Isnin, 17 Februari 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kematian ADO lebih menjurus akibat mati lemas

Posted: 17 Feb 2014 10:48 PM PST

KUALA TERENGGANU 18 Feb. - Hasil laporan bedah siasat yang dijalankan berhubung kematian Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan Muda didapati tidak menunjukkan unsur jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata, setakat ini mangsa dipercayai mati akibat lemas, namun pihaknya masih menunggu laporan toksikologi bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata, laporan bedah siasat yang selesai diadakan pada pukul 6 petang semalam tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa. - BERNAMA

Mayat pelajar lemas dijumpai tersangkut pada pukat

Posted: 17 Feb 2014 10:25 PM PST

TEMERLOH 18 Feb. - Mayat remaja lelaki yang lemas semasa mandi-manda di Sungai Pahang dekat Kampung Bangau Parit di sini petang semalam, ditemui tersangkut pada pukat ikan di dasar sungai itu oleh penduduk Kampung Tengah malam tadi.

Ketua Polis Daearah Temerloh, ACP Abdul Aziz Salleh berkata, mayat Mohd. Fariz Daniel Mat Jaafar, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh, ditemui kira-kira 12 tengah malam.

"Mayatnya ditemui tersangkut pada pukat ikan penduduk kampung di dasar sungai di kawasan beliau dilaporkan tenggelam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Laporan menghina Harimau Muda

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin (kanan) bertanya sesuatu dengan Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengenai buku PGM Tour Yearbook 2013 pada majlis Pelancaran PGM Tour Yearbook 2013 di Kelab Golf Kinrara, Kuala Lumpur semalam. - UTUISAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

PUCHONG - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menganggap laporan Brisbane Times yang mendakwa penyertaan Harimau Muda A dalam Liga Perdana Kebangsaan Queensland bakal membuka pintu kepada penglibatan sindiket pertaruhan bola sepak dari Asia adalah satu penghinaan terhadap skuad remaja itu.

Sambil membidas laporan akhbar Australia itu, Khairy berkata, tidak adil bagi pasukan belia kebangsaan Malaysia dihina sebegitu rupa.

Beliau turut menganggap tulisan Cameron Atfield dan Declan Hill dalam akhbar Australia itu sebagai keterlaluan dan tidak berasas langsung.

"Itu pandangan yang tidak adil sama sekali, keterlaluan dan tidak berasas. Janganlah hina pasukan belia kebangsaan kita sebegini.

"Ini pasukan belia kebangsaan kita. Kita pun terlibat secara persetujuan dengan persatuan bola sepak Australia dan Queensland. Kita hanya mahu memberi pendedahan kepada Harimau Muda dalam liga itu," katanya selepas majlis pelancaran Buku Tahunan Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM) 2013 di Kelab Golf Bukit Kiara di sini semalam.

Tegasnya, penyertaan skuad dikendalikan Datuk Ong Kim Swee dalam liga Queensland tidak bererti akan turut membawa gejala mengatur keputusan perlawanan di sana walaupun terdapat segelintir rakyat Malaysia pernah terlibat dengan sindiket antarabangsa.

"Jangan hanya kerana setitik nila yang pernah terlibat dalam sindiket antarabangsa, lalu kedatangan pasukan ini (turut cuba dikaitkan dengan) gejala mengatur perlawanan di Australia," katanya.

Brisbane Times membayangkan kemungkinan gejala itu berdasarkan pengakuan penjaga gol kelab Singapura, Geylang United, Yazid Yasin bahawa dia pernah didekati pihak sindiket mengatur perlawanan Liga Singapura 2012 agar melepaskan jaringan ketika bertemu Harimau Muda A.

Khairy menambah, gejala mengatur perlawanan bukan hanya berlaku di Malaysia atau Singapura bahkan telah menjadi satu masalah sejagat yang turut melanda negara lain sejak sekian lama.

Sementara itu, katanya, pelancaran Program Pembangunan Bola Sepak Negara yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 Mac ini terpaksa ditangguhkan kerana kesibukan menghadapi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) meminta penangguhan kerana ada (mesyuarat) Majlis Tertinggi UMNO dan kami cuba cari tarikh lain sama ada akhir Mac atau awal April. Program itu masih di landasan, cuma tertunda sedikit," katanya.

Mengenai ura-ura pelantikan Datuk Misbun Sidek sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Khairy berkata: "Saya serahkan kepada BAM kerana percaya mereka akan buat keputusan terbaik.

"Saya tidak pasti sama ada Misbun sendiri berminat dengan jawatan tersebut tetapi dia seorang jurulatih yang hebat dan terbukti telah melahirkan ramai pemain di peringkat antarabangsa.

"Yang penting mestilah pilih (orang) yang sesuai, ada pengalaman dan pengetahuan yang bukan hanya menjadi seorang jurulatih tetapi menyelaras serta melihat keseluruhan program pembangunan pemain."

Khairy menambah, beliau juga akan menemui Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bagi membincangkan perkembangan semasa sukan itu pada minggu hadapan sekembalinya dari United Kingdom.

Harimau Muda A tetap sertai NPL

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Muda A akan tetap beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland bulan depan meskipun sebuah akhbar Australia mendakwa penyertaan pasukan itu akan membuka pintu kepada gejala rasuah dan mengatur perlawanan dengan penglibatan sindiket pertaruhan dari Asia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menyifatkan tuduhan yang dikeluarkan akhabar Brisbane Times itu lebih menjurus kepada persepsi media semata-mata dan tidak mewakili pandangan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA).

"Saya menafikan tuduhan liar yang dilakukan ini kerana lebih kepada persepsi media sahaja. Apa yang penting sekarang ini pasukan Harimau Muda A ke sana untuk mencari pengalaman.

"Tiada apa yang perlu kita risau dan saya juga sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada FFA berhubung perkara yang dibangkitkan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, pakar antarabangsa terhadap gejala mengatur perlawanan, Declan Hill, yang merupakan penulis buku The Fix and The Insiders Guide to Match Fixing mendakwa di dalam akhbar itu, penyertaan Harimau Muda A dilihat akan membuka pintu kepada gejala tidak sihat itu.

Menurut Hill, ini berdasarkan kepada kemungkinan Harimau Muda boleh meraih mata daripada perlawanan liga tetapi tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan akhir, mungkin memberi risiko akan kehadiran sindiket untuk cuba mempengaruhi keputusan perlawanan.

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Cameron Atfield di dalam akhbar berkenaan, kemungkinan itu tetap ada berdasarkan pengakuan penjaga gol Geylang United dalam saingan Liga Singapura 2012, Yazid Yasin yang pernah didekati oleh pihak sindiket agar melepaskan gol ketika bertemu Harimau Muda A.

Sementara itu, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee berkata, pihaknya tidak begitu risau dengan perkara itu kerana pasukan itu memiliki matlamat yang jelas untuk mencari pengalaman.

Bagaimanapun katanya, mesej yang disampaikan itu merupakan peringatan kepada pegawai dan para pemain agar mereka tidak terlibat dengan gejala itu kerana mereka juga tahu kesan yang bakal dihadapi.

"Kami tidak perlu ambil kisah sangat tentang tuduhan itu kerana itu merupakan pendapat penulis dan tidak mewakili pandangan FFA," katanya.

Harimau Muda akan berangkat ke Australia pada 28 Februari ini tanpa kehadiran Kim Swee yang terlibat dengan pasukan Harimau Malaya bagi menghadapi Yemen dalam kelayakan Piala Asia 2015.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Sebutan semula kes cerai Nurul Izzah 11 Mac

Posted: 17 Feb 2014 07:03 PM PST

KUALA LUMPUR 18 Feb - Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes cerai secara baik Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim untuk membolehkan kedua-dua pihak berbincang bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik. - UTUSAN ONLINE

Pemandu teksi bawa suspek bunuh dipenjara 14 tahun

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Pemandu teksi yang membawa suspek kes tembak pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank), Hussain Ahmad Najadi meninggalkan tempat kejadian dihukum penjara 14 tahun dan sebatan enam kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru hidup, tahun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Chew Siang Chee, 46, atas dua pertuduhan yang dihadapinya, berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Ogos 2013.

Tertuduh disabitkan atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol Walther Model PPK/S Cal.9 mm Kurz/380 ACP bersama satu kelopak peluru Walther Cal.9 mm Kurz yang menyalahi undang-undang.

Dia didakwa memiliki senjata itu di B-15-12 Kondominium Desa Cindaimas Jalan Sekutu Persimpangan Jalan Kuchai Lama, Brickfields di sini pada pukul 5.45 petang, 3 Ogos tahun lalu.

Siang Chee juga didapati bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu memiliki empat butir peluru hidup jenis 9mm (short) (S&B 9mm) tanpa lesen pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan kelopak peluru, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan enam kali terhadap tertuduh.

Sementara pertuduhan memiliki peluru hidup, dia dihukum penjara empat tahun. Kedua-dua hukuman diperintah berjalan berasingan.

Azwarnida memutuskan demikian terhadap Siang Chee selepas mendapati keterangan pembelaannya gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata, pembelaan tertuduh adalah difikirkan selepas kejadian dan hanya merupakan penafian semata-mata.

Selain itu, katanya, Sarjan Chiam Swee Guan, 49, Inspektor Looi Ah Meng, 45, dan Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan (ASP), Tonny Lunggan, 35, merupakan saksi-saksi yang boleh dipercayai dan tiada sebab untuk pegawai-pegawai polis itu mereka-reka keterangan.

"Pada masa yang sama, keterangan saksi-saksi itu adalah konsisten dan saling sokong-menyokong," katanya.

Azwarnida berkata, mahkamah juga mempercayai orang lain tidak mempunyai akses untuk membuka peti surat yang menyimpan pistol dan peluru selain tertuduh meskipun peti surat itu terletak di tempat awam.

Pembelaan tertuduh pula hanya berbentuk spekulasi kononnya pistol dan peluru tersebut diletakkan di dalam peti surat oleh seorang lelaki yang bernama Ah Kwan, yang merupakan suspek utama dalam pembunuhan Hussain.

Menurut Azwarnida lagi, mahkamah memutuskan hukuman itu selepas mengambil-kira kes-kes pemilikan senjata api yang berleluasa sejak kebelakangan ini dan sekiranya senjata itu jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, boleh mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam, R. Ramesh yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana mempunyai empat anak berusia antara dua dan 11 tahun, selain isteri tertuduh tidak bekerja.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat bagi kedua-dua pertuduhan itu dan berjalan berasingan.

"Tertuduh tidak seharusnya diberi diskaun dalam menjatuhkan hukuman kerana perbicaraan penuh telah berjalan dan sekiranya tertuduh menyesal akan perbuatannya dia sepatutnya mengaku bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Bagi pertuduhan memiliki pistol bersama satu kelopak peluru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali.

Sementara bagi pertuduhan memiliki peluru hidup, Siang Chee didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pada 3 Oktober tahun lalu, Ah Kwan atau Koong Swee Kwan, 45, yang bekerja sebagai penarik kereta didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Hussain, 75, dan cuba membunuh isteri mangsa, Cheong Mei Kuan, 50, sehingga menyebabkan kecederaan kepada wanita terbabit.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta di Tokong Cina Kuan Yin, No. 4, Lorong Ceylon, Dang Wangi antara pukul 1.30 dan 2 petang, 29 Julai lalu.

Kes terhadap Swee Kwan akan disebut buat pertama kali di Mahkamah Tinggi pada Rabu ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Elak pembakaran terbuka

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA LIPIS 17 Feb. - Para petani, pemilik ladang serta kilang di negeri ini diminta mengelakkan pembakaran terbuka berikutan cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan sehingga hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, kecuaian berkenaan boleh menyumbang kemerosotan kualiti udara dan seterusnya menyebabkan keadaan jerebu.

"Dalam keadaan cuaca panas ketika ini, penduduk dan pengusaha perlu mengambil langkah berjaga-jaga iaitu tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka.

"Ini termasuk membuang puntung rokok di kawasan yang mudah terbakar, membakar sampah sarap, membuat unggun api semasa memancing, berburu atau kegiatan lain," katanya kepada pemberita selepas meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dan pemberian angpau kepada 112 warga emas di Kampung Baharu Jerkoh, Benta dekat sini kelmarin.

Menurut beliau, pemilik ladang, kawasan pertanian serta tapak pelupusan sampah juga dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan, malahan mengutamakan tugas pengawasan di lokasi berkenaan bagi mengelakkan pembakaran terbuka.

"Faktor cuaca kering dan berangin boleh menyebabkan pembakaran kecil merebak ke kawasan lain, manakala api marak lebih besar boleh mengancam nyawa dan kemusnahan harta benda," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memantau kegiatan pengusaha pertanian di tempat masing-masing agar tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka.

Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, walaupun ada terma penguatkuasaan peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS), tetapi kerajaan negeri mengambil pendekatan mendidik penduduk agar mengelakkan kegiatan berkenaan sekali gus memahami kepentingan kualiti udara.

Tambahnya, larangan itu juga membabitkan pembakaran tandan sawit di ladang dan berdekatan jalan raya di Felda untuk mengelakkan ketidakselesaan pemandu malahan memberi impak komplikasi kesihatan dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak.

Majlis Belia Negeri Pahang jelajah seluruh negeri jelaskan GST

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Khairul Amin Osman (depan, empat dari kanan) bersama sebahagian peserta yang menyertai program Penerangan GST di Kuantan, kelmarin. - utusan/ AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 17 Feb. - Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) akan menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini bagi membantu kerajaan menjelaskan mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bermula 1 April 2015.

Presidennya, Khairul Amin Osman berkata, jelajah itu akan bermula awal Mac ini dan dijangka selesai pada Jun.

"Program jelajah ini bertujuan memberikan pemahaman khususnya kepada golongan belia di seluruh negeri ini mengenai GST dan adakah pelaksanaannya boleh membebankan rakyat di negara ini.

"Kita juga mahu golongan belia di negeri ini mendapat maklumat yang betul mengenai GST dan tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu pelaksanaan GST ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerangan GST kepada kira-kira 200 peserta melibatkan golongan belia dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) peringkat negeri Pahang di sini semalam.

Dalam pembentangan Bajet 2014 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula April 2015.

Pelaksanaan GST itu menggantikan dua cukai sedia ada iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kadar keseluruhan 16 peratus.

Khairul Amin berkata, pada siri jelajah di 11 daerah itu, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya 100 penyertaan belia di setiap daerah.

Mengenai langkah itu, katanya, MBNP berharap dapat mewujudkan kira-kira 1,100 belia yang memahami mengenai GST yang seterusnya akan memainkan peranan untuk menjelaskannya kepada rakyat di negeri ini.

"Pihak kerajaan sudah pun mula memberi penerangan mengenai GST ini dan MBNP akan membantu pihak kerajaan bagi memberikan penjelasan khususnya kepada golongan belia di negeri ini," katanya.

Pendidikan: Muip salur RM8j setahun

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

MARAN 17 Feb. - Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan RM8 juta setahun bagi bantuan dan sumbangan pendidikan kepada rakyat yang memerlukan di negeri itu.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, peruntukan pendidikan itu disalurkan bagi membantu golongan anak-anak asnaf menerusi dermasiswa dan bantuan lain.

Jelasnya, Muip sangat mementingkan anak-anak Pahang mendapat pendidikan yang sempurna sekali gus memastikan mereka tidak ketinggalan dan mampu bersaing dalam pendidikan global.

''Muip sentiasa bersama agensi lain seperti Yayasan Pahang dalam membantu rakyat memperoleh dana berpatutan bagi melanjutkan pengajian yang lebih tinggi di dalam dan di luar negara,'' katanya.

Wan Abdul Wahid berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Maran di Masjid As-Syakirin di sini kelmarin.

Beliau seterusnya mengingatkan semua golongan yang berkemampuan termasuk warga Felda membayar zakat kepada Muip supaya dapat menambah kutipan zakat membantu lebih ramai asnaf.

Tegasnya, sudah menjadi tanggungjawab umat Islam yang layak untuk membayar zakat kerana perkara itu adalah tuntutan dalam Islam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, umat Islam perlu membuktikan kekuatan ukhuwah dalam kalangan masyarakat supaya dapat menjadi benteng penghalang kepada usaha pihak tertentu untuk memecah-belahkan umat.

''Usaha pihak tertentu untuk memperlekehkan Islam dan penganutnya pada tahap sangat membimbangkan berdasarkan kepada keberanian mereka melakukan provokasi melampau terhadap Islam," katanya.

Wan Abdul Wahid mengajak umat Islam bersatu padu menangani kesucian Islam daripada terus diperkotak-katikkan pihak bukan Islam seperti isu kalimah Allah dan sebagainya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Siling auditorium runtuh, 3 pelajar terbunuh

Posted: 17 Feb 2014 09:22 AM PST

SEOUL 17 Feb. Sekurang-kurangnya tiga pelajar sebuah kolej di sini terbunuh manakala lebih 50 yang lain dipercayai terperangkap selepas bumbung sebuah auditorium runtuh di bandar Gyeongju, selatan negara ini, semalam.

Pasukan keselamatan bagaimanapun tidak mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang terkorban, tetapi pasukan bomba memberitahu AFP berpuluh-puluh mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan berkenaan.

Runtuhan tersebut berlaku disebabkan oleh salji tebal yang melitupi siling auditorium tersebut. - AFP

Penyelam warga Jepun diselamatkan, 2 lagi masih hilang

Posted: 17 Feb 2014 09:18 AM PST

JAKARTA 18 Feb. - Sekurang-kurangnya lima daripada tujuh orang penyelam wanita dari Jepun yang dilaporkan hilang minggu lalu di Pulau Bali ditemui selamat, semalam.

Kelima-lima penyelam itu ditemui oleh nelayan tempatan ketika mereka berpaut di terumbu karang berhampiran Pulau Nusa Peninda, kata jurucakap Agensi Pencarian dan Penyelamat, Gede Surya.

Seorang daripada mereka diselamatkan dengan menggunakan helikopter manakala empat orang lagi diselamatkan dengan bot. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perkasa kebebasan perangi rasuah

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

MESKIPUN pengiktirafan 23 kejayaan dan amalan baik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) satu pencapaian "luar biasa" dari segi pematuhan Konvensyen PBB Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC), Penasihat Antirasuah Rantau Asia UNODC, Shervin Majlessi berpendapat bahawa masih ada ruang untuk "dibaiki dan boleh dibaiki."

"Kami mengalu-alukan komen atau syor bagi mengadakan penambahbaikan susulan ke atas dasar, aspek perundangan dan pengukuran yang dirasakan perlu bagi Malaysia laksanakan dalam usaha memerangi rasuah dan jenayah ekonomi yang lain," kata beliau ketika ditemui wartawan Malaysia pada majlis pelancaran laporan penilaian di ibu negara 7 Februari lalu.

Majlessi juga menarik perhatian bahawa penilaian ke atas Malaysia mendapati ada beberapa undang-undang rasuah Malaysia boleh "diperhalusi dan diperluaskan."

Pasukan Penilai mencadangkan supaya Malaysia mempertimbangkan sejumlah langkah bagi mengatasi cabaran-cabaran dalam mematuhi Bab III dan Bab IV UNCAC.

Selain syor memperkukuhkan peruntukan berkaitan "menghalang keadilan", kata beliau, pihaknya juga mendapati ada risiko persepsi kurangnya kebebasan memandangkan kini Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik atas syor Perdana Menteri dan ia boleh dielakkan. Konvensyen UNCAC dan UNODC (Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah) mahu pelantikan dan penggantian dilakukan menerusi Perlembagaan, sebagaimana disaksikan dalam pelantikan beberapa penyandang jawatan lain yang penting, bagi menjamin kebebasan total SPRM.

"Tetapi kami gembira untuk mendengar perkara ini sedang diambil tindakan," kata beliau yang merujuk kepada langkah yang sedang diambil oleh kerajaan - meminda peruntukan undang-undang bagi mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah. Kerajaan telah pun mengumumkan komitmen ke arah ini di akhir 2012 dan awal 2013.

Dalam laporan penilaian yang dikeluarkan secara formal 7 Februari lalu, pasukan penilai juga memuji komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah termasuk peringkat tinggi susulan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Malaysia juga menerima syor dan saranan, antara lain memperkasakan Akta SPRM.

Sementara kerajaan dan SPRM sudah mengambil beberapa syor seperti memasukkan peruntukan liabiliti korporat dalam Akta SPRM dan soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang dilantik sebagai anggota Kabinet Persekutuan pada Mei 2013 berkata, beliau akan membawa kepada jemaah menteri syor dan saranan lain yang perlu diambil tindakan sewajarnya.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa saya dan pasukan saya akan melakukan yang terbaik untuk membawa kesemua syor yang disenaraikan dalam laporan penilaian ini ke Kabinet Malaysia untuk tindakan susulan," kata beliau yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).

UNCAC adalah konvensyen antarabangsa di bawah UNODC yang mewajibkan negara-negara ahli melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah secara meluas dan terperinci.

Low yang menjaga portfolio berkaitan integriti, ketelusan, tadbir urus dan juga hak asasi manusia juga mengakui bahawa terdapat beberapa perkara di mana laporan penilaian itu mendapati masih terdapat kekurangan yang memerlukan penambahbaikan.

"Antara cadangan utama laporan yang sedang kami usahakan adalah untuk menubuhkan suruhanjaya perkhidmatan berasingan agar SPRM boleh mengambil bukan sahaja petugas dari perkhidmatan awam, tetapi juga pakar dari mana-mana sektor sekalipun," kata beliau. SPRM juga sudah mula menerokai pendekatan pengambilan tenaga pakar luar untuk mengukuhkan operasi SPRM.

Low menambah bahawa kerajaan juga mahu kedudukan Ketua Pesuruhjaya SPRM setaraf dengan Ketua Hakim, di mana beliau tidak dapat dilucutkan dari jawatannya kecuali melalui satu tribunal khas.

Jelasnya: "Ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan... saya rasa ini adalah sesuatu yang melintasi jurang politik, dan ia baik untuk SPRM dan untuk negara."

Antara cadangan lain yang sedang dipertimbangkan adalah pindaan Akta SPRM, iaitu menjadikan hidup (atau memiliki kekayaan) di luar kemampuan seseorang sebagai satu kesalahan dan menjadikan syarikat dan pengarah syarikat bertanggungjawab ke atas perbuatan rasuah pekerja mereka.

Mengulas perkembangan yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyifatkan pengiktirafan 23 perkara secara jelas menunjukkan bahawa SPRM secara umumnya mempunyai dasar dan peruntukan undang-undang yang sesuai dalam menangani perbuatan rasuah dan telah melaksanakan peranannya secara berkesan untuk menjaga kepentingan umum.

Hasil laporan itu juga menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara yang telah mematuhi peruntukan-peruntukan mengenai jenayah rasuah dan penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama antarabangsa di bawah UNCAC dan mempunyai kesungguhan dalam membanteras rasuah di dalam dan luar negara, tambah beliau.

Menurut Abu Zahar, JKMR, yang dianggotai oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang di Parlimen, akan membincangkan dengan lebih lanjut perkara-perkara serta cadangan dan pandangan yang telah dikemukakan untuk dibawa ke perhatian Kerajaan Malaysia.

Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, JKMR ingin memastikan agar segala perkara yang disyorkan dalam laporan penilaian dapat diperhalusi sepenuhnya sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Ini adalah penting untuk memastikan segala perancangan sedia ada akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien," kata beliau lagi. Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2012 juga ada menggariskan beberapa pindaan bagi memperkasakan SPRM dan Akta SPRM. Laporan itu telah dibawa ke perhatian Perdana Menteri dan Parlimen.

Panel Penilaian Operasi (PPO) yang diwujudkan sejak pembentukan SPRM pada tahun 2009 juga mengalu-alukan pengiktirafan UNODC. PPO dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah merupakan dua daripada lima badan bebas yang dibentuk bagi memantau perjalanan SPRM.

Menurut Pengerusi PPO, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil, perkembangan ini menunjukkan kewujudan badan-badan bebas ini khususnya PPO sudah diterima dan dilihat sebagai positif oleh badan dunia seperti agensi di bawah PBB dan masyarakat antarabangsa.

Kewujudan PPO adalah selaras dengan kehendak dan harapan rakyat Malaysia yang mahukan SPRM bergerak dengan bebas, telus dan profesionalisme.

PPO yakin pengiktirafan ini akan memberi suntikan semangat untuk terus bertindak sebagai mekanisme check and balance dalam mempertahankan kebebasan SPRM menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM.

Bagi memperkasakan PPO, kata beliau, satu lagi terma rujukan PPO telah ditambah baru-baru ini, menjadikan 10 kesemuanya, bagi menjamin proses siasatan dijalankan dengan bebas, telus dan profesionalisme. Terma terbaru ini membolehkan setiap aduan yang dibuat kepada SPRM disiasat.

"Jika mana-mana aduan tidak disiasat, status itu akan dikemukakan kepada PPO. PPO akan ada peluang untuk mendapatkan penjelasan sebab aduan yang diterima itu tidak disiasat.

"Ini sudah pasti akan membantu menjamin ketelusan dan profesionalisme tindakan SPRM, dan juga memberi keadilan kepada mereka yang membuat aduan," kata beliau.

Menjelaskan tahap kebebasan PPO, beliau yang juga bekas Ketua Audit Negara memberitahu, sejak 2009 hingga 2013, sebanyak 39 kertas siasatan yang diputuskan tiada kes oleh Timbalan Pendakwa Raya telah disemak semula oleh PPO. Daripada 39 kertas siasatan itu, sebanyak lapan telah dibawa ke mahkamah untuk dikenakan pertuduhan. Perkembangan ini juga menunjukkan setiap kes yang disiasat dikendalikan dengan bebas dan telus.

Sementara fasa kedua, penilaian membabitkan Bab II dan V akan dibuat pada tahun depan, Majlessi menekankan bahawa "apa yang penting sekarang ialah memastikan hasil penilaian dan syor dikemukakan disusuli dengan tindakan-tindakan konkrit, dan kami gembira beberapa langkah sudah mula diambil."

DR. G. MANIMARAN kini berkhidmat sebagai tenaga pakar komunikasi strategik SPRM

Realiti perjuangan politik Melayu

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

POLITIK dan kerajaan tidak boleh dipisahkan. Sekian lama gelombang politik di Malaysia diwarnai hitam putih perbalahan politik Melayu. Realitinya wujud perbezaan persepsi dan perspektif Melayu dalam banyak perkara. Salah satu isu yang besar adalah tanggapan tentang Islam dan nasionalisme.

Di tanah air kita, makna kebangsaan yang merujuk kepada kewatanan dan kenegaraan itu dilihat bagaikan terpisah daripada Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Falsafah nasionalisme dilihat dalam erti kebangsaan yang sempit bukannya kenegaraan atau kewatanan dan peranan Islam dalam pengukuhannya.

Politik Melayu di Malaysia adalah antara UMNO dengan Pas. Sekarang muncul Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau parti-parti lain yang tidak semestinya seratus peratus Melayu. Ada campuran. Kalau ditanyakan benarkah Parti Islam Se-Malaysia (Pas) memperjuangkan Islam? Ya, betul. Betulkah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) membangun dan menegakkan Islam? Ya, betul. Jadi kenapakah kedua-dua parti umat Islam pimpinan Melayu yang seiman dan sedarah ini tidak boleh duduk semeja berunding mengenai persoalan hal ehwal kemajuan Islam?

Orang Melayu perlu menilai, gunakan rasionalisme dan fikiran terbuka. Manakah parti yang berjaya menegak dan mempertahankan Islam di Malaysia? Parti yang mana mengotakan kata? Yang mana pula lebih banyak omongan kosong? Kadang-kadang orang lebih terpukau dengan lidah pemimpin yang pidatonya berapi-api.

Benar, Melayu mudah lupa dan tidak mahu mengingati sejarah bangsa mereka sendiri. Benar, rasionalisme dan intelektualisme Melayu itu kian hilang. Apabila bersekongkol dengan parti politik kaum lain, Melayu tidak belajar akan sikap dan tabiat politik orang lain itu. Hatta lebih mempercayai orang lain yang terang-terangan menolak gagasan negara Islam, tidak menerima hudud dan hukum-hakam Islam yang diperjuangkan. Parti ini tetap menagih simpati dan menaruh keyakinan. Cita-cita bersama pakatan pembangkang asalkan dapat menumbangkan kerajaan.

Bukti-bukti daripada senario mutakhir menunjukkan realiti politik Melayu sudah dinodai kebencian sesama sendiri. Pada PRU-12 (2008) dan PRU-13 (2013), undi Melayu kepada pembangkang kian membesar. Melayu merelakan diri menyebelahi pembangkang yang didukung parti perkauman dan anti-Islam. Hal begitu terjadi disebabkan nafsu kerakusan kuasa kian merasuk. Cetusan sikap berpautkan keganasan seperti cara Arab Springs atau seperti terjadi di beberapa negara lain mula dijadikan anutan baharu.

Melayu bukan tidak tahu, cara itu bukannya cara Melayu, jauh daripada prinsip demokrasi. Ada rancangan yang boleh menyebabkan huru-hara terjadi, keselamatan tidak terjamin. Siapakah yang mengancam keamanan dan keselamatan negara? Apa tidaknya, demonstrasi jalanan, kempen-kempen fitnah, hasutan, lontaran idea jahat, hentaman dan kenyataan bohong di laman sosial tidak pun pernah terhenti. Apa jua dasar dan program kerajaan diperlekehkan.

Apakah mungkin kuman psikologi penolakan sedang membiak di jiwa Melayu. Kalau Melayu tidak mahu atau gagal bermuhasabah, kembali ke pangkal jalan, maka kuman itu boleh merebak menjadi barah kepada semangat pemberontakan. Sikap dan tabiat psikologi penolakan itu amat dirasakan semasa PRU-13. Di Kelantan beberapa hari sebelum hari pembuangan undi 5 Mei 2013, tersebar satu sakla atau pekeliling yang terang-terang menolak, menuduh, memfitnah. Sakla itu membuat segala macam tuduhan kepada kepimpinan, kerajaan dan ulama UMNO. Apakah itu gambaran realiti baharu politik bangsa Melayu.

Sakla itu lebih menuding jari bahawa faktor-faktor yang menjadikan seseorang Muslim itu sesat, antaranya terlalu patuh kepada pemimpin yang menolak ajaran Rasulullah SAW; kemegahan, sombong, takbur, berlagak bijak dalam agama; merampas hak rakyat, menolak kebenaran memilih jalan kebatilan; mereka cipta, membuat fitnah tanpa rasa bersalah; dan beranggapan taat kepada agama tidak akan membawa kemajuan. Kesemua tohmahan itu ditujukan kepada UMNO. Sakla itu juga menyebut bahawa ulama UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO telah membawa orang Melayu dan umat Islam ke jalan kesesatan dunia dan akhirat.

Apakah penulis sakla itu tidak pernah membuka mata melihat daya usaha kerajaan dalam membangun dan menegakkan syiar Islam? Kalau kalimah Allah pun boleh dibiarkan mereka, maka mereka tidak akan mampu lagi menghormati usaha-usaha pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), penyelarasan hukum, peranan Mahkamah Syariah, pembinaan masjid-masjid, pengurusan Baitulmal, program Islam di media elektronik, sistem perbankan Islam, ar-Rahn dan sebagainya yang dikagumi kejayaannya oleh negara-negara Islam yang lain.

Kaedah kempen parti Melayu pembangkang melalui pelbagai strategi lain oleh mereka agak menggerunkan. Strategi kebencian sesama sendiri diatur rapi. Itulah realiti politik Melayu. Orang Melayu bukan tidak tahu akan adanya gerakan politik yang terus merasuk sifat-sifat perkauman, anti Islam dan anti kepemimpinan Melayu. Mereka bercakap lain, berbuat lain. Mereka menuntut hak kebebasan asasi di luar batas fitrah kejadian manusia. Ada janji berbeza apabila berdepan dengan satu-satu kaum yang berlainan. Apakah mereka yang menabur fitnah itu sedar bahawa mereka sedang menepuk air di dulang sendiri atau mengata dulang paku serpih.

Realiti politik Melayu hari ini ialah mereka sudah berpecah tiga. Perpecahan Melayu itu menjadikan mereka bersifat minoriti dan sangat merugikan Malaysia. Tanda-tanda Melayu kehilangan kuasa sudah terjadi di bandar-bandar yang selama ini dibangunkan kerajaan, lengkap dengan infrastruktur, kemudahan kesihatan, pendidikan, kesejahteraan sosial dan gaya hidup moden.

Aura kerajaan yang memuncak sebelum PRU-13 dengan sambutan luar biasa rakyat dan orang Melayu kepada pucuk pimpinan sendiri bagaikan gurauan yang tidak menentukan hala tuju pengukuhan kuasa Melayu. Apakah maknanya realiti tanpa perubahan baharu sedemikian itu?

Melayu juga telah lupa akan pesan nenek moyang mereka sendiri, jangan jadi Pak Kaduk atau Lebai Malang. Rupa-rupanya strategi udang di sebalik batu ciptaan pembangkang berjaya menyalakan api semangat orang Melayu agar benci-membenci sesama bangsa sendiri, bangga mengusung slogan mari tumbangkan BN dan rampas Putrajaya. Apakah Melayu sendiri mahu biarkan Melayu dan bumiputera berpecah belah?

Apakah Melayu mahu melihat Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Ya, Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi belum tentu Melayu tidak akan hilang kuasa.

Datuk A Aziz Deraman ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan, budayawan, bekas Prof Adjung

UUM dan AJK GAPENA.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Inovasi mesin sate

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

Penggunaan tenaga kerja yang ramai serta kos yang tinggi kini tidak lagi relevan. Penyelesaian terbaik adalah menggunakan mesin.

Sate contohnya, adalah makanan kegemaran masyarakat di negara ini dan berpotensi untuk dieksport serta dibangunkan menerusi sistem francais.

Namun begitu, proses penghasilan yang memakan masa serta remeh menyukarkan usaha menghasilkannya dalam kuantiti yang banyak dalam masa singkat.

Justeru, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi penyelidiknya berjaya menghasilkan mesin khas untuk mengatasi masalah penghasilan sate secara komersial.

Menurut Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi, MARDI, Dr. Azman Hamzah, sate merupakan makanan tradisional yang berpotensi untuk dikomersialkan secara meluas sehingga ke luar negara.

Jelasnya, bagi menjayakan hasrat tersebut, sistem pemprosesan sate perlu dipertingkatkan dan dipercepatkan dengan kaedah mekanisasi bagi memastikan keselamatan serta pengawalan mutu produk yang lebih baik.

Dengan menggunakan kaedah mesin dalam pemprosesan sate, MARDI berjaya membangunkan teknologi lengkap memproses, bermula daripada proses mencucuk, memanggang serta membungkus," katanya ketika ditemui di ibu pejabat MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Tambah Dr. Azman, sate merupakan makanan yang digemari oleh rakyat Malaysia tetapi tetapi usaha mempromosinya tidak selari dengan kadar pengeluaran.

Jika masih bergantung kepada kaedah tradisional iaitu mencucuk secara manual pastinya industri ini tidak akan ke mana," katanya.

Oleh itu, Dr. Azman mengorak langkah menghasilkan mesin mencucuk sate automatik yang lebih berkesan bagi memudahkan proses penghasilan produk makanan tersebut.

Proses mencucuk sate secara manual merupakan tugas yang rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi.

Secara puratanya seorang pekerja yang mahir mampu mencucuk sate pada kadar 1,000 cucuk sehari (lapan jam bekerja)," katanya.

Dalam proses mencucuk sate, pencemaran mungkin boleh berlaku kerana daging yang digunakan disentuh secara terus oleh manusia.

Bagi mengelak kejadian seumpama itu, sebuah mesin pencucuk sate telah dibangunkan yang mana mampu menghasilkan hampir 1,500 cucuk selama sejam.

Selain dapat menghasilkan sate yang lebih berkualiti, kos pekerja juga dapat dikurangkan kerana mesin yang dicipta hanya dikendalikan oleh dua orang tenaga kerja.

Mesin itu juga mampu menghasilkan 10,000 cucuk sate sehari dan amat sesuai untuk digunakan oleh pengusaha sate yang menghasilkan sate melebihi jumlah tersebut.

Bagaimanapun, bagi pengusaha kecil, MARDI turut menghasilkan mesin pencucuk sate yang lebih kecil yang dikendalikan oleh seorang operator dan mampu menghasilkan sate sebanyak 3,000 cucuk sehari.

Menggunakan sistem pneumatik dan elektrik, mesin tersebut digerakkan menerusi kuasa udara mampat daripada pemampat udara berkuasa 2.5 kuasa kuda (hp).

Mesin tersebut tidak menggunakan tenaga elektrik secara terus menjadikannya selamat untuk dikendalikan.

Berbekalkan harga mampu milik iaitu sekitar RM15,000, mesin tersebut hanya memerlukan seorang operator sahaja dan saiz sate yang dicucuk boleh ditentukan oleh pengusaha sendiri.

Sate bersaiz 15 hingga 30 gram secucuk boleh dihasilkan menggunakan mesin tersebut.

Dibina menggunakan keluli tahan karat dan acuan sate dibina daripada teflon (bahan gred makanan) menjadikan kualiti produk makanan tersebut terjamin dan tidak tercemar.

Pembangunan mesin seumpama itu dilihat dapat membantu melahirkan lebih ramai usahawan makanan.

Kultur alga mikro

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD

Dr. Ewon Ebin (kiri) bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corp. Sdn. Bhd. Datuk Robin Tan Yeong Chin dan Syed Isa Syed Alwi (kanan) menunjukkan produk yang dihasilkan daripada alga mikro yang dikenali sebagai Haematococcus pluvalis.

Penggunaan alga mikro (microalgae) yang dikenali sebagai Haematococcus pluvalis sebagai bahan utama untuk menghasilkan produk kesihatan dan pelbagai lagi produk telah lama diketahui umum terutamanya di peringkat antarabangsa.

Antara produk akhir yang boleh dihasilkan daripada alga tersebut adalah Astaxanthin. yang digunakan sebagai makanan tambahan (dietry supplement) yang menawarkan pelbagai kelebihan seperti agen antioksidan.

Pasaran bagi produk alga amat besar berikutan potensi serta permintaan yang tinggi di peringkat antarabangsa, justeru sebuah syarikat, Algaetech International Sdn. Bhd. yang merupakan usahasama antara Berjaya Group Berhad dan LM Greentech Sdn. Bhd. telah melabur sejumlah RM27 juta untuk membina infrastruktur bagi menghasilkan Astaxanthin.

Menurut pengasas Algaetech International Sdn. Bhd., Datuk Syed Isa Syed Alwi, projek yang dilaksanakan di Technology Park Malaysia (TPM) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur tersebut bakal menjadi projek penghasilan alga mikro terbesar di Asia Tenggara.

Apabila disiapkan kelak, hampir 120,000 kaki persegi kawasan tertutup bagi pengkulturan dan kilang pemrosesan bio bakal digunakan bagi mengeluarkan 3.5 tan bahan sampingan mikro alga Haematococcus pluvalis.

Keupayaan tersebut sekali gus menjadikan kawasan ini (TPM) sebagai pusat pengeluaran bahan sampingan mikro alga terbesar di rantau ini," katanya ketika pada majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Ewon Ebin di ibu negara baru-baru ini.

Algaetech International Sdn. Bhd. telah lama terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) alga mikro, produksi, dan pengeluaran produk bernilai tinggi berasaskan alga malah syarikat amat dikenali berikutan menjadi pelopor dalam industri tersebut sejak tahun 2004 lagi.

Projek ini akan menjadi pelopor bagi Malaysia untuk dikenali di peringkat antarabangsa sebagai salah satu pemain utama industri alga.

Malah kami sedang melihat potensi untuk mengembangkan perniagaan ke Brunei dan negara-negara sekitar pada masa terdekat ini.

Bersama sokongan kerajaan dan penyertaan syarikat gergasi seperti Berjaya Corporation Berhad, kami sekarang sedang berada di kedudukan yang strategik bagi menjadikan industri alga sebagai realiti di Malaysia," katanya.

Penyelidikan secara serius dilaksanakan sejak 2006 yang mana fokus penyelidikan syarikat tersebut adalah untuk menghasilkan strain khas yang dikenali sebagai Haematococcus pluvalis bagi menghasilkan bahan antioksidan yang dikenali sebagai Astaxanthin.

Kajian yang dijalankan di seluruh dunia mendapati bahan yang dihasilkan daripada alga tersebut iaitu Carotenoids Astaxanthin memiliki kelebihan 6,000 kali ganda lebih baik daripada vitamin C, dipercayai mampu mengurangkan risiko kanser, meningkatkan ketahanan serta pemulihan otot serta mengandungi bahan anti penuaan.

Menyedari potensi alga begitu meluas di seluruh dunia, syarikat tersebut bakal memasarkan Astaxanthin sebagai makanan tambahan di dalam bentuk pil yang dikenali sebagai Astaxanthin Premia - Ex.

Proese membiak alga mikro untuk menghasilkan bahan tersebut memerlukan pemerhatian khusus dan kawalan yang ketat.

Oleh yang demikian, pihak syarikat tersebut turut membangunkan teknologinya yang tersendiri dikenali sebagai AIMsys (Algae Intergrated Managment sehingga akhir.

AIMsys menggunakan solusi loT (Internet of Thing) MIMOS yang dikenali sebagai Mi-WARIS (MIMOS-Wireless Atmosphere for Intergrated Systems) menerusi penggunaan beberapa penderia yang disambungkan secara wayarles kepada Sistem Solusi Usahawan Agrikultur Pintar MIMOS.

Solusi tersebut membolehkan syarikat memantau proses penghasilan alga dengan lebih berkesan dan teratur.

Sistem tersebut memusatkan kawalan dan pemantauan menerusi sambungan Internet menjadikan segala kawalan di tapak pengkulturan lebih mudah dan berkesan.

Baru-baru ini, Algaetech International Sdn. Bhd. juga turut menerima anugerah Status BioNexus daripada Malaysian Biotechnology Corporation (Biotechcorp).

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Biotechcorp, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal, pembangunan syarikat-syarikat yang dianugerahkan status BioNexus seperti Algaetech International Sdn. Bhd. diharapkan dapat menjadi asas kepada perkembangan industri bioteknologi di peringkat antarabangsa.

Saya sendiri amat berbangga dan berbesar hati melihat syarikat ini (Algaetech Sdn. Bhd.) untuk memulakan projek mereka dan saya yakin projek ini akan menjadi batu loncatan dalam pembangunan industri bioteknologi di negara ini," katanya.

Status BioNexus merupakan anuegrah khas yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang berkelayakan dalam bidang bioteknologi sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Bagi syarikat yang menerima status tersebut, mereka akan menerima keistimewaan dalam percukaian, insentif serta bantuan berupa geran daripada pihak kerajaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha yang dilakukan.

Dalam pada itu, menerusi sokongan daripada pelbagai pihak seperti TPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Algaetech International Sdn. Bhd.diyakini bakal menjadi salah satu pemain utama dalam penghasilan produk berasaskan alga di Malaysia dan juga persada dunia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Sony perkenal telefon bimbit kompak

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

Oleh NOOR DIANA AZIS

Sony Corporation baru-baru ini memperkenalkan variasi lebih kecil dam kompak bagi model Xperia Z1 yang diberi nama Xperia Z1 Compact.

Xperia Z1 Compact ini menampil hampir kesemua ciri-ciri yang ada pada Xperia Z1 asal seperti pemproses Snapdragon 800, kamera 20MP, kalis air dan habuk.

Hanya dengan saiz skrinnya sahaja yang membezakan bagi kedua-duanya dengan Xperia Z1 Compact direka pada saiz 4.3 inci dan resolusi paparan skrin pada 720p dengan 340ppi, berbanding Xperi Z1 yang menggunakan paparan 1080p.

Seperti Z1 juga, model kompak ini mempunyai kamera 20.7 mega piksel dan kuasa bateri 2300mAh.

Dipasarkan bermula Februari, telefon bimbit pintar ini didatangkan dengan pilihan warna iaitu putih, merah jambu, kuning dan hitam.

Sementara itu, Sony turut memperkenalkan model Xperia Z1S dengan paparan 12.7 sentimeter beresolusi 1080 x 1920 piksel.

Saiznya yang lebih besar berbanding Z1 Compact menjadikan beratnya sekitar 162 gram di samping turut menawarkan ciri-ciri kalis air dan habuk.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh pemproses empat teras 2.2 giga herz (GHz) bagi memastikan operasinya berjalan dengan lancar.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat tambahan boleh layari laman web www.sonymobile.com.

Teknologi bunyi daripada LG

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

Susunan NOOR DIANA AZIS

NB5540

LG Electronics (LG) kini tampil dengan beberapa rangkaian peranti baru bagi melengkapi audio hiburan keluarga.

Model LAB540W atau lebih dikenali sebagai SoundPlate merupakan peranti audio nipis terbaharu sekali gus melengkapi kehadiran televisyen paparan skrin rata.

Dengan hanya 39.5 milimeter di atas pangkalannya, peranti bergaya ini boleh diletakkan terus di bawah pelbagai jenis televisyen pintar bersaiz 32 hingga 55 inci bagi meminimumkan ruang.

Model ini turut dilengkapi dengan 4.1 saluran, sistem bunyi 320 watt dan subwufer wayarles di luar bagi memberikan pengalaman bunyi yang menakjubkan.

Selain daripada itu, SoundPlate ini juga boleh dijadikan portal sambungan yang mana menampilkan pemain sinar Blu-ray 3D terbina dalam bersama fungsi televisyen pintar LG sekali gus mengubah prestasi televisyen skrin.

Sistem audio NP8740 pula merupakan rangkaian teknologi jejaring terbaru yang meliputi dua jalur sokongan Wi-Fi bagi memberikan kualiti terbaik penyebaran muzik ke seluruh rumah.

Setiap penutur tanpa wayar bukan sahaja menghasilkan bunyi mengagumkan dengan jelas dan tajam, malah menghubungkan keseluruhan rumah di bawah satu sistem tunggal.

Teknologi rangkaian jejaring juga memudahkan pengguna isi rumah membuat pilihan antara memainkan muzik sama ke seluruh rumah atau yang berlainan melalui setiap penuturnya.

NP8740 juga boleh disambungkan ke sistem audio lain bagi memberikan pengalaman bersepadu dengan output yang lebih besar dan terkawal.

Sistem audio tanpa wayar turut membenarkan koleksi audio digital dicapai tanpa sambungan rangkaian rumah manakala dengan satu aplikasi yang boleh dimuat turun menjadikan telefon bimbit pintar sebagai alat kawalan induk mudah alih.

Dengan kualiti bunyi susunan dual-tweeter dan 192 kHz, sudah pasti NP8740 menawarkan kualiti bunyi mengagumkan seperti di studio.

Bagi bar NB5540 yang disokong oleh sistem 4.1 dan berkuasa 320 watt output pula, pembesar suara ini menghantar audio sekeliling bilik dengan dua konfigurasi di hadapan dan dua lagi menghadap belakang.

Model ini turut turut menampilkan amp Hi-Fi DAC dan Analog Class D bagi memastikan kualiti audio berdefinisi tinggi di samping mengurangkan perincian dan mengeluarkan bunyi semula jadi.

Dengan sokongan HDMI dengan Audio Return Channel (ARC), peranti ini boleh disambungkan ke televisyen dengan satu kabel tunggal menerusi Bluetooth bagi memudahkan pnjurusan audio wayarles dari peranti pintar seperti televisyen dan telefon bimbit.

Sementara itu, menurut Naib Presiden Kanan, Bahagian Audio Visualnya, Byung-Hoon Min skrin televisyen mungkin menarik perhatian ramai orang tetapi peranan sebenar yang mungkin dilupakan dalam hiburan di rumah ialah bunyi.

Di LG, kami memberi tumpuan kepada aspek yang signifikan dalam penyelidikan dan pembangunan televisyen iaitu audio kerana percaya ia memberi makna dan menarik minat pengguna dalam ndustri hiburan di rumah, katanya.

Produk tersebut diperkenalkan kepada umum pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2014 di Las Vegas baru-baru ini.

Bagi mereka yang berminta untuk mengetahui dengan lebih lanjut rangkaian peranti terbaharu daripada LG ini boleh layari laman web www.lg.com/my atau www.facebook.com/LGEMalaysia atau talian 1800-822-822.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Ayu Damit idam peladang jaya

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN

Rezeki dalam dunia seni suara masih ada.

MENJADI seorang artis tidak bererti seseorang itu dijanjikan dengan pendapatan lumayan yang melimpah ruah sehingga mampu menyara hidup hingga ke hari tua.

Maka, tidak hairanlah terdapat segelintir artis yang mengambil inisiatif menambah pendapatan dengan menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Pun begitu, ketika ramai artis memilih perniagaan seperti membuka restoran atau mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan, Ayu Damit, 25, sebaliknya melibatkan diri dalam bidang pertanian dengan menanam kelapa dan nanas.

Juara program realiti One In A Million musim kedua (OIAM2) itu menjelaskan, perusahaan kelapa di ladang berkeluasan hampir empat ekar atau 1.6 hektar di Kuala Kangsar, Perak itu adalah hasil kerja keras suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 27.

Tanaman utama yang diusahakan sebenarnya adalah kelapa di tanah milik keluarga mentua saya.

"Bagaimanapun, baki ruang yang terdapat di antara pokok kelapa dimanfaatkan dengan menanam pokok nanas sebagai tanaman kontan.

Kami memulakan projek ini pada tahun lalu. Buat masa ini, ia belum lagi mendatangkan sebarang hasil kerana buah kelapa mengambil masa tiga tahun untuk matang.

Bagaimanapun, senarai pembeli telah diperolehi dan mereka akan menjalin kerjasama berterusan seandainya hasil tanaman kelapa ini berjaya menghasilkan buah yang bagus dan berkualiti.

"Ini kerana, perusahaan ini mendapat bantuan daripada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan)," katanya ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hits, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tanaman nanas pula, Ayu memberitahu bahawa ia hanya boleh dituai pada Jun ini kerana memerlukan masa kira-kira 14 bulan untuk masak.

Disebabkan projek tersebut, Ayu dan suaminya sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak untuk menguruskannya dan optimis dengan pendirian mereka bahawa bidang pertanian mampu memberi pulangan yang lumayan andai ia dilaksanakan menerusi kaedah yang betul.

Orang tua-tua kata, berbakti kepada tanah akan mendapat pulangan yang berbaloi. Saya berpegang kepada pepatah itu dan berharap usaha kami berjaya," ujar Ayu sambil memberitahu bahawa perniagaan tersebut dijalankan di bawah syarikat miliknya, Ayu Damit Enterprise.

Ambil anak angkat

Berbicara mengenai kehidupan peribadinya, Ayu yang baharu sahaja mengambil seorang anak angkat, Nurqalisha Umaira yang kini berusia tiga bulan menyatakan bahawa keputusan tersebut diambil memandangkan dia tidak mahu hamil dalam masa terdekat.

Katanya, bayi yang diberi nama panggilan Isha itu merupakan anak saudara sebelah suami dan keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana.

Jadi, selepas berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk meringankan beban keluarga Isha dengan mengambilnya sebagai anak angkat," katanya.

Ayu dan suami membuat keputusan tersebut kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada penyanyi Inspirasi Abadi itu kekal fokus dalam membina namanya di persada muzik tempatan.

Menurut Ayu, sebelum ini proses kehamilan, melahir dan membesarkan dua anak kandungnya, Syed Nashrul Haikal, 5, dan Sharifah Alya Adriana, 3, telah membantutkan usahanya untuk melebarkan sayapnya sebagai penyanyi.

Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk tidak hamil dalam masa terdekat. Sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang supaya mempunyai cukup masa membina semula kerjaya nyanyian saya.

Tetapi, dalam masa yang sama, keluarga Isha pula berhadapan masalah ekonomi dan saya beranggapan ini peluang untuk saya menambah bilangan anak tanpa perlu hamil.

"Diharap, dengan kehadiran Isha ke dalam keluarga kami, ia mampu membawa rezeki yang berlipat ganda buat saya serta keluarga Isha sendiri," tambahnya.

Jual rumah untuk bayar hutang

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

PREITY Zinta dikatakan dibebani dengan masalah hutang

ANTARA berita panas dalam dunia hiburan Bollywood kini adalah kononnya pelakon cantik Preity Zinta, 40, ketika ini dibebani hutang yang amat teruk. Dalam memastikan dia mampu membayar kesemua hutangnya itu, khabarnya Preity bakal berpindah keluar dari rumah mewahnya.

Rumah yang terletak di kawasan pilihan di Khar, Mumbai itu akan disewakan kepada mereka yang berminat. Memandangkan ia memang menjadi idaman ramai, tentunya tidak susah untuk pelakon cantik itu mendapatkan penyewa secepat mungkin dengan harga yang lumayan bagi membantu dia menyelesaikan masalah hutang.

Masalah hutang pelakon cantik itu bermula apabila dia memilih untuk menerbitkan sebuah filem dengan kos yang amat besar. Filem pertama terbitannya Ishkq In Paris menjalani penggambaran sepenuhnya di Perancis. Walaupun akhirnya filem itu dapat ditayangkan namun penangguhan filem itu banyak memberi kesan kepada kewangan Preity.

Menjawab soalan sama ada benar dia mempunyai masalah kewangan baru-baru ini, Preity nampaknya hanya ketawa.

Dia mengibaratkan khabar angin tersebut sebagai satu lagi drama dalam kehidupan glamor yang dimiliki dirinya, dia tidak lari daripada menjawab soalan berkenaan dengan cara tersendiri.

Banyak sangat drama dalam laporan tersebut, kononnya saya kini hidup dalam ketakutan kerana dikejar pemiutang.

Saya harap mereka di luar sana perlu mencari skrip drama yang lebih baik. Tiada apa yang berlaku dalam kehidupan saya kini," katanya sambil ketawa.

Pelakon jelita dengan imej berlesung pipit itu memulakan kariernya sebagai pelakon untuk filem Dil Se, hampir berbelas tahun dalam dunia lakonan Preity juga kini dikenali sebagai usahawan terkenal. Masih keliru bagaimana kisah dia kini terjebak dalam masalah hutang timbul, Preity bagaimanapun sempat menegaskan rumah mewahnya itu tidak akan disewakan.

Memang saya tiada niat untuk menyewakan rumah itu. Jujurnya , saya tidak mengalami sebarang masalah dalam kewangan. Dan buat masa ini, keadaan saya juga masih baik," katanya.

Tidak menolak untuk merasa menyampah dengan khabar angin tersebut, pelakon yang mempunyai Ijazah dalam Psikologi Jenayah ini juga mahu perkara ini di hentikan. Menurut Preity akibat dari kisah tidak benar ini banyak di antara rakan-rakanya mula risau akan keadaannya.

Mereka mula bertanyakan keadaan kewangan saya, mungkin risau dengan khabar angin tersebut," katanya marah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


RM11 juta bina dua HAB

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh ZULKIFLI SAINUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Noh Omar (tengah) mendengar penerangan daripada Pegawai perancang bandar MBSA, Noraznizam Alias (kiri) sewaktu melawat tapak projek HAB di seksyen 17 Shah Alam, semalam. Turut sama, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MBSA, Aniza Osman (dua dari kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari (kanan). - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 17 Feb. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi membina dua Hentian Akhir Bandar (HAB) di Seksyen 17 dan Seksyen 19 di sini bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kedua-dua projek tersebut adalah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya, projek tersebut merupakan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan kerajaan menyediakan dana manakala pihak satu lagi memberikan tapak.

"Keputusan untuk membina kedua-dua HAB ini dibuat atas dasar keperluan ekoran stesen bas ekspres di Seksyen 17 yang telah berusia lebih 25 tahun sangat daif dan tidak tersusun.

"Kedua-dua projek ini akan mula dibina pada April ini dengan HAB di Seksyen 17 dijangka siap pada Mac tahun depan, manakala HAB di Seksyen 19 pada Januari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek di Seksyen 17 di sini hari ini.

Noh berkata, HAB Seksyen 17 yang melibatkan kos RM7 juta mengandungi terminal bas ekspres berhawa dingin yang menempatkan 24 kaunter tiket, ruang menunggu untuk lebih 300 orang, balai polis dan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan.

Menurutnya, HAB Seksyen 19 yang melibatkan kos pembinaan RM4 juta pula adalah terminal bas henti-henti berhawa dingin dan memuatkan ruang menunggu untuk 20 orang serta kedai.

"HAB Seksyen 17 akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam terutama penuntut di sekitar Shah Alam dan penduduk di Seksyen 2 hingga Seksyen 24 yang merangkumi kira-kira 140,000 orang.

"Untuk HAB Seksyen 19 yang diintegrasikan dengan stesen komuter sedia ada di kawasan berkenaan akan memudahkan penumpang komuter untuk mendapatkan perkhidmatan bas dan teksi," ujarnya.

Merana kerana tiada air

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

CUACA panas sejak kebelakangan ini menyebabkan kemerosotan paras air di Empangan Air Selangor, Hulu Selangor.
Seorang suri rumah, Norliza Mohd. menunjukkan masalah tekanan air yang dihadapi di Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Sejumlah 110,087 buah rumah di sekitar ibu negara, Hulu Langat, Kuala Langat dan Hulu Petaling terjejas ekoran terputus bekalan air dan masalah tekanan air rendah sejak bulan lalu sehingga kini.

Ia disebabkan oleh penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi, Dengkil ekoran pencemaran kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat.

Selain itu, punca gangguan bekalan air terhadap pengguna juga disebabkan oleh pertambahan permintaan air yang mendadak disebabkan cuaca panas dan kering serta ketiadaan hujan.

Situasi berkenaan menyebabkan beberapa kawasan yang menerima bekalan air dari kedua-dua loji terbabit dijangka terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Masalah bekalan air mengakibatkan urusan seharian orang ramai seperti mandi, membasuh dan memasak menjadi semakin sukar selain memberi tekanan terhadap mereka.

Situasi ini bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara ini khususnya di ibu kota kerana hampir setiap tahun mengalami masalah sama yang disebabkan pencemaran air, faktor cuaca dan sebagainya.

Justeru, sudah tentu permintaan seperti baldi, tong air, pendingin hawa, kipas, air mineral dan sebagainya semakin meningkat selain harganya didakwa naik mendadak.

Pergi sahaja ke kedai-kedai yang menjual peralatan tersebut, ia laris seperti 'pisang goreng panas'.

Dalam pada itu, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) akan terus membantu para pengguna yang terjejas dengan menyediakan lori-lori tangki air ke kawasan yang mengalami gangguan.

Selain itu, pemantauan berterusan turut dilaksanakan oleh pihak berkenaan dengan menubuhkan pusat khidmat setempat yang dibuka 24 jam di kawasan-kawasan yang terlibat.

Dalam masa yang sama, pengguna yang tidak terlibat perlu menggunakan air secara berhemah dan mengelak pembaziran kerana ia merupakan sumber khazanah penting untuk semua kehidupan di muka bumi ini.

Ammonia masih tinggi di loji Cheras, Bukit Tampoi - Syabas

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 yang terlibat dalam pencemaran ammonia dan tidak beroperasi lagi.

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) hari ini memaklumkan kandungan ammonia di Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi di Sungai Langat masih tinggi iaitu masing-masing pada paras 2.85ppm dan 5.80ppm.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) Priscilla Alfred berkata, ekoran itu, kedua-dua LRA itu masih ditutup sehingga hari ini.

"Beberapa kawasan yang menerima bekalan air daripada kedua-dua loji tersebut dijangka terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Priscilla, pihaknya telah pun menubuhkan pusat khidmat setempat yang dibuka 24 jam di kawasan-kawasan yang terjejas teruk.

"Ini bagi membolehkan penduduk yang memerlukan bekalan air tambahan untuk kenduri dan sebagainya mendapat bekalan air secukupnya," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, diminta menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui SMS dengan menaip PUSPEL aduan atau pertanyaan dan hantar ke 39222.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved