Rabu, 23 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tidak serik diserbu DBKL

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusan.com.my

PASAR Karat menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli barangan terpakai sejak awal pagi lagi. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 22 April - Pasar Karat di lorong belakang Jalan Sultan di sini yang diserbu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bulan lalu kerana menjadi lokasi penjaja menjalankan perniagaan tanpa permit dan lesen masih bergiat aktif seperti biasa.

Perkara itu jelas menunjukkan peniaga-peniaga barangan terpakai itu tidak serik dengan tindakan penguatkuasaan terhadap mereka, walaupun menyedari hukuman yang menanti.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan lorong belakang itu baru-baru ini mendapati semakin ramai peniaga mengambil kesempatan berniaga ekoran kehadiran ramai pelanggan di kawasan itu.

Seawal pukul 6.30 pagi sudah kelihatan beberapa peniaga bersiap sedia dengan barangan yang ingin dijual di kawasan itu, seolah-olah mereka sudah mempunyai petak masing-masing.

Apabila jam menunjukkan pukul 7 pagi, kawasan itu dilihat seperti pesta apabila orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu mula mengerumuni para peniaga untuk melihat barangan yang dijual.

Lebih mengejutkan, jumlah peniaga semakin bertambah berbanding sewaktu DBKL melakukan operasi di kawasan itu pada Mac lalu dan ini menyebabkan mereka yang berniaga dengan hanya beralaskan tikar atau tikar melimpah ke tepi jalan.

Pihak polis yang meronda kawasan tersebut hanya mampu melihat aktiviti yang dijalankan kerana bukan bidang kuasa mereka untuk menahan peniaga haram tanpa lesen tersebut.

Sementara itu, tinjauan mendapati sebahagian besar peniaga begitu ramah melayan pelanggan yang mendekati tempat jualan mereka.

"Ini jam ori (tulen) bang. Buat apa saya nak tipu abang. Kalau jual benda yang salah, tak berkat nanti," kata seorang peniaga jam selepas wartawan Utusan Malaysia membelek salah satu jam tangan yang dijualnya.

Sementara itu, seorang pelanggan yang enggan dikenali memberitahu, barangan terpakai yang dijual di pasar itu adalah lebih murah dan pelanggan boleh menawar harga yang ditetapkan oleh peniaga.

"Bagaimanapun, saya yakin pasar ini juga menjadi tempat kepada segelintir pihak menjual barangan curi untuk mendapat wang segera," dakwanya.

Dalam pada itu, tinjauan juga mendapati, kebanyakan peniaga di kawasan itu bukan warganegara Malaysia kerana mereka menggunakan dialek rakyat tempatan.

Dipercayai kebanyakan daripada mereka merupakan rakyat dari negara jiran.

Keberanian mereka menjalankan perniagaan secara haram walaupun selepas diserbu DBKL sebelum ini seolah-olah mencabar pihak berkuasa itu.

Seharusnya, DBKL terus bertegas terhadap mereka dan menguatkuasakan undang-undang yang ada kerana tidak mahu menyekat rezeki mereka tidak wajar untuk dijadikan alasan.

Catuan air boleh gugat keamanan

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

PUTRAJAYA 22 April - Masalah catuan air yang telah berlarutan selama dua bulan di sekitar Lembah Klang boleh membawa kesan buruk sehingga mampu menggugat ketenteraman awam.

Felo Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), Tun Mohamed Haniff Omar berkata, jika isu kekurangan air tidak segera diatasi, keadaan lebih buruk sehingga mengakibatkan kes jenayah seperti pergaduhan dan pembunuhan boleh berlaku.

Beliau berkata, adalah tidak berasas sekiranya sebuah negara beriklim tropika seperti Malaysia yang sentiasa menerima hujan mencukupi mengalami masalah kekurangan air sehingga terpaksa dicatu.

"Tanpa rasuah yang berleluasa persekitaran dan ekologi kita lebih terjamin. Pembekalan air di negara tropika seperti Malaysia yang terkenal dengan hujan dan ribut tidak mungkin terganggu seperti sekarang sehingga terpaksa berhadapan dengan masalah catuan air sejak dua bulan lalu.

"Saya bersetuju dengan kenyataan seorang tokoh polis yang mengadakan satu seminar bertajuk Selamatkan Alam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) baru-baru ini.

"Beliau berkata, masalah kekurangan air boleh menggugat ketenteraman awam dan mengakibatkan pergaduhan dan pembunuhan," katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan tengah hari bertema Cabaran Keselamatan Awam Masa Kini di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mohamed Haniff yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, tokoh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penganalisis barat turut meramalkan bahawa manusia kemungkinan berhadapan peperangan antara negara akibat masalah air di masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak memandang ringan isu air dan penerokaan haram di hutan serta tanah rizab sehingga boleh menjejaskan kehidupan manusia.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff ketika mengulas insiden pencerobohan dan penculikan yang berlaku di Lahad Datu serta Semporna, Sabah berkata, situasi tersebut merupakan cara hidup penculik dari negara jiran itu sejak dahulu lagi.

"Semasa saya bertugas di Tawau pada tahun 1963, kami sering mendengar gerombolan ini menawan Lahad Datu dan Semporna sejak zaman penjajahan British, kerana ini merupakan gaya hidup mereka bagi mendapatkan sumber ekonomi.

"Kita berharap dengan perjanjian damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) suasana ini berubah dan pada masa yang sama, kerajaan Filipina boleh memberi kebenaran kepada Malaysia memburu penculik ini di kawasan mereka seperti kebenaran yang diberi oleh Thailand pada tahun 1960 sehingga 1980," katanya.

Beliau berkata, jarak yang dekat antara Filipina dan Sabah menyebabkan aktiviti jenayah sukar dibanteras di kawasan tersebut sekiranya kebenaran itu tidak diberikan.

Mengulas isu sensitiviti agama yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini, beliau berkata, masalah itu berlaku disebabkan tiada pemimpin negara atau pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang perbandingan agama untuk menangani isu tersebut.

"Sebelum ini kita tidak pernah berdepan isu agama, perkara ini berlaku kerana ada pihak politik yang cuba menangguk di air yang keruh.

"Saya belum nampak ada pemimpin kerajaan yang boleh tangani isu ini kerana kita tiada kepakaran dalam bidang perbandingan agama sama ada melibatkan jabatan agama atau pemimpin kerajaan," katanya.

Penduduk dapat pampasan jika rumah diroboh

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 April - Perbadanan Kampung Baru (PKB) akan hanya memberi pampasan kepada mangsa kejadian tanah mendap di Kampung Pindah, Kampung Baru di sini sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah dan kediaman dirobohkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bahawa cuma sebuah keluarga yang memiliki dua buah rumah di kampung itu telah dipanggil untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.

"Pemilik rumah yang lain diminta bersabar kerana mereka perlu faham bahawa setiap rumah mempunyai nilai berbeza dan perbincangan hanya boleh dilakukan satu demi satu dan bukan dengan semua keluarga sekali gus," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pemberian pampasan kepada 22 pemilik buah rumah yang terjejasa ekoran kejadian tanah mendap di Kampung Pindah, Kampung Baru yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Masalah itu menyebabkan rumah penduduk retak dan tidak selamat untuk didiami.

Menurut Naharuddin, PKB sudah meminta supaya JPPH menyiapkan laporan mengenai semua 22 rumah yang terlibat dalam masa empat bulan.

Jelasnya, ini akan dapat memudahkan lagi proses perbincangan dan seterusnya pemberian pampasan kepada semua pemilik kediaman.

Sementara itu, beliau menjelaskan, segala pampasan yang dituntut oleh penduduk perlu diajukan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana PKB belum ditubuhkan semasa palung yang menjadi punca tanah mendap itu dibina.

"Tugas penyelenggaraan palung tersebut merupakan di bawah tanggungjawab JPS sejak sekian lama dan tidak wajar untuk mendesak PKB yang baru beberapa tahun ditubuhkan untuk membayar pampasan," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved