Isnin, 17 Februari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perkasa kebebasan perangi rasuah

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

MESKIPUN pengiktirafan 23 kejayaan dan amalan baik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) satu pencapaian "luar biasa" dari segi pematuhan Konvensyen PBB Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC), Penasihat Antirasuah Rantau Asia UNODC, Shervin Majlessi berpendapat bahawa masih ada ruang untuk "dibaiki dan boleh dibaiki."

"Kami mengalu-alukan komen atau syor bagi mengadakan penambahbaikan susulan ke atas dasar, aspek perundangan dan pengukuran yang dirasakan perlu bagi Malaysia laksanakan dalam usaha memerangi rasuah dan jenayah ekonomi yang lain," kata beliau ketika ditemui wartawan Malaysia pada majlis pelancaran laporan penilaian di ibu negara 7 Februari lalu.

Majlessi juga menarik perhatian bahawa penilaian ke atas Malaysia mendapati ada beberapa undang-undang rasuah Malaysia boleh "diperhalusi dan diperluaskan."

Pasukan Penilai mencadangkan supaya Malaysia mempertimbangkan sejumlah langkah bagi mengatasi cabaran-cabaran dalam mematuhi Bab III dan Bab IV UNCAC.

Selain syor memperkukuhkan peruntukan berkaitan "menghalang keadilan", kata beliau, pihaknya juga mendapati ada risiko persepsi kurangnya kebebasan memandangkan kini Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik atas syor Perdana Menteri dan ia boleh dielakkan. Konvensyen UNCAC dan UNODC (Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah) mahu pelantikan dan penggantian dilakukan menerusi Perlembagaan, sebagaimana disaksikan dalam pelantikan beberapa penyandang jawatan lain yang penting, bagi menjamin kebebasan total SPRM.

"Tetapi kami gembira untuk mendengar perkara ini sedang diambil tindakan," kata beliau yang merujuk kepada langkah yang sedang diambil oleh kerajaan - meminda peruntukan undang-undang bagi mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah. Kerajaan telah pun mengumumkan komitmen ke arah ini di akhir 2012 dan awal 2013.

Dalam laporan penilaian yang dikeluarkan secara formal 7 Februari lalu, pasukan penilai juga memuji komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah termasuk peringkat tinggi susulan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Malaysia juga menerima syor dan saranan, antara lain memperkasakan Akta SPRM.

Sementara kerajaan dan SPRM sudah mengambil beberapa syor seperti memasukkan peruntukan liabiliti korporat dalam Akta SPRM dan soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang dilantik sebagai anggota Kabinet Persekutuan pada Mei 2013 berkata, beliau akan membawa kepada jemaah menteri syor dan saranan lain yang perlu diambil tindakan sewajarnya.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa saya dan pasukan saya akan melakukan yang terbaik untuk membawa kesemua syor yang disenaraikan dalam laporan penilaian ini ke Kabinet Malaysia untuk tindakan susulan," kata beliau yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).

UNCAC adalah konvensyen antarabangsa di bawah UNODC yang mewajibkan negara-negara ahli melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah secara meluas dan terperinci.

Low yang menjaga portfolio berkaitan integriti, ketelusan, tadbir urus dan juga hak asasi manusia juga mengakui bahawa terdapat beberapa perkara di mana laporan penilaian itu mendapati masih terdapat kekurangan yang memerlukan penambahbaikan.

"Antara cadangan utama laporan yang sedang kami usahakan adalah untuk menubuhkan suruhanjaya perkhidmatan berasingan agar SPRM boleh mengambil bukan sahaja petugas dari perkhidmatan awam, tetapi juga pakar dari mana-mana sektor sekalipun," kata beliau. SPRM juga sudah mula menerokai pendekatan pengambilan tenaga pakar luar untuk mengukuhkan operasi SPRM.

Low menambah bahawa kerajaan juga mahu kedudukan Ketua Pesuruhjaya SPRM setaraf dengan Ketua Hakim, di mana beliau tidak dapat dilucutkan dari jawatannya kecuali melalui satu tribunal khas.

Jelasnya: "Ini memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan... saya rasa ini adalah sesuatu yang melintasi jurang politik, dan ia baik untuk SPRM dan untuk negara."

Antara cadangan lain yang sedang dipertimbangkan adalah pindaan Akta SPRM, iaitu menjadikan hidup (atau memiliki kekayaan) di luar kemampuan seseorang sebagai satu kesalahan dan menjadikan syarikat dan pengarah syarikat bertanggungjawab ke atas perbuatan rasuah pekerja mereka.

Mengulas perkembangan yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyifatkan pengiktirafan 23 perkara secara jelas menunjukkan bahawa SPRM secara umumnya mempunyai dasar dan peruntukan undang-undang yang sesuai dalam menangani perbuatan rasuah dan telah melaksanakan peranannya secara berkesan untuk menjaga kepentingan umum.

Hasil laporan itu juga menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara yang telah mematuhi peruntukan-peruntukan mengenai jenayah rasuah dan penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama antarabangsa di bawah UNCAC dan mempunyai kesungguhan dalam membanteras rasuah di dalam dan luar negara, tambah beliau.

Menurut Abu Zahar, JKMR, yang dianggotai oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang di Parlimen, akan membincangkan dengan lebih lanjut perkara-perkara serta cadangan dan pandangan yang telah dikemukakan untuk dibawa ke perhatian Kerajaan Malaysia.

Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, JKMR ingin memastikan agar segala perkara yang disyorkan dalam laporan penilaian dapat diperhalusi sepenuhnya sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Ini adalah penting untuk memastikan segala perancangan sedia ada akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien," kata beliau lagi. Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2012 juga ada menggariskan beberapa pindaan bagi memperkasakan SPRM dan Akta SPRM. Laporan itu telah dibawa ke perhatian Perdana Menteri dan Parlimen.

Panel Penilaian Operasi (PPO) yang diwujudkan sejak pembentukan SPRM pada tahun 2009 juga mengalu-alukan pengiktirafan UNODC. PPO dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah merupakan dua daripada lima badan bebas yang dibentuk bagi memantau perjalanan SPRM.

Menurut Pengerusi PPO, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil, perkembangan ini menunjukkan kewujudan badan-badan bebas ini khususnya PPO sudah diterima dan dilihat sebagai positif oleh badan dunia seperti agensi di bawah PBB dan masyarakat antarabangsa.

Kewujudan PPO adalah selaras dengan kehendak dan harapan rakyat Malaysia yang mahukan SPRM bergerak dengan bebas, telus dan profesionalisme.

PPO yakin pengiktirafan ini akan memberi suntikan semangat untuk terus bertindak sebagai mekanisme check and balance dalam mempertahankan kebebasan SPRM menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM.

Bagi memperkasakan PPO, kata beliau, satu lagi terma rujukan PPO telah ditambah baru-baru ini, menjadikan 10 kesemuanya, bagi menjamin proses siasatan dijalankan dengan bebas, telus dan profesionalisme. Terma terbaru ini membolehkan setiap aduan yang dibuat kepada SPRM disiasat.

"Jika mana-mana aduan tidak disiasat, status itu akan dikemukakan kepada PPO. PPO akan ada peluang untuk mendapatkan penjelasan sebab aduan yang diterima itu tidak disiasat.

"Ini sudah pasti akan membantu menjamin ketelusan dan profesionalisme tindakan SPRM, dan juga memberi keadilan kepada mereka yang membuat aduan," kata beliau.

Menjelaskan tahap kebebasan PPO, beliau yang juga bekas Ketua Audit Negara memberitahu, sejak 2009 hingga 2013, sebanyak 39 kertas siasatan yang diputuskan tiada kes oleh Timbalan Pendakwa Raya telah disemak semula oleh PPO. Daripada 39 kertas siasatan itu, sebanyak lapan telah dibawa ke mahkamah untuk dikenakan pertuduhan. Perkembangan ini juga menunjukkan setiap kes yang disiasat dikendalikan dengan bebas dan telus.

Sementara fasa kedua, penilaian membabitkan Bab II dan V akan dibuat pada tahun depan, Majlessi menekankan bahawa "apa yang penting sekarang ialah memastikan hasil penilaian dan syor dikemukakan disusuli dengan tindakan-tindakan konkrit, dan kami gembira beberapa langkah sudah mula diambil."

DR. G. MANIMARAN kini berkhidmat sebagai tenaga pakar komunikasi strategik SPRM

Realiti perjuangan politik Melayu

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

POLITIK dan kerajaan tidak boleh dipisahkan. Sekian lama gelombang politik di Malaysia diwarnai hitam putih perbalahan politik Melayu. Realitinya wujud perbezaan persepsi dan perspektif Melayu dalam banyak perkara. Salah satu isu yang besar adalah tanggapan tentang Islam dan nasionalisme.

Di tanah air kita, makna kebangsaan yang merujuk kepada kewatanan dan kenegaraan itu dilihat bagaikan terpisah daripada Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Falsafah nasionalisme dilihat dalam erti kebangsaan yang sempit bukannya kenegaraan atau kewatanan dan peranan Islam dalam pengukuhannya.

Politik Melayu di Malaysia adalah antara UMNO dengan Pas. Sekarang muncul Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau parti-parti lain yang tidak semestinya seratus peratus Melayu. Ada campuran. Kalau ditanyakan benarkah Parti Islam Se-Malaysia (Pas) memperjuangkan Islam? Ya, betul. Betulkah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) membangun dan menegakkan Islam? Ya, betul. Jadi kenapakah kedua-dua parti umat Islam pimpinan Melayu yang seiman dan sedarah ini tidak boleh duduk semeja berunding mengenai persoalan hal ehwal kemajuan Islam?

Orang Melayu perlu menilai, gunakan rasionalisme dan fikiran terbuka. Manakah parti yang berjaya menegak dan mempertahankan Islam di Malaysia? Parti yang mana mengotakan kata? Yang mana pula lebih banyak omongan kosong? Kadang-kadang orang lebih terpukau dengan lidah pemimpin yang pidatonya berapi-api.

Benar, Melayu mudah lupa dan tidak mahu mengingati sejarah bangsa mereka sendiri. Benar, rasionalisme dan intelektualisme Melayu itu kian hilang. Apabila bersekongkol dengan parti politik kaum lain, Melayu tidak belajar akan sikap dan tabiat politik orang lain itu. Hatta lebih mempercayai orang lain yang terang-terangan menolak gagasan negara Islam, tidak menerima hudud dan hukum-hakam Islam yang diperjuangkan. Parti ini tetap menagih simpati dan menaruh keyakinan. Cita-cita bersama pakatan pembangkang asalkan dapat menumbangkan kerajaan.

Bukti-bukti daripada senario mutakhir menunjukkan realiti politik Melayu sudah dinodai kebencian sesama sendiri. Pada PRU-12 (2008) dan PRU-13 (2013), undi Melayu kepada pembangkang kian membesar. Melayu merelakan diri menyebelahi pembangkang yang didukung parti perkauman dan anti-Islam. Hal begitu terjadi disebabkan nafsu kerakusan kuasa kian merasuk. Cetusan sikap berpautkan keganasan seperti cara Arab Springs atau seperti terjadi di beberapa negara lain mula dijadikan anutan baharu.

Melayu bukan tidak tahu, cara itu bukannya cara Melayu, jauh daripada prinsip demokrasi. Ada rancangan yang boleh menyebabkan huru-hara terjadi, keselamatan tidak terjamin. Siapakah yang mengancam keamanan dan keselamatan negara? Apa tidaknya, demonstrasi jalanan, kempen-kempen fitnah, hasutan, lontaran idea jahat, hentaman dan kenyataan bohong di laman sosial tidak pun pernah terhenti. Apa jua dasar dan program kerajaan diperlekehkan.

Apakah mungkin kuman psikologi penolakan sedang membiak di jiwa Melayu. Kalau Melayu tidak mahu atau gagal bermuhasabah, kembali ke pangkal jalan, maka kuman itu boleh merebak menjadi barah kepada semangat pemberontakan. Sikap dan tabiat psikologi penolakan itu amat dirasakan semasa PRU-13. Di Kelantan beberapa hari sebelum hari pembuangan undi 5 Mei 2013, tersebar satu sakla atau pekeliling yang terang-terang menolak, menuduh, memfitnah. Sakla itu membuat segala macam tuduhan kepada kepimpinan, kerajaan dan ulama UMNO. Apakah itu gambaran realiti baharu politik bangsa Melayu.

Sakla itu lebih menuding jari bahawa faktor-faktor yang menjadikan seseorang Muslim itu sesat, antaranya terlalu patuh kepada pemimpin yang menolak ajaran Rasulullah SAW; kemegahan, sombong, takbur, berlagak bijak dalam agama; merampas hak rakyat, menolak kebenaran memilih jalan kebatilan; mereka cipta, membuat fitnah tanpa rasa bersalah; dan beranggapan taat kepada agama tidak akan membawa kemajuan. Kesemua tohmahan itu ditujukan kepada UMNO. Sakla itu juga menyebut bahawa ulama UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO telah membawa orang Melayu dan umat Islam ke jalan kesesatan dunia dan akhirat.

Apakah penulis sakla itu tidak pernah membuka mata melihat daya usaha kerajaan dalam membangun dan menegakkan syiar Islam? Kalau kalimah Allah pun boleh dibiarkan mereka, maka mereka tidak akan mampu lagi menghormati usaha-usaha pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), penyelarasan hukum, peranan Mahkamah Syariah, pembinaan masjid-masjid, pengurusan Baitulmal, program Islam di media elektronik, sistem perbankan Islam, ar-Rahn dan sebagainya yang dikagumi kejayaannya oleh negara-negara Islam yang lain.

Kaedah kempen parti Melayu pembangkang melalui pelbagai strategi lain oleh mereka agak menggerunkan. Strategi kebencian sesama sendiri diatur rapi. Itulah realiti politik Melayu. Orang Melayu bukan tidak tahu akan adanya gerakan politik yang terus merasuk sifat-sifat perkauman, anti Islam dan anti kepemimpinan Melayu. Mereka bercakap lain, berbuat lain. Mereka menuntut hak kebebasan asasi di luar batas fitrah kejadian manusia. Ada janji berbeza apabila berdepan dengan satu-satu kaum yang berlainan. Apakah mereka yang menabur fitnah itu sedar bahawa mereka sedang menepuk air di dulang sendiri atau mengata dulang paku serpih.

Realiti politik Melayu hari ini ialah mereka sudah berpecah tiga. Perpecahan Melayu itu menjadikan mereka bersifat minoriti dan sangat merugikan Malaysia. Tanda-tanda Melayu kehilangan kuasa sudah terjadi di bandar-bandar yang selama ini dibangunkan kerajaan, lengkap dengan infrastruktur, kemudahan kesihatan, pendidikan, kesejahteraan sosial dan gaya hidup moden.

Aura kerajaan yang memuncak sebelum PRU-13 dengan sambutan luar biasa rakyat dan orang Melayu kepada pucuk pimpinan sendiri bagaikan gurauan yang tidak menentukan hala tuju pengukuhan kuasa Melayu. Apakah maknanya realiti tanpa perubahan baharu sedemikian itu?

Melayu juga telah lupa akan pesan nenek moyang mereka sendiri, jangan jadi Pak Kaduk atau Lebai Malang. Rupa-rupanya strategi udang di sebalik batu ciptaan pembangkang berjaya menyalakan api semangat orang Melayu agar benci-membenci sesama bangsa sendiri, bangga mengusung slogan mari tumbangkan BN dan rampas Putrajaya. Apakah Melayu sendiri mahu biarkan Melayu dan bumiputera berpecah belah?

Apakah Melayu mahu melihat Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Ya, Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi belum tentu Melayu tidak akan hilang kuasa.

Datuk A Aziz Deraman ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan, budayawan, bekas Prof Adjung

UUM dan AJK GAPENA.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved