Rabu, 23 April 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Amalina puas dapat bantu keluarga

Posted: 23 Apr 2014 06:18 AM PDT

Oleh Siti Aishah Yusoff

Nur Amalina Md Lutfi Amin

Jika sebahagian remaja lain sedang bergelut menyambung pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi awam mahupun swasta demi kelangsungan hidup yang lebih terjamin pada masa depan, berbeza pula dengan Nur Amalina Md Lutfi Amin, 24.

Pada usia yang masih muda, dia berasa puas apabila dapat membantu keluarganya menjalani kehidupan yang lebih baik, melalui pekerjaan yang dilakukannya sekarang.

Baginya, tidak ada apa yang lebih bermakna dalam hidup berbanding melihat kedua ibu bapa serta adik-beradiknya gembira dan bahagia.

"Bukan tidak mahu menyambung pelajaran sementelah keputusan peperiksaan saya tidaklah teruk sangat, tetapi dalam hidup kadangkala kita perlu memberi keutamaan.

"Buat masa ini keutamaan saya adalah membantu keluarga. Impian dan cita-cita peribadi boleh ditangguh atau boleh juga dilakukan sepanjang tempoh saya menimba pengalaman bekerja," katanya perlahan tetapi tegas.

Amalina, yang merupakan anak sulung daripada lima beradik, kerap mengingatkan pada diri sendiri bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan harus diiringi dengan niat ikhlas dan reda kepada Allah.

Sememangnya gadis bermata bundar ini seorang yang cekal dan kuat berusaha membantu keluarganya.

Pelbagai kerja pernah dicuba daripada pekerja biasa di restoran makanan segera selama beberapa tahun hinggalah menyandang jawatan pegawai khidmat pelanggan di syarikat perbankan.

Kini dia bertugas sebagai Ketua Komunikasi dan Operasi di sebuah butik pakaian iaitu My Designer Label.

Ternyata, pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat di beberapa syarikat, menjadikannya seorang gadis yang matang dan berjiwa kental.

Menyoroti hidup gadis kecil molek yang dilahirkan dalam keluarga sederhana ini, Amalina mengakui aura sebagai anak sulong dan anak perempuan tunggal dalam keluarga menjadikannya lebih berkeyakinan dan berdikari.

Malah, peranannya sebagai pelindung kepada empat orang adik lelak, menjadikan dia sentiasa berusaha menggalas tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.

Baginya tiada istilah memperoleh kesenangan dengan mudah tanpa disusuli dengan usaha yang kuat.

Amalina juga tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi

"Tidak bermakna saya tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi saya tidak boleh berjaya. Menuntut ilmu tidak terhad dalam bilik darjah semata-mata, sebaliknya boleh dilakukan di mana-mana sahaja tidak kira tempat dan waktu.

"Tiada bukti yang menyatakan jika tidak belajar tinggi tidak boleh mendapat pekerjaan yang baik. Dahulu, semasa berkhidmat di restoran makanan segera, saya bermula dari bawah sebagai pekerja bahagian penyediaan makanan dan minuman, sehinggalah diberi tanggungjawab sebagai pengurus restoran pada usia 21 tahun.

"Menggalas tanggungjawab ini dalam usia muda ia sedikit memberi cabaran kepada diri terutama untuk menguruskan pekerja yang lebih berusia. Ketika inilah kemahiran komunikasi sangat penting diaplikasikan supaya tidak timbul salah faham dalam kalangan mereka selain mereka mudah menerima arahan yang diberikan.

"Pengalaman bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan di bank juga membuka ruang dan jalan untuk saya menimba ilmu dengan lebih luas.

"Bidang tugas tersebut memerlukan saya berhubung dan berkomunikasi dengan orang ramai. Ini menjadikan diri lebih yakin untuk bersaing dalam pasaran luar," jelasnya yang menggemari sajian Barat.

Model Sambilan

Dia yang meminati warna terang seperti merah dan ungu, mengakui keputusan meletak jawatan di sektor perbankan dan menerima jawatan yang disandang sekarang, didorong oleh keinginan untuk menceburi diri dalam dunia fesyen dan kecantikan.

Ternyata pekerjaan baru itu serasi dengan jiwa dan berpeluang melangkah lebih jauh.

"Banyak kali juga saya fikir sebelum memutuskan untuk bertukar bidang baru lebih-lebih saya tidak pada pengalaman dalam dunia fesyen.

Begitupun, bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan fesyen adalah satu impian dan keghairahan yang saya idamkan selama ini.

"Sejak beberapa tahun lepas, selain bekerja, masa saya juga banyak dihabiskan dengan menerima tawaran-tawaran sebagai model sambilan.

"Kebanyakan tawaran yang datang untuk memperaga pakaian muslimah dan fesyen tudung. Saya juga pernah menyertai beberapa pertunjukan fesyen termasuk yang terbaharu memperaga busana pengantin pada Festival Kerja Kahwin di The Curve Damansara,

"Melalui penglibatan dan pendedahan seperti ini, minat dan keinginan untuk berkecimpung dalam dunia peragaan lebih membara dan serius," kata Amalina.

Tambahnya lagi, bidang yang diceburinya sekarang memerlukan dia menguruskan hal berkaitan promosi, pengendalian majlis dan pertunjukan fesyen.

Pengalaman yang diperoleh semasa bekerja di beberapa syarikat terdahulu digunakan sebaik mungkin untuk diterapkan dalam skop pekerjaan sekarang.

"Tugasan sekarang memerlukan kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan untuk berurusan dengan pekerja bawahan. Pengalaman yang dikutip sebelum ini banyak membantu saya melancarkan urusan seharian," katanya ceria.

Sementara itu, walaupun Amalina mengenakan hijab, tidak menghalangnya untuk bergaya selagi mana ia sopan dan tidak melanggar batasan syariat.

"Di kalangan rakan-rakan rapat saya dikenali sebagai seorang yang gemar berfesyen. Ada masanya beberapa pakaian dan fesyen yang dipakai turut menjadi ikutan mereka terutama dari cara ikatan dan penggayaan tudung.

"Namun, saya pastikan fesyen yang digayakan tidak keterlaluan, ringkas serta selesa. Kalau ada orang yang menegur tentang fesyen, saya terima dengan baik dan jadikan pengajaran," ujarnya mengakhiri bicara.

Artistik sepasang kasut

Posted: 23 Apr 2014 06:18 AM PDT

Roberta Lee bersama koleksi Aphrodite.

Menyarung kasut daripada jenama antarabangsa yang kerap peraga di pentas-pentas peragaan mahupun acara karpet merah, mencetus kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Perasaan itu yang cuba disuntik oleh Stuart Weitzman pada sesiapa sahaja yang menyarung kasut jenama terkenal itu, bukan sekadar pelapik bahkan aksesori menghiasi kaki yang mampu memenuhi imaginasi si pemakainya.

Tempoh 25 tahun sejak ia mula berada di pasaran, Stuart Weitzman berusaha memahami setiap inci keperluan dan cita rasa wanita terhadap sepasang kasut.

Cantik, bergaya dan penuh artistik atau berseni, sememangnya antara elemen yang perlu ada bagi menyerlahkan penampilan.

Elemen-elemen turut membawa jenama tersebut ke setiap pentas peragaan antarabangsa dan acara karpet merah, disarung oleh personaliti-personaliti hebat dunia.

Nilai yang sama diketengahkan dalam koleksi terkini musim bunga 2014 yang turut menerokai nuansa pelbagai gaya peribadi wanita yang agak rumit.

Dipenuhi dengan inspirasi artistik segenap budaya dunia, koleksi kali ini menerokai interaksi antara seni tekstur dan bahan-bahan.

Perjalanan gaya ini menggabungkan perincian buatan tangan yang indah dan saling bertindih untuk menghasilkan elemen yang begitu harmoni dan bersahaja.

Naib Presiden bagi Pemasaran Asia Stuart Weitzman, Roberta Lee berkata, koleksi kali ini lebih santai tanpa meninggalkan perincian-perincian yang menjadi kekuatan rekaan jenama tersebut.

"Koleksi kali ini berusaha memenuhi semua cita rasa daripada kasut tumit tinggi, berbaji hingga kepada rekaan gladiator.

"Salah satunya, pasti menepati selera dan cita rasa wanita," katanya pada majlis memperkenalkan koleksi musim bunga 2014 di butik Stuart Weitzman, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara yang memukau pandangan, kasut sarung bertumit tinggi Nouveau, yang diinspirasikan daripada tekstur kulit ular yang eksotik dengan gabungan motif floral dilukis tangan yang indah.

Gabungan ton warna lembut memikat mata sesiapa yang melihat.

Bagi penggemar kasut gladiator, pasti tertarik dengan Aphrodite yang begitu dramatik dengan corak kulit ular. Tapak leper, rekaan tali bersilang hingga paras lutut memerlukan keyakinan tinggi untuk memakainya.

Wanita yang sentiasa mahu kelihatan bergaya sememangnya memerlukan kasut yang sesuai bagi kegunaan harian. Stuart Weitzman berjaya membuka mata penggemar fesyen kasut dengan memperkenalkan sandal Freely yang sangat selesa untuk dipakai setiap hari.

Gabungan warna-warna klasik dijelmakan dalam kemasan tapak nipis yang luas serta cuping tunggal menampilkan keunikan sandal yang dinamakan Greek ini.

Rekaan Nudist pula menjadi kegemaran selebriti-selebriti Hollywood kerana penampilannya yang seksi dan dalam masa yang sama amat ringkas tetapi mempunyai corak yang glamor serta mewah untuk digayakan.

Stuart Weitzman yang mengungguli carta terbaik dalam mereka kasut berbaji ( wedges) menghasilkan Hubcaps yang mengambil inspirasi daripada gaya bohemia dan tribal yang bertatahkan paku (stud) bersama platform jerami jut, sekali gus menampilkan ciri-ciri elegan.

Dalam pada itu, but tidak lagi khusus untuk musim luruh atau sejuk, kerana ia turut menjadi koleksi fesyen musim bunga melalui kemasan peep-toes dan jahitan tebukan yang dilengkapi dengan lapisan potongan laser menambah keselesaan pemakai untuk koleksi Inandout serta Cagey.

Apa pun aspek tekstur, bentuk dan palet warna, menguasai koleksi Stuart Weitzman kali ini menjadikan ia tampil unik dan eksklusif.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved