Isnin, 17 Februari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


40 hektar belukar, hutan terbakar

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Beberapa kawasan hutan belukar di Kampung Belangkan dijilat api dalam siri kebakaran di sekitar Rantau, Negeri Sembilan sebelum berjaya di kawal pihak Bomba dan Penyelamat, kelmarin.

SEREMBAN 16 Feb. - Sebanyak 40 hektar kawasan hutan dan belukar di sekitar negeri ini dijilat api dalam tempoh 24 jam, dilaporkan dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka sehingga pukul 7 petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Norazam Khamis menjelaskan, dalam tempoh yang sama juga pihaknya telah menerima sebanyak 32 panggilan kecemasan berhubung aduan kebakaran di seluruh negeri ini.

"Sehingga lewat petang semalam sahaja pasukan kita tidak berhenti bertungkus-lumus memadam kebakaran di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.

"Ekoran itu, kesemua cuti anggota dibekukan berkuat kuasa serta-merta bagi membantu operasi memadam kebakaran terbuka. Terkini melibatkan kawasan belukar dan hutan seluas 20 ekar di kawasan sempadan Rembau-Tampin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi memadam kebakaran di Kampung Belangkan di Batu 6 1/2 dan 4 1/2 Jalan Kuala Sawah di sini.

Menurutnya, kejadian berkenaan melibatkan kawasan seluas 10 hektar yang turut memusnahkan lapan unit chalet dan dua kabin (pejabat) di kawasan peranginan (resort) yang telah lama ditinggalkan di kawasan itu.

Sementara di Batu 4 1/2, Jalan Kuala Sawah pula, kawasan seluas lima hektar turut terbakar.

"Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.20 petang dan sampai di lokasi 12 minit kemudian.

"Sebanyak lima jentera dikerah memadam kebakaran membabitkan lebih 30 anggota dan pegawai di dua lokasi tersebut melibatkan Balai Bomba Seremban 2, Senawang, Port Dickson dan Telok Kemang," katanya.

Norazam berkata, kebakaran berkenaan pada awalnya dikesan bermula di kawasan hutan dan belukar berhampiran sebelum merebak ke kawasan chalet tersebut.

Katanya, biarpun pihaknya menghadapi kesukaran ekoran cuaca panas serta berangin berjaya menyelamatkan tiga unit chalet terbabit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Pihak kami telah berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak ke kawasan lain kira-kira pukul 7 petang," katanya.

Tubuh platun galak penjawat awam sertai Wataniah - MB

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Mohamad Hasan memakaikan topi askar kepada anggota Platun Perkhidmatan Awam Negeri Sembilan sambil diperhatikan Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) semasa Majlis Perasmian Pelancaran Latihan Askar Wataniah 2014 Rejimen 508 Askar Wataniah di Kem Rasah, Seremban, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 16 Feb. - Rejimen 508 Askar Wataniah hari ini mengambil inisiatif melancarkan Platun Perkhidmatan Awam Negeri Sembilan yang dibentuk khusus bagi menarik penyertaan kakitangan awam untuk menganggotai perkhidmatan askar wataniah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif itu selari dengan hasrat untuk menambah bilangan anggotanya sekali gus memperkasakan pasukan wataniah di negeri ini.

"Penubuhan platun ini diharapkan dapat menaikkan semangat golongan muda khususnya dalam kalangan kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini untuk bersama-sama menyumbang bakti mempertahankan negara tercinta ini.

"Saya juga akan mewujudkan platun ini di setiap daerah secara berperingkat dari semasa ke semasa dalam memperluaskan pasukan askar wataniah ini di kalangan penjawat awam," katanya.

Mohamad yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) negeri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pelancaran Latihan Askar Wataniah 2014 Rejimen 508 Askar Wataniah di Kem Rasah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Komander Rejimen 508 Askar Wataniah, Kolonel Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memberikan sokongan padu terhadap sebarang bentuk latihan yang terasnya untuk mempertahankan negara dalam memelihara keamanan dan kesejahteraan semua.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong segala aktiviti dan pelaksanaan latihan yang dikendalikan Rejimen 508 Askar Wataniah dalam usaha menarik lebih ramai anak watan menyertainya," katanya.

Sementara itu, Khairy yang baru dilantik menjadi Komander pada 1 Januari lalu memberitahu, beliau akan berusaha untuk menarik lebih ramai golongan belia untuk menyertai pasukan Wataniah melalui pelbagai perancangan yang ditetapkan.

"Salah satu usahanya adalah kita akan merangka aktiviti latihan yang lebih menarik selain memberikan kepelbagaian program dalam usaha menarik minat penyertaan dalam golongan muda.

"Saya juga akan mencuba untuk menarik seberapa ramai anggota baru terutamanya penuntut kolej termasuk institusi pengajian tinggi untuk menyertai pasukan ini," katanya.

Pusat Penjaja Jalan Lama sarang 'kaki botol'

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

LONGGOKAN botol arak yang dibuang oleh kaki botol setelah melepaskan gian di Jalan Lama, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

TELOK KEMANG 16 Feb. - Sebuah kawasan lapang berhampiran Pusat Penjaja Jalan Lama, Port Dickson di sini menjadi tumpuan 'kaki botol' meminum arak sejak lima tahun lalu.

Senario itu mencacatkan pemandangan kawasan tersebut apabila kumpulan terbabit bertindak membuang botol dan tin minuman keras di sekitar lokasi berkenaan termasuk dalam longkang berhampiran.

Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati, serpihan kaca bersepah di lokasi itu dipercayai dipecahkan oleh kaki botol yang mabuk selepas minum arak.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali dengan Sami, 37, keadaan itu telah lama berlanjutan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya.

"Pihak berkuasa tidak sepatutnya membiarkan kawasan tersebut terus menjadi sarang bagi golongan tersebut meminum arak sesuka hati mereka.

"Mereka mengotorkan kawasan kerana membuang botol dan tin sesuka hati selepas selesai melepak dan minum arak," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang pekerja pembersihan berhampiran kawasan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 33, berkata, perkara ini telah lama berlaku dan kawasan itu terpaksa dibersihkan setiap hari kerana mereka yang melepak di situ pasti membuang botol dan tin minuman keras dengan sesuka hati.

"Lebih merumitkan keadaan apabila botol kaca serta tin arak dibuang ke dalam longkang sehingga mengakibatkan saluran longkang tersumbat.

"Kumpulan ini sering berkumpul lima hingga 10 orang dalam satu masa tanpa mengira waktu," katanya.

Tambahnya, mereka turut membuat bangku bagi memudahkan berehat di bawah pokok sambil minum arak.

"Pihak berkuasa seharusnya memainkan peranan dengan mengadakan serbuan bagi membasmi kegiatan tidak bermoral ini," katanya.

Dalam pada itu, bagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Chong berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan kawasan tumpuan pelancong malah menyusahkan penjaja yang ingin berniaga di kawasan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved