Ahad, 18 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Geng Sathis Kampar, Fadhil Barpu tumpas

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Sum Chang Keong (tengah) melihat rangka motosikal hasil tertangkapnya kumpulan Geng Fadhil Barpu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 17 Mei - Polis berjaya menumpaskan satu geng curi kenderaan dinamakan Sathis Kampar dengan tertangkapnya empat lelaki di Taman Kledang Timur, Menglembu di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan pukul 7.30 malam itu, kesemua suspek yang merupakan penganggur berusia dalam lingkungan 29 tahun hingga 32 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam empat kes kecurian di sekitar kawasan Jelapang, Kampung Tawas dan Bercham di sini, sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek utama geng berkenaan yang berumur 29 tahun dari Chenderiang, Perak mempunyai satu rekod jenayah curi dan baru keluar dari penjara pada penghujung tahun lalu.

Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas kereta jenis Nissan Sentra dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah serta dua kereta jenis Proton Saga dan sebuah kereta Proton Waja yang merupakan barang curi.

Antara barangan lain yang turut dirampas dalam kenderaan tersebut ialah sebuah kamera jenis Canon, enam telefon bimbit jenis Nokia dan Samsung, iPod jenis Apple, segugus kunci rumah dan kenderaan, dua batang allen key yang ditajamkan, playar, pemotong, dan kikir besi," katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Tambah beliau, keempat-empat suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berlainan, Chang Keong berkata, polis juga berjaya melumpuhkan satu sindiket mencuri motosikal melibatkan tiga remaja berusia antara 19 tahun hingga 23 tahun, Ahad lalu.

Menurut beliau, geng yang dikenali sebagai Fadhil Barpu itu dipercayai terlibat dalam enam kes curi di sekitar kawasan Taman Rishah dan Kampung Tawas di sini.

Mereka bertindak meleraikan komponen-komponen motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Wave untuk dijual serta bagi kegunaan sendiri.

Suspek utamanya seorang mekanik motosikal yang berasal dari Jelapang," katanya.

Tiga ditahan lari daripada sekatan jalan

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

ALOR SETAR 17 Mei - Cubaan tiga lelaki untuk melarikan diri daripada sekatan jalan yang dilakukan oleh pihak polis gagal, apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Jalan Batas Paip, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tiga lelaki terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an berjaya diberkas setelah pihak polis mengejar kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka sejauh tiga kilometer dipercayai bermula dari Jalan Kuala Kedah sehingga ke Jalan Batas Paip.

Ketua Polis Daerah, Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi berkata, kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga lelaki tersebut disyaki menggunakan nombor plat palsu.

Tiga lelaki yang berada di dalam kereta jenis Honda Accord tersebut merupakan lelaki tempatan dan mereka tidak berhenti semasa polis membuat sekatan jalan raya di sekitar Jalan Kuala Kedah.

Polis mengejar kenderaan dan akhirnya berjaya menahan mereka di Jalan Batas Paip setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang.

Pihak polis masih menyiasat sama ada ketiga-tiga lelaki ini terlibat dalam mana-mana kes jenayah dan tiada sebarang kecederaan berlaku di dalam insiden ini," katanya.

Seorang saksi kejadian, Jaafar Abu Bakar, 61, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Aman, Jalan Kuala Kedah di sini.

Saya ternampak sebuah kereta Honda Accord yang dipandu laju dan tidak berhenti walaupun lampu isyarat berwarna merah di hadapan masjid ini.

Sebuah kereta polis juga mengejar kenderaan tersebut dan saya yang ingin tahu apa yang berlaku terus menaiki motosikal mengikut kenderaan tersebut," katanya ketika ditemui di Jalan Batas Paip, di sini.

Menurut Jaafar, kereta jenis Honda Accord itu dipandu dengan begitu laju dan tidak berhenti di tiga lampu isyarat di sekitar Jalan Kuala Kedah walaupun dikejar oleh kenderaan polis.

Ada tiga buah kereta peronda polis mengejar kereta tersebut namun mereka enggan berhenti. Bila sampai ke persimpangan untuk memasuki ke Jalan Batas Paip kereta jenis Honda Accord ini tiba-tiba terbabas memasuki longkang dan lelaki di dalam kereta ditahan polis," jelasnya.

Bank Rakyat serah zakat perniagaan

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

PULAU PINANG 17 Mei - Yang dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas hari ini menerima zakat perniagaan berjumlah RM1,080,071 daripada Bank Rakyat di Seri Mutiara, di sini semalam.

Zakat perniagaan bagi 2013 itu diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Penyampaian zakat itu diserahkan oleh Naib Presiden Kanan Produk dan Perkhidmatan Bank Rakyat, Baharom Embi.

Jumlah keseluruhan zakat perniagaan Bank Rakyat yang diagihkan ke seluruh negara adalah sebanyak RM41 juta setelah berjaya mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM2.13 bilion bagi prestasi kewangan berakhir Disember 2013.

Aset terkumpul bank itu adalah sebanyak RM82.88 bilion.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim dan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Salleh Man.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved