Isnin, 17 Februari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Laporan menghina Harimau Muda

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin (kanan) bertanya sesuatu dengan Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengenai buku PGM Tour Yearbook 2013 pada majlis Pelancaran PGM Tour Yearbook 2013 di Kelab Golf Kinrara, Kuala Lumpur semalam. - UTUISAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

PUCHONG - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menganggap laporan Brisbane Times yang mendakwa penyertaan Harimau Muda A dalam Liga Perdana Kebangsaan Queensland bakal membuka pintu kepada penglibatan sindiket pertaruhan bola sepak dari Asia adalah satu penghinaan terhadap skuad remaja itu.

Sambil membidas laporan akhbar Australia itu, Khairy berkata, tidak adil bagi pasukan belia kebangsaan Malaysia dihina sebegitu rupa.

Beliau turut menganggap tulisan Cameron Atfield dan Declan Hill dalam akhbar Australia itu sebagai keterlaluan dan tidak berasas langsung.

"Itu pandangan yang tidak adil sama sekali, keterlaluan dan tidak berasas. Janganlah hina pasukan belia kebangsaan kita sebegini.

"Ini pasukan belia kebangsaan kita. Kita pun terlibat secara persetujuan dengan persatuan bola sepak Australia dan Queensland. Kita hanya mahu memberi pendedahan kepada Harimau Muda dalam liga itu," katanya selepas majlis pelancaran Buku Tahunan Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM) 2013 di Kelab Golf Bukit Kiara di sini semalam.

Tegasnya, penyertaan skuad dikendalikan Datuk Ong Kim Swee dalam liga Queensland tidak bererti akan turut membawa gejala mengatur keputusan perlawanan di sana walaupun terdapat segelintir rakyat Malaysia pernah terlibat dengan sindiket antarabangsa.

"Jangan hanya kerana setitik nila yang pernah terlibat dalam sindiket antarabangsa, lalu kedatangan pasukan ini (turut cuba dikaitkan dengan) gejala mengatur perlawanan di Australia," katanya.

Brisbane Times membayangkan kemungkinan gejala itu berdasarkan pengakuan penjaga gol kelab Singapura, Geylang United, Yazid Yasin bahawa dia pernah didekati pihak sindiket mengatur perlawanan Liga Singapura 2012 agar melepaskan jaringan ketika bertemu Harimau Muda A.

Khairy menambah, gejala mengatur perlawanan bukan hanya berlaku di Malaysia atau Singapura bahkan telah menjadi satu masalah sejagat yang turut melanda negara lain sejak sekian lama.

Sementara itu, katanya, pelancaran Program Pembangunan Bola Sepak Negara yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 Mac ini terpaksa ditangguhkan kerana kesibukan menghadapi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) meminta penangguhan kerana ada (mesyuarat) Majlis Tertinggi UMNO dan kami cuba cari tarikh lain sama ada akhir Mac atau awal April. Program itu masih di landasan, cuma tertunda sedikit," katanya.

Mengenai ura-ura pelantikan Datuk Misbun Sidek sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Khairy berkata: "Saya serahkan kepada BAM kerana percaya mereka akan buat keputusan terbaik.

"Saya tidak pasti sama ada Misbun sendiri berminat dengan jawatan tersebut tetapi dia seorang jurulatih yang hebat dan terbukti telah melahirkan ramai pemain di peringkat antarabangsa.

"Yang penting mestilah pilih (orang) yang sesuai, ada pengalaman dan pengetahuan yang bukan hanya menjadi seorang jurulatih tetapi menyelaras serta melihat keseluruhan program pembangunan pemain."

Khairy menambah, beliau juga akan menemui Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bagi membincangkan perkembangan semasa sukan itu pada minggu hadapan sekembalinya dari United Kingdom.

Harimau Muda A tetap sertai NPL

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Muda A akan tetap beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland bulan depan meskipun sebuah akhbar Australia mendakwa penyertaan pasukan itu akan membuka pintu kepada gejala rasuah dan mengatur perlawanan dengan penglibatan sindiket pertaruhan dari Asia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menyifatkan tuduhan yang dikeluarkan akhabar Brisbane Times itu lebih menjurus kepada persepsi media semata-mata dan tidak mewakili pandangan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA).

"Saya menafikan tuduhan liar yang dilakukan ini kerana lebih kepada persepsi media sahaja. Apa yang penting sekarang ini pasukan Harimau Muda A ke sana untuk mencari pengalaman.

"Tiada apa yang perlu kita risau dan saya juga sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada FFA berhubung perkara yang dibangkitkan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, pakar antarabangsa terhadap gejala mengatur perlawanan, Declan Hill, yang merupakan penulis buku The Fix and The Insiders Guide to Match Fixing mendakwa di dalam akhbar itu, penyertaan Harimau Muda A dilihat akan membuka pintu kepada gejala tidak sihat itu.

Menurut Hill, ini berdasarkan kepada kemungkinan Harimau Muda boleh meraih mata daripada perlawanan liga tetapi tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan akhir, mungkin memberi risiko akan kehadiran sindiket untuk cuba mempengaruhi keputusan perlawanan.

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Cameron Atfield di dalam akhbar berkenaan, kemungkinan itu tetap ada berdasarkan pengakuan penjaga gol Geylang United dalam saingan Liga Singapura 2012, Yazid Yasin yang pernah didekati oleh pihak sindiket agar melepaskan gol ketika bertemu Harimau Muda A.

Sementara itu, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee berkata, pihaknya tidak begitu risau dengan perkara itu kerana pasukan itu memiliki matlamat yang jelas untuk mencari pengalaman.

Bagaimanapun katanya, mesej yang disampaikan itu merupakan peringatan kepada pegawai dan para pemain agar mereka tidak terlibat dengan gejala itu kerana mereka juga tahu kesan yang bakal dihadapi.

"Kami tidak perlu ambil kisah sangat tentang tuduhan itu kerana itu merupakan pendapat penulis dan tidak mewakili pandangan FFA," katanya.

Harimau Muda akan berangkat ke Australia pada 28 Februari ini tanpa kehadiran Kim Swee yang terlibat dengan pasukan Harimau Malaya bagi menghadapi Yemen dalam kelayakan Piala Asia 2015.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved