Ahad, 18 Mei 2014

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Hebat, tangkas dan pantas

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh Fauzi Jaafar
ekonomi@utusan.com.my

Reka bentuk depan yang aerodinamik dengan gril besar menyerlahkan kehebatan Peugeot 208 GTi.

BAGI peminat kereta, ia bukanlah sebagai jentera untuk bergerak semata-mata tetapi lebih daripada itu. Kereta sebenarnya boleh disifatkan sebagai perlambangan imej dan cara hidup.

Pemilihan kereta juga penting untuk menunjukkan ciri-ciri pemiliknya. Orang muda yang berdarah panas, sudah tentulah memilih kereta sport untuk menggambarkan jiwanya.

Inilah yang ditawarkan oleh Peugeot melalui model 208 GTi. Model hatchback tiga pintu yang kecil tetapi pantas, sesuai untuk pemandu yang dahagakan kelajuan maksimum.

Peugeot 208 GTi dikuasakan dengan enjin 1,598 cc Twin Scroll Turbo Tekanan Tinggi dengan suntikan terus petrol, empat silinder sebaris, DOHC 16 injap VTI.

Kelihatan kuasa enjinnya agak kompak sesuai dengan saiz model ini yang dikelaskan sebagai model supermini. Namun kuasa enjin yang kecil itu tersimpan ledakan kuasa yang menakjubkan untuk pesaing sekelasnya.

Enjin tersebut meledakkan 200 kuasa kuda (bhp) @ 5800 revolusi per minit (rpm) dengan kilasan maksimum 275Nm @ 1700rpm - 4500 rpm. Transmisi enam kelajuan manual menjadikan model ini amat seronok dilanyak di lebuh raya mahupun jalan raya biasa. Senarai sistem keselamatannya juga mengujakan. 208 GTi dilengkapi sistem Stability Control, Traction Control, ABS, EBA, EBFD dan Electronic Stability Program (ESP) generasi terbaharu.

Hiasan dalaman juga menarik yang melambangkan kuasa. Gabungan warna merah dan hitam melengkapkan hiasan dalaman. Pemegang tangan dan kerusi di salut dengan warna merah garang. Begitu juga dengan papan pemuka yang dijalurkan dengan warna merah serta panel meter. Memang model ini menekankan warna merah sesuai dengan imej GTi.

Peugeot 208 GTi diberi beberapa pembaharuan antaranya LED pada lampu penunjuk, skrin sentuh 7 inci dengan sistem navigasi, sambungan Bluetooth dan USB, bumbung suria, 6 beg udara dan sistem Smart Park Assist.

Bumbung suria agak besar memanjang ke belakang dan tidak boleh dibuka. Apa yang menariknya, bingkai bumbung suria diwarnai dengan lampu biru. Bagi penulis, lampu itu memberi keseimbangan warna dan mood positif pemandu.

Untuk menguji Peugeot 208 GTi ini, penulis memilih Lebuh Raya Pantai Timur ke Kuantan. Laluan berselekoh di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menjadi medan menguji ketangkasan jentera ini mengambil selekoh dengan kelajuan yang tinggi. Jarak roda hatchback ini yang agak pendek, iaitu 2538mm menjadikan model ini lincah mengambil selekoh. Gabungan saiz roda 205/45/R17 memperlengkapkan lagi pengambilan selekoh tanpa rasa bimbang tayar membuang.

Kombinasi transmisi manual menyebabkan peranan brek dikurangkan ketika mengambil selekoh dan ia menghasilkan pemanduan yang seronok bagi kaki pecut. Setiap pecutan pada gear rendah menghasilkan kuasa G yang menarik pemandu ke belakang. Bagaimanapun, kerusi bucket menjadikan pemandu tetap di kerusi pada selekoh yang tajam.

Jentera ini mampu menghasilkan pecutan maksimum 230 kmj, tetapi penulis mampu memecut sehingga 210 kmj. Kuasanya tidak pernah menghampakan. Tidak lengkap tanpa menceritakan penggunaan minyak untuk model ini. Peugeot mengumumkan model ini menggunakan 5.9 liter/100 kilometer.

Bagaimanapun dalam uji pandu itu, penulis secara purata menggunakan 8.6 liter/100 kilometer untuk pemanduan sejauh 284 kilometer dengan purata kelajuan 55 kmj.

Secara keseluruhan, bagi penulis model Peugeot 208 GTi adalah kereta supermini dengan mementingkan kelajuan yang diterjemahkan menerusi reka bentuk dan hiasan dalaman.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


SH Device jadikan sains mudah difahami, digemari

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Penerima Anugerah Johan Keseluruhan Guru Inovatif , Chai Seng Hong (kiri) dan Dew Kee Bea bersama alat ciptaan mereka di Festival hari Guru 2014 di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Minatnya yang mendalam dalam bidang Sains mendorong Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Batu 15 dekat Kuching, Sarawak, Chai Hai Seng dan seorang guru lagi dari sekolah sama, Dew Kee Bee mencipta alat bantuan mengajar bagi subjek Sains dan Matematik termasuk untuk memudahkan kegunaan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Alat tersebut yang diberi nama SH Device yang diambil sempena nama guru besar berkenaan dihasil serta diuji sejak 10 tahun lalu dan menyediakan lima fungsi kegunaan bertujuan membantu guru menjadikan mata pelajaran Sains mudah difahami dan digemari murid.

Kejayaan kedua-dua guru tersebut mencipta alat berkenaan membolehkan mereka dinobatkan Johan Keseluruhan Anugerah Guru Inovatif peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Hai Seng, 50, SH Device merupakan pembaris yang mempunyai pelbagai fungsi bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran Sains dan lain-lain di sekolah rendah atau menengah yang dilengkapi pita bagi kegunaan ukuran panjang.

"Alat ini juga dijadikan pengesan konduktor elektrik yang unik dan dipasang pada pembaris bagi mengesan bahan konduktor yang lemah dan sukar dikesan dengan cara biasa. Ia dihasilkan dengan peralatan lain seperti magnet, kompas dan level meter dipasang pada pembaris bagi kegunaan mata pelajaran lain," katanya .

Kejayaan meraih anugerah itu melayakkan Hai Seng dan Kee Bee memenangi plak, sijil penghargaan serta wang tunai.

SH Device diyakini mampu digunakan dengan berkesan jika alat itu dipraktikkan sebaiknya sekali gus meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran Sains atau mata pelajaran lain melalui penggunaannya.

"Guru atau murid boleh mengukur luas dengan mudah melalui pita pengukur yang sedia ada dalam pembaris SH Device ini dan pada masa yang sama, boleh menggunakan kompas atau mengukur keadaan rata.

"Alat ini juga menjimatkan belanja guru atau murid kerana dalam satu alat ia menyediakan fungsi mengesan kondukter elekterik," terangnya.

Sebelum ini, kata beliua, sewaktu mengajar sains, sukar untuk menyakinkan murid mengenai insiden renjatan elektrik berkaitan tubuh manusia dan air tetapi dengan menggunakan alat ini, hal itu boleh dibuktikan dengan mudah.

Ujarnya, selain pelajar dan guru, orang awam boleh menggunakan SH Device bagi pelbagai tujuan khususnya pembelajaran mengesan arus elektrik.

Guru perlu kreatif, inovatif

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh Norizan Abdul Muhid
pendidikan@utusan.com.my

GURU harus melengkapkan persediaan dengan ilmu pengetahuan yang luas mencakupi pelbagai bidang dan perlu berani melakukan perubahan ke arah kreativiti serta inovasi bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru kali ke-43 tahun ini iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, keperluan tersebut bersesuaian dengan perubahan bidang pendidikan masa kini yang memerlukan guru kreatif dan inovatif untuk menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran efektif seterusnya melahirkan produk berkualiti.

Menurutnya, guru mesti bersedia memainkan peranan penting dalam mengerakkan kreativiti dan inovasi dalam semua bidang di sekolah dan bijak menerapkan kedua-dua elemen tersebut melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.

"Guru tidak boleh lagi mempraktikan pengajaran yang sama seperti 10 atau 20 tahun dahulu kerana pelajar pada hari ini semakin bijak seiring dan pengetahuan semakin mencabar dan sebab itu, guru harus bersedia membuat perubahan ini.

"Salah satu perubahan ini adalah dengan cara mencabar keupayaan pelajar mereka berfikir dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid atau boleh mempelbagaikan aktiviti pembelajaran," katanya ketika menjadi panel Forum Pendidikan sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-43 di PWTC baru-baru ini.

Selain Noor Rezan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Jessica Ong Hai Liaw turut menjadi ahli panel pada forum itu yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, menurut Noor Rezan, sebagai guru, golongan berkenaan perlu memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen kreativiti dan inovasi dalam pengajaran mereka sama ada dalam bilik darjah mahupun luar bilik darjah.

"Guru mesti bertindak sebagai pencetus kreativiti dan penjana inovasi kerana guru sebagai penyampai ilmu perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.

"Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020," katanya.

Sementara itu, menurut Devamany, pelaksanaan aspek pedagogi yang kreatif dan inovatif amat penting agar kurikulum yang digubal dapat diterjemahkan dengan cara menarik, berkesan dan berkualiti.

"Zaman sudah berubah dan kini guru-guru berada pada alaf ke-21 dan untuk itu, guru mesti bersedia menghadapi cabaran semasa dan mesti mengambil usaha menggerakkan peranan sebagai pencetus kreativiti dan penjana inovasi,'' katanya.

Namun, pada masa yang sama, katanya, Kementerian Pendidikan perlu memastikan sistem pendidikan yang disediakan telah sempurna dan sesuai mengikut keperluan warga pendidik seterusnya mampu membantu golongan itu mencapai matlamat pendidikan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


3 PATI ditahan rempuh kereta polis

Posted: 18 May 2014 09:31 PM PDT

BUKIT MERTAJAM 19 Mei - Tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan selepas bertindak ganas merempuh kereta polis dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Nibong Tebal, dekat sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, akibat rempuhan berkenaan, seorang anggota polis mengalami kecederaan. - UTUSAN ONLINE

20 termasuk wanita ditahan libatkan pelbagai kes jenayah

Posted: 18 May 2014 09:08 PM PDT

BUKIT MERTAJAM 19 Mei - Pasukan Ops Cantas Khas yang ditubuhkan polis negeri berjaya menahan 20 suspek melibatkan pelbagai kes jenayah di empat daerah di negeri ini sejak awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, semua tangkapan berkenaan membabitkan kes curi kereta, samun bersenjata dan curi motosikal. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Chenor bakal terima manfaat

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

MARAN 18 Mei - Perancangan kerajaan untuk membina jambatan kedua Temerloh bakal memberi impak terhadap kerancakan pembangunan infrastruktur dan ekonomi penduduk di kawasan Chenor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail berkata, jajaran jalan raya itu kelak yang akan melalui kawasan Chenor pastinya mempengaruhi perkembangan ekonomi penduduk.

Katanya, perkara itu selari dengan usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan di Seberang Chenor dan laluan pekan baharu Chenor yang merupakan jalan alternatif ke Pekan dan untuk ke bandar Bera.

"Sehubungan itu, apabila jambatan kedua Temerloh dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun ini, maka pastinya memberi nilai tambah kemudahan sosial kepada rakyat setelah pembinaan Jambatan Chenor sebelum ini.

"Ditambah dengan usaha menaik taraf rangkaian jalan raya, bermakna Chenor bakal menjadi pusat perkhidmatan penting di negeri ini," katanya.

Mohamed Ariffin yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Maran berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Dewan Kampung Bukit Lada bernilai lebih RM200,000 di sini semalam.

Tambah beliau, impak kerancakan pembangunan sosial dan ekonomi turut mempengaruhi pekan Kampung Awah yang menjadi pintu masuk ke Felda Wilayah Jengka.

Menurutnya, kerajaan telah bersetuju membangunkan Pekan Kampung Awah dengan projek pembangunan lebih tersusun dan moden selari dengan arus perdana pembangunan negara.

Beliau berkata, dalam masa terdekat ini sebuah bank perdagangan iaitu Agro Bank telah bersetuju untuk beroperasi di Pekan Kampung Awah bagi kemudahan rakyat.

"Oleh itu rakyat dari segenap lapisan perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah menunjukkan jasa yang sangat hebat terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Jerantut juara ragbi bawah 12 buat kali pertama

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Keceriaan terpancar pada wajah guru serta pemain apabila pasukan ragbi Jerantut Bawah 12 Tahun muncul juara Kejohanan Ragbi MSSP di SMK Padang Saujana, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 18 Mei - Sambutan Hari Guru tahun ini amat bermakna bagi guru-guru di Jerantut apabila pasukan ragbi bawah 12 tahun daerah ini muncul juara Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang (MSSP) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, di sini kelmarin.

Kejuaraan sulung itu diraih apabila pasukan Jerantut A bimbingan Farid Razali itu menewaskan daerah Rompin dengan keputusan 34-27 dalam perlawanan akhir manakala Jerantut B pula mendapat tempat keempat setelah dikecewakan oleh Kuantan.

Farid berkata, kemenangan tersebut adalah hadiah paling bernilai untuk para jurulatih dan warga pendidik di daerah ini yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukannya.

"Kami sangat gembira kerana muncul juara buat pertama kali dan lebih manis apabila Mohd. Aizad Fahmi Shaiful Hazmi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pedah, di sini muncul pemain terbaik kejohanan.

"Kami hanya sempat berlatih selama seminggu sebelum kejohanan ini dan kerjasama antara pemain selain semangat yang tinggi menjadi kunci kejayaan kami," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris.

Yang turut hadir Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri, Jalaludin Ismail; Timbalan Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut (PPDJ), Firdaus Shuib dan Penyelia Sukan PPDJ, Sofian Kasim.

Johan bagi kategori bawah 18 tahun pula milik pasukan Kuantan manakala Temerloh di tempat kedua dan Jerantut, ketiga.

Farid memberitahu, pihaknya akan membuat persiapan rapi untuk Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung di Kelantan pada 6 hingga 12 Jun ini.

"Kami akan berusaha mengangkat martabat Jerantut dan negeri Pahang di peringkat kebangsaan demi masa depan para pemain," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


China pindah 3,000 rakyatnya

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Gambar bertarikh 16 Mei lalu, menunjukkan sebahagian warganegara China, tiba di Kemboja melalui lintasan sempadan Bavet di wilayah Svay Rieng. - REUTERS

BEIJING 18 Mei - Kerajaan China memindahkan lebih 3,000 rakyatnya dari Vietnam hari ini, ekoran bantahan ganas anti-China yang tercetus di negara tersebut akibat tindakan Beijing membina pelantar minyak di kawasan perairan yang menjadi rebutan kedua-dua negara.

Pemindahan tersebut dilaksanakan selepas penduduk Vietnam semalam menggesa lebih banyak tunjuk perasaan anti-China diadakan selepas rusuhan pada awal minggu ini menyaksikan dua pekerja China terbunuh dan lebih 100 lagi cedera.

Kementerian Luar China dalam kenyataannya berkata, kesemua pekerja negara ini pulang ke tanah air dengan bantuan Kedutaan China di Vietnam.

Menurut kedutaan itu, kerajaan juga akan menghantar sebuah pesawat yang disewa khas dan lima buah kapal untuk membawa pulang pekerja syarikat China 19th Metallurgical Corporation, yang terjejas teruk akibat keganasan baru-baru ini.

Terdahulu, Beijing menasihati rakyatnya agar tidak berkunjung ke Vietnam buat sementara waktu ekoran rusuhan anti-China yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh berpuluh-puluh tahun.

"Baru-baru ini, keganasan tercetus di selatan Vietnam yang menyaksikan kilang-kilang asing rosak teruk akibat menjadi sasaran perusuh selain kematian dua rakyat China.

"Sehubungan itu, rakyat dan pemilik kilang China di Vietnam turut dinasihatkan sentiasa berwaspada, meningkatkan langkah keselamatan dan mengelak daripada meninggalkan premis masing-masing," jelas Kementerian Luar melalui laman web rasminya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Vietnam memberi amaran akan menjalankan tindakan tegas bagi mengekang berlakunya lebih banyak keganasan berkaitan konflik itu.

Sepanjang minggu lalu, sebanyak 22 daripada 63 wilayah di Vietnam mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran bagi membantah tindakan China mencabuli kedaulatan negara itu di Laut China Selatan.

Banduan merusuh tawan 122 orang termasuk ahli keluarga

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Sebahagian anggota polis berkumpul di hadapan penjara Advogado Jacinto Filho, selepas banduan penjara berkenaan bertindak menawan 122 orang tebusan, kelmarin. - AGENSI

BRASILIA 18 Mei - Penghuni penjara Advogado Jacinto Filho di sini, bertindak menawan 122 orang tebusan semalam selepas beberapa tuntutan mereka tidak dilayan pihak berkuasa penjara.

Jurucakap penjara, Sandra Melo berkata, empat daripada tebusan berkenaan adalah pengawal penjara, manakala bakinya merupakan ahli keluarga banduan yang kebetulan datang melawat ke penjara yang terletak di timur laut Sergipe itu.

"Rusuhan hanya berlaku di satu bahagian penjara sahaja. Saya rasa mungkin ada kaitan dengan permintaan banduan untuk dipindahkan," jelas Melo, sambil menambah seorang pengawal penjara cedera ringan dan dua ekor anjing dibunuh ekoran rusuhan berkenaan.

Kata Melo lagi, pihaknya sudah menghubungi polis bagi menangani masalah tersebut dan rundingan bagi pembebasan tebusan disambung awal pagi ini.

Menurut laporan, antara perkara yang diminta oleh banduan berkenaan selain mahu dipindahkan, adalah mereka mahu layanan yang lebih baik diberikan oleh pihak penjara, selain waktu lawatan dipanjangkan.

Ketua Polis Sergipe, Mauricio Iunes berkata, rundingan kini sedang giat dijalankan, tetapi tidak dapat dipastikan bila masalah itu akan selesai.

"Kami percaya banduan tidak akan mencederakan ahli keluarga mereka. Namun, saya bimbang dengan keselamatan pengawal penjara yang dijadikan tebusan," ujar Iunes.

Ketika ini terdapat kira-kira 548,000 orang banduan menjalani hukuman di penjara Brazil, dengan penjara-penjara yang berada di negara tersebut hanya mampu menempatkan 340,000 banduan sahaja. - AFP/AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Telefon pintar generasi baru HTC

Posted: 18 May 2014 08:12 AM PDT

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my

PENERAJU global dalam inovasi dan reka bentuk telefon mudah alih HTC melancarkan telefon pintar terbarunya HTC Desire 610. Telefon pintar ini dilengkapi dengan hub hiburan kompak bagi memberikan pengalaman audio dan visual mudah alih yang menakjubkan termasuk skrin 4.7 inci, HTC BlinkFeed dan sistem bunyi HTC terbaik, HTC BoomSound.

Presiden HTC Asia Selatan, Jack Yang berkata, apabila pihaknya mengembangkan portfolio produk, mereka teruja dengan kecanggihan dan kualiti yang ada pada HTC Desire 610.

"Produk ini menandakan permulaan siri telefon pintar HTC terbaik yang mampu dimiliki pelanggan. Dengan reka bentuk yang cantik dan spesifikasi tinggi, kami mahu memikat dan menarik pelanggan dengan HTC Desire 610 yang terbaru," katanya dalam satu kenyataan.

HTC Desire 601 dijana oleh pemprosesan quad core dan sambungan 4G LTE yang membolehkan pelanggan yang sentiasa berada di luar menonton video, berita pada masa sebenar dan cerita serta gosip terkini melalui HTC BlinkFeed.

Pengalaman semua multimedia lengkap dengan keupayaan mengedit gambar tambahan dan video automatik, membolehkan pengguna berkongsi dan menunjukkan gambar dan video dalam kualiti yang menakjubkan.

HTC Desire 610 boleh didapati dengan warna Vanilla White dan Glossy Blue dengan harga runcit RM999 di seluruh negara pada akhir Mei ini di semua pengedar HTC yang sah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


DBLK tarik ramai penonton Singapura, Indonesia

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

ZAINAB lakonan Nasha Aziz dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang dipentaskan di Istana Budaya Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Kamal Basir Wahab

KUALA LUMPUR 18 Mei - Teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK) mencapai sasarannya apabila berjaya menarik ramai penonton asing terutama dari Singapura dan Indonesia sejak dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di sini pada 9 Mei lalu sehinggalah malam terakhirnya hari ini.

Menurut Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, bagi mencapai sasaran tersebut pelbagai usaha telah dibuat termasuklah dengan menampilkan Adi Putra yang berasal dari Singapura sebagai salah seorang pelakon utama menerusi teater yang sarat dengan mesej ketuhanan arahan Rosminah Tahir itu.

"Penonton dari Singapura adalah paling ramai menonton teater ini terutama pada pementasan Sabtu dan Ahad, diikuti Indonesia. Selain Adi Putra sebagai tarikan naskhah terbitan era 1960-an ini, ia juga mencipta sejarah kerana naskhah ini yang pertama dari luar negara dipentaskan di negara ini.

"Sebelum ini IB lebih banyak mementaskan naskhah tempatan seperti Natrah dan Badai Semalam. Malah, pementasan teater DBLK juga menarik ramai penonton warga emas tempatan berusia 60 tahun ke atas yang meliputi 20 peratus jumlah penonton keseluruhannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohamed Juhari juga memberitahu, DBLK juga adalah teater kedua paling ramai ditonton oleh golongan warga emas selepas pementasan teater Natrah kira-kira enam tahun lalu.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga hadir menonton teater itu semalam dan secara peribadi memaklumkan kepada Mohamed Juhari bahawa beliau tertarik dengan naskhah tersebut.

"Memang matlamat kami menganjurkan pementasan ini sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang mana ia antara lain bagi menarik kunjungan golongan pelancong dari negara-negara jiran untuk menontonnya," katanya.

Tambah Mohamed Juhari, ekoran arahan daripada Kabinet yang telah bersetuju untuk melanjutkan sambutan Tahun Melawat Malaysia sehingga ke tahun hadapan, pihaknya juga merancang untuk mencari naskhah lain bagi mengisi slot pementasan seperti itu di Panggung Sari.

Katanya, meskipun DBLK yang antaranya dilakonkan oleh Nasha Aziz, Fizo Omar dan Alina Hassan itu suatu naskhah yang agak berat tetapi ia tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri terutama bagi yang mengikuti karya-karya hasil tulisan Prof. Dr. Hamka tersebut.

"Kalaulah Timbalan Perdana Menteri yang selalu sibuk boleh meluangkan masanya menonton teater ini kerana intipati jalan cerita hasil tulisan penulis seperti Dr. Hamka, apatah lagi bagi kita semua. Ini kerana karya-karya Allahyarham memang berat tetapi berkualiti dan penuh ilmiah," katanya.

Ingat pesan ibu

Posted: 18 May 2014 08:12 AM PDT

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

EGONYA dibuang jauh-jauh. Dia tahu sebagai orang yang dikenali dia perlu menjaga tata susila terutama ketika mengeluarkan kata-kata jika menyentuh sensitiviti diri.

Bagi Kilafairy bukan sekali dua dia mendengar cerita kurang enak tentang dirinya diperkatakan umum tetapi sebagai anak kepada penghibur terkenal dia terbiasa menjaga mulut daripada terus terhumban dalam kancah kontroversi seperti yang berlaku pada artis lain.

Bukan tidak terkesan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku pada segelintir artis yang terheret dalam kancah kontroversi, bagi wanita ini semua yang berlaku pasti ada puncanya.

"Saya tak peduli jika orang nak cakap apa sahaja tentang diri saya. Asalkan berita yang disebarkan tidak melibatkan maruah diri, itu sudah cukup baik.

"Kalau tengok sebelum ini pun nama saya ada juga 'diusik' oleh pihak media. Tak ada masalah pun sebab ibu selalu pesan itu tugas mereka (orang media) untuk menulis kisah kita.

"Jadi apa-apa pun yang berlaku saya tidak akan melenting dengan berita kurang enak asalkan pada akhirnya orang akan mengetahui juga tentang kebenarannya," kata Kilafairy lagi.

Paling diingati sudah pasti pesan ibunya yang juga merupakan penyanyi terkenal Rohana Jalil tentang kisah kehidupan.

Baginya, wanita tersebut tidak sahaja menitipkan kata-kata nasihat tetapi turut sama mengingatkan dirinya tanpa rasa jemu tentang erti hormat menghormati antara kita sesama manusia.

Tidak lelah dengan nasihat dan azimat yang dibekalkan oleh ibunya, wanita yang mesra disapa dengan panggilan Kila ini yakin itu pedoman yang harus diikuti.

"Ibu lebih dulu 'makan garam' di dalam industri ini. Dia lebih dahulu hidup dalam dunia glamour dan pastinya dia mengetahui apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak.

"Jika nama saya terheret dalam kisah kurang manis, dia akan pastikan saya mengendalikan perkara tersebut baik-baik. Jangan ikut emosi dan jangan menimbulkan cerita yang lebih besar.

"Paling tidak saya bersyukur kerana ada penyuluh jalan yang tidak lelah menasihati saya untuk menjaga diri," katanya yang kini mengusahakan butik Rack bersama keluarganya.

Peluang

MENGINJAK usia 22 tahun ini pastinya masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari oleh Kila untuk berjaya. Tidak menganggap usia semuda itu sebagai lesen untuknya bermain-main, dia perlu bekerja keras untuk kejayaan masa hadapan.

Jika dikira usianya di dalam industri, Kila tidak menafikan tempoh tiga tahun bergelar artis merupakan tempoh yang cukup mencabar buat dirinya.

"Mungkin saya baru sahaja melepasi fasa untuk dikenali ramai. Bila orang dah mula kenal, ada tawaran berlakon sudah cukup untuk menggembirakan hati saya.

"Saya tidak pernah mengimpikan untuk mengecap populariti tertinggi tapi cukuplah orang percaya pada bakat saya dan dalam masa yang sama ada produk yang baik.

"Kalau cepat naik pasti cepat juga akan jatuh. Lihat sahaja sejarah industri seni tanah air sebelum ini, perkara tersebut memang ada benarnya.

"Perkara tersebut boleh diambil sebagai ikhtibar agar kita tidak terkena perkara yang sama bak kata orang, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

"Bila menjadi pelakon, jangan ada sikap tamak kalau nak maintain lama di dalam industri. Disiplin kena jaga dan jangan mencari masalah dengan orang," cerita Kila tentang prinsip yang dipegang.

Paling terkesan sudah pasti melihatkan kebanjiran pelakon-pelakon baru yang menjadi pelapis kepada industri.

Meskipun mengetahui ada sahaja nama-nama baru yang muncul di dalam industri, Kila tidak menganggap mereka sebagai saingan memandangkan masing-masing mempunyai rezeki tersendiri.

Dia tidak pernah sesekali dia menyimpan rasa iri hati dengan peluang orang lain dan jauh sekali untuk bermegah dengan apa yang dimiliki.

"Pokok pangkalnya kena ada bakat. Kalau orang percaya kepada kita insya-Allah rezeki kita akan murah dan sentiasa diberkati-Nya.

"Tentang isu orang baru yang silih berganti, itu merupakan proses biasa dalam mana-mana industri sekalipun. Orang baru tetap akan muncul dan proses ini perkara biasa.

"Tidak ada apa yang perlu ditakutkan," jelasnya lagi.

Projek Kahwin

SEJAK membintangi filem Karak yang ditayangkan pada tahun 2011, nama Kilafairy cukup sinomin dengan watak-watak antagonis.

Dia mula sedar apabila banyak tawaran yang diterima lebih ke arah itu sedangkan dia sendiri enggan terus dibayangi watak jahat kerana bimbang persepsi peminat terhadap mutu lakonannya.

"Saya bukan memilih tetapi saya tak mahu orang cop muka Kilafairy dengan watak jahat. Kalau boleh saya nak orang tahu saya boleh membawakan apa sahaja watak sekalipun.

"Sebagai pelakon saya tak boleh selesa dengan kehendak orang. Saya perlu menentukan hala tuju mutu lakonan dan pastinya perlu belajar banyak lagi untuk jadi hebat.

"Kalau terus menumpukan watak antagonis rasanya saya sendiri pun tak sanggup," katanya tertawa.

Selain memberikan tumpuan kepada bidang lakonan, Kila juga tidak pernah melupakan sama sekali bidang nyanyian yang memang diminati sejak dulu.

Meskipun sibuk dengan berbagai-bagai kerja yang dilakukan dalam masa yang sama, dia sempat merakamkan single kedua yang akan diperdengarkan kepada peminat tidak lama lagi.

Terbaru Kila berdebar menantikan naskhah sulung teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 6 hingga 14 Jun hadapan, Kila menganggap itu merupakan cabaran besar buatnya.

Ini merupakan kali pertama dia terlibat di dalam teater dan pastinya perkara tersebut tidak sahaja menguji bakat seni yang mengalir dalam dirinya tetapi kebolehan diri untuk duduk di pentas sebesar itu.

Sebelum ini dia pernah menerima beberapa tawaran untuk menjayakan teater seperti itu tetapi dek kerana kekangan masa peluang tersebut tersia begitu sahaja.

"Banyak perkara yang saya perlu pelajari bila bersetuju dengan pementasan Projek Kahwin ini. Ini bukan teater kecil dan tak boleh dibuat main-main.

"Saya bertuah kerana kehadiran saya disertakan dengan kelas intensif oleh pihak penerbit. Paling tidak ia sangat membantu untuk meningkatkan keyakinan diri," jelasnya lagi.

Selain Kila, Projek Kahwin juga bakal disertai oleh nama-nama komersil seperti Hanez Suraya, Izzue Islam, Shah Iskandar, Sherry Aladad, Zulin Aziz, Fazleena Hishamuddin dan Syaiful Bahri.

Teater yang menggabungkan penggiat teater bebas dan kormesil itu menelan belanja lebih RM1 juta.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sektor pertanian ada masa depan

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

MENINGKATKAN taraf hidup petani, penternak dan nelayan merupakan matlamat utama perjuangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja dilantik sebagai menteri yang menerajui kementerian itu setahun yang lalu.

Beliau mahu mengubah persepsi terhadap golongan yang dilabelkan sebagai miskin dan tertindas. Biarpun agak sukar, Ahli Parlimen Bera ini tetap berazam untuk mengubah pandangan masyarakat ke atas petani, penternak dan nelayan.

Dalam tempoh genap setahun hari ini di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pelbagai perkara beliau telah lakukan, antaranya mengubah sektor pertanian itu sendiri supaya golongan muda melihat sektor tersebut sebagai jaminan masa depan yang menguntungkan.

"Kesan di sebalik persepsi negatif ke atas ketiga-tiga golongan itu menyebabkan orang muda kurang berminat menceburi sektor pertanian, mereka beranggapan ia tidak menjamin masa depan dan itulah realitinya, waima kalau kita baca novel dan tengok filem sekali pun soal kemiskinanlah yang digambarkan.

"Semua ini berpunca daripada peranan orang tengah dan inilah pentingnya kita perlu hapuskan orang tengah yang selama ini menindas golongan petani, penternak dan nelayan, produk mereka dibeli pada harga murah tetapi orang tengah mengaut keuntungan berganda menjualnya pada harga tinggi kepada pengguna," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Justeru bagi membela nasib golongan tersebut, beliau mengumumkan untuk berjihad membanteras orang tengah serta berhasrat mengubah kesusahan hidup mereka supaya dapat menikmati kehidupan lebih sempurna sejajar dengan arus kemodenan.

Bagi membela nasib golongan itu, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi orang tengah membeli hasil tangkapan laut, ternakan dan tanaman pada harga lebih munasabah.

Justeru lama kelamaan golongan yang menjadi nadi kepada kelangsungan hidup masyarakat desa dan bandar ini akan berubah sedikit demi sedikit, walaupun mungkin terpaksa memakan masa Ismail Sabri optimis bahawa matlamat perjuangan beliau pastinya akan membuahkan hasil satu hari nanti.

Jihad beliau itu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang sukar kerana tidak mudah menyingkirkan orang tengah yang telah berakar umbi sejak sekian lama, namun Ismail Sabri melihatnya sebagai satu usaha yang mesti diteruskan walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan.

"Orang tengah ini selalunya dikaitkan dengan bangsa tertentu tapi saya tidak fokus kepada bukan Melayu atau bukan Islam semata-mata kerana apa-apa bangsa pun boleh jadi orang tengah, saya sebut jihad membanteras orang tengah kerana saya mahu tunjukkan bahawa kita serius dalam melaksanakannya.

"Orang tengah ini boleh jadi Melayu dan Islam, sesiapa pun boleh asalkan dia mengambil kesempatan menindas golongan penternak, petani dan nelayan. Angkara orang tengahlah kesannya turut dirasai oleh pengguna kerana harga di pasaran akan menjadi mahal," katanya.

Para petani dan nelayan tidak boleh lagi membiarkan hasil titik peluh mereka diratah oleh orang tengah, mereka tidak boleh membiarkan keringat mereka diperah sesuka hati, mereka perlu bangkit menjual sendiri hasil mereka dengan cara betul untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Tegas beliau, perjuangan untuk mengubah minda petani dan nelayan amat penting dan ia bukan hanya berlegar di peringkat kementerian sebaliknya harus dipikul oleh semua pihak.

Mengulas mengenai nasib para nelayan yang terpaksa berhutang dengan orang tengah ketika musim tengkujuh sehingga menyebabkan kudrat mereka diperah untuk melangsaikan hutang, beliau berkata, kerajaan telah menanganinya.

"Kini, hutang para nelayan sebanyak RM40 juta diambil alih oleh Tekun Nasional, Nekmat pula menyediakan tabung pinjaman tanpa faedah untuk kecemasan sebanyak RM50,000 kepada 87 persatuan nelayan kawasan serta mewujudkan 50 pasar nelayan baharu di seluruh negara bagi membolehkan hasil tangkapan dipasarkan terus.

"Nekmat juga membeli ikan dengan harga setanding ditawarkan orang tengah, FAMA pula menyediakan lebih banyak ruang di pasar tani bagi nelayan dan keluarga menjual hasil produk mereka kepada pengguna," katanya.

Matlamat meningkatkan taraf hidup tidak mungkin akan berjaya tanpa sokongan para petani, penternak dan nelayan sendiri, justeru kempen berterusan akan terus dilakukan bagi memastikan minda mereka dapat diubah.

"Saya sedar masih ramai petani kita yang selesa dengan cara lama atau cara tradisi, mereka sedar dari segi pengeluaran hasilnya rendah berbanding mengamalkan cara moden, jadi saya masih perlu bekerja keras untuk mengubah minda mereka.

"Para pemimpin persatuan nelayan dan petani juga perlu diberikan kursus untuk mengubah minda mereka, bagaimana petani hendak berubah kalau pemimpin persatuan sendiri kurang kesedaran, pegawai-pegawai di kementerian dan agensi-agensi di bawahnya juga perlu berubah supaya perubahan besar-besaran boleh dilakukan," katanya.

Beliau amat berharap agar kaedah lama dalam sektor pertanian dapat dimodenkan secara menyeluruh kerana negara memiliki tanah yang subur, kerajaan menyediakan bimbingan dan tunjuk ajar serta bantuan kewangan untuk melahirkan usahawan-usahawan tani muda yang berjaya.

Pesawah juga merupakan golongan sasar yang perlu diubah mindanya, tanaman cara lama tidak sesuai lagi diamalkan pada masa kini, sikap suka menggunakan khidmat orang tengah perlu dibuang, anjakan perlu dibuat jika mahu menambah pendapatan.

Bagi membantu pesawah, PPK akan diberi peranan dan kuasa membeli padi daripada petani manakala pengusaha kilang akan mendapatkan kuota keperluan kilang melalui PPK manakala NAFAS akan menyediakan Dana Bantuan Kebajikan sebanyak RM100,000 bagi setiap PPK yang melaksanakan skim belian padi bagi mengelakkan petani dan ahli meminjam dari broker.

Sejak setahun lalu, 17 dasar dilaksanakan oleh Ismail Sabri, antaranya mengharamkan penggunaan pukat tunda saiz anak mata 38mm, membatalkan lesen pengusaha laut dalam yang memajak bot kepada pengusaha Vietnam atau menggunakan sepenuhnya nelayan asing untuk beroperasi, meliberalisasikan permit import (AP), mewujudkan Unit Agroproneur Muda dan Majlis Perundingan Agroproneur Muda (dipengerusikan oleh beliau sendiri), Program Transformasi Pertanian dan meningkatkan pengetahuan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan serta Nekmat.

"Harapan saya ialah ada perubahan minda di kalangan semua pihak agar transformasi pertanian dapat dilakukan secara mutlak, cara bekerja juga perlu berubah barulah ada perubahan. Jika tidak usaha ini tidak akan berjaya," katanya.

Israk Mikraj tingkatkan keimanan

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Pandangan IKIM

MAHA Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad SAW ) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (Al-Isra: 1).

Peristiwa ini diperingati pada setiap 27 Rejab tahun hijrah sekalipun ulama berbeza pandangan mengenainya dengan tujuan mengukur keimanan kita sebagai umat Islam. Iaitu untuk beriman kepada perkara-perkara ghaib yang di luar fikiran logik manusia dengan meyakini tanda-tanda kekuasaan Allah.

Di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku ialah Nabi Muhammad dibelah dadanya untuk dibersihkan, melewati tempat-tempat bersejarah seperti Kota Thaibah (Madinah), Bukit Thursina dan Baitul Laham, dipertemu dengan para nabi, dipertonton peristiwa-peristiwa ajaib dan dipertemu dengan Allah, yang akhirnya membawa kepada pensyariatan solat fardhu lima kali sehari semalam.

Hakikatnya hikmah bersejarah peristiwa Israk dan Mikraj ini bukan sekadar mengenai perjalanan ajaib Rasulullah dan peristiwa-peristiwa yang dialami dalam tempoh satu malam akan tetapi juga mengandungi iktibar yang besar kepada umat manusia.

Pertama, sentiasa berpegang teguh kepada kebenaran sekalipun kebenaran itu mungkin tidak difahami atau disenangi oleh orang lain. Kualiti inilah yang dipegang oleh Nabi Muhammad ketika baginda menyampaikan khabar "perjalanan malam" kepada kaumnya. Dikhabarkan bahawa terdapat umat Islam yang murtad setelah mendengar peristiwa yang disampaikan oleh Rasulullah ini.

Prinsip berpegang kepada kebenaran termasuklah dari segi percakapan, perbuatan, pemerhatian, persaudaraan dan ibadah. Berpegang kepada kebenaran bukanlah bermaksud bercerita mengenai aib orang kepada pihak yang tidak sepatutnya, masalah rumah tangga kepada kepada orang luar dan lain-lain yang boleh membawa kepada fitnah.

Justeru, misalnya mendiamkan perihal dosa yang pernah dilakukan terdahulu yang kemudiannya telah bertaubat nasuha bukanlah satu pembohongan. Sebaliknya ia adalah lebih baik didiamkan daripada diceritakan kepada orang yang berkemungkinan mencetuskan fitnah.

Kedua, sebuah persahabatan yang ikhlas sebagaimana yang ditunjukkan oleh Abu Bakar sehingga beliau mendapat gelaran As-Siddiq kerana terus membenarkan kata-kata Nabi Muhammad berkenaan peristiwa Israk Mikraj. Situasi ini mengajar kita bahawa kehidupan di dunia ini tidak semata-mata berpusat kepada diri sendiri dan keluarga. Bahkan kehidupan manusia di dunia ini juga adalah sebagai makhluk sosial dengan menjaga hubungan sesama jiran tetangga dan sahabat handai.

Jambatan persaudaraan dan persahabatan ini tidaklah bermakna segala-gala perkara harus dikongsi bersama seperti kisah rumah tangga masing-masing, pemilikan aset seperti wang tunai dan hartanah kerana ia bukan prasyarat dalam ukhuwah.

Sebaliknya silaturrahim dijaga atas dasar perjuangan agama, permuafakatan, saling membantu, berkasih sayang dan merentasi umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Justeru, seandainya kita memilih untuk sentiasa bermusuhan dengan masyarakat, maka sesungguhnya kita telah membina kehidupan dalam kerugian.

Ketiga, sentiasa menginsafi hakikat adanya balasan terhadap setiap perbuatan baik dan perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh umat manusia. Sekalipun tidak diterima di dunia, pasti ada bahagiannya di akhirat kelak. Dengan menyedari hakikat ini mudah-mudahan kita akan sentiasa berbuat baik tanpa mengharapkan balasan dan pengiktirafan manusia kerana Allah pasti akan membalasnya sekalipun bukan di dunia.

Begitu juga perbuatan yang tidak baik dilakukan oleh manusia seperti langgar lari, mencuri, mengumpat dan seumpamanya. Kita mungkin mampu menyembunyikan daripada manusia tetapi tidak mungkin kita boleh menyorokkannya daripada pengetahuan Allah. Justeru umat manusia diseru agar sentiasa bertaubat tanpa menangguh hingga penghujung usia.

Keempat adalah untuk menghargai setiap waktu yang kita ada semasa hayat di dunia. Sebagaimana Nabi Muhammad diperlihatkan dalam peristiwa Israk Mikraj akan seorang wanita tua yang bongkok sebagai simbolik hayat bagi dunia yang kita diami ini sebelum berlakunya kiamat pada bila-bila masa. Begitu juga dengan hayat kita sebagai manusia yang boleh dipanggil pulang oleh Allah pada bila-bila yang dikehendaki-Nya.

Justeru waktu yang kita ada di dunia ini hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik, yang membahagiakan diri kita dan orang lain, yang menguntungkan dan membuahkan kejayaan serta sentiasa membawa kita kepada mengingati Allah.

Permusuhan hendaklah dielakkan lebih-lebih lagi melibatkan perkara-perkara kecil dan remeh. Hal demikian kerana permusuhan akan mengambil sebahagian daripada hayat kita untuk melakukan perkara yang sia-sia yakni membenci seseorang.

Memperingati peristiwa Israk Mikraj pada setiap tahun hijrah seharusnya dapat mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah. Hal demikian dengan memperakui adanya perkara-perkara ghaib yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar mahupun boleh diterima logik akal akan tetapi menjadi petunjuk kepada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Sebagai umat Islam yakinlah bahawa tiada yang mustahil kepada Allah dan sebagai hamba-Nya hendaklah kita menghargai kehidupan yang kita miliki hari ini.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pelakon berjaya buat penonton menangis

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
kota@utusan.com.my

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyaksikan teater Di Bawah Lindungan Kaabah di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar (tiga dari kiri) dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (dua dari kiri). - MINGGUAN/ Roy Azis Abd Aziz

KUALA LUMPUR 17 Mei - Air mata penonton yang menitis di sepanjang pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK) menjadi kayu pengukur kemampuan pelakon-pelakon yang terlibat dengan teater adaptasi novel karya Hamka itu.

Penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata, para pelakon berjaya menyampaikan jalan cerita dan emosi yang sepatutnya apabila melihatkan ada dalam kalangan penonton menitiskan air mata.

Setakat ini, saya sangat berpuas hati dengan kemampuan pelakon. Walaupun rata-rata pelakon masih baharu di pentas teater, tetapi penghayatan yang diberikan melalui setiap watak itu berjaya menarik emosi penonton.

Sepanjang saya berada di sini, bukan setakat penonton wanita sahaja yang menangis, tetapi penonton lelaki juga ada yang mengalirkan air mata. Jadi, bagi saya ini satu kejayaan buat para pelakon terlibat," ujarnya.

Teater Di Bawah Lindungan Kaabah adalah karya pementasan arahan Rosminah Tahir terbitan CTRA Production dengan kerjasama Istana Budaya dan dibarisi barisan pelakon lain seperti Nasha Aziz, Yasmin Hani, Dafi Ismail, Dayana Roza, Taufiq Izmir, Elfira Loy, Alina Hassan, Liza Abdullah dan Zahid.

Memasuki hari kesembilan pementasan, jelasnya, teater ini berjaya menarik golongan penonton yang sebelum ini tidak terdedah dengan pementasan teater.

Bilangan penonton yang bukan peminat teater juga bertambah ramai, apatah lagi ini adalah sebuah karya dengan teras agama Islam yang kuat dan berjaya menarik golongan penonton lebih ramai berbanding sebelum ini.

Melihat kepada kesan itu, kita percaya sasaran untuk membawa karya dengan unsur-unsur Islam ke pentas teater berjaya," ujarnya.

Wanita bertelekung bersimpuh di tepi jalan

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

SEORANG anggota polis trafik mengawal lalu lintas bagi mengelak wanita itu dilanggar oleh kenderaan yang melalui Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur semalam.

Tindakan seorang wanita yang lengkap bertelekung bersimpuh di atas sejadah yang dibentang di tepi Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur semalam menimbulkan kehairanan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Difahamkan, wanita warganegara Indonesia itu yang dikenali sebagai Anita Shiar, 27, enggan bergerak dari tempat itu walaupun diarahkan berbuat demikian oleh seorang anggota polis trafik.

Keadaan itu menyebabkan anggota trafik berkenaan terpaksa mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, wanita tersebut berjaya dipujuk dan seterusnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada pukul 1.30 petang dengan menaiki kenderaan polis untuk pemeriksaan kesihatan.

Keluarga Hamka dibawa tonton teater DBLK

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Mei - Seramai 17 orang keluarga terdekat penulis dan ulama terkenal, Allahyarham Abdul Malik Karim Amrullah atau Prof. Hamka, diterbangkan khas dari Indonesia untuk menyaksikan teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DBLK) di Istana Budaya malam semalam.

Anak kesembilan tokoh itu, Afif, 62, berkata, kesempatan menonton teater itu yang dipentaskan buat kali pertama di negara ini amat dihargai pihak keluarganya.

Kami sebenarnya mempunyai 10 beradik, bagaimanapun dua daripada kami sudah meninggal. Hari ini saya hanya hadir bersama kakak saya sahaja. Selebihnya itu keluarga terdekat.

Jujurnya memang saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk masyarakat yang terus memberi sokongan buat karya ayah saya. Memang Malaysia sebenarnya sangat dekat dengan Hamka sendiri," katanya.

Pernah melihat sendiri sesi latihan teater itu beberapa bulan lepas, Afif berkata, kepercayaannya kepada pihak CTRA Production adalah berbaloi.

Apa yang kami mahu adalah meneruskan mesej kebaikan yang ingin diteruskan oleh arwah ayah kami dalam setiap naskhahnya.

Saya melihat sendiri pelakon hebat melakonkan watak dalam naskhah tersebut dengan baik. Jadi, saya percaya pementasan teater ini selari dengan tujuan sebenar," katanya.

Teater yang mula dipentaskan pada 9 Mei lalu itu menampilkan barisan pelakon seperti Adi Putra, Nasha Aziz, Ahmad Zahid Baharudin, Fizo Omar, Elfira Loy, Yasmin Hani, Dafi Ismail, Dayana Roza, Liza Abdullah dan Taufiq Izmir.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Komited sedia pengangkutan cekap

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
utusan.johor@gmail.com

MOHAMED Khaled Nordin melihat keadaan dalaman Proton Persona yang dijadikan sebagai teksi yang baharu selepas beliau merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-19 Koperasi Pemandu-pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad di Dewan Perbandaran Produktiviti, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 17 Mei - Kerajaan negeri komited untuk menyediakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, berkesan dan diyakini oleh masyarakat, khususnya di kawasan yang sedang pesat membangun seperti Iskandar Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain bas, perkhidmatan teksi turut memainkan peranan penting terhadap pembangunan dan kemajuan negeri itu.

Justeru, pemandu teksi perlu proaktif dan melengkapkan diri dengan menguasai bahasa antarabangsa bagi memastikan mereka dapat berkomunikasi dan memberi khidmat terbaik semasa berurusan dengan pelanggan.

Jumlah kemasukan pelancong asing ke negeri ini sentiasa meningkat dan mereka banyak bergantung kepada perkhidmatan teksi untuk bergerak. Jadi, amat penting bagi pemandu teksi di negeri ini mampu berkomunikasi dengan baik," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-19 Koperasi Pemandu-pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan, Mustafa Mohd. Jizat dan Pengerusi koperasi berkenaan, Mahzaban Md. Amin.

Menteri Besar berkata, pelbagai institusi menyediakan kursus untuk mempelajari bahasa antarabangsa khususnya bahasa Inggeris dan berharap pemandu teksi menyertai kursus berkenaan untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan unit pengangkutan yang bertujuan merangka pelan terbaik dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyelesaikan masalah berkaitan.

Selain itu, pihak Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (Paim) sedang giat membangunkan satu aplikasi telefon pintar yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan teksi.

Aplikasi tersebut dibangunkan dengan kos keseluruhan RM130,000 dan dijangka diperkenalkan kepada masyarakat bermula Ogos ini," katanya.

Perggghh… Sedapnya! Saji hari ini

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

JOHOR BAHRU 17 Mei - Pertandingan memasak Perggghh Sedapnya! Saji bersama Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia dan Adabi 2014 akan berlangsung di Angsana Mall di sini pada Ahad ini dengan penyertaan masih dibuka sebelum ia bermula pukul 12 tengah hari.

Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), Rosnah Abdul Aziz berkata, program anjuran majalah Saji dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sosial Tun Teja Malaysia dan Adabi itu memerlukan peserta menyajikan dua jenis lauk-pauk yang disediakan lebih awal di rumah.

Hidangan pertama wajib menggunakan rempah ratus Adabi manakala juadah kedua pula adalah masakan inovatif dan kreatif berasaskan ikan, daging, ayam atau makanan laut dengan menggunakan sambal belacan atau sos pasta Adabi.

Peserta hanya perlu membawa masakan yang telah siap dimasak dan markah akan dikira berdasarkan rasa, persembahan, kebersihan serta kreativiti hiasan masakan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pertandingan yang turut diadakan di beberapa lokasi itu mendapat kerjasama daripada penaja utama iaitu Kelab Kebajikan & Sosial Tun Teja Malaysia (KKDSTTM) dan Adabi serta penaja bersama Petron Gasul, Kinowell Healthy Kitchen, Avon dan Nur Hayah Travel & Tours.

Menurut Rosnah, tiga pemenang pertandingan akan mewakili zon selatan pada peringkat akhir yang akan diadakan Oktober nanti yang memerlukan mereka memasak secara langsung dan pihak penganjur akan menyediakan rempah, dapur dan gas manakala selebihnya seperti bahan mentah disediakan sendiri.

Setiap peserta yang berminat untuk bertanding esok akan dikenakan bayaran sebanyak RM40 dan menerima langganan percuma majalah Saji selama tiga bulan, Apron Saji dan produk barangan Adabi.

Penyertaan masih lagi dibuka dan kepada mereka yang berminat bolehlah mendapatkan borang di dalam majalah Saji, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Geng Sathis Kampar, Fadhil Barpu tumpas

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Sum Chang Keong (tengah) melihat rangka motosikal hasil tertangkapnya kumpulan Geng Fadhil Barpu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 17 Mei - Polis berjaya menumpaskan satu geng curi kenderaan dinamakan Sathis Kampar dengan tertangkapnya empat lelaki di Taman Kledang Timur, Menglembu di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan pukul 7.30 malam itu, kesemua suspek yang merupakan penganggur berusia dalam lingkungan 29 tahun hingga 32 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam empat kes kecurian di sekitar kawasan Jelapang, Kampung Tawas dan Bercham di sini, sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek utama geng berkenaan yang berumur 29 tahun dari Chenderiang, Perak mempunyai satu rekod jenayah curi dan baru keluar dari penjara pada penghujung tahun lalu.

Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas kereta jenis Nissan Sentra dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah serta dua kereta jenis Proton Saga dan sebuah kereta Proton Waja yang merupakan barang curi.

Antara barangan lain yang turut dirampas dalam kenderaan tersebut ialah sebuah kamera jenis Canon, enam telefon bimbit jenis Nokia dan Samsung, iPod jenis Apple, segugus kunci rumah dan kenderaan, dua batang allen key yang ditajamkan, playar, pemotong, dan kikir besi," katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Tambah beliau, keempat-empat suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berlainan, Chang Keong berkata, polis juga berjaya melumpuhkan satu sindiket mencuri motosikal melibatkan tiga remaja berusia antara 19 tahun hingga 23 tahun, Ahad lalu.

Menurut beliau, geng yang dikenali sebagai Fadhil Barpu itu dipercayai terlibat dalam enam kes curi di sekitar kawasan Taman Rishah dan Kampung Tawas di sini.

Mereka bertindak meleraikan komponen-komponen motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Wave untuk dijual serta bagi kegunaan sendiri.

Suspek utamanya seorang mekanik motosikal yang berasal dari Jelapang," katanya.

Tiga ditahan lari daripada sekatan jalan

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

ALOR SETAR 17 Mei - Cubaan tiga lelaki untuk melarikan diri daripada sekatan jalan yang dilakukan oleh pihak polis gagal, apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Jalan Batas Paip, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tiga lelaki terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an berjaya diberkas setelah pihak polis mengejar kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka sejauh tiga kilometer dipercayai bermula dari Jalan Kuala Kedah sehingga ke Jalan Batas Paip.

Ketua Polis Daerah, Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi berkata, kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga lelaki tersebut disyaki menggunakan nombor plat palsu.

Tiga lelaki yang berada di dalam kereta jenis Honda Accord tersebut merupakan lelaki tempatan dan mereka tidak berhenti semasa polis membuat sekatan jalan raya di sekitar Jalan Kuala Kedah.

Polis mengejar kenderaan dan akhirnya berjaya menahan mereka di Jalan Batas Paip setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang.

Pihak polis masih menyiasat sama ada ketiga-tiga lelaki ini terlibat dalam mana-mana kes jenayah dan tiada sebarang kecederaan berlaku di dalam insiden ini," katanya.

Seorang saksi kejadian, Jaafar Abu Bakar, 61, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Aman, Jalan Kuala Kedah di sini.

Saya ternampak sebuah kereta Honda Accord yang dipandu laju dan tidak berhenti walaupun lampu isyarat berwarna merah di hadapan masjid ini.

Sebuah kereta polis juga mengejar kenderaan tersebut dan saya yang ingin tahu apa yang berlaku terus menaiki motosikal mengikut kenderaan tersebut," katanya ketika ditemui di Jalan Batas Paip, di sini.

Menurut Jaafar, kereta jenis Honda Accord itu dipandu dengan begitu laju dan tidak berhenti di tiga lampu isyarat di sekitar Jalan Kuala Kedah walaupun dikejar oleh kenderaan polis.

Ada tiga buah kereta peronda polis mengejar kereta tersebut namun mereka enggan berhenti. Bila sampai ke persimpangan untuk memasuki ke Jalan Batas Paip kereta jenis Honda Accord ini tiba-tiba terbabas memasuki longkang dan lelaki di dalam kereta ditahan polis," jelasnya.

Bank Rakyat serah zakat perniagaan

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

PULAU PINANG 17 Mei - Yang dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas hari ini menerima zakat perniagaan berjumlah RM1,080,071 daripada Bank Rakyat di Seri Mutiara, di sini semalam.

Zakat perniagaan bagi 2013 itu diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Penyampaian zakat itu diserahkan oleh Naib Presiden Kanan Produk dan Perkhidmatan Bank Rakyat, Baharom Embi.

Jumlah keseluruhan zakat perniagaan Bank Rakyat yang diagihkan ke seluruh negara adalah sebanyak RM41 juta setelah berjaya mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM2.13 bilion bagi prestasi kewangan berakhir Disember 2013.

Aset terkumpul bank itu adalah sebanyak RM82.88 bilion.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim dan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Salleh Man.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved