Sabtu, 8 Mac 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Basikal lasak uji peserta jambori

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Oleh NORLIA RAMLI

PENONTON cilik turut memberikan sokongan kepada peserta basikal lasak.

LALUAN bukit yang mencabar dan berliku bukanlah sesuatu yang sukar bagi penggemar sukan lasak penunggang basikal bukit atau mountain bike.

Malah bagi mereka yang gemar menguji ketangkasan fizikal dan mental, aktiviti ini menjadi pilihan. Justeru, bukan sesuatu yang menghairankan jika sukan itu semakin mendapat perhatian anggota masyarakat.

Menyedari itu, buat julung kali Kelab Basikal Bayu Baling (BCC) menganjurkan pertandingan Baling Mountain Bike (MTB) Jambori yang menarik perhatian 1,204 peserta untuk berentap menghabiskan laluan sukar di bukit sejauh 43 kilometer (km).

Peserta begitu teruja untuk menamatkan kayuhan basikal lasak itu merentasi pelbagai halangan kawasan bukit, titian kayu, cerun, sungai, ladang getah dan kelapa sawit serta sawah padi di sepanjang laluan, selain menikmati panorama hijau yang mengasyikkan.

Acara yang pada asalnya sekadar ingin dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), namun akhirnya menjadi pertandingan bertaraf antarabangsa apabila peserta luar negara dari Jerman, Perancis, Singapura, Indonesia, Thailand dan Jepun turut serta.

Pengerusi BCC, Mohamad Ridzwan Musa berkata, penganjuran jambori pada 22 Februari lalu mendapat tajaan pelbagai pihak dan ia adalah aktiviti kayuhan basikal lasak yang terbesar pernah dianjurkan oleh kelab ini.

"Sambutannya amat menggalakkan sehinggakan di saat akhir masih ada yang merayu untuk menyertai jambori ini.

"Antara objektif penganjuran jambori ini adalah untuk mengeratkan silaturahim di antara peserta, di samping memperkenalkan daerah Baling kepada masyarakat luar termasuk pelancong asing, katanya.

Tidak dapat dinafikan keadaan geografi Baling sememangnya sesuai buat mereka yang menggemari sukan lasak seperti mountain bike.

Apatah lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, acara ini dilihat dapat merancakkan lagi industri pelancongan setempat secara maksimum berikutan promosi dan kehadiran pelancong luar negara.

Dalam pada itu, hadiah yang ditawarkan bukan faktor utama bagi peminat basikal lasak untuk menyertainya kerana rata-ratanya lebih mengutamakan kepuasan dalam menyahut cabaran diri sendiri, di samping beriadah untuk kesihatan.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husain, sementara majlis penutup dan penyampaian hadiah pula dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Aminuddin Omar.

Menurut Aminuddin, kerajaan negeri berhasrat menjadikan Baling Mountain Bike sebagai acara tahunan selepas melihat penyertaan yang menggalakkan termasuk di peringkat antarabangsa. Ia sekali gus diharap dapat menarik perhatian lebih banyak peserta dari dalam dan luar negara.

Peserta mengakui setiap laluan tersebut amat mencabar dan menguji kekuatan fizikal serta mental kerana ia memerlukan stamina yang baik untuk melepasi setiap halangan.

Dalam pada itu, Mohamad Ridzwan berkata, aktiviti berbasikal ternyata memberikan kesan yang baik kepada kesihatan, selain merapatkan hubungan silaturahim antara peserta dan masyarakat.

Sementara itu, peserta dari Jerman, Frank Viermann, 56, berkata, acara berbasikal ini memberikan cabaran hebat kepadanya kerana laluan yang ditempuh amat menguji ketangkasan dan skil berbasikal.

"Acara ini adalah yang paling baik pernah saya sertai kerana laluannya amat menguji fizikal dan mental peserta. Selain itu ia menuntut stamina yang baik untuk melepasi setiap halangan yang ada," katanya.

Dalam acara itu, empat kategori dipertandingkan iaitu kategori junior, wanita, veteran dan terbuka, manakala hadiahnya masing-masing tempat pertama memenangi wang tunai RM400, tempat kedua (RM200) dan ketiga (RM100) termasuk piala dan cenderahati.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved