkhidmatan kurier dan pengedaran yang menyumbang kepada pengurusan rantaian bekalan sistem pengangkutan multimodal di negara ini.

"Dengan industri logistik Malaysia yang dijangka berkembang sebanyak 9.5 peratus kepada RM 139.74 bilion tahun ini, prospek positif kepada aliran masuk pelaburan langsung asing dijangka memacu pasaran pengangkutan dan logistik.

"Oleh itu, penting bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk mengikuti perkembangan terkini, kemajuan teknologi dan trend pasaran untuk mengeksploitasi peluang-peluang baru untuk kekal berdaya saing dan mampan dalam perniagaan mereka," kata Kan.

Antara peserta utama utama dalam segmen forklift adalah syarikat Heli dan Baoli dari China, Yale Forklift dan Clark Forklift dari Amerika Syarikat (AS), Hyundai Korea dan Chery China.

Antara operator-operator pelabuhan tempatan yang juga sudah melahirkan keinginan untuk turut serta pada ALTS 2013 ialah Lembaga Pelabuhan Johor, Tanjung Pelepas, Westport dan Kuantan Port.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Tiga termasuk ketua Geng 08 Vinod berjaya ditahan

Posted: 13 Aug 2013 09:51 AM PDT

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Polis menahan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan Geng 08 Vinod selepas mereka melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta peronda polis yang mengejar kenderaan dinaiki penjenayah itu di Jalan Ipoh di sini petang semalam.

Kejadian pukul 1.40 petang itu berlaku setelah polis mendapat maklumat mengenai satu kes samun bersenjata yang dilakukan sekumpulan lelaki menaiki sebuah trak pikap Mitsubishi Triton dengan nombor pendaftaran BY 5 di Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan hebahan kejadian samun itu, polis berjaya mengesan kenderaan dinaiki kumpulan tersebut di Batu Caves.

"Sebanyak tujuh buah kereta peronda polis telah mengejar kenderaan suspek sejauh kira-kira 30 kilometer sehingga ke kawasan Rawang dan berpatah balik ke Selayang.

"Sebaik sahaja tiba di persimpangan Lebuh Raya Latar (Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor), suspek melepaskan satu das tembakan ke arah kereta peronda polis namun tersasar.

"Polis terus mengejar suspek sehingga ke Jalan Ipoh dan trak penjenayah terbabit menghimpit sebuah kereta peronda sehingga terbabas dan kesemua suspek meloloskan diri," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurut Abdul Rahim, polis petang semalam menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Batu Caves dan menahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 26 tahun.

"Polis turut merampas trak pikap Mitsubishi Triton yang diletakkan di bawah pangsapuri tersebut," katanya.

Katanya, polis masih memburu dua lagi suspek yang meloloskan diri dan tiga serbuan di rumah suspek gagal mengesan mereka. - UTUSAN ONLINE

Peniaga nasi kukus maut ditembak

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

DUNGUN 13 Ogos - Seorang peniaga nasi kukus maut dengan dua kesan tembakan di dada dan bahu dalam satu kejadian samun di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaannya di Jalan Besar Kampung Cacar, Paka di sini awal pagi ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika mangsa, Mohd. Lutfi Mansor, 50, baru menutup kedai dan bersiap untuk pergi ke bank bagi urusan penyimpanan wang hasil perniagaan yang menjadi rutin hariannya.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh adik iparnya, Mohd. Zulrophia Umar, 21, kira-kira tiga jam kemudian sebelum dia memaklumkannya kepada isteri mangsa, Norzuedawati Umar, 25.

Peniaga itu dipercayai ditembak ketika menuju ke trak pikap jenis Toyota Hilux miliknya yang dilarikan penjenayah bersama beberapa barang dalam kenderaan termasuk beg tangan, kasut serta telefon bimbit.

Bagaimanapun satu ikat wang kertas masih terdapat dalam poket baju lengan pendek yang dipakai mangsa.

Mayat peniaga itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Norzuedawati ketika ditemui berkata, dia baru bangun dari tidur ketika dimaklumkan mengenai kejadian menimpa suaminya itu.

"Arwah suami saya tidak mempunyai musuh selama ini. Dia sangat baik dengan semua orang dan suka menderma.

"Apa pun saya anggap ini semua ini sebagai dugaan kepada keluarga kami," katanya.

Selain Norzuedawati, mangsa turut meninggalkan dua orang anak yang masih kecil iaitu Mohammed Mansoruedin, 5, dan Nor Balqis Bazilla, tiga bulan.

Dalam pada itu Norzuedawati berkata, jenazah suaminya mungkin akan dikebumikan di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, berhampiran kubur arwah bapanya.

"Saya tak sangka kejadian ini boleh menimpa keluarga saya. Kedai kami baru dibuka beberapa hari lalu iaitu selepas hari raya kedua," katanya merujuk kepada Kedai Nasi Kukus Paka 3 milik suaminya itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tutup lebih awal

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memeriksa rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil awal Jun lalu. Beliau kemudiannya mengumumkan penutupan venue tersebut mulai September ini untuk kerja baik pulih padang.

KUALA LUMPUR - Perbadanan Stadium Merdeka (PSM) serius mahu memperbaiki kualiti rumput Stadium Nasional Bukit Jalil dengan perlawanan akhir Piala Malaysia pada 3 November akan menjadi acara terakhir sebelum venue itu ditutup sepenuhnya selama enam bulan.

Menurut Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Rozabil Abdul Rahman, pihaknya juga sedia menutup lebih awal Stadium Nasional daripada tarikh yang dicadangkan jika diminta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malahan, beliau membayangkan selepas konsert Linkin Park pada 19 Ogos ini, tiada lagi penganjuran program lain dan Stadium Nasional akan ditutup bagi memulakan proses pembaikan.

Sementara menunggu stadium ditutup mulai November, hanya tiga acara besar akan dianjurkan iaitu konsert Linkin Park pada 19 Ogos, perlawanan kelayakan Piala Asia 2015, Malaysia dan Bahrain pada 16 Ogos dan perlawanan akhir Piala Malaysia, 3 November.

Jika ada keperluan, kami sedia berbincang dengan FAM seandainya salah satu atau kedua-dua perlawanan tersebut ditukar ke venue lain untuk memulakan kerja-kerja penukaran rumput padang Stadium Nasional lebih awal.

Bagi mengelakkan masalah seperti yang dialami oleh Barcelona baru-baru ini apabila rumput stadium mengalami kerosakan, PSM mencadangkan Stadium Nasional ditutup sementara supaya kualiti padang terjamin apabila untuk kelayakan Piala Asia nanti," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Masalah padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi perhatian walaupun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyuarakan lebih awal masalah padang di Stadium Nasional sudah berada di tahap serius dan perlu ditutup bagi penggantian rumput.

Namun, pihak penganjur, BSC Soccer News mendapat lampu hijau daripada FAM untuk mengadakan perlawanan antara Malaysia dan Barcelona di situ. Ia akhirnya ia mengundang masalah sehingga mencemarkan nama baik negara apabila gelanggang perlawanan diubah dalam tempoh kurang 24 jam dari Stadium Nasional ke Stadium Shah Alam.

Rozabil menegaskan PSM selaku penyenggara kemudahan di Kompleks Sukan Bukit Jalil tidak mempunyai kuasa untuk menolak apa-apa program walaupun bukan berkaitan dengan sukan.

Kami tidak boleh menolak permintaan luar yang mahu mengadakan program di Stadium Nasional jika terdapat kekosongan pada tarikh yang diminta namun penganjur perlu mengikut prosedur yang ditetapkan jika mahu menggunakan kawasan padang.

Kami akan memastikan aktiviti seperti konsert tidak menjejaskan kualiti rumput padang dengan memastikan pentas dipasang di atas trek dan bukannya di atas padang.

Orang ramai yang menghadiri sesuatu program dibenarkan berada di atas padang dengan syarat pihak penganjur menggunakan pelindung yang disediakan oleh pihak stadium supaya tidak menjejaskan kualiti rumput padang," katanya.

Pendapatan stadium tak terjejas

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

KUALA LUMPUR - Punca pendapatan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tidak akan terjejas tanpa penganjuran aktiviti selain sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM Ahmad Halmi Harun berkata, pendapatan untuk kerja penyelenggaraan stadium itu bukan bergantung sepenuhnya kepada penganjuran acara bukan sukan misalnya konsert.

"Kita sebelum ini sudah cukup dana untuk selenggara dan jaga stadium, jadi kalau aktiviti selain sukan tidak diadakan di sana pun perbadanan masih boleh mengekalkan kualiti padang. Pendapatan melalui acara sukan dan aktiviti bukan sukan di stadium tersebut adalah sama banyak, bukannya kita bergantung dengan pendapatan daripada acara selain sukan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata bagi mengimbangi dan menambah jumlah pendapatan untuk proses penyelenggaraan stadium pada masa akan datang, PSM akan berusaha untuk menjadi penganjur kepada mana-mana acara sukan.

"Kalau sebelum ini ada orang tengah yang menjadi penganjur apa kata selepas ini PSM sendiri bertindak sebagai penganjur yang bawa masuk acara besar-besaran seperti bawa pasukan bola sepak dunia ke Malaysia.

"Kita sekarang memang tengah buat kajian sama ada boleh jalankan rancangan tersebut (menjadi penganjur acara) atau tidak. Ini adalah antara inisiatif kita untuk perbanyakkan lagi dana untuk stadium,"

Beliau berkata, pihaknya juga bakal menjadikan stadium itu bukan sahaja venue untuk acara bola sepak malah turut dijadikan medan bagi acara olahraga, di mana pada awal tahun lepas trek untuk acara olahraga sudah diganti baharu. Ahmad Halmi berkata, beliau akan memperbanyakkan kejohanan sukan di Stadium Nasional itu bagi terus mengimbangi pendapatan mereka.Acara terdekat yang bakal diadakan di padang itu adalah konsert Linkin Park pada Ahad ini dan dijangka perlawanan pra-kelayakan Piala Asia, Harimau Malaya menentang Bahrain serta Piala Malaysia menjadi acara terakhir dijalankan di padang berkenaan sebelum penutupan stadium pada Oktober ini.

Mengenai kesan mengadakan konsert di padang Stadium Nasional Bukit Jalil, beliau berkata ia tidak terlalu menjejaskan kualiti padang kerana padang rumput itu ditutup dengan penutup rumput khas buatan Jerman.

"Kita tidak letak pentas konsert di atas padang, ia (pentas) diletak di atas trek. Lagipun padang yang menempatkan penonton ditutup dengan peralatan khas bagi memastikan kualiti rumput tidak terjejas," katanya.

Ahmad Halmi berkata pihak perbadanan bersedia menutup Stadium Nasional Bukit Jalil pada bila-bila masa sahaja sebaik sahaja Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan tarikh yang sesuai.

Katanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia menukar venue perlawanan Piala Malaysia dan pra-kelayakan Piala Asia jika KBS mengumumkan tarikh penutupan stadium sebelum perlawanan tersebut dan tender untuk menukar rumput serta sistem saliran akan dibuka sebaik sahaja pengumuman dibuat.

Pada Jun lepas, KBS mengumumkan untuk menutup Stadium Nasional Bukit Jalil selama enam bulan mulai Oktober untuk kerja baik pulih padang stadium itu. - Bernama

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


MPK serbu 327 kafe siber

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 13 Ogos - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyerbu 327 buah kafe siber yang dipercayai masih menjalankan aktiviti perjudian internet di daerah ini.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, serbuan itu dibuat selaras dengan kuasa yang dimiliki pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan sebagai langkah melumpuhkan kegiatan terbabit sejak awal Julai lalu.

Menurutnya, dengan penguatkuasaan yang diluluskan kerajaan negeri, kegiatan perjudian haram dapat dibanteras dan pengusaha tidak lagi berani untuk menjalankan operasi itu.

Kami kini ada kuasa untuk menyita. Kami akan teruskan operasi ini setiap hari bagi membanteras penularan aktiviti perjudian internet di daerah ini," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, masalah utama yang dihadapi pihaknya adalah pemilik premis judi tidak takut kepada pihak berkuasa.

Contohnya, jika hari ini kami rampas komputer di premis mereka, esoknya mereka akan tempatkan komputer lain," katanya.

Katanya, jika komputer yang dirampas hendak dituntut balik, pemilik premis perlu membayar harga komputer dirampas itu.

Misalnya jika harga keseluruhan komputer itu adalah RM100,000 maka mereka perlu bayar harga yang sama. Tetapi setakat ini ada pemilik premis yang datang tuntut dan ada juga tidak tuntut kerana tidak mampu," ujarnya.

Katanya, serbuan itu secara tidak langsung dapat melumpuhkan kegiatan tersebut dan pihaknya akan terus memantau dari semasa ke semasa.

Bagi memastikan kegiatan itu dihapuskan 100 peratus, Zulkifli berkata, pegawai penguat kuasa MPK dengan kerjasama pihak berkuasa lain akan tetap melakukan pemantauan bukan saja di pusat bandar, malah pinggir bandar yang turut menjadi lokasi pengusaha judi haram terbabit.

Kukuhkan ukhuwah hindari perkara remeh

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Abdul Rahman Mohamad (tengah) menyampaikan sumbangan air zam-zam, kurma, jubah dan kain pelikat kepada seorang wakil masjid Kampung Tanjong Bungor di Lipis, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 13 Ogos - Pengurusan masjid dan ahli kariah di daerah ini di minta mengukuhkan semangat ukhuwah dan menghindarkan perkara remeh sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, ikatan perpaduan yang kukuh akan mewujudkan masyarakat bersatu padu dalam mengekang segala bentuk masalah yang boleh menjejaskan keharmonian mereka.

"Lupakan soal persengketaan serta masalah yang mengundang perpecahan dan bersama-sama bermaafan dengan mengunjungi rumah jiran tetangga bagi mengukuhkan perpaduan.

"Raikan Hari Raya Aidilfitri ini dengan penuh keikhlasan sesama ahli kariah dan pada masa sama mengenepikan kepercayaan politik masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan makanan dan pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri kepada ahli jawatankuasa pengurusan 59 masjid dalam kawasan Parlimen Lipis di Bangunan UMNO Bahagian Lipis di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, sumbangan tersebut bertujuan menghargai amal jariah dan bakti ahli jawatankuasa masjid yang menjalankan program mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan.

"Saya bersyukur kerana semua program mengimarahkan masjid berjalan lancar dan memberi peluang pemimpin setempat bertemu dengan ahli kariah di samping menjalani solat tarawih dan tadarus al-Quran bersama-sama," katanya.

Katanya, walaupun sumbangan itu tidak seberapa tetapi merupakan satu penghargaan untuk ahli jawatankuasa pengurusan masjid untuk berhari raya dengan lebih ceria tahun ini.

Pensijilan halal diperkenalkan JAIP dapat sambutan hotel di Kuantan

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

KUANTAN 13 Ogos - Pensijilan halal yang diperkenalkan melalui sistem e-Halal Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mendapat sambutan menggalakkan apabila tiga lagi hotel di daerah ini menerima sijil berkenaan melalui sistem tersebut.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, tiga hotel tersebut ialah Hotel Zenith dan Hotel MS Garden manakala Hotel Sri Manja pertama kali menerima pensijilan tersebut.

"JAIP sebelum ini tidak meluluskan sijil halal Hotel Sri Manja kerana gagal mematuhi prosedur halal ditetapkan termasuk penemuan minuman keras di kawasan restoran.

"Bagaimanapun, selepas beberapa penambahbaikan dibuat, hotel berkenaan akhirnya berjaya menerima sijil halal untuk dapur dan restoran The Hot Pot Cafe di premis mereka berkuat kuasa 1 Julai 2013 hingga 30 Disember 2015," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kelulusan sijil tersebut adalah bagi tempoh dua tahun sekali gus memudahkan pihak hotel berkenaan melaksanakan proses permohonan pada masa akan datang.

"Sebelum ini sijil halal hanya sah laku dalam tempoh setahun dan pihak pengurusan perlu membuat permohonan baharu. Justeru, saya menasihati pihak pengurusan hotel membuat permohonan melalui e-Halal yang lebih mudah," jelasnya.

Tambah Noridzuan, dengan pengiktirafan tersebut akan meyakinkan pelanggan di kalangan umat Islam menikmati hidangan dan menginap di hotel dengan lebih selesa.

Katanya, pemilik atau pihak pengurusan boleh memohon sijil halal secara talian melalui laman sesawang www.halal.gov.my.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Presiden Palestin minta Rami galas semula jawatan PM

Posted: 13 Aug 2013 10:01 AM PDT

RAMALLAH 14 Ogos - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam meminta Rami Hamdallah yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Jun lalu ekoran perbalahan antara kedua-dua pemimpin berkenaan, supaya menggalas semula tugas berkenaan.

Jurucakap Mahmoud, Nabil Abu Rudeineh berkata, Rami akan diberikan masa selama lima minggu untuk membentuk kerajaan baharu.

Rami meletak jawatan pada 21 Jun lalu selepas beliau tidak bersetuju dengan keputusan Mahmoud melantik dua Timbalan Perdana Menteri. - DPA

Polis Mesir lepas gas pemedih mata lerai pertempuran

Posted: 13 Aug 2013 09:59 AM PDT

KAHERAH 14 Ogos - Pihak keselamatan Mesir melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk meleraikan pertempuran terbaharu yang tercetus antara kumpulan penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi dan kumpulan penentang di sini semalam.

Pertempuran berkenaan bermula apabila berpuluh-puluh penunjuk perasaan pro-Mursi berarak memasuki kawasan Kementerian Dalam Negeri sebelum diarahkan keluar oleh pihak polis.

Penduduk tempatan yang dipercayai kumpulan penentang Mursi kemudiannya bertindak melontar batu dan botol dari beranda rumah ke arah kumpulan pro-Mursi, menyebabkan berlaku pergaduhan antara kedua-dua pihak terlibat.

Keadaan tersebut memaksa pihak polis antirusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi meleraikan pertempuran.

Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dewan Undangan Negeri Selama kekal milik Barisan Nasional

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

IPOH 13 Ogos - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak dengan kos petisyen yang difailkan calon Pas, Mohd. Akmal Kamaruddin untuk mencabar kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Hakim Abdul Rahman Sebli dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan tersebut kerana Mohd. Akmal selaku pempetisyen gagal mengemukakan permohonan petisyen yang lengkap serta tidak mematuhi Peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau turut mengarahkan Mohd. Akmal membayar kos masing-masing RM50,000 kepada responden pertama iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Datuk Mohamad Daud Mohd. Yusoff daripada BN dan responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Peraturan 4(1)(b) EPR memerlukan pempetisyen menyatakan fakta dan alasan berhubung petisyen itu," kata Hakim Abdul Rahman.

Mohd. Akmal diwakili tiga peguam diketuai N. P. Ramachandran manakala responden pertama diwakili barisan peguam diketuai Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Norinna Bahadun dan Hanim Abd. Rahman mewakili responden kedua.

Dalam prosiding bantahan awal oleh pihak responden semalam, Hakim Abdul Rahman memutuskan pasukan peguam yang mewakili Mohd. Akmal tidak boleh membuat penghujahan bagi pihak pempetisyen kerana tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk hadir.

Ini kerana katanya, tiada notis mengenai pelantikan difailkan sekali gus gagal mematuhi peruntukan Kaedah 9 dan 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 iaitu berhubung pelantikan peguam bela.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, Mohamad Daud menewaskan Mohd. Akmal dengan majoriti 619 undi.

Penganggur didakwa bunuh lelaki

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

PULAU PINANG 13 Ogos - Seorang penganggur berdepan dengan hukuman di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki di Paya Terubong hujung bulan lalu.

A. Linkes, 22, bersama 14 lagi yang masih bebas didakwa membunuh G. Surintharan, 24, kira-kira pukul 5.30 petang, 20 Julai lalu di Lebuh Rambai, Paya Terubung di sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Linkes selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar menetapkan sebutan kes pada 30 September ini sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Edward Chan manakala tertuduh diwakili peguam, S. Yagoo.

Dalam kejadian hujung Julai lalu itu, Surintharan dikatakan diserang dan ditetak bertubi-tubi oleh sekumpulan lelaki bersenjata parang ketika berjalan seorang diri di belakang sebuah kedai aksesori di Lebuh Rambai.

Serangan berkenaan dikatakan terus dilakukan kumpulan lelaki terbabit biarpun mangsa menjerit kesakitan dan merayu dilepaskan.

Bagaimanapun, mangsa akhirnya disahkan mati setelah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


100 hari: Cabaran kekalkan perpaduan

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh Zuriati Zulmi
dan Noor Farhana Ahmad Norain

Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 6 Mei lalu. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 , Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu. - BERNAMA

GENAP 100 hari selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri hari ini, menangani cabaran pendamaian dilihat terus menjadi komitmen beliau dalam usaha mengekalkan kestabilan negara.

Beberapa pihak turut berpendapat ia cabaran terbesar perdana menteri ekoran perpecahan masyarakat yang dilihat ketara selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Penganalisis politik Prof Datuk Zainal Kling berkata usaha pertautan dan kesepaduan masyarakat adalah tugas utama untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negara selepas pilihan raya umum ke-14 pula.

"Cabaran paling utama, bagaimana untuk menautkan kembali anggota warganegara yang berfikir sebagai orang Malaysia.

"Itulah cabaran pilihan raya ke-14 nanti untuk melihat sama ada pengundi mengundi sebagai orang Malaysia seluruhnya atau terus mengundi mengikut kaum masing- masing," katanya kepada Bernama.

Dari segi pembangunan, beliau berkata apa yang penting adalah rakyat dapat melihat kerajaan melaksanakan sepenuhnya apa yang telah dirancang kerana perancangan pembangunan dirangka sejak sebelum pilihan raya lagi.

Turut menyuarakan pendapat yang sama ialah aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye, yang mahu melihat perpaduan kaum di bawah gagasan 1Malaysia, terus diperkukuh.

"Hasrat untuk melihat perpaduan kaum di bawah gagasan 1Malaysia mungkin tidak tercapai sekiranya segelintir pihak masih mengamalkan politik perkauman," katanya.

Justeru, beliau berharap perdana menteri lebih tegas dalam isu perpaduan ini kerana ia perkara penting dalam agenda pembangunan negara menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Komitmen itu jelas diterjemahkan perdana menteri melalui Akta Keharmonian Nasional yang sedang diusahakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, dengan memberi jaminan tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warganegaranya, namun bagi rakyat sendiri ia tidak boleh disalah guna sehingga menjejaskan perpaduan kaum dan keharmonian negara.

Apa yang jelas, tumpuan utama Najib sebaik diberi mandat semula adalah menyatukan semula hubungan rakyat negara ini yang sedikit sebanyak berpecah pada PRU13 sehingga membentuk polarisasi kaum.

Berdasarkan usaha ke arah itu, Najib juga mencadangkan penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional pada 26 Jun lepas sebagai usaha mencapai matlamat penyatuan nasional bagi mengerat semula hubungan antara rakyat.

Aspek keselamatan turut menjadi agenda utama untuk menyediakan persekitaran yang selamat kepada rakyat.

Komitmen itu dinyatakan dengan kesediaan kerajaan membantu pasukan keselamatan negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan apa sahaja yang perlu mengikut asas dan kemampuan untuk menambah keberkesanan dalam usaha memerangi jenayah.

Sebuah jawatankuasa kecil yang terdiri daripada beberapa menteri termasuk menteri dalam negeri dan menteri di Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan untuk berbincang dengan peguam negara dan ketua polis negara bagi menentukan peruntukan tambahan dalam undang-undang yang boleh memperkukuh keupayaan bidang kuasa polis untuk bertindak.

Menyentuh isu keselamatan, Lee yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), berkata terdapat kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk menangani isu keselamatan terutama jenayah dalam pentadbiran Najib.

"Tapi untuk pastikan bahawa apa yang dikatakan oleh perdana menteri dapat dijadikan satu kenyataan, adalah bahawa arahan beliau dilaksanakan di seluruh peringkat kerajaan untuk pastikan bahawa isu keselamatan dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.

Selain itu, kerajaan turut membincangkan pelbagai pandangan mengenai keperluan menggubal satu rang undang-undang baharu menyamai Ordinan Darurat 1969 yang dimansuhkan pada 2011.

Selain mendapatkan pandangan polis dan peguam negara, kerajaan juga akan mengambil kira pendapat beberapa pihak yang berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam.

Awal bulan ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sedang berbincang dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung draf rang undang-undang baharu itu, berkata ekoran pemansuhan Ordinan Darurat 1969 (EO), lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan dan ramai kembali melakukan aktiviti jenayah.

Menurutnya sejak EO dimansuhkan, kejadian jenayah berat meningkat 90 peratus dan membabitkan bekas penjenayah.

Dalam akujanji BN pada PRU13 lepas, kerajaan berjanji menurunkan harga kereta dengan menyemak semula Dasar Automotif Nasional.

Hasilnya dapat dilihat apabila laporan menyatakan beberapa model kereta jenama Peugeot, Proton, Perodua dan Honda masing-masing menyaksikan penurunan harga untuk fasa pertama bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Laporan itu menyebut pelan penurunan harga dapat dilaksanakan dengan memberikan pengurangan duti eksais secara berperingkat terhadap pengeluar kereta yang menggunakan lebih banyak komponen tempatan.

Menyediakan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki juga masih menjadi tumpuan kerajaan yang mengumumkan pembinaan 100,000 unit Projek Perumahan Awam 1Malaysia di seluruh negara pada Julai lepas.

Berkeluasan antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi, harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M ialah antara RM150,000 dan RM300,000.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu yang memuji langkah kerajaan menunaikan janji-janji pilihan raya berkata ini hanyalah permulaan kepada tempoh 60 bulan yang dimiliki Najib dalam penggal kedua beliau selaku perdana menteri.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan akan terus memberi perhatian kepada kos kehidupan pengguna selain aspek kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam yang amat penting bagi golongan berpendapatan rendah.

Najib juga komited dalam meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti merentas semua segmen, selain memperhebat usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Najib berkata untuk membuktikan keseriusan iltizam kerajaan dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah, kerajaan telah merangka sebuah pelan integriti yang bersifat merentas batas dan menyeluruh.

"Butiran mengenai pelaksanaan khusus pelan ini akan saya umumkan dalam masa terdekat," beliau dilaporkan berkata.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan di bawah Najib dilihat akan meningkatkan pelaksanaan Dasar Transformasi Nasional ke arah memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan, inflasi dan kos kehidupan menurun, kadar pengangguran rendah dan kadar jenayah terkawal.

Selain itu, penekanan usaha turut diberikan untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti yang saksama, pengecilan jurang prasarana mahupun pendapatan bandar serta luar bandar, kadar pelaburan asing dan domestik yang sihat, serta daya saing nasional terus meningkat. - BERNAMA

'Demi rakyat, kita tidak berdendam'

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

HARI INI genaplah 100 hari Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih semula pentadbiran kerajaan negeri daripada parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu.

Dalam wawancara sempena 100 hari beliau memegang jawatan tersebut, Mukhriz yang kini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab itu serta mengulangi keyakinan untuk memastikan janji-janji manifesto BN dalam PRU-13 ditunaikan di negeri Jelapang Padi ini sebelum semboyan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbunyi.

Ikuti wawancara Mukhriz bersama Wartawan SAHBULAH DARWI, SAFINA RAMLI dan jurugambar Safrizal Azmi di pejabat beliau di Wisma Darulaman Alor Setar, Kedah.

UTUSAN: Secara ringkasnya, apa yang sudah Datuk lakukan dalam tempoh 100 hari ini?

MUKHRIZ: Sejak kita ambil alih tampuk kepimpinan, yang pertama kalau boleh saya nak sentuh soal politik. Pendekatan yang diambil oleh BN adalah, kita tidak berdendam dan kita ambil alih dalam cara yang perlahan, tak paksa mana-mana pihak keluar daripada pejabat mahupun mengarahkan sesiapa pun letak jawatan daripada agensi kerajaan negeri, GLC dan jabatan kerajaan.

Saya juga ambil pendekatan ingin memupuk satu hubungan yang baik dengan pembangkang. Oleh itu dari hari kedua pegang jawatan sebagai menteri besar saya pergi berkunjung Tan Sri Azizan Abdul Razak, bekas menteri besar, bila beliau sakit di Pusat Perubatan Kedah kemudian mengunjungi beliau tiga kali di Hospital Pulau Pinang.

Saya anggap ini sebagai tanggungjawab dan sebagai mewakili kerajaan negeri untuk memberi penghormatan dan kena ambil tahu mengenai kebajikan bekas MB secara peribadinya juga dan selain itu sebagai institusi kepimpinan negeri Kedah jadi dan salah satu lagi perkara yang kita lakukan adalah dengan anjurkan majlis solat hajat mendoakan agar beliau cepat sembuh dari sakit yang dihidapi dan saya kira pendekatan ini telah diterima baik oleh semua pihak bukan hanya dari dalam kalangan orang Pas tetapi daripada orang UMNO sendiri. Dan pendekatan yang sama saya lakukan di peringkat kerajaan negeri.

Sebarang perubahan yang nak kita buat kita ambil sedikit masa untuk mengkaji situasi semasa sebelum kita buat sebarang perubahan sekiranya perlu saya sebenarnya dalam minggu pertama memegang jawatan sebagai menteri besar membuat perjumpaan dengan pegawai kerajaan Kedah (KCS) dan dalam perjumpaan tertutup tersebut saya mengakui bahawa dalam kalangan KCS mungkin ada juga yang cenderung politik ada yang memihak pada UMNO/BN dan ada juga yang memihak kepada Pas/pakatan pembangkang.

Saya tak salahkan mereka kerana ini hak setiap individu. Walau begitu, pesanan saya kepada mereka dan pesanan ini diterima baik oleh semuanya, yang pertamanya bagi mereka yang menyokong UMNO/BN biarlah kita berkhidmat untuk setiap lapisan masyarakat kita tak bersifat pilih kasih dan kita tak sifat berdendam dengan mana-mana pihak kerana kita ini sebagai pegawai perkhidmatan kerajaan dan sudah tentu kita diwajibkan berkhidmat untuk seluruh rakyat. Itu pesanan pertama yang saya berikan.

Pesanan kedua kepada mereka yang tak memihak kepada BN ialah agar mereka melakukan yang terbaik untuk rakyat kerana sebagai pegawai di dalam kerajaan negeri terlalu mudah untuk mensabotaj kerajaan yang ada sekarang dengan cara melambatkan kerja dan tidak meluluskan sesuatu yang berhak diluluskan dan tak beri kerjasama dengan ketua jabatan sampai ke tahap menteri besar. Dan semua ini terlalu mudah dilakukan dan beri impak negatif kepada kerajaan negeri. Saya sampaikan pesanan tersebut dengan harapan mereka juga beri kerjasama kepada kerajaan yang baru ini supaya amanah yang diberikan rakyat dapat kita tunaikan dengan baik.

Apakah yang telah dilaksanakan kerajaan negeri setakat ini untuk memenuhi manifesto Akujanji BN PRU-13?

Dalam soal manifesto atau akujanji BN PRU-13, memang pun menjadi matlamat kita untuk penuhi setiap janji itu. Ada yang boleh kita buat dengan cepat dan ada juga kena tengok apa kaedah dan pendekatan yang boleh kita ambil untuk memenuhi janji itu.

Contohnya, dalam soal agama yang mana ia diberi keutamaan nombor 1, banyak perkara yang kita sentuh di situ antara lain mengenai pondok agama dan yang lain maahad tahfiz di mana kerajaan negeri berhasrat untuk memberi sedikit bantuan dana untuk pentadbiran mereka kita juga ingin meringankan beban dalam soal pembayaran utiliti seperti bekalan elektrik dan air kita juga memberi sedikit sumbangan dan baru-baru ini kita telah lakukan bagi lapan pondok di Kedah yang berdaftar.

Kita ingin memberi perhatian yang istimewa kepada institusi Maktab Mahmud yang sejak sekian lama berjaya mengeluarkan anak-anak muda yang mempunyai ilmu yang mantap untuk diserap di dalam institusi pengajian tinggi dan menjadi sebagai satu institusi kebanggaan Kedah. Ini satu perkara yang perlu kita beri perhatian dalam soal prasarana pentadbiran dan tenaga pengajar yang itu sedang kita bincang, setakat ini apa yang boleh kita lakukan dan ada kemungkinan kita akan minta campur tangan atau kerjasama pihak Kementerian Pendidikan.

Dalam soal ekonomi, ada beberapa perkara yang kita nak lakukan, projek ekonomi ini ia memakan masa yang sedikit lama saya tak kata sampai empat ke lima tahun. Saya ingat dalam setahun yang pertama ini, kita harap kita akan dapat melancarkan beberapa projek yang besar yang kita telah senaraikan dalam akujanji tersebut contohnya seperti bandar raya getah di mana wakil kita termasuk exco sendiri telah memberi perhatian untuk kenal pasti syarikat mana yang kita hendak tarik pelaburannya ke rubber city iaitu syarikat bahan mentah getah.

Dari segi sosial kita beri tumpuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) khususnya NGO belia saya banyak buat perjumpaan dan terima kunjungan daripada pertubuhan dan persatuan untuk mendengar apa kehendak mereka. Salah satu daripada projek yang dijanjikan kepada belia ialah litar lumba dan saya rasa bahawa penglibatan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sangat penting kerana mereka datang dengan kepakaran dan juga acara yang telah disenaraikan di peringkat kebangsaan. Kita harap projek ini akan berlangsung seawal mungkin.

Salah satu isu besar yang kita warisi ialah soal Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan yang ini kita telah sentuh dalam akujanji BN dan kita dapati daripada laporan audit forensik, banyak perkara yang melibatkan Kuin dan Insaniah Holding yang perlu kita tangani dengan penuh bijaksana.

Kadang kala ia memakan masa, ada juga pihak tertentu yang akan rasa tak puas hati walaupun begitu kita sentiasa pentingkan kepentingan masyarakat khususnya dan saya pohon kesabaran semua pihak yang terlibat.

Soal pembalakan yang menjadi topik panas pra PRU-13, kini sedang kita tangani sebaik mungkin antaranya amalan untuk gunakan alasan nak buat ladang buah untuk membalak satu kawasan yang luas dengan kaedah cuci mangkuk yang itu telah kita hentikan. Jadi yang ada sekarang ini cuma pembalakan cara selektif iaitu kita cuma memilih satu dua pokok untuk dibalak dengan cara itu kita dapat melindungi alam sekitar dan tidak mencemar air di kawasan tersebut.

Apakah antara cabaran getir yang dihadapi sepanjang 100 hari?

Saya ingat antaranya yang sedang saya hadapi sekarang ini ialah bagaimana hendak menukar pemikiran pelbagai pihak untuk menerima transformasi. Ini kerana kita sedia maklum bahawa transformasi ini bukannya perubahan sedikit demi sedikit tapi apa yang kita harapkan ialah transformasi yang menuntut supaya kita ini sanggup keluar daripada zon selesa kemudian buat satu perubahan yang mendadak dan dramatik.

Ini bukannya satu yang boleh dilakukan oleh semua orang. Ia perlukan keberanian untuk transformasi. Saya cakap dengan semua pihak, dengan orang muda, bercakap dengan KCS, nampak mereka sanggup dan bersemangat untuk terlibat dalam transformasi ini. Satu contoh pertanian, sudah lama terlibat dalam menghasilkan padi, kita membekalkan beras hingga 40 peratus beras di negara ini datang dari Kedah.

Kadang-kadang kita agak selesa walhal kita tahu ia bukanlah sesuatu yang memberikan pulangan yang besar bagi Kedah sendiri. Warga petani pun tak dapat pendapatan yang boleh lonjakkan pendapatan ke tahap tinggi kerana ia bergantung kepada cuaca, hasil pun terjejas kerana penyakit, bila itu berlaku kerajaan kena datang beri subsidi.

Itu seolah-olah ada benda tak kena, adakah kita berani untuk tukar keadaan itu?

Kita tahu tanggungjawab kita menjamin bekalan makanan, itu tanggungjawab Kedah tapi pada waktu sama ini dilihat sebagai faktor yang menyekat pembangunan Kedah itu sendiri.

Jadi apa keputusan yang nak kita buat ialah di mana satunya jaminan bekalan makanan dan keduanya kemajuan Kedah dapat dilakukan seiring.

Pembangunan di Kedah dikatakan tidak seimbang kerana kawasan di sebelah Selatan Kedah iaitu Sungai Petani didapati lebih maju. Apa usaha kerajaan negeri untuk mengimbangi perkara ini?

Kawasan selatan memang mengambil kesempatan di atas pertumbuhan ekonomi yang rancak di Pulau Pinang. Dan antara selatan Kedah dengan pulau pinang ini boleh kita mengumpamakan seperti Johor Bahru dengan Singapura. Saya berazam untuk membangunkan selatan Kedah untuk ambil banyak lagi kesempatan atas kepesatan Pulau Pinang. Kalau kita boleh wujudkan lebih banyak aktiviti contohnya aktiviti riadah bertujuan untuk pasaran Pulau Pinang maka saya ingat lebih banyak lagi kita akan lihat di hujung-hujung minggu orang Pulau Pinang yang akan menyeberang jambatan untuk meluangkan masa dan berbelanja di Kedah.

Di sebelah utara Kedah ini pula seperti yang disebutkan tadi, biasanya kawasan sempadan antara dua negara ini banyak potensi dan harapan saya daripada dua projek iaitu Kota Putra dan Kota Perdana akan menggunakan hubungan dengan sempadan Thailand sebagai usaha untuk kita membangunkan ekonomi kita.

Ahli keluarga datuk terkenal sebagai mereka yang berjaya dalam perniagaan. Adakah mereka akan dilibatkan dalam projek kerajaan negeri?

Saya seboleh-bolehnya nak elak daripada timbul sebarang konflik kepentingan. Setakat ini tak ada seorang pun ahli keluarga saya yang minta nak buat apa-apa projek di sini dan saya harapan berkekalan begitu.

Jadi dia tak buat saya jadi serba salah kerana saya pasti akan menyinggung perasaan mereka kerana yang saya utamakan ialah kepentingan rakyat. Kalau saya terpaksa pilih kepentingan rakyat dan keluarga dalam soal perniagaan ini sudah tentu saya akan pilih rakyat. Nak elak daripada menyinggung perasaan mereka maka elok tak timbul langsung perkara itu.

Tapi dari semasa ke semasa saya mungkin akan minta nasihat kerana ada dalam bidang tertentu mereka pakar jadi sekadar nasihat tak ada salah.

Usaha kerajaan negeri membanteras Syiah dengan cara mewartakan undang-undang menyekat ajaran itu disokong ramai pihak, tetapi adakah pendekatan tersebut mencukupi untuk membanterasnya?

Saya agak terkejut dengan kenyataan ada 250,000 pengikut Syiah dan kalau itu angkanya maka pengikut di Kedah mungkin ramai kerana Kedah dikatakan salah satu pusat penyebarannya.

Ada dua pendekatan, pertamanya dari segi undang-undang iaitu fatwa telah pun diwartakan di peringkat kebangsaan tetapi tak mencukupi, kita tengok ada ruang kosong lagi kerana seseorang itu kalau sampai ke tahap menyebar fahaman Syiah tak ada tindakan yang boleh diambil terhadap dia.

Oleh kerana itu tak juga ada hukuman ke atas mereka jadi ini perlu dibetulkan tujuannya supaya ia dijadikan satu undang-undang yang boleh mengelak daripada kes-kes seperti itu semakin menjadi-jadi.

Tetapi itu sahaja tak cukup kerana menghukum seseorang itu tak semestinya membetulkan akidah dia. Oleh itu satu pendekatan yang kita ambil sebelum kita gunakan undang-undang ialah kita memanggil pihak ini dan kita cuba rasional dari segi perbezaan akidah kerana kita faham kadang-kadang pihak yang ikuti fahaman ini mungkin tak tahu mereka ini dah menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, dia tak sedar.

Yang dia tahu amalan agama itu dipermudahkan sembahyang boleh dihimpunkan sewenang-wenangnya, dia tak tahu walaupun orang yang datang mengajar nampak alim tapi dia tak ikut sunni.

Jadi ini yang membimbangkan bila cakap dengan mufti, guru pondok, semuanya timbulkan rasa cemas dengan keadaan ini dengan buat pendekatan jumpa dengan pihak ini dan betulkan balik akidah dia sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.

Saya ingat majlis agama akan lakukannya manakala pihak mufti pantau keadaan dan akan terima laporan kalau ada tindakan diambil, laporan yang kita terima ialah aduan daripada kaum keluarga yang tak puas hati kerana mungkin ada kematian dalam keluarga dan jenazah diuruskan secara Syiah dan ada pertelingkahan. Difahamkan ada kes anak dara jadi mangsa kahwin mutaah yang buat laporan dia tak sedar kerana pihak tertentu menyakinkan nikah mutaah itu halal.

Selaku Pengerusi Persatuan Bola Sepak Kedah, apa perancangan Datuk untuk mengembalikan sejarah kegemilangan bola sepak Kedah?

Memang pun kita sudah mulakan perbincangan tak rasmi dengan Cardif City dan Kumpulan Berjaya iaitu tuan punya Cardif City berkaitan latihan. Cardif City setuju untuk bekalkan pelatih yang berwibawa untuk melatih pemain kita.

Pemain muda Kenari Kids pun akan kita usahakan supaya pelatih boleh melatih anak-anak kita di peringkat awal. Itu yang pertama.

Yang keduanya, saya berbincang dengan pihak Berjaya ada cadangan untuk bina stadium baru yang lebih baik dari segi kelengkapan dan selesa di satu lokasi yang belum dikenal pasti. Harap perkara ini akan menjadi kenyataan. Ini akan jadi pencetus semangat bagi penyokong bola Kedah bila kemudahannya lebih canggih dan lebih elok.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Desa Murni Batik gagah di Gong Kapas

Posted: 13 Aug 2013 12:15 AM PDT

Suhaimi Embong bersama isteri dan lima orang cahaya mata mereka.

BANGUNAN baru Desa Murni Batik tersergam megah, dari dinding kaca bangunan, mata dijamu dengan berpuluh mannequin yang dibalut dengan fabrik batik keluaran syarikat itu sendiri.

Bagi pengunjung yang berada di luar, mungkin sudah berkira-kira corak mana yang mereka inginkan.

Sementara itu, di tingkat atas yang menempatkan pakaian siap, turut kelihatan mannequin yang memakai pelbagai rekaan jubah.

Di ruang sebelah pula ialah bahagian permaidani dan langsir dengan corak-corak terbaru yang mampu menarik pelanggan yang ingin mengubah hiasan rumah mereka pada hari raya ini.

Melihat pemandangan ini dari seberang jalan, saya dan tiga orang lagi wakil media yang didatangkan dari Kuala Lumpur untuk majlis pembukaan bangunan baru Desa Murni Batik serta dua orang wakil syarikat tersebut melihat rempuhan orang ramai yang berpusu-pusu ingin masuk sebaik sahaja pintu dibuka.

Bangunan baru Desa Murni Batik cawangan Gong Kapas yang berkeluasan 43,000 kaki persegi ini merupakan cawangan keenam Desa Murni Batik milik Suhaimi Embong, 44, yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Cawangan-cawangan lain juga terletak di Kuala Terengganu, iaitu di Batu 6 (dua buah), Pengadang Baru, Kuala Berang dan Kampung Pulau Rusa.

Pada bulan Oktober ini, sebuah lagi cawangan akan dibuka di Dungun yang menjual batik dan tekstil untuk rumah.

Suhaimi yang ditemui pada hari pembukaan rasmi bangunan Gong Kapas itu baru-baru ini berkata, cawangan baru ini merupakan lokasi strategik bagi Desa Murni Batik memandangkan persekitarannya yang ramai penduduk.

''Sasaran jualan Desa Murni Batik dalam tempoh setahun di Gong Kapas ini ialah sebanyak RM20 juta.

''Selain jualan utama, iaitu kain batik, turut terdapat ialah pakaian siap untuk dewasa dan kanak-kanak bagi persiapan raya, tudung, aksesori, langsir dan permaidani.

''Bagi menarik pelanggan untuk datang, kami mengadakan promosi istimewa hari pertama dengan menawarkan sebanyak 1,000 buah dulang pada harga lima sen.

"Hari kedua ialah pelapik kaki dan hari ketiga, kuali yang kedua-duanya dijual juga dengan harga lima sen,'' katanya yang juga merupakan anak kepada seorang pembatik, Embong Su yang turut memberikan nama kepada Desa Murni Batik.

Bercerita mengenai batik yang dikeluarkan oleh Desa Murni Batik yang ditubuhkan sejak tahun 1974, menurut Suhaimi, kilang batiknya menggunakan teknologi moden, iaitu teknologi daripada Itali bagi menghasilkan corak batik digital.

Mesin yang digunakan bagi menghasilkan batik digital ini mampu mengeluarkan sebanyak 200 pasang batik sehari.

Corak-corak batik seperti abstrak, floral, fauna dan sebagainya dibuat oleh lebih 30 orang pereka yang berkelulusan dalam bidang rekaan daripada universiti tempatan dan swasta.

Corak yang paling popular ialah corak klasik sementara corak abstrak dijangka popular pada hari raya. Setiap rekaan corak akan bertukar tiga atau empat bulan sekali.

Pada masa ini terdapat sebanyak 20 rekaan corak yang dicetak di atas fabrik sutera krep, sutera jacquard dan sutera satin yang diberi dengan pelbagai nama. Antaranya ialah Nabeela, Tania, Umairah, Isabela, Damiana, Vitalia, Sakura, Dyana, Tamara dan banyak lagi.

Rekaan batik yang paling mahal ialah Umairah yang dijual pada harga RM480 sepasang manakala yang paling murah ialah Baihaqi berharga RM180 sepasang.

''Dahulu semasa saya bekerja dengan ayah, pembuatan batik agak lembap semasa bulan puasa tetapi sekarang setelah mempunyai syarikat sendiri, saya mahu menjadikan bulan puasa sama sibuk dengan bulan-bulan lain,'' ujar bapa kepada lima orang anak ini.

Suhaimi yang mendapat banyak sokongan daripada isteri, Fatimah Fathiyyah Ismail, 39, yang turut membantu perniagaan batik ini, menambah, sejak mengeluarkan batik digital ini, tempahan yang diterima seluruh negara meningkat sebanyak 60 peratus dalam tempoh enam bulan berbanding sebelum itu yang hanya 15 hingga 20 peratus sahaja.

Malah batik Desa Murni kini turut dieksport ke Brunei dan Singapura. Batik juga mendapat banyak tempahan daripada pihak kerajaan dan swasta. - MERAN ABU BAKAR

Juadah raya ancam diet

Posted: 13 Aug 2013 12:15 AM PDT

Oleh NURUL SHYAZWANIE MOHAMAD

Seronok menjamu selera ketika menghadiri rumah terbuka menyebabkan berat badan yang berkurangan ketika Ramadan naik semula sepanjang Syawal. - Gambar hiasan

SEPANJANG bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu, di samping melipat gandakan ibadah, ramai juga yang mengambil kesempatan menurunkan berat badan, sesuai dengan amalan pada bulan tersebut yang memerlukan umat Islam menahan lapar dan dahaga di siang hari.

Namun jangan terkejut, sekiranya impian itu gagal dicapai sebaliknya berat badan kembali naik ketika Syawal menjelma ekoran tidak mampu menahan nafsu sewaktu memenuhi undangan majlis-majlis rumah terbuka.

Siapa yang mampu menolak pelbagai juadah seperti lemang, ketupat dan rendang yang menyelerakan terhidang di atas meja dan hanya menunggu untuk dijamah.

Segala usaha dan pengorbanan pada bulan Ramadan seakan-akan menjadi sia-sia. Lebih teruk apabila jumlah berat badan bertambah berkali ganda melebihi jumlah berat yang hilang semasa berpuasa.

Pakar pemakanan dari Hospital KPJ Perdana Kelantan, Rose Hanizan Mat Hassan, berkata, bagi mengatasi masalah ini, orang ramai digalakkan memilih makanan mengikut piramid makanan iaitu makanan yang tinggi gula, lemak dan minyak perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit walaupun semasa perayaan.

"Jika boleh semasa menghadiri rumah terbuka, elakkan daripada mengambil makanan berkalori tinggi seperti sate, nasi tomato dan sebagainya.

"Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam setiap hidangan yang diambil manakala makanan yang berkarbohidrat dan berprotein pula hanya diambil dalam kuantiti yang sederhana mengikut keperluan kalori sendiri.

"Namun, tiada halangan bagi mereka yang ingin merasa hidangan kesukaan seperti soto, nasi minyak, nasi dagang dan lain-lain tetapi pastikan kuantiti hidangan yang diambil adalah sedikit dan terkawal," katanya.

Rose Hanizan memberitahu, bagi mereka yang menghadiri majlis rumah terbuka pada sebelah malam atau makan makanan yang tinggi kalori pada waktu itu pula, pastikan waktu tidur selepas makan adalah jarak di antara empat hingga ke lima jam agar proses pencernaan dapat berjalan dengan baik serta mengelakkan penambahan berat badan.

"Apa pun lebih digalakkan jika hanya mengambil snek ringan yang berkhasiat seperti biskut rendah lemak, tinggi fiber satu jam atau setengah jam sebelum tidur," katanya.

Jelas Rose Hanizan, untuk mengekalkan berat badan semasa musim perayaan ini, orang ramai harus minum air putih (air masak) dengan lebih kerap berbanding minuman manis serta makan dalam keadaan yang tenang.

"Orang ramai juga tidak digalakkan mengambil makanan dalam keadaan lapar kerana kerana boleh menyebabkan lebihan kuantiti atau saiz makanan," katanya.

Rose Hanizan turut berpesan, selain makanan bergoreng dan berminyak, makanan berlemak juga tidak digalakkan kerana ia bukan sahaja memberikan kalori yang banyak kepada badan malah akan mempercepatkan penambahan berat badan hingga menjejaskan diet semasa musim perayaan ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Keberkesanan MPB dipertikai

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

PAPAN paparan MPB yang dipasang di salah sebuah hentian bas di Jalan Cheras, Kuala Lumpur tidak berfungsi seperti yang diharapkan pengguna. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pengguna bas RapidKL mahukan sistem paparan elektronik Maklumat Perkhidmatan Bas (MPB) yang diwujudkan pihak pengendali Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana) diperbaiki supaya lebih memudahkan mereka.

Dalam tinjauan Bernama di beberapa hab dan hentian bas RapidKL di sekitar ibu negara mendapati walaupun MPB dilaksana sejak April tahun ini, namun keberkesanannya boleh dipertikaikan kerana tidak semua kawasan yang dipasang sistem itu, seperti sekadar 'melepas batok di tangga'.

Malah kalau dipasang pun, ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan menyebabkan pengguna masih tidak mendapat manfaat daripadanya.

Di hab Titiwangsa misalnya, tidak pula dipasang MPB sedangkan ia merupakan kawasan tumpuan penting pengguna yang turut menggunakan perkhidmatan monorel dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta menempatkan Hentian Bas Pekeliling.

Junaidah Baharudin, 22, yang tiba dari Maran, Pahang berkata sistem MPB perlu dipasang supaya dapat memberi panduan kepadanya.

"Saya datang ke Kuala Lumpur sekali-sekala. Sekiranya MPB diwujudkan di sini, saya mungkin tidak perlu lagi tertanya-tanya pukul berapa bas ke destinasi saya seterusnya akan tiba," katanya kepada Bernama.

Situasi sebaliknya berlaku di hentian bas di KLCC yang walaupun paparan MPB telah dipasang sejak beberapa bulan lepas, tetapi tidak berfungsi langsung.

Shahnizam Hair Johari, 30, yang menggunakan perkhidmatan RapidKL dari stesen LRT Bangsar ke Pantai Dalam berkata, ada masanya beliau tidak dapat bergantung kepada paparan sistem MPB kerana bas tidak selalunya tiba tepat seperti yang terpapar di MPB.

Maka sebagai alternatif, beliau beralih menggunakan tren atau teksi yang tambangnya lebih mahal.

Wong Pe Jin, 18, dari Rawang yang sering berkunjung ke Bukit Bintang berharap usaha dapat ditingkatkan supaya sistem pengangkutan awam bas lebih sistematik termasuk dari segi pelaksanaan MPB.

Para pelancong turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan penggunaan MPB.

Nikki Kooger, 22, dari Belanda juga tidak sanggup bersesak-sesak di dalam bas yang sentiasa terlebih muatan dan terpaksa menunggu bas yang tidak kunjung tiba tanpa sesiapa dapat memberitahunya waktu ketibaan sebenar bas.

Namun menurut Pengurus Hal Ehwal Media Prasarana Azhar Ghazali, syarikat berkenaan sedang melaksanakan MPB secara berperingkat dengan 52 daripada 56 MPB telah dipasang di hab dan hentian bas pilihan.

Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan MPB adalah agak sukar kerana turut melibatkan mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan dan memperoleh bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad.

Beliau juga berkata, bas mungkin terpaksa melakukan lencongan disebabkan kesesakan lalu lintas atau kerja-kerja membaiki jalan sehingga tidak dapat menepati masa yang telah dijadual.

Kadang-kadang Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dipasang di bas mungkin tidak berfungsi kerana kegagalan sambungan Internet yang menyumbang kepada maklumat tidak tepat di MPB yang disambung ke GPS. - BERNAMA

Penduduk setinggan dalam dilema

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

Ashari Awang duduk termenung setelah sebahagian daripada rumahnya dirobohkan dalam operasi PTGWP di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sebanyak 14 keluarga setinggan berdekatan Jalan 1/48A, Bandar Baru Sentul berada dalam dilema kerana rumah yang diduduki mereka sejak lebih sepuluh tahun lalu bakal dirobohkan pihak berkuasa.

Mereka juga mendakwa notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) hanya memberi masa dua hari untuk mereka mengosongkan tanah milik kerajaan itu.

Wakil kumpulan penduduk terlibat, Norzambri Johari berkata, mereka menerima notis bertarikh 30 Julai lalu yang meminta rumah-rumah terlibat dikosongkan selewat-lewatnya pada 31 Julai sebelum operasi meroboh dijalankan sehari kemudian.

"Pada 1 Ogos lalu, sebanyak tujuh buah rumah sudah dirobohkan dengan ada di antaranya tidak sempat mengeluarkan barangan kerana tempoh berpindah yang terlalu singkat serta tiada orang di rumah.

"Tetapi penduduk yang ada ketika itu diminta menandatangani satu surat dan penguat kuasa memaklumkan akan datang kembali hari ini untuk meneruskan kerja-kerja meroboh," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan operasi meroboh baki 14 buah rumah lagi di kawasan itu akan dilakukan hari ini selepas mendapat penangguhan.

Dakwa Norzambri, mereka juga tidak pernah mendapat sebarang arahan atau notis lain sebelum 31 Julai lalu dan tiada perbincangan antara pihak berkuasa dengan penduduk.

Tambahnya, surat sokongan turut dihantar kepada pejabat wakil rakyat dan UMNO Bahagian Batu baru-baru ini agar permohonan mereka dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya.

"Namun tiada maklum balas daripada semua pihak diterima sehingga kini dan kami terpaksa mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga rumah diroboh," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ashari Awang, 75, berkata, mereka boleh mengosongkan tanah tersebut kerana sedar ia bukan milik mereka namun merayu agar penempatan baharu disediakan terlebih dahulu.

"Malah, kami memohon sekiranya tindakan ini boleh ditangguh sehingga ada projek yang mahu dilakukan di kawasan ini kelak," ujarnya.

Ashari yang sebahagian rumahnya sudah dirobohkan pihak berkuasa berasa sedih dan terkilan ekoran tindakan meroboh itu, yang disifatkannya dilakukan secara tergesa-gesa.

"Saya tinggal di sini sejak 1992 selepas pencen dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan elaun bersara hanya RM820. Saya tiada lagi rumah lain untuk tinggal dan rumah anak-anak juga tidak sebesar mana untuk tumpang," katanya.

Sementara itu, Khairil Husni, 22, berkata, penduduk turut terkejut apabila bekalan elektrik masih mengalir ketika operasi meroboh dilakukan 1 Ogos lalu.

"Bekalan elektrik masih berjalan seperti biasa tanpa diputuskan terlebih dahulu...ini amat membimbangkan semua orang kerana boleh memberi risiko terhadap keselamatan.

"Tetapi, kerja-kerja meroboh telah dilakukan, apa yang diharapkan agar kami diberikan kediaman ganti sama ada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan maklum balas PTGWP gagal kerana pegawai berkenaan masih bercuti sempena hari raya.

Sampah di Ampang Waterfront sudah dibersihkan

Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ketiadaan pemandu lori sampah yang bercuti ekoran sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan sampah-sampah tidak dapat dikutip selama dua hari di kawasan perniagaan Ampang Water Front, dekat sini.

Seorang pemandu lori salah sebuah syarikat kontraktor mengutip sampah, Marimuthu Krishnan, 50, berkata, pada hari ini dia terpaksa bertugas sejak pukul 2 pagi memandu lori sampah besar dan kecil secara bergilir-gilir tanpa henti untuk mengutip sampah-sampah dari pelbagai premis dan kawasan di sekitar Ampang.

"Bukan kami sengaja tidak mengutip sampah-sampah itu tetapi kebetulan kebanyakan pemandu lori yang beragama Islam bercuti untuk menyambut hari raya menyebabkan kerja-kerja mengutip menjadi tertangguh.

"Tetapi pada hari ini, hampir kesemua sampah telah kami kutip di kebanyakan kawasan di Ampang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Orang ramai terutama pemilik premis perniagaan di sekitar Ampang Water Front sebelum ini mengadu mengenai sampah-sampah yang tidak dikutip dan diangkut sejak beberapa hari lalu oleh pihak kontraktor sampah sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenang.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved