Ahad, 25 Ogos 2013

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


ADaP

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh Norizan Abdul Muhid
pendidikan@utusan.com.my

ZAWAWI Karim menerangkan tentang bentuk soalan yang terdapat dalam sisipan ADaP kepada murid-muridnya di Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sisipan pendidikan Utusan Malaysia, ADaP menjadi pilihan Pusat Tuisyen Faiza Jaya untuk membantu melonjakkan prestasi akademik murid-muridnya.

Pengetuanya, Mohd. Lokman Mohamad berkata, sisipan ADaP adalah alternatif terbaik bagi membantu murid-murid mempelajari teknik menjawab peperiksaan selain buku rujukan dan sumber pembelajaran melalui internet.

Menurutnya, penggunaan ADaP turut membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) kerana soalan serta latihan yang terdapat di dalam sisipan itu disediakan oleh pakar-pakar akademik.

"Hakikatnya, guru dan murid pada masa ini mempunyai banyak pilihan dalam memilih bahan pembelajaran atau rujukan untuk P&P mereka sendiri.

"Namun, pada saya, sisipan ADaP mempunyai keistimewaannya tersendiri dan paling utama, sisipan ini mampu membantu murid dalam kemahiran menjawab soalan mata pelajaran tertentu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pusat Tuisyen Faiza Jaya di Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn mula beroperasi tahun 2005 dan memiliki 500 murid tahun satu hingga tingkatan lima.

Sepanjang lapan tahun penubuhannya, pusat tersebut kini mempunyai empat cawangan iaitu di Seksyen 9 Shah Alam, Taman Tun Dr. Ismail dan Alam Damai, Cheras.

Mohd. Lokman menambah, selain nota dan kemahiran menjawab soalan yang berkesan, kandungan ADaP juga menarik kerana terdapat ilustrasi berwarna-warni serta grafik yang mampu mencuri tumpuan murid.

"Ilustrasi berwarna mampu menarik murid untuk menelaah dan akhirnya mencuba slot-slot soalan yang disediakan dalam ADaP.

"Malah soalan yang disediakan juga ringkas dan tidak mengelirukan, kalau soalan panjang murid cepat bosan," katanya.

Bagi salah seorang tenaga pengajar Pusat Tuisyen Faiza Jaya, Zawawi Karim, sisipan ADaP terbukti berkesan dalam membantu guru dalam P&P kerana kandungannya disediakan oleh guru-guru pakar mata pelajaran.

"Saya sering membuat latihan secara dalam talian dan lebih gemar memilih laman ADaP untuk meningkatkan kemahiran menyelesaikan soalan," jelasnya.

Sementara itu, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, Muhammad Airil Ikmal Mustafa Kamal memberitahu, dia berminat menggunakan sisipan ADaP kerana memperoleh banyak pengetahuan baharu.

Rakannya, Fakhri Haziq Baharuddin berpendapat, nota yang disediakan amat membantunya menjawab soalan peperiksaan nanti.

Sekolah Amanah galak kaedah pengajaran kreatif

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

GURU sekolah yang terlibat dalam Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR telah mencapai kemajuan besar menggunakan kaedah pengajaran baharu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kreatif dan berasaskan kerjasama di bilik darjah sekolah awam di Malaysia.

Pengerusi Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (gambar) berkata, Program Sekolah Amanah telah berjaya menjadi pemangkin transformasi yang terbukti daripada peningkatan pencapaian akademik dan juga kemahiran sosial murid.

"Transformasi pendidikan akan membuahkan hasil jika prinsip dan metodologi yang betul diguna pakai," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Berdasarkan pemerhatian pembelajaran yang dijalankan oleh program ini pada April dan Mei lalu mendapati beberapa kemahiran penting guru meningkat.

Antara pencapaian cemerlang itu termasuklah perancangan pengajian (89 peratus), penggunaan strategi soalan yang mendorong murid berfikir (65 peratus), memenuhi keperluan murid dengan tahap keupayaan dan gaya pembelajaran berbeza (101 peratus) dan menggunakan teknik pembelajaran kerjasama dan muafakat dalam bilik darjah (83 peratus).

Peningkatan tersebut dicapai berbanding ukuran asas yang dijalankan pada bulan September 2011.

Yayasan AMIR merupakan sebuah pertubuhan yang diwujudkan bukan berasaskan keuntungan oleh Khazanah Nasional Berhad, selaku penaja pengasas bagi Program Sekolah Amanah Yayasan AMIR.

Program Sekolah Amanah dimulakan oleh Kementerian Pendidikan bagi menjalankan program transformasi dalam persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama bijak antara sektor awam dan swasta.

Setakat ini, Yayasan AMIR merupakan satu-satunya penaja sulung Program Sekolah Amanah dan melantik LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd Services), sebuah penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan yang diasaskan di Malaysia.

Program perintis bermula dengan 10 buah sekolah di Johor dan Sarawak pada 2011 dengan tumpuan menambah baik pengajaran.

Tiga buah sekolah baharu di Lembah Klang dimasukkan ke dalam Program Sekolah Amanah bermula tahun ini.

Setiap Sekolah Amanah Yayasan AMIR dibantu sepasukan Rakan Pendidik yang berganding bahu dengan kakitangan sekolah untuk menambah baik amalan kepimpinan dan juga kemahiran pengajaran.

Sementara itu, Pengerusi LeapEd Services, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, program itu dirangka dengan tumpuan mengubah peranan guru dalam bilik darjah dan mentakrif semula konsep kerja rumah dan aktiviti bilik darjah.

"Dalam senario ini, murid cemerlang dicabar untuk meningkatkan prestasi manakala yang kurang berwibawa pula belajar untuk meneliti dan memahami pelajaran untuk memastikan mereka tidak ketinggalan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Citroen DS4 seakan-akan SUV mini

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh FAIRUS KASSIM
ekonomi@utusan.com.my

Rekaan DS4 sangat unik dan seakan-akan gabungan segmen hatcback dengan utiliti sukan.

Jenama Citroen sedikit malap sebelum ini di pasaran tempatan namun kembali menyinar bermula Februari lalu apabila pengedar baharu , Naza Euro Motors Sdn. Bhd. melancarkan model terbaharu iaitu DS4 dan DS5.

Pengenalan dua model ini dilihat memberi nafas baharu kepada jenama dari Perancis berkenaan untuk bangkit semula.

Baru-baru ini penulis berpeluang menguji model DS4 yang sekali pandang mempunyai gabungan konsep kereta sedan hatcback dan utiliti sukan (SUV) mini.

Paling menarik perhatian adalah badan model ini kelihatan agak tinggi sehingga jelas terdapat jurang yang ketara antara tayar kereta dengan badan sehingga menyebabkan rim bersaiz 18 inci tampak kecil.

Reka bentuk luarannya sangat sporty dan rekaan jeriji eksklusif Citroen dengan kemasan perak di bumper hadapan yang cukup menonjol serta logo DS di hujung hood selain dilengkapi lampu LED siang di bahagian lampu kabus.

Dari tepi, bentuknya hampir separa bulat manakala saiz tingkap yang kecil berbanding badannya untuk mencerminkan ciri-ciri seakan-akan SUV mini mewah dan yang peliknya langsung tidak kelihatan pembuka pintu penumpang belakang dan apabila diperiksa pembuka tersebut tersorok di bahagian hujung tingkap.

Ahli keluarga penulis yang pertama kali menumpang kenderaan ini juga terpinga-pinga apabila hendak masuk ke dalam kereta. Rasa seronok pula melihat situasi berkenaan, seperti DS4 bergurau dengan mereka.

Bahagian belakang merupakan antara faktor penarik utama DS4 berikutan reka bentuk lampu belakang yang unik, spoiler dan kemasan perak di bahagian bumper menyerupai ekzos berkembar.

Puas membelek luarannya yang cukup memuaskan, penulis terus membuka pintu untuk meninjau kabin dan perkara pertama yang mencuri anak mata adalah rekaan kerusi bercorak ketupat daripada kulit jenis Havana Club.

Papan pemuka agak ringkas namun tetap mewah tetapi agak pelik kerana tidak dilengkapi skrin paparan sesentuh yang biasanya terdapat pada kereta mewah. Stereng pula kelihatan gemuk dan dilengkapi butang kawalan yang mudah dicapai.

Bahagian hujung bumbung juga boleh dilaras ke belakang untuk membesarkan saiz cermin hadapan tetapi mungkin tidak sesuai ketika waktu panas kerana kaki pemandu akan terasa bahang matahari.

Bergerak ke kerusi penumpang di bahagian belakang, bukaan pintunya agak kecil dan apabila anda telah duduk, terasa dinding di bahagian bahu yang sedikit mengganggu ketika mahu keluar.

Secara keseluruhannya, ruang kabin agak luas dan selesa.

Papan pemuka kelihatan cukup menarik walaupun tanpa kehadiran skrin sesentuh.

Mengulas mengenai prestasi DS4, penulis sangat kagum dengan keupayaan pecutannya dan mampu mencapai kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) pada gear empat (mod sports) dalam tempoh yang singkat dan ditambah pula dengan deruman enjin yang mengancam.

Kereta ini agak tinggi dan sistem penyerap hentak agak keras apabila memandu berseorangan.

DS4 dilengkapi dengan enjin berkapasiti 1.6 liter turbo dengan menyalurkan 160 kuasa kuda dan hanya memerlukan 9.3 saat untuk memecut antara tahap pegun hingga 100 km/j, manakala kelajuan maksimum boleh mencecah 212 km/j.

Bagi mereka yang menggemarkan pemanduan manual, DS4 dilengkapi pedal shift dan juga tombol gear yang boleh dilaraskan ke mod manual.

Terdapat satu sistem unik pada model ini iaitu sistem pengesan saiz tempat letak kereta di kiri atau kanan sama ada bersesuaian dengan saiz DS4. Ini dapat menjimatkan masa pemandu meletakkan kenderaan.

Selain itu, bagi mereka yang menggemarkan kualiti pencahayaan dalam kabin ketika memandu, model ini membolehkan pemandu melaras warna dan kadar keterangan cahaya pada paparan meter kelajuan.

Secara keseluruhannya, DS4 menawarkan sedikit kelainan berbanding kereta segmen B hatcback yang terdapat di pasaran dan buat masa ini jika anda yang terawal memilikinya pasti anda menjadi tumpuan ramai.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


6 ditahan, 2 senapang dirampas

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

MAZLAN Lazim menunjukkan senjata dan peluru hasil kejayaan Op Cantas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 25 Ogos - Polis Kelantan menahan enam suspek jenayah rakyat tempatan dan merampas dua laras senapang buatan sendiri termasuk 134 butir peluru hidup pelbagai jenis dalam Op Cantas Khas yang dijalankan di tiga lokasi di negeri ini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 4.30 pagi pada Rabu lalu di Guchil 2 Kuala Krai, pihaknya menahan dua lelaki selepas menemukan selaras senapang sepanjang 95 sentimeter di dalam kereta Proton Iswara dinaiki suspek.

Menurut beliau, senapang tersebut yang dipercayai dibeli dari negara jiran pada harga antara RM180 hingga RM200, disembunyikan di bawah tempat letak kaki penumpang belakang kereta itu untuk mengelak daripada ditemui.

Katanya, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai yang melakukan operasi kemudian menjalankan pemeriksaan susulan dan menemukan 36 butir peluru hidup yang disimpan dalam satu beg kecil.

"Kedua-dua suspek yang berusia 20 dan 27 tahun kini direman sehingga esok (26 Ogos) bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

"Kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan berasingan pada hari yang sama di Tumpat kira-kira pukul 9.30 pagi, polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dan anaknya serta merampas 80 butir peluru hidup.

Menurut Mazlan, serbuan dibuat di sebuah rumah bernombor Lot 557 di Kampung Air Dingin dan polis turut menemukan 556 kelongsong peluru pelbagai jenis dan beberapa barang lain seperti set sarung pistol, kotak simpanan pistol dan kelopak kosong pistol.

"Suspek yang ditahan adalah wanita berusia 55 tahun dan anak lelakinya berumur 22 tahun serta seorang lagi lelaki berumur 41 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

"Peluru yang dirampas pula turut membabitkan peluru bagi senjata api berat iaitu sembilan butir bersaiz 5.56mm, tujuh butir .38mm dan 10 butir 7.62mm," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek bagaimanapun telah dibebaskan hari ini atas jaminan polis dan pihaknya sedang memburu seorang lelaki yang juga suami wanita tersebut dikenali sebagai Mokhtar Gan Abdullah, 55, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mazlan memberitahu, serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli di sebuah rumah di Kampung Salor, Batu Melintang pada pukul 9 malam Rabu lalu menemukan selaras senapang buatan sendiri dan menahan seorang lelaki berumur 40 tahun.

"Lelaki itu ditahan di rumahnya dan hasil siasatan dia membawa polis ke sebuah lokasi berhampiran yang menjadi tempat senapang yang dibeli dari negara jiran dengan harga RM200 itu disimpan.

"Suspek direman sehingga Rabu ini dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata kerana memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen," kata beliau.

Pada sidang akhbar sama, Mazlan turut memaklumkan Op Cantas yang bermula 17 Ogos lalu di seluruh Kelantan telah membawa kepada penahanan 28 suspek membabitkan kesalahan jenayah dan pihaknya telah mengeluarkan 152 saman terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas.

Skuad khas: Polis KL sedia bantu

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Polis Kuala Lumpur sedia membantu menguatkan operasi dua skuad khas yang ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memerangi jenayah berat dan dadah di seluruh negara.

Ketuanya, Datuk Mohmad Salleh berkata, penubuhan skuad itu akan memberi impak yang lebih berkesan selain menyelesaikan pelbagai kes jenayah yang berlaku di ibu negara.

"Penubuhan skuad khas seperti yang diumumkan kerajaan semalam adalah bertepatan dan wajar pada masa kini, malah kita yakin skuad ini juga membantu setiap usaha yang kita lakukan selama ini.

"Polis Kuala Lumpur akan sentiasa memberi kerjasama yang erat dari segi informasi dan operasi agar mereka yang melakukan perkara membelakangi undang-undang dapat diambil tindakan," katanya ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Segambut hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan penubuhan dua skuad khas dengan kekuatan 200 polis cawangan narkotik dan 200 polis bahagian jenayah berat ditubuhkan untuk memerangi masalah jenayah berat dan dadah di negara ini.

Skuad itu akan beroperasi dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan tidak akan melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Dalam perkembangan lain, Mohmad berkata, Op Cantas Khas yang dimulakan sejak minggu lalu mencapai kejayaan memberangsangkan di ibu negara.

"Op Cantas yang dilancarkan di ibu negara dilihat memberi kesan yang amat positif dalam aktiviti pembanterasan jenayah.

"Polis Kuala Lumpur tidak menumpukan di beberapa lokasi sahaja sebaliknya di setiap kawasan termasuk di sekitar Putrajaya. Detektif-detektif polis di setiap daerah juga saya boleh katakan sentiasa bersedia terutama sekali pada waktu malam bagi menjayakan operasi ini," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan individu atau kumpulan yang mencurigakan supaya menyalurkan segera maklumat itu kepada pihak polis.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Sambutan tetap hebat

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan DHIYA'ZULHILMI DAUD
sukan@utusan.com.my

M.Saravanan (lima dari kanan) bersama Mohd. Nasir Ali (empat dari Kanan) dan Ahmad Zaki Zahid (lima kiri) serta wakil penganjur dan penaja pada majlis pelancaran Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan 2013 di Pusat Beli belah AEON AU2 Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

KUALA LUMPUR - Sekalipun hanya tertumpu kepada satu zon saringan dan peringkat akhir berbanding empat zon pada dua edisi sebelumnya, namun Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan 2013 tetap mendapat sambutan hangat kerana memiliki peminat setia yang tegar.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali menjangkakan perubahan format pertandingan tidak langsung mematahkan semangat penggemar sukan tradisi ini untuk menjayakan dan memeriahkan kejohanan.

Edisi keempat kejohanan bakal berlangsung di Seremban dan Klang dari 26 hingga 29 September ini selepas dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, semalam.

"Dengan syarat pertandingan yang hanya membenarkan seorang pemain negeri atau kebangsaan mewakili sesebuah regu, selain ganjaran lumayan yang ditawarkan, penggemar sepaktakraw tetap datang untuk beraksi.

"Tahun lalu, lebih 500 regu bertanding di keempat-empat zon dan saya yakin, angka itu tidak langsung berkurangan kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancarannya di AEON AU2, Taman Setiawangsa di sini semalam.

Turut hadir pada pelancaran semalam adalah Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings (pengendali Kentucky Fried Chicken - KFC Malaysia), Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Datuk Othman Mohamad.

Empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka-Institusi Pengajian Tinggi, Bawah 20 Tahun, Bawah 16 Tahun dan Bawah 12 Tahun dengan ganjaran hampir RM70,000 yang ditawarkan di Kompleks Sukan Negeri Sembilan, Seremban dan AEON Bukit Raja, Klang itu turut mengatasi mana-mana hadiah pertandingan peringkat negeri atau kebangsaan.

Kata Mohd. Nasir, sepaktakraw negara sebenarnya tidak ketandusan bakat mahupun pemain handalan apabila baru-baru ini, seorang pemain kita, Mohd. Hanafiah Dolah turut membantu juara lapan kali, Nakhon Pathom bangkit daripada kedudukan tercorot untuk menduduki tempat keenam Liga Sepaktakraw Thailand 2013.

"Kejohanan kali ini turut diharap dapat menarik minat kaum lain kerana selain Thailand, sudah banyak negara bukan Melayu atau luar Nusantara seperti China, Korea Selatan, Myanmar dan Vietnam malah Eropah yang menguasainya.

"Malah kami merancang untuk meluaskan ke peringkat Asia Tenggara pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu kata Aziz, Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi kejohanan akan terus memainkan peranan menyokong usaha menjadikan sepaktakraw sebagai gaya hidup penting masyarakat Malaysia.

Malaysia pilih laluan berduri

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Pemain Pakistan, Waseem Ahmad berjaya melepasi tiga pemain negara pada saingan Piala Asia di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh semalam. - uTUSAN/Hafiz Johari

IPOH - Malaysia tiada pilihan selain perlu sekurang-kurangnya seri ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A hoki Piala Asia, esok sekiranya mahu meneruskan impian memburu gelaran selepas tewas 1-4 kepada Pakistan, semalam.

Kekalahan skuad kebangsaan pada aksi kedua peringkat kumpulan itu menyebabkan Malaysia yang berada pada ranking ke-13 dunia terlepas peluang mudah untuk ke separuh akhir, Jumaat ini.

Dalam kejohanan yang menggunakan format liga satu pusingan itu, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir untuk merebut tempat ke final.

Ketika ini hanya Jepun yang meraih kemenangan 5-1 ke atas Taiwan bakal menjadi penghalang Malaysia terus kekal di kedudukan kedua kumpulan.

Jurulatih kebangsaan, Paul Revington mengakui aksi menentang Jepun bakal menjadi perlawanan penting buat Malaysia.

"Mereka bermain dengan baik hari ini (semalam).

"Kitar harus sedar, menentang Pakistan memang amat mencabar. Corak permainan serangan balas membawa mereka meraih kemenangan," kata Revington.

Malaysia memulakan aksi meyakinkan apabila mendahului menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim minit ke-26, namun tujuh minit selepas itu Pakistan berjaya menyamakan kedudukan hasil gol padang Muhammad Zubair dan bermula babak kedua, Pakistan mula mendominasi saingan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Op Payung cukup berkesan

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

MOHD. Jasmani Yusof (berdiri, kiri) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri IPD Kuantan di Pahang, semalam.

KUANTAN 25 Ogos - Polis akan meneruskan operasi Op Payung bagi menangani kes-kes jenayah samun, ragut dan pecah rumah yang berlaku di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, sebelum ini operasi tersebut hanya diadakan pada musim perayaan sahaja dan kini diteruskan pada hari-hari biasa.

Menurut beliau, tempoh lapan bulan tahun ini mencatatkan penurunan kes jenayah sebanyak 13 peratus dan perkara itu merupakan tanda positif dalam menangani jenayah.

"Operasi itu akan diteruskan bagi memastikan rakyat tidak perlu bimbang dan takut berikutan jenayah yang berlaku di tempat mereka.

"Sebagai contoh kekerapan sekatan jalan raya yang dilaksanakan mampu mengurangkan kadar jenayah yang sering berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Dalam majlis itu, Mohd. Jasmani beramah mesra dengan para anggota dan pegawai dan menyampaikan sumbangan kepada balu polis, warga emas, fakir miskin serta ibu tunggal.

Katanya, kerjasama orang ramai juga turut membantu mengurangkan kadar jenayah tersebut dan diharap perkara berkenaan dapat diteruskan.

Tahap pematuhan penggunaan tanda harga masih kurang

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

MOHD. A. Aruwan Ab. Aziz (berdiri, kiri) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPDNKK di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 25 Ogos - Tahap pematuhan penggunaan tanda harga khas merah jambu dalam kalangan peniaga di negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini masih kurang memuaskan.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, para peniaga mematuhi peraturan kerajaan terhadap penjualan 19 barangan terkawal sepanjang musim perayaan itu.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, sepanjang pelaksanaan skim itu selama 17 hari bermula 26 Julai hingga 11 Ogos lalu, pihaknya melakukan sebanyak 10,219 pemeriksaan membabitkan 251 premis borong dan 9,968 premis runcit di seluruh negeri ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu, sebanyak 47 kes kesalahan dikesan iaitu 44 kes membabitkan peniaga runcit dan tiga kes melibatkan peniaga borong.

"Daripada jumlah kes direkodkan, hanya satu kes kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga kawalan manakala selebihnya membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga merah jambu.

"Hasil tindakan terhadap peniaga ingkar itu, kita mengeluarkan kompaun kepada 47 premis terlibat dengan jumlah keseluruhan RM5,300 manakala nilai rampasan mencecah RM3,556.95," katanya kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPDNKK di sini baru-baru ini.

Aruwan berkata, pihaknya turut mengeluarkan amaran terhadap tujuh peniaga yang gagal menggunakan tanda harga merah jambu terhadap barangan harga terkawal yang dijual.

"Secara pecahannya, Kuantan dan Raub mencatatkan jumlah kes tertinggi masing-masing 14 kes dengan nilai kompaun keseluruhan RM2,000 manakala nilai rampasan barangan pula adalah RM2,389.

"Jerantut, lapan kes dengan dikenakan kompaun RM1,100 manakala nilai rampasan RM394 diikuti Rompin, lima kes membabitkan kompaun RM500 dan nilai rampasan RM183,"katanya.

Dalam pada itu, katanya, Temerloh dan Bera masing-masing mencatatkan tiga kes dengan nilai kompaun keseluruhan bagi dua daerah itu RM600 dan nilai rampasan RM859.

"Bagi daerah lain termasuk Maran, Pekan, Lipis dan Bentong tiada sebarang kes direkodkan sepanjang tempoh itu," katanya.

Cegah jenayah perlu bermula dari sekolah

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

ERWAN Mohd. Tahir (tengah) bersama pengetua, guru dan pelajar yang menyertai Seminar Mahkota Bahasa Isytihar Perang Terhadap Jenayah Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 di Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 25 Ogos - Pencegahan jenayah perlu dilaksana bermula di peringkat sekolah supaya dapat membentuk jati diri golongan muda daripada terjebak ke dalam aktiviti jenayah.

Naib Pengerusi 1 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir berkata, generasi muda adalah penentu perpaduan dan keharmonian pada masa hadapan dan bergantung kepada tahap kesedaran serta pengetahuan mereka terhadap negara.

"MCPF akan merencana pelbagai program untuk pelajar bagi mencegah jenayah dari peringkat bawah lagi.

"Kita berperanan membentuk remaja supaya mempunyai kesedaran tinggi terhadap pencegahan jenayah," katanya ketika ditemui selepas Seminar Mahkota Bahasa Isytihar Perang Terhadap Jenayah sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 di sini hari ini.

Menurut beliau, pelajar perlu mengambil peluang menyertai program-program yang akan dilaksana MCPF Pahang bagi memastikan mereka mengetahui bahayanya jenayah.

Sementara itu, katanya, kira-kira 400 pelajar daripada 12 buah sekolah menengah di daerah ini menyertai program penulisan karangan tersebut.

"Dalam program ini kita telah mengadakan bengkel penulisan dan pertandingan menulis karangan yang bertemakan pencegahan jenayah.

"Program ini bertujuan mendidik pelajar menjauhi jenayah selain dapat membantu mereka menulis karangan dengan baik," katanya.

Katanya, MCPF Pahang akan melaksanakan program seperti ini setiap bulan bagi membantu polis mencegah jenayah di peringkat sekolah.

"Mungkin selepas ini kita akan adakan juga program di kawasan luar bandar kerana pada masa kini jenayah bukan sahaja di bandar tetapi di kawasan-kawasan kampung," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


PBB jalankan siasatan berhubung serangan gas beracun

Posted: 25 Aug 2013 10:41 AM PDT

NEW YORK 26 Ogos - Pakar senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan melawat tapak serangan gas beracun di Syria esok bagi menjalankan siasatan awal berhubung kejadian itu.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, Syria telah berjanji untuk mematuhi gencatan senjata di tapak berkenaan yang terletak di pinggir bandar Damsyik dimana satu pasukan dari PBB akan mula `menjalankan aktiviti mencari fakta.

Pakar tersebut tiba di Damsyik tiga hari selepas kejadian gas beracun yang membunuh ratusan orang yang disifatkan sebagai serangan kimia terburuk dalam tempoh 25 tahun. - REUTERS

Banjir di Pakistan ragut 178 nyawa

Posted: 25 Aug 2013 10:39 AM PDT

ISLAMABAD 26 Ogos - Banjir akibat hujan lebat yang di bawa oleh musim monsun telah mengakibatkan 178 orang maut, manakala 1.5 juta penduduk lagi terjejas sejak tiga minggu lalu.

"Sekurang-kurangnya 178 maut dan 1,503,492 terjejas kesan daripada hujan monsun yang melanda, kata seorang pegawai kanan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA).

Beliau menambah, kejadian hujan lebat itu turut mencederakan 855 orang, selain memusnahkan 20,312 buah rumah dari 5,615 perkampungan.

Dijangkakan hujan lebat akan berterusan sehingga bulan hadapan, namun pihak NDMA telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Keluarga suspek ditembak boleh mohon inkues

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Nancy Shukri

PULAU PINANG 25 Ogos - Keluarga lima penjenayah yang mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis Isnin lalu, boleh mengemukakan permohonan inkues terhadap kematian suspek berkenaan tanpa sebarang sekatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak mendapatkan pembelaan dan kerajaan sama sekali tidak akan mengetepikannya termasuk kepada penjenayah.

"Tiada masalah untuk melakukan inkues kerana sistem itu sememangnya telah wujud, cuma bagi kes ini masih lagi dalam siasatan polis.

"Permohonan melakukan inkues boleh dibuat sebaik sahaja siasatan selesai dan laporan dihantar ke pejabat Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Legenda Aidilfitri di sini malam tadi.

Selasa lalu, polis mengesahkan menerima empat laporan daripada keluarga suspek yang mati ditembak dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Pantai Jerejak, Sungai Nibong di sini yang mahu inkues ke atas kematian kelima-lima suspek itu dilakukan kerana mendakwa mereka ditembak tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan, pihak polis telah mengikuti SOP ditetapkan sebelum mengambil sebarang keputusan dalam operasi berkenaan.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap yang dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Nancy menambah, permohonan inkues juga tidak akan menjadi masalah memandangkan setiap negeri mempunyai mahkamah koroner sendiri bagi mengendalikan kes-kes inkues seperti yang telah dipersetujui Kabinet.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak RM20 juta disalurkan kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) tahun ini bagi membantu masyarakat kurang berkemampuan mendapatkan bantuan guaman termasuk kepada orang kena tuduh (OKT).

"Sejak ditubuhkan pada 2011, peruntukan besar disalurkan kepada YBGK bermula dengan geran sebanyak RM5 juta yang kemudiannya meningkat kepada RM10 juta tahun lalu. Ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Selain itu, tambah beliau, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 21 peratus kes yang dikendalikan YGBK didengar di mahkamah sekali gus yakin sasaran 30 peratus kes di bawah yayasan tersebut dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.

Mengulas pindaan Akta Kebankrapan 1967, jelas beliau, pindaan berkenaan dijangka dibentang di Parlimen dalam persidangan Dewan Rakyat selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Pindaan ini telah berada di tahap akhir perbincangan dan sekarang cuma tinggal untuk dimuktamadkan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Insolvensi Malaysia sebelum dibentangkan di Parlimen nanti," katanya.

Lelaki bermasalah mental terselamat daripada tuduhan membunuh

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

PASIR PUTEH 25 Ogos - Seorang lelaki terselamat daripada tali gantung selepas masalah mental yang dihadapinya menyebabkan dia dibebaskan daripada tuduhan membunuh jirannya di Kampung Daramain, Bachok pada 11 Ogos lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pasir Puteh di sini hari ini.

Majistret Ahmad Adha Yasser Amri sebaliknya memerintahkan tertuduh, Badrul Hisham Mamat, 29, dihantar ke Hospital Permai, Johor untuk menerima rawatan dan mendapatkan laporan psikiatri.

Badrul Hisham didakwa membunuh jirannya, Mohd. Nazalmi Mat Nawi, 29, di beranda rumah mangsa di Kampung Daramain pada pukul 2.10 petang 11 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

"Oleh kerana tertuduh tidak sempurna akalnya, maka saya perintahkan dia ditahan di Hospital Permai, Johor selama tempoh sebulan untuk mendapatkan laporan psikiatri," kata Ahmad Adha.

Beliau turut menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes dan mendapatkan laporan perubatan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Ganti Jimmy manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Utusan Malaysia pada 12 Ogos lalu melaporkan Mohd. Nazalmi yang sedang tidur di beranda rumahnya maut selepas ditikam di dada oleh tertuduh yang tiba-tiba mengamuk.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Jangan cakap belakang

Posted: 25 Aug 2013 05:44 AM PDT

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my

INI kisah benar mengenai seorang wanita yang datang asalnya dari Singapura. Memasang impian dari kecil untuk menjadi seorang pelakon, biar di mana pun bumi dipijak, itulah yang cuma diinginkan.

Lalu, peluang itu muncul. Mengembangkan bakatnya di negara sendiri sehingga namanya terukir sebagai bintang, Elfaeza Ul Haq sudah mampu tersenyum apabila pendakiannya untuk bergelar anak seni akhirnya tercapai.

Selain berlakon, dia yang menceburi dunia seni seawal usia 18 tahun juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan produser teater kanak-kanak termasuk hos program kanak-kanak berjudul Krayon.

Namun, entah kenapa masih lagi kekosongan masih dirasakan meski sudah berada di puncak itu.

Walaupun sudah punya platform sendiri, saya tetap merasakan ia masih belum mencukupi. Saya dah tepu di Singapura," katanya membuka cerita mengenai perjalanan kariernya.

Lalu, peluang menerjah industri hiburan Malaysia sekitar usia 21 tahun merupakan satu permulaan yang baik buat wanita yang mesra disapa sebagai Elfa ini.

Sehabis baik dan sehabis daya memberi komitmennya pada dunia barunya di sini, rezeki Elfa datang lagi.

Menerusi drama bersiri Adam dan Hawa, Elfa terjebak dalam fenomena luar biasa yang ketika itu merasuk rata-rata peminat setia drama yang turut menampilkan watak utamanya Aaron Aziz dan Nadiya Nisa.

Tak terhenti di situ, Elfa kemudian membuktikan bahawa dia serius dengan industri lakonan di negara ini dengan memberikan yang terbaik menerusi drama Cinta Qaseh arahan Feroz Kader dan Dalam Setiap Sujudnya.

Nah...apakah itu belum cukup melayakkan Elfa untuk dikenali di negara ini?

Kalau cakap pasal dikenali, jujurnya saya tak rasa begitu. Rasanya, masih ramai di luar sana yang masih tertanya-tanya siapa Elfaeza?

Kalau untuk dikenali pun belum ramai yang tahu, apatah lagi kalau nak kaitkan populariti dengan saya.

Saya belum popular, itu satu perkara yang saya sendiri akui dan semua orang pun tahu. Tak perlu saya nak gembar-gemburkan hal yang saya sendiri sedar.

Perjalanan ini jauh lagi dan saya tak perlu berdiri di atas populariti yang dibuat-buat atau direka-reka semata-mata nak memastikan orang tahu kewujudan saya dalam industri.

Bagi saya, ia akan memendekkan jangka hayat saya dalam bidang ini kerana lambat laun orang tak suka dihidangkan dengan hal-hal begitu.

Saya ke sini untuk mencari ruang dan peluang demi karier. Itu sahaja," katanya.

Cerewetkah Elfaeza?

Adat lama bergelumang dengan dunia seni, kalau tidak terpalit dengan cerita kurang enak maka belum cukup artislah seseorang itu.

Elfa, dalam menempuh kehidupannya sebagai seorang artis di sini, juga tidak terlepas daripada pengalaman dilanda isu kontroversi.

Tolak gosip cintanya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Itu semua umpama sudah lapuk untuk diceritakan. Tambahan pula, cerita itu sahih tidak benar.

Yang ingin dikongsi ini adalah kontroversi bila mana Elfa dilabel berperangai cerewet dan dah memilih.

Isu terkait apabila Elfa dikatakan sepatutnya memakai busana rekaan seorang pereka fesyen untuk sebuah majlis hiburan sebelum ini.

Namun, apabila tiba hari kejadian, Elfa tidak memberikan sebarang maklumani kepada pereka fesyen tersebut sehinggalah menyebabkan individu itu berkecil hati.

Melayangkan pertanyaan kepadanya, kata Elfa, semua itu berlaku kerana salah faham.

Kalau orang mengaitkan kejadian itu dengan melabel saya cerewet, itu tak benar. Saya tak pernah nak tunjuk pandai dalam bab ini. Untuk sesi penggambaran misalnya, kalau orang bagi baju itu, baju itulah yang saya akan pakai. Tak ada pula saya nak lebih-lebih minta itu ini," katanya.

Bagai mahu membela diri, wanita berusia 27 tahun ini menjelaskan, dia tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana pereka fesyen untuk menghadiri majlis hiburan yang dimaksudkan.

Untuk majlis itu, saya tak pernah hubungi atau berjanji dengan mana-mana pereka fesyen pun untuk menyarungkan busana mereka.

Entahla, adakala saya terfikir, mungkin ada yang tersalah orang barangkali. Seingat saya, memang tak pernah saya buat janji begitu.

Tapi saya ada bertemu dengan seorang pereka fesyen ini yang diperkenalkan oleh seorang teman. Ada bercakap tentang hal baju rekaan, tapi tak ada sampai berjanji nak pakai.

Itu sebab saya sehingga sekarang masih bingung, siapa yang dimaksudkan oleh orang-orang yang buat cerita tu?" katanya.

Sudah lupa diri?

Posted: 25 Aug 2013 05:44 AM PDT

ADA teman yang berbisik di telinga Miss J tentang pelakon cilik yang seorang ini, Elfira Loy. Hembusan bisikan teman Miss J itu bukan biasa-biasa tapi tak ubah seperti ribut taufan.

Semuanya selepas dia bertembung dengan Elfira baru-baru ini. Ingatnya pada pertemuan itu teman Miss J boleh bersembang dan bertanyakan khabar sebab dah bertahun lamanya tak berjumpa.

Tetapi agak menyedihkan apabila Elfira berlalu pergi tanpa berbalas senyuman atau bersalaman dengan teman Miss J yang banyak berjasa pada saat-saat awal kemunculannya satu ketika dulu.

Jadi teman Miss J itu pun terasa sebab dia tak menyangka macam mana Elfira boleh jadi macam begitu. Sebab masa awal dahulu dia pernah berjanji pada teman Miss J untuk tidak lupa diri.

Nak kata Elfira tak perasan kehadirannya, tak juga sebab tak ramai orang yang ada di tempat itu pada masa itu.

Tapi teman Miss J lebih sedih apabila teringatkan janji yang diukir Elfira sebelum popular dulu. Elfira kata dia tak nak cepat lupa diri. Macam mana orang kenali dia yang ramah pada ketika itu, macam itulah dia pada masa akan datang.

Dah namanya manusia, mudah lupa. Jadi janji yang diukir sebelum ini hanya tinggal janji. Elfira yang pada hari ini sememangnya berbeza dengan yang lama.

Apatah lagi sewaktu orang nak guna bakatnya pada hari ini. Banyak tawaran berlakon di sana sini. Dan dengan itu Elfira dengan mudah melupakan orang-orang yang pernah berjasa dan susah bersama dengannya satu ketika dulu.

Miss J hanya mendengar saja luahan teman Miss J itu. Jauh sekali nak menilai sebab kena dapatkan penjelasan daripada Elfira sebelum membuat penilaian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Cabaran polis tangani jenayah berat

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

JENAYAH kekerasan yang berlaku di seluruh negara sejak kebelakangan ini mengundang kebimbangan semua pihak.

Pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku menjadi tajuk-tajuk utama akhbar dan isu perbincangan utama pelbagai pihak.

Tatkala kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyuarakan ketegasan dalam menangani isu ini, segelintir pihak mengambil peluang menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kononnya bertindak tanpa mengikut prosedur untuk memburu penjenayah tegar yang masih bebas.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Tan Sri Zaman Khan ketika ditanya mengenai isu ini, melahirkan rasa simpati terhadap tohmahan yang dilemparkan kepada pasukan itu.

Ada sesetengah kata ada perkara dalam EO (Ordinan Darurat) itu ada dalam Akta Pencegahan Jenayah, memang betul. Tapi itu bukan untuk jenayah biasa namun bagi aktiviti menentang pengganas," katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR, SOFIAN BAHAROM dan jurugambar HANAFI KHAMIS ketika ditanya isu itu di Putrajaya baru-baru ini.

Bekas Pengarah Penjara Malaysia itu turut berkongsi maklumat dan pandangannya bagaimana menangani isu jenayah kekerasan ini berdasarkan kepada pengalamannya.

UTUSAN: Jenayah kekerasan contohnya tembak-menembak semakin berleluasa di negara ini. Apa pandangan Tan Sri?

ZAMAN KHAN: Tidak dinafikan kejadian tembak-menembak ini satu fenomena baharu. Semasa saya selaku pencegah jenayah di sepanjang kerjaya saya tidak pernah dengar begini. Ada memang ada tetapi tidak seperti ini. Ini saya rasa disebabkan, berdasarkan beberapa bukti bahawa sindiket pengedaran dadah ini mempunyai senjata api seolah-olah untuk mempertahankan kedudukan mereka sekiranya ada serbuan dan sebagainya.

Ada juga segelintir penjenayah ini menggunakan kekerasan termasuk menembak kerana dendam seperti di Kelantan sebelum ini. Jadi, perkara ini dilihat membimbangkan serta menakutkan masyarakat. Pada mulanya saya ingat pihak polis tidak mempunyai perisikan yang baik tetapi ia adalah tanggapan silap. Kalau kita perhatikan, dalam seminggu ini selepas kejadian tembak-menembak berlaku, polis mengetahui siapa dalangnya.

Ini bermakna pihak polis telah melakukan siasatan sebaik-baiknya. Orang awam perlu sedar bahawa polis ini bukan ahli silap mata. Mereka bergantung kepada maklumat yang dicari dan disampaikan. Melalui cara inilah, pegawai-pegawai turun padang ke kelab-kelab malam, kedai-kedai kopi dan sebagainya bukan untuk berjoli tetapi untuk mendapatkan maklumat sedikit-sebanyak.

Kita ada rangkaian juga dengan penjenayah dan bekas-bekas banduan yang insaf untuk mendapatkan maklumat. Namun begitu, maklumat daripada orang ramai adalah yang paling penting.

Tan Sri berkata sindiket pengedaran dadah mempunyai senjata api untuk mempertahankan kedudukan mereka, boleh Tan Sri jelaskan kenapa?

Saya percaya sindiket-sindiket ini mempunyai senjata api untuk mengongkong kawasan pengedaran dadah mereka. Ingat lagi Bentong Kali? Salah satu matlamatnya adalah menjadikan Kuala Lumpur kawasan kawalan pengedaran dadahnya. Sejak kes pertama saya dulu di Pulau Pinang, saya masih ingat ketika itu, polis mendapat maklumat berhubung kegiatan membawa dadah di Jelutong dan Ayer Hitam jadi kita lakukan serangan hendap. Apabila si pembawa itu ditahan polis, baru sahaja ditanya suspek sudah melepas tembakan.

Kami menembaknya mati dan mendapati terdapat sejumlah dadah yang cuba dibawa ke tempat lain. Ini perkara selalu berlaku dan ia dibuktikan apabila unit narkotik merampas dadah pasti terdapat senjata api bersama. Nampaknya, dadah bukan sahaja merosakkan masyarakat terutama golongan muda tetapi juga membawa kepada jenayah kekerasan di negara ini.

Orang kata, jalan penyelesaian kepada perkara ini adalah dengan menutup sempadan. Mereka perlu tahu sempadan kita panjang, saya tahu kerana saya juga berasal daripada kawasan sempadan. Di sempadan tersebut terdapat penduduk. Penduduk kedua-dua sempadan juga mempunyai pertalian yang sangat erat.

Malahan dahulu terdapat cadangan untuk memagari sempadan tersebut. Saya hanya tersenyum. Orang tanya kenapa tersenyum? Saya kata tidak guna memagari kawasan tersebut kerana masyarakat kedua-dua belah mengenali satu sama lain. Kalau hari ini letak pagar mungkin esok pagar tersebut akan dirobohkan. Itu sebab kita jadikan sempadan tersebut sebagai kawasan perdagangan bebas seperti di Tak Bai, Rantau Panjang, Padang Besar dan utara Perlis. Langkah itu bagi mencegah penyeludupan dan supaya orang kita tidak terdedah kepada ancaman-ancaman.

Terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan polis semasa melakukan operasi. Kenapa ini berlaku?

Pihak polis sekiranya dapat maklumat dalam kes berbahaya seperti tembak-menembak ini, kita akan ada perancangan. Jangan kata polis bertindak membuta-tuli. Sekiranya kita tengok insiden di Pulau Pinang, kekuatan operasi kita diambil dari Bukit Aman, Pulau Pinang dan Alor Setar. Ini semua anggota polis yang terlatih untuk berjaga-jaga dalam sebarang kemungkinan. Apabila kita ke tempat itu, kita sudah tahu sebelum ini sudah banyak kes polis ditembak. Takkan kita perlu menunggu mereka menembak dua tiga das dahulu sebelum bertindak?

Dalam keadaan tebusan dan sebagainya seperti saya yang dilatih dalam situasi tersebut, kita memasuki lokasi dan akan menembak suspek bukan untuk membunuhnya tetapi memastikan yang dia tidak menjadi ancaman kepada kita.

Saya bukan menjustifikasikan tindakan itu tetapi keadaan sedia cemas. Janganlah fikir polis perlu menunggu penjenayah menembak dahulu.

Tan Sri tadi ada menyebut polis menjadikan penjenayah sebagai sumber rangkaian maklumat. Boleh jelaskan berhubung kenapa? Apakah sehingga kini masih terdapat hubungan tersebut?

Mahu tidak mahu, kita perlu ada rangkaian ini. Kita baca cerita di Amerika Syarikat (AS), England dan sebagainya yang mana Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) terlibat dalam dadah, bukan mereka mahu berniaga dadah, cuma mereka mahu menyelidik perkara tersebut. Di Malaysia, kita ada tiga cara untuk mendapatkan maklumat iaitu kita cari sendiri, sumber daripada orang bersalah dan terbaik sekali adalah daripada orang ramai supaya siasatan dapat dijalankan.

Seperti yang selalu dikatakan kami, a dead body dont tell (orang yang mati tidak akan memberi maklumat), kita kalau boleh mahu maklumat daripada mereka yang berada di sekitar. Ada orang kata kita perlu menggunakan kaedah penyamaran apabila polis menjadi orang awam, kita buat. Sebagai contoh, kes-kes ragut cuba dikurangkan dengan anggota polis lelaki dan wanita menyamar menjadi pejalan kaki.

Ramai pihak yang bercakap, disebabkan ketiadaan Ordinan Darurat (EO) menyebabkan peningkatan jenayah berat ini?

Benar perkara tersebut. Memang tahanan tanpa bicara itu bertentangan dengan fahaman hak asasi manusia. Tetapi saya ingin tanya, itu hak asasi penjenayah, tetapi di mana hak saya dan orang lain?

Jadi kita perlu undang-undang ini untuk menahan mereka. Katakan saya penjenayah macam Botak Chin dahulu, kita tengok betapa susahnya dia untuk mati. Ramai orang tahu perkara ini, dia pergi ke Segambut atau Sentul, berjumpa dengan budak berketurunan India, dia akan beri wang dan mengucapkan Happy Deepavali kalau Cina dia kata Happy Chinese New Year.

Apabila keadaan seperti itu, masyarakat tidak akan memberi maklumat. Tetapi ada juga yang tidak suka perkara tersebut tetapi mereka takut untuk memberi keterangan di mahkamah. Tetapi bila kita minta mereka memberi kenyataan hanya untuk siasatan, mereka akan bekerjasama. Semua benda mereka tidak mahu pergi. Jadi kita merakam kenyataan, siasat dan melakukan kerjasama tersebut. Ini gunanya untuk mencegah kegiatan jenayah terutama gangsterisme, memeras ugut dan pengutipan wang perlindungan.

Pernah berlaku di Ampang, sebuah kedai India diganggu sekumpulan penjenayah, habis semua pekerja dan pelanggan takut. Semuanya disebabkan tidak membayar duit perlindungan.Mereka tidak mahu melaporkan kepada polis kerana mereka takut. Jadi dalam kes-kes begini, kita akan siasat. Kalau mereka kata kita aniaya dan sebagainya, wujudkan satu sistem ketat pula agar polis tidak menyalahguna kuasa. Sekarang ini terbukti, kebanyakan mereka yang keluar dari tahanan EO ini melakukan jenayah. Katakan awak menyebabkan saya meringkuk dalam penjara, bila saya keluar, saya akan cari awak. Begitulah.

Kalau kita sedar Tan Sri, terdapat juga pihak yang arif dengan undang-undang berkata, semua pihak tidak perlu khuatir dengan pemansuhan EO kerana terdapat juga akta lain seperti Akta Pencegahan Jenayah.

Memang betul ada akta lain tetapi kita tiada kuasa menahan seperti EO. Ada sesetengah kata ada sesetengah perkara dalam EO itu ada dalam Akta Pencegahan Jenayah, itu memang betul. Tetapi itu bukan untuk jenayah biasa namun bagi aktiviti menentang pengganas. Kalau kita boleh untuk pengganas, kenapa tidak kepada jenayah lain. Suasana kini, orang awam tidak takut kepada pengganas kerana tidak mengancam mereka secara menerus.

Orang kata ia tidak adil kerana orang kata seseorang tidak boleh dihukum sehingga terbukti salah menerusi keputusan mahkamah, saya setuju. Itu untuk hak asasi penjenayah sahaja tetapi bagaimana dengan awak dan saya? Saya rasa hak asasi seperti ini memang terlampau.

Ada juga kata bila orang ditahan oleh EO ini, mereka akan dianiaya. Tetapi silalah melawat mereka di penjara, memang sihat belaka di sana. Bukan dianiaya, tetapi mereka yang ditahan perlu mematuhi peraturan ditetapkan seperti bangun pagi pukul berapa dan melakukan aktiviti bersama-sama.

Ada cadangan juga untuk meminda akta tersebut dan apabila ditanya kepada polis, mereka meminta akta yang lebih kurang EO, apa pendapat Tan Sri berhubung bentuk akta baharu nanti?

Saya salah seorang daripada mereka yang juga mementingkan hak asasi manusia dan saya pernah hadir pada 2003 pada kursus hak asasi di University of Strasbourg, Perancis. Saya sedar tetapi perlu kita tahu bahawa hak orang lain perlu dihormati. Bukan sahaja diri kita sahaja. Jadi undang-undang yang diminta polis ini harus menjadi sebuah undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan kepada mereka yang menjadi ancaman kepada masyarakat. Cuma, kalaulah orang kata ada salah guna kuasa, kita kena perketatkan mekanisme seperti cara kelulusan dan sebagainya. Apa yang patut dilakukan dan sebagainya.

Kita tidak suka kewujudan kongsi gelap dan sebagainya. Gangsterisme ini memang daripada dahulu ada, tetapi syukur Alhamdulillah, kita masih ada undang-undang membendung dan mematahkannya. Sekarang memang wujud kongsi gelap atau triad. Memang ada triad ini tetapi tidak seperti dahulu. Namun begitu, kalau kita tidak kawal, mereka akan naik semula. Pada saya, undang-undang ini sangat diperlukan. Kita minta ada keadilan untuk menyiasat betul-betul. Kalau ada bukti baru boleh didakwa ke mahkamah kalau tiada bukti tidak boleh. Takkan kita biarkan mereka sahaja?

Apa pandangan Tan Sri terhadap pendekatan pencegahan jenayah yang dilakukan KDN?

Banyak kerajaan sudah buat untuk mencegah jenayah. Kalau kita rujuk indeks jenayah terbaharu, jenayah biasa ada penurunan. Cuma jenayah kekerasan yang secara tiba-tiba menjadi masalah. Saya rasa puncanya dendam, menguasai kawasan, pengedaran dadah, memeras ugut dan sebagainya. Ini semua susah dikawal secara terbuka. Kita memerlukan undang-undang khusus berhubung perkara ini.

Salah satu langkah diambil polis adalah Op Cantas Khas, apa pandangan Tan Sri?

Masyarakat perlu ingat bahawa mereka tidak akan ditahan tanpa melakukan jenayah tetapi kerana melakukannya. Pada saya Op Cantas ini sangat bagus.

Walau bagaimanapun, Op Cantas juga mendapat kritikan.

Kita lihat persepsi segelintir kelompok masyarakat di negara ini. Satu ketika dulu penjenayah seperti Bentong Kali diangkat sebagai wira. Waktu itu, polis melakukan pengumuman berhubung pembunuhan Bentong Kali, ada bertanya, benarkah polis telah melakukannya? Saya kata benar. Hampir semua pemberita yang hadir ketika itu bertepuk tangan menyambut pengumuman tetapi ada juga yang tidak.

MIC dan peranan besar Palanivel menjelang 2016

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

BERGABUNG sebagai satu parti tunggal mewakili masyarakat India. Itulah mesej yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tengku Adnan Tengku Mansor ketika merasmikan persidangan perwakilan Parti Makkal Sakti Malaysia kali kelima di Kuala Lumpur semalam. Tujuan penggabungan itu adalah mewujudkan sebuah parti yang mewakili masyarakat India menjadi parti yang dapat menjalin kerjasama demi pembangunan dan kepentingan kaum itu. Mesej yang sama pernah dilontarkan pelbagai pihak sebelum ini tetapi tidak ada usaha-usaha yang konkrit dilakukan.

Harus diingat, penggabungan atau penyatuan ini memerlukan pengorbanan, kejujuran dan keikhlasan. Usaha penyatuan ini menjadi rumit disebabkan sikap ego, tidak mahu bertolak ansur serta tidak sanggup mengorbankan jawatan dan kedudukan masing-masing. Sikap jujur dan ikhlas amat penting dalam memenuhi matlamat penyatuan ini. Mungkin juga ada faktor lain yang menyebabkan penggabungan itu tidak dapat dilakukan. Pada satu masa dulu, MIC merupakan parti tunggal yang mewakili masyarakat India yang menjadi parti komponen BN dan sebelum itu Perikatan. Parti Progresif Penduduk (PPP) yang juga parti pelbagai kaum turut dianggotai majoriti masyarakat India. Selepas berlaku perselisihan dalaman MIC di bawah era kepemimpinan S.Samy Vellu, beberapa parti serpihan muncul yang dipimpin oleh bekas pemimpin kanan parti itu. Ada yang terus hidup sehingga ke hari ini dan ada yang berakhir begitu sahaja.

Kini, wujud beberapa parti yang mewakili masyarakat India berada di luar BN tetapi menyokong kerajaan termasuklah Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF).

Ku Nan melontarkan persoalan: Kenapa perlu berpecah?...Kenapa perlu wujud banyak parti yang memperjuangkan perkara yang sama? ...Barangkali perlu dibuat analisa atau duduk semeja untuk memikirkan bagaimana mengatasi masalah ini,.

Apa yang lebih penting, penggabungan itu adalah bagi meraih kembali sokongan pengundi masyarakat India. Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, BN hanya memperoleh 48 peratus sokongan kaum India. Jumlah itu perlu ditingkatkan kepada 60 hingga 70 peratus. Memang tepat saranan Ku Nan supaya MIC yang menjadi parti tertua mewakili masyarakat India bersikap lebih terbuka mendengar pendapat dan membuat analisa mengapa terlalu ramai masyarakat India membentuk parti politik baharu bagi mewakili kaum itu. MIC mesti mencari di mana silapnya sehingga lahir begitu banyak parti yang mewakili masyarakat India.

Mungkin perkara ini berlaku pada era lalu. Kini MIC di bawah kepemimpinan baru yang diterajui oleh G. Palanivel. Beliau boleh melihat perkara ini dengan lebih serius. Dengan tempoh sehingga jawatannya berakhir atas kehendaknya pada tahun 2016, Palanivel yang mempunyai corak kepemimpinan yang berbeza dengan presiden sebelum ini boleh mengorak langkah untuk merealisasikan saranan Ku Nan ini. Beliau boleh mengambil peluang ini untuk duduk semeja bersama parti-parti berkenaan untuk mencari formula penyatuan.

Mungkin MIC boleh menubuhkan majlis pemuafakatan parti politik masyarakat India ini bagi menggerakkan usahasama dan penyatuan.

Sebagai orang yang pernah bersama pemimpin terdahulu, Palanivel tentunya lebih arif di mana silapnya sehingga berlaku penolakan terhadap MIC dan membawa kepada penubuhan parti baharu. Eloklah Palanivel merintis jalan perpaduan ini. Jika berjaya, beliau pasti dikenang sebagai pemimpin yang dapat menyatukan seluruh parti masyarakat India melalui parti tunggal.

Dalam suasana sekarang serta berhadapan PRU akan datang, peranan atau tanggungjawab Palanivel nampak lebih besar. Beliau tentunya melihat keperluan ini dan memerlukan tempoh yang ada untuk memperkasakan parti MIC dan masyarakat India seluruhnya. Tanpa sebarang pertandingan bagi jawatan yang disandangnya kini, Palanivel yang mengambil alih jawatan itu daripada Samy Vellu pada Disember 2010 mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan soal penyatuan. Bukannya memikirkan soal pertandingan dalam parti yang hasilnya belum pasti mampu memperkukuhkan pengaruh dalam kalangan pengundi-pengundi.

Sejak dua bulan lalu, Palanivel sibuk mengadakan perjumpaan bersama semua ketua cawangan di seluruh negeri. Beliau turun ke akar umbi bagi menyelami dan mendekati anggota-anggota parti. Difahamkan, semasa perjumpaan tersebut, Palanivel lebih banyak bercakap mengenai usaha untuk memperkasakan MIC, mengembalikan semula kekuatan parti, mencadangkan perubahan perlembagaan dalam parti mengikut peredaran zaman, perpaduan dan peranan generasi muda.

Memang sudah tiba masanya, pemimpin MIC di semua peringkat memikirkan masa depan parti itu dengan lebih serius. Jangan terlalu fanatik, ghairah dan emosional tentang pemilihan parti kerana segala percaturan dalam parti tidak semestinya mewakili suara masyarakat India.

Penganalisis politik yang juga Ketua Penerangan MIC Wilayah Persekutuan, Anbumani Balan berkata, MIC perlu menerima hakikat yang sebenar mengenai segala kisah benar yang berlaku pada dua PRU lalu, 2008 dan 2013. Sebagai sebuah parti politik dominan yang mewakili masyarakat India di negara ini, semua pemimpin dan ahli MIC perlu mendahulukan masa depan masyarakat India - khususnya aspek pembangunan dan ekonomi - satu agenda yang lebih besar bagi menjamin harapan mereka. Pertandingan dalam parti hanyalah salah satu proses demokrasi tetapi ianya tidak dapat menyelesaikan masalah masyarakat India di negara ini khususnya ketika MIC berada di- persimpangan politik yang cukup kritilkal.

Diharapkan, Palanivel serta seluruh kepemimpinan MIC dapat menggunakan kesempatan yang ada ini untuk memantapkan parti. Palanivel perlu diberikan masa dan ruang yang secukupnya untuk melakukan segala proses penambahbaikan politik yang relevan untuk tempoh sehingga menghadapi PRU akan datang. Sebenarnya, masih banyak yang perlu dilakukan. Selain melihat sokongan masyarakat India, MIC dan barisan kepemimpinannya juga perlu melihat sokongan orang Melayu dan Cina terhadap parti itu terutama di kawasan-kawasan yang pernah mereka wakili.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Pengaruh Elvis sepanjang zaman

Posted: 25 Aug 2013 05:44 AM PDT

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto AZLIZA HAILANI

KAMAL amat menggemari Elvis Presley sejak kecil.

SEWAKTU kecil, ibu kepada Kamaluddin Mohd. Kasim sering memainkan lagu-lagu nyanyian Raja Rock N Roll, Elvis Presley sebagai peneman keluarganya kala bersantai di rumah.

Ulangan lagu-lagu Elvis berkali-kali membuatkan Kamal yang kini merupakan Pegawai Perhubungan Awam Universal Music Malaysia dapat mengingati setiap butir liriknya sehingga sekarang dan amat meminati penyanyi yang digelar The King ini.

Malah pengaruh daripada lagu-lagu tersebut membuatkan Kamal lebih menghargai seni muzik dan memberikan pemahaman berkenaan muzik dengan lebih mendalam selain membuatkan dia amat menghargai dunia seni.

Begitu juga dengan pemilik Ol' Skool Bistro di Petaling Jaya, Calvin Adelrick. Pengaruh yang kuat daripada pelantun suara lagu Heartbreak Hotel ini merupakan punca dia terjebak dalam industri hiburan bermula dengan pemuzik dan deejay pada awal 1990-an.

"Saya masih ingat ibu saya menangis membaca mengenai kematian Elvis di dada akhbar pada 17 Ogos 1977. Saya baru berusia 7 tahun dan saya masih ingat laporan tersebut menunjukkan gambar dari atas ketika majlis pengkebumian legenda tersebut.

"Pengaruh daripada keluarga yang amat meminati Elvis Presley membuatkan saya turut sama menggemari lagu-lagu dan aksinya sejak kecil lagi sehingga sekarang," ujarnya yang gigih menganjurkan majlis memperingati Elvis Presley buat peminatnya di Malaysia buat kali kelima sejak tahun 2009 di tempatnya itu.

'Tribute To the King of Rock n Roll - Elvis Presley' tahun ini diadakan pada Ahad lalu di Ol' Skool Bistro, Jalan Gasing, Petaling Jaya dan pertama kali menyaksikan lebih 20 orang 'Elvis' dari seluruh negara menggayakan sut terkenal yang sering digayakan Elvis lengkap dengan gaya potongan rambut dan jambang yang 'mahal' itu.

Malah, mereka tidak kekok memberikan gaya bergambar legenda tersebut di hadapan kamera serta persembahan mantap lagu-lagu Elvis lengkap dengan gaya tariannya yang unik dan menjadi ikutan ramai di zaman tersebut.

Selain Kamal yang menyampaikan lagu Love Me Tender, Wooden Heart dan Teddy Bear dan HT Long, artis Elvis lain yang memberikan persembahan mantap pada majlis penghormatan buat Elvis Presley selama 12 jam itu termasuk Eddie Francis yang merupakan Raja Rock n Roll Malaysia, Sunny Tai, Frankie Fong, Alex Wong, Aziz, Joe Rosario, Peter Lee dan Anthony.

Jam tangan gaya metropolitan

Posted: 25 Aug 2013 05:44 AM PDT

DALAM dunia fesyen yang sinonim dengan gaya dan kecantikan, jam tangan bukan sekadar penunjuk waktu sebaliknya sebahagian aksesori pelengkap penampilan. Walaupun jam tangan mula diperkenalkan pada kurun ke-16, tetapi hanya pada awal tahun 1800, barulah tukang permata dan tukang jam mereka jam tangan berlian untuk kerabat diraja.

Ratu Elizabeth I dikatakan mempunyai seutas jam tangan pada masa itu.

Pada lewat kurun ke-19, wanita dan lelaki mula memakai jam tangan sebagai barang perhiasan. Kini ia tidak asing lagi khususnya golongan muda.

Bagi golongan remaja, aksesori seperti ini memberi kelainan dengan penampilan yang eksotik dan ranggi, selain kelihatan lincah dan bertenaga.

Uniknya, aksesori seperti ini memberikan keunikan dari segi pemakaian kerana mampu membuat kejutan.

Bagaikan memahami kemahuan remaja, Alfio Raldo memperkenalkan koleksi jam tangan bertemakan gaya metropolitan.

Koleksi ini menampilkan gaya metropolitan dengan corak sofistikated berkonsep flora dan fauna.

Sementara itu, koleksi jam tangan ini hadir dalam saiz kecil hingga besar dengan pelbagai warna. Jam tangan eksklusif bagi lelaki dan wanita ini sesuai bagi mereka yang ingin kelihatan bergaya dengan rekaan moden terkini.

Alfio Raldo juga dilihat berjaya menghasilkan jam tangan berkualiti tinggi dengan mengambil inspirasi daripada rekaan fesyen mewah namun mengekalkan harga berpatutan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved