Sabtu, 8 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pelan kontingensi masalah air

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri
utusann9@utusan.com.my

Mohamad Hasan (dua dari kiri), Mat Ali Hasan (kiri) dan Zulkifli Ibrahim (tiga dari kiri) menadah tangan tanda syukur selepas air yang disalurkan dari terowong berjaya disalirkan ke Loji Rawatan Air Ngoi Ngoi bagi kegunaan penduduk sekitar Seremban ketika mengadakan lawatan kerja ke loji rawatan air tersebut di Jalan Pantai, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 7 Mac - Kerajaan negeri akan melaksanakan pelan kontingensi iaitu memindahkan bekalan air mentah dari Empangan Triang di Jelebu ke Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Ngoi-Ngoi dekat sini bagi mengatasi masalah bekalan air, dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Bekalan air tersebut akan disalurkan menerusi paip dan terowong secara graviti sepanjang 12.4 kilometer.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaik sahaja beroperasi nanti, paip itu mampu menyalurkan lebih 30 juta gelen air terawat untuk memenuhi keperluan 100,000 penguna di kawasan Seremban barat.

"Ini merupakan kaedah mengatasi masalah dalam penyediaan keperluan bekalan air di kawasan tersebut. Alhamdulillah, ini perancangan strategik jangka masa panjang yang baik walaupun berdasarkan kedudukan geografi, Jelebu merupakan kawasan paling kering dapat menyumbangkan air di bandar ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat LRA Ngoi-Ngoi, Pantai dekat sini hari ini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan dan Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Zulkifli Ibrahim.

Menurut Mohamad, sebaik sahaja LRA Ngoi-Ngoi mula beroperasi, kebergantungan sumber bekalan air dari LRA Sungai Terip yang selama ini menjadi pembekal utama ke bandar ini dan kawasan sekitarnya dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

Tambah beliau, secara automatik pengurangan ini juga akan menjadikan punca air empangan Sungai Terip dari Empangan Kelinci dan Talang di Kuala Pilah juga dapat dikurangkan.

"Berikutan penggunaan LRA baharu ini juga, punca air dari Empangan Talang dari Ulu Sungai Muar yang mengepam 10 juta gelen air sehari akan dihentikan. Kita berharap paras air di Ulu Sungai Muar akan naik dan mencukupi bagi lima loji di jajaran Sungai Muar termasuk loji Sungai Gemas yang mengalami penurunan paras air.

"Jika paras air di Sungai Muar masih rendah selepas diberhentikan pam ke empangan Talang, kita akan secara perlahan melepaskan air dari empangan Talang ke dalam Sungai Muar. Ini adalah rancangan alternatif yang diambil jika aras air di loji rawatan air Gemas masih tidak mencukupi," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, limpahan air di Ngoi-Ngoi yang masuk ke Sungai Batang Benar berjaya menambah kapasiti di kolam takungan di Bukit Gun di Rasah ke paras maksimum sekali gus menstabilkan bekalan air ke kawasan Mambau dan Sendayan.

Katanya, limpahan air dari Sungai Batang Benar turut menstabilkan paras air di Sungai Linggi untuk kegunaan loji air Sungai Linggi yang berkapasiti 25 juta gelen sehari untuk bekalan air di kawasan Rantau Lukut dan Port Dickson.

1,553 kebakaran kebun, hutan, belukar di Melaka

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

MELAKA 7 Mac - Sebanyak 1,553 kes kebakaran melibatkan kebun, hutan dan belukar dilaporkan berlaku di negeri ini berikutan cuaca panas terik berpanjangan sejak awal Januari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) negeri, Zainuddin Md. Alip berkata, daripada jumlah itu, kes paling tinggi melibatkan kebakaran belukar atau lalang dengan 1,338 kes manakala manakala hutan 105 kes dan kebun atau ladang 110 kes.

Menurutnya, jumlah dicatatkan sehingga kelmarin merupakan paling tinggi malah jauh lebih banyak berbanding kes kebakaran sepanjang tahun lalu iaitu 184 kes melibatkan 175 kebakaran belukar/lalang, hutan (5), kebun/lalang (4).

"Kebakaran belukar atau lalang paling tinggi dicatatkan bulan lalu iaitu sebanyak 887 kes manakala 275 kes dilaporkan berlaku pada bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainuddin berkata, pihaknya juga mendapati 90 peratus kebakaran yang dilaporkan pada tahun ini melibatkan kebakaran terbuka seperti lalang, belukar, hutan, kebun, pokok dan sebagainya.

"Secara purata, bomba menerima antara 30 hingga 50 panggilan sehari berhubung kes kebakaran di negeri ini melibatkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin," ujarnya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati kerana kebakaran terbuka ini boleh merebak ke bangunan sehingga menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa sekiranya tidak dikawal.

Suami isteri rugi barangan berharga dilarikan penarik kereta

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Abdullah Saffar (tengah) dan isterinya, Kamisa Che Wan ketika membuat aduan mengenai mereka telah dikasari oleh penarik kereta dalam sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional negeri di Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/NURSURAYA ZULKIFLI

MELAKA 7 Mac - Sepasang suami isteri bukan sahaja mengalami kerugian setelah keretanya ditarik pihak bank kerana mempunyai bayaran tertunggak selama empat bulan, malah mereka tidak dibenarkan mengambil barangan berharga di dalam kereta tersebut.

Lebih mengejutkan lagi, pasangan yang menetap di Taman Paya Rumput itu turut dikasari dua penarik kereta berusia 20-an yang bertindak seperti samseng apabila melanggar kereta tersebut sebelum merampasnya.

Kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 4 petang Rabu lalu semasa mangsa, Abdullah Saffar, 44, sedang memandu kereta jenis Proton Persona dan membawa tiga anaknya untuk pulang ke rumah.

Menurut Abdullah, penarik kereta itu telah menghimpit dan melanggar kenderaannya di sebuah simpang berdekatan Kampung Paya Rumput.

"Semasa memberhentikan kereta, dua lelaki yang tidak dikenali keluar lalu mengetuk cermin sisi kereta mangsa hingga menakutkan anak-anak yang ada bersama ketika itu, katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat aduan di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz dan peguam Pembela BN, Maz Ridzuan Mohamad.

Abdullah berkata, semasa dia menurunkan cermin sisi bahagian pemandu, salah seorang lelaki berkenaan merampas kunci keretanya tanpa menunjukkan pengenalan diri mahupun surat tarik kereta daripada pihak bank.

"Mereka kemudian menyuruh saya bersama tiga lagi anak keluar dari kereta itu lalu mengambil gambar kereta sebelum beredar meninggalkan kami di tempat tersebut.

"Apa yang merisaukan, kedua-dua mereka menghalang saya mengambil barangan berharga dalam kereta tersebut termasuklah kunci rumah, kunci sebuah lagi kereta, kelengkapan sekolah anak-anak serta dokumen kerja termasuk tender projek bernilai RM3 juta," katanya.

Jelas Abdullah, kereta tersebut didaftarkan atas nama isterinya dan dia mengakui memang kereta tersebut telah tertunggak bayarannya selama empat bulan.

"Kami tidak ada masalah jika kereta itu ditarik semula, cuma terkilan tindakan ala samseng dua lelaki berkenaan yang tidak mengikut prosedur sebenar malah turut bertindak melanggar kereta saya.

"Tindakan mereka menghalang saya mengambil barangan berharga dalam kereta itu turut menyebabkan kami sekeluarga menanggung kerumitan termasuk sukar untuk masuk ke rumah, anak-anak tidak dapat ke sekolah serta urusan kerja," ujarnya.

Sementara itu Amir Hamzah berkata, pihaknya akan berhubung dengan bank berkenaan, polis serta Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) untuk membantu menyelesaikan perkara tersebut.

"Tindakan menarik kereta mangsa walaupun ia tidak berbayar selama manapun perlulah mengikut prosedur sebenar dan tindakan penarik kereta itu telah menyebabkan mangsa mengalami kesukaran hidup," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved