Isnin, 17 Februari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


RM11 juta bina dua HAB

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh ZULKIFLI SAINUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Noh Omar (tengah) mendengar penerangan daripada Pegawai perancang bandar MBSA, Noraznizam Alias (kiri) sewaktu melawat tapak projek HAB di seksyen 17 Shah Alam, semalam. Turut sama, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MBSA, Aniza Osman (dua dari kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari (kanan). - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 17 Feb. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi membina dua Hentian Akhir Bandar (HAB) di Seksyen 17 dan Seksyen 19 di sini bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kedua-dua projek tersebut adalah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya, projek tersebut merupakan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan kerajaan menyediakan dana manakala pihak satu lagi memberikan tapak.

"Keputusan untuk membina kedua-dua HAB ini dibuat atas dasar keperluan ekoran stesen bas ekspres di Seksyen 17 yang telah berusia lebih 25 tahun sangat daif dan tidak tersusun.

"Kedua-dua projek ini akan mula dibina pada April ini dengan HAB di Seksyen 17 dijangka siap pada Mac tahun depan, manakala HAB di Seksyen 19 pada Januari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek di Seksyen 17 di sini hari ini.

Noh berkata, HAB Seksyen 17 yang melibatkan kos RM7 juta mengandungi terminal bas ekspres berhawa dingin yang menempatkan 24 kaunter tiket, ruang menunggu untuk lebih 300 orang, balai polis dan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan.

Menurutnya, HAB Seksyen 19 yang melibatkan kos pembinaan RM4 juta pula adalah terminal bas henti-henti berhawa dingin dan memuatkan ruang menunggu untuk 20 orang serta kedai.

"HAB Seksyen 17 akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam terutama penuntut di sekitar Shah Alam dan penduduk di Seksyen 2 hingga Seksyen 24 yang merangkumi kira-kira 140,000 orang.

"Untuk HAB Seksyen 19 yang diintegrasikan dengan stesen komuter sedia ada di kawasan berkenaan akan memudahkan penumpang komuter untuk mendapatkan perkhidmatan bas dan teksi," ujarnya.

Merana kerana tiada air

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

CUACA panas sejak kebelakangan ini menyebabkan kemerosotan paras air di Empangan Air Selangor, Hulu Selangor.
Seorang suri rumah, Norliza Mohd. menunjukkan masalah tekanan air yang dihadapi di Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Sejumlah 110,087 buah rumah di sekitar ibu negara, Hulu Langat, Kuala Langat dan Hulu Petaling terjejas ekoran terputus bekalan air dan masalah tekanan air rendah sejak bulan lalu sehingga kini.

Ia disebabkan oleh penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi, Dengkil ekoran pencemaran kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat.

Selain itu, punca gangguan bekalan air terhadap pengguna juga disebabkan oleh pertambahan permintaan air yang mendadak disebabkan cuaca panas dan kering serta ketiadaan hujan.

Situasi berkenaan menyebabkan beberapa kawasan yang menerima bekalan air dari kedua-dua loji terbabit dijangka terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Masalah bekalan air mengakibatkan urusan seharian orang ramai seperti mandi, membasuh dan memasak menjadi semakin sukar selain memberi tekanan terhadap mereka.

Situasi ini bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara ini khususnya di ibu kota kerana hampir setiap tahun mengalami masalah sama yang disebabkan pencemaran air, faktor cuaca dan sebagainya.

Justeru, sudah tentu permintaan seperti baldi, tong air, pendingin hawa, kipas, air mineral dan sebagainya semakin meningkat selain harganya didakwa naik mendadak.

Pergi sahaja ke kedai-kedai yang menjual peralatan tersebut, ia laris seperti 'pisang goreng panas'.

Dalam pada itu, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) akan terus membantu para pengguna yang terjejas dengan menyediakan lori-lori tangki air ke kawasan yang mengalami gangguan.

Selain itu, pemantauan berterusan turut dilaksanakan oleh pihak berkenaan dengan menubuhkan pusat khidmat setempat yang dibuka 24 jam di kawasan-kawasan yang terlibat.

Dalam masa yang sama, pengguna yang tidak terlibat perlu menggunakan air secara berhemah dan mengelak pembaziran kerana ia merupakan sumber khazanah penting untuk semua kehidupan di muka bumi ini.

Ammonia masih tinggi di loji Cheras, Bukit Tampoi - Syabas

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 yang terlibat dalam pencemaran ammonia dan tidak beroperasi lagi.

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) hari ini memaklumkan kandungan ammonia di Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi di Sungai Langat masih tinggi iaitu masing-masing pada paras 2.85ppm dan 5.80ppm.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) Priscilla Alfred berkata, ekoran itu, kedua-dua LRA itu masih ditutup sehingga hari ini.

"Beberapa kawasan yang menerima bekalan air daripada kedua-dua loji tersebut dijangka terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Priscilla, pihaknya telah pun menubuhkan pusat khidmat setempat yang dibuka 24 jam di kawasan-kawasan yang terjejas teruk.

"Ini bagi membolehkan penduduk yang memerlukan bekalan air tambahan untuk kenduri dan sebagainya mendapat bekalan air secukupnya," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, diminta menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui SMS dengan menaip PUSPEL aduan atau pertanyaan dan hantar ke 39222.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved