Selasa, 4 Februari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Port Dickson destinasi pilihan

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 3 Feb. - Dalam tempoh tiga hari sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina, pantai peranginan negara di Port Dickson dekat sini terus menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar negara.

Ini terbukti menerusi anggaran kasar kedatangan pelancong seramai 40,000 orang dalam tempoh tersebut menyebabkan kesesakan luar biasa di sepanjang laluan utama kawasan pusat peranginan di negeri ini.

Pengerusi Bertindak Jawatankuasa Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar memberitahu, kebanjiran pelancong ke kawasan itu juga menyebabkan semua hotel dan inap desa di lokasi berkenaan penuh dan tidak dapat menampung permintaan orang ramai ke kawasan pantai peranginan itu.

"Untuk itu, kita meminta kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk membenarkan semua pelancong ke kawasan ini berkhemah di kawasan sekitar pantai ini agar mereka tidak hampa apabila bertandang ke Port Dickson," katanya di sini hari ini.

Menurut Tun Hairudin, berdasarkan pemerhatian beliau, kebanyakan pengunjung ke kawasan ini datang dari Kuala Lumpur dan Selangor selain pelancong tempatan.

Katanya, kawasan itu sering menjadi tumpuan pelancong untuk mencari lokasi mandi-manda awam yang selamat, cantik dan bebas daripada ombak besar, selain infrastruktur dan mempunyai tempat makan yang selesa.

"Mereka memilih Port Dickson kerana pantai ini bukan sahaja terletak berdekatan dengan Lembah Klang tetapi pelbagai tempat yang boleh dilawati di kawasan berdekatan yang menjadi ikon utama kawasan ini," jelasnya.

Malah, kata Tun Hairudin, walaupun berlaku kebanjiran kedatangan pelancong secara mendadak sehingga menyebabkan kesesakan di sepanjang laluan Port Dickson, namun beliau melihat keadaan itu merupakan sesuatu kesan positif dalam memberi pulangan dari segi sektor ekonomi tempatan serta kedatangan pelancong.

Beliau menambah, pelbagai usaha sedang dan akan dilakukan sasaran kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi memastikan jumlah kedatangan pelancong sebanyak 5 juta orang dapat dicapai.

"Pelbagai pendekatan sedang dilakukan, perancangan daripada segi aktiviti serta promosi bukan sahaja tertumpu di Port Dickson sahaja tetapi melibatkan beberapa daerah lain.

"Ini termasuk inisiatif mempamerkan produk pelancongan menerusi paparan skrin besar berhampiran padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) selain gerak kerja daripada agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya.

Tiga IKS baharu bakal wujud

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

Idris Haron (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka kepada Naim Abu Bakar (kanan) sambil diperhatikan Othman Muhamad di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 3 Feb. - Tiga lagi kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) akan diwujudkan di negeri ini bagi memenuhi permintaan di kalangan pengusaha sektor berkenaan yang semakin meningkat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha menambahkan bilangan kawasan berkenaan perlu memandangkan permintaan untuk menyewa dan sewa beli premis IKS bertambah khususnya dalam kalangan bumiputera.

"Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan mewujudkan tiga kawasan IKS baharu di negeri ini iaitu Automotif Trucker Centre di Gangsa, IKS Nyalas Fasa Dua dan IKS Serkam Fasa Dua," katanya.

Beliau berucap demikian sempena perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Datuk Baharam Mohd.

Sehingga kini, kata Idris, terdapat sebanyak 822 syarikat beroperasi di 26 kawasan IKS yang dimajukan PKNM dengan nilai pelaburan berjumlah RM95 juta.

"Kawasan IKS baharu yang menyediakan lebih 100 lot premis perniagaan dan bengkel tersebut diharap akan dapat memenuhi keperluan sebahagian besar pengusaha IKS di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, PKNM juga akan melaksanakan projek-projek pembangunan melalui kaedah penswastaan bagi meneruskan kelangsungan dasar penswastaan negara khususnya melibatkan projek sosioekonomi berimpak tinggi.

Menurutnya, antara projek yang telah dan sedang dilaksanakan melalui kaedah berkenaan termasuklah pembinaan hospital berkonsep teknologi hijau, pembangunan lot komersial Shop Office Home Office (SOHO) dan hotel di Ayer Keroh.

"Selain itu, PKNM turut terlibat memajukan projek melalui pembiayaan sendiri termasuk projek lot banglo di Durian Tunggal dikenali sebagai Taman Ambassador PKNM," katanya.

58 koperasi bermasalah dalam proses pemulihan

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

JEMPOL 3 Feb. - Sebanyak 58 koperasi di negeri ini yang disifatkan sebagai tidak aktif kerana masalah dalaman, kini melalui proses pemulihan untuk membolehkan bertahan dan kembali beroperasi seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Mohd. Redza berkata, jumlah itu adalah daripada 584 koperasi yang ada di negeri ini sehingga akhir 2013.

"Kita akan pulihkan terlebih dahulu koperasi tersebut dengan pelbagai cara termasuk mengadakan bengkel, latihan serta kursus berkaitan kepada pihak pengurusan koperasi yang bermasalah.

"Kebanyakan yang bermasalah adalah koperasi baharu yang mempunyai potensi untuk maju," katanya selepas pelancaran Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad (Kolonek Berhad) di Padang Awam Kampung Serting Hilir, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM ) negeri, Zakaria Mat Jusoh serta Pengerusi Kolonek Berhad, Badariah Ahmad.

Jelas Abu Ubaidah, setakat ini, terdapat 200,000 ahli koperasi di negeri ini dan pendapatan yang diraih sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM124 juta daripada pelbagai cabang perniagaan seperti pertanian, perladangan, perhotelan dan kewangan.

"Setakat ini tiada koperasi di negeri ini yang ditutup kerana pelbagai masalah pengurusan. Sekiranya terdapat koperasi yang ditutup adalah atas permintaan pihak tersebut yang membubarkan koperasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, koperasi bermasalah diberi peluang sehingga tempoh lima tahun untuk dipulihkan dan selepas itu barulah tindakan pembubaran akan diambil jika mendapati koperasi berkenaan masih gagal dalam bidang yang diceburi.

Sementara itu, Badariah berkata, pihaknya yakin Kolonek Berhad mampu meraih pendapatan kasar sebanyak RM500,000 pada tahun ini.

"Pada tahun lalu kita memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM315,000 hanya dengan menguruskan inap desa ini. Pada tahun ini perniagaan kami diperluaskan lagi dengan menawarkan khidmat sewa van, lori, jengkaut dan traktor.

''Kami yakin pendapatan itu dapat dipertingkatkan apabila menyasarkan 500,000 pengunjung akan datang ke inap desa ini sempena Tahun Melawat Malaysia," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved