Rabu, 23 April 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Selesa bawa anak ke lokasi

Posted: 23 Apr 2014 06:18 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar MD.SHAHJEHAN MAAMIN

SHERA lebih senang menjaga sendiri anak kecilnya

"CAHAYA mata itu amanat daripada Yang Maha Esa." Begitulah ungkapan yang tertanam dalam diri pengacara dan pelakon kecil molek Shera Aiyob ketika berbicara mengenai putera sulungnya, Nadi Anaqi yang kini sudah berusia sepuluh bulan.

Bertemu dengan pelakon kecil molek di lokasi penggambaran drama Masihkah Ada Kasih di Putrajaya baru-baru ini, Shera kelihatan gembira dan bahagia di sisi anaknya.

Sesekali, ada masa rehat dia akan menjenguk Anaqi yang ditinggalkan bersama emak saudaranya ketika berada di lokasi penggambaran. Sebenarnya, begitulah rutin harian Shera setelah bergelar seorang ibu.

Tekad Shera untuk tidak sesekali leka dalam menunaikan tanggungjawab bergelar ibu walaupun sibuk dengan kerjaya. Begitu juga dengan suaminya, Zahiril Adzim yang juga seorang pelakon.

Komitmen menjaga anak yang masih kecil tanpa bantuan orang lain juga bukan satu bebanan yang memeritkan rutin kehidupan berkeluarga buat dirinya.

"Saya lebih selesa menjaga anak tanpa bantuan pengasuh atau menghantar ke taska untuk dijaga. Atas permintaan suami dan keluarga, kami mengambil keputusan untuk tidak menyerahkan Anaqi kepada orang lain.

"Saya sanggup berkorban asalkan tidak menyusahkan keluarga saya mahupun keluarga mertua dalam soal penjagaan anak. Selepas habis pantang, saya terus memulakan penggambaran. Saya bawa Anaqi ke set kerana dia masih menyusu badan. Suami akan upah orang gaji sementara dan hanya akan menjaga Anaqi ketika dalam set," tutur Shera.

ZAHIRIL banyak membantu Shera menguruskan rumah tangga mereka.

Suami restu kerja

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Shera berkata, suami sangat merestui apa yang dilakukan. Malah keputusan untuk menerima tawaran bergantung pada dirinya sendiri.

"Suami tidak pernah melarang. Dia cuma nasihatkan saya untuk bertahan kerana cabaran terbesar buat diri saya adalah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan anak. Memang Zahiril memahami kerjaya saya dan tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang lakonan. Dia akan menyokong apa jua keputusan saya, asalkan tidak mengabaikan anak," katanya.

Dalam pada itu, Shera berkata, suaminya juga akan menjaga anaknya jika ada masa terluang dan merasakan dirinya beruntung kerana dikurniakan suami yang pandai menjaga anak kecil mereka.

"Suami saya banyak membantu, dia boleh menjaga Anaqi dengan baik. Kami bergilir-gilir menjaganya jika ada kelapangan, lebih selesa begitu. Memang sangat seronok ada anak," kata Shera lagi.

Disoal pula berkenaan watak yang diidamkan, Shera berkata, dia mengimpikan watak kasar yang tidak keterlaluan.

"Watak itu yang betul-betul saya inginkan memandangkan saya sering membawakan watak sebagai wanita lembut. Saya mahu watak yang menguji lakonan saya lepas ini," jelasnya.

Berkenaan watak yang dibawakan dalam drama 40 episod, Masihkah Ada Kasih itu, Shera membawakan watak Manisah, seorang wanita yang lemah-lembut tetapi tegas untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya.

Takut ambil pembantu rumah

Ketika ditanya sebab utama membawa anak ke lokasi penggambaran, Shera atau nama sebenarnya Nur Syahirah Aiyob, 28, kes penderaan yang semakin meningkat membuatkan dia dan suami juga tidak mempercayai khidmat pembantu rumah bagi mengurus keperluan anak sulung mereka.

"Zahiril tidak mahu ambil pembantu, dia takut kerana banyak kes penderaan oleh pembantu rumah yang kita dengar sekarang. Oleh itu, saya memilih untuk membawa Anaqi dan gembira dia membesar depan mata saya sendiri. Nasib baik Anaqi seorang bayi yang tidak banyak kerenah.

"Dia (Anaqi) hanya akan menangis apabila bila lapar dan mahu tidur," katanya.

Malah, kata Shera, suaminya juga melarang dia menonton video-video kes dera yang semakin berleluasa.

"Suami memang tak bagi saya melihat klip-klip video kes dera. Kalau dia tahu, dia akan marah. Sebab itu juga, sampai sekarang saya takut untuk mempercayai orang yang tidak dikenali," ujarnya biarpun ada terfikir untuk mengambil orang gaji.

Ditanya mengenai perkembangan anaknya, Shera berkata, Anaqi kini sudah pandai mengenali orang sekeliling berdasarkan reaksi yang ditunjukkan.

"Kalau dia kenal orang itu, dia akan ketawa, kalau tak kenal, dia akan jadi takut," kata Shera sambil memberitahu Anaqi lebih rapat dengan dirinya berbanding Zahiril.

.

Pemilik suara 'emas' di RTM

Posted: 23 Apr 2014 06:18 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR

TAUFIK LATIFF

PADA era awal dunia penyiaran televisyen (TV) pada tahun-tahun 1970-an di negara ini, cuma ada dua saluran sahaja iaitu TV1 dan TV2 yang terletak di bawah naungan Radio Televisyen Malaysia atau RTM.

Menerusi TV1 pelbagai rancangan hiburan terutama pertandingan nyanyian yang bukan sahaja menampilkan para pesertanya yang berbakat, malah pengacaranya turut menjadi perhatian ramai penonton.

Populariti Taufik Latif sebagai pengacara jika diukur daripada sudut popularitinya, ia boleh disamakan dengan populariti Datuk Aznil Nawawi pada hari ini. Justeru, bagi para penonton yang membesar pada era tahun 1970-an sehingga awal 1990-an, nama Taufik dalam bidang pengacaraan di saluran TV RTM memang tidak perlu dipersoalkan lagi kerana bakatnya yang unik dan tersendiri itu.

Pada usia 27 tahun si pemilik suara emas ini telah diberi kepercayaan untuk mengacarakan rancangan-rancangan hiburan TV terbitan dan yang paling popular adalah pertandingan Bakat TV di TV1 pada 1971.

Justeru, pemergian Allahyarham ke rahmatullah pada 17 April lalu turut sama dirasai kehilangannya dan banyak pihak turut 'terkesan'.

Menurut bekas penyampai radio RTM, Chuari Selamat, bakat Allahyarham amat terserlah menerusi intonasi dan gaya pergerakannya sewaktu mengacarakan apa-apa juga rancangan atau majlis di RTM ketika itu.

"Seingat saya, arwah bukan sahaja popular di kaca TV ketika itu tetapi beliau juga pernah ditukarkan selama beberapa tahun sebagai penyampai Radio KL pada tahun 1970-an. Arwah juga menunjukkan bakatnya sebagai penyampai radio.

"Ketika itu, namanya juga sebaris dengan penyampai radio RTM yang lain seperti Karim Mohamad dan Jamaluddin Alias. Bagaimanapun nama arwah lebih menonjol sebagai pengacara rancangan TV," katanya kepada Hits.

Allahyarham Taufik yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor kerana serangan penyakit jantung memang disegani oleh pengacara lain termasuklah dari kalangan muka-muka baru.

Malah, kebanyakan artis yang pernah menyertai Bakat TV seperti Datuk Jamali Shadat, Abdul Rahim Othman dan A.R. Badul pastinya tidak akan melupakan arwah sebagai pengacara pertandingan yang mereka sertai itu.

Boleh dikatakan lebih separuh pertandingan Bakat TV yang dimulakan pada 1971 meletakkan Allahyarham sebagai pengacara itu sehinggalah ia ditukar kepada pertandingan Bintang RTM mulai penghujung tahun 1970-an.

Tidak cukup setakat itu, Allahyarham juga pernah diamanahkan sebagai pengacara pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini pada 1994 yang mana ketika itu menyaksikan Nora muncul sebagai juara dalam pertandingan tersebut.

Sementara itu, bekas juruhebah radio RTM yang juga penulis lirik terkenal, Habsah Hassan berkata, keunikan Allahyarham adalah daripada segi intonasi suaranya yang lain berbanding penyampai dan pengacara lain.

Pembabitan Allahyarham sebagai penyampai radio secara tidak langsung bukan sahaja membuktikan bakatnya dalam bidang penyiaran tetapi juga menambahkan lagi bilangan peminat yang mengenalinya.

"Para peminat zaman dulu mereka lebih utamakan suara dan bakat, rupa jadi perkara dua. Begitulah yang berlaku ke atas Allahyarham yang dikenali ramai kerana suaranya, berbanding sekarang orang lebih kenal rupa dari suara," komen Habsah.

Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Gombak, Selangor sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70 pada 28 Mei ini mula uzur dengan pelbagai penyakit akhir-akhir ini.

Jelas adik Allahyarham, Roziah Taufik, selain menghidap penyakit jantung, abangnya itu juga menghidap beberapa penyakit lain seperi kencing manis dan darah tinggi sehingga ia membataskan kerjayanya sebagai pengacara pada penghujung hayatnya.

"Walaupun telah bersara sebagai kakitangan RTM pada penghujung tahun 1990-an tetapi arwah masih mendapat tawaran sebagai pengacara majlis sehingga ke akhir hayatnya. Ia bagi mengisi masanya selepas bersara," ujarnya.

Hasil perkahwinan Allahyarham dengan Aminah Mohd. Zain yang telah meninggal dunia kira-kira sepuluh tahun lalu, Allahyarham dikurniakan seorang anak perempuan, Anisah Taufik, 35, selain seorang anak tiri, Dr. Arif.

Jenazah Allahyarham telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor sebelum solat Jumaat pada 18 April lalu.Al-Fatihah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved