Isnin, 17 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Elak pembakaran terbuka

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA LIPIS 17 Feb. - Para petani, pemilik ladang serta kilang di negeri ini diminta mengelakkan pembakaran terbuka berikutan cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan sehingga hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, kecuaian berkenaan boleh menyumbang kemerosotan kualiti udara dan seterusnya menyebabkan keadaan jerebu.

"Dalam keadaan cuaca panas ketika ini, penduduk dan pengusaha perlu mengambil langkah berjaga-jaga iaitu tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka.

"Ini termasuk membuang puntung rokok di kawasan yang mudah terbakar, membakar sampah sarap, membuat unggun api semasa memancing, berburu atau kegiatan lain," katanya kepada pemberita selepas meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dan pemberian angpau kepada 112 warga emas di Kampung Baharu Jerkoh, Benta dekat sini kelmarin.

Menurut beliau, pemilik ladang, kawasan pertanian serta tapak pelupusan sampah juga dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan, malahan mengutamakan tugas pengawasan di lokasi berkenaan bagi mengelakkan pembakaran terbuka.

"Faktor cuaca kering dan berangin boleh menyebabkan pembakaran kecil merebak ke kawasan lain, manakala api marak lebih besar boleh mengancam nyawa dan kemusnahan harta benda," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memantau kegiatan pengusaha pertanian di tempat masing-masing agar tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka.

Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, walaupun ada terma penguatkuasaan peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS), tetapi kerajaan negeri mengambil pendekatan mendidik penduduk agar mengelakkan kegiatan berkenaan sekali gus memahami kepentingan kualiti udara.

Tambahnya, larangan itu juga membabitkan pembakaran tandan sawit di ladang dan berdekatan jalan raya di Felda untuk mengelakkan ketidakselesaan pemandu malahan memberi impak komplikasi kesihatan dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak.

Majlis Belia Negeri Pahang jelajah seluruh negeri jelaskan GST

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Khairul Amin Osman (depan, empat dari kanan) bersama sebahagian peserta yang menyertai program Penerangan GST di Kuantan, kelmarin. - utusan/ AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 17 Feb. - Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) akan menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini bagi membantu kerajaan menjelaskan mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bermula 1 April 2015.

Presidennya, Khairul Amin Osman berkata, jelajah itu akan bermula awal Mac ini dan dijangka selesai pada Jun.

"Program jelajah ini bertujuan memberikan pemahaman khususnya kepada golongan belia di seluruh negeri ini mengenai GST dan adakah pelaksanaannya boleh membebankan rakyat di negara ini.

"Kita juga mahu golongan belia di negeri ini mendapat maklumat yang betul mengenai GST dan tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu pelaksanaan GST ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerangan GST kepada kira-kira 200 peserta melibatkan golongan belia dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) peringkat negeri Pahang di sini semalam.

Dalam pembentangan Bajet 2014 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula April 2015.

Pelaksanaan GST itu menggantikan dua cukai sedia ada iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kadar keseluruhan 16 peratus.

Khairul Amin berkata, pada siri jelajah di 11 daerah itu, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya 100 penyertaan belia di setiap daerah.

Mengenai langkah itu, katanya, MBNP berharap dapat mewujudkan kira-kira 1,100 belia yang memahami mengenai GST yang seterusnya akan memainkan peranan untuk menjelaskannya kepada rakyat di negeri ini.

"Pihak kerajaan sudah pun mula memberi penerangan mengenai GST ini dan MBNP akan membantu pihak kerajaan bagi memberikan penjelasan khususnya kepada golongan belia di negeri ini," katanya.

Pendidikan: Muip salur RM8j setahun

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

MARAN 17 Feb. - Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan RM8 juta setahun bagi bantuan dan sumbangan pendidikan kepada rakyat yang memerlukan di negeri itu.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, peruntukan pendidikan itu disalurkan bagi membantu golongan anak-anak asnaf menerusi dermasiswa dan bantuan lain.

Jelasnya, Muip sangat mementingkan anak-anak Pahang mendapat pendidikan yang sempurna sekali gus memastikan mereka tidak ketinggalan dan mampu bersaing dalam pendidikan global.

''Muip sentiasa bersama agensi lain seperti Yayasan Pahang dalam membantu rakyat memperoleh dana berpatutan bagi melanjutkan pengajian yang lebih tinggi di dalam dan di luar negara,'' katanya.

Wan Abdul Wahid berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Maran di Masjid As-Syakirin di sini kelmarin.

Beliau seterusnya mengingatkan semua golongan yang berkemampuan termasuk warga Felda membayar zakat kepada Muip supaya dapat menambah kutipan zakat membantu lebih ramai asnaf.

Tegasnya, sudah menjadi tanggungjawab umat Islam yang layak untuk membayar zakat kerana perkara itu adalah tuntutan dalam Islam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, umat Islam perlu membuktikan kekuatan ukhuwah dalam kalangan masyarakat supaya dapat menjadi benteng penghalang kepada usaha pihak tertentu untuk memecah-belahkan umat.

''Usaha pihak tertentu untuk memperlekehkan Islam dan penganutnya pada tahap sangat membimbangkan berdasarkan kepada keberanian mereka melakukan provokasi melampau terhadap Islam," katanya.

Wan Abdul Wahid mengajak umat Islam bersatu padu menangani kesucian Islam daripada terus diperkotak-katikkan pihak bukan Islam seperti isu kalimah Allah dan sebagainya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved