Rabu, 23 April 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


On tidak terlepas - FAM

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Taufek Abdul Razak

PETALING JAYA - Meskipun telah dipecat oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), bekas pengurus Johor Darul Ta'zim II (JDT II), On Jabbar tetap tidak akan terlepas daripada tindakan tatatertib oleh Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak berkata, pihaknya tetap akan membicarakan kes itu dalam masa terdekat dan surat pertuduhan telah dikeluarkan kepada On.

Tambahnya, tindakan yang dikenakan terhadap On adalah kerana dia masih bergelar pengurus JDT II semasa insiden dia menumbuk pengadil, Sukri Abdul Rahaman.

Taufek berkata, kes itu hampir sama dengan yang dilalui oleh bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis(PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kes ini sama dengan isu Datuk Seri Shahidan Kassim kerana biarpun telah meletakkan jawatan sebagai Presiden PFA, beliau tetap dikenakan tindakan.

Seperti kes On, kejadian itu berlaku ketika dia masih menjadi pengurus pasukan jadi dia tidak akan terlepas daripada dibicarakan setelah FAM mengeluarkan surat pertuduhan.

Jadi On tidak akan mendapat sebarang pengecualian walaupun beliau sudah dikenakan tindakan oleh PBNJ.

Namun, sama ada beliau bersalah ataupun tidak terpulang kepada laporan yang diterima oleh FAM," katanya ketika dihubungi semalam.

On telahpun dikenakan hukuman denda RM25,000 oleh PBNJ dan dipecat selepas menumbuk Sukri pada pertemuan JDT II menentang UiTM FC pada aksi Liga Perdana pada Sabtu lepas.

Khairul Fahmi mungkin direhatkan

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan AMEEN AZIZUL
sukan@utusan.com.my

Skuad kebangsaan Harimau Malaya sedang menjalani latihan di Padang Wisma FAM. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ

PETALING JAYA - Prestasi tidak menentu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dalam perlawanan terakhir bersama Kelantan dalam Piala AFC mungkin akan memaksa jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee merehatkannya.

Di atas kertas, kelebihan kini tampak memihak kepada penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd. Khalid untuk memegang watak utama di gawang Harimau Malaya yang akan berdepan Filipina Ahad ini.

Menurut Kim Swee, beliau agak bimbang melihat tahap keyakinan Khairul Fahmi selepas pintu gol Kelantan dibolosi empat kali dalam pertemuan dengan kelab Hong Kong, South China AA, Selasa lalu.

Sebagai penjaga gol (Khairul Fahmi) sudah tentu apabila tewas dengan begitu banyak gol, moralnya akan berada di tahap terendah.

Bukan sahaja kecergasan yang saya akan nilai jika mahu diturunkan dalam sesuatu perlawanan tetapi tahap mental," katanya yang ditemui selepas sesi latihan di Wisma FAM malam tadi.

Seorang lagi penjaga gol, Mohd. Farizal Marlias yang beraksi bersama Selangor tidak diturunkan pada perlawanan Piala AFC dengan kelab Maldives, Maziya SR&C malam tadi.

Dalam masa sama, Kim Swee masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan memberi keutamaan kepada pemain yang tidak terlibat dengan Piala AFC untuk bertemu Filipina.

Saya akan menunggu terlebih dahulu mereka menyertai latihan bersama kami dan dari situ saya akan buat penilaian.

Diharapkan tiada sebarang kecederaan menimpa mana-mana pemain kerana saya sudah tiada mempunyai masa untuk memanggil pengganti," katanya.

Semalam, sesi latihan pasukan kebangsaan berjalan di sebelah malam kerana cuaca hujan di sebelah petang.

Ujar Kim Swee, dia mengakui hujan yang kerap mengganggu rancangannya namun tidak mahu menjadikannya sebagai alasan.

Sudah tentu (cuaca hujan) memberikan kesan kepada perancangan kerana bermain dalam cuaca hujan di waktu petang.

Bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik menjelang beberapa hari bertemu Filipina," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pemandu bas ambil dadah serius

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh Ilah Hafiz Aziz
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 April - Perbuatan mengambil dadah melibatkan kalangan pemandu bas ekspres telah lama menular dan kini berada di tahap membimbangkan.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob yang memberitahu, ia berdasarkan terdapat laporan dibuat berhubung pengambilan dadah oleh banyak pemandu bas ekspres.

Malah katanya, laporan itu turut disokong dengan jumlah kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu bas yang dipengaruhi dadah.

Meskipun pihak JPJ tidak mempunyai banyak data berhubung perkara itu, kami tetap menganggap isu dadah dalam kalangan pemandu bas adalah sesuatu yang amat serius kerana nyawa puluhan penumpang di dalam sesebuah bas bergantung kepada pemandu tersebut.

Kebanyakan kes pemandu mengambil dadah ini kita kesan apabila mereka terlibat dalam kemalangan. Bagaimanapun saya sendiri yakin amalan penggunaan dadah dalam kalangan pemandu bas ini membimbangkan," katanya.

Semalam JPJ melancarkan operasi memburu pemandu bas ekspres secara besar-besaran di seluruh negara, susulan kemalangan maut yang berpunca dari kesilapan pemandu.

Ditanya apakah yang menyebabkan pemandu bas ekspres mengambil dadah, Yusoff memberitahu, amalan itu dipercayai merupakan salah satu cara untuk mendapatkan tenaga atau ketahanan diri ketika memandu.

Niat asal pemandu bas ini pada mulanya baik iaitu untuk menambah ketahanan diri ketika memandu jarak jauh dan mereka percaya dengan mengambil dadah akan mampu untuk mengelakkan rasa penat dan mengantuk.

Namun mereka tidak sedar dadah itu sebenarnya mempengaruhi mereka dan mengganggu pemikiran yang waras. Disebabkan itulah kemalangan maut terjadi. Tiada perkara lain untuk menghilangkan rasa penat seseorang pemandu melainkan rehat secukupnya," katanya.

Mengulas lanjut Yusoff turut memberitahu, kebanyakan pemandu bas yang menggunakan dadah sukar dikesan melainkan pemeriksaan kesihatan secara bulanan dilakukan.

JPJ menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu setahun sekali iaitu ketika mereka datang memperbaharui lesen memandu.

Apabila setiap pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan positif dadah, kita tidak akan membenarkan lesen memandu mereka diperbaharui malah rekod kesihatan itu akan kekal dalam data JPJ untuk kegunaan masa depan.

Oleh demikian sukar untuk kita mengesan sama ada pemandu itu menggunakan dadah atau tidak melainkan pemeriksaan berkala dijalankan namun dalam setiap operasi JPJ, kami telah lama bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan pemeriksaan air kencing," katanya.

Tambah Yusoff, hampir 65 hingga 75 peratus kemalangan bas ekspres berpunca akibat kesilapan manusia manakala selebihnya berkaitan masalah teknikal seperti kerosakan bas dan permukaan jalan raya.

Van dirempuh bas kilang satu maut, 2 parah

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

BAS yang terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah van di persimpangan Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 23 April - Seorang pemandu van maut apabila kenderaan yang dipandunya dilanggar sebuah bas kilang di persimpangan Ulu Tiram, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi apabila mangsa, Samkani Nordin, 63, berhenti di persimpangan tempat kejadian sebelum dirempuh bas terbabit.

Beliau berkata, dua penumpang yang menaiki van tersebut iaitu Hamiah Hanafi, 45, mengalami cedera parah dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Banniah, mcedera ringan.

Pemandu bas tersebut, Rajendran Anpalaganm, 33, tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Tambah Roslan, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa kemalangan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Penerokaan tanah haram berleluasa

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Kiri Adnan Yaakob, Leong Ngah Ngah

KUANTAN 23 April - Kerajaan negeri sedang menentukan bentuk tindakan termasuk penguatkuasaan bagi membendung masalah penerokaan tanah haram yang kini semakin berleluasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri sememangnya menyedari masalah berkenaan yang bukan sahaja berlaku di Cameron Highlands malah di kawasan lain seperti Triang, Raub dan Bentong.

Kita telah mengkaji beberapa tindakan bagi mengatasi masalah penerokaan tanah haram ini antaranya kita boleh mengeluarkan geran atau lesen pendudukan sementara (TOL) kepada para peneroka tanah.

Jika mereka bersetuju, mereka boleh mengambil 10 peratus daripada hasil penerokaan dan 90 peratus lagi diserahkan kepada kerajaan," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau menjawab soalan Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) yang ingin tahu langkah kerajaan bagi menghentikan aktiviti penerokaan tanah haram yang kini semakin serius terutama di Cameron Highlands.

Mengenai penerokaan tanah haram di Cameron Highlands, Adnan berkata, masalah di kawasan itu memang sukar dibendung.

Masalah ini berlaku disebabkan sikap peneroka tanah itu sendiri, kita luluskan TOL untuk mereka teroka di kawasan seluas 0.8 hektar misalnya, mereka akan meneroka berkali ganda iaitu lapan hektar," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa melakukan kawalan bagi mengelak kejadian itu daripada berlaku secara berleluasa.

Tetapi tidak terkawal, ini disebabkan oleh pegawai penguat kuasa kita tidak ramai tetapi peneroka tanah haram di negeri ini begitu banyak.

Mereka (peneroka haram) ini bukan sahaja mempunyai modal yang besar malah turut mempunyai peralatan canggih untuk menjalankan kegiatan itu," katanya.

Tidak ada Tahun Melawat Pahang

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Mohd Sharkar

KUANTAN 23 April - Kerajaan negeri tidak bercadang mengadakan Tahun Melawat Pahang dalam masa terdekat memandangkan perbelanjaan untuk mengadakan program seperti itu memerlukan peruntukan yang besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, bagaimanapun kerajaan negeri akan terus mengadakan promosi secara berterusan bagi menarik kedatangan pelancong.

Kita akan menyertai pameran antarabangsa dan domestik yang diadakan sama ada secara bersendirian mahupun di bawah agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan dan pejabat Tourism Malaysia yang berada di seluruh negara.

Kaedah ini dilihat memberi impak selain penumpuan dibuat terhadap pembangunan produk baharu dan sedia ada sejajar dengan piawaian pelancongan antarabangsa," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar) yang ingin tahu bila kerajaan negeri akan mengadakan Tahun Melawat Pahang.

Mohd. Sharkar berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak menggalakkan penganjuran tahun melawat mengikut negeri kerana dilihat mempunyai kesan kurang baik terhadap perancangan kerajaan dalam memastikan program itu mendapat sambutan.

Bagi tujuan menyokong usaha tersebut katanya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri telah mengaturkan Program Merakyatkan Seni (PMS) melibatkan kawasan Parlimen mengikut keistimewaan budaya setempat.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 95,116 orang telah direkodkan melawat Taman Negara tahun lalu, turun 1.6 peratus berbanding 2012.

Daripada jumlah ini, 57,814 adalah pelancong domestik manakala 33,530 adalah pelancong antarabangsa dan 3,772 daripada pasaran ASEAN.

Pelancongan antarabangsa adalah dari Belanda, United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Itali, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura," katanya.

Program JIUP diadakan di seluruh daerah

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

KUANTAN 23 April - Program Jelajah Informasi Usahawan Pahang (JIUP) yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 12 Mac lalu di Yayasan Pahang di sini akan diadakan di seluruh daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, sejak dilancarkan, seramai 2,000 pengunjung telah mengunjungi gerai pameran dan jualan yang disediakan.

Program JIUP telah mendapat sambutan daripada orang ramai, khususnya usahawan.

Jadi, kita akan menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini termasuklah daerah Bentong pada 2 dan 3 Mei ini, Raub (5 dan 6 Mei), Pekan (26 hingga 28 Jun manakala daerah lain tarikhnya akan ditentukan kemudian," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abd. Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam) yang ingin tahu tentang program jelajah yang dibuat kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat berhubung keusahawanan kepada rakyat, khususnya golongan belia.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, sehingga 1 Mac lalu jumlah pengisian anggota paramedik adalah 8,064 orang manakala pegawai perubatan (809).

Daripada jumlah anggota paramedik itu, bilangan pengisian mengikut skim perkhidmatan utama adalah jururawat (3,527 orang), jururawat masyarakat (1,766), penolong pegawai perubatan (692) dan penolong pegawai farmasi (260).

Namun, secara keseluruhannya jumlah itu hanya mampu menyediakan perkhidmatan dan operasi harian hospital dan klinik," katanya.

Beliau berkata, bagi memantapkan lagi perkhidmatan hospital dan klinik kesihatan, Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memohon jawatan baharu pada setiap tahun.

Penempatan pegawai perubatan dan anggota di hospital dan klinik kesihatan berdasarkan beban kerja serta keperluan perkhidmatan baharu yang diwujudkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


UMNO tidak campur operasi Utusan

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

DARI KIRI: Americk Sidhu, Liew Teck Huat, Aziz Ishak

KUALA LUMPUR 23 April - Tiada campur tangan UMNO dan kepimpinan parti itu dalam operasi editorial Utusan Malaysia serta penerbitan akhbar tersebut.

Walaupun UMNO adalah pemegang saham utama syarikat Utusan Melayu (M) Bhd., (UMMB) namun operasi Utusan Malaysia ditentukan sendiri oleh Jabatan Editorialnya dengan pertimbangan kewartawanan yang dipandu oleh karakteristik akhbar tersebut.

Itu antara keterangan Ketua Pengarang Kumpulan UMMB, Datuk Aziz Ishak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika menjadi saksi dalam perbicaraan kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kassim dan enam yang lain atas dakwaan memfitnah dengan mengaitkannya sebagai perisik negara.

Menurut Aziz, Utusan Malaysia adalah akhbar paling komited mendukung Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi itu selari dengan piagam dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan sedia ada.

Katanya, walaupun Utusan Malaysia lebih membawa aspirasi kerajaan dan UMNO tetapi tidak bermakna menyokongnya secara membuta tuli malahan akhbar tersebut dalam banyak laporan dan rencananya mengkritik, mendedahkan kepincangan serta kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN) meliputi isu-isu kepentingan umum dan hal ini boleh dibuat kajian oleh sesiapa pun.

Meskipun membawa aspirasi kerajaan namun kami tetap menjaga kepentingan umum," ujar Aziz ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.

Menjawab soalan semasa pemeriksaan semula oleh peguam Liew Teck Huat yang mewakili UMMB, Aziz menyatakan, setiap media mempunyai karakteristik tersendiri, begitu juga dengan Utusan Malaysia yang lebih membawa aspirasi kerajaan mahupun UMNO dan perkara tersebut adalah hal biasa dalam dunia media termasuk di negara Barat.

Di United Kingdom (UK) misalnya, menurut Aziz, ada akhbar yang menyokong Parti Buruh, ada juga akhbar yang memihak Parti Konservatif.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, terdapat media yang pro kepada Parti Demokrat dan ada yang membawa aspirasi parti Republikan, kata beliau.

Beliau menambah, di Malaysia umpamanya, ada beberapa lagi akhbar arus perdana yang mengikut aspirasi parti politik tertentu begitu juga akhbar yang menjadi organ parti pembangkang misalnya Roketkini, Harakah dan Suara Keadilan yang dijual secara umum.

Bahkan menurut Aziz, portal berita seperti Malaysiakini, bukan sahaja menyokong malahan menjadi suara kepada parti pembangkang terutamanya DAP.

Terdahulu, Aziz disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam Americk Sidhu yang mewakili Guan Eng menyatakan, kenyataan Ruslan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan akhbar New Straits Times, tidak mempunyai sebarang niat jahat dan ia berkaitan kepentingan umum.

Beliau menyifatkan, Ruslan adalah sumber berita yang boleh dipercayai dan dia biasa mengeluarkan kenyataan yang berbentuk soalan yang ditujukan kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan.

Beliau turut menafikan dakwaan Americk, kononnya Utusan Malaysia berniat jahat kerana tidak menghubungi Setiausaha Agung DAP itu terlebih dahulu bagi mendapat reaksi dan komen sebelum menyiarkan dakwaan Ruslan.

Aziz menjelaskan, banyak pemimpin kerajaan yang dikritik oleh Utusan Malaysia dalam laporan yang disiarkan tanpa mendapatkan komen pihak yang terlibat terlebih dahulu.

Anwar fail rayuan hari ini

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

PUTRAJAYA 23 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan esok.

Peguam daripada firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co., Zaleha Al-Hayat memberitahu, pihak pembelaan akan menyegerakan pemfailan petisyen tersebut selepas pertimbangan bagi mendapatkan lanjutan masa selama dua minggu ditolak.

Menurutnya, firma guaman itu menghantar surat kepada Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan semalam bagi memohon lanjutan masa ekoran kemalangan maut yang meragut nyawa peguam utama kes itu, Karpal Singh pada Khamis lalu.

Pejabat Pendaftar dalam satu surat kepada firma guaman itu yang dihantar melalui faksimile petang ini menyatakan, pembelaan sepatutnya memfailkan notis usul memohon lanjutan masa, bukannya melalui penghantaran surat," ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zaleha menyatakan, pihak pembelaan bagaimanapun tidak bercadang mengemukakan notis usul kerana esok merupakan tarikh akhir untuk memfailkan petisyen tersebut.

Sehubungan itu, katanya, peguam Ramkarpal Singh sedang menyiapkan petisyen rayuan sebelum difailkan esok.

Zaleha berkata, pihak pembelaan mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas firma itu menerima alasan penghakiman bertulis daripada mahkamah pada 14 April lalu.

Menurut beliau lagi, peguam kanan, Datuk Sulaiman Abdullah, yang sebelum ini merupakan peguam utama mewakili Anwar dalam kes liwat itu, akan menyertai semula barisan peguam bela bagi menggantikan mendiang Karpal.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mohd. Aizuddin Zolkeply dalam kenyataan akhbarnya hari ini menyatakan, permohonan pelanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan hendaklah dibuat melalui notis usul kepada mahkamah dan bukannya melalui surat.

Jelas beliau, setelah notis usul difailkan, permohonan tersebut akan didengar di hadapan hakim-hakim yang kemudian akan membuat keputusan sama ada dibenarkan atau sebaliknya.

Semua prosedur ini jelas dinyatakan di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995," menurut beliau lagi.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh.

Panel tersebut membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diketuai oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Saintis pantau aisberg terbesar terpisah dari Antartika

Posted: 23 Apr 2014 10:50 AM PDT

WASHINGTON 24 April - Para saintis kini sedang memantau keadaan sebuah aisberg berukuran enam kali bandar raya Manhattan, yang terpisah dari glasier Antartika dan kini menuju ke kawasan lautan terbuka.

Pakar glasier NASA, Kelly Brunt berkata, keluasan aisberg yang dikenali sebagai B31 yang terpisah dari Antartika pada akhir Novermber lalu itu, berukuran 660 kilometer persegi dengan ketebalan 500 meter.

"Kami kini sedang memantau keadaan salah satu daripada aisberg terbesar dan dijangkakan ia akan bergerak ke kawasan lautan yang tidak menjadi tumpuan kapal-kapal," jelasnya. - REUTERS

Wartawan AS ditahan pemisah pro-Rusia berada dalam keadaan baik

Posted: 23 Apr 2014 10:48 AM PDT

SLAVIANSK, Ukraine 24 April - Kumpulan pemisah pro-Rusia di timur negara ini, mengesahkan penahanan seorang wartawan Amerika Syarikat yang bekerja untuk agensi berita Vice News, semalam.

Datuk Bandar Slaviansk, Vyacheslav Ponomaryov berkata, wartawan berkenaan Simon Ostrovsky ditahan kerana melaporkan berita yang salah dan boleh memberi kesan `tidak baik' kepada kumpulan pro-Rusia, namun begitu, dia dilayan dengan baik.

"Tiada perkara buruk berlaku kepada Ostrovsky. Dia bersama kami, dan dia dianggap sebagai tetamu dan bukannya tahanan," jelas Ponomaryov. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Iktibar dasar luar Kuala Lumpur

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh Azmi Hassan

Najib Tun Razak bersalaman dengan Barack Obama ketika mengadakan pertemuan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Nusa Dua, Bali, 18 November lalu.- BERNAMA

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam agenda melakukan kunjungan ke empat ibu kota utama Asia iaitu Tokyo, Seoul, Manila dan Kuala Lumpur yang telah pun bermula semalam, merupakan lawatan yang kritikal kerana ia mampu memberi isyarat paling nyata bahawa Washington akan tetap memberi tumpuan tanpa berbelah-bahagi kepada rantau tersebut.

Kritikal kerana telah mula timbul persepsi bahawa Washington di bawah pentadbiran Obama tidak begitu berminat dengan keadaan geopolitik yang melibatkan Asia kerana kemelut di Syria dan paling terkini di Ukraine telah mempamerkan manifestasi bahawa setiap keputusan yang melibatkan strategi ketenteraan begitu sukar untuk di laksanakan.

Tiga sekutu utama Washington di Asia iaitu Tokyo, Seoul dan juga Manila begitu mengharapkan sesuatu yang nyata terbit daripada hasil lawatan Obama kerana ketiga-tiga ibu kota Asia tersebut memerlukan isyarat positif bahawa Washington akan membantu sekutunya di Asia apabila berhadapan dengan tekanan ketenteraan dari negara lain.

Tokyo umpamanya yang mempunyai masalah tuntutan sempadan maritim bertindih dengan China yang melibatkan kepulauan Senkaku atau dikenali sebagai Diaoyu oleh Beijing amat memerlukan sokongan AS untuk berhadapan dengan kuasa besar Asia itu.

Keputusan Tokyo untuk menghebahkan perancangan pembinaan radar di Pulau Yonaguni bagi memantau perairan dan ruang udara Senkaku/Diaoyu selang beberapa hari sebelum lawatan Obama sudah pasti menimbulkan kesangsian Beijing.

Begitu sensitifnya pembinaan radar tersebut bukan sahaja kerana ia melibatkan isu tuntutan bertindih Senkaku/Diaoyu tetapi juga lokasinya yang begitu hampir dengan Taiwan. Perlu ditegaskan Beijing menganggap Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah China.

Jika Tokyo dengan berita pembinaan radar, Seoul pula tidak ketinggalan mengambil peluang daripada lawatan Obama dengan desas-desus bahawa Pyongyang sedang bersiap-sedia untuk melancarkan ujian ledakan nuklear.

Belum dapat dipastikan kesahihan berita tersebut tetapi amat jelas bahawa ancaman Pyongyang di Semenanjung Korea merupakan satu isu yang perlu dihadapi oleh Washington.

Isu pembangunan senjata nuklear Pyongyang sukar mencari jalan penyelesaian kerana sedikit-sebanyak faktor sokongan yang diberikan oleh Beijing terhadap pemimpin Korea Utara.

Begitu juga dengan Manila yang terpaksa berhadapan dengan kekuatan tentera laut China kerana masalah tuntutan bertindih di Kepulauan Paracel di Laut China Selatan amat memerlukan sokongan dari Washington.

Peristiwa pertembungan di Beting Scarborough dan Thomas Kedua baru-baru ini adalah manifestasi jelas kepentingan kehadiran tentera AS di Filipina.

Besar kemungkinan satu perjanjian baharu akan dimeterai antara kedua-dua sekutu ini yang melibatkan penempatan tentera AS di pangkalan tentera Filipina. Perjanjian ini dinilai paling signifikan selepas pembubaran pangkalan tentera Teluk Subic dan Clark milik AS pada tahun 1991.

Sokongan yang cuba diraih oleh Tokyo, Seoul dan Manila melibatkan pemangkin yang serupa, iaitu persepsi ancaman dari Beijing.

Sebab itu Washington amat berhati-hati dalam menyusun agenda lawatan Obama kerana tidak mahu Beijing membuat tafsiran yang berat sebelah terhadap sokongan Washington kepada ketiga-tiga sekutu Asianya.

Sebarang sokongan yang agak keterlaluan oleh Washington sudah pasti akan ditimbal balik oleh Beijing dengan strategi yang sama dan pasti akan menjadikan rantau Asia menjadi tidak stabil.

Sebab itu, begitu penting bagi Washington untuk menilai kembali strategi Asia mereka kerana pertembungan dengan Beijing mesti dihindarkan selagi termampu.

Seperti mana Tokyo, Manila dan Seoul yang mempunyai masalah tuntutan sempadan maritim bertindih dengan Beijing, Kuala Lumpur juga menghadapi isu yang serupa terutama sekali yang melibatkan gugusan Kepulauan Spratly dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.

Tetapi Kuala Lumpur tidak menggunakan lawatan Obama untuk memperkukuhkan jalinan ketenteraan kedua-dua negara kerana konsep tersebut tidak mempamerkan dasar luar Malaysia yang sebenar.

Isu Beting Scarborough dan Thomas Kedua yang begitu hampir menjerumus kepada pertembungan ketenteraan di antara Manila dan Beijing beberapa bulan yang lepas adalah senario yang tidak diingini bukan sahaja oleh kedua-dua pihak yang bertelagah tetapi juga oleh semua negara di rantau Asia Pasifik.

Pendekatan dasar luar yang diamalkan oleh Kuala Lumpur terutama sekali yang berkaitan dengan tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu dijadikan model bukan sahaja oleh negara yang terbabit secara langsung tetapi juga kuasa besar seperti Washington.

Peristiwa pengawal pantai China menceroboh kawasan perairan Beting Serupai yang terletak dalam EEZ Malaysia dan strategi Kuala Lumpur menangani insiden tersebut adalah selari dengan apa yang dihadapi oleh Manila, terutama sekali yang melibatkan Beting Scarborough.

Pendekatan konfrantasi yang diambil oleh Manila gagal mengekalkan status-quo Beting Scarborough tetapi pendekatan pragmatik Kuala Lumpur berjaya mengekalkan keadaan kepada seperti biasa iaitu Beting Serupai tetap dalam kawalan Malaysia tanpa menimbulkan suasana provokasi terhadap Beijing.

Tidak diketahui apakah agenda perbincangan di antara Obama dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad ini tetapi seharusnya ia pasti turut melibatkan isu kestabilan dan keselamatan Laut China Selatan.

Najib perlu mengambil peluang bahawa strategi dasar luar Kuala Lumpur yang berpaksikan kepada konsep kesederhanaan adalah kaedah terbaik yang perlu diamalkan oleh Washington terutama sekali apabila ia melibatkan Beijing dan tingkah-lakunya di Laut China Selatan.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

Bahasa dan budaya jambatan perpaduan

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

PERANAN bahasa sangat penting dalam mengeratkan perpaduan kaum. Bahasa yang baik dan berilmu akan menjadi bahasa pengantar, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti bahasa Melayu kepada sesebuah negara seperti Malaysia. Begitu juga peranan budaya dapat mengeratkan perpaduan kaum.

Justeru, bahasa Melayu sebenarnya sudah lama mampu dan berfungsi sebagai peranannya dalam menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini.

Di sekolah murid diajar menulis dan bercakap serta berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa penerokaan ilmu.

Tidak ada kelebihannya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris setiap hari sama ada di rumah atau di tempat kerja. Malah tiada kekurangan pun jika berbahasa Melayu di rumah dan juga di tempat kerja dan di majlis rasmi.

Bahasa Melayu lebih hebat dan indah kerana mempunyai kesantunan dan keindahan melalui pantun, peribahasa dan kata-kata hikmat.

Apa yang paling penting, para pengguna bahasa tidak mencampuradukkan kedua-dua bahasa dalam percakapan seharian. Ini diibaratkan seperti "Sekerat ular dan sekerat belut" yang boleh merosakkan bahasa terutama bahasa Melayu.

Manakala budaya juga dapat mengeratkan pelbagai kaum dalam kepelbagaian budaya di sesebuah negara. Setiap rakyat di negara ini yang memahami budaya kaum-kaum lain akan menghormati budaya dan adat resam mereka.

Malaysia mempunyai 30 juta penduduk dan terdiri daripada lebih 200 etnik yang pelbagai berdasarkan bangsa/kaum, struktur atau kelas sosial, bahasa, kepercayaan, dan adat resam sesuatu kelompok masyarakat yang sangat unik.

Takrif sosiobudaya adalah berkaitan ilmu antropologi, iaitu ilmu berkaitan hubungan masyarakat dengan budaya (seperti cara hidup, adat istiadat, dan lain-lain). Justeru, ahli masyarakat sewajarnya memahami ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama di mana asalnya adalah serupa sifatnya.

Hubungan antara anggota masyarakat dengan budaya atau amalan hidup mereka hendaklah difahami dan diamalkan.

Setiap budaya mempunyai keindahan dan keunikan yang perlu dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara. Budaya yang unik dan dapat diterima oleh pelbagai kaum juga dapat menarik para pelancong luar negara sebagai aset pelancongan yang mendatangkan sumber ekonomi negara.

Hikmah kepelbagaian sosial dan budaya perlu diraikan oleh setiap masyarakat. Setiap kaum perlu menginsafi dan menghormati kelainan tersebut. Kelebihan ini akan dapat menambahkan pengetahuan anggota masyarakat selain kaum itu sendiri tentang sesuatu keistimewaan kaum tersebut. Hal ini akan meningkatkan penyelidikan kajian etnik di Malaysia.

Kepelbagaian sosial budaya ini boleh menjadi produk pelancongan negara. Moto pelancongan Malaysia Truly Asia dapat menggambarkan bahawa pelancong asing boleh mendapatkan pengalaman budaya yang banyak dan menarik hanya dengan melancong di Malaysia sahaja.

Di samping itu, pendekatan sosial dan kebudayaan sebenarnya boleh dibentuk melalui perkongsian nilai-nilai murni yang diamalkan oleh pelbagai kaum. Misalnya nilai menghormati antara satu sama lain.

Menurut pakar pengkaji etnik di Institut Kajian Etnik (KITA) dan Ketua Pegawai Penyelidik dan Fellow Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Denison Jayasooria, ketika ditanya tentang hal ini menyatakan setakat ini peranan bahasa dan sosial budaya amat berkesan dalam mengekalkan perpaduan kaum di negara ini.

Menurutnya, perpaduan kaum melalui bahasa kebangsaan telah diamalkan sejak dulu dan berlaku di sekolah rendah dan menengah di negara ini yang membuktikan semua murid boleh berkomunikasi dan berhubung melalui bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

Justeru, katanya melalui pendidikan di sekolah, perpaduan dapat diterapkan melalui bahasa dan juga pemahaman budaya kaum-kaum lain melalui aktiviti budaya yang diamalkan dan diajar dalam kegiatan kokurikulum.

Oleh itu, setiap kaum atau etnik mempunyai ciri-ciri tersendiri yang dapat menunjukkan identiti diwarisi dan akan diwariskan kepada generasi mereka pada masa akan datang.

Antara ciri utama pengenalan identiti kaum ialah bahasa pertuturan, pakaian, adat resam, dan agama yang diamalkan dalam kehidupan mereka.

Perlu juga difahami bahawa sosial budaya menerangkan tentang hal-hal berkaitan dengan masyarakat. Pemahaman ini juga perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah lagi dan dimantapkan dalam masyarakat.

Kepelbagaian dalam budaya perlu diraikan tetapi mestilah berpaksikan kepada ketaatan dan kecintaan kepada negara dengan berlandaskan kefahaman, keadilan, keharmonian dan saling menghormati. Kepelbagaian ini juga mestilah berpaksikan semangat Perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.

Memetik pandangan Crassy Morrison, kebudayaan mana pun yang tidak mempunyai landasan akidah dan agama, pasti akan hancur.

Cabaran dalam masyarakat majmuk amat banyak. Oleh itu, sifat bertolak-ansur antara kumpulan kaum sangat dituntut.

Pihak kerajaan juga perlu mencari strategi yang lebih kreatif untuk meningkatkan integrasi kaum di negara ini melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan seperti seminar bahasa dan budaya merentasi kepelbagaian kaum.

PENULIS ialah pengamal media berkelulusan Ph.D Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Nokia tampil Android

Posted: 21 Apr 2014 12:05 AM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

TERUS mencabar pasaran telefon bimbit pintar masa kini, Nokia tampil memperkenalkan peranti bajet rendah menerusi Nokia X.

Telefon bimbit pintar yang dijana oleh sistem operasi Android selain dibina di atas sistem Antaramuka Pemprogram Aplikasi (API) Nokia ini turut dikuasakan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon Dual Core 1 Gigaherz (GHz).

Disokong oleh bateri berkapasiti 1500 mAh, Nokia X mampu menyokong masa guna sehingga 13 jam serta dimuatkan dengan 18 aplikasi termasuk laman sosial Facebook, Vine dan Skype.

Menurut Ketua Pemasaran Pan Asia, Gary Chan, sistem operasi Android yang dibangun secara sumber terbuka itu akan memberikan pemiliknya pengalaman berbeza dengan telefon pintar lain dalam kelasnya.

Kombinasi unik yang ditonjol menjadikan Nokia X setara dengan telefon bimbit premium lain sekali gus meletakkan penanda aras baharu kepada pesaing.

Selain itu, dengan harga rendah dan mampu milik menjadikan peranti ini antara pilihan bagi mereka yang sukakan kelainan," katanya pada majlis memperkenalkan Nokia X di ibu negara baru-baru ini.

Dengan ukuran 115.5 x 63 x 10.4 milimeter dan berat 128.7 gram sudah pasti peranti ini mudah disimpan di dalam poket seluar mahupun beg tangan.

Sistem Operasi Nokia X yang dimiliki membolehkan peranti ini dimuatkan dengan sistem navigasi luar talian HERE Maps.

Berada di pasaran bermula pertengahan Mac, Nokia X diperkenalkan pada harga RM399 dengan empat pilihan warna iaitu hijau terang, putih, merah dan hitam.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Nokia X, boleh layari laman web www.nokia.com/about-nokia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Selesa bawa anak ke lokasi

Posted: 23 Apr 2014 06:18 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar MD.SHAHJEHAN MAAMIN

SHERA lebih senang menjaga sendiri anak kecilnya

"CAHAYA mata itu amanat daripada Yang Maha Esa." Begitulah ungkapan yang tertanam dalam diri pengacara dan pelakon kecil molek Shera Aiyob ketika berbicara mengenai putera sulungnya, Nadi Anaqi yang kini sudah berusia sepuluh bulan.

Bertemu dengan pelakon kecil molek di lokasi penggambaran drama Masihkah Ada Kasih di Putrajaya baru-baru ini, Shera kelihatan gembira dan bahagia di sisi anaknya.

Sesekali, ada masa rehat dia akan menjenguk Anaqi yang ditinggalkan bersama emak saudaranya ketika berada di lokasi penggambaran. Sebenarnya, begitulah rutin harian Shera setelah bergelar seorang ibu.

Tekad Shera untuk tidak sesekali leka dalam menunaikan tanggungjawab bergelar ibu walaupun sibuk dengan kerjaya. Begitu juga dengan suaminya, Zahiril Adzim yang juga seorang pelakon.

Komitmen menjaga anak yang masih kecil tanpa bantuan orang lain juga bukan satu bebanan yang memeritkan rutin kehidupan berkeluarga buat dirinya.

"Saya lebih selesa menjaga anak tanpa bantuan pengasuh atau menghantar ke taska untuk dijaga. Atas permintaan suami dan keluarga, kami mengambil keputusan untuk tidak menyerahkan Anaqi kepada orang lain.

"Saya sanggup berkorban asalkan tidak menyusahkan keluarga saya mahupun keluarga mertua dalam soal penjagaan anak. Selepas habis pantang, saya terus memulakan penggambaran. Saya bawa Anaqi ke set kerana dia masih menyusu badan. Suami akan upah orang gaji sementara dan hanya akan menjaga Anaqi ketika dalam set," tutur Shera.

ZAHIRIL banyak membantu Shera menguruskan rumah tangga mereka.

Suami restu kerja

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Shera berkata, suami sangat merestui apa yang dilakukan. Malah keputusan untuk menerima tawaran bergantung pada dirinya sendiri.

"Suami tidak pernah melarang. Dia cuma nasihatkan saya untuk bertahan kerana cabaran terbesar buat diri saya adalah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan anak. Memang Zahiril memahami kerjaya saya dan tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang lakonan. Dia akan menyokong apa jua keputusan saya, asalkan tidak mengabaikan anak," katanya.

Dalam pada itu, Shera berkata, suaminya juga akan menjaga anaknya jika ada masa terluang dan merasakan dirinya beruntung kerana dikurniakan suami yang pandai menjaga anak kecil mereka.

"Suami saya banyak membantu, dia boleh menjaga Anaqi dengan baik. Kami bergilir-gilir menjaganya jika ada kelapangan, lebih selesa begitu. Memang sangat seronok ada anak," kata Shera lagi.

Disoal pula berkenaan watak yang diidamkan, Shera berkata, dia mengimpikan watak kasar yang tidak keterlaluan.

"Watak itu yang betul-betul saya inginkan memandangkan saya sering membawakan watak sebagai wanita lembut. Saya mahu watak yang menguji lakonan saya lepas ini," jelasnya.

Berkenaan watak yang dibawakan dalam drama 40 episod, Masihkah Ada Kasih itu, Shera membawakan watak Manisah, seorang wanita yang lemah-lembut tetapi tegas untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya.

Takut ambil pembantu rumah

Ketika ditanya sebab utama membawa anak ke lokasi penggambaran, Shera atau nama sebenarnya Nur Syahirah Aiyob, 28, kes penderaan yang semakin meningkat membuatkan dia dan suami juga tidak mempercayai khidmat pembantu rumah bagi mengurus keperluan anak sulung mereka.

"Zahiril tidak mahu ambil pembantu, dia takut kerana banyak kes penderaan oleh pembantu rumah yang kita dengar sekarang. Oleh itu, saya memilih untuk membawa Anaqi dan gembira dia membesar depan mata saya sendiri. Nasib baik Anaqi seorang bayi yang tidak banyak kerenah.

"Dia (Anaqi) hanya akan menangis apabila bila lapar dan mahu tidur," katanya.

Malah, kata Shera, suaminya juga melarang dia menonton video-video kes dera yang semakin berleluasa.

"Suami memang tak bagi saya melihat klip-klip video kes dera. Kalau dia tahu, dia akan marah. Sebab itu juga, sampai sekarang saya takut untuk mempercayai orang yang tidak dikenali," ujarnya biarpun ada terfikir untuk mengambil orang gaji.

Ditanya mengenai perkembangan anaknya, Shera berkata, Anaqi kini sudah pandai mengenali orang sekeliling berdasarkan reaksi yang ditunjukkan.

"Kalau dia kenal orang itu, dia akan ketawa, kalau tak kenal, dia akan jadi takut," kata Shera sambil memberitahu Anaqi lebih rapat dengan dirinya berbanding Zahiril.

.

Pemilik suara 'emas' di RTM

Posted: 23 Apr 2014 06:18 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR

TAUFIK LATIFF

PADA era awal dunia penyiaran televisyen (TV) pada tahun-tahun 1970-an di negara ini, cuma ada dua saluran sahaja iaitu TV1 dan TV2 yang terletak di bawah naungan Radio Televisyen Malaysia atau RTM.

Menerusi TV1 pelbagai rancangan hiburan terutama pertandingan nyanyian yang bukan sahaja menampilkan para pesertanya yang berbakat, malah pengacaranya turut menjadi perhatian ramai penonton.

Populariti Taufik Latif sebagai pengacara jika diukur daripada sudut popularitinya, ia boleh disamakan dengan populariti Datuk Aznil Nawawi pada hari ini. Justeru, bagi para penonton yang membesar pada era tahun 1970-an sehingga awal 1990-an, nama Taufik dalam bidang pengacaraan di saluran TV RTM memang tidak perlu dipersoalkan lagi kerana bakatnya yang unik dan tersendiri itu.

Pada usia 27 tahun si pemilik suara emas ini telah diberi kepercayaan untuk mengacarakan rancangan-rancangan hiburan TV terbitan dan yang paling popular adalah pertandingan Bakat TV di TV1 pada 1971.

Justeru, pemergian Allahyarham ke rahmatullah pada 17 April lalu turut sama dirasai kehilangannya dan banyak pihak turut 'terkesan'.

Menurut bekas penyampai radio RTM, Chuari Selamat, bakat Allahyarham amat terserlah menerusi intonasi dan gaya pergerakannya sewaktu mengacarakan apa-apa juga rancangan atau majlis di RTM ketika itu.

"Seingat saya, arwah bukan sahaja popular di kaca TV ketika itu tetapi beliau juga pernah ditukarkan selama beberapa tahun sebagai penyampai Radio KL pada tahun 1970-an. Arwah juga menunjukkan bakatnya sebagai penyampai radio.

"Ketika itu, namanya juga sebaris dengan penyampai radio RTM yang lain seperti Karim Mohamad dan Jamaluddin Alias. Bagaimanapun nama arwah lebih menonjol sebagai pengacara rancangan TV," katanya kepada Hits.

Allahyarham Taufik yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor kerana serangan penyakit jantung memang disegani oleh pengacara lain termasuklah dari kalangan muka-muka baru.

Malah, kebanyakan artis yang pernah menyertai Bakat TV seperti Datuk Jamali Shadat, Abdul Rahim Othman dan A.R. Badul pastinya tidak akan melupakan arwah sebagai pengacara pertandingan yang mereka sertai itu.

Boleh dikatakan lebih separuh pertandingan Bakat TV yang dimulakan pada 1971 meletakkan Allahyarham sebagai pengacara itu sehinggalah ia ditukar kepada pertandingan Bintang RTM mulai penghujung tahun 1970-an.

Tidak cukup setakat itu, Allahyarham juga pernah diamanahkan sebagai pengacara pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini pada 1994 yang mana ketika itu menyaksikan Nora muncul sebagai juara dalam pertandingan tersebut.

Sementara itu, bekas juruhebah radio RTM yang juga penulis lirik terkenal, Habsah Hassan berkata, keunikan Allahyarham adalah daripada segi intonasi suaranya yang lain berbanding penyampai dan pengacara lain.

Pembabitan Allahyarham sebagai penyampai radio secara tidak langsung bukan sahaja membuktikan bakatnya dalam bidang penyiaran tetapi juga menambahkan lagi bilangan peminat yang mengenalinya.

"Para peminat zaman dulu mereka lebih utamakan suara dan bakat, rupa jadi perkara dua. Begitulah yang berlaku ke atas Allahyarham yang dikenali ramai kerana suaranya, berbanding sekarang orang lebih kenal rupa dari suara," komen Habsah.

Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Gombak, Selangor sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70 pada 28 Mei ini mula uzur dengan pelbagai penyakit akhir-akhir ini.

Jelas adik Allahyarham, Roziah Taufik, selain menghidap penyakit jantung, abangnya itu juga menghidap beberapa penyakit lain seperi kencing manis dan darah tinggi sehingga ia membataskan kerjayanya sebagai pengacara pada penghujung hayatnya.

"Walaupun telah bersara sebagai kakitangan RTM pada penghujung tahun 1990-an tetapi arwah masih mendapat tawaran sebagai pengacara majlis sehingga ke akhir hayatnya. Ia bagi mengisi masanya selepas bersara," ujarnya.

Hasil perkahwinan Allahyarham dengan Aminah Mohd. Zain yang telah meninggal dunia kira-kira sepuluh tahun lalu, Allahyarham dikurniakan seorang anak perempuan, Anisah Taufik, 35, selain seorang anak tiri, Dr. Arif.

Jenazah Allahyarham telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor sebelum solat Jumaat pada 18 April lalu.Al-Fatihah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tidak serik diserbu DBKL

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusan.com.my

PASAR Karat menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli barangan terpakai sejak awal pagi lagi. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 22 April - Pasar Karat di lorong belakang Jalan Sultan di sini yang diserbu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bulan lalu kerana menjadi lokasi penjaja menjalankan perniagaan tanpa permit dan lesen masih bergiat aktif seperti biasa.

Perkara itu jelas menunjukkan peniaga-peniaga barangan terpakai itu tidak serik dengan tindakan penguatkuasaan terhadap mereka, walaupun menyedari hukuman yang menanti.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan lorong belakang itu baru-baru ini mendapati semakin ramai peniaga mengambil kesempatan berniaga ekoran kehadiran ramai pelanggan di kawasan itu.

Seawal pukul 6.30 pagi sudah kelihatan beberapa peniaga bersiap sedia dengan barangan yang ingin dijual di kawasan itu, seolah-olah mereka sudah mempunyai petak masing-masing.

Apabila jam menunjukkan pukul 7 pagi, kawasan itu dilihat seperti pesta apabila orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu mula mengerumuni para peniaga untuk melihat barangan yang dijual.

Lebih mengejutkan, jumlah peniaga semakin bertambah berbanding sewaktu DBKL melakukan operasi di kawasan itu pada Mac lalu dan ini menyebabkan mereka yang berniaga dengan hanya beralaskan tikar atau tikar melimpah ke tepi jalan.

Pihak polis yang meronda kawasan tersebut hanya mampu melihat aktiviti yang dijalankan kerana bukan bidang kuasa mereka untuk menahan peniaga haram tanpa lesen tersebut.

Sementara itu, tinjauan mendapati sebahagian besar peniaga begitu ramah melayan pelanggan yang mendekati tempat jualan mereka.

"Ini jam ori (tulen) bang. Buat apa saya nak tipu abang. Kalau jual benda yang salah, tak berkat nanti," kata seorang peniaga jam selepas wartawan Utusan Malaysia membelek salah satu jam tangan yang dijualnya.

Sementara itu, seorang pelanggan yang enggan dikenali memberitahu, barangan terpakai yang dijual di pasar itu adalah lebih murah dan pelanggan boleh menawar harga yang ditetapkan oleh peniaga.

"Bagaimanapun, saya yakin pasar ini juga menjadi tempat kepada segelintir pihak menjual barangan curi untuk mendapat wang segera," dakwanya.

Dalam pada itu, tinjauan juga mendapati, kebanyakan peniaga di kawasan itu bukan warganegara Malaysia kerana mereka menggunakan dialek rakyat tempatan.

Dipercayai kebanyakan daripada mereka merupakan rakyat dari negara jiran.

Keberanian mereka menjalankan perniagaan secara haram walaupun selepas diserbu DBKL sebelum ini seolah-olah mencabar pihak berkuasa itu.

Seharusnya, DBKL terus bertegas terhadap mereka dan menguatkuasakan undang-undang yang ada kerana tidak mahu menyekat rezeki mereka tidak wajar untuk dijadikan alasan.

Catuan air boleh gugat keamanan

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

PUTRAJAYA 22 April - Masalah catuan air yang telah berlarutan selama dua bulan di sekitar Lembah Klang boleh membawa kesan buruk sehingga mampu menggugat ketenteraman awam.

Felo Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), Tun Mohamed Haniff Omar berkata, jika isu kekurangan air tidak segera diatasi, keadaan lebih buruk sehingga mengakibatkan kes jenayah seperti pergaduhan dan pembunuhan boleh berlaku.

Beliau berkata, adalah tidak berasas sekiranya sebuah negara beriklim tropika seperti Malaysia yang sentiasa menerima hujan mencukupi mengalami masalah kekurangan air sehingga terpaksa dicatu.

"Tanpa rasuah yang berleluasa persekitaran dan ekologi kita lebih terjamin. Pembekalan air di negara tropika seperti Malaysia yang terkenal dengan hujan dan ribut tidak mungkin terganggu seperti sekarang sehingga terpaksa berhadapan dengan masalah catuan air sejak dua bulan lalu.

"Saya bersetuju dengan kenyataan seorang tokoh polis yang mengadakan satu seminar bertajuk Selamatkan Alam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) baru-baru ini.

"Beliau berkata, masalah kekurangan air boleh menggugat ketenteraman awam dan mengakibatkan pergaduhan dan pembunuhan," katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan tengah hari bertema Cabaran Keselamatan Awam Masa Kini di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mohamed Haniff yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, tokoh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penganalisis barat turut meramalkan bahawa manusia kemungkinan berhadapan peperangan antara negara akibat masalah air di masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak memandang ringan isu air dan penerokaan haram di hutan serta tanah rizab sehingga boleh menjejaskan kehidupan manusia.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff ketika mengulas insiden pencerobohan dan penculikan yang berlaku di Lahad Datu serta Semporna, Sabah berkata, situasi tersebut merupakan cara hidup penculik dari negara jiran itu sejak dahulu lagi.

"Semasa saya bertugas di Tawau pada tahun 1963, kami sering mendengar gerombolan ini menawan Lahad Datu dan Semporna sejak zaman penjajahan British, kerana ini merupakan gaya hidup mereka bagi mendapatkan sumber ekonomi.

"Kita berharap dengan perjanjian damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) suasana ini berubah dan pada masa yang sama, kerajaan Filipina boleh memberi kebenaran kepada Malaysia memburu penculik ini di kawasan mereka seperti kebenaran yang diberi oleh Thailand pada tahun 1960 sehingga 1980," katanya.

Beliau berkata, jarak yang dekat antara Filipina dan Sabah menyebabkan aktiviti jenayah sukar dibanteras di kawasan tersebut sekiranya kebenaran itu tidak diberikan.

Mengulas isu sensitiviti agama yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini, beliau berkata, masalah itu berlaku disebabkan tiada pemimpin negara atau pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang perbandingan agama untuk menangani isu tersebut.

"Sebelum ini kita tidak pernah berdepan isu agama, perkara ini berlaku kerana ada pihak politik yang cuba menangguk di air yang keruh.

"Saya belum nampak ada pemimpin kerajaan yang boleh tangani isu ini kerana kita tiada kepakaran dalam bidang perbandingan agama sama ada melibatkan jabatan agama atau pemimpin kerajaan," katanya.

Penduduk dapat pampasan jika rumah diroboh

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 April - Perbadanan Kampung Baru (PKB) akan hanya memberi pampasan kepada mangsa kejadian tanah mendap di Kampung Pindah, Kampung Baru di sini sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah dan kediaman dirobohkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bahawa cuma sebuah keluarga yang memiliki dua buah rumah di kampung itu telah dipanggil untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.

"Pemilik rumah yang lain diminta bersabar kerana mereka perlu faham bahawa setiap rumah mempunyai nilai berbeza dan perbincangan hanya boleh dilakukan satu demi satu dan bukan dengan semua keluarga sekali gus," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pemberian pampasan kepada 22 pemilik buah rumah yang terjejasa ekoran kejadian tanah mendap di Kampung Pindah, Kampung Baru yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Masalah itu menyebabkan rumah penduduk retak dan tidak selamat untuk didiami.

Menurut Naharuddin, PKB sudah meminta supaya JPPH menyiapkan laporan mengenai semua 22 rumah yang terlibat dalam masa empat bulan.

Jelasnya, ini akan dapat memudahkan lagi proses perbincangan dan seterusnya pemberian pampasan kepada semua pemilik kediaman.

Sementara itu, beliau menjelaskan, segala pampasan yang dituntut oleh penduduk perlu diajukan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana PKB belum ditubuhkan semasa palung yang menjadi punca tanah mendap itu dibina.

"Tugas penyelenggaraan palung tersebut merupakan di bawah tanggungjawab JPS sejak sekian lama dan tidak wajar untuk mendesak PKB yang baru beberapa tahun ditubuhkan untuk membayar pampasan," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Amalina puas dapat bantu keluarga

Posted: 23 Apr 2014 06:18 AM PDT

Oleh Siti Aishah Yusoff

Nur Amalina Md Lutfi Amin

Jika sebahagian remaja lain sedang bergelut menyambung pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi awam mahupun swasta demi kelangsungan hidup yang lebih terjamin pada masa depan, berbeza pula dengan Nur Amalina Md Lutfi Amin, 24.

Pada usia yang masih muda, dia berasa puas apabila dapat membantu keluarganya menjalani kehidupan yang lebih baik, melalui pekerjaan yang dilakukannya sekarang.

Baginya, tidak ada apa yang lebih bermakna dalam hidup berbanding melihat kedua ibu bapa serta adik-beradiknya gembira dan bahagia.

"Bukan tidak mahu menyambung pelajaran sementelah keputusan peperiksaan saya tidaklah teruk sangat, tetapi dalam hidup kadangkala kita perlu memberi keutamaan.

"Buat masa ini keutamaan saya adalah membantu keluarga. Impian dan cita-cita peribadi boleh ditangguh atau boleh juga dilakukan sepanjang tempoh saya menimba pengalaman bekerja," katanya perlahan tetapi tegas.

Amalina, yang merupakan anak sulung daripada lima beradik, kerap mengingatkan pada diri sendiri bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan harus diiringi dengan niat ikhlas dan reda kepada Allah.

Sememangnya gadis bermata bundar ini seorang yang cekal dan kuat berusaha membantu keluarganya.

Pelbagai kerja pernah dicuba daripada pekerja biasa di restoran makanan segera selama beberapa tahun hinggalah menyandang jawatan pegawai khidmat pelanggan di syarikat perbankan.

Kini dia bertugas sebagai Ketua Komunikasi dan Operasi di sebuah butik pakaian iaitu My Designer Label.

Ternyata, pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat di beberapa syarikat, menjadikannya seorang gadis yang matang dan berjiwa kental.

Menyoroti hidup gadis kecil molek yang dilahirkan dalam keluarga sederhana ini, Amalina mengakui aura sebagai anak sulong dan anak perempuan tunggal dalam keluarga menjadikannya lebih berkeyakinan dan berdikari.

Malah, peranannya sebagai pelindung kepada empat orang adik lelak, menjadikan dia sentiasa berusaha menggalas tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.

Baginya tiada istilah memperoleh kesenangan dengan mudah tanpa disusuli dengan usaha yang kuat.

Amalina juga tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi

"Tidak bermakna saya tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi saya tidak boleh berjaya. Menuntut ilmu tidak terhad dalam bilik darjah semata-mata, sebaliknya boleh dilakukan di mana-mana sahaja tidak kira tempat dan waktu.

"Tiada bukti yang menyatakan jika tidak belajar tinggi tidak boleh mendapat pekerjaan yang baik. Dahulu, semasa berkhidmat di restoran makanan segera, saya bermula dari bawah sebagai pekerja bahagian penyediaan makanan dan minuman, sehinggalah diberi tanggungjawab sebagai pengurus restoran pada usia 21 tahun.

"Menggalas tanggungjawab ini dalam usia muda ia sedikit memberi cabaran kepada diri terutama untuk menguruskan pekerja yang lebih berusia. Ketika inilah kemahiran komunikasi sangat penting diaplikasikan supaya tidak timbul salah faham dalam kalangan mereka selain mereka mudah menerima arahan yang diberikan.

"Pengalaman bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan di bank juga membuka ruang dan jalan untuk saya menimba ilmu dengan lebih luas.

"Bidang tugas tersebut memerlukan saya berhubung dan berkomunikasi dengan orang ramai. Ini menjadikan diri lebih yakin untuk bersaing dalam pasaran luar," jelasnya yang menggemari sajian Barat.

Model Sambilan

Dia yang meminati warna terang seperti merah dan ungu, mengakui keputusan meletak jawatan di sektor perbankan dan menerima jawatan yang disandang sekarang, didorong oleh keinginan untuk menceburi diri dalam dunia fesyen dan kecantikan.

Ternyata pekerjaan baru itu serasi dengan jiwa dan berpeluang melangkah lebih jauh.

"Banyak kali juga saya fikir sebelum memutuskan untuk bertukar bidang baru lebih-lebih saya tidak pada pengalaman dalam dunia fesyen.

Begitupun, bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan fesyen adalah satu impian dan keghairahan yang saya idamkan selama ini.

"Sejak beberapa tahun lepas, selain bekerja, masa saya juga banyak dihabiskan dengan menerima tawaran-tawaran sebagai model sambilan.

"Kebanyakan tawaran yang datang untuk memperaga pakaian muslimah dan fesyen tudung. Saya juga pernah menyertai beberapa pertunjukan fesyen termasuk yang terbaharu memperaga busana pengantin pada Festival Kerja Kahwin di The Curve Damansara,

"Melalui penglibatan dan pendedahan seperti ini, minat dan keinginan untuk berkecimpung dalam dunia peragaan lebih membara dan serius," kata Amalina.

Tambahnya lagi, bidang yang diceburinya sekarang memerlukan dia menguruskan hal berkaitan promosi, pengendalian majlis dan pertunjukan fesyen.

Pengalaman yang diperoleh semasa bekerja di beberapa syarikat terdahulu digunakan sebaik mungkin untuk diterapkan dalam skop pekerjaan sekarang.

"Tugasan sekarang memerlukan kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan untuk berurusan dengan pekerja bawahan. Pengalaman yang dikutip sebelum ini banyak membantu saya melancarkan urusan seharian," katanya ceria.

Sementara itu, walaupun Amalina mengenakan hijab, tidak menghalangnya untuk bergaya selagi mana ia sopan dan tidak melanggar batasan syariat.

"Di kalangan rakan-rakan rapat saya dikenali sebagai seorang yang gemar berfesyen. Ada masanya beberapa pakaian dan fesyen yang dipakai turut menjadi ikutan mereka terutama dari cara ikatan dan penggayaan tudung.

"Namun, saya pastikan fesyen yang digayakan tidak keterlaluan, ringkas serta selesa. Kalau ada orang yang menegur tentang fesyen, saya terima dengan baik dan jadikan pengajaran," ujarnya mengakhiri bicara.

Artistik sepasang kasut

Posted: 23 Apr 2014 06:18 AM PDT

Roberta Lee bersama koleksi Aphrodite.

Menyarung kasut daripada jenama antarabangsa yang kerap peraga di pentas-pentas peragaan mahupun acara karpet merah, mencetus kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Perasaan itu yang cuba disuntik oleh Stuart Weitzman pada sesiapa sahaja yang menyarung kasut jenama terkenal itu, bukan sekadar pelapik bahkan aksesori menghiasi kaki yang mampu memenuhi imaginasi si pemakainya.

Tempoh 25 tahun sejak ia mula berada di pasaran, Stuart Weitzman berusaha memahami setiap inci keperluan dan cita rasa wanita terhadap sepasang kasut.

Cantik, bergaya dan penuh artistik atau berseni, sememangnya antara elemen yang perlu ada bagi menyerlahkan penampilan.

Elemen-elemen turut membawa jenama tersebut ke setiap pentas peragaan antarabangsa dan acara karpet merah, disarung oleh personaliti-personaliti hebat dunia.

Nilai yang sama diketengahkan dalam koleksi terkini musim bunga 2014 yang turut menerokai nuansa pelbagai gaya peribadi wanita yang agak rumit.

Dipenuhi dengan inspirasi artistik segenap budaya dunia, koleksi kali ini menerokai interaksi antara seni tekstur dan bahan-bahan.

Perjalanan gaya ini menggabungkan perincian buatan tangan yang indah dan saling bertindih untuk menghasilkan elemen yang begitu harmoni dan bersahaja.

Naib Presiden bagi Pemasaran Asia Stuart Weitzman, Roberta Lee berkata, koleksi kali ini lebih santai tanpa meninggalkan perincian-perincian yang menjadi kekuatan rekaan jenama tersebut.

"Koleksi kali ini berusaha memenuhi semua cita rasa daripada kasut tumit tinggi, berbaji hingga kepada rekaan gladiator.

"Salah satunya, pasti menepati selera dan cita rasa wanita," katanya pada majlis memperkenalkan koleksi musim bunga 2014 di butik Stuart Weitzman, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara yang memukau pandangan, kasut sarung bertumit tinggi Nouveau, yang diinspirasikan daripada tekstur kulit ular yang eksotik dengan gabungan motif floral dilukis tangan yang indah.

Gabungan ton warna lembut memikat mata sesiapa yang melihat.

Bagi penggemar kasut gladiator, pasti tertarik dengan Aphrodite yang begitu dramatik dengan corak kulit ular. Tapak leper, rekaan tali bersilang hingga paras lutut memerlukan keyakinan tinggi untuk memakainya.

Wanita yang sentiasa mahu kelihatan bergaya sememangnya memerlukan kasut yang sesuai bagi kegunaan harian. Stuart Weitzman berjaya membuka mata penggemar fesyen kasut dengan memperkenalkan sandal Freely yang sangat selesa untuk dipakai setiap hari.

Gabungan warna-warna klasik dijelmakan dalam kemasan tapak nipis yang luas serta cuping tunggal menampilkan keunikan sandal yang dinamakan Greek ini.

Rekaan Nudist pula menjadi kegemaran selebriti-selebriti Hollywood kerana penampilannya yang seksi dan dalam masa yang sama amat ringkas tetapi mempunyai corak yang glamor serta mewah untuk digayakan.

Stuart Weitzman yang mengungguli carta terbaik dalam mereka kasut berbaji ( wedges) menghasilkan Hubcaps yang mengambil inspirasi daripada gaya bohemia dan tribal yang bertatahkan paku (stud) bersama platform jerami jut, sekali gus menampilkan ciri-ciri elegan.

Dalam pada itu, but tidak lagi khusus untuk musim luruh atau sejuk, kerana ia turut menjadi koleksi fesyen musim bunga melalui kemasan peep-toes dan jahitan tebukan yang dilengkapi dengan lapisan potongan laser menambah keselesaan pemakai untuk koleksi Inandout serta Cagey.

Apa pun aspek tekstur, bentuk dan palet warna, menguasai koleksi Stuart Weitzman kali ini menjadikan ia tampil unik dan eksklusif.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved