Sabtu, 8 Mac 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Lagu lama orang muda

Posted: 08 Mar 2014 05:14 AM PST

Ramai dalam antara kita yang beranggapan muzik jazz hanya diminati golongan elit dan eksklusif. Tetapi, tahukah anda genre yang sudah wujud sejak awal abad ke-19 itu sebenarnya sebuah bentuk seni ekspresi yang berkembang daripada gaya hidup masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat yang ditindas.

Jadi, jika difahami dengan teliti muzik jazz pada awal kewujudannya bermula dengan gendang tribal dan muzik gospel, blues serta field hollers (teriakan peladang) yang memperlihatkan ia berkait rapat dengan pertahanan hidup dan ekspresi kehidupan mereka.

Malaysia tidak terkecuali dilanda demam jazz suatu ketika dahulu tetapi semakin pudar menjelang tahun 60-an dan sehingga kini boleh dikatakan tidak banyak tempat mengalunkan muzik berkenaan kecuali di majlis tertentu dan juga hotel.

Tetapi baru-baru ini, .com sempat bertemu dengan segelintir generasi muda yang memperjuangkan irama ini walaupun mereka lahir pada zaman serba canggih dan lambakan genre baharu muzik.

Walaupun mereka masih muda, tetapi kesungguhan untuk mengembalikan zaman kegemilangan muzik jazz di Malaysia harus disokong oleh banyak pihak terutamanya dari segi lokasi dan juga dana untuk mengukuhkan muzik berkenaan.

Kepelbagaian ini dilihat dapat mempelbagaikan genre sedia ada dan tidak terlalu fokus kepada rock dan juga metal yang kerap didendangkan di konsert ataupun gig.

Ia juga dapat menunjukkan taraf persembahan jazz ini mempunyai kelainan apabila menggunakan pendekatan lebih santai dan juga lebih kemas berbanding muzik lain.

- AZRIN/NASIRRUDDIN YAZID/NOOR AZLINA JAAFAR

Sudah sebati dalam diri

"Genre lain saya tetap dengar tetapi jika jazz dimainkan, itulah nikmat yang boleh dikatakan sebagai pelengkap harian saya tambahan pula selepas melakukan kerja yang memenatkan".

Begitulah kata-kata Muhammad Nazri Md. Bidin, 26, iaitu seorang anak muda yang sangat meminati muzik jazz termasuk belajar untuk memainkan muzik itu sendiri.

"Saya tidak mempunyai pendidikan formal berkaitan muzik tetapi saya berusaha sendiri apabila belajar melalui YouTube dan juga naluri sendiri, memang tidak mudah tetapi jika hati sudah mahu, semua itu tidak menjadi masalah," katanya.

Dia yang kini bermain muzik sepenuh masa juga berpendapat muzik jazz mempunyai potensi tersendiri dan percaya masih ramai generasi muda yang mempunyai minat sama tetapi tidak mempunyai peluang untuk menyinar.

"Jika ada tempat dan peluang yang sesuai, saya pasti ramai lagi bakat-bakat muda akan keluar menonjolkan diri dan sudah pasti ianya tentang jazz," katanya.

Pendedahan daripada ibu bapa

Bagi Muhammad Hariz Mohd. Radzuan, 22, irama klasik berkenaan menjadi kegemarannya bermula sejak kecil apabila ibu dan bapanya mendengar muzik yang kebanyaknnya berkisar dengan genre jazz.

"Terus terang saya katakan ibu dan bapa saya adalah pencetus minat saya terhadap dunia jazz kerana sejak kecil saya sudah didedahkan dengan irama berkenaan.

"Mereka juga minat jazz dan kini saya pula menyambung minat yang sama. Kini saya pula aktif dengan kumpulan saya sendiri yang memberi fokus kepada perjuangan jazz di Malaysia," katanya.

Selain itu, dia turut mengakui walaupun muzik berkenaan melambangkan status eksklusif, persepsi berkenaan harus diubah kerana muzik merupakan sesuatu yang subjektif, bergantung kepada seseorang untuk menerimanya.

Praktik kemahiran vokal

Mendapat pendidikan di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam jurusan vokal, Muhammad Aqil Hakimi Zainal Abidin, 22, menggunakan kesempatan menyertai sebuah kumpulan yang diberi nama Old But Young Geng (OBY Geng) untuk meluaskan bakatnya dalam bidang nyanyian.

"Saya memang minat muzik klasik, jadi dengan peluang yang ada saya terus fokus dengan harapan karier di dalam bidang nyanyian dapat diperluaskan lagi.

"Band yang saya sertai ini masih baharu tetapi saya akui kami mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri, apatah lagi kami semuanya remaja yang memilih menggunakan genre jazz sebagai fokus utama kumpulan," katanya.

Dia kini sedang sibuk menyiapkan rakaman bagi album sulung kumpulan berkenaan yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Terbuka untuk peminat muzik klasik

Bagi pengusaha Restoran Tanjung Puteri, Zainal Abdul Rahman, sentiasa mengalu-alukan generasi muda yang meminati muzik untuk menggunakan ruang yang disediakan berkarya dan menonjolkan bakat.

"Setiap malam Sabtu dan Ahad akan ada band yang akan bermain muzik secara live, dalam masa yang sama ada sesi open mic yang bertujuan memberi galakan kepada generasi muda untuk berkarya," katanya.

Dia yang telah mengusahakan restoran berkenaan sejak 17 tahun lalu itu juga mempunyai 6 ,000 koleksi lagu lama yang dipasang ketika restorannya beroperasi setiap hari turut menjadi tarikan kepada pelanggan.

"Ada pelanggan yang datang dan berkata konsep dan lagu lama menjadi sebab utama mereka menjadikan Restoran Tanjung Puteri di Hartamas, Kuala Lumpur sebagai lokasi untuk bersantai selain daripada hidangan istimewa yang ditawarkan," katanya.

Penjiwaan berbeza

Kerap kita dengar lagu yang berentak jazz ini sukar untuk dinyanyikan walaupun seseorang itu mempunyai suara yang lunak dan sudah biasa menyanyi.

"Dengar memang sedap, nampak seperti mudah tetapi semua itu tidak benar sama sekali kerana teknik dan penjiwaan amat penting di dalam proses menyanyikan lagu jazz.

"Penghayatan yang berbeza diperlukan oleh seseorang untuk menyampaikan lagu jazz dengan berkesan, lihat sendiri jika penyanyi kulit hitam mendendangkan lagu jazz mereka, pendengar akan terpukau dengan nyanyiannya," kata Mohamad Faridz Zainal, 22.

Dia yang mengikut jejak bapanya yang gemarkan lagu klasik turut berkongsi minat yang sama walaupun masih muda dan merasakan muzik jazz mampu membuatkan dirinya unik berbanding remaja lain.

"Remaja lain mungkin mempunyai kelebihan di dalam bidang yang tertentu tetapi sebut sahaja soal jazz, saya rasa saya mempunyai kelebihan di situ," katanya.

Ultra FM layan pendengar tonton wayang

Posted: 08 Mar 2014 05:14 AM PST

HARI-hari dengar radio, pasti bosan? Sebab itu, Ultra 101.3FM yang merupakan stesen radio berbahasa Melayu baru dilancarkan November tahun lalu membuat kelainan dengan belanja pendengar setianya menonton wayang baru-baru ini.

Maklumlah tiket percuma, ramai pula yang datang berkunjung ke GSC Midvalley memandangkan stesen radio tersebut menampilkan konsep kepelbagaian dari segi muzik yang disajikan buat pendengar ibu kota.

Bagi pendengar setia Ultra FM, lagu-lagu yang dimainkan stesen radio itu tidak hanya tertumpu kepada satu genre sebaliknya, lagu-lagu yang dimainkannya tidak tertakluk kepada prejudis tradisional.

Sebagai tanda penghargaan kepada pendengar, Ultra FM mengambil inisiatif membawakan penyampai mereka menonton filem Pompeii bersama pendengar setia mereka selepas dua minggu mengadakan peraduan melalui program Pawagam di Ultra.

Pada malam tersebut, penyampai-penyampai Ultra FM tidak ketinggalan memeriahkan majlis tayangan tersebut dengan memberi hadiah eksklusif kepada mereka yang bertuah.

Selain mempromosikan stesen mereka, penyampai Ultra FM, Mamat Sepah, Mon Ryanti dan Sharifah Shahira turut beramah-mesra bersama pendengar di luar konti radio.

Buat mereka yang tidak pernah mendengar Ultra 101.3FM, selain memutarkan lagu kegemaran ramai, saluran radio itu juga turut menyalurkan informasi dan berita seperti lalu lintas, kemalangan, jenayah, aktiviti dan program-program yang tertumpu di sekitar Lembah Klang.

Antara barisan penyampai Ultra FM adalah Jimmy Shanley dan Mamat Sepah di Ultra 6-10 (6 pagi hingga 10 pagi), Mon Ryanti pula di Ultra 10-3 (10 pagi hingga 3 petang) manakala Ultra 3-8 dikendalikan oleh Sharifah Shahira (3 petang hingga 8 malam) dan padadi sebelah malam pula ditemani oleh Fizi Ali di Ultra 8-1 (8 malam hingga 1 pagi).

- SYAHRIL/WAHIDIN SALIM

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved