Selasa, 4 Februari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Buruh mengaku tidak bersalah

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

SIA Tiong Yap dihadapkan di Mahkamah Majistret, Muar, Johor, semalam. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 4 Feb. - Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk menculik, merogol dan melakukan seks oral terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, minggu lalu.

Sia Tiong Yap, 29, mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melarikan kanak-kanak perempuan berkenaan dengan sebuah kereta di Lorong Jaafar, Jalan Mahmud, Bukit Pasir, dekat sini bagi tujuan memuaskan nafsunya kira-kira pukul 2 petang, 28 Januari lalu.

Tiong Yap didakwa mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat.

Sementara pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan seks oral terhadap mangsa di Ladang Kelapa Sawit Batu 8 Setengah, Bakri, dekat sini, masing-masing pada pukul 2.30 petang dan 2.50 petang, hari yang sama.

Dakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat.

Bagi pertuduhan keempat, Tiong Yap didakwa merogol mangsa terbabit kira-kira pukul 3 petang pada hari dan lokasi yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon agar dia diberikan jaminan dengan alasan sudah berkahwin dan mempunyai anak yang perlu disara.

Timbalan Pendakwa Raya, Kartini Kasran bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan kesalahannya yang sangat serius.

Suzana tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jamin dan menetapkan 20 Februari ini sebutan semula kes berkenaan bagi mendapatkan laporan perubatan dan kimia selain membolehkan tertuduh melantik peguam.

Lagi pengurus Genneva didakwa

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

AHMAD Khairuddin Ilias (tengah) dikawal anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Seorang pengurus syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva (M) Sdn. Bhd. (GMSB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima deposit tanpa lesen, kira-kira empat tahun lalu.

Ahmad Khairuddin Ilias, 56, merupakan individu yang ke-16 didakwa ke muka pengadilan berhubung skim pelaburan jongkong itu, selain 10 buah syarikat yang turut berdepan pertuduhan serupa.

Tertuduh terbabit didakwa menerima deposit daripada orang awam melalui dua akaun CIMB Islamic Bank Bhd. tanpa lesen sah bagi satu skim yang membabitkan transaksi emas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012 di CIMB Islamic Bank Bhd. cawangan Kuchai Lama, No. 69, Jalan Kuchai Maju 1, Dynasty 2 off Jalan Kuchai Lama di sini.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Ahmad Khairuddin mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Malaysia (BNM), Fahmi Abd. Moin dan Hardeep Kaur manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hairani Samsi.

Hakim Mat Ghani Abdullah selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menetapkan jaminan sebanyak RM500,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Ahmad Khairuddin juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Kes itu akan disebut semula pada 20 Februari ini bersama kes-kes membabitkan GMSB terdahulu.

Pada tarikh tersebut, pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan agar kesemua kes itu dibicarakan bersama.

Secara keseluruhan, kes terhadap 16 individu dan 10 buah syarikat itu membabitkan sebanyak 1,550 pertuduhan dengan 14 daripadanya dikemukakan mengikut BAFIA.

Selebihnya didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved