Selasa, 4 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sasar indeks jenayah turun 10%

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

KUANTAN 4 Feb. - Polis Pahang menyasarkan indeks jenayah di negeri dikurangkan kepada 10 peratus sejajar dengan pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di sini semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, sasaran itu dibuat memandangkan purata jumlah kes yang diterima setiap hari adalah sekitar 15 peratus sehari.

Menurut beliau, kewujudan unit terbaharu itu akan menyaksikan anggota terlibat akan bertugas selama 24 jam melibatkan tiga syif yang akan melakukan rondaan bagi mencegah kegiatan jenayah di negeri ini.

"Kita menerima sebanyak 68 motosikal jenis Kawasaki Ninja 250CC yang mana daerah Kuantan akan mempunyai dua unit URB melibatkan 34 motosikal diikuti masing-masing satu unit dengan 17 motosikal di Temerloh dan Rompin.

"Penempatan motosikal di daerah terbabit dibuat kerana bukan sahaja mencegah jenayah tetapi juga turut menjadi tumpuan pelancong ke situ," katanya kepada pemberita selepas pelancaran URB peringkat negeri di Taman Kerang di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad dan Ketua Cawangan Khas Pahang, Datuk Riduan Hashim.

Sharifuddin berkata, motosikal terbabit akan ditambah secara berperingkat untuk ditempatkan di semua daerah di negeri ini pada masa akan datang.

Menurut beliau, unit itu akan melakukan rondaan di kawasan perumahan, perniagaan, taman rekreasi, perindustrian dan sekolah.

"Melalui inisiatif ini, unit tersebut akan mendampingi masyarakat melalui konsep 'bertemu dan menyambut' dan menjalinkan kerjasama lebih erat antara orang awam dengan polis," ujarnya.

Beliau percaya, pendekatan itu membolehkan maklumat berkaitan jenayah setempat mudah diperoleh sekali gus dapat mencegah kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Sharifuddin turut memberi peringatan kepada anggota unit terbabit supaya menjaga kenderaan masing-masing dengan baik bagi memastikan rondaan dilakukan mereka tidak menghadapi masalah.

"Jagalah motosikal tersebut seperti kenderaan sendiri kerana orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadap polis untuk menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam," katanya.

Penduduk rayu baiki segera jambatan usang

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Penduduk menunjukkan kesan hakisan tanah yang boleh menyebabkan jambatan berusia 30 tahun itu runtuh di Batu Balai, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 4 Feb. - Sebanyak 300 penduduk di perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Berjuang dan Sungai Keli, Batu Balai di sini merayu kerajaan segera membaiki jambatan usang digunakan mereka di kampung itu.

Jambatan berusia 30 tahun itu dikatakan menanti masa runtuh kerana masalah hakisan dan membahayakan keselamatan penduduk.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Balai, Mohamad Noor Ali Mohamed berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan sebanyak empat kali namun sehingga kini belum ada tindakan.

Menurut beliau, jambatan yang menghubungkan Sungai Terlan itu dikatakan sudah tidak selamat digunakan dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib.

"Kami bimbang keselamatan penduduk terancam kerana keadaan hakisan yang berlaku menyebabkan banyak berlaku tanah runtuh di bawah jambatan ini.

"Jika dilihat pada bahagian bawah jambatan ini keadaan tanah yang menyokong jambatan itu boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja," katanya di sini baru-baru ini.

Seorang penduduk, Mohd. Khairi Hassan, 53, memberitahu, jambatan itu digunakan lebih 48 keluarga di Kampung Sungai Berjuang, 24 keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Berjuang dan lima keluarga di Kampung Sungai Keli.

Katanya, jambatan itu bukan sahaja menjadi laluan utama penduduk keluar masuk malah digunakan untuk membawa hasil pertanian penduduk sama ada kelapa sawit atau getah.

"Jika jambatan ini runtuh, penduduk bukan sahaja terputus hubungan malah menyukarkan mereka untuk menjual hasil pertanian yang menjadi sumber pendapatan," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya akan membuat semakan terlebih dahulu sama ada masalah jambatan itu sudah dimasukkan dalam program Projek Infrastruktur Asas (PIAS).

"Saya akan membuat tinjauan di jambatan itu untuk melihat keadaan sebenar sebelum membawa masalah ini kepada kepada agensi kerajaan yang terlibat," kata beliau.

GiatMara di Pulau Tioman

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

ROMPIN 4 Feb. - Sebuah pusat latihan GiatMara akan dibuka di Pulau Tioman dekat sini bagi meningkatkan kemahiran penduduk membaiki enjin bot di pulau itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd. Johari Hussain berkata, perkara itu merupakan antara cadangan dalam meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan penduduk di pulau tersebut.

Menurutnya, pusat latihan itu akan memberi kursus jangka pendek bagi memberi tumpuan terhadap kemahiran membaiki enjin bot kepada penduduk di situ.

"Cadangan ini sangat bersesuaian kerana permintaan tinggi terhadap membaiki bot dan jika penduduk sudah memiliki kemahiran itu, maka tidak perlu lagi mendapatkan kemahiran mekanik dari luar kawasan itu," katanya di sini baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved