Jumaat, 7 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kanak-kanak didera meninggal dunia

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Mac - Selepas hampir lima hari bertarung nyawa, kanak-kanak perempuan yang mengalami pendarahan otak dipercayai akibat didera di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang Isnin lalu, meninggal dunia hari ini.

Nur Ain Ariana Abdullah yang berusia dua tahun enam bulan disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh dekat sini pada pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya kini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Pihak hospital akan menjalankan bedah siasat mayat mangsa esok," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Isnin lalu, Nur Ain Ariana dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dekat sini selepas dipercayai pengsan.

Doktor yang merawat mangsa telah membuat laporan polis setelah melihat keadaan mangsa yang tidak bergerak dan menemui pelbagai kesan lebam serta calar di bahagian tangan, badan dan muka bayi itu serta benjol pada kiri kepala.

Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut kerana kecederaannya yang kritikal dan dipercayai mengalami pendarahan otak.

Polis kemudian menahan ibu kandung mangsa yang berusia 20 tahun dan teman lelakinya, 26, bagi membantu siasatan.

Difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumikan di Pahang.

Pelajar asing ditahan edar dadah RM900,000

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

NOOR Rashid Ibrahim (kiri) menunjukkan dadah yang diseludup di dalam pemain cakera video digital (DVD) semasa sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Mac - Taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik status pelajar kolej swasta terbongkar setelah polis memberkas tujuh ahli kumpulan terbabit dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Dalam operasi selama dua minggu sejak 20 Februari lalu itu, polis menahan enam pelajar warga asing iaitu tiga lelaki warga Nigeria dan tiga wanita warga Uganda bersama seorang lelaki tempatan yang berusia antara 22 dan 42 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya merampas kira-kira 4.9 kilogram dadah jenis syabu yang dianggar bernilai RM900,000 dalam kesemua serbuan tersebut.

"Dadah yang diseludup dari beberapa negara luar itu telah disorok dalam pelbagai barangan peribadi termasuk pemain cakera video digital (DVD) sebelum dipos menggunakan perkhidmatan syarikat kurier kepada ahli sindiket di sini," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, sindiket dadah antarabangsa kini menggunakan taktik menyeludup barangan haram tersebut dalam kuantiti yang kecil namun dilakukan secara kerap.

Kata beliau, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved