Selasa, 4 Februari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Timbang tambah laluan baharu

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 3 Feb. - Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menambah laluan baharu membabitkan jajaran pesisir pantai Selat Tebrau dengan memberi tumpuan terhadap kawasan yang terlibat dengan pembangunan pesat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, laluan baharu itu bagi memastikan kawasan terlibat khususnya Iskandar Malaysia tidak menyumbang kepada kesesakan jalan raya.

Beliau berkata, usaha kerajaan menyediakan infrastruktur akan diberi tumpuan utama dengan membuka laluan tambahan di lokasi kritikal seperti penyambungan jalan raya antara Plentong ke Pasir Gudang.

"Kita turut memberi fokus terhadap dua aspek dalam menangani masalah kesesakan menerusi projek menaik taraf jalan raya dan membuka laluan baharu di lokasi yang dikenal pasti khususnya di sekitar Iskandar Malaysia.

"Projek menaik taraf laluan akan dilaksanakan pada tahun ini manakala pembinaan projek jalan raya baharu dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasni berkata, bagi memastikan semua lalu lintas di kawasan bandar raya ini berjalan lancar, pihaknya bercadang menaik taraf laluan berhampiran kawasan Skudai Kiri menjadikannya dua hala bagi tujuan memudahkan akses untuk penduduk berhampiran bermula tahun depan.

"Projek menaik taraf laluan sepanjang tiga kilometer itu masih dalam perbincangan di peringkat Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) termasuk jumlah kos secara keseluruhannya.

"Kami yakin projek menaik taraf laluan Skudai Kiri itu mampu menyelesaikan semua permasalahan khususnya penduduk di kawasan itu dan pengguna jalan tersebut," katanya.

Sindiket edar mercun, bunga api tumpas

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

AZMAN Ayob (kanan) menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas dalam sidang akhbar di Muar, semalam. - Utusan/Ishak Rahmad

MUAR 3 Feb. - Polis berjaya menumpaskan sindiket mengedar pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM10,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Bakariah, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan pukul 12.15 tengah hari itu, seorang lelaki yang dipercayai pemilik mercun berkenaan turut ditahan.

"Suspek berusia 52 tahun itu yang sudah berkeluarga dipercayai menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat transit sebelum mengedarkan bahan letupan itu ke pasaran berhampiran.

"Siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun ketika ditahan suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam perkembangan lain, polis daerah ini turut menahan 26 orang awam yang ingkar dengan larangan membakar mercun sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dalam Operasi Pembakaran Mercun pada 30 dan 31 Januari lalu.

Azman berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an dan mereka ditahan ketika bermain mercun di beberapa lokasi di sekitar bandar, pinggir bandar serta kawasan kampung di Panchor, Pagoh dan Bakri.

Menurutnya, mereka ditahan selepas pihak polis mendapat aduan tentang pembakaran mercun secara terbuka dan mengganggu ketenteraman awam serta melibatkan bahan larangan itu yang dianggarkan bernilai RM5,000.

"Kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 74 Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu bagi kesalahan bermain mercun boleh didenda RM300.

"Bagi kesalahan memiliki mercun dan bunga api pula boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, " katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved