Sabtu, 8 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Berita Lynas terbakar diselar

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Keadaan hutan tanah gambut yang terbakar di Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 7 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan pembohongan kononnya kilang Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas), di Gebeng dekat sini terbakar.

Menurut Adnan, apa yang berlaku sebenarnya adalah kebakaran hutan tidak jauh dari kawasan perindustrian Gebeng yang merupakan situasi biasa ketika cuaca panas dan kering seperti sekarang.

"Perkara itu (kebakaran di Lynas) adalah tidak benar sama sekali. Saya telah dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin bahawa kebakaran itu tiada kaitan dengan Lynas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Kecemerlangan Kokurikulum Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Adnan berkata, kebakaran hutan boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang biasa berlaku di negeri ini setiap tahun.

"Di negeri ini kalau musim hujan akan berlaku banjir tetapi kalau kemarau, kebakaran hutan pula berlaku. Ini bukan kali pertama. Pihak bomba sedang dan cuba sedaya upaya untuk memadamkan kebakaran itu.

"Namun yang menjadi masalah adalah bekalan dan punca air, peralatan tidak menjadi masalah. Saya meminta anggota bomba yang terlibat menjaga keselamatan diri mereka," katanya.

Adnan juga berharap tiada pengguna kenderaan atau pejalan kaki yang mencampakkan puntung rokok merata-rata sehingga boleh mencetuskan kebakaran.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Nazili Mahmood berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran hutan tanah gambut yang berlaku di kawasan Rompin, Penor dan Gebeng.

"Kita berjaya mengawal kebakaran di tiga kawasan tersebut, yang tinggal hanya bara api namun kita masih membuat pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut menempatkan anggota di ketiga-tiga kawasan itu bagi memantau keadaan bagi mengelak api kembali marak.

Dalam pada itu jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima 16 laporan berkaitan kebakaran belukar, hutan, semak dan gambut di seluruh negeri ini semalam.

BR1M: Pembangkang ketandusan idea

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Ismail Abd. Muttalib menyampaikan BR1M kepada salah seorang daripada 1,243 penerima dalam DUN Luit di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran, Pahang, kelmarin. - UTUSAN/Salehudin mat rasad

MARAN 7 Mac - Pembangkang tidak wajar mempolitikkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat kurang berkemampuan sejak bantuan itu diperkenalkan pada 2012.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, daripada satu segi, langkah mempersoalkan keikhlasan kerajaan membuktikan pembangkang semakin gusar dengan peningkatan sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, apatah lagi pemberian BR1M sejak diperkenalkan tiga tahun lalu menyaksikan penambahbaikan dengan tahun ini jumlahnya ditingkatkan kepada RM650 melibatkan semua penerima tanpa mengira fahaman politik.

"Semua pihak patut melihat bantuan itu daripada sudut yang positif bukannya asyik tidak sebulu sedangkan pembangkang tidak banyak membantu rakyat di kawasan mereka.

"Mempersoalkan keikhlasan kerajaan membantu rakyat secara langsung menunjukkan pihak berkenaan sudah ketandusan idea untuk memburuk-burukkan kerajaan," katanya.

Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M 2014 kepada 1,243 penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Nurhidayah Mohd. Shahamimi dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzila Salleh.

Tambah beliau, biarpun banyak spekulasi berkaitan BR1M yang dimainkan pembangkang tetapi kehadiran mereka beramai-ramai untuk menuntut pemberian itu jelas menunjukkan mereka menghargai bantuan kerajaan itu.

"Kerajaan amat komited agar proses pengagihan bantuan itu berjalan lancar supaya benar-benar sampai kepada tangan rakyat yang memerlukan," katanya.

Ismail menambah, apa yang lebih membanggakan adalah kerajaan masih memberi peluang kepada nama-nama yang layak tetapi tercicir untuk membuat rayuan kepada pihak berkuasa.

Bernas diminta henti kadar potong hasil padi yang tinggi

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

BERA 7 Mac - Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) diminta bertolak ansur dengan menghentikan segera kadar pemotongan hasil padi yang terlalu tinggi sehingga membebankan pesawah di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun gred pemotongan adalah berlandaskan pada mutu padi yang dibeli, Bernas hendaklah turut mengambil kira kebajikan pesawah yang terdiri daripada masyarakat luar bandar.

"Walaupun saya mengumumkan penyelarasan harga padi baru-baru ini, kita tidak boleh menjangkakan mutu padi terus meningkat kerana kita perlu memberi masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk mereka meningkatkan mutu padi.

"Jadi saya minta Bernas jangan membuat pemotongan berdasarkan mutu sebenar sehingga boleh mengurangkan pendapatan pesawah berbanding sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Peringkat Parlimen Bera di Dewan Rakan Muda Bera di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd. Fadil Osman dan Pegawai Daerah Bera, A. Rahman Hamzah.

Beliau diminta mengulas tindakan sekumpulan pesawah mengadakan bantahan di hadapan Kilang Bernas Rompin baru-baru ini ekoran pemotongan padi yang terlalu tinggi sehingga 40 peratus.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman telah melakukan lawatan mengejut di kilang tersebut dan meminta pihak berkenaan tidak mengaut keuntungan berlebihan sebaliknya lebih mengutamakan kebajikan petani.

Menurut Ismail Sabri, pihaknya akan terus melakukan pelbagai kaedah dan program bagi membantu pesawah di negara ini meningkatkan mutu hasil padi dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, antara penekanan yang akan dilakukan ialah memastikan pesawah di seluruh negara mengamalkan kaedah penanaman baik yang dapat meningkatkan hasil dan mutu tanaman.

Tambahnya, usaha juga akan dilakukan bagi mengubah sikap petani supaya mereka menggunakan kaedah terbaik dan sentiasa berusaha meningkatkan mutu tanaman masing-masing.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved