Ahad, 18 Mei 2014

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Hebat, tangkas dan pantas

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh Fauzi Jaafar
ekonomi@utusan.com.my

Reka bentuk depan yang aerodinamik dengan gril besar menyerlahkan kehebatan Peugeot 208 GTi.

BAGI peminat kereta, ia bukanlah sebagai jentera untuk bergerak semata-mata tetapi lebih daripada itu. Kereta sebenarnya boleh disifatkan sebagai perlambangan imej dan cara hidup.

Pemilihan kereta juga penting untuk menunjukkan ciri-ciri pemiliknya. Orang muda yang berdarah panas, sudah tentulah memilih kereta sport untuk menggambarkan jiwanya.

Inilah yang ditawarkan oleh Peugeot melalui model 208 GTi. Model hatchback tiga pintu yang kecil tetapi pantas, sesuai untuk pemandu yang dahagakan kelajuan maksimum.

Peugeot 208 GTi dikuasakan dengan enjin 1,598 cc Twin Scroll Turbo Tekanan Tinggi dengan suntikan terus petrol, empat silinder sebaris, DOHC 16 injap VTI.

Kelihatan kuasa enjinnya agak kompak sesuai dengan saiz model ini yang dikelaskan sebagai model supermini. Namun kuasa enjin yang kecil itu tersimpan ledakan kuasa yang menakjubkan untuk pesaing sekelasnya.

Enjin tersebut meledakkan 200 kuasa kuda (bhp) @ 5800 revolusi per minit (rpm) dengan kilasan maksimum 275Nm @ 1700rpm - 4500 rpm. Transmisi enam kelajuan manual menjadikan model ini amat seronok dilanyak di lebuh raya mahupun jalan raya biasa. Senarai sistem keselamatannya juga mengujakan. 208 GTi dilengkapi sistem Stability Control, Traction Control, ABS, EBA, EBFD dan Electronic Stability Program (ESP) generasi terbaharu.

Hiasan dalaman juga menarik yang melambangkan kuasa. Gabungan warna merah dan hitam melengkapkan hiasan dalaman. Pemegang tangan dan kerusi di salut dengan warna merah garang. Begitu juga dengan papan pemuka yang dijalurkan dengan warna merah serta panel meter. Memang model ini menekankan warna merah sesuai dengan imej GTi.

Peugeot 208 GTi diberi beberapa pembaharuan antaranya LED pada lampu penunjuk, skrin sentuh 7 inci dengan sistem navigasi, sambungan Bluetooth dan USB, bumbung suria, 6 beg udara dan sistem Smart Park Assist.

Bumbung suria agak besar memanjang ke belakang dan tidak boleh dibuka. Apa yang menariknya, bingkai bumbung suria diwarnai dengan lampu biru. Bagi penulis, lampu itu memberi keseimbangan warna dan mood positif pemandu.

Untuk menguji Peugeot 208 GTi ini, penulis memilih Lebuh Raya Pantai Timur ke Kuantan. Laluan berselekoh di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menjadi medan menguji ketangkasan jentera ini mengambil selekoh dengan kelajuan yang tinggi. Jarak roda hatchback ini yang agak pendek, iaitu 2538mm menjadikan model ini lincah mengambil selekoh. Gabungan saiz roda 205/45/R17 memperlengkapkan lagi pengambilan selekoh tanpa rasa bimbang tayar membuang.

Kombinasi transmisi manual menyebabkan peranan brek dikurangkan ketika mengambil selekoh dan ia menghasilkan pemanduan yang seronok bagi kaki pecut. Setiap pecutan pada gear rendah menghasilkan kuasa G yang menarik pemandu ke belakang. Bagaimanapun, kerusi bucket menjadikan pemandu tetap di kerusi pada selekoh yang tajam.

Jentera ini mampu menghasilkan pecutan maksimum 230 kmj, tetapi penulis mampu memecut sehingga 210 kmj. Kuasanya tidak pernah menghampakan. Tidak lengkap tanpa menceritakan penggunaan minyak untuk model ini. Peugeot mengumumkan model ini menggunakan 5.9 liter/100 kilometer.

Bagaimanapun dalam uji pandu itu, penulis secara purata menggunakan 8.6 liter/100 kilometer untuk pemanduan sejauh 284 kilometer dengan purata kelajuan 55 kmj.

Secara keseluruhan, bagi penulis model Peugeot 208 GTi adalah kereta supermini dengan mementingkan kelajuan yang diterjemahkan menerusi reka bentuk dan hiasan dalaman.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved