Isnin, 17 Februari 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Ayu Damit idam peladang jaya

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN

Rezeki dalam dunia seni suara masih ada.

MENJADI seorang artis tidak bererti seseorang itu dijanjikan dengan pendapatan lumayan yang melimpah ruah sehingga mampu menyara hidup hingga ke hari tua.

Maka, tidak hairanlah terdapat segelintir artis yang mengambil inisiatif menambah pendapatan dengan menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Pun begitu, ketika ramai artis memilih perniagaan seperti membuka restoran atau mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan, Ayu Damit, 25, sebaliknya melibatkan diri dalam bidang pertanian dengan menanam kelapa dan nanas.

Juara program realiti One In A Million musim kedua (OIAM2) itu menjelaskan, perusahaan kelapa di ladang berkeluasan hampir empat ekar atau 1.6 hektar di Kuala Kangsar, Perak itu adalah hasil kerja keras suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 27.

Tanaman utama yang diusahakan sebenarnya adalah kelapa di tanah milik keluarga mentua saya.

"Bagaimanapun, baki ruang yang terdapat di antara pokok kelapa dimanfaatkan dengan menanam pokok nanas sebagai tanaman kontan.

Kami memulakan projek ini pada tahun lalu. Buat masa ini, ia belum lagi mendatangkan sebarang hasil kerana buah kelapa mengambil masa tiga tahun untuk matang.

Bagaimanapun, senarai pembeli telah diperolehi dan mereka akan menjalin kerjasama berterusan seandainya hasil tanaman kelapa ini berjaya menghasilkan buah yang bagus dan berkualiti.

"Ini kerana, perusahaan ini mendapat bantuan daripada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan)," katanya ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hits, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tanaman nanas pula, Ayu memberitahu bahawa ia hanya boleh dituai pada Jun ini kerana memerlukan masa kira-kira 14 bulan untuk masak.

Disebabkan projek tersebut, Ayu dan suaminya sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak untuk menguruskannya dan optimis dengan pendirian mereka bahawa bidang pertanian mampu memberi pulangan yang lumayan andai ia dilaksanakan menerusi kaedah yang betul.

Orang tua-tua kata, berbakti kepada tanah akan mendapat pulangan yang berbaloi. Saya berpegang kepada pepatah itu dan berharap usaha kami berjaya," ujar Ayu sambil memberitahu bahawa perniagaan tersebut dijalankan di bawah syarikat miliknya, Ayu Damit Enterprise.

Ambil anak angkat

Berbicara mengenai kehidupan peribadinya, Ayu yang baharu sahaja mengambil seorang anak angkat, Nurqalisha Umaira yang kini berusia tiga bulan menyatakan bahawa keputusan tersebut diambil memandangkan dia tidak mahu hamil dalam masa terdekat.

Katanya, bayi yang diberi nama panggilan Isha itu merupakan anak saudara sebelah suami dan keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana.

Jadi, selepas berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk meringankan beban keluarga Isha dengan mengambilnya sebagai anak angkat," katanya.

Ayu dan suami membuat keputusan tersebut kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada penyanyi Inspirasi Abadi itu kekal fokus dalam membina namanya di persada muzik tempatan.

Menurut Ayu, sebelum ini proses kehamilan, melahir dan membesarkan dua anak kandungnya, Syed Nashrul Haikal, 5, dan Sharifah Alya Adriana, 3, telah membantutkan usahanya untuk melebarkan sayapnya sebagai penyanyi.

Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk tidak hamil dalam masa terdekat. Sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang supaya mempunyai cukup masa membina semula kerjaya nyanyian saya.

Tetapi, dalam masa yang sama, keluarga Isha pula berhadapan masalah ekonomi dan saya beranggapan ini peluang untuk saya menambah bilangan anak tanpa perlu hamil.

"Diharap, dengan kehadiran Isha ke dalam keluarga kami, ia mampu membawa rezeki yang berlipat ganda buat saya serta keluarga Isha sendiri," tambahnya.

Jual rumah untuk bayar hutang

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

PREITY Zinta dikatakan dibebani dengan masalah hutang

ANTARA berita panas dalam dunia hiburan Bollywood kini adalah kononnya pelakon cantik Preity Zinta, 40, ketika ini dibebani hutang yang amat teruk. Dalam memastikan dia mampu membayar kesemua hutangnya itu, khabarnya Preity bakal berpindah keluar dari rumah mewahnya.

Rumah yang terletak di kawasan pilihan di Khar, Mumbai itu akan disewakan kepada mereka yang berminat. Memandangkan ia memang menjadi idaman ramai, tentunya tidak susah untuk pelakon cantik itu mendapatkan penyewa secepat mungkin dengan harga yang lumayan bagi membantu dia menyelesaikan masalah hutang.

Masalah hutang pelakon cantik itu bermula apabila dia memilih untuk menerbitkan sebuah filem dengan kos yang amat besar. Filem pertama terbitannya Ishkq In Paris menjalani penggambaran sepenuhnya di Perancis. Walaupun akhirnya filem itu dapat ditayangkan namun penangguhan filem itu banyak memberi kesan kepada kewangan Preity.

Menjawab soalan sama ada benar dia mempunyai masalah kewangan baru-baru ini, Preity nampaknya hanya ketawa.

Dia mengibaratkan khabar angin tersebut sebagai satu lagi drama dalam kehidupan glamor yang dimiliki dirinya, dia tidak lari daripada menjawab soalan berkenaan dengan cara tersendiri.

Banyak sangat drama dalam laporan tersebut, kononnya saya kini hidup dalam ketakutan kerana dikejar pemiutang.

Saya harap mereka di luar sana perlu mencari skrip drama yang lebih baik. Tiada apa yang berlaku dalam kehidupan saya kini," katanya sambil ketawa.

Pelakon jelita dengan imej berlesung pipit itu memulakan kariernya sebagai pelakon untuk filem Dil Se, hampir berbelas tahun dalam dunia lakonan Preity juga kini dikenali sebagai usahawan terkenal. Masih keliru bagaimana kisah dia kini terjebak dalam masalah hutang timbul, Preity bagaimanapun sempat menegaskan rumah mewahnya itu tidak akan disewakan.

Memang saya tiada niat untuk menyewakan rumah itu. Jujurnya , saya tidak mengalami sebarang masalah dalam kewangan. Dan buat masa ini, keadaan saya juga masih baik," katanya.

Tidak menolak untuk merasa menyampah dengan khabar angin tersebut, pelakon yang mempunyai Ijazah dalam Psikologi Jenayah ini juga mahu perkara ini di hentikan. Menurut Preity akibat dari kisah tidak benar ini banyak di antara rakan-rakanya mula risau akan keadaannya.

Mereka mula bertanyakan keadaan kewangan saya, mungkin risau dengan khabar angin tersebut," katanya marah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved