Khamis, 21 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kitar semula pulihara alam sekitar

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
pengarang@utusan.com.my

Abd. Hapiz A. Samad (kiri) dan Sazali Muhd. Din (tengah) memasukkan minyak terpakai ke dalam tong secara simbolik dalam perasmian Majlis Penempatan Tong Kitar Semula di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 20 Nov. - Kitar semula adalah proses mengolah bahan buangan untuk mendapatkan bahan yang boleh diguna pakai semula.

Sisa-sisa buangan yang tidak di kitar semula hanya menyumbang kepada berlakunya pencemaran dan mewujudkan ketidakselesaan.

Hakikatnya, kitar semula merupakan cara terbaik bagi masyarakat dunia mendapatkan kesan positif kerana sisa buangan memberikan kesan negatif yang amat besar kepada alam sekitar.

Pemanasan global dan pemusnahan habitat adalah kesan daripada pemusnahan hutan namun, menerusi proses kitar semula dapat mengurangkan keperluan terhadap bahan mentah dan sumber asli seperti kayu balak dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

Kitar semula juga hanya memerlukan sedikit tenaga yang secara tidak langsung dapat membantu dalam mengekalkan pemuliharaan berbanding menghasilkan produk daripada bahan mentah yang memerlukan tenaga lebih besar.

Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan yang diadakan pada 11 November setiap tahun adalah untuk mempromosikan kesedaran kepada orang awam bagi menjalankan aktiviti kitar semula.

Menjelang tahun 2020, kerajaan telah menyasarkan sebanyak 22 peratus pengurangan sisa pepejal melalui pelaksanaan kitar semula.

Bagaimanapun, berdasarkan kajian National Strategic Plan for Solid Waste Management, kadar kitar semula bagi sisa pepejal di negara ini adalah sangat rendah iaitu sekitar lima peratus daripada jumlah keseluruhan sisa pepejal.

Dalam erti kata lain, majoriti sisa pepejal perbandaran yang dihasilkan dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Menurut Malaysia's Second National Communication (NC2) to United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) pula, jumlah sisa pepejal yang dihasilkan di Semenanjung Malaysia semakin meningkat.

Atas kesedaran itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Teknologi Hijau Melaka telah menganjurkan kempen Penebusan Minyak Masak bagi menarik minat komuniti untuk menyertai program Biodiesel Melaka iaitu menukarkan minyak masak terpakai kepada biodiesel.

Program tersebut bagi menyokong Rangka Tindakan Teknologi Hijau Negeri Melaka dan Dasar Biodiesel Negara.

Dalam usaha menyokong usaha kerajaan negeri mencapai hasrat menuju Negeri Bandar Teknologi Hijau dan Melaka Maju Fasa Kedua, Menara Persekutuan telah mula mengamalkan konsep kitar semula dalam kalangan warganya.

Simbolik penempatan tong kitar semula di bangunan itu bagi membolehkan aktiviti kitar semula dilaksanakan di 25 pejabat di Menara Persekutuan secara berterusan.

Selain tong kitar semula sisa pepejal, satu tong bagi mengisi sisa minyak masak terpakai turut disediakan di tingkat dua berhampiran kafetaria.

Timbalan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Sazali Muhd. Din berkata, usaha penempatan tong kitar semula di bangunan itu mampu menjadi contoh dan teladan kepada bangunan atau menara lain.

Katanya, kesedaran orang awam adalah penting terutama dalam kalangan penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan kepentingan mengitar semula.

"Kesedaran mengenai pembuangan sampah yang betul, perlu dimulakan dengan menjadi dan mengamalkan tabiat membuang sampah dengan lebih teratur terutama pengasingan sampah yang dapat di kitar semula ke tempat yang betul.

"Oleh itu, semua pihak sama ada jabatan dan agensi kerajaan perlu lebih prihatin, peka dan berpandangan jauh bagi menyokong usaha-usaha ini di samping memelihara alam sekitar.

"Orang ramai juga perlu memberikan kerjasama erat untuk menggunakan tempat-tempat pembuangan sampah yang telah disediakan dan dengan adanya tindakan bersepadu itu, ia memberikan jaminan persekitaran yang bersih lagi sihat," katanya di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abd. Hapiz A. Samad.

TNB Melaka dapat persijilan British Standard

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Idris Haron (dua dari kanan) dan Presiden TNB, Ir. Azman Mohd (kanan) bergambar bersama Baderul Sham Saad (tiga dari kanani) serta penerima-penerima Anugerah Kecemerlangan Yang Bertanggungjawab TNB Melaka selepas majlis Perhimpunan Mega TNB 2013 di Melaka semalam.

MELAKA 20 Nov. - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) Melaka menerima pengiktirafan tertinggi apabila muncul sebagai bisnes unit bahagian pembahagian pertama di Asia Tenggara yang mencapai persijilan Pengurusan Aset PAS 55.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, kejayaan TNB Melaka itu adalah satu pengiktirafan antarabangsa daripada British Standard Institution Publicly Available Specification for Asset Management (BSI PAS 55-1:2008).

Menurutnya, itu adalah sijil ketiga diperoleh TNB berkaitan rangka kerja pelbagai industri untuk sistem pengurusan aset oleh Asset Management Consulting Limited (AMCL) dan merupakan persijilan pertama untuk bisnes unit bahagian pembahagian utiliti elektrik di Asia Tenggara.

''Pencapaian terbaik TNB Melaka ini adalah hasil semangat, kegigihan dan dokongan kuat semua pihak dan tidak mustahil segalanya boleh dicapai.

''Ini juga menjadi kebanggaan dengan persijilan Pengurusan Aset PAS 55 apabila mendapat komen luar biasa daripada pihak panel penilai.

''TNB Melaka sebenarnya menjadi negeri pertama dipilih untuk amalan pengurusan aset berdasarkan British Standard dan akhirnya menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Mega dan Penyampaian Sijil PAS 55 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di sini semalam.

Yang turut hadir Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Datuk Ir Baharin Din; Ketua Pegawai Korporat, Datuk Ir. Roslan Abd. Rahman dan Pengurus Besar Melaka, Baderul Sham Saad.

TNB memperoleh dua persijilan melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Janamanjung Sdn. Bhd. daripada Price Water House Coopers The Asset Partnership pada 5 Julai lalu dan Bahagian Penghantaran TNB daripada Lloyd's Register Verification Limited pada 30 Jun lalu.

3P jadi mata, telinga pantau pencemaran alam

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Sazali Muhd. Din (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil yang dilantik menjadi Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 20 Nov. - Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mewujudkan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) yang bertindak sebagai mata dan telinga kepada kawasan yang kerap atau berulang kali menerima aduan pencemaran.

Pengarahnya, Abd. Hapiz A. Samad berkata, kumpulan fokus itu yang dianggotai ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) memainkan peranan membantu JAS memantau dan melaporkan secara berterusan berhubung pelbagai masalah yang berkaitan dengan punca pencemaran.

Menurutnya, pasukan itu akan berhubung secara langsung dengan pegawai terbabit bagi mengemukakan maklumat pencemaran di kawasan masing-masing untuk disiasat dan diselesaikan menerusi tindakan tertentu.

"Sebagai langkah permulaan bilangan keanggotaan dalam 3P berdaftar hanya dihadkan kepada maksimum 20 orang dan di negeri ini setiap wakil dari Japerun dicalonkan sebagai 3P.

"Anggota 3P ini akan direkrut menerusi pendedahan secara bengkel atau seminar di peringkat negeri dan dari semasa ke semasa, mereka ini akan diberi pendedahan fokus dan maklumat terkini berkaitan peraturan dan tindakan-tindakan jabatan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas majlis Perasmian Penempatan Tong Kitar Semula dan Pelancaran 3P di Menara Persekutuan, MITC Ayer Keroh, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Sazali Muhd. Din.

Abd. Hapiz berkata, JAS negeri akan membuat tindakan susulan serta-merta berdasarkan aduan yang diterima.

"Pengiktirafan akan diberikan dalam bentuk sijil penghargaan, token, baucar dan anugerah-anugerah khas kepada anggota 3P yang berjaya memberi maklumat sehingga selesai satu-satu masalah pencemaran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved