Selasa, 4 Februari 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Penjenayah larikan mesin ATM dan wang RM84,000

Posted: 04 Feb 2014 10:51 PM PST

Oleh ROSMIZAN RESDI

KOTA BHARU 5 Feb. - Sekumpulan penjenayah bertindak menarik keluar mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM84,000 di sebuah bank di hadapan Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas di sini, awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu disedari oleh seorang saksi selepas terdengar bunyi bising semasa penjenayah terbabit berusaha menarik keluar mesin ATM berkenaan.

Menurut Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, kejadian yang berlaku dalam tempoh kira-kira lima minit itu melibatkan tiga penjenayah.

"Siasatan mendapati mesin tersebut telah ditarik keluar dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini - UTUSAN.

Op Selamat kurangkan kadar kemalangan

Posted: 04 Feb 2014 10:12 PM PST

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Operasi penguatkuasaan jalan raya bersepadu, Ops Selamat, sempena perayaan Tahun Baharu Cina dapat mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, jumlah kemalangan dalam tempoh itu ialah sebanyak 11,788 kes berbanding 13,550 kes pada musim perayaan sama tahun lepas.

Kemalangan maut juga menurun 11 peratus jika dibandingkan pada tempoh sama iaitu 129 kes tahun ini berbanding 145 kes pada 2013.

"Walaupun Ops Selamat telah memasuki hari ke-13 dan akan tamat dua hari lagi, tetapi sudah 80 peratus pengguna jalan raya sudah kembali bekerja dan saya yakin kadar kemalangan ini akan kekal rendah," katanya kepada pemberita pada kempen keselamatan jalan raya Ops Selamat di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid dan Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof.

Wan Junaidi berkata, selain mengurangkan kadar kemalangan hasil pemantauan polis dan pelbagai agensi keselamatan, Ops Selamat juga berjaya mengurangkan jenayah pecah rumah bagi musim perayaan ini dengan 745 kes itu pada tahun ini berbanding 807 tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Gaduh: Rodriguez tak cedera - Muhd. Irfan

Posted: 04 Feb 2014 10:54 PM PST

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU 5 Feb. - Perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu seharusnya diteruskan kerana tiada sebarang insiden pergaduhan dan kecederaan terjadi seperti dilaporkan sebelum ini.

Seorang pemain T-Team, Muhd. Irfan Abdul Ghani berkata, walaupun tidak melihat sendiri insiden yang hangat diperkatakan itu, namun sewaktu berada di dalam bilik persalinan, dia tidak melihat sebarang kecederaan pada individu yang terbabit.

"Saya berada di tepi padang ketika mereka berjalan untuk masuk terowong dan apa yang saya lihat adalah jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez."

"Apa yang terjadi di dalam terowong saya tidak nampak, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, tiada sebarang kecederaan di bahagian muka Elvaldo Rodriguez yang dikatakan ditumbuk sehingga hidungnya berdarah.

"Malah individu yang dikatakan tercedera dalam insiden terbabit juga hadir dalam sesi latihan keesokan hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Muhd. Irfan yang dahulunya bekas pemain JDT berkata demikian selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Nicol rangkul gelaran ketujuh berturut-turut

Posted: 04 Feb 2014 10:53 PM PST

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David merangkul kejuaraan jelajah Persatuan Skuasy Wanita (WSA) ketujuh berturut-turut selepas muncul juara Cleveland Classic di Ohio, Amerika Syarikat awal pagi tadi.

Pemain No. 1 dunia itu menumpaskan pencabar dari Hong Kong, Annie Au 13-11, 11-5, 11-6 dalam perlawanan akhir.

Nicol, 30, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Kejohanan Juara-Juara di New York, bulan lalu kini sudah mengumpul 73 gelaran WSA sepanjang bergelar pemain profesional. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


AS tentang rampasan kuasa

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Sekumpulan tentera Thailand berkawal di hadapan pejabat sementara kerajaan di Bangunan Kementerian Pertahanan di pinggir Bangkok, semalam. - AFP

WASHINGTON 4 Feb. - Amerika Syarikat (AS) menentang sebarang tindakan tentera untuk melancarkan rampasan kuasa di Thailand, ekoran konflik politik di negara itu yang semakin meruncing, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki.

Beliau berkata, Washington turut bimbang dengan ketegangan politik di Bangkok yang menjadi cabaran terhadap demokrasi di negara itu selepas pilihan raya hujung minggu lalu terganggu akibat bantahan antikerajaan.

AS tidak mahu melihat rampasan kuasa atau keganasan berlaku di Thailand.

Kami meminta semua pihak di negara itu memahami kepentingan demokrasi dan Perlembagaan bagi menyelesaikan perbezaaan pegangan politik mereka," katanya.

Menurut Psaki, walaupun proses pilihan raya di kebanyakan kawasan berjalan secara aman dan lancar, namun masih ada keganasan yang tercetus, selain tindakan penunjuk perasaan antikerajaan menghalang pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, Washington bimbang dengan situasi politik di Thailand yang menunjukkan penentangan terhadap Perlembagaan dan demokrasi.

Kami tidak memihak kepada sesiapa dalam konflik di Thailand, tetapi kami meminta semua pihak yang terlibat agar mengadakan perbincangan secara telus bagi menyelesaikan perbezaaan politik mereka secara aman dan demokrasi," katanya.

Sementara itu, Parti Pheu Thai yang memerintah kerajaan, dijangka memenangi sekurang-kurangnya 300 kerusi Parlimen, walaupun calon yang diletakkan mendapat jumlah undian yang rendah berbanding pilihan raya sebelum ini.

Sumber parti tersebut berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi pada mesyuarat yang dihadiri pengarah pilihan raya pusat, Sompong Amornvivat, Parti Pheu Thai mungkin memenangi 240 kerusi Parlimen dan kira-kira 60 lagi kerusi di kubu kuat parti itu.

Keputusan undian, setakat ini menunjukkan ramai pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi, menyebabkan calon parti tersebut hanya memperolehi 20,000 undi di kerusi Parlimen berbanding 40,000 undi pada pilihan raya sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Biro Polis Kebangsaan akan memburu penunjuk perasaan yang mengganggu proses pilihan raya pada Ahad lalu dan pegawai pilihan raya yang meninggalkan pusat pengundian.

Ketua Jabatan Siasatan Khas, Tarit Pengdith berkata, Pusat Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) telah mengeluarkan arahan kepada polis untuk mengumpul bukti bagi mendakwa individu yang terlibat.

Tarit turut meminta orang ramai memberi kerjasama kepada pihak polis, jika mereka mempunyai bukti menunjukkan penglibatan penunjuk perasaan dalam perbuatan jenayah itu. - AFP/AGENSI

Ekonomi Genting Gaza terus alami kemerosotan

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Gambar tidak bertarikh merakamkan seorang kanak-kanak perempuan berlari di hadapan runtuhan bangunan akibat bedilan tentera Israel di Genting Gaza, Palestin. - AGENSI

GAZA 4 Feb. - Keadaan ekonomi di Genting Gaza terus mengalami kemerosotan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas Israel bertindak mengenakan sekatan dan menutup jalan-jalan masuk ke wilayah Palestin itu.

Sekatan yang dikenakan sejak 2007 ke atas 1.7 juta penduduk Gaza mengakibatkan banyak premis perniagaan ditutup dan jatuh muflis.

Sebagai contoh, Kerem Shalom, satu-satunya pusat komersial di sini terpaksa ditutup selama lebih 150 hari pada tahun lalu.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), sebelum Israel mengenakan sekatan, sekurang-kurangnya 3,000 buah lori melalui Kerem Shalom untuk ke Gaza setiap minggu.

Namun, kini bilangan lori yang melalui kawasan itu semakin berkurangan dengan hanya mencatat kira-kira 900 lori seminggu.

"Penutupan lintasan itu sememangnya menganggu perniagaan kami, operasi perniagaan dijalankan dalam jangka waktu yang terlalu singkat. Bagi kawasan perniagaan yang semakin membangun seperti Kerem Shalom, waktu perniagaan haruslah tetap," kata salah seorang penduduk Palestin kepada Press TV.

Dahulunya, Gaza memiliki tiga buah pusat komersial, namun ia ditutup oleh kerajaan Israel beberapa tahun lalu atas alasan keselamatan.

Seorang profesor ekonomi, Moeen Rajal berkata, ekonomi di Gaza boleh kembali berkembang jika sekatan tersebut ditarik balik dan membuka semula kawasan lintasan itu.

"Israel secara unilateral menutup lintasan Kerem Shalom selama lima bulan pada 2013. Penutupan itu dibuat selepas penemuan terowong bawah tanah dari Gaza ke Mesir oleh tentera Mesir, yang dipercayai bagi menyeludup barangan keperluan kepada penduduk Gaza selain menyuburkan ekonomi di sini," jelas Moeen. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sasar indeks jenayah turun 10%

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

KUANTAN 4 Feb. - Polis Pahang menyasarkan indeks jenayah di negeri dikurangkan kepada 10 peratus sejajar dengan pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di sini semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, sasaran itu dibuat memandangkan purata jumlah kes yang diterima setiap hari adalah sekitar 15 peratus sehari.

Menurut beliau, kewujudan unit terbaharu itu akan menyaksikan anggota terlibat akan bertugas selama 24 jam melibatkan tiga syif yang akan melakukan rondaan bagi mencegah kegiatan jenayah di negeri ini.

"Kita menerima sebanyak 68 motosikal jenis Kawasaki Ninja 250CC yang mana daerah Kuantan akan mempunyai dua unit URB melibatkan 34 motosikal diikuti masing-masing satu unit dengan 17 motosikal di Temerloh dan Rompin.

"Penempatan motosikal di daerah terbabit dibuat kerana bukan sahaja mencegah jenayah tetapi juga turut menjadi tumpuan pelancong ke situ," katanya kepada pemberita selepas pelancaran URB peringkat negeri di Taman Kerang di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad dan Ketua Cawangan Khas Pahang, Datuk Riduan Hashim.

Sharifuddin berkata, motosikal terbabit akan ditambah secara berperingkat untuk ditempatkan di semua daerah di negeri ini pada masa akan datang.

Menurut beliau, unit itu akan melakukan rondaan di kawasan perumahan, perniagaan, taman rekreasi, perindustrian dan sekolah.

"Melalui inisiatif ini, unit tersebut akan mendampingi masyarakat melalui konsep 'bertemu dan menyambut' dan menjalinkan kerjasama lebih erat antara orang awam dengan polis," ujarnya.

Beliau percaya, pendekatan itu membolehkan maklumat berkaitan jenayah setempat mudah diperoleh sekali gus dapat mencegah kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Sharifuddin turut memberi peringatan kepada anggota unit terbabit supaya menjaga kenderaan masing-masing dengan baik bagi memastikan rondaan dilakukan mereka tidak menghadapi masalah.

"Jagalah motosikal tersebut seperti kenderaan sendiri kerana orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadap polis untuk menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam," katanya.

Penduduk rayu baiki segera jambatan usang

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Penduduk menunjukkan kesan hakisan tanah yang boleh menyebabkan jambatan berusia 30 tahun itu runtuh di Batu Balai, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 4 Feb. - Sebanyak 300 penduduk di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Berjuang dan Sungai Keli, Batu Balai di sini merayu kerajaan segera membaiki jambatan usang digunakan mereka di kampung itu.

Jambatan berusia 30 tahun itu dikatakan menanti masa runtuh kerana masalah hakisan dan membahayakan keselamatan penduduk.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Balai, Mohamad Noor Ali Mohamed berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan sebanyak empat kali namun sehingga kini belum ada tindakan.

Menurut beliau, jambatan yang menghubungkan Sungai Terlan itu dikatakan sudah tidak selamat digunakan dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib.

"Kami bimbang keselamatan penduduk terancam kerana keadaan hakisan yang berlaku menyebabkan banyak berlaku tanah runtuh di bawah jambatan ini.

"Jika dilihat pada bahagian bawah jambatan ini keadaan tanah yang menyokong jambatan itu boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja," katanya di sini baru-baru ini.

Seorang penduduk, Mohd. Khairi Hassan, 53, memberitahu, jambatan itu digunakan lebih 48 keluarga di Kampung Sungai Berjuang, 24 keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Berjuang dan lima keluarga di Kampung Sungai Keli.

Katanya, jambatan itu bukan sahaja menjadi laluan utama penduduk keluar masuk malah digunakan untuk membawa hasil pertanian penduduk sama ada kelapa sawit atau getah.

"Jika jambatan ini runtuh, penduduk bukan sahaja terputus hubungan malah menyukarkan mereka untuk menjual hasil pertanian yang menjadi sumber pendapatan," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya akan membuat semakan terlebih dahulu sama ada masalah jambatan itu sudah dimasukkan dalam program Projek Infrastruktur Asas (PIAS).

"Saya akan membuat tinjauan di jambatan itu untuk melihat keadaan sebenar sebelum membawa masalah ini kepada kepada agensi kerajaan yang terlibat," kata beliau.

GiatMara di Pulau Tioman

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

ROMPIN 4 Feb. - Sebuah pusat latihan GiatMara akan dibuka di Pulau Tioman dekat sini bagi meningkatkan kemahiran penduduk membaiki enjin bot di pulau itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd. Johari Hussain berkata, perkara itu merupakan antara cadangan dalam meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan penduduk di pulau tersebut.

Menurutnya, pusat latihan itu akan memberi kursus jangka pendek bagi memberi tumpuan terhadap kemahiran membaiki enjin bot kepada penduduk di situ.

"Cadangan ini sangat bersesuaian kerana permintaan tinggi terhadap membaiki bot dan jika penduduk sudah memiliki kemahiran itu, maka tidak perlu lagi mendapatkan kemahiran mekanik dari luar kawasan itu," katanya di sini baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Buruh mengaku tidak bersalah

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

SIA Tiong Yap dihadapkan di Mahkamah Majistret, Muar, Johor, semalam. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 4 Feb. - Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk menculik, merogol dan melakukan seks oral terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, minggu lalu.

Sia Tiong Yap, 29, mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melarikan kanak-kanak perempuan berkenaan dengan sebuah kereta di Lorong Jaafar, Jalan Mahmud, Bukit Pasir, dekat sini bagi tujuan memuaskan nafsunya kira-kira pukul 2 petang, 28 Januari lalu.

Tiong Yap didakwa mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat.

Sementara pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan seks oral terhadap mangsa di Ladang Kelapa Sawit Batu 8 Setengah, Bakri, dekat sini, masing-masing pada pukul 2.30 petang dan 2.50 petang, hari yang sama.

Dakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat.

Bagi pertuduhan keempat, Tiong Yap didakwa merogol mangsa terbabit kira-kira pukul 3 petang pada hari dan lokasi yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon agar dia diberikan jaminan dengan alasan sudah berkahwin dan mempunyai anak yang perlu disara.

Timbalan Pendakwa Raya, Kartini Kasran bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan kesalahannya yang sangat serius.

Suzana tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jamin dan menetapkan 20 Februari ini sebutan semula kes berkenaan bagi mendapatkan laporan perubatan dan kimia selain membolehkan tertuduh melantik peguam.

Lagi pengurus Genneva didakwa

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

AHMAD Khairuddin Ilias (tengah) dikawal anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Seorang pengurus syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva (M) Sdn. Bhd. (GMSB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima deposit tanpa lesen, kira-kira empat tahun lalu.

Ahmad Khairuddin Ilias, 56, merupakan individu yang ke-16 didakwa ke muka pengadilan berhubung skim pelaburan jongkong itu, selain 10 buah syarikat yang turut berdepan pertuduhan serupa.

Tertuduh terbabit didakwa menerima deposit daripada orang awam melalui dua akaun CIMB Islamic Bank Bhd. tanpa lesen sah bagi satu skim yang membabitkan transaksi emas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012 di CIMB Islamic Bank Bhd. cawangan Kuchai Lama, No. 69, Jalan Kuchai Maju 1, Dynasty 2 off Jalan Kuchai Lama di sini.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Ahmad Khairuddin mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Malaysia (BNM), Fahmi Abd. Moin dan Hardeep Kaur manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hairani Samsi.

Hakim Mat Ghani Abdullah selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menetapkan jaminan sebanyak RM500,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Ahmad Khairuddin juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Kes itu akan disebut semula pada 20 Februari ini bersama kes-kes membabitkan GMSB terdahulu.

Pada tarikh tersebut, pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan agar kesemua kes itu dibicarakan bersama.

Secara keseluruhan, kes terhadap 16 individu dan 10 buah syarikat itu membabitkan sebanyak 1,550 pertuduhan dengan 14 daripadanya dikemukakan mengikut BAFIA.

Selebihnya didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Terlepas perangkap resolusi APPF

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh Dr. Firdaus Abdullah

SUATU waktu dulu mereka dipanggil pendatang haram jika memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah. Manakala yang datang secara halal untuk bekerja, bila mula merasa kuat sebahagiannya menuntut gaji lebih tinggi dan kemudahan bekerja yang lebih selesa. Selain itu ada juga yang datang secara halal untuk melancong, kemudian menukar peranan menjadi pelacur atau bapa ayam.

Sekarang ungkapan pendatang haram telah ditukar menjadi pendatang asing tanpa izin yang disingkatkan menjadi PATI. Manakala yang datang secara halal, sebahagiannya mulai terlibat dalam kegiatan haram seperti pelacuran, penyeludupan dan pengedaran dadah, perkelahian sesama sendiri, pecah rumah, penculikan dan jenayah lain termasuk menembak mati seorang pegawai bank yang tidak berdosa.

Demikianlah, negara Malaysia yang makmur dan pemerintahnya yang baik hati (compassionate) sedikit demi sedikit terjerumus masuk perangkap fenomena pendatang asing dan menghadapi dilema yang semakin rumit untuk diselesaikan serta menanggung beban kewangan yang semakin bertambah setiap tahun.

Semuanya itu mengingatkan saya betapa Malaysia hampir terperangkap sekali lagi bersabit fenomena pendatang asing ini apabila Forum Parlimen Asia Pasifik (APPF) bersidang di Puerto Vellarta, Mexico, minggu kedua Januari lalu.

Sewaktu ratusan ribu PATI sedang memeras dan membazirkan pelbagai sumber negara apabila gabungan tenaga imigresen, polis dan Rela bersiap-sedia melakukan operasi pemburuan dan penangkapan besar-besaran, sidang APPF di Mexico itu cuba hendak meluluskan satu resolusi yang bertajuk Migration Flows in Asia-Pacific (Aliran Migrasi di Asia Pasifik).

Inti daripada resolusi itu ialah supaya pendatang asing (migran) yang mengerumuni sesebuah negara diberi perlindungan dan hak-hak kemanusiaan (terutama peluang pekerjaan untuk memenuhi keperluan asas ditambah dengan kemudahan sosial yang lain) yang tidak mereka peroleh di negara asal mereka.

Resolusi itu juga mengusulkan supaya pendatang asing diberi kemudahan keluar masuk ke negara yang mereka datangi. Dan perlindungan serta semua kemudahan itu perlu diberikan bukan sahaja kepada kepala keluarga yang bertugas mencari nafkah (bread earner for the family), malah seluruh anggota keluarganya.

Sekilas imbas resolusi tersebut membayangkan semangat atau rasa perikemanusiaan sejagat. Satu bayangan tentang hasrat membela golongan yang tidak bernasib baik. Tetapi yang tidak dibayangkan adalah beban berat dan pelbagai masalah yang terpaksa ditanggung oleh negara yang menjadi tumpuan pendatang tersebut.

Resolusi itu seakan-akan tidak menyedari bahawa negara tumpuan (countries of destination) terpaksa menanggung beban yang amat berat, baik dari segi sosial begitu juga keselamatan dan biaya lain yang berkaitan. Sedangkan tanggungjawab negara asal mereka (countries of origin) tidak disebut sama sekali. Malah negara asal pendatang berkenaan seakan-akan dibiarkan lepas tangan.

Kerana itulah maka di bahagian awal artikel ini saya mencatatkan bahawa Malaysia akan terperangkap jika resolusi itu diluluskan. Atau lebih tepat jika dikatakan bahawa beban berat dan pelbagai masalah yang memang sudah ditanggung Malaysia menampung pendatang tersebut sekarang akan menjadi bertambah berat.

Satu perkara yang secara lebih spesifik dianjurkan oleh resolusi itu adalah supaya negara anggota APPF menandatangani International Convention on the Protection of the Rights of all Migrant Workers and Their Families yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 1990.

Ini bermakna negara tumpuan pekerja-pekerja migran bertanggungjawab melindungi pelbagai hak pendatang tersebut, sama ada mereka datang secara halal atau secara haram. Dalam konteks Malaysia, PATI tidak boleh diburu atau dihantar kembali ke negara asal mereka, sebaliknya mestilah dilindungi.

Sebelum berangkat ke Mexico, delegasi Malaysia ke persidangan APPF itu telah menghadiri sesi taklimat dengan pegawai beberapa kementerian, termasuk Kementerian Dalam Negeri yang diadakan di pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dalam taklimat tersebut, seorang wakil sebuah kementerian menyatakan bahawa selama ini Malaysia memberi perlindungan kepada pendatang asing termasuk pelarian yang tergolong dalam UNHR (United Nation Human Refugees) atas pertimbangan belas kasihan. Dengan demikian, tanpa disedari kita telah menonjolkan diri sebagai satu negara yang pengasih dan bertimbang rasa.

Barangkali dalam konteks itu jugalah kita telah menukar ungkapan pendatang haram kepada pendatang asing tanpa izin. Mungkin penggunaan ungkapan yang lebih halus itu meningkatkan imej kita sebagai sebuah negara yang lebih compassionate dan bertimbang rasa.

Tetapi ternyata imej sedemikian, ditambah dengan kelonggaran dan kelalaian penguatkuasaan peraturan bersabit pendatang asing itu telah menyebabkan negara kita dibanjiri oleh mereka yang merempuh datang tanpa izin atau yang datang dengan izin tetapi membawa bermacam-macam kerenah - menjadi pelacur atau penjenayah.

Sehubungan itu, saya menyarankan dalam taklimat tersebut bahawa yang lebih penting ditonjolkan kepada masyarakat antarabangsa sekarang adalah penderitaan (pelbagai masalah yang kita hadapi) sebagai negara yang menjadi mangsa rempuhan dan kebanjiran orang (pendatang) asing tersebut. Untuk sementara, imej sebagai negara yang compassionate terhadap pendatang asing yang membawa pelbagai masalah itu, tak perlulah diberi keutamaan.

Pandangan atau saranan saya diterima oleh Abu Zahar selaku Ketua Delegasi Malaysia ke persidangan APPF di Mexico itu. Sehubungan itu, sewaktu turut berbahas membincangkan resolusi berkenaan, beliau menyebut tentang ratusan ribu ringgit yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia setiap hari untuk membiayai PATI. Selain itu, untuk sekian lama Malaysia juga menghabiskan jutaan ringgit bagi menanggung biaya pelarian di bawah kategori UNHR.

Saya sendiri turut membangkitkan kepincangan lain berkaitan resolusi tersebut. Kepincangan yang paling ketara adalah kebisuan resolusi tersebut mengenai tanggungjawab negara asal (countries of origin). Semuanya hendak dibebankan kepada negara tumpuan (countries of destination).

Resolusi tersebut juga ternyata jahil mengenai banyak perkara tentang pekerja atau pendatang asing tersebut. Pembawa (penggubal) resolusi, iaitu perwakilan dari Chile, seakan-akan menganggap pekerja asing (migrant workers) itu terdiri daripada satu kumpulan yang seragam (homogeneous group) sedangkan hakikatnya mereka terdiri daripada pelbagai ragam manusia (heterogeneous).

Ada yang datang diurus oleh bakal majikan mereka mengikut peraturan dan undang-undang sah, ada juga dibawa oleh sindiket haram. Ada yang datang menyeludup secara sendirian atau bersama kumpulan. Ada yang datang sebagai pelancong atau pelajar yang kemudian bertukar peranan atau tinggal melampaui tempoh izin tinggal (visa).

Resolusi tersebut memang sangat jahil mengenai pengalaman pahit getir negara tumpuan yang dibanjiri oleh pendatang asing (yang haram atau yang mengikut peraturan) seperti Malaysia.

Atas alasan dan hujah tersebut, bagi pihak perwakilan Malaysia, saya mengusulkan supaya resolusi tentang migrant workers itu ditolak.

Untuk memperlihatkan sikap dan pandangan yang lebih wajar dan seimbang , saya cadangkan supaya pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh pekerja asing itu digarap secara holistik, mengambil kira segala aspek dan akibatnya.

Alhamdulillah, cadangan saya diterima. Resolusi tersebut ditolak dan pada hemat saya, Malaysia telah dapat mengelakkan diri daripada terperangkap oleh resolusi itu.

PENULIS ialah anggota delegasi Malaysia ke persidangan Forum Parlimen Asia Pasifik (APPF) di Puerto Vallarta, Mexico, Januari 2014.

Benarkah 'ayam jantan' ada di mana-mana?

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh Fauziah Arof

"HUK aloh, rajin atau malah tu begantung pada seseore, buke pado negeri atau ore jate jo. Ore tino pun rama yang malah jugok," kata seorang rakan lelaki berasal dari Pasir Puteh, Kelantan kepada saya dengan bersungguh-sungguh ketika bercakap tentang dakwaan bahawa orang lelaki Kelantan malas bekerja.

Katanya lagi, janganlah suka menghentam orang lelaki Kelantan kuat-kuat sangat, nanti ramai yang tidak mahu ambil orang lelaki Kelantan jadi menantu. Bukankah itu cubaan untuk menganiaya namanya?

Pun begitu, pada saya, tentu ada asas dan ada sebab-sebabnya apabila Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud baru-baru ini mengeluarkan kenyataan dengan meletakkan golongan lelaki khususnya di Kelantan yang tidak bertanggungjawab dalam melindungi dan mencari nafkah keluarga sama tarafnya dengan ayam jantan.

Bila sudah menyamakan golongan lelaki yang malas bekerja dengan perangai ayam jantan, maknanya mereka ini tidak memberi sebarang manfaat atau berguna pada keluarga. Sebabnya, ayam jantan ini hanya tahu buat bising dengan berkokok dan membiak saja. Ayam betina juga yang membawa anak-anaknya berderet berjalan mengikutnya sambil mengais tanah mencari makan.

Bagi saya, tidak perlulah orang lelaki khususnya di Kelantan melenting sangat dengan kenyataan Mohd. Nassuruddin ini kerana ia lebih kepada memberi peringatan kepada golongan lelaki yang berperangai seperti ayam jantan ini.

Kita semua pun sedia maklum, jika lelaki Kelantan ini malas-malas belaka dan tidak cerdik, sudah tentu institusi-institusi pengajian tinggi awam di negara ini akan sunyi dengan gelagat mereka ini yang selalunya riuh-rendah bila berkumpul di mana-mana saja. Sekarang ini kita dapat lihat betapa ramai lelaki Kelantan yang memegang jawatan yang hebat-hebat di negara ini.

Seorang rakan baik saya juga dulu berikrar tidak mahu berkahwin dengan lelaki Kelantan kerana dalam kepalanya telah ada setting bahawa lelaki Kelantan pemalas dan suka berpoligami. Tetapi akhirnya dengan kehendak Tuhan, dia dijodohkan dengan orang Kelantan, yang berpangkat tinggi dan sehingga kini dia masih kekal menjadi satu-satunya isteri kepada suaminya itu.

Tetapi memang benar jugalah seperti yang dikatakan oleh Mohd. Nassuruddin, fenomena semakin ramai lelaki yang jadi pemalas dan bersikap senang-lenang dengan membiarkan isteri berhempas-pulas bekerja untuk menyara keluarga telah banyak berlaku. Ini bukan baru terjadi tetapi telah lama berlaku dalam masyarakat kita.

Ia bukan saja berlaku di Kelantan tetapi di negeri-negeri lain juga. Perkembangan ini sudah tentu amat membimbangkan. Sebabnya, dengan sikap sebeginilah banyak perkara buruk boleh berlaku. Ia bukan saja boleh mengugat kesejahteraan dan keharmonian dalam sebuah keluarga atau rumahtangga, adakalanya boleh membawa kepada perlakuan jenayah yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Ini bukan sekadar cerita drama di televisyen.

Kita sudah biasa dengar dan lihat, ada isteri terutamanya yang tinggal di luar bandar, sanggup berkebun, turun ke bendang, menoreh getah, bekerja di restoran atau menjual kuih-muih tetapi suaminya yang segar-bugar melingkar di rumah seperti ular sawa kekenyangan. Jika tidak duduk di rumah, dia akan melepak dengan kawan-kawan dan balik hingga jauh malam. Bukan mahu membantu kerja-kerja rumah. Duit belanja makan, minum dan pakaiannya, semua guna duit isteri.

Di bandar juga ramai yang berperangai begini. Tidak kiralah isteri itu berpendapatan kecil atau besar. Kalau berpendapatan besar, lagilah suami jenis berat tulang ini mengambil kesempatan dan lepas tangan, membiarkan semuanya menjadi tanggungan isteri.

Sudahlah begitu, pengorbanan isteri seperti ini ada yang tidak dihargai pula. Si isteri sering dimarah-marah, dipukul dan paling menjengkelkan apabila suami yang tidak bekerja ini ada hati mencari perempuan lain dengan alasan si isteri asyik sibuk bekerja.

Jika perkembangan ini berterusan dan kelak menjadi satu perkara biasa pula di negara ini, maka tidak hairanlah ramai wanita memilih untuk hidup membujang kerana bimbang terpaksa menanggung semua ini.

Oleh itu, tidak perlulah ditanya-tanya lagi, disindir-sindir atau dibuat kaji selidik mengapa ramai wanita di negara ini lebih senang hidup sendiri dan sanggup digelar andartu.

Sudah tentulah mereka tidak mahu hidup bersusah payah dalam perkahwinan kerana terpaksa menyara hidup seorang lelaki, sedangkan hidup mereka jauh lebih senang dan gembira semasa bujang.

Bukankah ini menggugat institusi kekeluargaan dan macam-macam lagi masalah sosial akan terus ditambah dan bertambah melaluinya?

Maka, biarlah saja ayam jantan dengan resminya. Sudah tentu tidak boleh diubah. Yang lelaki pula, kembalilah kepada fitrahnya, menggalas tanggungjawab menjadi pemimpin dan dalam masa sama mencari nafkah untuk keluarga.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Misha Omar bernikah Mei ini

Posted: 04 Feb 2014 12:53 AM PST

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PETALING JAYA 4 Feb. - Penyanyi Misha Omar, 32, bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Firos Ezzwan Rosly, 32, pada Mei ini.

Majlis pernikahan tersebut akan dilangsungkan di Hotel Renaisannce, Kota Bharu, Kelantan.

"Saya akan nikah Mei ini tapi tarikh sebenar belum ditentukan lagi. Majlis diadakan sempena bulan Rejab untuk mendapat keberkatan.

"Ini adalah impian mama saya, Zainab Mat Nor, 49 tahun yang mahu majlis dilangsungkan," katanya dalam majlis minum petang di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Marion dedah harta

Posted: 03 Feb 2014 09:59 PM PST

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Gambar Azliza Hailani

TIADA apa yang didambakan lagi oleh Marion melainkan keluarga yang bahagia.

ALHAMDULLILAH, itu merupakan jawapan yang diberikan wanita cantik ini apabila dia dikatakan mempunyai kehidupan impian ramai wanita. Tidak menolak dia bertuah dari pelbagai aspek, namun itu bukan bermakna kehidupan indah miliknya ini tidak pernah dilanda badai.

Menjelaskan kemewahan yang dimiliki ini hanya bonus, namun dia tidak menafikan nikmat hidupnya kini hadir dari keluarga tercinta yang dibinanya dengan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin.

Jelas terpancar wajah bangga seorang ibu, menurut Marion Rose Caunter Abdullah, 34, di kala umur anak pertamanya Leia Rose berumur 2 tahun, dia kini sudah dihadiahkan dengan kehadiran anugerah kedua. Lana Rose yang berusia 3 bulan kini merupakan tugasan baharu buat Marion dan mengakui bukan mudah untuk bertindak sebagai seorang ibu dengan jadual yang cukup padat.

Kehadiran suami yang cukup memahami dilihat menjadi jawapan, bagaimana dia menguruskan kehidupannya kini. Tidak menolak untuk menambah seorang lagi anak, harapan Marion jika hasrat ini diperkenankan Allah, dia berharap untuk mempunyai seorang anak lelaki pula.

Untuk dua bulan pertama Leia sangat senang dengan kehadiran adiknya Lana, cuma kebelakangan ini dia sudah menunjukkan rasa cemburunya, mungkin perkara biasa.

Kalau boleh saya dan suami memang mahu kekalkan nama Rose di setiap anak perempuan kami. Buat masa ini kalau boleh saya mahu menambah seorang lagi anak, siapa tahu anak ketiga lelaki pula," katanya ceria.

Bercerita sedikit mengenai cara dia membesarkan anaknya. Marion menambah, buat masa ini dia sedaya upaya memberi sepenuh perhatian buat kedua buah hatinya itu. Mengakui agak sukar, namun kelebihan mempunyai pembantu dilihat sedikit memudahkan urusan hariannya.

Memang sukar, dengan keadaan Leia yang sedikit cerewet kini saya rasakan masa itu lebih tertumpu buat Leia daripada Lana. Mujur mempunyai pembantu, yang dapat mengurangkan sedikit bebanan itu.

Ikutkan saya agak berhati-hati dengan diet Leia, memang sehingga kini saya tidak benarkan anak saya makan sebarang makanan segera. Jika saya tidak makan maka anak-anak saya juga tidak boleh makan. Bukan apa bila kita dedahkan mereka seawal ini, takut mereka akan minta lagi," katanya.

Mempunyai suami yang sangat memahami rasa cinta terhadap kerjayanya kini. Marion memberitahu sikap ringan tulang ayah kepada dua anaknya itu, banyak membantu. Tidak menolak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia pengacaraan suatu hari nanti, tetapi menurut Marion waktunya bukan sekarang.

Suami saya sangat membantu, contohnya kalau saya bekerja dia akan pastikan sampai awal ke rumah bagi menguruskan Leia. Mempunyai dua anak kini memerlukan kami berdua saling memahami.

Jujurnya memang saya ada terfikir untuk bersara sahaja dari dunia pengacaraan, malah setiap tahun saya fikirkan. Tetapi rasa cinta itu melebihi segala-galanya. Mungkin suatu hari nanti bila hati sudah tidak ke situ lagi, saya akan berhenti," katanya jujur.

Saya memang bertuah

Tidak rasa tergugat untuk sentiasa berkongsi secebis paparan kehidupannya di laman Instagram, bagi Marion buakan niatnya untuk melihatkan kemewahan yang dimilikinya. Percaya ada yang lebih penting dari wang, Marion dengan jelas mengakui dia sangat bertuah.

Saya memang bertuah, tetapi semua orang juga mempunyai perjalanan hidup yang berbeza.

Saya anggap kemewahan itu hanya bonus, keberkatan hidup saya lebih kepada kesihatan yang baik, anak-anak yang sihat serta suami yang penyayang," katanya.

Memegang status isteri kepada seorang ahli korporat yang berjaya juga menambahkan lagi kawalan ketat untuk emosinya. Tidak menolak turut didesak dengan pelbagai penipuan di luar kawasan selamat, Marion punyai cara tersendiri.

Kami saling mempercayai antara satu sama lain, itu yang penting buat kami berdua.

Tetapi apa yang membuat saya terkesan apabila saya tahu mereka di luar sana membuat cerita bohong. Tetapi itulah yang perlu dibayar kami untuk berada dalam keadaan ini," katanya.

Ralit bercerita soal keluarga, Marion kini juga sedang giat memperkenalkan dirinya dalam dunia perniagaan. Membuka sebuah salun kecantikan, menurut pengacara E! News Asia ini ada sebab mengapa perniagaan ini menjadi pilihannya.

Saya suka rambut, saya suka fesyen. Sebab itu saya membuka salun ini.

Sebenarnya salun ini tidak hanya menyasarkan mereka yang kaya sahaja, sesiapa sahaja layak untuk mendapatkan khidmat di salun saya. Soalnya Hairplay memberi perkhidmatan yang baik untuk semua," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


WAO semakin releven

Posted: 03 Feb 2014 09:59 PM PST

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Perlindungan Wanita (WAO), Ivy Josiah berkata, bulan lalu sahaja WAO menerima 130 wanita untuk ditempatkan di pusat perlindungan itu.

Ada wanita yang datang sendiri, ada yang mengadu menerusi telefon dan hingga ke hari ini kami masih menerima kes penganiayaan wanita yang mengakibatkan kecederaan fizikal. Ini menunjukkan bahawa kes keganasan rumah tangga sesuatu yang semakin membimbangkan," ujarnya.

Kata Ivy, wanita perlu prihatin tanda-tanda penderaan berlaku walaupun bukanlah secara terang-terangan seperti pukulan dan herdikan di tempat umum.

Dalam satu contoh kes pasangan lelaki dan perempuan yang baru bercinta, sejak awal lagi si lelaki sudah mula mengongkong pergaulan teman wanitanya.

Apa yang malang, wanita tersebut rasa begitu bangga dengan teman lelaki yang kononnya terlalu menyayangi dirinya, sedangkan dia sepatutnya sedar itulah tanda awal penderaan emosi.

Penderaan lebih hebat bakal berlaku sekiranya hubungan tersebut diteruskan dalam jangka masa yang lebih lama dan tiada tanda-tanda bantahan atau penolakan daripada pihak wanita.

Wanita harus sedar apabila diri mereka mula diasingkan daripada keluarga dan rakan-rakan, pasangan akan mula menguasai dan akhirnya wanita akan terbelenggu dalam kehidupan jauh daripada apa yang mereka impikan," ujar Ivy yang telah terlibat dalam dunia perlindungan wanita sejak tahun 1992.

Menurut Ivy, undang-undang di Malaysia tidak menghukum suami yang merogol isteri, tetapi wanita atau isteri berhak mempertahankan diri dan tidak perlu menuruti segala kehendak lelaki terutama pada masa mereka tidak mampu untuk melaksanakannya.

Katanya, wanita yang mengalami penderaan emosi dan fizikal ini sebenarnya akan mengalami trauma yang berpanjangan.

Mereka akan memikirkan bila lagi mereka akan dipukul, didera dan dihina.

Isu keganasan rumah tangga berlaku bukan di Malaysia sahaja malah seluruh dunia termasuk di negara-negara maju.

Bayangkan di Malaysia sahaja sebanyak 3,500 kes setahun, bermakna setiap hari pasti ada kes keganasan rumah tangga berlaku.

Bagi kami kerjasama daripada pihak berkuasa memang amat penting bagi mendapatkan statistik, demografi dan lokasi. Ini kerana apabila kami mengetahui maklumat tersebut, maka kami akan melebihkan kempen kesedaran di kawasan terbabit.

Jika dilihat daripada statistik dunia, kes keganasan rumah tangga paling tinggi berlaku di Habsyah diikuti Peru, Tanzania dan Bangladesh, manakala antara negara yang paling kurang berlaku kes ialah di Jepun," jelas Ivy lagi ketika ditemui di ceramah mengenai keganasan ke atas wanita pada majlis penyampaian sumbangan kepada WAO anjuran Antabax, di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Wanita dilihat sebagai objek lemah

Sejak bertahun asuhan dan didikan daripada generasi terdahulu memang melebihkan orang lelaki.

Atas faktor tersebut juga wanita sering dilihat sebagai kaum yang lemah, sering ditindas dan perlu melobi untuk menuntut hak kesamarataan dan hak-hak lain.

Walau moden mana sekali pun, kes keganasan rumah tangga berlaku tidak mengira status dan latar belakang. Lebih memburukkan ia berlaku dalam satu pusingan, tekanan-keganasan-penyesalan.

Pernah seorang wanita di pusat perlindungan kami menerima bunga daripada suaminya. Dia menyangka suaminya telah berubah dan akhirnya hati si isteri lembut dan menerima suaminya kembali.

Itu sebenarnya bukan penyelesaian masalah kerana keganasan tidak akan terhenti hanya dengan memberi bunga, sebaliknya ia perlu dirawat hingga ke akarnya.

Perlu juga diingat bahawa kebanyakan kes aduan yang diterima semuanya daripada keganasan yang telah berlangsung dari tahun pertama hingga kelima rumah tangga mereka.

Di sini jelas menunjukkan wanita akan cuba berusaha sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga sebelum merujuk masalah ke pihak berkuasa," katanya.

WAO menurut Ivy bukanlah rumah perlindungan selamanya. Fungsi WAO memberikan tempat perlindungan sementara, masa, kaunseling dan juga perlindungan untuk anak-anak sementara mangsa melalui prosedur mahkamah atau apa saja.

Kami bukan hanya menerima mangsa dalam kalangan warganegara, sesiapa sahaja yang teraniaya boleh ke sini tidak kira apa status latar belakang dan agama. Mereka boleh tinggal di sini selama beberapa hari mahupun bulan, bergantung keadaan.

Kami membuka keahlian dan pekerja sukarela dialukan. Malah penajaan anak angkat menerusi Anak Angkat Programme memang digalakkan. Dengan semakin banyak kes, kami memang memerlukan lebih dana untuk menampung keperluan penghuni di pusat pelindungan. Tahukah anda dengan menyumbang RM50, anda telah memberi makan kepada lima pelarian," ujar Ivy lagi. - NOOR FAZRINA KAMAL

Bermula dengan RM1

Posted: 03 Feb 2014 09:59 PM PST

MUHAMMAD Zukermi Edi sedia berkongsi kisah kejayaannya terutama dengan golongan belia yang mahu mengubah hidup mereka.

KETIADAAN modal bukan satu halangan untuk berjaya dalam perniagaan andai agama, ilmu pengetahuan serta semangat tidak mudah berputus asa sentiasa menjadi pegangan hidup.

Itulah yang cuba dibuktikan oleh usahawan muda, Muhammad Zukermi Edi apabila beliau berjaya membina empayar perniagaan atas talian dengan hanya bermodalkan RM1.

Mengakui rakan-rakan terkejut mendengar kisah perubahan hidupnya, Muhammad Zukermi kini sudi berkongsi kisah menarik di sebalik kejayaannya yang bermula dengan RM1 itu.

Pada umur 21 tahun, saya pernah lalui kehidupan seperti remaja gelandangan di Rembau, Negeri Sembilan. Pengalaman hidup sebatang kara ketika itu betul-betul memeritkan.

Namun, Allah SWT telah turunkan keajaiban dalam hidup saya. Baki RM1 dalam poket ketika itu telah saya gunakan untuk melayari internet di kafe siber. Itulah saat saya mula berniaga secara dropship menerusi akaun Facebook.

Siapa sangka, masa yang begitu singkat pada ketika itu telah mendatangkan pulangan yang besar. Dari mula berniaga secara dropship, kini saya berjaya membina syarikat sendiri dengan keuntungan tahunan mencecah jutaan ringgit," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada tahun 2013, Muhammad Zukermi telah melancarkan beberapa rangkaian produk kecantikan seperti MZ Secret Soap dan MZ Secret Body Spray di bawah syarikat MZ Secret Sdn. Bhd. miliknya.

Meskipun bermula tanpa pengalaman yang luas, beliau sendiri tidak pernah menyangka yang produk keluaran syarikatnya berjaya menambat hati ratusan ribu rakyat Malaysia.

Hari ini, pemuda kelahiran Temerloh, Pahang itu sudah boleh berbangga dengan usaha hasil titik peluhnya sendiri dan beliau telah membuktikan kepada semua orang yang sesiapa saja boleh berjaya.

Menjadikan pakar pemasaran internet, Tuan Faisal Abdullah sebagai sumber rujukan utamanya, Muhammad Zukermi melihat 2014 sebagai tahun untuk mendidik lebih ramai rakyat Malaysia yang berminat dalam perniagaan atas talian ini.

Laluan kejayaan kita pastinya sukar, tapi saya percaya dengan izin-Nya, ia boleh dikecapi jika kita berusaha dengan gigih. Jangan jadikan kekangan hidup sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Saya juga percaya masih ramai yang inginkan bimbingan bagi mengubah hidup dengan perniagaan dan mereka inilah yang akan saya buru pada tahun ini," ujarnya.

Terbaharu, syarikatnya bakal melancarkan satu produk yang dirumus khas untuk kebahagiaan suami isteri dan dijangka menjadi satu lagi produk terlaris beliau untuk tahun 2014.

Dengan kejayaan yang telah dikecapi, Muhammad Zukermi kini merancang mencari lebih ramai rakan niaga bagi memeriahkan pelancaran produk terbaharu itu.

Pada saya, projek terbaharu ini bakal menjadi satu peluang yang terbaik buat mereka yang idamkan taraf serta kualiti hidup yang lebih tinggi.

Selain itu, saya akan tetap teruskan berkongsi kisah hidup saya menerusi akaun Facebook untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai orang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Timbang tambah laluan baharu

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 3 Feb. - Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menambah laluan baharu membabitkan jajaran pesisir pantai Selat Tebrau dengan memberi tumpuan terhadap kawasan yang terlibat dengan pembangunan pesat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, laluan baharu itu bagi memastikan kawasan terlibat khususnya Iskandar Malaysia tidak menyumbang kepada kesesakan jalan raya.

Beliau berkata, usaha kerajaan menyediakan infrastruktur akan diberi tumpuan utama dengan membuka laluan tambahan di lokasi kritikal seperti penyambungan jalan raya antara Plentong ke Pasir Gudang.

"Kita turut memberi fokus terhadap dua aspek dalam menangani masalah kesesakan menerusi projek menaik taraf jalan raya dan membuka laluan baharu di lokasi yang dikenal pasti khususnya di sekitar Iskandar Malaysia.

"Projek menaik taraf laluan akan dilaksanakan pada tahun ini manakala pembinaan projek jalan raya baharu dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasni berkata, bagi memastikan semua lalu lintas di kawasan bandar raya ini berjalan lancar, pihaknya bercadang menaik taraf laluan berhampiran kawasan Skudai Kiri menjadikannya dua hala bagi tujuan memudahkan akses untuk penduduk berhampiran bermula tahun depan.

"Projek menaik taraf laluan sepanjang tiga kilometer itu masih dalam perbincangan di peringkat Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) termasuk jumlah kos secara keseluruhannya.

"Kami yakin projek menaik taraf laluan Skudai Kiri itu mampu menyelesaikan semua permasalahan khususnya penduduk di kawasan itu dan pengguna jalan tersebut," katanya.

Sindiket edar mercun, bunga api tumpas

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

AZMAN Ayob (kanan) menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas dalam sidang akhbar di Muar, semalam. - Utusan/Ishak Rahmad

MUAR 3 Feb. - Polis berjaya menumpaskan sindiket mengedar pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM10,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Bakariah, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan pukul 12.15 tengah hari itu, seorang lelaki yang dipercayai pemilik mercun berkenaan turut ditahan.

"Suspek berusia 52 tahun itu yang sudah berkeluarga dipercayai menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat transit sebelum mengedarkan bahan letupan itu ke pasaran berhampiran.

"Siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun ketika ditahan suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam perkembangan lain, polis daerah ini turut menahan 26 orang awam yang ingkar dengan larangan membakar mercun sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dalam Operasi Pembakaran Mercun pada 30 dan 31 Januari lalu.

Azman berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an dan mereka ditahan ketika bermain mercun di beberapa lokasi di sekitar bandar, pinggir bandar serta kawasan kampung di Panchor, Pagoh dan Bakri.

Menurutnya, mereka ditahan selepas pihak polis mendapat aduan tentang pembakaran mercun secara terbuka dan mengganggu ketenteraman awam serta melibatkan bahan larangan itu yang dianggarkan bernilai RM5,000.

"Kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 74 Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu bagi kesalahan bermain mercun boleh didenda RM300.

"Bagi kesalahan memiliki mercun dan bunga api pula boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, " katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Imigresen, Wisma Putra tangani isu pendatang Myanmar

Posted: 04 Feb 2014 03:23 AM PST

PUTRAJAYA 4 Feb. - Jabatan Imigresen bekerjasama rapat dengan Wisma Putra bagi menangani isu pendatang asing Myanmar yang tidak diterima pulang negara asal mereka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, walaupun pendatang asing itu bercakap dalam bahasa Myanmar dan memang datang dari wilayah berkenaan namun tiada dokumen dikeluarkan kerajaan Myanmar.

"Wisma Putra sedang berhubung dengan kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan isu ini dan berharap mampu mendapatkan kerjasama kerajaan Myanmar untuk mengeluarkan dokumen perjalanan kepada etnik Rohingya, Chin, Kachin dan Mon," katanya.

"Proses penghantaran pulang biasanya akan dibuat dalam masa tujuh hari tetapi ada juga kes penghantaran pulang terpaksa dilanjutkan kerana halangan mengenai dokumen perjalanan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan nota serah tugas hari ini.

Tambah beliau, sepanjang tahun lepas kerajaan Malaysia menghantar pulang 45,000 pendatang asing dari pelbagai negara.

Sementara itu, beliau berkata, 13 majikan ditahan sepanjang Op Bersepadu 6P yang dijalankan sejak 21 Jan dengan tangkapan 3,000 pendatang asing.

"Operasi ini akan dijalankan secara berterusan dan akan berakhir hingga hujung tahun ini atau jika kerajaan telah berpuas hati bahawa isu pendatang

asing ini sudah selesai," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Aloyah Mamat akan menggantikan tempat Alias sebagai Ketua Pengarah berkuat kuasa esok.

Alias pula akan memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula esok. - BERNAMA

MAHB belum dapat CCC bangunan terminal KLIA2

Posted: 04 Feb 2014 03:19 AM PST

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) masih belum menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan terminal KLIA2 daripada syarikat usaha sama (JV) UEMC-Bina Puri, yang dijadualkan pada 31 Januari 2014.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata, syarikat akan terus melibatkan diri dengan JV UEMC-Bina Puri bagi tindakan seterusnya

berhubung pengeluaran CCC dan permulaan Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang.

"Usaha sedang diambil untuk menyokong JV UEMC-Bina Puri ke arah

penyiapan bangunan terminal itu bagi membolehkan pembukaan KLIA2 pada 2 Mei 2014, " katanya. - BERNAMA

Kementerian siasat kes kamera tersembunyi di Hospital Bentong

Posted: 04 Feb 2014 03:17 AM PST

PUTRAJAYA 4 Feb. - Kementerian Kesihatan memandang serius kejadian tiga buah kamera tersembunyi yang ditemui di dalam tandas anggota kesihatan wanita di Unit Kecemasan, Hospital Bentong.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian tersebut menjelaskan, pihak

pengurusan hospital telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis pada 30 Jan lalu bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meletakkan kamera tersebut.

Menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam meminta orang ramai agar tidak panik dengan penemuan itu dan membuat pelbagai spekulasi melalui laman media sosial sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

"Kementerian memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini dari pelbagai sudut dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana anggota kesihatan yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Port Dickson destinasi pilihan

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 3 Feb. - Dalam tempoh tiga hari sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina, pantai peranginan negara di Port Dickson dekat sini terus menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar negara.

Ini terbukti menerusi anggaran kasar kedatangan pelancong seramai 40,000 orang dalam tempoh tersebut menyebabkan kesesakan luar biasa di sepanjang laluan utama kawasan pusat peranginan di negeri ini.

Pengerusi Bertindak Jawatankuasa Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar memberitahu, kebanjiran pelancong ke kawasan itu juga menyebabkan semua hotel dan inap desa di lokasi berkenaan penuh dan tidak dapat menampung permintaan orang ramai ke kawasan pantai peranginan itu.

"Untuk itu, kita meminta kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk membenarkan semua pelancong ke kawasan ini berkhemah di kawasan sekitar pantai ini agar mereka tidak hampa apabila bertandang ke Port Dickson," katanya di sini hari ini.

Menurut Tun Hairudin, berdasarkan pemerhatian beliau, kebanyakan pengunjung ke kawasan ini datang dari Kuala Lumpur dan Selangor selain pelancong tempatan.

Katanya, kawasan itu sering menjadi tumpuan pelancong untuk mencari lokasi mandi-manda awam yang selamat, cantik dan bebas daripada ombak besar, selain infrastruktur dan mempunyai tempat makan yang selesa.

"Mereka memilih Port Dickson kerana pantai ini bukan sahaja terletak berdekatan dengan Lembah Klang tetapi pelbagai tempat yang boleh dilawati di kawasan berdekatan yang menjadi ikon utama kawasan ini," jelasnya.

Malah, kata Tun Hairudin, walaupun berlaku kebanjiran kedatangan pelancong secara mendadak sehingga menyebabkan kesesakan di sepanjang laluan Port Dickson, namun beliau melihat keadaan itu merupakan sesuatu kesan positif dalam memberi pulangan dari segi sektor ekonomi tempatan serta kedatangan pelancong.

Beliau menambah, pelbagai usaha sedang dan akan dilakukan sasaran kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi memastikan jumlah kedatangan pelancong sebanyak 5 juta orang dapat dicapai.

"Pelbagai pendekatan sedang dilakukan, perancangan daripada segi aktiviti serta promosi bukan sahaja tertumpu di Port Dickson sahaja tetapi melibatkan beberapa daerah lain.

"Ini termasuk inisiatif mempamerkan produk pelancongan menerusi paparan skrin besar berhampiran padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) selain gerak kerja daripada agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya.

Tiga IKS baharu bakal wujud

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

Idris Haron (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka kepada Naim Abu Bakar (kanan) sambil diperhatikan Othman Muhamad di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 3 Feb. - Tiga lagi kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) akan diwujudkan di negeri ini bagi memenuhi permintaan di kalangan pengusaha sektor berkenaan yang semakin meningkat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha menambahkan bilangan kawasan berkenaan perlu memandangkan permintaan untuk menyewa dan sewa beli premis IKS bertambah khususnya dalam kalangan bumiputera.

"Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan mewujudkan tiga kawasan IKS baharu di negeri ini iaitu Automotif Trucker Centre di Gangsa, IKS Nyalas Fasa Dua dan IKS Serkam Fasa Dua," katanya.

Beliau berucap demikian sempena perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Datuk Baharam Mohd.

Sehingga kini, kata Idris, terdapat sebanyak 822 syarikat beroperasi di 26 kawasan IKS yang dimajukan PKNM dengan nilai pelaburan berjumlah RM95 juta.

"Kawasan IKS baharu yang menyediakan lebih 100 lot premis perniagaan dan bengkel tersebut diharap akan dapat memenuhi keperluan sebahagian besar pengusaha IKS di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, PKNM juga akan melaksanakan projek-projek pembangunan melalui kaedah penswastaan bagi meneruskan kelangsungan dasar penswastaan negara khususnya melibatkan projek sosioekonomi berimpak tinggi.

Menurutnya, antara projek yang telah dan sedang dilaksanakan melalui kaedah berkenaan termasuklah pembinaan hospital berkonsep teknologi hijau, pembangunan lot komersial Shop Office Home Office (SOHO) dan hotel di Ayer Keroh.

"Selain itu, PKNM turut terlibat memajukan projek melalui pembiayaan sendiri termasuk projek lot banglo di Durian Tunggal dikenali sebagai Taman Ambassador PKNM," katanya.

58 koperasi bermasalah dalam proses pemulihan

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

JEMPOL 3 Feb. - Sebanyak 58 koperasi di negeri ini yang disifatkan sebagai tidak aktif kerana masalah dalaman, kini melalui proses pemulihan untuk membolehkan bertahan dan kembali beroperasi seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Mohd. Redza berkata, jumlah itu adalah daripada 584 koperasi yang ada di negeri ini sehingga akhir 2013.

"Kita akan pulihkan terlebih dahulu koperasi tersebut dengan pelbagai cara termasuk mengadakan bengkel, latihan serta kursus berkaitan kepada pihak pengurusan koperasi yang bermasalah.

"Kebanyakan yang bermasalah adalah koperasi baharu yang mempunyai potensi untuk maju," katanya selepas pelancaran Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad (Kolonek Berhad) di Padang Awam Kampung Serting Hilir, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM ) negeri, Zakaria Mat Jusoh serta Pengerusi Kolonek Berhad, Badariah Ahmad.

Jelas Abu Ubaidah, setakat ini, terdapat 200,000 ahli koperasi di negeri ini dan pendapatan yang diraih sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM124 juta daripada pelbagai cabang perniagaan seperti pertanian, perladangan, perhotelan dan kewangan.

"Setakat ini tiada koperasi di negeri ini yang ditutup kerana pelbagai masalah pengurusan. Sekiranya terdapat koperasi yang ditutup adalah atas permintaan pihak tersebut yang membubarkan koperasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, koperasi bermasalah diberi peluang sehingga tempoh lima tahun untuk dipulihkan dan selepas itu barulah tindakan pembubaran akan diambil jika mendapati koperasi berkenaan masih gagal dalam bidang yang diceburi.

Sementara itu, Badariah berkata, pihaknya yakin Kolonek Berhad mampu meraih pendapatan kasar sebanyak RM500,000 pada tahun ini.

"Pada tahun lalu kita memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM315,000 hanya dengan menguruskan inap desa ini. Pada tahun ini perniagaan kami diperluaskan lagi dengan menawarkan khidmat sewa van, lori, jengkaut dan traktor.

''Kami yakin pendapatan itu dapat dipertingkatkan apabila menyasarkan 500,000 pengunjung akan datang ke inap desa ini sempena Tahun Melawat Malaysia," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved